UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Jumaat, 25 Mac 2011

Tangan diikat, kepala dibalut kain pelikat!

KUALA SELANGOR - Sekolah Rendah Agama Integrasi Bandar Baru Kuala Selangor dikejutkan tragedi kematian seorang pengawal keselamatan sekolah itu dipercayai dibunuh selepas dirompak dekat tangki air sekolah itu awal pagi semalam.

Arbain Hassan, 62, dijumpai terbaring dengan tangannya diikat dan kepalanya dibalut dengan kain pelekat, manakala dompetnya tercampak. Pekerja kantin sekolah, Rohaya Ahmad, 42, berkata, kira-kira jam 6.30 pagi dia membawa anaknya ke sekolah, tetapi mendapati pintu pagar belum dibuka.

“Kami hairan kerana biasanya pagar sekolah dibuka seawal jam 6.30 pagi dan kami memanggil pakcik Arbain, tetapi tidak menyahut.

“Setelah menunggu agak lama, anak saya memanjat pintu pagar dan mencari Pakcik Arbain kerana ingat mungkin dia tertidur atau berada di belakang bangunan sekolah,” katanya.

“Kami terkejut melihat mangsa terbaring kaku dan berdarah di kepala. “Kami terus lapor kepada pihak sekolah, polis dan keluarga mangsa," katanya.

Rohaya berkata, kali terakhir dia melihat mangsa kira-kira jam 1 pagi ketika sedang meronda sekeliling bangunan sekolah.

Isteri mangsa, Juriah Lagiman, 58, berkata, Arbain masuk kerja lebih awal petang itu. Dia bertugas antara jam 6.30 pagi dan 6.30 petang.

“Saya nasihatkan suami berhati-hati ketika menjalankan tugas. Rupanya itulah nasihat terakhir saya kepadanya,” katanya ketika ditemui di Jalan Keretapi Lama, Kampung Teluk Piah, di sini.

Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Zulkifli Kamaruddin berkata, kejadian curi pernah dua kali berlaku di sekolah itu, tetapi kes semalam adalah yang pertama membabitkan pembunuhan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah (gambar) berkata, mayat mangsa 62, ditemui kira-kira jam 7.45 pagi, dalam keadaan terlentang dekat pagar belakang sekolah terbabit.

“Siasatan awal mendapati penjenayah pecah masuk dalam sekolah itu dan terus menyerang mangsa menggunakan objek tumpul.

“Terdapat kesan cedera parah di belakang badan serta kepala mangsa yang sudah lima tahun bekerja di sekolah terbabit,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor, semalam.

Mohd Adnan berkata, senjata atau objek yang digunakan untuk membunuh mangsa bagaimanapun tidak ditemui.

Katanya, pemeriksaan mendapati ada kesan pecah masuk di pejabat serta kantin sekolah terbabit. Mohd Adnan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan