UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Sabtu, 30 Jun 2012

Slogan 'UMNO Tolak Islam' Jadi Kempen Pilihanraya PAS Untuk Tarik Pengundi!



UMNO tolak Islam! dijadikan oleh Pas sebagai bahan kempen memikat pengaruh. Seperti dulu Nik Abdul Aziz Nik Mat menyebut undi Pas masuk syurga. Sekarang ini undi Pas dapat pahala. Dapat pahala belum tentu masuk syurga. Ketentuan masuk syurga dan dapat pahala adalah ketentuan Allah.

Apa maksud Islam dalam politik Pas? Islam bagi Pas adalah dalam ceramah dan pidato. Ceramah yang menghina orang lain, melontarkan gelaran-gelaran yang hodoh, banyak yang berbaur fitnah dan analisis yang dangkal, nafsu amarah yang tinggi yang menghasilkan rasa taksub yang hebat dan dendam kesumat yang panjang.

Setiap kali maki hamun dilakukan terhambur sahutan takbir berulang-ulang walaupun ia dengan maksud menghina orang lain dan melakukan tuduhan tanpa menyelidik.

Kemudian orang ramai balik ke rumah selepas mendengar pidato yang berapi-api. Apa perancangan yang dilakukan selepas itu? Apakah Pas mengatur strategi untuk mengatur kerja-kerja dakwah secara bijaksana dengan penuh kasih sayang?

Yang berlaku adalah orang Pas mengatur strategi menguasai masjid dan surau. Mudahlah penceramah-penceramah Pas berceramah ikut cara politik dan menyebabkan konflik berlaku di kalangan anggota jemaah dan masyarakat setempat. Orang yang tidak suka cara orang Pas berceramah memilih untuk tidak datang ke masjid. Apakah ini cara yang diajar oleh Islam?

Selain ceramah, apakah Pas mengatur gerak kerja ekonomi untuk meningkatkan ekonomi umat Islam supaya mampu menyaingi ekonomi orang bukan Islam. Islam bukan sekadar ceramah.

Maksud ibadah dalam Islam membangunkan kekuatan ekonomi. Dan apakah ada pakatan bekerjasama dalam pembangunan ekonomi? Atau Pakatan hanya ada dalam politik.

Pas dan anggota pakatan yang lain sedang menjalin kerjasama politik. Apakah dasar Pas mengenai negara Islam diterima oleh DAP? Apakah dasar DAP ke arah sosialis demokratik selari dengan falsafah negara Islam? Apakah dasar PKR yang cenderung kepada faham liberal dan pluralis boleh selari dengan Pas. Islam apa yang hendak dibawa oleh Pas dalam pakatan?

Apakah pakatan sekadar ingin kuasa dan menang pilihan raya kemudian dasar yang bakal didukung adalah saling bercanggah. Inikah cita-cita perjuangan Pas?

Lalu jalan paling ampuh untuk memenangi pilihan raya kali ini ialah menuduh UMNO menolak Islam! Kempen dulu menuduh UMNO parti kafir kerana berkawan dengan orang bukan Islam. Hari ini dalam tahalluf siasinya atau kerjasama politik boleh pula dengan DAP. Pas terpaksa menelan kata-katanya kepada UMNO dulu walaupun pahit.


UMNO adalah parti orang Islam. Implikasi tuduhan UMNO tolak Islam adalah mengatakan secara tidak langsung orang UMNO adalah kafir. Sama jugalah seperti dulu mengkafirkan orang UMNO menjadi strategi Pas mempertajamkan hubungan sesama Islam.

Hadis Rasulullah SAW memberi pesan supaya jangan mengkafirkan seseorang bimbang tuduhan itu akan kembali semula kepada diri penuduh.

UMNO seperti juga Pas ada kekuatan dan kelemahan. Untuk mengatakan UMNO tolak Islam dan tidak memperjuangkan Islam adalah suatu strategi melampau. Ia bukan lahir dari hati yang ikhlas dan rasa syukur yang tinggi.

Apakah dengan membangunkan sektor ekonomi Islam seperti bank Islam, takaful, pajak gadai Islam, memperkemas sistem zakat dan haji, memperkukuh kaedah suku' dan wakaf sesuatu yang tidak berasaskan syariah dan menolak Islam?

Apakah dengan membangunkan sistem pendidikan seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, memperkemas pendidikan Islam seperti program Jawi, al-Quran, Arab, Fardu Ain (JQAF) dan Sekolah Menengah Agama Kebangsaan, Sekolah Agama Integrasi, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan bercanggah dengan ajaran Islam?

Apakah banyak biasiswa diberi kepada anak orang Islam untuk belajar bidang kepakaran di dalam dan di luar negara (termasuk anak-anak Pas) sesuatu yang tidak syarie. Apakah membangun Darul Quran untuk membolehkan generasi muda menjadi huffaz sesuatu yang bercanggah?

Apakah dalam sektor sosial bantuan diberikan kepada golongan fakir dan miskin dalam pelbagai bentuk tidak dianjurkan oleh Islam. Apakah dengan membina prasarana untuk kemudahan orang awam sesuatu yang tidak dibenarkan oleh Islam.

Dan selama lebih 50 tahun pembangunan dan perubahan terjadi, ia berlaku dalam pemerintahan kerajaan yang ada dan tunggaknya adalah UMNO. Apakah dengan sedikit contoh yang diberi ia menepati slogan politik UMNO tolak Islam!

Memang benar UMNO sebagai sebuah parti politik yang dikendalikan oleh manusia ada kekuatan dan kelemahannya. Bagi penulis kelemahan itu mesti diperbaiki tetapi kejayaan yang ada perlu diakui.

Pas tidak mengakui langsung kebaikan dan manfaat yang dibawa oleh UMNO kepada negara dan rakyat. Pendekatan itu adalah tidak Islamik. Seperti juga bandingannya terhadap manusia. Ada kebaikan dan keburukan dalam hidup manusia. Jiwa dai' dan murabbi sentiasa mengiktiraf kebaikan manusia itu dan cuba menyuburkannya supaya akhirnya kemungkaran bakal hilang.

Pada UMNO banyak kebaikan yang dilakukan dan ada kelemahan yang terjadi. Muhasabah dengan rasa keinsafan yang tinggi bakal menjadikan kita orang yang lebih baik, bersyukur dan berterima kasih.-UMO

Juragan Malawati

Exco Selangor dihujani bantahan penduduk!



Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setingan Selangor Iskandar Abdul Samad hari ini dihujani bantahan penduduk Taman Nirvana, Ampang yang tidak puas hati dengan tindakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) meluluskan projek pangsapuri 16 tingkat di kawasan itu.

Mereka mendakwa pembinaan itu hanya akan menambah masalah sedia ada seperti kesesakan trafik, jalan raya rosak, tekanan air rendah, banjir kilat dan bekalan eletrik sentiasa terputus.

Penduduk juga mempersoal tindakan kerajaan negeri Selangor menukar pelan asal kawasan itu daripada projek pembangunan lot kedai kepada pangsapuri.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Nirvana, M. Thomas berkata apabila pangsapuri itu siap, bilangan penduduk akan bertambah dan mereka (penduduk lama) tidak akan aman lagi tinggal di kawasan tersebut.

Selain Taman Nirvana, kawasan yang terlibat ialah Taman Cempaka, Taman Dagang, Taman Putra Sulaiman dan Kampung Pandan.

Sementara itu, Iskandar mengalu-alukan maklum balas penduduk berhubung projek tersebut ketika sesi dialog dan memberi jaminan akan membawa masalah yang disuarakan kepada Menteri Besar dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor.

Beliau berharap pemaju projek itu akan berbincang dengan penduduk bagi mencari penyelesaian yang dapat diterima oleh semua pihak. - BERNAMA

Juragan Malawati..

Khamis, 28 Jun 2012

Sivarasa, Suaram terlalu ikut telunjuk Anwar?



Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Sivarasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Suara Rakyat Malaysia (Suaram) digesa supaya tidak terlalu mengikut telunjuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyebarkan fitnah mengenai pembelian kapal selam negara, Scorpene.

Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan berkata, Sivarasa dan Suaram perlu segera menghentikan segala pembohongan berkaitan aset ketenteraan negara itu kerana ia memberi imej buruk kepada negara.

Selain itu katanya, Sivarasa dan Suaram secara jelas kini menjadi alat Anwar dalam penyebaran fitnah ke atas pimpinan negara berkaitan perolehan tersebut.

"Sebagai sahabat Sivarasa, saya menggesa beliau dan Suaram supaya segera membebaskan diri daripada terus dipergunakan Anwar.

"Sebagai Ahli Parlimen, Sivarasa perlu bertanggungjawab terhadap para pengundi dan rakyat secara amnya dengan tidak terus menyebarkan fitnah tidak berasas sebegini," katanya di sini hari ini.

Sivarasa dan pemimpin Suaram sebelum ini pernah mengadakan sidang akhbar di Bangkok, Thailand bersama peguam Perancis yang dilantik NGO itu, Joseph Breham.


Mereka mendakwa pimpinan tertinggi negara mungkin akan disapina oleh mahkamah Perancis dalam kes rasuah membabitkan pembelian Scorpene oleh kerajaan Malaysia dari negara Eropah tersebut.

Bagaimanapun, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada sidang Dewan Rakyat kelmarin mengesahkan tiada perbicaraan berlangsung di Perancis berhubung perkara itu termasuk oleh Mahkamah 'Tribunal de Grande Istance'.

Gobalakrishnan menambah, Anwar selama ini menugaskan beberapa MPP PKR untuk mencari serta mencipta isu tertentu mengikut kepakaran masing-masing bagi 'melancarkan serangan' ke atas kerajaan.

"Semasa masih bersama PKR, saya sendiri ditugaskan oleh Anwar untuk mencari dan mencipta isu mengenai masyarakat India dan Sivarasa pula diberi tanggungjawab dalam hal Scorpene dan Suaram.

"Tian Chua (Naib Presiden PKR) pula ditugaskan mencipta gambar palsu Perdana Menteri bersama model Mongolia, Altantuya Shaariibuu namun Anwar tidak berpuas hati kerana hasilnya amat kabur dan mencurigakan, Tian Chua gagal di situ," katanya.-UMO

Juragan Malawati..

Selasa, 26 Jun 2012

Membongkar nista Tuan Guru?



Satu ketika dahulu, Nik Aziz ada melarang orang ramai khususnya rakyat Kelantan supaya tidak menggantungkan gambar Perdana Menteri (Mahathir) kerana perbuatan itu menjadikan kita mendewa-dewakan manusia.

Hari ini bagaimana? Di seluruh pelosok Kelantan sama ada di bulatan jalan atau di persimpangan, atau di mana-mana sahaja penuh dengan gambar Nik Aziz.

Ada gambar Nik Aziz menangis sedang berdoa, ada gambar Nik Aziz sedang bersolat dan berbagai-bagai lagi. Sakit mata melihat gambar- gambar itu, dan perbuatan itu sebenarnya adalah riak, perbuatan itu juga mengharapkan supaya orang jahil memuji atau mendewa-dewakan Nik Aziz.

Nik Aziz berkata UMNO tolak Islam. Saya ingin merujuk kepada kenyataan Nik Aziz seperti yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia Selasa 6 Disember di muka 7 bahawa pihak yang menolak Islam juga adalah kufur. Pihak mana yang sebenarnya menolak Islam? UMNO atau Pas? atau DAP (langkah mayat aku dulu kata Karpal Singh).

Rasulullah SAW ada bersabda bahawa al-Quran itu adalah menjadi hujah atau bukti yang kuat untuk menolong diri seseorang itu pada hari kiamat kelak, atau untuk menyusahkan dan menyulitkannya hingga ditimpakan azab ke atas seseorang itu pada hari tersebut.

Ini memang jelas. Dengan keterangan ini tiada sesiapa pun boleh atau dibenarkan berdusta dengan ajaran al-Quran iaitu wahyu Allah SWT. Sebenarnya kita tiada pilihan, suka atau tidak suka, kita kena ikut al-Quran, bukan al-Quran kena ikut cakap kita. Nik Aziz suruh al-Quran ikut cakap dia. Contoh, ringkas saja, dalam al-Quran banyak ayat yang Allah melarang kita daripada mendekati syaitan, contoh, di surah Faatir ayat 6 bermaksud:

Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadilah dia musuh yang mesti dijauhi tipu dayanya. Sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi penduduk neraka.

Tetapi Nik Aziz kata, kita boleh berkawan dengan syaitan jika syaitan itu mahu membantu kita menubuhkan negara Islam. Syaitan mana? Allah kata tak boleh, Nik Aziz kata boleh. Jadi, sekarang siapa kufur? Pernahkah pemimpin UMNO kata begitu? Jawapannya adalah tidak. Hanya Nik Aziz sahaja yang berani berkata begitu.

Pada tahun 1999 (PRU-10) apabila Pas menang di Terengganu, penceramah Pas kata, Nik Aziz berkata ramai malaikat turun dari langit ke bumi membantu pengundi untuk mengundi PAS.

Kata penceramah itu lagi, Nik Aziz berkata malaikat memegang dan menggerakkan tangan pengundi untuk mengundi Pas. Nik Aziz nampakkah malaikat turun dari langit? Siapa berbohong dan siapa kufur?

Pada tahun 2004 (PRU-11) apabila Pas tewas di Terengganu lain pula kata penceramah Pas, penceramah Pas kata, Nik Aziz berkata ramai pengundi hantu UMNO datang dari Kuala Lumpur dengan berpuluh-puluh bas untuk mengundi UMNO hingga Pas hilang kuasa.

Kata Nik Aziz lagi, ini pilihan raya tidak adil dan pilihan raya tidak bersih. Persoalannya, mana perginya para malaikat di tahun 1999 itu? Siapa berbohong dan siapa kufur?

Dengan hujah-hujah di atas, seolah-olah pada tahun 1999 Nik Aziz nampak para malaikat turun ke bumi, dan pada tahun 2004 Nik Aziz nampak hantu pula sebagai pengundi. Tidak logik langsung.

Nik Aziz ialah manusia biasa. Nik Aziz bukan manusia istimewa. Nik Aziz bukan manusia ajaib. Nik Aziz bukan antara 10 sahabat Nabi SAW yang dijanjikan syurga oleh baginda. Nik Aziz ialah Menteri Besar Kelantan sejak tahun 1990 (22 tahun lalu). Nik Aziz juga seperti manusia lain, Nik Aziz juga terikat kepada ibadat kepada Allah SWT, Nik Aziz juga tertakluk kepada syurga dan neraka.

Namun, Nik Aziz sentiasa bercakap besar seolah-olah dia adalah manusia paling hampir dengan Allah SWT.

Saya masih ingat, menjelang PRU pada tahun 1990, 1995, 1999, 2004 dan 2008 penceramah Pas menggunakan strategi yang sama iaitu mana-mana calon yang diputuskan oleh parti merupakan calon terbaik kerana Nik Aziz mendapat petunjuk setelah bermunajab kepada Allah SWT.

Penyokong tidak boleh menolak mana-mana calon yang diputuskan oleh parti kerana ia telah diputuskan terlebih dahulu oleh Mursyidul Am Pas setelah diperkenankan oleh Allah SWT kata penceramah Pas dengan sombong, dan disambut dengan takbir, takbir, takbir.

Tetapi yang peliknya ramai juga calon yang diputuskan oleh Nik Aziz itu telah tewas di tangan UMNO. Para pembaca boleh fikir sendiri.

Juragan Malawati..

Isnin, 25 Jun 2012

PM umum subsidi TR1Ma!



Sebahagian pemandu teksi memberi tepukan gemuruh sebaik sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian baucar tayar bernilai RM520 untuk mereka dalam perhimpunan di pekarangan Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

Seramai 66,538 pemandu teksi di seluruh negara diberikan baucar bernilai RM520 setiap seorang untuk menggantikan empat tayar di bawah inisiatif program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma).

Mengumumkan demikian ketika himpunan terbesar pemandu teksi di Bukit Jalil di sini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemberian subsidi itu melibatkan dana sejumlah RM35 juta melalui Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk tempoh dua tahun.

Menurut beliau, langkah itu dibuat sebagai menjaga kebajikan pemandu teksi, sekali gus memastikan keselamatan perjalanan mereka termasuk kira-kira 40,000 penumpang setiap hari.

‘‘Pemandu teksi boleh mendapat satu set tayar percuma di 300 pusat servis tayar buatan Malaysia yang dikenal pasti, boleh pilih antara Goodyear atau Continental.

‘‘Kita nak jaga kebajikan pemandu teksi, keselamatan mereka dan penumpang. Jika memandu teksi menggunakan terus tayar ‘botak’ boleh membahayakan. Jadi saya harap lepas ini gantilah tayar masing-masing,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran TR1Ma yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Penerangan.

Himpunan terbesar kira-kira 25,000 pemandu teksi dan ahli keluarga mereka itu turut dicatatkan dalam Malaysia Book of Records.

Turut hadir, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar dan Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma), Yusoff Lahir.

Pada majlis itu juga, Perdana Menteri mengumumkan pemberian dana melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berjumlah lebih RM1 juta. Dana itu bagi melindungi lebih 100,000 pemandu teksi seluruh negara melalui skim insurans perlindungan kemalangan diri.

Jelas beliau, skim insurans di bawah inisiatif TR1Ma iaitu meliputi perlindungan kematian akibat kemalangan RM10,000; ketidakupayaan kekal akibat kemalangan RM10,000; kos rawatan perubatan akibat kemalangan RM500; khairat kematian akibat kemalangan RM1,500 dan khairat kematian biasa RM1,000.

Najib berkata, kerajaan juga akan melonggarkan syarat untuk memudahkan pemandu teksi mendapatkan pinjaman menukar teksi lama mereka melalui skim pinjaman yang sebelum ini diuruskan Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan memberi kadar faedah dua peratus bagi pemilikan teksi baru buatan tempatan.

‘‘Dalam Bajet 2012 lalu, kerajaan telah menawarkan bantuan rebat RM3,000 bagi melupuskan teksi lama melebihi tujuh tahun tetapi kurang daripada 10 tahun manakala bagi teksi yang berusia 10 tahun ke atas, RM1,000 diberikan.

‘‘Saya harap lebih ramai pemandu yang akan memanfaatkan skim ini dan merebut peluang yang disediakan. Namun, kita sedar ada yang menghadapi sedikit kekangan daripada syarat-syarat itu, kita akan kaji dan melonggarkannya,’’ katanya.-UMO

Juragan Malawati..

Ahad, 24 Jun 2012

PKR Selangor desak MB bertindak?




Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggantung sementara jawatan Setiausaha Politiknya, Faekah Husin dan melakukan siasatan berhubung isu penggunaan kepala surat Pejabat Menteri Besar Selangor.

Ketua Penerangannya, Shuhaimi Shafie berkata, Abdul Khalid seharusnya bersikap konsisten dengan tindakan dan kenyataannya sebelum ini, selain perlu mencadangkan siasatan penuh terhadap Faekah.

''Saya rasa lebih baik digantung dahulu tugas pegawai yang terlibat (Faekah) supaya siasatan dapat dilakukan. Ia juga bagi mengelakkan rasa tidak puas hati. Elok digantung dulu sama seperti kes-kes sebelum ini kerana tindakan itu dilihat lebih konsisten.

''Jadi tidaklah nanti ia menjadi tuduhan-tuduhan besar kononnya Menteri Besar melindungi Setiausaha Politiknya,'' katanya dalam laman blog Antarapos.com di sini hari ini.












Juragan Malawati

Sabtu, 23 Jun 2012

Faekah mengaku hantar surat?




Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin mengaku menghantar surat agar sebuah firma guaman yang mempunyai hubungan keluarga dengannya ‘dipertimbangkan’ menjadi panel peguam di syarikat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Bagaimanapun beliau mendakwa, surat itu dihantar bersama beberapa surat firma guaman lain yang turut berminat menjadi panel guaman di PNSB dan syarikat milik kerajaan negeri lain.

“Kesemua surat permohonan daripada firma guaman itu dihantar kepada pejabat Menteri Besar dan saya telah hantar surat kepada PNSB untuk memanjangkan permohonan tersebut termasuklah surat daripada firma guaman anak saudara saya.

“Itu adalah amalan biasa apabila ada syarikat yang menghantar permohonan kepada Menteri Besar untuk mendapat peluang perniagaan di syarikat milik kerajaan negeri dan kita panjangkan kepada syarikat tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai serangan yang dibuat terhadapnya oleh pihak yang bertelagah dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Berdasarkan blog sel13.com semalam, Faekah yang selama ini dilihat sentiasa membayangi Abdul Khalid didakwa terlibat menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi sebuah syarikat milik kerajaan negeri bagi memberi peluang perniagaan kepada sebuah firma guaman yang dikatakan ada hubungan keluarga dengannya.

Blog tersebut turut menyertakan dua salinan surat iaitu yang pertama didakwa dihantar firma guaman tersebut kepada Faekah dan yang kedua didakwa merupakan surat Faekah sendiri kepada syarikat milik kerajaan negeri tersebut.

Dalam pada itu, Faekah menolak dakwaan beliau menggunakan pengaruhnya agar firma guaman berkenaan mendapat peluang perniagaan di PNSB.

Katanya, ini kerana selepas menghantar surat tersebut pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada PNSB untuk membuat penilaian dan keputusan.

“Selepas hantar surat itu saya tidak membuat sebarang susulan kerana kalau mahu saya boleh menghubungi syarikat tersebut atau Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Omar untuk minta tolong.

“Saya tidak buat begitu dan jika firma guaman itu menjadi panel di PNSB pun, bukan kerana saya," katanya.

Tambah Faekah, walau apa pun tafsiran yang dibuat beliau tidak merasakan tindakannya menghantar surat kepada PNSB itu adalah salah.

“Saya bersedia untuk disiasat dan saya juga cadangkan supaya maklumat yang tepat diperoleh daripada PNSB mengenai isu yang berbangkit termasuk adakah firma anak saudara saya itu mendapat sebarang perniagaan daripada PNSB setakat ini," katanya.

Juragan Malawati..

Jumaat, 22 Jun 2012

Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat 20 akaun!




Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)) mendesak kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengawal 20 akaun induk bernilai RM3 bilion.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, pendedahan terbaru yang dibuat oleh bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegahan Rasuah (BPR), Datuk Abdul Razak Idris bahawa Anwar meminta untuk membuat akuan bersumpah bagi menutup kes berkenaan membuktikan penyalahgunaan kuasa Ketua Pembangkang itu ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, siasatan secara mendalam perlu dilakukan dan tidak boleh mengharapkan kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata memandangkan ia melibatkan jumlah wang yang sangat besar.

"Pendedahan terbaru ini amat mengejutkan. Ia juga merupakan bukti akuan bersumpah menyatakan kes berkenaan telah selesai sebenarnya dibuat atas permintaan Anwar.

"Saya cadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan segera bagi menyiasat perkara itu. Kita mahu tahu dari mana datangnya wang RM3 bilion itu dan ke manakah duit itu disalurkan, kepada kroni atau siapa?" katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Abdul Razak, bahawa beliau telah diminta oleh Anwar untuk membuat akuan bersumpah bagi membersihkan nama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu daripada dakwaan memiliki 20 akaun induk bernilai RM3 bilion.

Juragan Malawati..

Sabtu, 16 Jun 2012

Peruntukan Geran Selangorku diragui?




Peruntukan Geran Selangorku bernilai RM300 juta disediakan oleh Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat (PR) didakwa tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.

Bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa, peruntukan tersebut dilakukan tanpa merujuk kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

“Mengikut prosedur, setiap peruntukan Kerajaan Negeri, ia perlu melalui pegawai kewangan negeri. Bagaimanapun, saya dimaklumkan mereka tidak ikut kelulusan tersebut, sebaliknya, ia berdasarkan keputusan menteri besar saja.

“Malah, pegawai kewangan yang telah dilatih untuk menyelia kewangan negeri tidak terlibat langsung dalam peruntukan tersebut,” katanya ketika kepada Sinar Harian, semalam.

Dr Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang berkata, jika proses itu tidak dipatuhi, beliau khuatir peruntukan tersebut boleh disalah guna untuk tujuan politik tertentu.

Beliau turut mendakwa, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggunakan peruntukan itu untuk mengukuhkan kedudukannya dalam Selangor kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ijok itu tidak mempunyai jawatan dalam PKR. April lalu, menerusi tulisannya di blog www.drkhir.com, beliau berkata, berdasarkan carta aliran pemberian geran itu, Abdul Khalid berkuasa secara berseorangan untuk memutuskan siapa yang mendapat kontrak.

Dr Khir berkata, senarai Jawatankuasa Pengurusan Geran Selangorku itu juga sebahagian besarnya dianggotai oleh pegawai Abdul Khalid di pejabat menteri besar dan Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Pada 26 Mac lalu, bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali mempersoalkan dana RM300 juta di bawah Geran Selangorku yang dikatakan tidak direkodkan di dalam akaun MBI.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan keraguan tentang bagaimana program-program di bawah geran tersebut dilaksanakan sekiranya dana berkenaan tidak diletakkan di bawah akaun MBI.

Dalam perkembangan lain, Dr Khir turut menafikan dakwaan Umno Selangor terlibat dalam cubaan membeli wakil rakyat PR sebelum ini, sebaliknya beliau mendakwa, kenyataan itu merupakan helah untuk memburuk-burukkan mereka.

“Zamil Ibrahim sebelum masuk Kita (Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air) adalah orang PKR dan tidak pernah terlibat dengan Umno. Saya pun tak faham kenapa orang bukan Umno terlibat dalam beli wakil rakyat PR,” katanya.

Kelmarin, pembangkang menunjukkan rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) yang mengandungi perbincangan antara lima orang di sebuah restoran di sekitar Lembah Klang, setahun lalu.

Pertemuan itu melibatkan dua wakil Ahli Parlimen PR dan dua ejen mewakili Barisan Nasional (BN) serta seorang pemandu kepada ejen. Mereka dikatakan membuat tawaran bernilai RM2 juta sekiranya Ahli Parlimen PR keluar parti.

Juragan Malawati..

Jumaat, 15 Jun 2012

Pas ganti UMNO : Jauh panggang dari api!




Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin (gambar) menyifatkan cita-cita Pas untuk menggantikan UMNO umpama jauh panggang dari api.

Tegas beliau, UMNO merupakan parti dominan dalam Barisan Nasional (BN), sebaliknya Pas dalam pakatan pembangkang hanya sebagai 'pak turut'.

"Kita lihat di Selangor, Pas mempunyai enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dulu diketuai oleh Datuk Dr. Hasan Ali sebagai bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri.

"Tetapi apabila Hasan cuba menerapkan perjuangan Pas yang kononnya mencegah kemungkaran akhirnya beliau dipecat setelah ditekan DAP.

"Kalau Pas betul dominan, sepatutnya pengganti Hasan adalah dari parti itu juga, bukannya Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ini menunjukkan Pas sebagai pak turut dalam pakatan pembangkang," katanya ketika menjadi panel dalam rancangan Soal Jawab TV3 semalam.

Zulkifli turut mendedahkan dalam kerajaan Kedah walaupun hanya ada seorang ADUN DAP tetapi ia cukup berkuasa dalam membuat keputusan dalam isu tertentu.

"Kerajaan Pas kata nak roboh pusat penyembelihan babi di kampung Melayu di Alor Setar tetapi apabila ADUN DAP ugut untuk keluar daripada pakatan pembangkang, mereka terpaksa tunduk.

"Bukan itu saja, Pas pula yang terpaksa meminta maaf daripada DAP. Adakah ini yang dinamakan dominan dan layak untuk ganti UMNO?," soalnya.

Beliau juga memberikan contoh kedudukan Pas di Pulau Pinang yang tidak diberikan tempat seperti dijanjikan walaupun mempunyai seorang ADUN iaitu Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd. Salleh Man.

"Dulu dijanjikan untuk memegang jawatan Exco agama tetapi sekarang lain jadinya.

"Nak jadi pengerusi majlis agama negeri itu tidak dibenarkan. Ini menunjukkan mimpi Pas untuk ganti UMNO tidak akan tercapai," katanya.

Beliau juga berkata, pembangkang sanggup berbuat apa sahaja termasuk mereka-reka dan mengada-adakan cerita pembohongan dalam usaha menarik sokongan rakyat.

"Contohnya dalam isu pembelian kapal selam negara iaitu Scorpene dan pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang telah dijadikan modal politik sejak 2002.

"Ketika saya menjadi peguam bela Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau mengarahkan saya untuk mencipta bukti untuk mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Tetapi saya enggan berbuat demikian kerana tidak ada satu bukti pun menunjukkan Najib terlibat dengan pembunuhan Altantuya dan sebab itu saya tarik diri daripada menjadi peguam Anwar," katanya.

Zulkifli menambah, pembangkang mencipta persepsi itu berdasarkan perkara yang tidak benar serta putar belit untuk kepentingan politik mereka.

"Sepatutnya rakyat perlu menilai apabila Najib sendiri telah bersumpah sebanyak tiga kali bagi menunjukkan beliau tidak bersalah.

"Tetapi Anwar hanya suka bersumpah ketika mengangkat sumpah menerima jawatan. Jika benar dia tidak bersalah mengapa tidak berani bersumpah seperti Najib," ujarnya.

Tambahnya lagi, setelah ditunjukkan kebenaran oleh Allah SWT, beliau dan rakan-rakan yang pernah menyokong Anwar akan turun memberi penerangan kepada rakyat tentang Anwar.

"Melalui Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), saya bersama beberapa bekas rakan baik Anwar akan terus bersama memberi penerangan agar rakyat tidak mengikut langkah kami.

"Dulu kami tidak nampak tetapi sekarang, kami akan tebus kesalahan dengan TIBAI," katanya.-UMO

Juragan Malawati..

Khamis, 14 Jun 2012

Sultan Johor murka terhadap Nizar!




Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini melahirkan rasa murka terhadap bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mengkritik tindakan baginda membida nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 menerusi laman Twitter, baru-baru ini.

Sultan Ibrahim bertitah tindakan Mohammad Nizar itu juga merupakan satu penghinaan kepada rakyat dan kedaulatan negeri Johor dan baginda berharap Anggota Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang itu sedar mengenai kesilapannya.

"Baru-baru ini ada pemimpin politik yang secara terang-terangan mengkritik tindakan saya membida nombor pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Adakah dia lupa tentang adab Melayu atau sememangnya dia seorang yang jahil dan
cetek akalnya

"Janganlah cuba berlagak pandai jika tidak berilmu dan janganlah mengeluarkan kenyataan sesuka hati jika tidak tahu perkara yang sebenar.

Bukankah berdiam diri itu lebih baik daripada berkata yang tidak baik? Kepada pemimpin seperti ini, nasihat saya, janganlah sibuk mencari kudis di kaki orang lain, sedangkan tokak di kaki sendiri tidak mampu diubati," titah baginda ketika merasmikan pembukaan penggal persidangan kelima Dewan Negeri Johor ke-12, di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah setiap tindakan yang baginda lakukan adalah mengikut cara dan jalan yang betul dan baginda berharap setiap kebajikan yang baginda lakukan tidak perlu diperbesarkan.

Sehubungan itu, baginda turut mengingatkan semua wakil rakyat dan pemimpin masyarakat supaya menjaga adab dan tingkah laku serta berhati-hati apabila membuat sesuatu kenyataan selaras dengan kata pepatah "cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar".



"Saya harap dia (Mohammad Nizar) sedar siapa diri dia dan kesilapan yang telah dibuat. Jika dia hendak minta maaf, mintalah maaf kepada semua rakyat Johor dan bukannya kepada saya seorang sahaja. Pepatah Melayu sering mengingatkan " terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya," titah baginda sambil mengucapkan terima kasih kepada anggota gabungan badan bukan kerajaan dan seluruh rakyat Johor yang memberi sokongan serta menyembah ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi.

Sementara itu, Sultan Johor bertitah baginda bersyukur kerana seluruh rakyat di negeri ini mengecapi hidup dalam suasana yang aman dan menikmati kesejahteraan yang lebih baik hasil daripada pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan berterusan.

Baginda bertitah, Johor mencapai pelaburan lebih RM2 bilion dalam suku pertama tahun ini manakala Iskandar Malaysia pula merekodkan pelaburan komited terkumpul berjumlah RM87.56 bilion untuk tempoh tahun 2006 sehingga Mac lepas.

"Lebih 30 peratus daripada nilai projek permulaan di seluruh negara yang dilaburkan di negeri ini membolehkan Johor menceburi bidang baru iaitu minyak dan gas yang sekaligus akan menjadi penjana ekonomi utama di selatan negeri ini.

Oleh itu, kerajaan perlu memastikan rakyat dilengkapi dengan kemahiran di semua peringkat termasuk profesional, teknikal dan vokasional untuk membolehkan mereka menjadi tenaga kerja di bidang-bidang baru ini," titah baginda.

Sultan Ibrahim dalam pada itu turut mengingatkan semua pihak supaya terus mengekalkan perpaduan memandangkan ada sesetengah pihak yang berusaha untuk menggugat perpaduan rakyat demi kepentingan politik yang sempit.

Sultan Johor bertitah pihak berkenaan sanggup menabur fitnah dan menghasut rakyat untuk membenci raja serta membangkitkan isu sensitif kaum dan agama dengan tujuan untuk menimbulkan kebencian dan menghancurkan keamanan dan kemakmuran negara.

"Ingatlah bahawa perpaduan merupakan asas wujudnya negara ini dan kemajuan yang kita peroleh adalah hasil daripada perpaduan yang wujud sejak dulu lagi. Namun begitu, saya percaya rakyat Johor bukanlah masyarakat yang mudah terpedaya dengan tipu helah "musang yang berbulu ayam" ini," titahnya. - Bernama

Juragan Malawati..

Isnin, 11 Jun 2012

Pas Kedah rakus teroka balak, tarah bukit!




Masalah kemusnahan alam sekitar dan 'kesengsaraan' penduduk di Baling, Kedah akibat pembalakan berleluasa di Hutan Simpan Gunung Inas sejak dua tahun lalu seolah-olah dibiarkan begitu sahaja meskipun pelbagai pihak sudah banyak kali menyuarakannya.

Kerajaan negeri yang meluluskan aktiviti pembalakan itu dengan alasan untuk memajukan kira-kira 5,000 hektar tanah di hutan simpan berkenaan bagi pelaksanaan projek Ladang Sejahtera, menganggap tiada isu berbangkit kerana ia dibuat mengikut garis panduan dan peraturan ditetapkan.

Sedangkan kesan buruk akibat kegiatan berkenaan semakin hari dikatakan semakin serius.

Cukup menyedihkan melihat Hutan Simpan Gunung Inas, di sini yang merupakan tulang belakang sistem ekologi bagi penduduk daerah Kedah Tengah dan Selatan menghadapi kemusnahan akibat kegiatan pembalakan tidak terkawal.

Hutan yang dahulu dilitupi dengan rimbunan menghijau pelbagai jenis pokok dan tumbuhan menjadi semakin gondol ekoran aktiviti pembalakan atas alasan untuk memajukan tanah.



Difahamkan, 5,000 hektar kawasan Hutan Simpan Gunung Inas, Baling yang berkeluasan kira-kira 15,000 hektar akan diteroka bagi pelaksanaan projek Ladang Sejahtera dengan tanaman getah berklon balak.

Ini bermakna, satu pertiga daripada kawasan gunung yang kaya dengan khazanah alam sekitar itu terpaksa ditarah dan dibersihkan bagi memberikan laluan kepada projek tersebut.

Tahun ini sahaja seluas 400 hektar kawasan hutan simpan itu ‘dibersihkan’ untuk projek berkenaan yang dilaksanakan oleh Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) dengan kerjasama anak syarikat perbadanan negeri.

Ladang Sejahtera yang dibangunkan itu juga dikatakan sebagai ganti kepada penebangan semua pokok di kawasan gunung berkenaan namun, timbul persoalan adakah tanaman getah berklon balak tersebut dapat menggantikan kemusnahan hutan yang kaya dengan khazanah alam itu.

Bahkan, pelaksanaan projek dipersoalkan banyak pihak memandangkan ia sepatutnya boleh dibangunkan di kawasan tanah pamah bagi memastikan pembangunan secara lestari.



Sesetengah pihak turut mendakwa pembukaan ladang itu hanya alasan kerajaan Pas Kedah bagi mewajarkan balak pelbagai saiz dapat dikeluarkan dari kawasan gunung berkenaan bagi menambah pendapatan kerajaan negeri.

Meskipun kerajaan Pas Kedah mempertahankan tindakannya membuka Ladang Sejahtera di kawasan berkenaan, hakikatnya kegiatan pembalakan yang diberi nama jolokan ‘cuci hutan’ oleh penduduk itu telah mengakibatkan kerosakan ekosistem alam serta membawa banyak kesan buruk.

Rata-rata penduduk di sekitar kawasan itu yang ditemui baru-baru ini marah dan kecewa dengan kegiatan pembalakan berkenaan yang telah menjelaskan kehidupan mereka.

Seorang penduduk, Abdul Razak Che Ahmad, 51, dari Kampung Iboi berkata, bekalan air ke kediaman mereka dari sumber hutan simpan berkenaan menjadi kekuningan dan berkeladak akibat pembalakan berleluasa sejak dua tahun lalu.

Keadaan itu, katanya, menjejaskan kehidupan lebih 2,000 penduduk di Kampung Iboi, Kampung Bukit Iboi, Kampung Masjid Iboi, Kampung Bok Bak dan Kampung Padang Empang yang bergantung sepenuhnya kepada bekalan air dari sumber sungai untuk menjalankan aktiviti harian seperti mandi dan memasak.

“Apakah wajar sumber alam yang memberi kemudahan kepada penduduk seperti bekalan air masyarakat dikorbankan semata-mata hendak melaksanakan projek Ladang Rakyat?" kata Abdul Razak.



Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Iboi berkata, penduduk sedar kepentingan pembangunan yang mahu dibawa tetapi pengambilan balak secara berleluasa menyebabkan penduduk terutama dari lima kampung berkenaan menanggung kesulitan.

“Bekalan air masyarakat yang disalurkan kepada sekolah turut terjejas. Projek yang membawa kepada kemusnahan hutan itu perlu dihentikan segera demi kebaikan rakyat dan masa depan generasi akan datang," katanya.

Hanafiah Wan Teh, 42, dari Kampung Iboi berkata, sumber pendapatan penduduk kampung dari kawasan rekreasi Lata Chelak sudah tertutup apabila orang ramai tidak berminat ke situ selepas airnya tidak lagi jernih.

Menurutnya, begitu juga Empangan Iboi yang pernah menjadi juara sungai angkat peringkat negeri pada 2009 semakin terbiar dan tidak lagi dikunjungi orang ramai kerana airnya yang keruh.

“Menteri Besar tak usah bercakap soal pembangunan dan kemajuan untuk rakyat tetapi tidak pernah turun padang untuk melihat sendiri kepayahan penduduk akibat pembalakan secara berleluasa ini," katanya.

Di samping itu, penduduk yang memperoleh pendapatan sampingan dengan menjual hasil hutan dan tangkapan ikan mengeluh kerana mereka kini sukar mencari rezeki akibat penggondolan hutan dan keadaan air sungai yang sentiasa kekuningan.-UMO

Juragan Malawati..

Ahad, 10 Jun 2012

Belia jangan ikut menongkah arus!




Najib Tun Razak menyanyikan lagu '1Malaysia' pada perasmian Perhimpunan Belia 4B Malaysia di i-City, Shah Alam, Selangor, semalam. Turut hadir Mohd. Ali Rustam, Noh Omar, Ahmad Shabery Cheek, Mohd, Zin Mohamed dan Muammar Ghadafi Jamaludin.

Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan golongan belia di negara ini agar tidak terikut-ikut dengan golongan yang menongkah arus menuntut perubahan menerusi pendekatan dan tindakan yang tidak betul.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, belia perlu menuntut perubahan dalam bentuk yang lebih terpuji dan berakhlak mulia dalam menjamin kelangsungan masa depan negara.





"Tidak ada makna kalau menuntut sesuatu perubahan seperti pilihan raya umum yang bebas dan adil tetapi mengadakan rusuhan jalanan dan menyerang polis.

"Semua orang mahukan perubahan, namun tindakan itu bukan cara yang baik. Sebab kita tahu masa depan negara bergantung kepada peranan kaum pemuda dan belia, negara akan berjaya sekiranya belia kita mempunyai akhlak terpuji lagi mulia," tegasnya.









Perdana Menteri menyampaikan peringatan tersebut di hadapan kira-kira 15,000 belia dari seluruh negara ketika berucap melancarkan Perhimpunan Evolusi KNR (Kelab Najib Razak) Gerakan Belia 4B Malaysia di i-City di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed.



Turut hadir, Menteri Belia Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Presiden Alumni Gerakan Belia 4B, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang juga Ketua Menteri Melaka dan Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Muammar Ghadafi Jamaludin.

Perdana Menteri yang menyedari orang muda mahukan perubahan yang pantas mengingatkan bahawa langkah ke arah itu perlu dilakukan dalam evolusi sebagaimana disaksikan melalui kejayaan sejarah pembangunan di negara ini sejak merdeka.



Beliau menegaskan, perubahan secara evolusi adalah pendekatan terbaik yang harus dipegang oleh semua pihak dalam memastikan perubahan berjalan dengan teratur dan baik.

"Berdasarkan sejarah manusiawi dan peradaban sejak dahulu hingga ke hari ini, dalam konteks kontemporari, evolusi adalah lebih berkesan daripada revolusi.

"Siapa yang dapat bayangkan evolusi Malaysia yang bermula dari sebuah negara miskin, kecil, tidak mempunyai keyakinan dan tidak optimis bahawa kita mungkin berjaya sebagai sebuah negara bangsa.

"Siapa yang membina bandar Shah Alam kalau tidak lain dan tidak bukan kepimpinan kita. Siapa yang membangunkan Putrajaya kalau tidak lain tidak bukan kepimpinan kita," katanya.



Berbanding dengan perubahan dalam bentuk revolusi, kata beliau, pendekatan itu dilihat tidak berkesan dalam usaha mewujudkan satu keadaan yang baik.

"Kita lihat Mesir, walaupun perubahan patut berlaku tetapi hari ini belum dapat tenteramkan keadaan, ekonomi mereka tidak menentu dan hampir lumpuh, pelancongan mereka sedikit sangat orang hendak pergi, pengangguran bertambah dan perkembangan ekonomi mendatar.

"Ini kerana mereka tidak dapat menangani perubahan dengan cara tersusun berbanding Malaysia, perubahan secara terancang dan sistematik serta perubahan kepimpinan dengan baik,'' tegasnya.-UMO

Juragan Malawati..

Sabtu, 2 Jun 2012

Azmin terus didesak, dicabar!



Sebahagian daripada para belia memegang sepanduk sebagai tanda protes pada demonstrasi secara aman di hadapan rumah Azmin Ali di Taman Tun Abdul Razak, Ampang, semalam.

Sekumpulan individu yang mewakili Pergerakan Pemuda UMNO serta Pertubuhan Belia daerah Ampang Jaya hari ini berhimpun secara aman di hadapan kediaman Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali, mencabar pemimpin itu tampil memberi penjelasan berhubung semua dakwaan terhadapnya.

Menurut ketua perhimpunan itu, Safarizul Mustafa, gesaan itu dibuat berikutan sikap Azmin yang berdiam diri atau berdolak-dalik setiap kali timbul tuduhan salah laku melibatkannya dan keluarga.

"Sebelum ini, jika ada sebarang isu mengaitkan pemimpin lain khususnya daripada pihak kerajaan, Azmin adalah individu yang paling beria-ia muncul kononnya menuntut keadilan atau penjelasan.

"Bagaimanapun, kenapa beliau bertindak sebaliknya apabila wujud dakwaan mengaitkannya. Azmin terus berdiam diri atau tidak mengaku salah apabila terkena diri sendiri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas berhimpun kira-kira 10 minit bersama kira-kira 30 wakil pertubuhan dan membawa pelbagai sepanduk.

Semalam, sekumpulan penduduk Bukit Antarabangsa menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu tampil membuktikan beliau bukanlah individu yang dikaitkan dalam skandal seks dengan seorang wanita seperti disiarkan beberapa blog pada 30 Mac lalu.

Pesuruhjaya Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) Selangor/Wilayah Persekutuan turut menggesa Azmin membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempercepatkan proses siasatan berhubung pemilikan harta yang tidak munasabah.

Terdahulu, adik kepada Azmin, Ummi Hafilda turut mendedahkan dokumen sebahagian daripada aset yang dimiliki oleh abangnya itu dan Shamsidar dipercayai bernilai lebih RM30 juta.

Dokumen berkenaan iaitu salinan pembelian syer saham, deposit bank, resit pembayaran perabot serta salinan penyata dalam beberapa akaun bank itu merupakan sebahagian harta yang dimiliki Azmin dan Shamsidar dalam tempoh dua tahun iaitu 1992 hingga 1994.

Kekayaan luar biasa itu menimbulkan tanda tanya banyak pihak kerana ketika itu, Azmin bekerja sebagai Setiausaha Sulit kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menerima gaji hanya sebanyak RM2,442 manakala isterinya pula hanyalah seorang suri rumah yang tidak bekerja.-UMO

Juragan Malawati..