UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Ahad, 27 Julai 2014

PKR tidak adil pecat saya - Arijan?


Bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kuala Selangor, Arijan Osman menyifatkan tindakan lembaga disiplin memecat keah­liannya adalah bukti jelas bahawa rakyat tidak boleh lagi mengha­rapkan parti itu memperjuangkan keadilan untuk semua.

Beliau berkata, tindakan Lembaga Disiplin PKR terhadapnya itu bukan sahaja tidak adil bahkan tidak demokratik sebagai mana yang dilaung-laungkan oleh ramai kepimpinan parti sebelum ini.

“Saya tidak diberikan surat tunjuk sebab malah tidak dipanggil memberikan keterangan terma­suklah membela diri oleh Lembaga Disiplin PKR mengenai tindakan saya pada 14 Julai lalu yang membuat laporan kepada ROS (Pendaftar Pertubuhan) mengenai penyelewengan pengiraan undi pemilihan PKR Cabang Kuala Sela­ngor.

“Sebaliknya, Lembaga Disiplin PKR mengambil tindakan drastik memecat keahlian saya daripada parti itu. Apakah ini maksud kea­dilan yang sebenar?" katanya yang dihubungi di sini hari ini.

Pada masa sama, Arijan turut mempersoalkan sikap tergesa-gesa Lembaga Disiplin PKR yang memecat keahlian beliau dalam tempoh masa empat hari sahaja tanpa merujuk dahulu atau mendapatkan pandangan daripada beliau sendiri.

“Mungkin tindakan segera itu disebabkan ada pihak yang tidak senang duduk dengan tindakan saya membuat laporan kepada ROS. Mungkin mereka memikirkan cara terbaik bagi menghalang saya daripada terus mempersoalkan kredibiliti parti ialah dengan memecat keahlian saya secepat mungkin," jelasnya.


Katanya lagi, kepimpinan PKR sepatutnya memandang serius adu­annya mengenai penyelewe­ngan pengiraan undi PKR Cabang Kuala Selangor yang beliau kemukakan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan kepimpinan PKR sebelum ini.

Bagaimanapun tambah beliau, aduannya itu dipandang sepi bukan hanya oleh JPP malah para pemimpin PKR tanpa adanya sebarang tindakan lanjut.

“Sebaliknya, saya pula yang dipecat daripada parti. Sepatutnya kepimpinan PKR memandang serius mengenai aduan saya sebelum ini dengan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya, bukannya memecat pihak yang membuat aduan," katanya.

Dalam pada itu, Arijan turut menyatakan beliau tidak akan membuat sebarang rayuan kepada Lembaga Disiplin PKR kerana berasa lebih selesa tidak lagi berada dalam parti yang dianggapnya bermasalah dan telah lari daripada matlamat penubuhannya.

“PKR ditubuhkan untuk memperjuangkan keadilan. Bagaimanapun, saya tidak lagi nampak PKR benar-benar memperjuangkan keadilan sama ada di peringkat parti mahupun para pemimpinnya ketika ini," ujarnya.

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr. Tan Kee Kwong menerusi laporan sebuah protal berita, www.freemalaysiatoday.com mengumumkan pemecatan Arijan daripada PKR.

Menurut Kee Kwong, keputusan itu telah dipersetujui Biro Politik PKR kerana mendapati Arijan membuat laporan terhadap parti kepada ROS pada 14 Julai untuk membatalkan pemilihan Cabang Kuala Selangor selain memberi kenyataan media yang disiarkan dalam Utusan Malaysia, Antarapos dan Sinar Harian.

Juragan Malawati..

Rabu, 23 Julai 2014

PKR pecat Arijan kerana lapor kepada ROS?


Parti Keadilan Rakyat (PKR) memecat seorang lagi ahlinya, Arijan Osman kerana tindakannya membuat laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada Isnin lalu bagi membatalkan pemilihan cabang Kuala Selangor.

Pemecatan ahli PKR Cabang Kuala Selangor itu dibuat oleh Lembaga Disiplin parti selepas perkara itu diputuskan secara sebulat suara dalam mesyuarat biro politik yang dipengerusikan oleh Naib Presiden, Tian Chua semalam.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr. Tan Kee Kwong kemudiannya mengumumkan pemecatan itu melalui satu kenyataan akhbar.

“Beliau telah didapati membuat laporan terhadap parti kepada ROS pada 14 Julai lalu untuk membatalkan pemilihan cabang Kuala Selangor dan memberi kenyataan media yang disiarkan dalam Utusan Malaysia, Antarapos dan Sinar Harian," kata Kee Kwong menerusi kenyataan akhbar itu.

Arijan bertindak berani apabila tampil mengemukakan aduan berhubung manipulasi proses pemilihan parti tersebut kepada ROS.

Aduan berkenaan berkaitan proses pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor pada 11 Mei lalu yang menyaksikan Menteri Besar Sela­ngor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tewas kepada bekas Ahli Parlimen Kapar, S. Manickavasagam dalam merebut jawatan ketua cabang.

Arijan yang mengemukakan aduan itu mendakwa berlaku penyelewengan ketika proses pemilihan cabang berkenaan dengan mengesyaki wujud penglibatan terdiri dalam kalangan petugas pemilihan.

Beliau mendakwa dua orang perempuan dengan membawa pensel dan pemadam dilihat memasuki bilik pengiraan undi di ibu pejabat PKR semasa proses pengiraan undi cabang Kuala Selangor, baru-baru ini.

Arijan turut mendakwa, bekalan elektrik terputus selama dua jam ketika proses pengiraan undi dibuat dan wakil-wakil calon telah dihalau ketika kejadian itu berlaku.

Juragan Malawati..

Selasa, 22 Julai 2014

Ahli PKR lapor Pendaftar Pertubuhan?

ARIJAN Osman menunjukkan salinan laporan mengenai manipulasi proses ketika pemilihanPKR Cabang Kuala Selangor di Pejabat ROS, Putrajaya, semalam.

Buat kali pertama seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak berani tampil ke Pendaftar Pertubuhan (ROS) di sini bagi mengemukakan aduan berhubung manipulasi proses pemilihan parti tersebut.

Aduan berkenaan berkaitan proses pemilihan Cabang PKR Kuala Selangor pada 11 Mei lalu yang menyaksikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tewas kepada bekas Ahli Parlimen Kapar, S. Manickavasagam dalam merebut jawatan Ketua Cabang.

Arijan Osman yang mengemukakan aduan itu mendakwa berlaku penyelewengan ketika proses pemilihan Cabang Kuala Selangor dengan mengesyaki wujud penglibatan terdiri dalam kalangan petugas pemilihan.

Arijan turut mendakwa, bekalan elektrik terputus selama dua jam ketika proses pengiraan undi dibuat dan wakil-wakil calon telah dihalau ketika kejadian itu berlaku.
"Pada waktu tersebut, kertas undi bertaburan di tempat pengiraan dan dipercayai telah diusik dan diganggu.

"Malah selepas tamat pengundian, wakil-wakil calon tidak dibenarkan menyaksikan dan mengira jumlah kertas undi dikeluarkan sebaliknya hanya dapat melihat peti undi dibungkus untuk dibawa ke ibu pejabat PKR untuk pengiraan," katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau turut mendakwa para petugas telah cop kertas undi terlebih dahulu sebelum menyemak butiran pengundi.

Ujarnya, tindakan itu boleh menyebabkan sesiapa sahaja boleh mengundi tanpa memastikan identiti sebenar pengundi sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam proses pengundian.

"Dakwaan yang saya sebutkan sebentar tadi merupakan antara isi aduan yang dikemukakan kepada ROS dan banyak lagi kes telah berlaku pada hari tersebut.

"Saya mempunyai bukti dan saksi untuk menyokong aduan ini dan bersedia membantu ROS bagi menjalankan siasatan," katanya.

Dalam pada itu, Arijan berkata, terdapat ramai ahli PKR yang ingin membuat aduan berhubung penyelewengan pemilihan cabang masing-masing namun tidak berani berbuat demikian kerana takut dikenakan tindakan disiplin.

Ujarnya, beliau berkemungkinan berpotensi dipecat kerana membuat kenyataan terbuka kepada media selain bakal menerima pelbagai tohmahan termasuk didakwa menerima sogokan wang.

"Kita telah minta Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR untuk menjalankan siasatan, namun mereka hanya menafikan sebelum siasatan dibuat," katanya.

Sementara itu, Arijan berkata, beliau mewakili ahli akar umbi Cabang Kuala Selangor menyatakan sokongan padu kepada Abdul Khalid untuk memegang jawatan Menteri Besar Selangor.

"Kita menyatakan sokongan kepada Abdul Khalid untuk terus memegang jawatan berkenaan sehingga penggalnya habis kerana prestasi kepimpinan beliau tidak boleh dinafikan melalui pelbagai perubahan termasuk usaha merakyatkan ekonomi negeri Selangor," jelasnya.

Juragan Malawati..

Isnin, 21 Julai 2014

Hentikan sikap tunjuk pandai?


Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad diminta berhenti bersikap 'tunjuk pandai' dalam soal agama kerana rakyat tahu kelayakan beliau untuk bercakap soal Islam.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, disebabkan kelayakan itulah setiap kali Khalid bercakap soal agama pasti kenyataannya menimbulkan pelbagai kontroversi.

"Khalid cukuplah. Kita pun tahu siapa dia dalam bidang agama," katanya mengulas kebiadapan wakil rakyat Pas itu sehingga mengundang kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ini berikutan tindakan Khalid yang mahu kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dihapuskan walaupun menyedari Sultan Sharafuddin adalah ketua agama Islam negeri Selangor.


Ahli Parlimen itu kemudian dilaporkan akur dengan kemurkaan Sultan Sharafuddin tetapi pada masa yang sama berkata, hanya bersedia memohon maaf jika dapat menghadap Sultan Selangor.

Mengenai tindakan Khalid meletakkan syarat untuk memohon maaf kepada sultan, beliau berkata, maruah wakil rakyat itu tidak hilang kalau mengakui kesalahan.

"Mempertikai kuasa MAIS ertinya mempertikai tuanku. Saya tidak fikir menjadi sesuatu yang menjatuhkan maruah kalau Khalid memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Sharafuddin," jelasnya.

Ditanya mengenai sikap Pas yang membisu dalam isu berkenaan walaupun pelbagai pihak tampil mendesak tindakan tegas diambil ke atas Khalid, Ahmad Zahid berkata, parti itu seharusnya menyatakan pendirian mereka.

"Saya fikir Pas pun tidak setuju dengan Khalid dan seelok-eloknya parti berkenaan menasihati wakil rakyat mereka itu supaya meminta maaf kepada Sultan Selangor secara terbuka tanpa syarat," katanya.

Juragan Malawati..

Ahad, 20 Julai 2014

Gagal laksana 'Langkah Kajang', Rafizi dicabar letak jawatan?


Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dicabar meletak jawatan ekoran gagal melaksanakan ‘Langkah Kajang’ yang menjadi punca perbalahan dan kemelut dalaman parti itu.

Ahli PKR Cabang Ba­ling, Zamani Mustafa berkata, ‘Langkah Kajang’ ilham Rafizi bersama Abdul Rahim Ghouse merupakan pengkhianatan terhadap parti apabila mencetuskan perbalahan dan pergaduhan antara pengikut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

“Saya melihat ‘Langkah Kajang’ merupakan strategi melingkupkan parti. Sekiranya dia (Rafizi) anak jantan, dia akan memohon maaf kepada semua ahli PKR dan melepaskan jawatannya dalam parti.

“Dia perlu ingat, langkah yang di­ciptanya itu turut menyebabkan huru-hara semasa pemilihan parti sehingga timbul insiden baling kerusi dan pergaduhan," katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, Rafizi dikritik hebat dari dalam dan luar parti berikutan ‘Langkah Kajang’ yang dikaitkan de­ngan usaha menjatuhkan Abdul Khalid, menjejaskan perpaduan PKR.

Dalam perkembangan sama, Za­mani turut mendesak Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk memecat Rafizi daripada jawatan Pengarah Strategi dan mengambil tindakan disiplin terhadapnya.

“Desakan itu perlu memandangkan strategi yang dicipta oleh Rafizi hanya menjahanamkan parti. Wan Azizah perlu memecat beliau," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mendesak agar kesemua aduan berkaitan pemilihan PKR 2014 didedahkan kepada ahli tanpa berselindung.

Juragan Malawati..