UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Isnin, 28 Jun 2010

Lagi spekulasi: Empat ADUN Selangor didakwa keluar ‘protes’ Khalid!

Meskipun Parti Keadilan Rakyat (PKR) selesai mengadakan sesi pemukiman dengan melakukan rombakan kecil di sebalik desas-desus wujudnya desakan mahu Tan Sri Khalid Ibrahim digugurkan, hari ini wujud spekulasi baru mendakwa empat ADUN parti itu akan keluar kerana beliau masih kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

Desas-desus baru ini mendakwa empat ADUN iaitu Haniza Mohd Talha dari kawasan Taman Medan, Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Amirudin Shari (Batu Caves) dan Suhaimi Shafie (Sri Muda) sudah memutuskan untuk meninggalkan PKR.

Khabar angin mendakwa keempat-empat mereka akan keluar PKR sebagai tanda protes pucuk kepimpinan memutuskan untuk mengekalkan Khalid sebagai menteri besar.
Khabar angin ini mula tersebar sejak pagi tadi.

Selain SMS, beberapa panggilan yang diterima The Malaysian Insider mendakwa keempat-empat wakil rakyat berkenaan mahu meletakkan jawatan kerana tidak berpuas hati Khalid, menteri besar penggal pertama, dikekalkan. SMS itu berbunyi “empat ADUN PKR Selangor dikhabarkan akan meletak jawatan kerana tidak bersetuju Khalid kekal sebagai MB.”

Nik Nazmi merupakan bekas setiausaha politik Khalid. Beliau digantikan oleh setiausaha politik Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkuat kuasa bulan depan. Amirudin memberitahu The Malaysian Insider, beliau dan rakan-rakannya menghormati keputusan pucuk kepimpinan untuk mengekalkan Khalid sebagai menteri besar.

“Tidak, tidak... sebelum saudara tanya saya jawab soal dulu, tidak. Setakat ini tiada apa-apa, kami kekal dengan PKR,” kata Amirudin sebaik sahaja dihubungi The Malaysian Insider.

“Semuanya sudah bersetuju, kami menghormati Azmin Ali dilantik sebagai Pengerusi PKR Selangor manakala Tan Sri Khalid kekal sebagai Menteri Besar Selangor... ini diumumkan pada pertemuan Majlis Pimpinan Pusat semalam dan semua terima” kata Amirudin sambil menambah, beliau dan Nik Nazmi makan malam tadi bersama dan tidak membincangkan apa-apa, kononnya “akan keluar PKR.”

“Saya tidak tahu mengapa secara tiba-tiba benda ini wujud balik,” kata Amirudin lagi.

Menerusi ruangan twitter, Nik Nazmi berkata: “saya baru terima panggilan daripada pemberita, bertanya sama ada saya salah seorang daripada empat ADUN berkenaan yang mahu meletakkan jawatan.” “Satu lagi penipuan besar,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaimi juga melahirkan pandangan yang sama dengan berkata tidak tahu-menahu apa-apa cerita sebenar.

“Ini kali kedua saya mendengar benda yang sama.

“Saya menafikan... perang saraf biasanya macam inilah,” kata beliau.

Di akhir sesi pemukiman dan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR petang semalam, Naib Presiden Azmin Ali dilantik sebagai Pengerusi Selangor manakala Datuk Zaid Ibrahim dilantik meneraju Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan.

Pelantikan itu berkuat kuasa petang semalam.

Wan Azizah ketika membuat kenyataan itu berkata pelantikan Azmin adalah bagi menggantikan Khalid yang juga Menteri Besar Selangor. “(Tindakan) ini setelah dipohon oleh Tan Sri yang mahu menumpukan tenaga beliau kepada pentadbiran negeri Selangor berkuat kuasa serta-merta,” katanya semalam.

Sebelum ini Azmin mengetuai PKR Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Khalid yang turut hadir pada sidang akhbar tersebut menafikan tindakannya berundur daripada mengetuai PKR Selangor disebabkan tekanan daripada pihak tertentu seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Khalid dan Azmin menjadi tumpuan selepas timbulnya desas-desus mengatakan wujud gerakan daripada sekumpulan puak di dalam PKR Selangor yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan menteri besar. Kumpulan itu juga dikatakan mahu mendesak Khalid agar melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Sumber : The Malaysian Insider

Juragan Malawati..

Ahad, 27 Jun 2010

Azmin sengaja letak jawatan Lembaga Pengarah PKNS!

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali didakwa sengaja meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kerana mahu menyembunyikan perancangan lain yang lebih besar.

Bekas Naib Ketua Pemuda Keadilan, Mohd. Zahid Md. Arip berkata, Azmin sebenarnya bukan meletak jawatan kerana mempertahankan prinsip dan juga menjaga kepentingan rakyat.''Kalau betul Azmin berbuat demikian untuk menegakkan prinsip dan kepentingan rakyat, maka saya cabar beliau untuk meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Gombak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Azmin yang mengesahkan telah meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS berkuat kuasa semalam. Jelas Mohd. Zahid, sebenarnya peletakan jawatan itu didorong oleh perasaan kecewa atas kegagalan merebut 'harta rampasan' dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Malah katanya, tindakan Azmin itu juga adalah cara halus yang digunakan untuk menggulingkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar. Mohd. Zahid berkata, peletakan jawatan itu juga direstui oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.''Azmin kini sebenarnya sedang menyusun strategi untuk menjadi Menteri Besar Selangor,'' katanya.

Sementara itu : MB hanya ada masa tiga bulan

Mohd. Zahid juga meramalkan yang pentadbiran MB Khalid Ibrahim akan tumbang dalam tempoh tiga bulan dari sekarang. Katanya momentum desakan meminta Khalid meletak jawatan sebenarnya timbul ketika Kongres PKR yang diadakan di Kota Bharu mei lalu. Malah katanya, dalam ucapan penggulungan Anwar pada Kongres PKR di Kelantan baru-baru ini, beliau juga seolah-olah cuba mengalih perhatian perwakilan untuk membelasah Abdul Khalid. Katanya, dalam ucapan itu Anwar secara terbuka menegur Abdul Khalid mengenai isu pengurusan pasir dan agihan kontrak yang diberikan kepada orang yang sama.

Beliau mendakwa parti PKR adalah milik '3A' ( Anwar, Azizah dan Azmin ) dan sesiapa yang 'memusuhi' ketiga-tiga individu ini bakal menghadapi perkara yang sama seperti yang dihadapi oleh oleh beberapa bekas pemimpin PKR sebelum ini.

" Saya percaya dalam masa tiga bulan ini Abdul Khalid akan tumbang dan Azmin Ali bakal menggantikan tempat beliau," katanya. Beliau turut mendakwa kewujudan pakatan 15 Ahli Parlimen ada kaitan secara langsung dengan Ahli Parlimen Gombak itu. " 15 Ahli Parlimen itu adalah di antara mereka yang berkongsi ' kekecewaan ' dengan Azmin kerana gagal berkongsi kekayaan yang terdapat di Selangor," dakwanya.

Dalam pada itu, Mohd. Zahid mendakwa peletakan jawatan Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor ( PKNS ) kerana didorong rasa kecewanya gagal merebut ' harta ' yang terdapat di Selangor selepas Pakatan Rakyat mentadbir negeri itu.

" Kita tahu beliau kecewa apabila Abdul Khalid tidak membantu dia dan rakan-rakannya dan disebabkan oleh itulah Azmin letak jawatan," katanya.

Juragan Malawati..

Jumaat, 25 Jun 2010

Azmin Bergaduh Dengan Othman Omar (PKNS)?

Naib presiden PKR Azmin Ali mengesahkan perletakkan jawatannya sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkuatkuasa semalam. Sungguhpun tiada sebab yang jelas mengenai perletakan jawatan tersebut, namun Azmin dikatakan berkonfrontasi dengan Khalid Ibrahim dan Othman Omar mengenai laporan blog ini isnin lalu bahawa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membelanjakan hampir setengah juta untuk iklan muka Pengurus Besarnya di TV3 semasa Hari raya Aidilfitri yang lalu.

Sungguhpun pendedahan ini bukan faktor besar namun ia menjadi kemuncak ketidakpuasan hati Naib Presiden PKR tersebut terhadap cara PKNS diurus tadbir sejak di bawah Othman Omar. Azmin yang sebelum ini banyak menghentam Khalid dalam sidang DUN sudah hilang sabar mengenai tindak tanduk Othman Omar.

Khalid Ibrahim dan Othman Omar bertindak seumpama raja di PKNS dengan membuat beberapa keputusan yang tidak dipersetujui oleh Lembaga Pengarah PKNS dan menyebabkan perbadanan tersebut bakal menghadapi krisis kewangan dalam sedikit masa lagi.

Azmin dikatakan tidak berpuas hati dengan gaji Othman Omar yang diluluskan oleh Khalid iaitu sebanyak RM 40, 000.00 sebulan sedangkan ia bertentangan dengan peraturan kewangan kerajaan. Sehingga kini khabarnya kelulusan tersebut belum dilaksanakan kerana pegawai PKNS tidak mahu terbabit dalam sesuatu keputusan yang menyalahi peraturan kewangan kerajaan. Sejak itu Othman membentuk pasukan pengurusan baru dari luar dan langsung tidak merujuk kepada Timbalan Pengurus Besar dan pihak pengursan lain.

Azmin dilaporkan pernah melenting dalam mesyuarat Lembaga Pengarah PKNS apabila beberapa cadangan pembelian tanah oleh PKNS sangat meragukan dan di bawa terus kepada Lembaga Pengarah tanpa perbincangan dengan pengurusan PKNS. Sejak itu, Azmin berpendapat terdapat penyelewengan dan salah tadbir dalam PKNS yang dilakukan oleh Othman Omar dengan restu Khalid Ibrahim.

Pengurusan dalaman PKNS juga tidak berpuas hati dengan Othman yang membawa beberapa orang luar dan dibayar gaji antara RM 11 - 18 ribu sebulan mengatasi gaji para pegawai kanan PKNS yang lain. Antara mereka ialah Pn Madihah (Senior Group Marketing Manager) bergaji RM 18 ribu, Hani (Senior PR/ RM 11 ribu), Rustam (Senior Marketing Mananger/RM 11 ribu), Mahinder Singh (Senior Marketing Mananger/RM 11 ribu) dan Patrick (Senior Business Mananger/RM 11 ribu).

Gaji bahagian pengurusan PKNS gred 54 pada masa ini tidak melebihi RM 10 ribu sebulan. Manakala Gaji ahli pengurusan JUSA C pula antara RM 12 - 14 ribu sebulan.

Selain itu, Azmin dikatakan tidak berpuas hati dengan projek Datum Jelatek yang mengenepikan kepentingan orang Melayu. PKNS juga akan mengalami masalah kewangan dalam sedikit masa apabila projek Datum Jelatek yang akan dibangunkan atas kawasan tapak flat kos rendah seluas 2.4 hektar milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak dapat dibangunkan seperti yang dirancangkan. Projek yang dikatakan bernilai RM1.2 bilion yang terletak bersebelahan stesen aliran transit ringan (LRT) Jelatek melibatkan kerjasama PKNS dengan anak syarikat milik penuhnya, Worldwide Holdings Bhd belum mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan untuk pembangunan tersebut. Terdapat juga penduduk sekitar yang mula membantah kerana dikhuatiri projek tersebut akan menyebabkan kesesakan yang lebih teruk lagi pada masa akan datang.

Sungguhpun pelan pembangunan Datum Jelatek belum diluluskan PKNS sudah melaksanakan proses pengambil alihan flat tersebut. Ini menimbulkan persoalan apa akan terjadi jika pelan pembangunannya tidak diluluskan? Othman Omar dan Khalid juga berpakat mengubah syarat pembelian hartanah PKNS sebelum ini yang meletakkan kuota 70% untuk bumiputera. Sekarang ini hanya 30% diperuntukkan kepada bumiputera. Ini turut menimbulkan ketidakpuasan hati Azmin.

Justeru apabila dimaklumkan mengenai isu iklan muka Othman mencecah hampir setengah juta Azmin tidak lagi dapat bersabar dan mengambil tindakan drastik meninggalkan PKNS sebelum imej beliau turut terpalit lumpur Othman Omar dan Khalid Ibrahim.

Note: Dipetik dari selangordaily.blogspot.com

Juragan Malawati..

Ahad, 20 Jun 2010

Baiah permainan politik parti pembangkang!

Keshvinder Singh ADUN Malim Nawar yang mengumumkan keluar daripada DAP menyebabkan terbongkar perjanjian ganti rugi RM5 juta jika wakil rakyat PKR melompat parti.

TIDAK berapa dahulu kita didedahkan mengenai bagaimana wujudnya amalan baiah cerai talak tiga dalam Pas bagi memastikan tidak ada wakil rakyatnya melompat parti. Pendedahan itu mengejutkan banyak pihak kerana sebagai sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam adalah tidak wajar baiah yang menuntut cerai taklik dilakukan.

Walaupun tidak semua wakil rakyat Pas melakukan baiah tersebut tetapi apa yang pasti ia diakui dilaksanakan. Malahan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan parti itu mempunyai rahsia tersendiri dalam menyekat wakil rakyatnya daripada melompat parti.

Hujah Abdul Hadi, rahsia tersebut ialah baiah yang merupakan akuan bersumpah di hadapan Allah SWT dan kepimpinan dalam parti ketika dilantik menjadi calon. ‘‘Perbezaan kekuatan Ahli Dewan Undangan Negeri Pas ialah baiah berjanji dengan Allah SWT jika kami menipu, khianat dan menyeleweng kami akan dilaknat oleh Allah SWT, oleh malaikat dan segala yang melaknat,’’ katanya.

Rupa-rupanya selain Pas, rakan baiknya, DAP juga akan mewujudkan perjanjian bagi menghalang wakil rakyatnya melompat parti. Jika Pas melibatkan sumpah, DAP Perak pula melibatkan soal kewangan apabila akan mensyaratkan setiap wakil rakyatnya membayar ganti rugi sebanyak RM5 juta jika bertindak keluar daripada parti itu.

Menurut Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, semua wakil rakyat DAP sebelum ini telah menandatangani perjanjian tersebut selepas Pilihan Raya Umum 2008, bagaimanapun ia tidak dikuatkuasakan. Persoalannya, apakah wajar Pas dan DAP mewujudkan baiah sedemikian hanya semata-mata untuk menghalang mereka kehilangan kerusi apabila wakil rakyatnya melompat parti?

Yang manakah lebih utama, terus berada di dalam parti tanpa melakukan apa-apa yang diamanahkan atau dijanjikan kepada rakyat atau keluar parti bagi membolehkan nasib rakyat dibela? Kalau dikaji, kesemua wakil rakyat pembangkang yang bertindak keluar parti adalah disebabkan mereka tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti dan merasakan tidak mampu melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dengan berkesan selagi berada dalam pembangkang.

Sebelum ini mereka bertindak menjadi calon kepada pembangkang kerana merasakan parti mereka akan menjadi lebih baik daripada Barisan Nasional (BN). Tetapi setelah memenangi kerusi dalam pilihan raya ternyata mereka mendapati kepimpinan parti mereka lebih banyak mahu berpolitiking dan mengabaikan harapan rakyat.

Oleh itu daripada terus dilihat mengkhianati amanah rakyat adalah lebih baik mereka mencari laluan supaya dapat melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan. Apakah hasrat seperti ini dilihat salah sehingga perlu ‘dihukum’ RM5 juta atau dianggap akan dilaknat akibat melompat parti?

Dalam Islam yang manakah lebih berdosa, terus menikmati segala keistimewaan sebagai wakil rakyat tanpa melakukan apa-apa untuk kesejahteraan rakyat serta bersekongkol dengan kepimpinan yang lemah atau keluar parti untuk demi memastikan nasib rakyat terbela?

Apa yang dilakukan oleh Pas dan DAP dalam soal baiah ini adalah jelas demi kepentingan dan survival politik mereka sahaja. Walaupun mereka tahu bahawa mereka tidak mampu memberikan peruntukan yang mencukupi bagi membolehkan wakil rakyat mereka menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan tetapi itu tidak penting.

Apa yang lebih mustahak bagi mereka ialah memiliki kerusi sama ada di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, soal wakil rakyat mereka membuat kerja untuk rakyat atau tidak, ia soal kedua. Lebih malang lagi, sebahagian pemimpin pembangkang tidak pula menganggap ia satu pengkhianatan atau dilaknat jika ada wakil rakyat BN ingin menyertai pembangkang.

Ada antara pemimpin utama mereka berhujah bahawa tindakan itu tidak salah dari sisi Islam kerana kononnya keluar dari perjuangan yang tidak baik bagi menyertai perjuangan yang baik.

Malahan ketika Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menguar-uarkan rancangan 16 September, hampir kesemua pemimpin pembangkang menyokongnya. Ketika itu semuanya ghairah untuk melihat pembangkang menguasai kerajaan pusat melalui pintu belakang.

Tetapi apabila rancangan itu gagal dan menyaksikan semakin ramai wakil rakyat pembangkang menjadi wakil rakyat bebas, maka keluarlah pelbagai hujah bagi mengutuk tindakan tersebut. Inilah permainan politik yang ada kepada pembangkang di negara kita sekarang. Apa sahaja yang menguntungkan mereka tidak apa tetapi kalau merugikan mereka tidak boleh.

Justeru adalah lebih baik jika pemimpin-pemimpin pembangkang berfikiran terbuka dalam soal melompat parti ini. Kita bukanlah menyokong perbuatan melompat parti tetapi dalam masa yang sama, kita juga tidak boleh membiarkan sahaja mana-mana wakil rakyat dituduh ‘makan gaji dan elaun buta’ .

Apabila rakyat mengundi seorang calon, mereka menaruh harapan bahawa wakil rakyat yang dipilih itu mampu membela nasib mereka. Tetapi apabila keadaan sebaliknya berlaku, sudah tentu wakil rakyat yang benar-benar ikhlas berjuang untuk rakyat tidak mahu duduk diam. Mereka menjadi wakil rakyat bukan semata-mata untuk mencari kuasa politik tetapi hendak berkhidmat untuk rakyat.

Bagi kepimpinan Pas dan DAP tidak apa kalau wakil rakyat mereka tidak buat kerja atau tidak menunaikan janji untuk rakyat yang penting jangan lompat parti. Ia kerana jika perbuatan itu dilakukan maka ia akan mengurangkan kuasa politik mereka. Ertinya, apa sahaja yang hendak dilakukan oleh parti pembangkang bukanlah semata-mata untuk rakyat tetapi segalanya melibatkan kuasa politik dan merebut kuasa.

Justeru daripada Pas dan DAP membuat baiah atau perjanjian yang bukan-bukan adalah lebih baik mereka memperbaiki kelemahan yang ada pada mereka.

Zulkifli Bakar

Juragan Malawati..

Selasa, 15 Jun 2010

Anwar dicabar kemuka bukti!

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mengemukakan bukti bahawa beliau menerima rumah dan kereta baru daripada pihak tertentu sebagai ganjaran keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Zahrain yang merupakan salah seorang ahli Parlimen dari Konsensus Bebas berkata, Anwar tidak perlu berlengah-lengah lagi untuk mengemukakan bukti terhadap segala dakwaannya itu. “Beliau tidak perlu terus ‘bermain wayang’ dengan membuat tuduhan demi tuduhan tanpa ada bukti. Ini semua sudah jadi politik kebudak-budakkan saja,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah tiga ahli Konsensus Bebas iaitu Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri.

Zahrain mengulas kenyataan Anwar dalam sidang Dewan Rakyat hari ini bahawa beliau dan ahli Parlimen Bebas lain menerima ganjaran tersebut sebagai syarat mereka keluar parti pembangkang. Beliau berkata, Konsensus Bebas yang dianggotai wakil rakyat Bebas itu menganggap semua dakwaan Anwar itu sebagai pembohongan dan dusta semata-mata.

“Jika tidak ada bukti tolong diam. Hentikan segala tuduhan itu dan bersikaplah seperti seorang Ketua Pembangkang,” katanya. Terdahulu sewaktu mencelah dalam perbahasan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) oleh Anwar, Zahrain mencabar Ahli Parlimen Permatang Pauh itu supaya mengemukakan bukti berhubung tuduhan ‘pembelian’ ahli Parlimen PKR.

Zahrain turut menggunakan peluang itu untuk mendesak Anwar mengemukakan bukti-bukti berhubung dakwaan pembentukan kerajaan 16 September yang pernah dijaja Ketua Pembangkang itu.

Anwar bagaimanapun enggan mengemukakan bukti yang diminta sebaliknya menyindir Zahrain dengan berkata: “Tahniah, kereta baru, rumah elok. Semua orang tahu, satu Pulau Pinang tahu.

“Saya buat ucapan di luar tentang orang yang ambil wang ini, saya dah sebut di luar. Saya akan keluarkan kenyataan mengenai orang perantaraan yang sediakan berjuta ringgit pada ketikanya nanti.’’ - UM.

Juragan Malawati..

Sabtu, 12 Jun 2010

Cauvinisme zaman kolonial!

GAGASAN 1Malaysia ingin menyatukan rakyat sebagai orang Malaysia. Namun dasar-dasar pembinaan bandar Kuala Lumpur jelas membina kembali zaman kolonial dan meneguhkan cauvinisme asing. Hanya di zaman kolonial sahaja, orang bermigrasi sebagai buruh dan tinggal di kawasan kecil sendiri, lalu membina China town, little India ataupun enclave (kawasan terkepung) asing.

Malaysia sudah berdekad mengintegrasi dengan pendatang asing untuk menjadi rakyatnya. Dengan peruntukan undang-undang kerakyatan sejak 1948, semua pendatang telah diintegrasi menjadi rakyat Tanah Melayu, dan kemudian Malaysia. Keturunan mereka terus menjadi rakyat dengan sebab perjalanan undang-undang. Tidak harus ada lagi rujukan orang yang dinamakan 'orang India' atau 'orang Cina', jika berlandaskan integrasi melalui perundangan kerakyatan itu.

Justeru, adalah sesuatu yang anakronistik dan ketinggalan zaman untuk membina little India di abad 21 ini. Lebih anakronistik lagi adalah kerana sudah beratus little India wujud sejak lebih 150 tahun kehadiran Inggeris sebagai penaung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Di semua bandar di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, terdapat enclave little India dengan 'jalan India' di banyak bandar. Di Kuala Lumpur sendiri, bukan hanya Brickfield sudah lama menjadi tumpuan pedagang India, bahkan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Masjid India, Lebuh Ampang, Jalan Ipoh dan hampir seluruh Sentul serta Batu Caves.

Kehadiran pelbagai little India di Kuala Lumpur itu belum lagi mengira kewujudan mereka di bandar Klang, Pelabuhan Klang dan semua bandar besar di Tanah Melayu dari Johor Bahru, Melaka, Seremban, Ipoh, Taiping, Georgetown dan Alor Setar serta Kuching, Kota Kinabalu dan Sandakan.

Jadi, amat mengecewakan pada zaman 1Malaysia ini, kita terus membina budaya asing dan enclave asing yang hanya dapat meneguh dan memperkasa cauvinisme budaya asing. Apakala sebuah kawasan atau territory didiami dan dianggap sebagai wilayah 'asing', sekali gus kita membina dua hal yang amat buruk iaitu membataskan interaksi antara kaum dengan penumpuan satu etnik dan budaya dalam satu kawasan, dan peneguhan sikap cauvinisme dalam sikap 'milik' itu termasuk sikap in-group dan out-group mereka yang terlibat. Keadaan ini tidak membantu untuk membangun 'penerimaan' dalam konteks 1Malaysia.

Dasar itu adalah amat 'jahil' dan anakronistik dalam zaman di mana kita disuruh 'menerima' antara satu sama lain dan bukan sekadar 'toleransi'. Penerimaan tidak dapat berlaku jika ada kelompok yang terus meneguhkan jati diri 'asing' yang amat mengasingkan dan tidak bergerak ke arah integrasi melalui interaksi, komunikasi serta membina hubungan erat dan intim dengan orang lain.

Enclave kelompok khusus pasti membina sikap in-group dan keterasingan. Hal itu tidak sekali akan maju dan bergerak ke arah integrasi atau pergaulan yang erat. Selama fenomena ini digalakkan dan disokong dengan rasmi, maka ia akan hanya memunculkan fragmentasi masyarakat dan perpecahan bangsa melalui 'kebanggaan' kelompok atau etnosentrism. Selama itulah juga, ia akan mengekalkan sikap prasangka atau prejudis orang luar kelompok terhadap kawasan itu. Inilah natijah yang selamanya mahu dielakkan.

Keadaan ini sudah berlaku di Brickfield sendiri apakala sekumpulan lelaki yang menentang tindakan polis melarang mereka melakukan kegiatan haram. Di semua kawasan yang didominasi oleh sebuah kelompok sahaja seperti ini, maka ia akan hanya melayan nafsu dan keperluan anggota kelompok sama sendiri dengan sedikit sekali kehadiran atau kedatangan orang lain untuk memecahkan cauvinisme mereka.

Bahawa alasan untuk membina little India atau lebih tepat little Madras sebagai penggalak pelancongan adalah satu alasan yang amat serong. Adalah amat bodoh untuk menghujahkan bahawa orang India akan datang untuk melihat little Madras di Kuala Lumpur, pada hal negara India atau Madras itu sendiri beratus kali ganda hebatnya daripada Brickfields.

Malah hujah untuk membina tarikan pelancong melalui enclave India adalah alasan sama sekali terpesong jauh daripada cita-cita perpaduan dan integrasi rakyat Malaysia. Di Jalan Bukit Bintang, telah muncul barisan restoran Asia Barat. Namun itu bukan bandar Arab, hanya sekadar memberi kemudahan makanan kepada pelancong mereka.

Jadi, apa yang harus berlaku ialah membuka semua bandar kepada kehadiran semua golongan masyarakat terutama kedatangan Bumiputera yang selama ini terasing dan terbiar di perkampungan mereka di luar bandar, hulu dan pedalaman, dan bukan membina pusat budaya asing yang akan hanya menyebabkan alienasi kaum.

Masalah utama bandar adalah fenomena ketidakseimbangan kependudukan daripada pelbagai kaum, terutama kelompok Bumiputera. Bandar masih merupakan lanjutan zaman kolonial, dengan dominasi dan hegemoni asing dari bukan Melayu. Keadaan ini mesti dipecahkan. Hal ini mempunyai implikasi serta natijah pembangunan, kemajuan dan perpaduan serta integrasi bangsa yang amat parah dan buruk.

Oleh kerana kekurangan kawasan yang didiami oleh Bumiputera di tengah-tengah bandar, maka mereka terpaksa berada di tengah kawasan 'asing' apakala bermigrasi ke bandar. Akibatnya, mereka terpaksa mengalami anomie dan alienasi serta terpinggir di bandar. Mereka menjadi penghuni setinggan. Atau, kini penghuni perumahan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Kes sekumpulan belia dari Sabah yang terkandas kerana ingin mencari rezeki dan nasib di Kuala Lumpur adalah contoh yang amat jelas dan pahit akan nasib Bumiputera yang bermigrasi ke bandar kosmopolitan Kuala Lumpur yang didominasi oleh orang Cina dan orang India. Ini adalah gambaran masa depan nasib keterasingan dan penindasan Bumiputera di kota-kota besar di Malaysia.

Lebih daripada hal di atas adalah implikasi politik yang amat runcing dan buruk. Dominasi kaum Cina dan India di bandar serta usaha parti politik tertentu untuk meneguhkan kekuasaan mereka di bandar akan membawa padah yang amat kejam pada masa hadapan.

Jika kita sayangkan negara dan mahu mencapai cita-cita persatuan melalui gagasan 1Malaysia, ketepikan pembinaan dasar pembangunan bandar seperti little India.

Prof. Datuk Dr. Zainal Kling ialah Ahli Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena). Kini beliau bertugas di Jabatan Pengajian Malaysia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Juragan Malawati..

Khamis, 10 Jun 2010

Sultan Johor Murka : Tarik Semula Gelaran Datuk Chua Jui Meng!

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Datuk Chua Jui Meng telah diarahkan memulangkan dua darjah kebesaran negeri Johor yang masing-masing membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri. Chua yang juga bekas menteri kesihatan mengesahkan bahawa beliau telah dihubungi setiausaha Istana Johor, Datuk Rahim Ramli supaya memulangkah darjah kebesaran itu hari ini.

Dua darjah kebesaran yang ditarik balik itu ialah "Dato Paduka Makhota Johor" dan "Dato Seri Makhota Johor". "(Abdul Rahim) beritahu saya bahawa dua gelaran datuk saya telah ditarik balik," kata Chua kepada Malaysiakini hari ini.

Chua sebelum ini menerima anugerah tersebut daripada Almarhum sultan Johor, Tuanku Mahmud Iskandar. Anugerah berkenaan membawa gelaran 'Dato Paduka Makhota Johor' dan juga 'Seri Paduka Mahkota Johor". Chua juga berkata Abdul Rahim enggan memberitahunya sebab di sebalik pelucutan gelaran tersebut kerana istana tidak diwajibkan mendedahkannya.

Chua yang juga bekas ahli parlimen Bakri selama penggal merupakan naib presiden MCA sebelum meninggalkan parti itu pada 2008 apabila gagal merebut jawatan presiden. Beliau mengganggotai PKR pada 2009.

Masih bergelar 'Datuk'.

Chua bagaimanapun masih mengekalkan gelaran Datuk memandangkan beliau menerima dua lagi darjah kebesaran daripada Pahang dan Selangor, masing-masing pada tahun 2002 dan 2003 yang membawa gelaran tersebut.

Tindakan ke atas Chua itu pada mulanya diura-urakan oleh timbalan presiden PKR Senator Syed Husin Ali yang menyebarkannya melalui lawan sosial Twitter beberapa hari lalu. Chua yang enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu sekadar berkata, beliau akan mengeluarkan satu kenyataan selepas menerima surat rasmi daripada Istana Johor.

Diharap negeri-negeri lain juga dapat mengikut jejak baginda Sultan Johor manarik semula semua gelaran yang sudah diberikan kepada mana-mana individu yang sudah tidak memberi sumbangan kepada masyarakat terutamanya mereka yang sudah menjadi pengkhianat kepada bangsa dan negara!!!

Anwar Dajal & Mohd Nizar Lambai bila pulak?

Juragan Malawati..

Selasa, 8 Jun 2010

Bendera Israel berkibar di Malaysia?

KAPAL Zim USA yang didaftarkan di Israel ini kali terakhir memasuki Pelabuhan Klang pada 20 Jun.

BENAR seperti kata negarawan ulung, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kita mudah lupa. Ingat lagi semasa Gaza diserang bertalu-talu, seluruh rakyat Malaysia, terutamanya orang Islam bagai nak gila. Demonstrasi sana-sini. Minta diboikot itu dan ini, barangan yang dikeluarkan oleh Yahudi dan yang diasaskan dari Israel.

Lepas sebulan serangan ke atas Gaza tamat, pemikiran kita mula lembam, enam bulan selepas itu sedikit demi sedikit mula lupa dan selepas setahun terus lupa. Kempen-kempen boikot dan amarah kita sudah hilang sehinggalah seminggu ini. Sejak minggu lalu kita bangkit semula. Solat hajat diadakan semula di sana-sini. Televisyen dan akhbar-akhbar penuh dengan berita dan komentari (termasuklah Cuit ini hari ini) mengenai kisah Israel, Yahudi dan kekejamannya.

Jika Israel tahu mengenai sindrom mudah lupa kita, sudah pasti mereka akan ketawa terbahak-bahak. Tapi bangsa Yahudi ini bijak, mereka memang tahu tabiat kita, terutamanya umat Islam dan orang Melayu kita ini. Kita ini hanya akan melompat ikut musim. Itu pasal Israel suka menyerang ikut musim. Ada musim-musim tertentu mereka akan bertindak dan sekali gus dunia (terutamanya dunia Islam) akan melompat. Kemudian senyap.

Tujuan mereka ialah supaya semua orang ingat akan (kewujudan) negara Israel itu. Dari segi dasar kerajaan, Malaysia memang konsisten. Kita adalah antara segelintir negara Islam dan di dunia yang tidak menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel. Langkah kerajaan itu amat kita sanjung. Kita berharap selagi ada negara Yahudi haram itu, kita tidak akan mengiktiraf kewujudannya sampai bila-bila.

Begitu juga hubungan dagangan dengan negara itu. Secara automatik hubungan itu tidak berlaku, kerana kita tiada hubungan diplomatik. Mengikut undang-undang antarabangsa, Israel tidak boleh juga menahan rakyat kita kerana kita tiada hubungan yang sah dengannya. Dalam kes yang berlaku ke atas kapal misi kemanusiaan ke Gaza itu, rakyat Malaysia ditahan di laut antarabangsa - bukan dalam kawasan perairannya, itu lagi salah.

Namun, walaupun kita tidak mempunyai hubungan itu, difahamkan ada juga barangan dari negara rejim Yahudi ini memasuki negara ini. Mungkin bukan terus, tapi dari negara ketiga.
Tapi benarkah kapal Israel dibenarkan memasuki ke pelabuhan kita dan melakukan perdagangan dengan negara ini secara terus?

Benarkah itu berlaku? Apakan kerajaan sedar ia berlaku?

Melalui maklumat seorang sahabat yang terlibat secara terus dalam bidang perkapalan, saya melakukan siasatan. Satu maklumat kepada saya kemudiannya mendedahkan senario bagaimana halusnya rejim itu menjalinkan hubungan dagang dengan kita.

Kita jangan cakap perkakasan yang canggih dan besar-besar yang dihantar untuk kegunaan kita di sini dari negara ketiga. Kita cuma bercakap mengenai soal buah epal dan buah oren yang dihantar oleh kapal mereka ke pelabuhan kita. Rakan yang mendedahkan maklumat itu geram kerana kapal kemanusiaan kita dihalau dan diserang, sebaliknya kapal Israel sewenang-wenangnya berlayar dan berdagang di negara ini! Bolehkah pula kapal MISC kita memasuki Pelabuhan Haifa di Israel? Jawapannya, tidak.

Begini bunyi maklumat itu (yang diterjemah dalam bahasa Melayu):

Zim Israel Navigation Company ialah syarikat perkapalan milik Israel. Statusnya lebih kurang macam MISC, syarikat perkapalan nasional kita.

Maklumat mengenai syarikat perkapalan Zim boleh dilayari melalui www.zim.co.il. Di bawah tajuk sejarah, ditulis: Bermula dengan permulaan bersejarah pada 1945 sebagai kapal pengangkut imigran (kaum pendatang) dari wilayah berperang Eropah ke negara harapan bernama Israel, ZIM kini menjadi salah sebuah syarikat perkapalan terbesar yang beroperasi di seluruh dunia. (From historic beginnings in 1945 as a carrier of immigrants from war-torn Europe to the nascent state of Israel, ZIM has become one of the world‘s largest shipping companies with operations throughout the world.)

Kelmarin (7 Jun kapalnya bernama Zim Genova) berlabuh di Pelabuhan Klang membawa kargo-kargo yang besar.

Secara puratanya kapal itu panjangnya kira-kira 253 meter, lebar 32 meter dan boleh membawa muatan sebanyak 4,000 Teu atau bersamaan 4,000 buah kontena 20 kaki. Ia berlayar keluar dari pelabuhan itu kira-kira pukul 7 pagi semalam (8 Jun).

Selain Zim Genova, kapal-kapal Zim lain yang berulang-alik ke Pelabuhan Klang ialah Zim USA (didaftarkan di Israel), Zim Kingston, Zim Monaco (pelabuhan terakhir: Pelabuhan Klang enam hari lalu), Zim Dalian dan Zim Lovorno (yang kesemuanya didaftarkan di beberapa buah negara lain).

Zim USA, misalnya kali terakhir memasuki Pelabuhan Klang ialah sekitar 20 Mei lalu, kira-kira tengah hari (Sila layari http://www.marinetraffic.com/ais/shipdetails.aspx?mmsi=428000109).

Di serombong asapnya (funnel) terpampang bendera Israel – tujuh bintang yang dengan megahkan berlabuh di pelabuhan kita!

Kebanyakan pegawai kapal-kapal itu terdiri daripada rakyat Israel.

Satu lagi e-mel yang diterima berbunyi:

Zim Israel Navigation Company atau Zim Lines juga mempunyai anak syarikat penuhnya iaitu Gold Star Line. Nama kapal-kapalnya ialah: New Asia Middle East Express, China Vietnam Express, East Mediteranean Express, Far East Africa Express dan Chittagong Malaysia Express.
Gold Star Line ini berpangkalan di Hong Kong. Di negara Islam seperti Pakistan, Bangladesh, Indonesia - Zim beroperasi di bawah nama Gold Star Line.

Menurut sumber itu, ada antara kargo dari kapal Zim dikatakan melalui proses pelabelan semula (relabelling) di Singapura sebelum memasuki Malaysia. Difahamkan antara kargo yang dibawa masuk ke Malaysia ialah buah oren dan epal di bawah nama HIFA.

E-mel itu menulis lagi: Sekiranya kita tiada hubungan dua hala dengan Israel, mengapa dibenarkan kapal-kapal mereka memasuki perairan kita? Mengapa berdagang dengan mereka? Apa yang berlaku ini?

Saya tidak boleh jawab soalan itu. Saya hanya boleh tulis dan sampaikan. Jika betul, kita minta -- Kementerian Pengangkutan, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) serta pengendali pelabuhan yang diswastakan iaitu Pelabuhan Barat (West Port) dan Pelabuhan Utara (North Port) - sila jawab, jika salah sila jelaskan.

Oleh : Zaini Hassan

Juragan Malawati..

Sabtu, 5 Jun 2010

DAULAT TUANKU


MERAFAK SEMBAH

SETINGGI-TINGGI TAHNIAH


SEMUGA ALLAH LANJUTKAN USIA TUANKU


SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG

AL-WATHIQU BILLAH TUANKU MIZAN ZAINAL ABIDIN IBNI

AL-MARHUM SULTAN MAHMUD AL-MUKTAFI BILLAH SHAH


SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN

HARI KEPUTERAAN RASMI BAGINDA

PADA 5 JUN 2010 BERSAMAAN 22 JAMADILAKHIR 1431H


SEMBAH TAKZIM DARIPADA


KETUA UMNO DAN AJK-AJK BAHAGIAN SERTA

SEMUA AHLI-AHLI UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

SELANGOR DARUL EHSAN