UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Sabtu, 11 Januari 2014

Serbuan JAIS: Kit Siang jangan cuba berlagak pandai?


Lim Kit Siang digelar sebagai keldai tua kerana tidak memahami Perlembagaan Persekutuan apabila mengkritik tindakan UMNO mempertahankan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas premis Persatuan Bible Malaysia di Petaling Jaya, Khamis lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, Penasihat DAP itu cuba berlagak pandai walhal dia tidak mampu membezakan bidang kuasa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Menurutnya, Kit Siang sebagai Ahli Parlimen veteran dilihat cuba menangguk di air keruh apabila membuat tuduhan melulu itu.

"Isu JAIS membuat serbuan ke atas premis terbabit biarlah pihak berkuasa agama negeri ini yang selesaikan.

"Kita ada Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988, fatwa penggunaan kalimah Allah yang diwartakan pada 27 Januari 2010 dan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahukan rakyat negeri ini akur kepada larangan penggunaan Allah oleh bukan Islam," katanya.

Noh berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Selangor di sini hari ini.

Dalam kenyataannya semalam, Kit Siang mengkritik UMNO Selangor kerana menyokong tindakan JAIS merampas 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan Iban mengandungi kalimah Allah dalam serbuan berkenaan.

Noh menegaskan, jika Kit Siang mahu mempersoalkan tindakan JAIS, Ahli Parlimen Gelang Patah itu sepatutnya berbuat demikian di negeri lain.

Jelasnya, undang-undang kerajaan negeri Selangor tidak sama dengan undang-undang kerajaan negeri-negeri lain.

"Di Selangor khususnya, ada enakmen mengawal pengembangan agama selain Islam. Jika Kit Siang hendak bercakap soal Perkara 11, pergilah ke Pulau Pinang, Sabah, Sarawak atau Wilayah Persekutuan yang tiada peruntukan sedemikian," ujarnya.

Juragan Malawati..

Sabtu, 4 Januari 2014

Kalimah Allah: Umno Selangor larang ahli, NGO Islam adakan himpunan di gereja esok?


Umno Selangor melarang mana-mana ahlinya serta meminta badan bukan kerajaan (NGO) berasaskan Islam di negeri itu supaya tidak meneruskan rancangan mengadakan himpunan bagi membantah penggunaan kalimah Allah di hadapan gereja, esok.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar, berkata langkah itu bagi mengelak salah tafsir dalam kalangan rakyat berhubung isu berkenaan selain memastikan keharmonian kebebasan beragama di Selangor terus terpelihara.

"Dalam kita memperjuangkan isu kalimah Allah, kita minta jangan adakan himpunan ataupun bantahan di depan gereja sebab ia boleh menggugat keharmonian kebebasan beragama di Selangor," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Umno, di sini hari ini.

Sebelum ini beberapa cawangan Umno dan NGO Islam di negeri itu merancang untuk mengadakan perhimpunan di hadapan gereja-gereja di negeri itu esok sebagai membantah kenyataan Pengarang Mingguan The Herald, Paderi Lawrence Andrew berhubung penggunaan kalimah 'Allah'.


Pada 27 Disember lepas, Lawrence menerusi 'The Malaysian Insider' berkata gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan Bahasa Malaysia walaupun Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menghantar notis peringatan mengenai larangan penggunaan kalimah itu oleh bukan Islam.

Perhimpunan itu juga bertujuan mendesak paderi itu menarik balik kenyataannya dan meminta maaf secara terbuka kepada umat Islam setelah turut disifatkan biadab dan berunsur penderhakaan kepada Sultan Selangor.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini menitahkan semua rakyat, khasnya di Selangor, tanpa mengira kaum dan latar belakang agar akur dan patuh terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam seperti yang tertakluk mengikut peruntukan Seksyen 9, Bahagian 1, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Dalam pada itu, Noh berkata Umno Selangor menyokong penuh tindakan Jais merampas lebih 300 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang mengandungi kalimah 'Allah' dalam serbuan di premis Persatuan Bible Malaysia di Jalan Gasing, Petaling Jaya Khamis lepas.

Kehangatan berhubung isu kalimah 'Allah' turut mendorong 50 wakil dua NGO mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan sebuah pangsapuri di Klang Jaya hari ini.

NGO yang diwakili Gerakan Belia 4B Kota Raja dan Persatuan Penduduk Pangsapuri Klang Jaya itu menuntut paderi berkenaan menerima keputusan mahkamah berhubung penggunaan kalimah 'Allah' selain meminta Jais menangani isu itu segera sebelum keadaan menjadi bertambah keruh. - BERNAMA

Juragan Malawati..