UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Ahad, 26 Ogos 2012

Pas lebih utamakan Putrajaya dari hudud?


Kenyataan Abdul Hadi semalam bahawa Pas tidak perlu mentarbiyahkan Karpal mengenai hukum hudud sudah menampakkan dengan jelas ketidakberanian Pas mempertahankan perjuangan Islamnya.

Apabila Pas membuat keputusan menjalinkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam pakatan pembangkang ramai tertanya-tanya, apakah Pas membuat tindakan yang betul.

Ia memandangkan Pas yang ditubuhkan oleh sekumpulan ulama mempunyai misi bagi melaksanakan pemerintahan Islam dan memperjuangkan hukum hudud.

Tetapi sejak pilihan raya umum lalu, apabila Pas berjaya menawan Kedah dan mempertahankan kekuasaan di Kelantan serta membantu PKR dan DAP memerintah Pulau Pinang dan Selangor, kita jarang mendengar Pas bercakap soal hukum hudud.

Keadaan itu berlaku kerana atas hasrat menjaga hubungan dengan kedua-dua parti berkenaan, Pas dengan rela hati mengorbankan perjuangan negara Islam dan hukum hududnya.

Apa yang lebih banyak kita dengar sebelum ini ialah keterujaan Pas untuk bersama-sama PKR dan DAP menumbangkan Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan mereka menguasai Putrajaya.

Sebab itulah dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, Pas menghasilkan manifesto bertemakan ‘Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih - Menuju Negara Berkebajikan’. Ia sekali gus bermakna secara rasmi Pas sudah meninggalkan perjuangan negara Islam dan hukum hudud demi meraih sokongan politik.

Justeru bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat acuh tidak acuh dalam isu penentangan oleh DAP melalui Pengerusinya, Karpal Singh berhubung hukum hudud.

Sebaliknya, Abdul Hadi pada sidang akhbar selepas mesyuarat Lujnah Politik Pas lebih selesa mahu terus menjaga kepentingan politik Pas apabila menganggap penentangan Karpal adalah perkara biasa dan menuding jari mempersalahkan UMNO berikutan kemelut yang berlaku.

Biar pun Abdul Hadi dalam kenyataannya menegaskan bahawa hukum hudud akan dilaksanakan mengikut lunas-lunas demokrasi namun ia boleh dianggap satu jawapan ibarat lepas batuk di tangga sahaja.

Ternyata Pas tidak mahu isu hukum hudud menggugat hubungannya dengan dua parti kesayangan mereka iaitu PKR dan DAP.

Tidak kisahlah kalau Pas terus diperkotak-katikkan atau dilihat dibuli dalam pakatan pembangkang yang pasti Pas sanggup menempuh itu semua semata-mata tidak mahu dipinggirkan oleh kedua-dua parti itu dalam memburu kuasa.

Kenyataan

Berdasarkan kepada kenyataan Abdul Hadi dan Pas yang ternyata tiada langsung menunjukkan keseriusan parti itu memperjuangkan hukum hudud maka tidak perlulah pemimpin dan penyokong tegar Pas di peringkat akar umbi bermuram durja kerana terbukti kini Pas bukan lagi memperjuangkan Islam.

Harapan untuk mereka melihat pemimpin atasan bermati-matian mempertahankan perjuangan Islam dan hukum hudud serta berani menyanggah penentangan DAP hanyalah satu mimpi indah yang tidak kesampaian.

Ternyata sekali lagi, hukum hudud hanyalah mainan politik Pas menjelang pilihan raya, kalau benar mereka serius memperjuangkan perkara berkenaan sudah pasti mereka akan senada dengan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.

Namun malangnya ketegasan Nasharudin mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan Pas serta membela maruah parti itu dianggap suara ‘pemimpin yang sudah ditolak oleh akar umbi’.

Demikianlah hebatnya Pas mempertahankan kerjasama dengan PKR dan DAP sehinggakan mana-mana juga pemimpinnya yang dilihat tidak mahu menjaga hubungan berkenaan akan dipinggirkan.

Mungkin atas alasan itulah pimpinan Pas menyerahkan kepada Majlis Syura Ulama menentukan tindakan ke atas Nasharudin, ini sekali gus memberi gambaran bahawa Ahli Parlimen Bachok itu sememangnya bersalah pada kaca mata Pas kerana membuat kenyataan meminta parti itu mengkaji kedudukannya dalam pakatan pembangkang.

Nasharudin adalah pemimpin kedua dalam Pas yang mungkin akan disingkirkan selepas Datuk Dr.Hasan Ali dipecat daripada Pas kerana dilihat tidak senada dengan parti itu dalam memberi sokongan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Soal sama ada mereka mempertahankan maruah atau martabat Pas, Islam mahupun dasar parti bukanlah perhitungan utama sebaliknya semua pemimpin Pas perlu akur untuk terus ‘berpeluk’ dengan pemimpin PKR dan DAP, biar pun Pas diperkotak-katikkan serta menjadi ‘pak turut.

Semua itu tidak penting bagi kepimpinan Pas kerana apa lebih utama memburu kuasa politik, Pas mungkin sudah bosan hanya memerintah satu dua negeri, Pas ingin menjadi pemerintah pusat selepas 66 tahun berjuang dalam arena politik negara.

Justeru yang mana boleh dikorbankan hatta prinsip perjuangan sendiri pun maka ia harus dikorbankan asalkan Pas boleh berada ‘sekapal’ dengan PKR dan DAP menuju ke Putrajaya.

Sikap

Sikap terbaru Pas ini yang tidak bersungguh-sungguh mempertahankan perjuangan Islam dan hukum hudud perlu menyedarkan penyokong mereka di peringkat akar umbi bahawa suara mereka tidak penting bagi pimpinan atasan.

Tambahan pula, Pas kini sudah kehilangan keyakinan diri sebagai sebuah parti yang hebat dan pemimpin mereka lebih takut dengan desakan pemimpin-pemimpin PKR dan DAP berbanding penyokong sendiri.

Atas sebab itulah Pas dilihat lebih rela menghukum pemimpin sendiri yang berjuang atas prinsip mempertahankan maruah parti daripada melukakan hati pemimpin PKR dan DAP.

Pas memahami biar pun perjuangan Islam dan menegakkan hukum hudud seharusnya menjadi keutamaan namun kegelojohan untuk menumbangkan BN dan UMNO telah menutupi hasrat berkenaan.

Apatah lagi Pas tahu kalau mereka ingin terus kekal dalam pakatan pembangkang, mereka perlu melupakan hukum hudud kerana parti itu tidak akan disokong oleh mana-mana pemimpin-pemimpin PKR atau DAP.

Ia jelas apabila Anwar sendiri konsisten menolak hukum hudud Pas atas alasan ia tidak ada dalam kesepakatan pembangkang melalui penghasilan Buku Jingga.

Semua orang tahu, dalam pakatan PKR dan DAP mempunyai hubungan yang jauh lebih akrab berbanding hubungan mereka dengan Pas. Malahan mereka tidak pernah berasa gentar dengan ancaman politik Pas sebab mereka tahu Pas hanya ‘pak turut’ dan tidak memiliki kekuatan bagi membangkang kehendak mereka.

Berdasarkan kepada keadaan itulah PKR dan DAP tidak perlu bersusah payah mewujudkan forum bagi menyelesaikan perbalahan antara Karpal dan Nasharudin.

Tidak payah DAP hendak meminta Penasihatnya, Lim Kit Siang atau Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng bersuara, cukuplah Karpal seorang berhadapan dengan pemimpin-pemimpin Pas.

Pemimpin-pemimpin PKR dan DAP memahami sikap konsisten Karpal dalam isu hukum hudud sudah cukup ampuh bagi berhadapan dengan mana-mana pemimpin Pas.

Kenyataan Abdul Hadi semalam bahawa Pas tidak perlu mentarbiyahkan Karpal mengenai hukum hudud sudah menampakkan dengan jelas ketidakberanian Pas mempertahankan perjuangan Islamnya.

Mereka tidak ada kekuatan untuk berhadapan dengan pakar undang-undang seperti Karpal sebab pelaksanaan hukum hudud yang dicanangkan oleh Pas bukannya mahu dilakukan secara bersungguh-sungguh tetapi sekadar mencari modal politik menjelang pilihan raya sahaja.

Kalau mereka yakin bahawa pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan adalah betul maka sudah pasti mereka akan mengajak pemimpin-pemimpin DAP terutamanya Karpal berdebat.

Tetapi biasalah pemimpin-pemimpin Pas hanya berani berkokok kuat di hadapan pemimpin-pemimpin UMNO sahaja, namun akan kecut perut apabila perlu berhadapan dengan pemimpin PKR atau DAP bagi mempertahankan prinsip mereka.

Demikianlah nasib Pas sebuah parti yang ditubuhkan 66 tahun lalu atas hasrat memperjuangkan Islam tetapi akhirnya lemas akibat memburu puncak kekuasaan, kesudahannya hukum hudud ditinggalkan, Putrajaya diutamakan.-UMO

Juragan Malawati..

Jumaat, 24 Ogos 2012

Kemerosotan kemajuan Tg. Sepat?



Gambaran yang datang dari luar, Tanjung Sepat, Selangor merupakan kawasan luar bandar. Ramai fikir Tanjung Sepat sama seperti Sabak Bernam, Kuala Selangor, Dengkil dan Hulu Selangor yang mana orang Melayu melebihi 70 peratus.

Tetapi jika ditinjau dari segi demografinya, Tanjung Sepat yang meliputi jajaran dari pantai Morib hingga pantai Bagan Lalang lebih berwajah 1Malaysia. Orang Melayu di situ cuma 51 peratus. Ia masih 'dikongkong' kawasan pertanian. Hendak dikatakan kawasan industri tidak juga seperti mana Telok Panglima Garang. Jadi, gambaran demografi Tanjung Sepat ialah dari segi infrastrukturnya - lebuh raya tidak ada, demikian jugalah dengan industri.

Dan realitinya yang diterima orang dan sebenarnya lebih tepat lagi - Tanjung Sepat adalah pusat IKS terkenal di Selangor. Antaranya menghasilkan kerepek dan kuih-muih tradisional.

Tetapi itu dulu. Tanjung Sepat tidak lagi seperti Tanjung Sepat sebelum kerajaan negeri Selangor bertukar pada 2008. Jika dulu, ada pelan menjadikan Tanjung Sepat pusat pelancongan dan pengumpulan hasil-hasil pukal industri IKS. Tetapi sejak pertukaran kerajaan negeri, rancangan itu ditangguhkan.


Datuk Dr. Karim Mansor, ADUN Tanjung Sepat sudah 'masak' dengan Tanjung Sepat. Dua kali beliau mempertahankan kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum 2004 dan 2008. Kali pertama menang dengan majoriti lebih 6,000 undi, yang kedua pula 2,000 undi. Kedua-dua kemenangan hasil daripada keupayaan menangani cabaran Pas.

"Ya, Tanjung Sepat yang indah itu dulu. Sekarang, pengeluaran hasil daripada kilang-kilang IKS menurun kerana pelanggan kurang.

"Sebabnya, promosi kurang berikutan tidak ada perhatian daripada kerajaan negeri.

"Barangkali juga saudara masih ingat kampung-kampung seperti Kampung Endah, Kampung Sungai Lang, Kampung Kancong Darat dan Kampung Batu Laut...eh! bagaimana pula dengan Kampung Banghuris, hasil gabungan tiga buah kampung iaitu Kampung Bukit Bangkong, Kampung Hulu Chuchoh dan Kampung Hulu Teris.

"Semua kampung yang saya sebutkan ini adalah kampung-kampung yang pernah memenangi Anugerah Desa Wawasan semasa era Barisan Nasional (BN) memerintah. Kita menjadi kampung terbaik seluruh Malaysia dengan homestay-homestay yang terkenal," kata Dr. Karim, 53, kepada saya ketika kami menghirup kopi panas selepas tarawih baru-baru ini.

Ketika ini Exco Pelancongan Selangor disandang Elizabeth Wong.


Sambung Dr. Karim lagi: "Masa era BN dulu kampung-kampung ini menjadi tumpuan orang melawat dan mendiami homestay. Tapi bila kerajaan negeri (Selangor) bertukar, ada sesetengah infrastrukturnya diambil alih kerajaan negeri (PKR), antaranya dewan dan balai raya.

"Tapi apabila diambil alih, ia tidak pula dijaga dengan baik...mungkin nak elakkan orang dari berkumpul. Dalam tiga empat tahun ini, agak ketara orang kurang melawat dan apabila kurang promosi, maka yang menginap di homestay-homestay ini pun berkurangan."

Dr. Karim bercakap mengenai kepentingan agro pelancongan untuk dipertingkatkan di Tanjung Sepat. Tapi yang kelihatannya kini agak kurang untuk rakyat mendengar uar-uar Pantai Batu Laut berjaya menggerakkan rekreasi sukan air seperti mana sebelum 2008.


Bersandarkan senario di Tanjung Sepat inilah Dr. Karim menjangkakan ia akan mewakili paten keseluruhan di DUN-DUN lain di Selangor. Di Tanjung Sepat yang meliputi 14 pusat daerah mengundi (PDM), BN menang di sembilan kawasan Melayu.

Jika semasa kerajaan BN memerintah Selangor dulu, banyak kawasan di Tanjung Sepat berorientasikan pengeluaran pertanian dengan yang besar-besar menjalar di Sungai Kelambu dan Hulu Chuchoh, sebaliknya waktu ini pula berlaku. Pengeluaran hasilnya berkurangan sebab kurang perhatian diberikan.

Tanaman kontan termasuk ubi dan sayur-sayuran merupakan sumber IKS. Tetapi bila tumpuan daripada kerajaan negeri sekarang untuk membantu berkurangan, maka pengeluaran hasilnya di Tanjung Sepat mula menyusut.

Diakui terdapat pelbagai isu diketengahkan oleh parti politik dalam pilihan raya ke-12 ini. Namun demikian trend dan isu mengenai permasalahan asas kehidupan rakyat seperti kos sara hidup, hak orang Melayu, subsidi adalah di antara topik hangat dibincangkan semasa kempen dijalankan.

Kajian menunjukkan bahawa faktor masalah orang Melayu dan ekonomi adalah isu hangat yang sering dikempenkan. Rakyat lebih tertarik dengan permasalahan asas kehidupan harian mereka yang dibawa oleh pihak pembangkang dari isu yang bersifat makro seperti pembangunan negara dan sebagainya yang diketengahkan oleh pihak kerajaan.


Dan dengan imej pakatan pembangkang yang tidak beberapa mesra di Tanjung Sepat, ia sekali gus tidak diyakini untuk beria-ia sangat mempromosikan pengeluaran hasil IKS sedia ada.

"Saya bercakap dari Tanjung Sepat. Dan saya fikir paten senario ini juga sedang dialami di kawasan-kawasan lain di Selangor ini selagi Selangor tidak kembali ke pangkuan BN," kata Dr. Karim.

Dan itulah iktibar hasil keperitan yang ditanggung BN akibat kalah 2008.

Juragan Malawati..

Isnin, 20 Ogos 2012

Ahli akar umbi PAS akui pemimpin mereka gadai prinsip untuk dapatkan kuasa - Sokong Nasharudin!



Ahli-ahli akar umbi Pas Pulau Pinang menyatakan sokongan padu terhadap pendirian bekas Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa yang sanggup melakukan apa sahaja bagi mempertahankan kesucian Islam.

Mereka juga bersependapat dengan Ahli Parlimen Bachok tersebut supaya Pas mengkaji semula kedudukannya termasuk keluar daripada pakatan pembangkang dan menjadi parti yang berdiri dengan sendiri.

Mereka turut melahirkan kekecewaan dengan sikap pemimpin tertinggi Pas yang membisu dalam soal penentangan keras DAP terhadap pelaksanaan hukum hudud.

Ketua Pas Cawangan Bagan, Azmi Jaafar berkata, pemimpin parti itu sepatutnya meletakkan kepentingan Islam dan perpaduan ummah melebihi agenda politik sempit mereka.

Pemimpin atasan Pas dilihat mula menggadai prinsip perjuangan asal demi meraih sokongan politik pada pilihan raya semata-mata.

Selama ini kami dididik oleh mereka supaya memegang teguh prinsip menegakkan Islam tetapi tiba-tiba mereka jugalah yang menggadai atau menjual prinsip tersebut demi meraih kuasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang dihadiri oleh sekumpulan ahli Pas Pulau Pinang termasuk yang pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam parti itu di sini Jumaat lalu.

Khamis lalu, sebaik sahaja tiba dari Mekah, Nasharudin mengadakan sidang akhbar khas bagi membalas kenyataan beberapa pemimpin Pas yang mempertikaikan kehadirannya di Tanah Suci bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mereka juga membidas Nasharudin berikutan kenyataan beliau yang menggesa Pas mengkaji semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang jika DAP terus menolak pelaksanaan hukum hudud.

Sementara itu, bekas Setiausaha Pas Pulau Pinang, Mohamad Nordin Mohd. Nor berkata, pemimpin DAP terutama Pengerusinya, Karpal Singh secara terang-terangan menunjukkan beliau menentang penubuhan negara Islam.

Justeru, sebagai orang Islam, sudah semestinya menjadi kewajipan untuk ahli Pas menghentikan mana-mana perbuatan menyentuh perasaan dan kesucian agama itu.

Sekiranya Karpal sanggup menggadai nyawa untuk memastikan sistem perundangan Islam tidak dilaksanakan di negara ini, maka ahli-ahli Pas juga rela berbuat perkara sama demi Islam," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan Karpal dan pemimpin DAP lain supaya berhenti menimbulkan perkara sensitif sedemikian bagi mengelakkan keadaan buruk berlaku.

Bagi bekas Setiausaha Pas Kepala Batas, Abdul Halim Abd. Rashid, matlamat utama perjuangan Pas bukannya mahu memerintah Malaysia tetapi hendak mewujudkan keharmonian dalam kalangan semua kaum dengan cara berdakwah.

Beliau memberitahu, pemimpin Pas sepatutnya dapat mengajar erti perpaduan ummah sebenar kepada rakan mereka yang bukan Islam.

Tambahnya, mereka wajar menunjukkan Islam sebagai agama yang telah terbukti berjaya menjaga keharmonian semua kaum di dunia dengan asas-asas perpaduan sesama umat.

Sebaliknya jika Pas sendiri kini menjadi juara perpecahan umat Islam dengan sikap dwistandard mereka dalam isu perpaduan ummah. Bagaimanakah keharmonian semua kaum dalam negara ini akan terjamin?" ujarnya.

Juragan Malawati..

Ahad, 19 Ogos 2012

Kekalkan keamanan negara!


Najib Tun Razak bersama Datin Seri Rosmah Mansor serta anak-anak, Nor Ashman (dua, kiri) dan Nooryana Najwa (empat, kiri) membaca yasin semasa menziarahi pusara ibu bapa Rosmah di Tanah Perkuburan Ampang, Kuala Lumpur, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak rakyat dan umat Islam di negara ini untuk memastikan negara ini kekal aman dan selamat serta menginsafi bahawa kesejahteraan dan keselamatan yang dinikmati hari ini “bukanlah datang secara bergolek".

Dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri beliau, Najib berkata, kerajaan menyedari bahawa sebuah Malaysia maju perlulah juga sebuah Malaysia yang selamat dan sejahtera.

“Kita mahukan sebuah Malaysia yang aman daripada ancaman luar dan dalaman, di mana kawasan kejiranan dan jalan-jalannya bebas daripada jenayah.

“Sebuah negara di mana rakyatnya merasa aman dan selamat. Kesimpulannya, sebuah negara yang terbaik untuk membesarkan anak-anak Malaysia," katanya.

Bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan, Perdana Menteri berkata, ia memerlukan pendekatan yang bersepadu serta rakyat Malaysia yang lebih prihatin dan peduli kepada keluarga, jiran-jiran, rakan-rakan dan kepada rakyat Malaysia seluruhnya.

“Kita tidak boleh menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab memerangi jenayah kepada pihak berkuasa tanpa sumbangan kita sebagai rakyat yang prihatin.

“Jika kita membiarkan jenayah berlaku tanpa tindakan, kita sebenarnya akan hanya menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan bersama," katanya.

Bagi mencapai matlamat itu, Perdana Menteri mengajak rakyat mengubah sikap dan melabur secara mapan bagi mempunyai mind-set yang betul serta menyediakan prasarana keselamatan yang lebih ampuh.

Najib berkata, kerajaan akan memastikan agensi-agensi yang bertanggungjawab akan lebih berkesan untuk menangani cabaran mencegah jenayah era mutakhir.

“Kita menyedari usaha ini memerlukan kaedah pencegahan jenayah yang baru, serta kepimpinan yang dinamik, akauntabiliti yang tinggi, struktur organisasi yang lebih sesuai, latihan yang lebih relevan serta peralatan yang moden," katanya.

Najib berkata, umat Islam di negara ini amat bertuah kerana dapat hidup di dalam negara yang mencipta kejayaan berterusan dan sentiasa dilimpahi rahmat kejayaan, walaupun dunia keliling dilanda pelbagai kemelut politik dan ekonomi.

“Hari ini kita dapat menyaksikan bagaimana kemelut politik melanda negara-negara di benua Asia dan Afrika, kita dapat menyaksikan bagaimana negara-negara di benua Eropah dan Amerika yang dianggap sebagai negara maju pun ditimpa krisis ekonomi yang kronik akibat kegagalan mengurus negara dengan baik.

“Kita juga telah menyaksikan kegagalan ini telah memberi kesan yang buruk kepada kesejahteraan rakyat mereka apabila kadar pengangguran semakin meningkat, penciptaan peluang pekerjaan yang tidak mencukupi serta pertumbuhan yang rendah telah menyebabkan taraf dan kualiti hidup rakyat merudum," jelas beliau.

Najib berkata, di tengah-tengah semua kekusutan ini, negara tercinta Malaysia telah mencipta kejayaan berterusan sebagai sebuah negara majmuk yang dirahmati dengan perpaduan nasional.

“Kita mempunyai tradisi meraikan kepelbagaian agama, budaya dan bangsa, kepelbagaian yang di negara lain menjadi punca perpecahan, di negara ini menjadi pemangkin kemajuan," katanya.

Hakikatnya, Najib berkata rakyat Malaysia hidup di dalam sebuah negara di mana keamanan, keikraman dan kemakmuran merupakan realiti nasional, bukan semata-mata harapan apatah lagi impian indah.

Oleh itu, Najib meminta umat Islam agar mengingati pengorbanan yang telah dan sedang dilakukan oleh anggota-anggota keselamatan bagi membolehkan rakyat hidup di dalam negara yang aman dan makmur sempena hari dan bulan yang penuh kemuliaan ini.

“Kejayaan Malaysia dimungkinkan doa oleh semua rakyat Malaysia, yang disulami ikhtiar nasional yang berteraskan perancangan yang inovatif, pelaksanaan yang cekap, tadbir urus yang baik, kreativiti yang tinggi, produktiviti yang terus meningkat serta daya saing nasional yang sentiasa diasah," katanya.

Najib berkata, kerajaan komited untuk meneruskan kejayaan nasional ini dengan sokongan dan dukungan padu semua rakyat Malaysia, bagi merealisasikan matlamat membawa Malaysia ke arah status sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Sempena Aidilfitri ini, beliau meminta umat Islam untuk meneruskan tradisi rumah terbuka, dengan membuka seluas-luasnya pintu rumah serta pintu hati untuk rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama di hari yang mulia ini.

“Sehubungan itu, pada kesempatan ini, saya ingin menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf bagi pihak diri saya, isteri dan keluarga di atas apa-apa yang terkhilaf.

“Saya berdoa kepada Allah SWT supaya semua umat Islam dapat menyambut perayaan ini dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran di samping mereka yang tersayang," tambah beliau. - BERNAMA

Juragan Malawati..

Sabtu, 18 Ogos 2012

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri.



Semangat fitrah makin kurang dihayati ketika rai Aidilfitri

Ramadan dan Syawal datang silih berganti. Kehadiran dua bulan berkat ini sememangnya dinantikan umat Islam. Ramadan adalah bulan ujian dan Syawal membawa bersamanya perayaan Aidilfitri meraikan kejayaan umat Islam berjaya melalui ujian Ramadan.

Sesuai dengan namanya, Aidilfitri adalah perayaan bagi meraikan tuntutan fitrah anugerah Allah kepada seluruh umat manusia. Fitrah makan dan minum, berkasih-sayang, menghubungkan silaturahim, mencintai keharmonian melalui tradisi bermaaf-maafan, berhias-hiasan, dan kasih-mengasihi sesama manusia tanpa mengenal darjat, taraf dan bangsa.

Islam sesungguhnya adalah agama yang memelihara tuntutan fitrah manusia sehingga diwujudkan suatu hari istimewa untuk meraikannya. Menariknya, meraikan fitrah tidak akan menjejaskan kredibiliti iman seseorang, sebaliknya, meninggalkan fitrah dianggap suatu pengkhianatan besar terhadap agama.

Namun, berapa ramaikah daripada kita yang menyedari hakikat ini sedangkan inilah dia semangat fitrah yang seharusnya diketahui, dirai dan dihayati umat Islam semua lebih-lebih lagi di Aidilfitri yang mulia.

Allah menegaskan bahawa 'fitrah' adalah 'ketetapan Allah yang telah ditentukan kepada umat manusia sejak awal penciptaannya. Imam al-Ghazali, Ismail Raji al-Faruqi dan Sayed Naquib al-Attas adalah kalangan sarjana Islam yang membincangkan secara terperinci berkaitan fitrah dalam karya ilmiah mereka.

Secara umumnya, mereka menyimpulkan bahawa fitrah sebagai suatu potensi dalam diri manusia yang cenderung kepada nilai positif sejagat meliputi kecenderungan kepada kehidupan beragama dan nilai dipegang agama.

Perbincangan mengenai Aidilfitri, sewajarnya umat Islam merenung kembali sejauh manakah Aidilfitri diraikan dalam suasana menghayati fitrah. Pada hari ini, umat Islam bersuka-ria, bergembira, menikmati juadah enak, memakai pakaian baru, menghias kediaman, ziarah-menziarahi, bermohon maaf antara sanak saudara dan taulan, mengeluarkan zakat fitrah untuk disedekahkan kepada yang memerlukan.

Kesimpulannya, Aidilfitri adalah hari di mana nilai positif sejagat diraikan sebagai satu tuntutan agama. Adalah malang sekali andainya Aidilfitri semata-mata menjadi hari di mana kita membalas dendam terhadap nafsu makan dan minum yang dikekang di Ramadan yang lalu.

Berpakaian baru dan menghias kediaman sekadar menunjuk-nunjuk. Ziarah-menziarahi dan bermohon maaf sekadar suatu tradisi. Zakat fitrah, sedekah raya semata-mata kerana memenuhi tanggung-jawab peribadi dan sosial.

Mampukah semangat fitrah ini dihayati seandainya lebih ramai daripada kita memilih untuk duduk saja di rumah menonton rancangan menarik yang disajikan. Daripada sudut ekstrem, ada antara kita memilih memulakan puasa sunat seawal dua Aidilfitri sehingga menghalang budaya ziarah-menziarahi yang digalakkan di Aidilfitri.

Sesungguhnya, Aidilfitri adalah bukti rahmat Allah kepada umat Islam. Dari sudut sejarah, Allah menggantikan dua perayaan jahiliah kepada dua perayaan mulia iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Jadi sempena di hari yang mulia ini, saya mengambil kesempatan disini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua rakan-rakan bloggers yang jauh mahupun yang dekat serta pembaca dan pengulas yang budiman. Jika ada tersalah kata atau terkasar bahasa semasa saya berkarya di blog ini harap dapat kalian semua maafkan. Maaf Zahir Dan Batin.

Ikhlas dari
Juragan Malawati
UMNO KUALA SELANGOR -UKS

Sabtu, 11 Ogos 2012

Pembangkang sering cari salah UMNO atas kesalahan sendiri!



Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar hari ini membidas tindakan pembangkang yang berterusan menyalahkan UMNO dan BN atas setiap kesalahan yang mereka lakukan.

Katanya tindakan tersebut dilihat tidak lebih sebagai untuk menjaga hubungan antara tiga parti - Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas.

"Inilah perangai (sebenar) PKR yang selalu hendak mencari salah orang lain tetapi salah sendiri dibutakan. Ibarat pepatah Melayu,"Gajah di depan mata mereka tak nampak, tapi kuman di seberang laut nampak"," katanya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak cadangan pembinaan susur keluar bertol dari Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR) ke Jalan B149, Kundang, dekat sini.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.


Noh yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO mengulas kenyataan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa UMNO kini memulakan kempen pelampau agama.

Laporan itu disiarkan sebuah akhbar tempatan berbahasa Melayu yang mendakwa berdosa sekiranya menyokong parti DAP.

Akhbar itu memetik pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa"amah yang dilapor berkata adalah haram dan berdosa untuk umat Islam menyokong DAP yang secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud.

Abdullah berkata umat Islam juga tidak boleh menyokong mana-mana pihak yang bekerjasama atau menjalin pakatan dengan DAP pada pilihan raya kerana sokongan itu akan turut membawa kemenangan kepada DAP.

Dalam pada itu, Noh berkata Anwar kelihatan seperti takut untuk menegur pengerusi DAP, Karpal Singh yang lantang menentang pelaksanaan hukum hudud yang dihasratkan oleh PAS jika berjaya menawan Putrajaya.

Juragan Malawati..

Khamis, 9 Ogos 2012

Menteri Besar akui Unisel banyak hutang?



Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakui beban hutang Universiti Selangor (Unisel) yang banyak antara penyebab kos penyelenggaraan dan operasi asrama institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu tertunggak.

Beliau mendakwa, beban hutang yang dimaksudkan ialah kos pembinaan asrama universiti yang masih belum habis dilangsaikan oleh Unisel kepada pihak bank.

Dakwa beliau lagi, keadaan itu menyebabkan Unisel tidak mendapat keuntungan hingga kos penyelenggaraan dan operasi asrama tidak mampu dibayar walaupun dengan hasil yuran daripada para pelajar.

''Unisel memang tidak mampu nak bayar hutang dan bayaran kos penyelenggaraan dan operasi asrama pula ada perjanjiannya.

''Antaranya kalau pelajar tidak duduk dalam asrama pun kena bayar yuran penuh dan kalau cuti pun kena bayar. Jadi yuran yang dibayar tidak cukup," katanya selepas merasmikan Program Tadarus dan Tadabbur Perdana Peringkat Negeri di Masjid Nurul Huda, Parit Mahang, Ijok di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Datuk Seri Noh Omar bahawa Unisel berhutang hampir RM15 juta dengan Syarikat Jana Niaga Sdn. Bhd. (JNSB) membabitkan kos penyelenggaraan di kampus induknya di Bestari Jaya dan operasi asrama universiti itu selama beberapa bulan.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Selangor itu turut mempersoalkan mengapa bayaran tersebut tidak dilangsaikan sedangkan yuran daripada pelajar sudah dikutip oleh pihak Unisel.

Dalam pada itu, Abdul Khalid memberitahu, bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi, kerajaan negeri telah berbincang dengan pihak bank dan sedang dalam proses menyiapkan dokumentasi untuk mengambil alih hutang universiti itu.

Beliau memberitahu, pihaknya akan meneliti bayaran tertunggak dengan pihak JNSB dan melunaskannya mengikut undang-undang.

Mengenai laporan audit Unisel, Abdul Khalid berkata, ia akan didedahkan selepas disemak semula oleh pihak akauntan yang dilantik.

Juragan Malawati..

Hudud bukan agenda pakatan pembangkang?



Akhirnya, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hasan Tantawi mengaku bahawa hudud bukan agenda pakatan pembangkang. Isunya memang DAP dan PKR tidak berminat dengan negara Islam dan hudud. Tidak patut berbangkit isu itu dalam debat Fathul Bari Mat Jahaya - Nasrudin yang seolah-olah DAP sudah mula memahaminya.

Kecuali Nasrudin ingin melunakkan hati penonton debat seolah-olah usaha Pas cuba memahamkan DAP mengenai negara Islam dan hudud semacam diterima yang disiarkan dalam laman sosial Facebooknya.

Tambah Nasrudin: "Paksi perjuangan Pas adalah Islam dan hudud itu sebahagian darinya". Memperjuangkan Islam dan hudud bukanlah suatu masalah. Tetapi ia menjadi masalah selagi Pas berada dalam pakatan pembangkang. Kalau begitu apa lagi pertimbangan Pas berada dalam pakatan pembangkang.

Kalau pertimbangan kuasa, apakah selepas dapat kuasa - negara Islam boleh ditegakkan dan hudud dapat dilaksanakan. Sudah pasti tidak kerana Buku Jingga tidak menyatakan demikian dan DAP akan menentang habis-habisan. Kalau begitu apa yang Pas tunggu lagi.

Kata Nasrudin lagi: "Secara realitinya, iklim politik dan latar belakang masyarakat yang majmuk dalam negara kita sangat sukar untuk Pas menang dan membentuk sebuah pemerintahan secara persendirian".

Alhamdulillah Nasrudin mula memahami. Tetapi ketidakyakinan terhadap pakatan pembangkang dan kebencian yang teramat sangat kepada UMNO tidak mungkin menyebabkan Pas memerintah Malaysia.

Kebencian terhadap UMNO atas alasan Pas pernah dikhianati oleh UMNO sewaktu menyertai kerajaan campuran dulu boleh dipertikaikan. Apakah memang sengaja UMNO menyingkir Pas atau gelagat Pas dalam kerajaan campuran menyebabkan Pas yang tidak pandai membawa diri tersingkir.

Lalu Pas menghentam UMNO habis-habisan sehingga dikaitkan UMNO sebagai kafir, asabiyah jahiliyah, nasionalis dan bermacam-macam gelaran yang hodoh dan yang terakhir ialah UMNO tolak Islam.

Kalau dibahas secara ilmiah dan mengikut kaedah syarak semua kenyataan hodoh itu boleh dipertikai.

Tetapi kerana politik nafsul amarah yang tinggi menyebabkan amat sukar untuk Pas memulakan muzakarah walaupun mereka tahu UMNO tidak menyebut perjuangan ke arah Negara Islam, tetapi kerajaan yang ditunjangi UMNO banyak membuat kerja-kerja Islam baik dalam pendidikan, kewangan, ekonomi, sosial, pembangunan negara, undang-undang atau syariat. Ini tidak boleh dinafikan oleh Pas.

Pas takut ia akan dituduh menjilat ludahnya apabila mahu berkawan dengan UMNO balik. Dengan pakatan pembangkang, Pas tidak boleh pergi jauh dengan UMNO pula masih berjauh hati. Ke mana akhirnya Pas?

Tirulah pendekatan Ikhwan Muslimin Mesir. Dalam membentuk sebuah kerajaan, ia sanggup bekerjasama dengan pihak lain hatta kelompok nasionalis pun. Apa lebihnya Pas di Malaysia tidak mahu bekerjasama dengan UMNO yang dikatakan parti nasionalis.

Kalau alasan Pas mengungkit isu tersingkir daripada kerajaan campuran dulu tidaklah sampai berperang dan berbunuh-bunuhan.

Perhatikan Hamas dan PLO yang pernah berperang dan berbunuh-bunuhan dengan jiwa besar dan politik matang sanggup melupakan sengketa lalu dan bersatu demi perjuangan orang Palestin.

Mengapa Pas tidak mencontohi Ikhwan Mesir, Hamas-PLO dalam hubungannya dengan UMNO. Sebaliknya kenyataan Nasrudin menambah bahawa UMNO perlu menyerahkan semua kerusinya kepada Pas atau paling tidak bersama menyertai parti itu.

Ini adalah kenyataan yang sangat naif sebagai ahli politik. Kewujudan UMNO dalam konteks Barisan Nasional adalah suatu entiti yang sudah memerintah lebih setengah abad. Melainkan Nasrudin berpendapat bahawa orang UMNO tidak Islam.

Kalau Nasrudin masih merasakan UMNO didukung oleh orang Islam, tidak ada sebab muzakarah tidak boleh berlangsung.

Dengan orang bukan Islam tahalluf siasi atau kerjasama politik boleh berlaku, apa masalahnya dengan orang seagama dan seakidah. Buruk sangatkah orang Melayu dalam UMNO sehingga ditanggapi lebih teruk daripada orang kafir.

Nasrudin sebagai orang yang ada pelajaran patut faham mengenai fenomena umat Melayu di Malaysia kalau mereka berpecah. Berjiwa besarlah sedikit supaya ukhuwah Islamiah dapat dicetuskan kembali dan usaha merapatkan jurang dirintis semula.

Kalau ini tidak berlaku, senario politik Malaysia bakal menepati maksud pepatah menang sorak kampung tergadai, sesal dulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna, menang jadi abu kalah jadi arang.

Umat Melayu di Malaysia selalu penulis ibaratkan seperti pelanduk dengan jerat. Pelanduk selalu lupakan jerat tetapi jerat tidak pernah lupakan pelanduk.

Ambillah semangat Ramadan dan Hari Raya Fitrah ini untuk membangunkan jiwa muttaqeen yang antara lain menghidupkan ukhuwah Islamiah sesama umat seagama dan seakidah demi masa depan.

Juragan Malawati..

Ahad, 5 Ogos 2012

Unisel didakwa berhutang RM15 juta?



Universiti Selangor (Unisel) didakwa berhutang hampir RM15 juta dengan Syarikat Jana Niaga Sdn. Bhd. (JNSB) yang bertanggungjawab membangun dan menguruskan kediaman penuntut di kampus induk universiti itu di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, tunggakan bayaran itu melibatkan kos penyelenggaraan di kampus induk dan operasi asrama universiti milik penuh kerajaan negeri Selangor tersebut.

Saya difahamkan Unisel sudah mengutip yuran daripada pelajar, tetapi kenapa tidak bayar kepada kontraktor (JNSB)? Mana pergi duit itu? Apabila tidak bayar selama beberapa bulan dan jika kontraktor tutup asrama, yang jadi mangsa ialah pelajar.

Ini jelas menunjukkan kelemahan kerajaan negeri Selangor, nak urus Unisel pun tidak reti, macam mana nak urus negeri. Menteri Besar Selangor dan Unisel kena jawab perkara ini, kalau benar-benar ikhlas, bayarlah hutang kontraktor dan jangan susahkan pelajar," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan zakat perniagaan Agrobank berjumlah RM170,087.43 kepada Lembaga Zakat Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noh mengulangi cabarannya kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar mendedahkan laporan kewangan Unisel yang gagal dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Bahagian Residen Komuniti JNSB Noor Ashikeen Mohd. Stap ketika dihubungi menjelaskan tindakan menutup pejabat pengurusan asrama ketika sesi pendaftaran bermula adalah disebabkan pekerja syarikat itu tidak menerima gaji dalam tempoh yang lama sehingga menjejaskan urusan seharian.

Beliau berkata, JNSB tidak berniat menimbulkan masalah dan meminta semua pihak memahami beban yang ditanggung syarikat itu berikutan tiada bayaran untuk melangsaikan gaji pekerja, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan dan hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri.

Memang ramai yang seolah-olah menyalahkan JNSB, tetapi hakikatnya, pihak pengurusan Unisel gagal melangsaikan tunggakan bayaran yuran penyelenggaraan bagi tempoh 17 bulan dan bayaran asrama yang dikendalikan JNSB untuk tempoh lapan bulan.

Memang penuntut sudah membayar yuran asrama kepada Unisel, tetapi bayaran itu tidak sampai ke tangan JNSB, menyebabkan insiden ini berlaku," katanya.

Noor Ashikeen berkata, apabila masalah itu dibawa kepada pihak atasan JNSB, mereka tidak dapat memberi jaminan berhubung pembayaran gaji yang boleh dibuat dan beliau difahamkan sehingga kini, masih tiada perbincangan antara Unisel dan JNSB bagi mengatasi masalah tersebut.

Pihak pengurusan Unisel mengambil sikap mendiamkan diri menyebabkan kami kian tertekan dan keadaan itu menuntut kami untuk bercuti. Memang diakui sebelum ini, masalah yang sama turut berlaku sehingga pekerja gagal menerima gaji untuk tempoh dua bulan, namun akhirnya dibayar secara berperingkat.

Namun kini, kesabaran kami sudah sampai ke kemuncaknya dan apabila tiada jalan penyelesaian diambil, kami terpaksa menutup pejabat dan menunggu keputusan yang dibuat pihak atasan JNSB dan Unisel," katanya. - BERNAMA

Juragan Malawati..

Jumaat, 3 Ogos 2012

Pusat urut: Selangor wajar bertindak?



Kebanjiran pusat urut dan hiburan haram di Selangor wajar dipandang serius semua pihak berwajib terutamanya kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor selaku pentadbir negeri.

Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia, Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, selain menghalang pusat urut dan hiburan haram itu beroperasi, pihak yang terlibat dalam salah guna kuasa sehingga menyebabkan aktiviti tersebut berleluasa juga perlu disiasat dan dikenakan tindakan.

Katanya, penyelewengan atau salah guna kuasa itu kemungkinan besar berlaku ekoran tinjauan persatuan tersebut yang melihat banyak pusat-pusat berkenaan beroperasi termasuk di lokasi yang tidak sewajarnya.


Apa yang dibimbangi ialah jika ada pihak atau individu yang menyalahgunakan kuasa dengan meluluskan lesen operasi sewenang-wenangnya serta melindungi pusat-pusat ini.

Pihak berkaitan termasuk kerajaan negeri perlu menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab sekiranya didapati berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kekhuatiran beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai lambakan pusat urut dan hiburan di Selangor yang mendesak ia ditangani segera memandangkan kewujudannya dilihat tidak sesuai kerana berhampiran dengan kawasan perumahan dan masjid.


Menurut Saharuddin, sekiranya perkara itu tidak ditangani segera gejala sosial dalam masyarakat dibimbangi menjadi lebih serius terutama di kalangan golongan remaja.

Selain pusat urut, hiburan dan snuker, kafe siber juga wajar dipantau kerana ia menjadi punca pelajar ponteng sekolah dan terjebak dengan aktiviti judi komputer," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna dan Sosial Daerah Petaling, Ismail Aziz berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan jabatan agama bagi membanteras kewujudan pusat-pusat hiburan haram tersebut.

Juragan Malawati..

Khamis, 2 Ogos 2012

Mat Sabu kata Pas pastikan Selangor kekal?



Pas menghormati kajian dilakukan oleh Majlis Profesor Negara (MPN) berhubung ramalan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), dan akan berusaha lebih kuat untuk mempertahankan Selangor daripada ditawan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, pihaknya juga telah membuat kajian sendiri dan mendapati Selangor mempunyai daftar pemilih yang meragukan.

"Disebabkan daftar pemilih ini, kami akan cuba sedaya upaya dan yakin rakyat di Selangor tetap sokong Pakatan Rakyat (PR)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kajian salah seorang anggota MPN, Prof Dr Mansor Mohd Noor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mendapati BN akan merampas Selangor, PR akan kekal di Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan dalam PRU13.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali tegaskan kajian MPN itu tidak menggambarkan keseluruhan keputusan sebenar PRU13.

Menurutnya, PR juga membuat kajian yang sama dan mendapati beberapa negeri di bawah pemerintahan BN akan ditawan oleh PR.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan negeri-negeri itu kerana bimbang akan diketahui pihak lawan. Mustafa turut setuju pengundi di Selangor kini dilimpahi rakyat Sabah yang didaftarkan sebagai pengundi di Selangor.

"Ini merupakan strategi BN tawan semula Selangor. Kami juga yakin rakyat Selangor tetap memberi sokongan padu kepada PR," katanya.

Juragan Malawati..