UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Selasa, 30 September 2014

Pas tolak jawatan Timbalan Speaker DUN?


Seolah-olah kecewa dengan keputusan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengurangkan jumlah kerusi Exco kerajaan ne­geri kalangan pemimpin Pas, sehingga kini parti itu masih belum membuat keputusan untuk menerima jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pesuruhjaya Pas negeri, Iskandar Abdul Samad berkata, pendirian tersebut dibuat dalam pertemuannya dengan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, malam semalam.

Menurutnya, turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah barisan Exco Pas dan dua bekas Exco parti itu yang digugurkan, Dr. Halimah Ali serta Sallehen Mukhyi.

"Pada (dalam) pertemuan dengan Presiden malam tadi belum diputuskan sama ada Pas akan terima timbalan speaker," katanya dalam akaun Twitter miliknya hari ini.

Jumaat lalu, Mohamed Azmin mengumumkan barisan Exco kerajaan ne­geri baharu yang menyaksikan kerusi untuk Pas bagi jawatan itu dikurangkan daripada empat kepada tiga.

Selain Iskandar, seorang lagi yang dilantik semula ialah Dr. Ahmad Yunus Hairi sementara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Zaidy Abdul Talid merupakan muka baharu.

Pas turut diberikan jawatan Timbalan Speaker DUN.

Sementara itu, Iskandar gagal dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Juragan Malawati..

Sabtu, 27 September 2014

Langkah Kajang punca krisis - Sultan Selangor?


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur sikap pakatan pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang disifatkan baginda sebagai pencetus kepada krisis pentadbiran di negeri ini.

Teguran keras baginda itu dizahirkan menerusi titahnya dalam majlis istiadat mengangkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji barisan Exco kerajaan negeri yang baharu di Istana Alam Shah di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Baginda bertitah, majlis istiadat tersebut mungkin tidak akan berlangsung sekiranya PKR dan sekutunya, DAP masih mengekalkan keyakinan mereka terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar sebelum ini.


Sebaliknya kedua-dua parti itu, menurut baginda. telah memilih untuk tidak memberikan kepercayaan kepada Abdul Khalid sehingga memerlukan Menteri Besar serta barisan Exco yang baharu dilantik bagi mentadbir kerajaan negeri.

"Pelantikan Exco yang baharu ini adalah disebabkan PKR dan DAP tidak mempunyai keyakinan kepada Abdul Khalid sebagai Menteri Besar yang dilantik selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Oleh itu, seorang Menteri Besar yang baharu dan Exco yang baharu juga perlu dilantik untuk mentadbir kerajaan negeri ini," titah baginda.

Pada masa sama, baginda secara terbuka menyifatkan kemelut pentadbiran di negeri ini berpunca daripada tindakan pakatan pembangkang melaksanakan Langkah Kajang yang menyaksikan usaha-usaha untuk menyingkirkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.


Di sebalik Langkah Kajang menurut baginda, paling mendukacitakan apabila timbulnya pelbagai hasutan dan tohmahan yang dilakukan oleh PKR untuk memburuk-burukkan Abdul Khalid termasuk pada saat-saat umat Islam menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadan lalu.

"Umat Islam sepatutnya membuat ibadah dan membuat kerja-kerja amal yang diredai oleh Allah SWT untuk membersihkan dosa dan maksiat.

"Beta telah menyeru dan mengingatkan beberapa kali rakyat Melayu beragama Islam di Selangor supaya dalam bulan Ramadan yang mulia ini hendaklah sentiasa bertakwa kepada Allah SWT dan melakukan amal jariah kita supaya diterima Allah SWT tetapi PKR tetap meneruskan agenda mereka walaupun dalam bulan suci Ramadan dengan terus menghina dan mencaci sehingga mereka berjaya dalam niat untuk menjatuhkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar," titah baginda.

Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berterima kasih kepada Abdul Khalid kerana menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar dengan baik.

Dalam pada itu, Sultan Selangor bertitah, krisis pentadbiran melibatkan jawatan Menteri Besar telah banyak membuka mata dan hati baginda terhadap politik di negeri ini.


"Ahli-ahli politik datang dan pergi, mereka akan berkhidmat untuk selama lima tahun dan mungkin akan diganti pada pilihan raya umum akan datang tetapi kedudukan beta sebagai sultan yang memerintah Selangor akan berterusan sehingga akhir hayat beta," titah baginda.

Baginda turut mengingatkan semua pihak khususnya ahli politik berhubung kedudukannya sebagai Sultan Selangor bukan hanya terhad dalam istiadat atau majlis rasmi semata-mata tetapi melangkaui kepada usaha untuk memastikan negeri dan rakyat hidup dalam suasana aman serta maju.

"Oleh kerana rakyat tidak diberi kefahaman akan fungsi sebenar sultan, rakyat beranggapan institusi beraja adalah sebagai lambang sahaja tanpa mempunyai apa-apa peranan dan kuasa yang diperuntukkan di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

"Beta dapati ada ahli politik tidak faham akan peranan dan kuasa institusi raja atau mereka sengaja tidak memahaminya kerana beta yakin mereka mempunyai agenda lain.

"Beta, sultan yang memerintah Selangor sentiasa berpandukan pemerintahan beta dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang telah dimeterai pada 1959," titah baginda.

Juragan Malawati..

Rabu, 24 September 2014

Azmin dilantik hasil penelitian Sultan!


Keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melantik Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar baharu dibuat berdasarkan beberapa faktor penting yang menjadi pertimbangan baginda.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda telah mengambil kira kerajaan negeri dibentuk melalui kesepakatan tiga parti iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP.

Selain itu, katanya, baginda mengambil kira kesefahaman ketiga-tiga parti terbabit bahawa Menteri Besar perlu dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PKR untuk mendapat kepercayaan majoriti dan sokongan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Azmin juga merupakan Timbalan Presiden PKR dan oleh itu baginda mempunyai keyakinan bahawa sebagai seorang timbalan presiden yang dipilih, pastinya mempunyai sokongan padu bukan sahaja daripada parti sendiri malah Pas dan DAP yang membentuk kerajaan gabungan untuk mentadbir kerajaan negeri sekarang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Munir turut menegaskan, Sultan Sharafuddin tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri melainkan menasihati Menteri Besar.

Jelasnya, dalam urusan pelantikan Menteri Besar, Sultan Selangor hanya bertindak menurut budi bicara baginda sebagaimana diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Beliau menambah, adalah menjadi amalan Sultan Selangor untuk tidak melengahkan pelantikan seorang Menteri Besar yang merupakan satu jawatan amat penting dalam kerajaan negeri.

"Bagaimanapun kelewatan pelantikan Menteri Besar pada kali ini adalah disebabkan pergolakan dalaman PKR serta tiada kesefahaman parti-parti dalam pakatan pembangkang berhubung isu pencalonan nama Menteri Besar.

"Di samping itu, keengganan DAP dan PKR mematuhi surat daripada istana bertarikh 27 Ogos 2014 menyulitkan lagi tindakan Sultan Selangor yang terpaksa meneliti calon lain dalam PKR yang tidak disenaraikan," ujarnya.

Katanya, dengan pelantikan Azmin sebagai Menteri Besar, Sultan Sharafuddin berharap ADUN Bukit Antarabangsa itu dapat menjalankan tugas secara penuh tanggungjawab, jujur dan ikhlas dengan integriti yang tinggi dan akan sentiasa mendahului kepentingan rakyat serta pentadbiran kerajaan negeri.

Juragan Malawati..

Sabtu, 20 September 2014

Isu Kalimah Allah: Gereja Katolik fail permohonan?


Gereja Katolik memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak kebenaran merayu berkaitan larangan penggunaan kalimah Allah oleh Menteri Dalam Negeri dalam penerbitan mingguannya, The Herald versi Bahasa Malaysia.

Peguam Benjamin Dawson mengesahkan permohonan itu difail pada kira-kira 3 petang hari ini di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata, permohonan itu mengemukakan tiga alasan, antaranya, terdapat beberapa isu perundangan penting yang tidak dipertimbang dalam keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan seperti peruntukan Perkara 3 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.


Pada 23 Jun lalu, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, mencapai keputusan majoriti 4-3 ketika menolak permohonan Gereja Katolik itu.

Gereja Katolik mengemukakan permohonan itu untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober tahun lalu yang membenarkan rayuan kerajaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 bahawa The Herald boleh menggunakan kalimah Allah.

Juragan Malawati..

Khamis, 18 September 2014

Istana Selangor Tegur Anwar Ibrahim?


Istana Selangor hari ini menafikan kenyataan Anwar Ibrahim yang menyatakan amalan menghantar satu nama calon menteri besar kepada Sultan merupakan amalan negara sejak mencapai kemerdekaan pada 1957.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan hari ini berkata maklumat yang dikeluarkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu adalah tidak tepat dan dilihat sebagai mengelirukan rakyat.

Beliau menjelaskan semasa pentadbiran kerajaan negeri oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini, pemilihan calon menteri besar yang layak akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor dalam Majlis Menghadap untuk diberi perkenan.

Katanya, menerusi senarai calon tersebut, Sultan Selangor akan memilih hanya satu calon untuk dilantik bagi jawatan berkenaan.

“Namun pada (pilihan raya umum) 2008, keputusan pilihan raya di Selangor tidak menyebelahi BN sementara parti pembangkang iaitu PAS, DAP dan PKR pula bergabung untuk membentuk sebuah Pakatan Rakyat bagi mendapat majoriti untuk mentadbir kerajaan negeri Selangor.

“Pada ketika itu, Sultan Selangor menitahkan ketua-ketua parti dalam pakatan tersebut membincangkan calon menteri besar dan dalam majlis perbincangan itu, terdapat beberapa nama calon disyorkan,” kata Mohamad Munir.





Justeru, Sultan Selangor melalui Setiausaha Sulit baginda telah mengutus surat kepada ketua-ketua parti dalam pakatan pembangkang untuk mencadangkan dua nama bagi calon menteri besar dan mereka kemudiannya sebulat suara mencalonkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk jawatan tersebut, katanya.

Mohamad Munir berkata disebabkan Abdul Khalid memenuhi kriteria dan menepati syarat yang diperuntukkan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959, Sultan Selangor berkenan melantik beliau sebagai menteri besar.

Katanya, keadaan sedikit berbeza pada pilihan raya umum 2013 apabila pakatan pembangkang memenangi majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menyebabkan calon menteri besar mesti dipilih dalam kalangan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pakatan pembangkang tersebut.

Namun demikian katanya, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula menyatakan Abdul Khalid tidak semestinya dikekalkan sebagai menteri besar Selangor dalam kempennya semasa pilihan raya tersebut.

“Sehubungan itu, Sultan Selangor melalui Setiausaha Sulit baginda telah mengutus surat kepada ketua-ketua dalam pakatan pembangkang untuk mencadangkan empat nama sebagai calon menteri besar.

“Walau bagaimanapun, mereka menulis surat kepada baginda untuk mengesyorkan Abdul Khalid dilantik sebagai Menteri Besar Selangor walaupun baginda ada juga menerima penamaan calon lain.

“Namun, berikutan Abdul Khalid adalah penyandang jawatan tersebut sebelum ini dan mempunyai hubungan baik dengan pihak istana dan juga rakyat Selangor, Sultan berkenan melantik semula Abdul Khalid sebagai menteri besar,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Munir menegaskan bahawa polisi pihak istana adalah untuk tidak mendedahkan nama atau maklumat mengenai calon menteri besar yang dikemukakan serta prosesnya namun keadaan yang memuncak memaksa istana mengeluarkan kenyataan untuk memberi penjelasan.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menasihatkan Anwar supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat dan menjejaskan imej Sultan Selangor jika tidak mempunyai fakta tepat- BERNAMA

Juragan Malawati..

Isnin, 15 September 2014

Jatuhnya UMNO Kerana Banyaknya Kuantiti Pembodek Dari Kualiti?


Kalau dilihat kepada polisi dan gerak kerja Perdana Menteri kita sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak terlihat cacat celanya. Dan kalau ada pun hanyalah terguran-teguran membangun, yang dilihat ketidakpuasan hati dan kegusaran rakyat terhadap kerisauan, kekeliruan dan isu-isu kesamarataan yang berani disentuh oleh sesetengah pihak?

Apa yang lebih merimaskan dan memualkan sekarang terlalu ramai 'pengampu dan pembodek' yang berada disekeling Perdana Menteri? Malah dalam ketidak beranian bersuara sesetengah pihak, malu melihat gelagat-gelagat pengampu yang diberi kepercayaan untuk memimpin atau kerja, lebih sudu dari kuah.

Spesis yang hanya bersandar kepada glamor dan kroni-kroni tertentu, keterlihatan tidak ada 'Kuantiti Kerja Yang Membantu PM' sebaliknya boleh merosakkan imej dan krebiliti PM sendiri, seperti lakonan 'syok sendiri' atau kaki kipas yang hanya untuk menempa nama dan tumpang glamor?.

Memberi gambaran hanya yang baik-baik sahaja oleh pengampu-pengampu itu lah yang berlaku sekarang. Kalau semuanya baik, kita bukanlah dinamakan manusia yang sering melakukan kesalahan. Kalau memang semuanya baik, tidak mungkin Umno hilang banyak kerusi dan majoriti 2/3 pada Pru12 dan Pru13?

Tidak mungkin sukarnya mendapatkan kembali negeri yang telah tewas yang dahulunya kubu kuat BN. Dua (2) yang dirampas kembali pun kerana bandingan jumlah kerusi yang tidak jauh bezanya.


Budaya membodek pemimpin secara berlebihan ini bukan sahaja keterlihatan politik yang tidak matang tetapi cara berlebih-lebihan, bermusim, berekor dan menonjol tanpa peranan yang besar, seolah-olah 'Kualiti' tidak perlu asalkan ungkapan 'terbaik' sentiasa dibibir.

Kalau dilihat kepada sikap PM kita ini, beliau bukanlah seorang yang cepat melenting? Sebaliknya biasalah dengan sikapnya yang lebih suka diam, senyap dan lambat memberi respon. Mungkin dia tidak suka menjatuhkan maruah dan menghampakan hati orang lain?

Tukang-tukang kipas, bodek dan ampu ini satu virus yang boleh merosakkan pemimpin kita dan membiarkan ketegangan di luar sana, seolah-olah menambahkan lagi tekanan yang tidak diluahkan oleh rakyat dan mereka-mereka yang berbulu mata melihatnya?.

Hentikanlah mempertahankan pemimpin hingga setiap persoalan dibangkitkan tidak mampu dijawab, selain dari terus memuji, memuja dan mengaburi mata rakyat hingga kempen UMNO pun mahu dikipas?

Akhirnya pemimpin dibekalkan dengan hidangan dan laporan semua yang baik-baik, tetapi hakikatnya dibelakang berpeluh dan penuh kepalsuan?.

Juragan Malawati..

Isnin, 8 September 2014

Sultan amat dukacita!


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan tindakan Parti Keadi­lan Rakyat (PKR) dan DAP yang ing­kar dengan titah baginda pada 27 Ogos lalu supaya mengemukakan lebih daripada dua nama calon daripada parti masing-ma­sing untuk dipertimbangkan sebagai Menteri Besar yang baharu.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, tindakan PKR dan DAP itu menggambarkan kebiadaban kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada titah baginda.

Menurutnya, Sultan Sharafuddin telah menerima senarai calon Menteri Besar daripada ketiga-tiga parti dalam pakatan pembangkang namun hanya Pas yang akur titah baginda dengan menyenaraikan tiga nama.

"PKR dan DAP pula masing-masing mengemukakan hanya satu nama yang sama iaitu Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menambah, titah baginda supaya mengemukakan senarai lebih daripada dua calon Menteri Besar adalah satu amalan yang dilaksanakan oleh Sultan Selangor.

"Ini adalah bagi membolehkan baginda membuat pilihan terhadap bakal Menteri Besar dengan melihat bukan sahaja sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) malah dari segi kemahiran, pengalaman, integriti dan kebolehan seseorang ADUN tersebut.

"Ciri-ciri ini amat penting bagi menjamin perjalanan pentadbiran negeri berjalan dengan baik dan lancar demi keharmonian rakyat Selangor," katanya.

Beliau berkata, Sultan Selangor berkeyakinan terdapat ramai calon dalam pakatan pembangkang yang mempunyai ciri-ciri sedemikian bagi menerajui kerajaan negeri.

Dengan penerimaan senarai berkenaan, kata Mohamad Munir, baginda akan meneliti calon-calon terbabit dan mengambil kira segala aspek dalam menilai setiap individu sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Pada masa yang sama memandangkan kuasa melantik Menteri Besar terletak pada budi bicara Sultan Selangor, maka baginda juga akan meneliti nama-nama ADUN yang lain daripada pakatan pembangkang yang berkelayakan dan pada fikiran baginda mendapat kepercayaan majoriti ADUN," katanya.

Juragan Malawati..