UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Rabu, 24 September 2014

Azmin dilantik hasil penelitian Sultan!


Keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melantik Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar baharu dibuat berdasarkan beberapa faktor penting yang menjadi pertimbangan baginda.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda telah mengambil kira kerajaan negeri dibentuk melalui kesepakatan tiga parti iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP.

Selain itu, katanya, baginda mengambil kira kesefahaman ketiga-tiga parti terbabit bahawa Menteri Besar perlu dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PKR untuk mendapat kepercayaan majoriti dan sokongan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Azmin juga merupakan Timbalan Presiden PKR dan oleh itu baginda mempunyai keyakinan bahawa sebagai seorang timbalan presiden yang dipilih, pastinya mempunyai sokongan padu bukan sahaja daripada parti sendiri malah Pas dan DAP yang membentuk kerajaan gabungan untuk mentadbir kerajaan negeri sekarang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Munir turut menegaskan, Sultan Sharafuddin tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri melainkan menasihati Menteri Besar.

Jelasnya, dalam urusan pelantikan Menteri Besar, Sultan Selangor hanya bertindak menurut budi bicara baginda sebagaimana diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Beliau menambah, adalah menjadi amalan Sultan Selangor untuk tidak melengahkan pelantikan seorang Menteri Besar yang merupakan satu jawatan amat penting dalam kerajaan negeri.

"Bagaimanapun kelewatan pelantikan Menteri Besar pada kali ini adalah disebabkan pergolakan dalaman PKR serta tiada kesefahaman parti-parti dalam pakatan pembangkang berhubung isu pencalonan nama Menteri Besar.

"Di samping itu, keengganan DAP dan PKR mematuhi surat daripada istana bertarikh 27 Ogos 2014 menyulitkan lagi tindakan Sultan Selangor yang terpaksa meneliti calon lain dalam PKR yang tidak disenaraikan," ujarnya.

Katanya, dengan pelantikan Azmin sebagai Menteri Besar, Sultan Sharafuddin berharap ADUN Bukit Antarabangsa itu dapat menjalankan tugas secara penuh tanggungjawab, jujur dan ikhlas dengan integriti yang tinggi dan akan sentiasa mendahului kepentingan rakyat serta pentadbiran kerajaan negeri.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan