UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Khamis, 27 Februari 2014

Di mana air...Oh! Selangorku?

Penghuni Flat Kenari blok F terpaksa mengangkat air yang dibekalkan oleh Syabas berikutan ketiadaan bekalan air di kawasan perumahan mereka di Taman Impian Ehsan, Balakong, baru-baru ini.

Sudah berminggu-minggu penduduk Selangor berhadapan dengan krisis air. Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Apabila bekalan air terputus, kehidupan seharian terjejas. Rutin hidup terganggu kerana fikiran asyik memikirkan mana mahu dapatkan air untuk kegunaan rumah. Terutama untuk keperluan asas seperti memasak dan membersihkan diri.

Yang peliknya, ini bukan masalah baharu. Saban tahun fenomena rakyat terpaksa mengusung baldi menunggu ketibaan lori tangki yang membawa air, boleh dikatakan perkara biasa.

Setiap tahun krisis air ini pasti akan berlaku. Sepatutnya masalah ini sudah boleh dijangka dan langkah-langkah wajar jangka pendek dan jangka panjang boleh diambil jika pihak terbabit ikhlas untuk memastikan kebajikan rakyat terjaga.

Krisis air yang dihadapi oleh rakyat Selangor sejak beberapa minggu lalu ternyata menyusahkan setiap penduduk tanpa mengira fahaman politik. Persoalan yang timbul di sini, adakah langsung tidak ada penyelesaian jangka panjang dalam memastikan krisis ini tidak terus berulang? Atau disebabkan ego politik, ada pihak sanggup mengetepikan kepentingan rakyat asalkan mereka dilihat tidak bergantung kepada Kerajaan Pusat?

Setiap kali krisis air ini berulang, tentunya kita akan terkenang kepada projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) yang jika dilaksanakan pasti dapat membantu mengatasi krisis air di Selangor. Langat 2 adalah sebahagian daripada Projek Pemindahan Air Mentah Pahang-Selangor. Sasarannya adalah untuk merawat 1.89 bilion liter air mentah sebelum disalurkan ke Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 2025.

Berdasarkan perancangan, Langat 2 yang sepatutnya mula dibina pada 2012 adalah penyelesaian kepada penderitaan rakyat Selangor yang kini terpaksa berhempas-pulas pagi petang, siang malam demi memastikan rumah mereka ada air walau setitik. Tetapi disebabkan ego politik, kerajaan Selangor berdolak-dalik dan tidak serius dalam menyelesaikan kemelut ini. Akibat kelewatan ini, kos pembinaan dianggarkan meningkat kepada RM4.14 bilion walaupun kos asal adalah RM3 bilion.

Episod tarik tali semakin jelas apabila pada Mac 2008, Kerajaan Selangor mula diperintah oleh DAP-PKR-Pas.

Misalnya, pada 2010, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan angkuh menafikan negeri itu akan berdepan dengan krisis air 2014. Penafian Khalid itu bermakna secara tidak langsung Selangor menolak projek Langat 2 malahan beliau juga tanpa memikirkan kepentingan masa depan rakyat membuat rumusan sendiri bahawa bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur mampu memenuhi permintaan pengguna hingga 2019.

Tetapi sekarang baru 2014, rakyat Selangor telah merasa kesan daripada keangkuhan kerajaan negeri.

Pada 8 Ogos 2010, apabila berlaku masalah air di Selangor walaupun ia negeri yang diperintah pakatan pembangkang, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-isu Air Selangor yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk meneruskan projek Langat 2.

Projek itu untuk kepentingan penduduk dan rakyat Selangor secara keseluruhannya. Tetapi Abdul Khalid enggan memberikan perintah Kelulusan Pembangunan (DO) terhadap projek tersebut dan menggesa Kerajaan Pusat tidak perlu tergesa-gesa untuk melaksanakan Langat 2.

Akibatnya setiap kali krisis air muncul, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang dijadikan kambing hitam. Syabas yang dituduh menjadi punca kepada krisis air ini seperti kenyataan Exco Kerajaan Negeri, Dr. Xavier Jayakumar pada Julai 2012 yang menuduh krisis air berlaku akibat salah tadbir pengurusan dan ketidakcekapan pihak Syabas.

Perlu diingat, Syabas hanyalah selaku pengendali pengagihan air di Selangor. Tugasnya membekalkan dan mengagihkan bekalan air terawat. Bukan memastikan ketersediaan bekalannya. Kuasa Syabas ini adalah mengikut Seksyen 191 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. Jangan lupa bahawa Kerajaan Selangor mempunyai 30 peratus saham dalam Syabas menerusi Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Kerajaan Selangor sebagai pemilik aset air negeri mengikut Seksyen 188 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, bertanggungjawab memastikan ketersediaan bekalan air terawat di loji rawatan air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Tetapi seperti biasa, dengan mengetepikan kepentingan rakyat, Menteri Besar Selangor mengulangi tuduhan bahawa dakwaan akan berlakunya masalah kekurangan air hanyalah rekaan Barisan Nasional semata mata untuk menakut-nakutkan rakyat Selangor.

Beliau juga menegaskan pembinaan Langat 2 tidak perlu jika Syabas boleh mengatasi masalah kebocoran air (Non-Revenue Water Wastage) yang dianggarkan berjumlah 1.5 juta liter sehari (30% daripada jumlah bekalan sehari) berbanding cuma 1.3 juta yang mampu dikeluarkan oleh loji Langat 2.

Pada Jun 2013, Kerajaan Persekutuan mengulangi amaran bahawa gangguan bekalan air berskala besar dijangka berlaku di Selangor yang akan menjejaskan lebih enam juta pengguna. Hal ini kerana jumlah takungan air di hampir semua 34 pusat pemprosesan air bersih berada pada tahap terendah. Tahap yang dibenarkan (recommended minimum reserve) oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) adalah antara 10 sehingga 15 peratus.

Ekoran itu, pada Ogos 2013, Kabinet memberi tempoh kepada Kerajaan Selangor untuk menyelesaikan kemelut pengambilalihan pentadbiran air antara kerajaan negeri dan pemegang konsesi sebelum Kerajaan Persekutuan bertindak campur tangan memandangkan kegawatan air bukan hanya memberi kesan kepada bekalan tetapi juga pelaburan dan projek pembangunan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menurut SPAN, sejumlah 768 permohonan yang diterima dari Januari 2012 sehingga Disember 2013 untuk projek pembangunan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terpaksa ditangguhkan akibat kekurangan bekalan air. Hanya 51 permohonan diterima sepanjang 2014. Secara tidak langsung ini menutup peluang pekerjaan penduduk setempat.

Pada awal Januari lalu, Abdul Khalid memaklumkan bahawa kerajaan negeri gagal memeterai sebarang perjanjian untuk mengambil alih empat syarikat konsesi air dan beliau juga bersetuju melaksanakan projek pembinaan Langat 2 yang tertangguh sejak lima tahun lalu.

Jika diteliti semua fakta di atas, krisis yang menyeksa rakyat ini ada penyelesaiannya. Tetapi disebabkan ego pihak tertentu, maka kepentingan rakyat tidak dipedulikan.

Yang menjadi mangsa ialah rakyat. Masa berlalu dan akhirnya rakyat juga menderita.

Juragan Malawati..

Anwar buat kesilapan besar?

Kiri Johan Abdul Aziz, Anwar Ibrahim

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim melakukan kesilapan besar dan menempah kejatuhannya apabila bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang sekali gus mengheret rakyat untuk menyelesaikan masalah dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, Anwar juga bertindak di luar kebiasaan apabila kelam-kabut berkempen jauh lebih awal daripada hari penamaan calon pada 11 Mac ini.

"Anwar sudah guna pentas ceramah umum, surau, kuil dan gereja. Beliau sudah pergi semua tempat. Saya tengok sudah macam 'desperado' (terdesak).

"Saya rasa, dalam banyak-banyak perancangan Anwar, kali ini adalah perancangan yang silap dan membawa tangga turun kerana saya tengok beliau gelabah sangat seperti tidak pernah kendalikan pilihan raya kecil," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Johan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih berkata, Anwar sepatutnya meletakkan semua jawatan yang dipegangnya kerana gagal menjalankan tugas sebagai Penasihat PKR untuk menyelesaikan masalah dalaman di antara Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Timbalan Presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali.

Katanya, selaku Penasihat PKR, Anwar sepatutnya mempunyai pengaruh dan mampu menangani krisis dalaman parti tanpa melibatkan rakyat DUN Kajang.

"Kalau dua orang punya angkara, ambil atau korbankan salah seorang. Kenapa perlu pergi ke DUN Kajang," katanya.

Beliau juga membidas Anwar yang sering menyalahkan Barisan Nasional (BN) dalam isu kenaikan harga barang sedangkan Anwar selaku Penasihat Ekonomi Selangor turut menyumbang kepada perkara itu berikutan peningkatan cukai perniagaan di beberapa kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini, Januari lalu.

"Kerajaan negeri memberikan insentif kepada mana-mana PBT yang melonjakkan hasil cukai dan positif akaunnya. Kalau cukai pintu perniagaan dinaikkan, orang berniaga pun mula fikir naikkan harga barang," katanya.

Kata Johan, Anwar juga tidak sepatutnya hanya tahu mengkritik Kerajaan Persekutuan yang sebenarnya telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Kedai Kain Rakyat 1Malaysia (KKR1M) bagi membantu meringankan beban rakyat.

"Kerajaan Persekutuan banyak beri bantuan dan kita umum dengan jelas berapa jumlah yang dibayar dan sebagainya. Kita ada hitam putih. Kerajaan Selangor bantu apa? Cuba keluarkan (angka) berapa ramai ibu tunggal yang dapat bantuan," ujarnya.

Juragan Malawati..

Selasa, 18 Februari 2014

Sandiwara drama Melayu : Khalid nafi diarah tandatangan surat letak jawatan Menteri Besar?


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan mengulas dakwaan beliau diarah Parti Keadilan Rakyat (PKR) menandatangani surat yang mahu beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar.

Sambil menafikan kewujudan surat itu, Abdul Khalid menyatakan usaha untuk menukar Menteri Besar tidak perlu ditimbulkan kerana yang lebih penting pada masa ini adalah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, 23 Mac ini.

"Tidak ada cerita itu (diarahkan PKR tandatangan surat peletakan jawatan Menteri Besar). Saya tak nak komen, lebih baik buat kerja.

"Sekarang, usaha yang penting adalah menentukan kerja-kerja untuk kemenangan PRK DUN Kajang," katanya selepas melancarkan pemasangan sistem kamera litar tertutup pihak berkuasa tempatan di seluruh Selangor di sini hari ini.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini melaporkan Abdul Khalid diarah menandatangani surat peletakan jawatan yang disediakan oleh PKR bagi memberi laluan kepada Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar.


Mengenai saranan bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Nordin supaya beliau memohon perkenan Sultan Selangor untuk membubarkan DUN Selangor ekoran krisis politik di negeri ini, Abdul Khalid berkata, perkara itu merupakan spekulasi semata-mata.

"Itu spekulatif (isu dan masalah politik Selangor). Tidak mengapa, lebih baik kita tengok apa yang perlu, ini bukan mahu cipta drama India dan Indonesia," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid turut menafikan pembabitannya berhubung keputusan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim untuk bertanding sebagai calon Bebas menentang Anwar dalam PRK DUN Kajang pada bulan depan.

Menurutnya, beliau tidak terlibat dalam keputusan Zaid meskipun bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan (KITA) itu menyatakan keputusan berkenaan dibuat demi memastikan usaha menyingkirkan beliau dan mengangkat Anwar mengetuai kerajaan negeri tidak berjaya.

Juragan Malalwati..

Ahad, 9 Februari 2014

MB Khalid pertahan pemecatan 23 staf PHSB?


Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak akan melayan desakan mana-mana pihak yang mahu kerajaan negeri menarik balik keputusan pemecatan 23 kakitangan kontrak PKNS Holdings Sdn. Bhd. (PHSB) pada 4 Februari lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan pemecatan kakitangan terbabit adalah berlandaskan prosedur selain mengikut perundangan sedia ada.

Malah, beliau menyifatkan gesaan pihak tertentu supaya menarik keputusan pemecatan berkenaan hanyalah satu 'permainan' semata-mata dan bukannya satu tindakan yang munasabah.

"Tidak ada gesaan tarik balik keputusan pemecatan kakitangan PHSB. Tanggungjawab pemecatan adalah tanggungjawab di bawah enakmen yang mana gesaan itu tidak ada kena mengena.

"Gesaan itu boleh jadi sama macam menyuruh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang. Itu semua merupakan permainan, bukannya satu perbuatan yang munasabah," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian watikah Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Selangor 2014-2015, di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali semalam yang secara terbuka mengecam tindakan pemecatan kakitangan PHSB selain mendakwa Abdul Khalid menggunakan PKNS sebagai senjata untuk menentang musuh-musuh politiknya.

Azmin turut mendakwa, pemecatan kakitangan PHSB terbabit secara serta-merta di bawah arahan Abdul Khalid itu bukan sahaja melanggar undang-undang pekerjaan tetapi amat tidak berperikemanusiaan kerana bercanggah dengan prinsip Kerajaan PKR Selangor bahawa semua pekerja perlu dilayan dengan bermaruah.

Dalam pada itu, Abdul Khalid menegaskan, keputusan pemecatan kakitangan PHSB berkenaan adalah berlandaskan prosedur serta perundangan yang ada selain menyatakan dilakukan demi kebaikan rakyat negeri ini.

"Saya tidak boleh fikirkan kenyataan orang lain, tetapi yang paling penting apa yang kita lakukan ini demi untuk kebaikan rakyat. Kalau PKNS ingin melakukan satu kerjaya yang berterusan, PKNS mesti ikut lunas-lunas tadbir urus dengan baik, berintegriti dan kebertanggungjawaban.

"Setiap keputusan yang dibuat oleh PKNS adalah berasaskan pada kajian yang dibuat oleh para pengawai syarikat itu. Selaku Pengerusi PKNS, saya hanya diberikan keputusan dan cadangan yang mana jika saya setuju, saya akan minta ia dilaksanakan.

"Dalam isu penamatan kontrak kakitangan PHSB, saya telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi memantau pelaksanaan. Ia dibuat begitu tertib dan tidak ada orang yang tidak mendapat keadilan daripada tindakan itu," katanya.

Juragan Malawati..

Ahad, 2 Februari 2014

Khayalan PKR di DUN Kajang?


Aneh apabila digembar-gemburkan krisis kepimpinan PKR Selangor tidak boleh dikawal lagi. Hubungan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengerusi PKR negeri, Azmin Ali dibayangkan begitu meruncing sehingga boleh mengganggu perjalanan ‘cemerlang’ pentadbiran kerajaan negeri.

Kerumitan hubungan antara parti dan eksekutif ini sehingga ‘memaksa’ Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat tindakan aneh mengarahkan kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang dikosongkan untuk memungkinkan beliau sendiri menggantikan tempat Menteri Besar.

Dalam satu laporan spekulatif portal berita propembangkang, Anwar dan Abdul Khalid dikatakan telah mencapai persetujuan bertukar jawatan masing-masing. Anwar jadi Menteri Besar dan Abdul Khalid sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor. Ini yang digambarkan kepada rakyat.

Tetapi dalam ribut dan kekusutan itu, Anwar, Azmin dan Abdul Khalid menunjukkan sebaliknya. Abdul Khalid orangnya yang mengumumkan nama Anwar sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil DUN Kajang.

Azmin pula bagai pahlawan menyokong penuh bahkan menyifatkan penduduk Kajang dan Selangor bertuah kerana bakal mempunyai pemimpin bertaraf dunia.


Semuanya menuruti kata Anwar. Azmin dan Abdul Khalid senada. Pemimpin PKR dan loyalis Anwar dalam DAP dan Pas pula buru-buru mencari alasan untuk memenuhi nafsu Anwar itu. Anwar benar-benar menunjukkan beliau ada pengaruh dan kuasa mengawal sepenuhnya PKR dan pakatan pembangkang.

Yang anehnya sejak 27 Januari itu tiba-tiba tiada lagi keretakan hubungan. Tiba-tiba Selangor negeri yang selama ini pakatan pembangkang bangga-banggakan memerlukan pemimpin baharu. Tiba-tiba Abdul Khalid yang diagung-agungkan kerana prestasi cemerlang dianggap sebaliknya yang perlu diganti dengan orang lain.

Apa yang berlaku ini menunjukkan Anwar bukan sahaja boleh mengawal tetapi menguasai penuh parti, pakatan pembangkang dan juga kerajaan negeri.

Apakah muslihat di sebalik semua kegilaan ini? Bijak pandai dan strategis PKR cuba berkhayal dengan menyatakan kononnya Anwar akan membuktikan kewibawaannya sebagai Perdana Menteri dengan langkah awal menjadi Menteri Besar di Selangor. Bertanding di DUN Kajang kononnya satu loncatan ke Putrajaya. Beliau kononnya akan menunjukkan caranya.

Tetapi tidak cukupkah dengan jawatan Penasihat Ekonomi Selangor selain Ketua Pembangkang dan de facto PKR yang penuh kuasa itu? Dengan jawatan yang beliau sandang sekarang, pengaruh dan kuasa Anwar melampaui seorang Menteri Besar, ADUN bahkan Pengerusi PKR Selangor. Jadi, untuk apa Anwar bersusah payah sehingga ke tahap tidak munasabah ini?


Anwar pada bila-bila masa boleh memanggil Abdul Khalid dan itu pun yang selalu beliau lakukan. Anwar boleh kerahkan ADUN-ADUN bangkitkan apa jua isu di Dewan. Anwar tentu sekali boleh arahkan Azmin buat itu dan ini. Azmin sanggup lakukan apa sahaja demi Anwar termasuk menawarkan kerusi DUN Bukit Antarabangsa sebagai ganti DUN Kajang.

Jika benar Anwar ada wibawa pemimpin berkelas dunia dan ada pengaruh besar di Asia Barat, berapa banyakkah pelaburan asing yang telah dibawanya ke Selangor? Jika Anwar diheboh-hebohkan sebagai pemimpin super hebat, apakah kejayaan besar yang boleh dilihat di Selangor selain dana sebesar RM2 bilion itu? Jika benar bagai dikata Anwar boleh lakukan sesuatu yang luar biasa atau membuat magik di Selangor, sudah lama beliau lakukan.

Jaguh

Semuanya adalah auta. Rizab tunai RM2 bilion kerajaan Selangor itu pun lebih kepada kejayaan Abdul Khalid yang mengamalkan perbelanjaan ketat sehingga aspek pembangunan pun terpaksa dikorbankan. Jadi, Selangor tidak memerlukan orang berkelakuan songsang apatah lagi untuk menerajui pentadbiran negeri ini.

Apa yang sebelum ini beliau kritik dan kecam, kini Anwar lakukan. Beliau jaguh menolak pembaziran dan wang rakyat tapi Anwarlah yang mencipta pilihan raya kecil DUN Kajang. Beliau kecam salah guna kuasa, manipulasi dan rasuah tetapi Anwarlah yang menggunakan pilihan raya untuk menyelesaikan masalah partinya.

Kepada beberapa pihak, kesongsangan itu baru mereka rasai. Saki-baki pemuja Anwar mulai mencemuhnya. Pendukung demokrasi dan hak asasi manusia melihat tindakan Anwar sebagai melampau. Ulama dan ahli akar umbi Pas secara terbuka menganggap tindakan gopoh PKR sebagai satu pengkhianatan kepada kerjasama politik pakatan pembangkang.


Para netizen mempersendakan tindakan Anwar itu, menjadikannya satira politik paling popular ketika ini. Orang muda mengeluh penuh kekecewaan, apa lagi yang Anwar mahu. Bagi orang kebanyakan, rakyat biasa melihat politik Malaysia ‘sudah tak best’. Tak habis-habis memerangkap rakyat dalam polemik dan politiking. Semakin lama semakin melelah dan menyesakkan.

Jika belum berkuasa penuh Anwar boleh melakukan tindakan aneh sedemikian rupa, apatah lagi nanti ditakdirkan beliau mentadbir Putrajaya. Sudah berderet kegilaan yang dicipta oleh Anwar - 16 September, kes liwat, kontroversi video seks, demonstrasi liar dan kononnya diancam bunuh.

DUN Kajang menjadi satu lagi kegilaan Anwar. Yang jadi mangsa, yang rugi dan susah ialah rakyat. Anwar yang pandai memperdaya dengan memberi harapan demi harapan untuk dimensi baharu Malaysia sebenarnya tak lebih hanya satu fatamorgana.

Sebab itu Barisan Nasional (BN) perlu meletakkan calon yang terbaik bagi memberi pilihan kepada pengundi di Kajang agar menolak politik songsang Anwar dan pakatan pembangkang. Matlamat BN bukan sekadar untuk menang tetapi kali ini satu perjuangan besar bagi menghentikan kegilaan seorang makhluk politik aneh bernama Anwar.

Benar, Anwar boleh menang mudah di Kajang. Dengan kelebihan 41 peratus pengundi Cina, risiko untuk Anwar kalah adalah kecil.

Sangatlah tidak bermartabat untuk sebuah parti politik sewenang-wenangnya menggunakan rakyat sebagai alat untuk kepentingan parti. Dalam alam demokrasi ini, parti politik hakikatnya ialah salah satu tiang yang menopang berdirinya sebuah negara. Jelas, PKR telah mengkhianati tanggungjawab itu.

Juragan Malawati..