UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Ahad, 9 Februari 2014

MB Khalid pertahan pemecatan 23 staf PHSB?


Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak akan melayan desakan mana-mana pihak yang mahu kerajaan negeri menarik balik keputusan pemecatan 23 kakitangan kontrak PKNS Holdings Sdn. Bhd. (PHSB) pada 4 Februari lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan pemecatan kakitangan terbabit adalah berlandaskan prosedur selain mengikut perundangan sedia ada.

Malah, beliau menyifatkan gesaan pihak tertentu supaya menarik keputusan pemecatan berkenaan hanyalah satu 'permainan' semata-mata dan bukannya satu tindakan yang munasabah.

"Tidak ada gesaan tarik balik keputusan pemecatan kakitangan PHSB. Tanggungjawab pemecatan adalah tanggungjawab di bawah enakmen yang mana gesaan itu tidak ada kena mengena.

"Gesaan itu boleh jadi sama macam menyuruh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang. Itu semua merupakan permainan, bukannya satu perbuatan yang munasabah," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian watikah Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Selangor 2014-2015, di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali semalam yang secara terbuka mengecam tindakan pemecatan kakitangan PHSB selain mendakwa Abdul Khalid menggunakan PKNS sebagai senjata untuk menentang musuh-musuh politiknya.

Azmin turut mendakwa, pemecatan kakitangan PHSB terbabit secara serta-merta di bawah arahan Abdul Khalid itu bukan sahaja melanggar undang-undang pekerjaan tetapi amat tidak berperikemanusiaan kerana bercanggah dengan prinsip Kerajaan PKR Selangor bahawa semua pekerja perlu dilayan dengan bermaruah.

Dalam pada itu, Abdul Khalid menegaskan, keputusan pemecatan kakitangan PHSB berkenaan adalah berlandaskan prosedur serta perundangan yang ada selain menyatakan dilakukan demi kebaikan rakyat negeri ini.

"Saya tidak boleh fikirkan kenyataan orang lain, tetapi yang paling penting apa yang kita lakukan ini demi untuk kebaikan rakyat. Kalau PKNS ingin melakukan satu kerjaya yang berterusan, PKNS mesti ikut lunas-lunas tadbir urus dengan baik, berintegriti dan kebertanggungjawaban.

"Setiap keputusan yang dibuat oleh PKNS adalah berasaskan pada kajian yang dibuat oleh para pengawai syarikat itu. Selaku Pengerusi PKNS, saya hanya diberikan keputusan dan cadangan yang mana jika saya setuju, saya akan minta ia dilaksanakan.

"Dalam isu penamatan kontrak kakitangan PHSB, saya telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi memantau pelaksanaan. Ia dibuat begitu tertib dan tidak ada orang yang tidak mendapat keadilan daripada tindakan itu," katanya.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan