Aneh apabila digembar-gemburkan krisis kepimpinan PKR Selangor tidak boleh dikawal lagi. Hubungan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengerusi PKR negeri, Azmin Ali dibayangkan begitu meruncing sehingga boleh mengganggu perjalanan cemerlang pentadbiran kerajaan negeri.
Kerumitan hubungan antara parti dan eksekutif ini sehingga memaksa Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat tindakan aneh mengarahkan kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang dikosongkan untuk memungkinkan beliau sendiri menggantikan tempat Menteri Besar.
Dalam satu laporan spekulatif portal berita propembangkang, Anwar dan Abdul Khalid dikatakan telah mencapai persetujuan bertukar jawatan masing-masing. Anwar jadi Menteri Besar dan Abdul Khalid sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor. Ini yang digambarkan kepada rakyat.
Tetapi dalam ribut dan kekusutan itu, Anwar, Azmin dan Abdul Khalid menunjukkan sebaliknya. Abdul Khalid orangnya yang mengumumkan nama Anwar sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil DUN Kajang.
Azmin pula bagai pahlawan menyokong penuh bahkan menyifatkan penduduk Kajang dan Selangor bertuah kerana bakal mempunyai pemimpin bertaraf dunia.
Yang anehnya sejak 27 Januari itu tiba-tiba tiada lagi keretakan hubungan. Tiba-tiba Selangor negeri yang selama ini pakatan pembangkang bangga-banggakan memerlukan pemimpin baharu. Tiba-tiba Abdul Khalid yang diagung-agungkan kerana prestasi cemerlang dianggap sebaliknya yang perlu diganti dengan orang lain.
Apa yang berlaku ini menunjukkan Anwar bukan sahaja boleh mengawal tetapi menguasai penuh parti, pakatan pembangkang dan juga kerajaan negeri.
Apakah muslihat di sebalik semua kegilaan ini? Bijak pandai dan strategis PKR cuba berkhayal dengan menyatakan kononnya Anwar akan membuktikan kewibawaannya sebagai Perdana Menteri dengan langkah awal menjadi Menteri Besar di Selangor. Bertanding di DUN Kajang kononnya satu loncatan ke Putrajaya. Beliau kononnya akan menunjukkan caranya.
Tetapi tidak cukupkah dengan jawatan Penasihat Ekonomi Selangor selain Ketua Pembangkang dan de facto PKR yang penuh kuasa itu? Dengan jawatan yang beliau sandang sekarang, pengaruh dan kuasa Anwar melampaui seorang Menteri Besar, ADUN bahkan Pengerusi PKR Selangor. Jadi, untuk apa Anwar bersusah payah sehingga ke tahap tidak munasabah ini?
Jika benar Anwar ada wibawa pemimpin berkelas dunia dan ada pengaruh besar di Asia Barat, berapa banyakkah pelaburan asing yang telah dibawanya ke Selangor? Jika Anwar diheboh-hebohkan sebagai pemimpin super hebat, apakah kejayaan besar yang boleh dilihat di Selangor selain dana sebesar RM2 bilion itu? Jika benar bagai dikata Anwar boleh lakukan sesuatu yang luar biasa atau membuat magik di Selangor, sudah lama beliau lakukan.
Jaguh
Semuanya adalah auta. Rizab tunai RM2 bilion kerajaan Selangor itu pun lebih kepada kejayaan Abdul Khalid yang mengamalkan perbelanjaan ketat sehingga aspek pembangunan pun terpaksa dikorbankan. Jadi, Selangor tidak memerlukan orang berkelakuan songsang apatah lagi untuk menerajui pentadbiran negeri ini.
Apa yang sebelum ini beliau kritik dan kecam, kini Anwar lakukan. Beliau jaguh menolak pembaziran dan wang rakyat tapi Anwarlah yang mencipta pilihan raya kecil DUN Kajang. Beliau kecam salah guna kuasa, manipulasi dan rasuah tetapi Anwarlah yang menggunakan pilihan raya untuk menyelesaikan masalah partinya.
Kepada beberapa pihak, kesongsangan itu baru mereka rasai. Saki-baki pemuja Anwar mulai mencemuhnya. Pendukung demokrasi dan hak asasi manusia melihat tindakan Anwar sebagai melampau. Ulama dan ahli akar umbi Pas secara terbuka menganggap tindakan gopoh PKR sebagai satu pengkhianatan kepada kerjasama politik pakatan pembangkang.
Para netizen mempersendakan tindakan Anwar itu, menjadikannya satira politik paling popular ketika ini. Orang muda mengeluh penuh kekecewaan, apa lagi yang Anwar mahu. Bagi orang kebanyakan, rakyat biasa melihat politik Malaysia sudah tak best. Tak habis-habis memerangkap rakyat dalam polemik dan politiking. Semakin lama semakin melelah dan menyesakkan.
Jika belum berkuasa penuh Anwar boleh melakukan tindakan aneh sedemikian rupa, apatah lagi nanti ditakdirkan beliau mentadbir Putrajaya. Sudah berderet kegilaan yang dicipta oleh Anwar - 16 September, kes liwat, kontroversi video seks, demonstrasi liar dan kononnya diancam bunuh.
DUN Kajang menjadi satu lagi kegilaan Anwar. Yang jadi mangsa, yang rugi dan susah ialah rakyat. Anwar yang pandai memperdaya dengan memberi harapan demi harapan untuk dimensi baharu Malaysia sebenarnya tak lebih hanya satu fatamorgana.
Sebab itu Barisan Nasional (BN) perlu meletakkan calon yang terbaik bagi memberi pilihan kepada pengundi di Kajang agar menolak politik songsang Anwar dan pakatan pembangkang. Matlamat BN bukan sekadar untuk menang tetapi kali ini satu perjuangan besar bagi menghentikan kegilaan seorang makhluk politik aneh bernama Anwar.
Benar, Anwar boleh menang mudah di Kajang. Dengan kelebihan 41 peratus pengundi Cina, risiko untuk Anwar kalah adalah kecil.
Sangatlah tidak bermartabat untuk sebuah parti politik sewenang-wenangnya menggunakan rakyat sebagai alat untuk kepentingan parti. Dalam alam demokrasi ini, parti politik hakikatnya ialah salah satu tiang yang menopang berdirinya sebuah negara. Jelas, PKR telah mengkhianati tanggungjawab itu.
Juragan Malawati..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan