UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Sabtu, 29 Disember 2012

Siapa sebenarnya yang penakut?



Penulis langsung tidak terkejut dengan kenyataan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meminta Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan Amanat Haji Hadi yang dikeluarkan 31 tahun lalu.

Ia kerana sebutlah apa pun yang ada kaitan dengan politik Pas, Mursyidul Am itu akan muncul dengan hujah yang meletakkan kepentingan politik Pas mengatasi segala-galanya. Biarlah apa pun ulama kata, biarlah apa juga pandangan mufti dan tidak kisahlah apa pun kesan ke atas umat Islam kerana amanat itu, bagi Nik Abdul Nik Aziz semua itu tidak penting.

Apa yang lebih penting ialah Pas tidak boleh membuka sebarang haluan yang menampakkan parti itu ada masalah. Bagi Nik Abdul Aziz soal apa yang berlaku akibat amanat Hadi adalah isu lapuk dan beliau melihat tidak ada apa salahnya sebuah amanat yang hakikatnya telah memecah belah umat Islam selama 31 tahun itu.

Oleh kerana amanat itu lebih banyak memberi kesan kepada mereka yang sudah meninggalkan perjuangan Pas, Nik Abdul Aziz peduli apa. Sebab itulah beliau mahu Hadi mempertahankan amanat tersebut kerana menganggap Hadi perlu berhadapan dengan puak penakut?

Persoalannya siapakah yang lebih penakut Hadi atau bekas pengikut Pas. Sekurang- kurangnya pengikut Pas berani tampil mendedahkan kisah mereka yang taksub dengan Amanat Haji Hadi.

Tetapi di mana keberanian Hadi yang terus berdiam diri dan tiba-tiba Nik Abdul Aziz muncul dengan hujah politik dangkalnya untuk mempertahankan Hadi.

Siapa sebenarnya penakut, mereka yang muncul mendedahkan penderitaan mereka atau seorang pemimpin yang tidak berani tampil untuk bertanggungjawab terhadap perbuatannya?

Kalau Hadi yakin beliau berada di pihak yang benar dan menganggap amanatnya itu tidak ada apa-apa salahnya, kenapa Hadi tidak bangkit mempertahankannya?

Kenapakah membiarkan isu itu terus menjadi tumpuan? Sepatutnya Hadi mempunyai keberanian untuk berdepan dengan isu tersebut dan bukannya membiarkan pemimpin-pemimpin Pas lain termasuk Nik Abdul Aziz bercakap bagi pihak beliau?

Oleh itu biarpun kita mengetahui betapa hebatnya pengaruhnya Nik Abdul Aziz dalam Pas namun ia bukanlah alasan untuk beliau muncul mempertahankan Hadi.

Beliau berhak berbuat demikian selepas Hadi bercakap tetapi masalahnya Hadi seolah-olah takut berhadapan dengan realiti akibat daripada perbuatannya sendiri.

Justeru tidak perlulah mana-mana pemimpin Pas mahu bertindak sebagai pembela yang tidak bertempat.

Mereka sudah melihat betapa buruknya kesan daripada amanat tersebut justeru kalau pun hendak bercakap desaklah Hadi menarik balik amanatnya atau meminta penyokong Pas supaya tidak lagi berpegang kepada amanat itu. Tetapi masalah Pas tidak akan berbuat demikian apatah lagi pada saat-saat pilihan raya umum semakin hampir.

Apa pun Nik Abdul Aziz ternyata semakin dikaburi dengan ketaksuban politik sehingga menyebabkan beliau dilihat seolah-olah kehilangan sentuhan dan naluri sebagai seorang tok guru dan ulama.

Namun apa yang melucukan penulis ialah apabila Nik Abdul Aziz berkata, agama bukan hak Hadi. Soalnya parti manakah selama ini begitu beria-ia melaungkan kononnya merekalah pejuang Islam?

Parti manakah yang pemimpinnya begitu mudah memperlekehkan segala usaha UMNO dalam soal mengembangkan syiar Islam? Dan kita juga bertanya parti manakah yang sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum ke atas sesama Islam hanya semata-mata kerana perbezaan ideologi politik?

Semua orang tahu apa jawapannya, oleh itu tidak perlulah mana-mana pemimpin Pas cuba berpolitik dalam isu amanat ini dengan melancarkan serangan ke atas pihak yang berusaha menegak kebenaran.

Ingatlah pemimpin yang baik tidak takut untuk bertanggungjawab ke atas setiap perbuatannya, kerana beliau memahami mungkin di dunia beliau boleh bersilat lidah tetapi tidak di akhirat kelak.

Justeru Pas perlu belajar berpolitik secara jujur dan bukannya menuding jari menyalahkan orang lain terhadap apa yang berlaku ke atas mereka atau dilakukan oleh pemimpin mereka.

Sebab itulah keikhlasan dan keberanian Hadi amat dituntut kerana hanya beliau sahaja paling layak untuk memutuskan apa yang sepatutnya dilakukan ke atas amanat berkenaan.

Mungkin Hadi rasa selamat sekarang kerana Pas apatah lagi Mursyidul Amnya tampil membela beliau tetapi Hadi harus ingat yang akan mengundi Pas bukan hanya penyokong parti itu sahaja sebaliknya penentu nasib Pas adalah orang Melayu dan umat Islam.

Golongan itu sudah melihat bagaimana buruknya kesan akibat Amanat Haji Hadi. Mereka kini semakin faham bahawa Pas sanggup melakukan apa sahaja demi untuk meraih kuasa politik.

Kalau dibandingkan Pas dulu dan sekarang tiada bezanya, dulu mereka riuh kafirlah UMNO untuk mendapat sokongan orang Melayu, sekarang mereka bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP pula demi memburu undi bukan Melayu.

Sejak berkawan rapat dengan PKR, pemimpin-pemimpin Pas semakin pandai menjadi sesumpah politik. Begitulah dalam isu amanat ini, Pas tidak akan bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku kerana bimbang akan kehilangan sokongan politik, oleh itu mahu tak mahu Hadi dan pemimpin Pas akan terus bersandiwara dalam isu amanat tersebut.

Salah satu cara ialah mengalih perhatian kepada isu lain, supaya isu Amanat Haji Hadi tidak lagi diperkatakan. Malahan kita juga jangan terkejut jika Pas dilihat seolah-olah berkrisis dengan DAP dalam sesuatu isu.

Hakikatnya semua itu satu sandiwara Pas untuk mengalih perhatian orang Melayu terhadap isu amanat. Kita faham sejauh mana keberanian Pas dalam berhadapan dengan DAP. Kalau Pas begitu berani menyanggah DAP sudah lama Pas bukan sahaja akan dominan dalam pakatan pembangkang malahan akan kekal dengan perjuangan Islamnya.

Oleh itu tidak payahlah Pas hendak bersandiwara kononnya mereka berani menyanggah DAP sedangkan isu amanat pun tidak mampu ditangani.

Jika Pas berasa mereka parti hebat tampilkan Hadi untuk membuat penjelasan supaya segala-gala dosa Pas akibat amanat berkenaan dapat ditebus.

Bagaimanapun percayalah Pas tidak mungkin berbuat demikian kerana perjuangan Pas sekarang bukanlah berkonsepkan parti Islam tetapi sebuah parti yang semakin hendak tenggelam kerana memburu kuasa.

Apa pun kita tunggu dan lihatlah sejauh mana keberanian Pas dalam isu amanat ini kerana jika tersilap langkah ia akan menjadi virus yang mampu memusnahkan Pas seperti virus Amanat Haji Hadi yang terbukti telah memporak-perandakan umat Islam sejak 31 tahun lalu.

Juragan Malawati..

Selasa, 25 Disember 2012

MAIK pernah tegur Hadi tuduh UMNO kafir?



Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pernah mengeluarkan surat rasmi menegur Amanat Haji Hadi dan membidas fatwa-fatwa dalam amanat itu yang menuduh ahli UMNO sebagai kafir.

Pengerusi Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan (Gerakan Tukar), Kamarudin Kasim berkata, teguran tersebut dibuat selepas mesyuarat khas oleh MAIK yang turut dihadiri Mufti Kelantan ketika itu selepas berlaku perpecahan dalam kalangan orang Melayu berikutan amanat tersebut.

Sehubungan itu pihaknya mendesak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik kenyataan tersebut dan berharap agar penyokong tegar parti terbabit kembali ke pangkal jalan.

Kamarudin yang hadir di pejabat Utusan Malaysia di sini hari ini turut menyerahkan salinan surat teguran itu yang dikeluarkan Yang Dipertua MAIK ketika itu, Datuk Wan Mohamed Yusuf sebagai bukti untuk disebarkan kepada rakyat.

Terdapat lapan perkara yang disentuh dalam mesyuarat khas itu iaitu tidak sah jika sembahyang di belakang orang UMNO, haram dimakan daging sembelihan orang UMNO, terfasakh pernikahan antara orang UMNO dengan bukan UMNO dan tidak sah akad nikah oleh imam daripada UMNO.

Turut dibincangkan adalah akad nikah yang dibuat oleh imam UMNO perlu diperbaharui, mayat orang UMNO tidak boleh dikebumikan di tanah perkuburan Islam, jenazah orang UMNO tidak boleh disembahyangkan kerana murtad dan orang UMNO tidak boleh melakukan sembahyang jenazah terhadap orang bukan UMNO serta orang UMNO tidak perlu sembahyang atau menunaikan haji kerana amalan mereka tidak diterima Islam.

"Mesyuarat khas itu telah membahaskan perkara-perkara yang tersebut di perenggan kedua di atas serta juga ceramah-ceramah yang disalin ke dalam kaset-kaset atau pita rakaman berhubung dengan fatwa-fatwa atau pendapat-pendapat tersebut itu dan mengambil keputusan bahawa;

"Setelah membahas mengenai perkara-perkara tersebut dengan beralasan kepada kitab-kitab tafsir dan kitab-kitab tauhid karangan ulama yang muktabar, maka dengan sebulat suara jemaah ulama membuat keputusan bahawa kelapan-lapan perkara yang tersebut adalah tidak benar dan bertentangan dengan ajaran Islam serta sangat mendatangkan bahaya terhadap akidah Islamiyah dan orang-orang Islam.

"Oleh yang demikian, MAIK memberi nasihat kepada orang ramai supaya jangan terkeliru dengan pendapat-pendapat atau fatwa-fatwa yang menyeleweng serta menyesatkan umat Islam yang dibuat oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab," jelas surat tersebut.

Surat tersebut menyatakan mesyuarat khas itu turut dihadiri Timbalan Mufti Kelantan ketika itu dan beberapa tok guru pondok seluruh Kelantan.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan pendedahan bekas aktivitis dan penyokong tegar Pas, Zainon Ismail atau lebih dikenali sebagai C.N. Al-Afghani bahawa puluhan ribu pengikut Pas masih berpegang kepada Amanat Haji Hadi.

Beliau yang juga penulis buku Kafirkah Aku? sehubungan itu mendesak agar amanat itu ditarik balik kerana penyokong tegar Pas sehingga hari ini masih beranggapan ahli UMNO lebih hina daripada orang bukan Islam.

Juragan Malawati..

Sabtu, 22 Disember 2012

Amanat Hadi : Tarik balik fatwa, mohon maaf terbuka?



Menghukum orang Islam sebagai kafir kerana berbeza pendirian politik bukanlah satu perkara baharu malah sudah berakar umbi sejak munculnya sebuah parti politik yang menggunakan agama sebagai platform ideologinya. Hal ini dapat dibaca menerusi pelbagai tulisan sama ada yang ditulis oleh sarjana tempatan mahupun luar negara yang mengkaji politik orang Melayu di Kelantan untuk tempoh 1960-an hingga masa kini.

Prof. William Roff misalnya menghimpunkan beberapa rencana yang ditulis oleh pengkaji dan budaya tempatan Kelantan dalam naskhah Kelantan: Religion, Society and Politic in Malay States (1974); Prof. Clive Kessler yang melakukan kajian beberapa tahun mengenai politik Kelantan dalam Islam and Politics in a Malay State, Kelantan 1838-1969 (1978); Prof. N John Funston dalam Malay Politics in Malaysia: A Study of the Malays United Organisation and Party Islam (1980); Prof Hussin Mutalib, Islam and Ethnicity in Malay Politics (1990); Prof. Firdaus Abdullah dalam Radical Malay Politics: It Origins and Early Development (1985); dan beberapa orang lagi telah menemukan bahawa pertembungan politik yang berteraskan nasionalisme dan ideologi Islam telah menyebabkan berlakunya persoalan kafir mengkafir sesama umat Islam.

Bagaimanapun, menghukum sesama Islam yang tidak sehaluan pendirian politik menjadi semakin serius apabila seorang yang dianggap radikal dalam Pas mengeluarkan fatwa pada tahun 1981 dan kemudiannya diulang serta dicetak secara meluas untuk dijadikan “doktrin politik" dan “kehendak agama" bagi menghadapi pilihan raya umum pada tahun 1982 ekoran kemasukan Anwar Ibrahim dalam UMNO dan kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dianggap sebagai “ultra Malay."

Kemuncaknya dapat disaksikan berlakunya perpecahan masyarakat yang lebih kritikal di beberapa buah kampung di Terengganu dan Kelantan sehingga insiden pulau memulau jiran tetangga dan sekampung, haram memakan sembelihan, sembahyang dua iman, haram menziarahi kematian orang berlainan sokongan politik, perceraian akibat berbeza parti, dan tidak kurang juga pergaduhan sehingga terputusnya silaturrahim walaupun sedarah, seagama, seketurunan ataupun dilahirkan oleh ayah dan ibu yang sama.

Konflik politik itu masih belum berakhir hingga sekarang meski pun tahap keseriusannya tidaklah sehebat situasi pada tahun 1980-an dan 1990-an. Isu ini kembali menyengat apabila Presiden Pas, Abdul Hadi Awang beberapa hari lalu memohon maaf semasa berucap di Sidang Dewan Undangan Negeri atas kesilapan politik dan tindakannya selama ini walaupun beliau tidak pernah mengakui bahawa fatwa yang dibuatnya sejak lebih tiga dekad menjadi faktor terbesar berlakunya perpecahan dalam masyarakat Melayu-Islam di Malaysia.

Apa pun, kerana parti berkenaan dilihat semakin terdesak, angin perubahan golongan muda untuk tidak mempercayai kepimpinan mereka yang dilihat semakin tidak relevan, maka adalah lebih manis membuat permohonan maaf meskipun ia lebih bersifat politik berbanding permohonan maaf berdasarkan kesedaran sebenar untuk mengulangi kesilapan.

Barangkali adalah lebih baik jika kita membaca semula sebuah buku kecil yang pernah diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung dengan tuduhan kafir mengkafir sesama Islam. Adalah lebih baik kita cuba memahami apa yang dijelaskan dalam buku kecil yang bertajuk Penjelasan Mengenai Isu Mengkafirkan Orang Islam, Jihad dan Mati Syahid yang diterbitkan pada tahun 2002, kerana ia ditulis berdasarkan pendapat dan tafsiran ulama muktabar dan bukannya ulama politik.


Tuduhan bahawa pemimpin dan penyokong UMNO adalah kafir berdasarkan daripada penjelasan Allah SWT dalam surah al-Maidah, ayat 44 yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah), menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah); sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan).

Oleh itu hendaklah kamu takut kepada-Ku (dengan menjaga diri daripada melakukan maksiat dan patuh akan perintah-Ku); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia), dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya) maka mereka itulah orang-orang yang kafir.

Dalam ayat 47 surah yang sama, Allah SWT menjelaskan: “Dan hendaklah Ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya, dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.

Ayat-ayat itulah yang menjadi sandaran atau hujah untuk melabelkan seseorang itu sebagai kafir walaupun tafsiran ulama yang muktabar membuktikan berlaku salah tafsiran (orang Pas) dan tidak menepati maksud sebenar.

Maksud sebenar ayat-ayat tersebut (Surah al-Maidah ayat 44 dan 45) ialah:

(1) Dalam kitab Tafsir Ruhul Ma‘ani Juzuk 6 halaman 130, ialah “Golongan Khawarij telah membuat hujah dengan ayat ini bahawa orang fasik (yang melakukan dosa) adalah kafir yakni tidak mukmin." Pendapat golongan Khawarij ini dijawab oleh ulama Islam dengan beberapa jawapan antaranya:

(a) Ayat tersebut tidak dimaksudkan dengan makna zahir kerana menghukum itu meskipun pengertiannya meliputi amalan hati dan perbuatan anggota lahir, tetapi yang dimaksudkan ialah amalan hati itu sendiri, iaitu “mempercayai’' atau “tidak mempercayai’' hukum Allah.

Maka tidak syak lagi bahawa seseorang itu menjadi kafir jika ia tidak mempercayai akan apa yang diturunkan oleh Allah; tetapi ia tidak kafir sekiranya ia tidak mengamalkan atau melaksanakan hukum Allah.

(b) Dalam tafsir Ruhul Ma‘ani juga dijelaskan lagi bahawa Ibnu Abbas telah menyatakan bahawa ‘sesungguhnya Allah menurunkan ayat-ayat di atas (ayat 44, 45, 47 Surah al-Maidah) hanya mengenai orang Yahudi, semata-mata’' (tidak dimaksudkan kepada orang mukmin (Islam).

(c) Seterusnya Tafsir Ruhul Ma‘ani menerangkan bahawa Abi Salleh telah berkata: “Tiga ayat dalam Surah al-Maidah tersebut tidak kena-mengena dengan orang Islam, ayat tersebut adalah mengenai orang kafir’.

Jika benarlah tiap sesuatu yang dilakukan yang bertentangan dengan hukum Islam akan menjadikan seorang Islam itu kafir, maka mungkin 99.9% daripada orang Islam sudah menjadi kafir selama ini (peratusan ini sebagai gambaran yang manusia tidak maksum). Mereka tetap sebagai orang Islam walaupun mereka berkali-kali membuat dosa.

Seseorang yang murtad ialah mereka yang menolak agama Islam selepas ia memeluk Islam, dan juga orang Islam yang mengkafirkan orang Islam yang lain tanpa usul periksa sedangkan orang Islam itu masih berpegang kepada ajaran Islam dan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.

Oleh itu, mana-mana pemerintahan Islam di dunia ini adalah bertanggungjawab memastikan perkara ini supaya tidak menjejaskan kekuatan umat Islam. Jawapan sudahlah jelas bahawa orang UMNO tidaklah kafir kerana orang UMNO, mereka tetap beriman dengan al-Quran serta sentiasa berusaha mempertingkatkan kedudukan Islam di negara ini.

Mengenai isu dan hukum Takfir (mengkafirkan orang Islam) ini, Ahli Jawatankuasa Tetap Agama Bagi Majlis Raja-Raja yang bersidang pada 27 - 28 Mei, 1963 telah mengeluarkan pendapat seperti berikut:

* “...Adalah kufur mengkufurkan seseorang Islam itu satu daripada perkara yang dipandang tersangat berat di dalam agama Islam. Kiranya orang yang dihadapkan kepadanya perkataan itu tidak tepat sifat-sifat yang menjadikan dia murtad, maka kembalilah hukum murtad itu kepada orang yang berkata itu pula".

* “...Mengikut kitab karangan Syarwani dalam juzu’ 9 muka surat 88 ada mengingatkan orang-orang Islam supaya jangan terburu-buru mengatakan kufur kepada seseorang Islam, apatah lagi bagi orang awam sangat tidak digemari mengeluarkan perkataan kufur kepada saudara-saudaranya yang lain."

* “...Ahli-Ahli Jawatankuasa Tetap Agama Bagi Majlis Raja-Raja menasihatkan setiap orang Islam bahawa kalimah kufur mengkufurkan sesama Islam itu hendaklah dipelihara daripada lidah masing-masing sama ada dalam kempen-kempen atau perbualan hari-hari atau lainnya."

* Ayat 44 Surah al-Maidah adalah ditujukan kepada orang kafir Yahudi kerana mereka mengubah hukum Allah dan menggantikannya dengan hukum ciptaan mereka sendiri. Ini jelas dari ayat tersebut yang mengisahkan turunnya kitab Taurat yang dikaitkan dengan orang Yahudi.

* Tidak menjadi kafir seseorang Islam yang tidak melaksanakan hukum Islam dalam sesebuah negara selagi ia tidak mengingkari kebenaran hukum tersebut yang datang dari Allah; apatah lagi jika ia (atau mereka) tidak mempunyai kuasa penuh untuk berbuat demikian.

* Pas mengkafirkan UMNO semata-mata atas dasar perbezaan politik kerana kedua-duanya merebut pengundi Islam, khasnya orang Melayu.

Dalam hal ini, siapakah yang sebenarnya yang menolak serta memutarbelitkan al-Quran dan al-Sunah? Siapakah yang sebenarnya kafir?

Ingatlah firman Allah yang bermaksud: “Jangan engkau menurut hawa nafsu kerana yang demikian itu akan menyesatkan kamu dari jalan Allah." (Surah Sad, Ayat 26).

Maka wajarlah Presiden Pas itu mengambil pendirian memohon maaf secara terbuka kepada semua umat Islam di Malaysia dan dengan hati penuh ikhlas menarik balik fatwa yang telah banyak meninggalkan kesan negatif sehingga mengakibatkan pecah belah masyarakat dan suasana persaudaraan yang dibingkaikan oleh tafsiran politik matlamat menghalalkan cara.

Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah
Malaysia (Yadim)

Juragan Malawati..

Selasa, 18 Disember 2012

Mimpi Pas sebagai parti dominan?


Benarkah Pas mampu menjadi parti alternatif untuk umat Melayu-Islam menggantikan UMNO atau sekadar pak turut dalam pakatan pembangkang? Dari kiri Lim Kit Siang, Hadi Awang, Nik Aziz dan Anwar Ibrahim dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat bulan lepas.

Dominan bermakna mempunyai pengaruh, autoriti atau kawalan yang utama ke atas sesuatu. Apabila seseorang menyatakan dia adalah dominan, bermakna dia punya pengaruh, autoriti dan kawalan utama dalam menterjemahkan kehendak dan kemahuannya.

Apabila sebuah parti politik menyatakan ia adalah parti dominan, bermakna parti itu mempunyai pengaruh, autoriti dan kawalan untuk menterjemah dan melaksanakan falsafah, dasar dan agenda perjuangan parti itu; dan ia dihormati oleh parti yang duduk di bawah dominasinya!

Itulah yang berlaku kepada UMNO. Apabila UMNO menjadi parti dominan di dalam Barisan Nasional (BN), maka UMNO mempunyai pengaruh, autoriti dan kawalan utama untuk melaksanakan dan menterjemahkan falsafah, dasar dan agenda perjuangan parti UMNO.

Ia melibatkan iaitu membela dan memartabatkan bangsa Melayu dan Islam; di samping menjaga kebajikan dan kepentingan agama dan bangsa lain. Dan ia dihormati rakan komponennya.

UMNO telah membuktikan status dominannya dalam BN dengan melaksanakan dasar dan agenda perjuangan Melayu-Islam sejak penubuhannya pada 11 Mei 1946 sehingga kini.

Daripada mendapatkan kemerdekaan untuk negara secara aman, memastikan Islam menjadi agama negara, meletakkan syariat dan institusi Islam lebih tinggi dalam Perlembagaan dan dasar negara, membela dan memartabatkan bangsa Melayu melalui Dasar Ekonomi Baru, Dasar Transformasi Negara; di samping menjaga kebajikan dan kepentingan kaum dan agama lain di dalam Malaysia.

UMNO telah berjaya membuktikan ia bukan sahaja parti yang dinamik dan pragmatik, malah ia adalah parti yang dominan dan dihormati kawan, digeruni lawan.

Dan penghormatan parti komponen lain terhadap UMNO sebagai parti dominan sangat jelas. Sewaktu MCA menghadapi krisis kepimpinan akibat persengketaan antara Tan Koon Swan dan Neo Yee Pan, pemimpin UMNO, Allahyarham Tun Ghafar diberi mandat oleh MCA untuk menjadi Presiden sementara MCA.

Tun Ghafar berjaya menyelesaikan masalah kepimpinan MCA sehingga MCA kembali bersatu. Sewaktu MIC menghadapi krisis kepimpinan, sekali lagi pemimpin UMNO diberi amanah memimpin dan membimbing MIC keluar daripada kemelut itu.

Dan sekali lagi pemimpin UMNO berjaya menyelesaikan masalah kepimpinan MIC.

UMNO tidak mengkhianati rakan komponennya dan tidak mengambil kesempatan daripada masalah dalaman yang dihadapi rakan BN. Parti itu tidak menikam parti kawan daripada belakang.

Malah UMNO menjadi rakan yang begitu setia dan sanggup berkorban untuk 'teman-temannya' didalam Barisan Nasional. Sewaktu UMNO menghadapi krisis kepimpinan sehingga diharamkan pada tahun 1988, dengan segera rakan komponen MCA, MIC dan lain-lain bermesyuarat mengambil alih secara sementara kepimpinan BN untuk selama beberapa minit.

Namun mereka membuat keputusan menyerahkan semula kepimpinan BN kepada Presiden UMNO Baru Tun Dr. Mahathir Mohamed. Itu maknanya UMNO parti dominan.

Persoalan

Itu maknanya UMNO parti tunggak. Itu maknanya UMNO parti tunjang. Parti yang dihormati kawan, tetapi digeruni lawan. Sekarang Pas mendakwa ia sebagai parti dominan didalam pakatan pembangkang. Pas mendabik dada sebagai parti tunggak.

Pas mengaku sebagai parti tunjang dalam pakatan pembangkang. Sehingga Pas sanggup membuat usul untuk memamak bendaharakan presidennya, Datuk Seri Hadi Awang menggantikan Anwar Ibrahim.

Persoalannya, benarkah dakwaan Pas itu? Benarkah Pas boleh menjadi parti alternatif untuk umat Melayu-Islam menggantikan UMNO? Benarkah umat Islam-Melayu wajib membantu Pas dengan mengundi mereka didalam PRU-13 nanti.

Mari kita kupas dan huraikan persoalan ini secara fakta dan bukti. Keputusan Exco Kerajaan Pas Kelantan untuk menggantung, menilai dan mengkaji semula undang-undang PBT berkaitan pengharaman lelaki bercampur wanita setelah tercetusnya isu salon bukan Muslim yang disaman kerana membenarkan tukang gunting wanita menggunting rambut pelanggan lelaki sebenarnya menimbulkan satu polemik politik yang lebih besar.

Saya menjangkakan undang-undang pengasingan jantina tersebut yang sudah wujud sejak Pas memerintah Kelantan pada tahun 1991 itu akhirnya akan ditalkinkan tidak lama lagi setelah dikritik hebat baru-baru ini.

Saya cukup yakin kerajaan Datuk Nik Aziz tidak membuat keputusan tersebut akibat teguran UMNO; almaklumlah UMNO bukan sahaja parti yang telah dikafirkan, malah dimurtadkan sehingga mahu didoakan supaya hancur lebur baru-baru ini.

Takkan Nik Aziz nak dengar nasihat parti yang telah dikafir-murtadkan? Saya juga cukup yakin keputusan kerajaan Datuk Nik Aziz itu bukan kerana tekanan daripada Chua Soi Lek mahupun Palanivel, apatah lagi Koh Tsu Koon. Mereka bukan rakan-kafir yang sekatil-sebantal dengan Pas.

Malah dek kerana bersepakat dengan merekalah UMNO diisytihar dan difatwakan kafir dan tidak layak masuk syurga.

Keputusan kerajaan Nik Aziz tersebut dibuat setelah menerima kritikan, tekanan dan desakan daripada rakan sekatil dan sebantal mereka iaitu kepimpinan parti cauvinis rasis DAP.

Tekanan

Rata-rata pemimpin cauvinis DAP ini menempelak tindakan kerajaan PAS Nik Aziz itu. Dan tekanan bertambah berat apabila Dewan Himpunan Penyokong bukan Muslim Pas Pusat turut membantah dan menegur tindakan Kerajaan Pas Kelantan.

Apakah maksud ini semua? Maknanya Pas bukan parti dominan, hanya sekadar parti tunggak serta dilihat sekadar 'khadam pak turut' kepada kehendak DAP. Itulah maksudnya. Jangan kata undang-undang yang dah berumur lebih 20 tahun boleh ranap, perjuangan Negara Islam yang menjadi modal politik Pas pun akhirnya bungkus.

Sampai tidak jumpa lagi Negara Islam didalam al-Quran. Semuanya demi mengejar undi bulan Melayu. Dan Pas beriman dengan keyakinan bahawa DAP boleh membantu mereka mendapat undi bukan Melayu dan bukan Muslim.

Pas berakidah bahawa melukakan hati DAP bermakna sayonara kepada undi bukan Melayu dan bukan Muslim. Maka bagi Pas, demi mahligai Putrajaya, mereka tiada pilihan, wajib tunduk, "sami' nawa ato'na" kepada kehendak DAP.

Saya melihat isu mutakhir ini sebagai bukti jelas betapa laungan pimpinan Pas bahawa mereka adalah parti dominan di dalam pakatan pembangkang adalah sekadar retorik politik sahaja.

Malah angan-angan Pas sebagai kononnya parti dominan sehingga menyebabkan mereka membuat usul untuk memperdana-menterikan Datuk Seri Hadi Awang, yang ternyata 'syok' dengan tawaran jawatan mahkota Putrajaya tersebut hanyalah sekadar satu fantasi dan ilusi semata-mata.

Pas mengumumkan pula bahawa mereka kini adalah parti alternatif bagi orang Melayu-Islam menggantikan UMNO. Konon skrip lawak mereka menyatakan Pas adalah tunjang kepada pakatan pembangkang masakini sebagaimana UMNO di dalam Barisan Nasional.

Malah dilawakkan lagi bahawa orang Melayu-Islam wajib membantu dengan mengundi Pas dalam PRU-13 sebagai sandaran dan harapan baru menggantikan UMNO.

Persoalan besarnya - betulkah Pas dominan? Jawapannya jelas Pas bukan parti dominan. Sebab itu umat Islam-Melayu janganlah terpedaya dengan mainan dan dakyah politik Pas dan pakatan songsang ini.

Bagaimana mungkin sebuah parti yang hanya akan bertanding 60 kerusi Parlimen daripada 222 kerusi mahu menjadi parti dominan?

Bagaimana parti yang hanya boleh memenangi tidak lebih 30 kerusi Parlimen nak menjadi parti pembela umat Islam-Melayu? Apa yang terjadi di Kelantan itu hanya sebagai satu lagi siri bukti dan keterangan yang memperjelaskan lagi kepada kita umat Islam-Melayu bahawa Pas bukanlah satu agama.

Masuk Pas bukan makna masuk syurga. Undi Pas bukan bermakna sokong Islam. Sebaliknya, Pas membuktikan kepada kita umat Islam-Melayu bahawa ia bukan sahaja bersedia membuang peraturan yang di buat sendiri selama 20 tahun.

Malah Pas sanggup memecat ahlinya sendiri demi kepentingan politiknya, Pas bukan sahaja sanggup menggadai institusi perkahwinan dan anak isteri, malah Pas membuktikan ia parti politik yang sanggup membuang dasar perjuangan negara Islamnya semata-mata untuk meraih undi.

Pas adalah contoh klasik falsafah politik Machiavelli - matlamat menghalalkan cara. The end justify the means! Jangan kata nak jadi parti dominan atau alternatif bagi umat Melayu-Islam kerana Pas sudah muncul menjadi Partai Si-Kitol.

Oleh : Zulkifli Nordin

Juragan Malawati..

Isnin, 17 Disember 2012

Tuduh UMNO Kafir, Hadi Wajib Tarik Balik Amanat - Harussani!




"Hadi Awang wajib tarik balik," itulah yang dikatakan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harusani Zakaria ketika diminta mengulas mengenai amanat yang pernah dikeluarkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada April 1981 yang telah mengkafirkan UMNO.

"Tidak semudah itu kita nak menuduh orang kafir. Selagi dia mengucap dua kalimah syahadah, macamana kita nak tuduh orang kafir... itu hanya satu pendapat yang melulu dan tidak ada asas. Ini bukan dari segi parti tapi dari segi syarak, saya ketengah bagi menjawab perkara ini," ujarnya kepada UMNO-Online.

Di dalam amanat tersebut, Hadi Awang telah mengatakan bahawa Pas menentang UMNO bukan kerana UMNO, menentang Barisan Nasional (BN) bukan kerana telah lama memerintah tetapi kerana mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir dan mengekalkan peraturan jahiliyah.

Hadi Awang turut menyebut bahawa perjuangan PAS menentang UMNO dan BN ini adalah jihad dan mati mereka adalah syahid kerana menentang UMNO yang menjadi kafir disebabkan mengamalkan politik suku dan agama suku.

Akibat daripada amanat ini maka terjadi perpecahan ummah di kalangan umat Islam. Penyokong taksub PAS mula mempercayai bahawa UMNO adalah kafir yang akhirnya mengundang peristiwa Memali pada 19 November 1985. Disebabkan amanat ini jugalah tercetus permulaan solat dua imam yang semakin memecahbelahkan perpaduan umat Islam.

Kenyataan daripada Harussani ini turut disokong oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

Menurut Wan Zahidi, fatwa Haji Hadi Awang ternyata bercanggah dengan amalan ahli sunnah wal jamaah.

"Wajib tarik balik. Bahayanya bukan kepada UMNO tetapi kepada orang itu sendiri... Mereka sendiri yang boleh jadi kafir... Kita kena kembali semula kepada ajaran sunnah wal jamaah... tuduhan ini boleh menyebabkan semua amalan seseorang itu tidak diterima oleh Allah SWT," jelas beliau.

Sila klik di sini.

Juragan Malawati..

Rabu, 12 Disember 2012

Isu Selangor : Golongan muda digesa tuntut PKR tunai janji PRU-12?



Golongan muda di negeri ini digesa bangkit menuntut Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor membina perumahan kos rendah untuk mereka seperti yang dijanjikan pada pilihan raya umum lalu.

Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi menegaskan, sehingga ke hari ini kerajaan negeri gagal melaksanakan janji itu termasuk melaksanakan projek perumahan kos rendah yang baru kepada rakyat Selangor khusus bagi golongan muda.

Katanya, jika benar kerajaan negeri membina rumah kos rendah untuk rakyat Selangor, rakyat perlu diberitahu secara jelas lokasi rumah-rumah tersebut.

''Kerajaan negeri tidak perlu menamakan projek-projek yang telah dirancang ketika pentadbiran negeri di bawah Barisan Nasional (BN) dan menganggapnya sebagai usaha mereka menyediakan perumahan untuk rakyat.

''Sebaliknya, kami mahu kerajaan negeri menyatakan projek-projek baru yang dilaksanakan mereka sendiri sejak menerajui kerajaan negeri. Rakyat Selangor perlukan rumah, orang muda perlukan rumah seperti yang dijanjikan sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas mengadakan kempen tuntutan tersebut di tapak pasar malam Seksyen 17 di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari dan Timbalan Pengerusi Pemuda MCA Selangor, Datuk Dr. Ching Eu Boon.

Budiman berkata, bagi memberikan kesedaran awam tentang tuntutan tersebut, pihaknya telah mengedarkan 1,000 topeng dan risalah di tapak pasar malam Seksyen 17 di sini.

''Pengedaran topeng tersebut merupakan antara usaha untuk memastikan seluruh rakyat Selangor termasuk golongan muda bersama-sama menuntut hak mereka bagi memiliki kediaman sendiri seperti yang dijanjikan kerajaan negeri menerusi manifesto parti pembangkang pada pilihan raya umum lalu," katanya.

Dalam pada itu, Budiman turut mempersoalkan fakta yang dikemukakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan, Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad mengenai pembinaan perumahan kos rendah di empat daerah di Selangor yang didakwanya mengelirukan.

Beliau mendakwa, ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 26 Mac lalu, Iskandar menyatakan kerajaan negeri telah menyiapkan sebanyak 107 unit rumah tersebut di daerah Hulu Selangor dan di Klang pula sebanyak 132 unit perumahan tersebut dalam pembinaan.

Selain itu katanya, Iskandar turut mendakwa bahawa di daerah Kuala Langat dan Sepang, kerajaan negeri telah meluluskan pembinaan unit perumahan kos rendah masing-masing sebanyak 1,730 dan 562 unit.

Sebaliknya dakwa beliau, berdasarkan iklan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri di dalam sebuah akhbar tempatan pada 30 Oktober 2012, kesemua fakta tersebut didapati bercanggah sama sekali.

''Antaranya daerah Hulu Selangor direkodkan tiada sebarang unit kos rendah berjaya disiapkan di daerah itu.

''Begitu juga dengan daerah Klang yang dinyatakan tiada sebarang projek pembinaan kos rendah sedang dijalankan di daerah tersebut," katanya.

Juragan Malawati..

Ahad, 9 Disember 2012

Janji Sultan Sharafuddin.



Wawancara dengan Sultan Selangor, SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH sempena keputeraan baginda yang ke-67 kali ini agak berbeza. Wawancara diadakan di Istana Bukit Kayangan, tidak seperti biasanya di Istana Mestika.

Lebih istimewa kerana buku coffee table terbaharu baginda bertajuk A Fulfilment telah siap. Buku ini khusus menceritakan tentang Masjid Istana Diraja di Istana Alam Shah, Klang

Sultan Selangor sendiri terlibat secara terperinci pembinaan Masjid Istana Diraja, daripada reka bentuk sehingga hiasan dalaman. Dengan penuh minat dan mendalam baginda menceritakan setiap sisi terutama falsafah pembinaan masjid ini.

Macam lampu ini (chandelier) harganya dekat AS$300,000 (RM900,000) di Dubai. Saya ambil gambar minta orang Kuala Selangor buat dan harganya jauh lebih murah. Orang Melayu memang boleh buat jika diberi tunjuk ajar," titah baginda dalam wawancara eksklusif itu.

Dalam wawancara lebih dua jam itu, Sultan Selangor menyentuh banyak perkara daripada pengalaman mengembara, minat baginda terhadap sejarah, kedudukan orang Melayu, Islam dan pembangunan negeri serta tidak ketinggalan tentang tohmahan yang baginda terima kebelakangan ini.

Saya tidak akan berhenti. Tohmahan-tohmahan itu tidak menyebabkan saya tertekan terutama ketika di saat-saat mencabar," titah baginda yang bertegas tidak akan menyerah kalah dan akan terus menyatakan pandangan.

Baginda mengakui peranan sebagai Sultan semakin mencabar berikutan terlalu banyak politiking dan masyarakat yang mudah dibuai sentimen. Antara puncanya, titah baginda kerana "kita semakin kurang menggunakan logik akal dan terlalu banyak mengikut emosi dan perasaan."

HARI KEPUTERAAN DAN HOBI

Menjelang hari keputeraan Tuanku, apakah perasaan Tuanku sebagai pemerintah negeri Selangor dan sebagai Ketua Agama Islam. Apakah Tuanku mahu terus aktif bekerja atau ada perancangan lain?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya merasa gembira kerana rakyat Negeri Selangor yang berbilang kaum hidup aman dan damai dan dapat menjalani aktiviti-aktiviti masing-masing dengan tidak ada apa sekatan begitu juga saya bersyukur negeri Selangor ini tidak dilanda malapetaka yang teruk dan menyusahkan rakyat jelata dan sebagai Ketua Agama Islam saya bersyukur kerana rakyat yang berbilang bangsa dapat beribadat mengikut agama masing-masing dengan tidak ada sekatan.

Saya akan teruskan kerja kerana saya gemar bekerja dan tidak merungut tentang kerja walaupun terdapat banyak cabaran. Kalau tidak kerja saya akan sakit. Saya suka minda yang aktif, dan tidak suka duduk rehat tanpa melakukan kerja. Saya akan terus bekerja selagi termampu tetapi apabila sakit dan terpaksa pakai kerusi roda, mungkin sudah sampai masa saya berehat. Selagi boleh berjalan, kesihatan masih baik, saya akan teruskan bekerja.

Mungkinkah Tuanku tidak lagi aktif dalam aktiviti lasak?

SULTAN SHARAFUDDIN: Ya, sudah kurang. Saya sudah berusia 67 tahun dan berfikir perlu mengurangkan aktiviti lasak kerana keadaan kesihatan tidak membenarkan saya melakukannya. Tetapi saya masih mempunyai keinginan untuk melawat ke satu tempat yang belum pernah saya lawati iaitu Amerika Latin. Oleh kerana saya tidak boleh tinggalkan negeri terlalu lama maka susah sikit mahu menjelajah ke sana. Bukanlah tujuan berkunjung untuk menikmati kemewahan negeri itu sebaliknya saya mahu pergi lebih lama supaya dapat memahami keadaan negara itu, budaya serta sejarahnya. Namun kerana saya tidak boleh tinggalkan negeri terlalu lama selain daripada usia yang meningkat, maka agak sukar untuk melakukan lawatan ini. Insya-Allah mungkin dalam tahun depan saya akan cuba.

Masa saya menjelajah dunia menggunakan kapal layar dahulu hanya memasuki Panama sahaja. Saya teringin melihat negara Amerika Latin yang lain seperti Brazil, Argentina, Chile, Colombia dan Equador. Kalau boleh saya hendak pergi melalui jalan darat dan tidak suka pergi sekejap-sekejap. Kalau saya hendak pergi ke sesebuah negara sekurang-kurangnya akan menetap dalam 10 hari untuk memahami kedudukan, sejarah serta masyarakat di negara tersebut. Itu adalah cara saya melihat atau merantau ke sesebuah negara.

Bagaimanakah dan mengapa jiwa mengembara muncul dalam diri Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya membaca banyak buku terutama tentang eksplorasi dan mendapati kalau banyak melihat negeri orang lain kita akan dapat memahami, mempelajari dan mendapat banyak idea. Itu adalah perkara yang saya lakukan, seperti tahun ini bila mengembara ke Eropah, saya mendapat khidmat pakar sejarah sebagai jurupandu.

Tahun ini saya pergi Berlin dan St. Petersberg serta duduk selama 10 hari. Saya telah diberikan pengetahuan tentang sejarah di negeri yang saya lawati itu. Saya dengan kawan baik saya telah melawat muzium, melihat kehidupan orang di sana.

Apakah yang Tuanku pelajari daripada melawat tempat sejarah seperti itu?

SULTAN SHARAFUDDIN: Di tempat yang saya lawati, saya mendapat banyak idea. Saya seorang yang sangat menggemari sejarah kerana ia memberi tauladan yang mana buruk dan yang mana baik, selain menyedarkan diri kita. Kalau kita buta sejarah, itu yang banyak menimbulkan masalah sekarang. Ramai orang sekarang yang terlalu mengikut emosi kerana tidak faham sejarah. Saya lihat orang Malaysia ramai yang tidak begitu mendalami sejarah. Kalau tidak mempunyai pengetahuan sejarah yang mendalam, akan mengakibatkan kita tidak patriotik. Itu sebabnya terdapat pihak yang mahu menukar bendera negara Malaysia kerana tidak faham sejarah.Bagi saya sejarah adalah penting.

Saya pergi ke Indonesia dan apabila menaiki teksi (dalam lawatan tidak rasmi), pemandunya tahu dan bangga tentang sejarah negara itu. Mereka bercerita dengan bersemangat. Kalau kita naik teksi di Malaysia kebanyakan pemandu tidak tahu sejarah. Cuba tanya berapa tingkat KLCC, berapa harga pembinaan KLCC, mereka tidak tahu. Orang Indonesia berbangga walaupun hanya seorang pemandu teksi, malahan cerita mereka lebih mendalam serta begitu patriotik.

Tuanku naik teksi ketika di Indonesia?

SULTAN SHARAFUDDIN: Ya, saya naik teksi bukan dahulu sahaja, malah sehingga sekarang pun. Mereka tidak tahu siapa saya, mereka ingat saya orang Indonesia ke, Hong Kong ke, Cina ke. Sebahagian pemandu teksi di Malaysia, kebanyakannya tidak tahu sejarah. Bila ditanya bila Bangunan Sultan Abdul Samad siap dibina, pada tahun berapa, mereka tidak tahu. Itu adalah sesuatu yang menyedihkan kerana tidak tahu sejarah.

Adakah Tuanku merakam catatan ketika mengembara ke luar negara dalam buku dan sebagainya?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya rakam banyak pengalaman saya semasa pengembaraan dalam diari, dan saya akan menerbitkan buku daripada catatan saya tersebut. Tahun ini, saya menerbitkan buku tentang masjid yang dibina untuk kerabat. Masjid yang saya bina ini mengambil contoh daripada pengalaman. Setiap kali mengembara saya banyak melihat kawasan dan masjid yang indah. Oleh itu, saya bina masjid dalam kawasan istana untuk kerabat, untuk bersatu padu selain saling tegur menegur antara satu sama lain. Segala urusan boleh dilakukan di masjid ini daripada sambutan perayaan, hinggalah urusan kematian.

Bukan semua kerabat saya kaya, kalau mereka meninggal dunia dan tempat mereka tidak sempurna bawalah ke masjid ini untuk diuruskan, seperti memandikan jenazah, sembahyang jenazah serta urusan pengebumian. Cuma satu yang tidak dibenarkan iaitu sembahyang Jumaat sebab sudah terdapat masjid yang lebih tua yang terletak berdekatan. Selain daripada itu boleh digunakan untuk sembahyang waktu. Ketika saya belajar di luar negara, istana mereka terdapat ruang untuk bersembahyang jadi itu yang saya lakukan. Ini adalah antara idea yang dipelajari apabila berada di luar negara. Yang elok kita bawa balik, apa yang tidak elok usahlah bawa balik.

Mungkin terdapat negara yang dilawati meninggalkan kesan kepada Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN: Susah nak jawab, kerana saya suka semua tempat yang dilawati. Kalau pergi ke tempat yang tidak berapa elok sekali pun saya suka, kerana belajar banyak perkara baru. Saya suka dengan pengalaman dan perkara baru yang ditemui dan agak sukar untuk memilih negara mana yang bagus atau tidak.

CABARAN SEBAGAI SULTAN

Sebagai ketua agama negeri apa masalah dan cabaran yang dilalui kebelakangan ini?

SULTAN SHARAFUDDIN: Sejak kebelakangan ini saya dapati banyak aduan daripada orang Islam, yang mana masih banyak berlaku politiking di dalam masjid. Kalau saya tegur, mereka akan menuduh saya menyebelahi kepada sesuatu parti. Saya bertitah senang sahaja, jangan berpolitik di masjid, kerana ia boleh mengakibatkan perpecahan orang Melayu kita. Kalau pergi masjid, buat cara kita di masjid, dan kalau nak bercakap politik, keluar dari kawasan masjid, cakaplah semahunya. Lepas itu balik semula ke masjid dan sembahyanglah. Itu saja yang saya cakap.

Tetapi malangnya, terdapat pihak yang masih lagi mengikut emosi dan tidak berfikir panjang. Saya cuma cakap jangan buat lagi, kerana ia tidak elok. Saya tidak suka buang pegawai masjid jika buat kesalahan, kerana ia bukan cara saya menyelesaikan masalah. Saya tidak mahu rosakkan periuk nasi orang, tapi mesti dengarlah cakap. Saya bukan tidak suka orang cakap politik atau tidak suka orang politik, malah sebenarnya kuasa saya mengatasi politik. Saya lebih bimbangkan perpecahan orang Melayu.

Jika terdapat waktu paling sukar dan mencabar dalam hidup Tuanku, bilakah masanya?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya suka kepada cabaran. Saya tidak rasa tertekan. Apa saja cabaran dan masalah saya suka selesaikannya. Saya tidak akan merungut jika ada masalah dalam pentadbiran atau urusan negeri. Saya akan mengatasi masalah itu. Sebab itu saya jarang ada waktu rehat dan apabila perlu ke kawasan yang bermasalah, saya tetap akan pergi, kerana itu adalah sebahagian daripada tugas saya. Ini kerana dalam hidup kita, ada waktu senang, ada susah. Kalau masalah itu sukar, ia satu cabaran pada saya untuk menyelesaikannya. Saya tidak boleh menjawab bila waktu sukar dan sebagainya.

Apakah Tuanku merasakan cabaran kini semakin hebat, dan mengapa begitu?

SULTAN SHARAFUDDIN: Ya, memang semakin hebat cabaran, terutama sebagai Sultan Selangor. Saya fikir kita semakin kurang menggunakan logik akal dan terlalu banyak mengikut emosi dan perasaan. Malah saya lihat, ada di antara mereka yang mempunyai ijazah dan berpelajaran tinggi, namun masih terikut-ikut dengan emosi dan tidak menggunakan kewarasan fikiran.

Dalam Tuanku menghadapi cabaran dan dugaan besar, apakah atau siapakah yang menjadi rujukan Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN: Setiap kali ada masalah, saya akan rujuk kepada Majlis Dewan Diraja atau kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Kalau dalam soal perundangan, saya akan rujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor. Saya juga akan merujuk rakan-rakan rapat untuk mendapat nasihat dan idea. Sebagai contoh, seperti pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, saya akan merujuk kepada Penasihat Undang-Undang dan Ahli Dewan Diraja, yang kebanyakannya bekas pegawai kerajaan.

Ahli Dewan Diraja tidak ada ahli politik kecuali Menteri Besar sebagai Ex-Officio kerana saya mahu kekalkan majlis tersebut berkecuali. Kalau ada masalah dalam soal pelantikan, saya mempunyai ramai orang sebagai penasihat. Kalau berkaitan agama saya minta nasihat MAIS dan kalau hendak lebih terperinci, saya minta nasihat daripada Mufti. Contohnya dalam isu pluralisme dan liberalisme agama, MAIS, JAIS dan Mufti adalah penasihat saya. Draf teks ucapan, saya minta disiapkan seminggu lebih awal. Terdapat beberapa peringkat untuk pemantauan sehinggalah ucapan itu sempurna. Saya tidak melakukannya secara mudah, dan ia perlu dilakukan dengan teliti serta mendapat pandangan pelbagai pihak.

Bagaimana rujukan daripada kerajaan negeri?

SULTAN SHARAFUDDIN: Ucapan saya bukan disediakan oleh kerajaan negeri. Mereka hanya dirujuk untuk dapatkan fakta sahaja seperti berapa jumlah masjid dan surau serta lain-lain perkara.

Kenapakah Tuanku menyediakan semua sendiri?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya tidak ada pasukan penyelidik. Kakitangan Pejabat Sultan Selangor akan mengumpulkan maklumat. Saya membuat ucapan sendiri kerana kalau orang lain buat, takut ada udang sebalik batu. Saya tidak ada agenda tersembunyi, ucapan saya untuk menasihati rakyat. Sebab itu kadang-kadang saya berasa sedih dan benci kalau ada orang kata saya menyebelahi mana-mana parti. Apa ni! Saya tidak ada kena mengena dengan perkara itu. Saya cakap apa yang penting untuk Islam dan bangsa Melayu dan perpaduan antara kaum. Saya cuma memberikan nasihat secara ikhlas kepada rakyat Selangor.

Tuanku kelihatan selalu ditohmah dalam segenap aspek tetapi Tuanku masih terus berani melahirkan pandangan.

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya tidak akan berhenti. Tohmahan-tohmahan itu tidak menyebabkan saya tertekan atau menyerah kalah, terutama ketika di saat-saat mencabar. Saya telah memikirkan perkara ini, serta menanam keazaman pada saat mengangkat sumpah sebagai sultan. Saya juga berjanji dengan Almarhum Ayahanda, sebelum beliau mangkat dan memberi wasiat kepada saya supaya memelihara Islam, Melayu, jaga perpaduan antara kaum di negeri ini serta jangan ketepikan bangsa Melayu. Itu amanah daripada Almarhum Ayahanda, dan saya berpegang kepada janji itu. Almarhum Ayahanda menangis dan bimbang semasa memberi wasiat tersebut kepada saya. Beliau tidak mahu saya jadi sultan yang berkhayal saja, main-main. Beliau mahu saya serius melakukan tugas, dan saya beritahu akan lakukan yang terbaik.

PERPADUAN MELAYU

Dalam soal perpecahan Melayu yang seperti sudah terlalu teruk dan tidak ada perubahan, apakah nasihat Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN: Mungkin orang Melayu sangat mudah dipengaruhi, mungkin akibat daripada kempen politik yang sentiasa berjalan hampir setiap hari. Kenapa orang dahulu berfikiran tajam seperti menjadikan Islam sebagai Agama Persekutuan dan sebagainya. Ini menunjukkan kebijaksanaan datuk nenek kita dalam mempertahankan hak dan kedudukan orang Melayu. Mungkin mereka lihat orang Melayu senang dihasut pemikiran dan mudah dipengaruhi. Oleh itu saya harap pemimpin-pemimpin sekarang mesti sedar dan kekal memainkan peranan mereka dalam menyatukan orang Melayu. Tidak mengapa jika kita mempunyai fikiran yang berbeza, tetapi apabila melibatkan Islam dan Melayu mereka perlu bersatu.

Adakah Tuanku melihat perkara melaga-lagakan orang Melayu ini sudah sampai ke tahap melampau sehingga ada yang mendoakan kehancuran orang Melayu lain?

SULTAN SHARAFUDDIN: Mungkin ia sudah ke tahap melampau dan masih belum ada persefahaman bahawa sudah sampai masa untuk orang Melayu berbaik-baik. Saya masih belum melihat sesiapa pun bersungguh-sungguh mengajak orang Melayu berbaik-baik. Orang Melayu sudah berpuak-puak tetapi saya mahu melihat semua orang Melayu bangkit dan berbaik-baik sesama mereka. Kini orang Melayu terlalu mengejar kedudukan dan kebendaan. Saya melihat apabila orang Melayu terperangkap dalam sesuatu isu, mereka perlu bersatu sesama sendiri, insya-Allah mereka akan lebih selamat. Kalau berterusan bergaduh sebegini, habislah orang Melayu. Sekurang-kurangnya saya melihat kita orang Melayu perlu bersatu sebagai umat Islam.

Pada pandangan Tuanku apakah masalah ini boleh diselesaikan?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya percaya bahawa setiap masalah ada penyelesaian. Kalau orang Melayu fikir mendalam dan faham sejarah, mereka tidak akan lakukan perkara ini. Allah kata kalau manusia buat salah, mereka boleh insaf dan bertaubat dan balik jalan yang betul. Kita perlu sedar apabila dah melakukan kesalahan, tetapi jangan asyik mengulanginya, kita perbetulkan balik. Saya juga buat salah, tapi kemudian minta maaf dan tidak buat lagi. Saya perbetulkan balik. Tetapi masalahnya, ahli politik kebanyakannya tidak mahu mengaku salah. Mereka sentiasa menegakkan benang basah. Mereka melakukan kesalahan berulang-ulang. Almarhum Ayahanda selalu cakap, kalau buat salah mengaku sahaja, dan mulakan buku baharu. Tetapi bagi ahli politik, mustahil itu semua akan berlaku.

Tuanku kelihatan sedih dengan keadaan ini tapi bagaimanakah Tuanku melihat hala tuju keadaan ini, ke mana ia akan berakhir?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya tidak boleh bercakap mengenai politik, tetapi terpulang kepada rakyat memikirkannya. Saya cakap, rakyat perlu buat pilihan dengan bijak untuk masa depan. Kita sebenarnya hidup bukan untuk diri sendiri sekarang, tetapi kita hidup untuk tinggalkan kepada generasi masa hadapan. Seperti yang orang dahulu kata, tinggalan kita adalah untuk anak cucu cicit kita, bukan untuk diri sendiri. Kita mesti fikir dengan bijak untuk keperluan generasi akan datang, dan bukannya mengikut emosi, tetapi semua ini terpulang kepada rakyat.

Apakah nasihat Tuanku kepada ahli politik yang cuba memutarbelitkan sejarah?

SULTAN SHARAFUDDIN: Memandangkan pilihan raya akan berlangsung tidak lama lagi, saya harap kita perlu mengekalkan keamanan. Elakkan pergaduhan serta permusuhan kerana ini adalah satu pembaziran dalam bentuk jangka panjang kepada rakyat dan kerajaan negeri. Kita tidak perlu menyakitkan hati, mengeluarkan kenyataan putar belit hanya untuk memperoleh sokongan. Mereka sepatutnya berkhidmat untuk rakyat, serta janganlah bertindak seperti batu api yang akhirnya mencetuskan perbalahan, kerana akhirnya rakyat dan negeri Selangor sendiri yang rugi.

KEDUDUKAN ISLAM

Dalam konteks masalah pluralisme dan liberalisme, apakah yang menjadi kebimbangan Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN: Almarhum Ayahanda saya dahulu ada beritahu, pastikan orang Melayu kita jangan terpengaruh dengan ajaran sesat yang tidak betul, sehingga mereka tidak boleh fikir mana betul dan mana tidak betul. Sebab itu dalam soal pluralisme, kalau orang Melayu kita senang-senang boleh tukar agama, apa nak jadi pada bangsa Melayu.

Saya ingat orang dulu-dulu, fikiran mereka lebih tajam. Mereka mahukan bangsa Melayu mesti beragama Islam. Terdapat tiga definisi mengenai orang Melayu, beragama Islam, bercakap bahasa Melayu dan mengamalkan cara hidup orang Melayu. Itu ciri-ciri orang Melayu, tetapi kenapa? Dahulu datuk nenek kita memasukkan perkara ini dalam perlembagaan, kerana tidak mahu orang Melayu senang-senang tukar agama, itu perkara yang sangat penting.

Kenapa orang dulu-dulu letakkan agama Islam sebagai Agama Persekutuan. Ini kerana orang dulu-dulu cuba memelihara orang Melayu, kerana mereka tahu di negara ini terdapat berbilang bangsa dan agama. Jadi kita jangan nak ikut tanpa berfikir mendalam (dalam soal pluralisme dan liberalisme). Saya akan jadi orang pertama bercakap menentangnya.

Saya fikir orang dulu-dulu takut kita orang Melayu senang dipengaruhi. Jadi mereka buat peraturan. Saya lihat sekarang orang muda serta terpelajar, banyak terpengaruh dengan pluralisme dan liberalisme kerana terikut-ikut. Sebab itu perlu dibuat satu garis panduan. Kenapa sultan-sultan terdahulu buat undang-undang, orang Melayu sahaja yang boleh jadi Menteri Besar. Sudah tentu ada sebabnya. Oleh itu, kita mesti tahu sejarah, apakah sebab dan alasan kenapa sesuatu perkara berlaku, bukan ikut hati.

Apakah yang perlu dilakukan oleh orang Melayu dalam menghadapi masalah ini?

SULTAN SHARAFUDDIN: Mereka perlu disedarkan. Saya sering berucap untuk menyedarkan orang Melayu. Bukan berucap tidak setuju begitu saja, tetapi saya beri sebabnya. Kalau orang Melayu kita senang-senang boleh tukar agama, apa nak jadi pada bangsa Melayu.

Dalam membendung pluralisme, liberalisme, LGBT dan sebagainya ada parti politik yang tidak ada komitmen tinggi untuk menyelesaikan masalah ini. Apakah pandangan Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya percaya semua masalah ada penyelesaian, kebenaran akhirnya akan dapat dilihat. Tetapi kita mesti jangan berputus asa. Orang yang memahami masalah itu perlu bersuara dan perbetulkan. Kalau para alim ulama tahu perkara itu salah, jangan senyap sahaja, sentiasa bersuaralah. Saya laksanakan tugas dengan penuh kesedaran, tidak mempunyai sebarang agenda dan percaya jika perkara yang dilaku dan dinyatakan itu betul, saya akan terus bercakap. Bagi saya kalau hidup ini ada agenda tersembunyi dan tidak betul, maka susahlah kita hendak hidup. Ia hanya akan menjerat diri sendiri.

Tuanku berani bersuara tetapi terdapat mereka yang hanya mampu berdiam diri walaupun mempunyai kedudukan untuk bersuara.

SULTAN SHARAFUDDIN: Bagi sesetengah orang, mereka hanya mampu bertindak menyelamatkan diri sendiri dan cuba memilih jalan singkat. Tapi bagi saya lebih baik berterus terang. Kalau benda tu tidak betul hendaklah tegur dan jika perkara itu betul, saya akan tetap dengan pendirian saya. Tetapi jika salah, saya akan mengaku. Kebanyakan orang tidak bersuara. Sebagai contoh, ucapan saya supaya orang Melayu bersatu, bukanlah bermakna apabila bersatu itu mereka akan berperang dengan bangsa lain. Tetapi untuk menjadikan mereka kuat dan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum boleh hidup muhibah dan berpakat. Kalau itu berlaku, kita semua akan maju. Tetapi jika bergaduh dan semua gunakan agama, saya takut akan berlaku malapetaka. Kenapa saya cakap mengenai pluralisme, liberalisme. Ini kerana saya takut akan berlaku malapetaka. Saya bertanya kepada mufti dan beliau menyatakan akan ditimpa malapetaka jika orang Melayu terjebak dalam isu sebegini ,seperti dinyatakan di dalam al-Quran.

SEJARAH, POLITIK DAN KONTROVERSI

Banyak kontroversi yang berlaku sepanjang kepimpinan Tuanku. Apakah dan bagaimanakah Tuanku melalui semua ini?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya akui memang banyak kontroversi yang berlaku dan tidak dinafikan antaranya, pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, isu air dan pelbagai lagi. Begitu juga apabila berucap dalam satu majlis di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mana saya telah menasihatkan para pelajar supaya tidak terlalu berpolitik di dalam kampus supaya mereka boleh tumpukan perhatian pada pelajaran. Namun pesanan ini telah diputarbelit. Walhal nasihat itu hanyalah kerana bimbang kebanyakan yang aktif berpolitik itu pelajar Melayu, yang akhirnya apabila tamat nanti hanya mendapat keputusan sekadar lulus sahaja. Mereka ini perlu berbangga menjadi pelajar universiti kerana ramai lagi yang tidak berpeluang. Bagi saya itu adalah sesuatu yang tidak betul dan perlu menasihatkan para pelajar, apa yang perlu menjadi keutamaan dalam hidup, supaya tidak menyesal di kemudian hari. Saya bimbang nasib anak Melayu. Tetapi mungkin juga pada pandangan saya, orang Melayu terlalu minat dalam politik. Kalau mereka berminat baguslah, tetapi biarlah memilih jalan yang betul. Namun bagi saya, kontroversi sebegini adalah sebahagian daripada cabaran yang perlu dihadapi.

Kebelakangan ini banyak isu melibatkan kerajaan negeri antaranya air dan sampah. Bagaimanakah Tuanku melihat perkara ini?

SULTAN SHARAFUDDIN: Memang banyak isu di negeri ini tetapi saya tidak boleh cakap secara terbuka. Ini kerana nanti ada yang melihat saya cuba masuk campur dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri. Ia melibatkan Menteri Besar dan barisan exco, dan mereka pula dipilih oleh rakyat. Jadi saya hanya bersuara dalam majlis tertentu sahaja, tetapi apabila melibatkan isu-isu yang besar, maka saya perlu bersuara.

Bagaimanakah Tuanku melihat orang muda sekarang, apakah berlaku jurang yang besar dari segi peringkat umur?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya takut orang muda tidak tahu sejarah dan kemudian buat keputusan hanya untuk jangka masa pendek. Takut esok bila sudah menyesal, sudah berlaku, bila kita nak perbetulkan dah jadi susah. Saya harap orang muda yang bijak pandai ini, perlu berfikir secara mendalam dan bukan mengikut emosi. Sekarang ni orang muda sering bercakap tentang soal hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan sebagainya. Memang betul, tetapi perlulah ada batasannya. Kalau mengamalkan kebebasan bersuara tetapi hanya untuk mengata orang, tidak elok juga. Atau membuat fitnah atas alasan hak asasi, ia hanya akan menyusahkan orang lain.

Dalam soal hak asasi manusia, jika keadaan seperti zaman zalim Hitler atau Pol Pot bolehlah bertindak untuk memperjuangkan hak asasi. Kita mesti mempunyai batasan dan jangan guna hak asasi atau kebebasan bersuara untuk menghancurkan negara. Saya mahu berterus terang bahawa saya sedih dengan kejadian rusuhan yang berpunca daripada perarakan dan demonstrasi. Bila polis terpaksa mengambil tindakan, mereka kata polis kejam dan tidak mengamalkan hak asasi. Tetapi apabila perusuh memukul polis, tendang polis boleh pulak. Tidak pula mereka kata melanggar batas dan hak asasi manusia. Bukanlah saya tidak suka kepada hak asasi dan kebebasan bersuara, tetapi yang lebih penting kita perlu ada batas dan etika yang betul.

Mengapakah Tuanku lihat masyarakat semakin bertindak emosi dan tidak lagi bergantung kepada akal fikiran yang waras?

SULTAN SHARAFUDDIN: Mungkin kerana mereka terlalu hendakkan kebebasan dan hak asasi, serta mengejar kebendaan. Mereka tidak fikir panjang, dan sudah tentu mereka tidak begitu faham tentang sejarah dan undang-undang negara. Jika tidak, kenapa ada pihak nak tukar bendera Malaysia. Mesti ada sesuatu yang mengakibatkan mereka bersikap emosi. Kita seharusnya tidak mereka-reka perkara yang tidak perlu. Akhirnya kita hanya terperangkap dengan emosi dan gagal menggunakan logik akal fikiran.

Apakah ini berkaitan dengan kegagalan pemimpin politik itu sendiri?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya tidak boleh cakap banyak mengenai politik. Saya baca semua akhbar dan blog walaupun ramai kawan-kawan kata jangan baca blog. Tapi bagi saya maklumat ialah kuasa, jadi saya perlu membaca semua laman blog dan portal. Saya beritahu kepada kakitangan istana, apa saja dalam blog dan portal yang berkaitan dengan Selangor, cetak dan beri pada saya untuk dibaca. Tapi malangnya, dalam blog dan portal ini, semua yang mereka katakan adalah saya orang UMNO, sedangkan saya tidak menyebelahi mana-mana parti politik. Saya kenal Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan keluarga Tun Razak semasa saya muda, berumur 22 tahun. Ketika berlaku 13 Mei, Almarhum Ayahanda saya ketika itu tidak berada di dalam negeri Selangor.

Tun Razak yang banyak membantu saya. Itu sebabnya saya kenal rapat ahli keluarga Tun Razak. Ada pula mereka yang menyatakan ucapan saya orang UMNO yang buat, Najib yang buat. Hakikatnya Najib ada banyak kerja lain hendak dibuat. Ini seolah-olah mereka cuba menyatakan saya tidak berotak dan tidak tahu buat ucapan sendiri. Saya ada sebutkan kepada Menteri Besar, "apa ni sikit-sikit saya dikatakan orang UMNO di dalam blog". Saya yakin sekarang kerana beri wawancara kepada Utusan, orang akan kata saya orang Utusan. Padahal pihak Utusan yang minta jumpa. Macam kes Talam dan sebagainya, saya tidak campur tangan. Kalau tidak suka kepada isu pentadbiran, saya akan minta setiausaha sulit menulis surat kepada kerajaan negeri bahawa perkara itu tidak betul. Kalau perkara lebih penting, saya akan tulis sendiri kepada Menteri Besar. Tetapi kalau melibatkan agama, bangsa Melayu dan perpecahan perpaduan, saya akan kritik secara terbuka dalam ucapan, itu prinsip saya. Kalau dalam soal pentadbiran, saya akan tegur Menteri Besar kalau tidak betul, sama ada melalui perjumpaan atau menulis surat, tetapi tidak secara terbuka. Malangnya, terdapat mereka yang salah faham apabila saya menegur tentang Melayu bersatu, maka ada pihak yang kata saya orang UMNO. Itu adalah sesuatu yang saya sangat benci mendengarnya. Pihak ini ikut sedap mulut bercakap tetapi tidak mahu memahami nasihat saya yang ikhlas.

Terdapat pihak yang cuba menggunakan istana untuk kepentingan politik peribadi seperti memanipulasi ucapan Tuanku dan sebagainya. Apakah pandangan Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN: Dalam ucapan sempena seminar "Tuanku Prihatin Masjid" anjuran JAIS, saya ada katakan, jangan manipulasi kedudukan saya sebagai Ketua Agama Islam Negeri dan saya beri nasihat dengan ikhlas dan secara terus terang. Ramai ahli politik yang mengaku kenal rapat dengan saya untuk mempengaruhi orang lain, bahawa beliau boleh mendapatkan sesuatu melalui saya. Setiap kali membuat lawatan ke daerah-daerah, saya jumpa wakil rakyat di situ. Mereka akan tunggu untuk bersalaman dan sebagainya tetapi tidaklah rapat. Mereka ini kalau hendak menghadap Sultan Selangor hanya diluahkan melalui blog atau suratkhabar.

Di Pejabat Sultan Selangor kita ada prosedur. Kalau hendak menghadap, hendaklah tulis surat kepada Setiausaha Sulit dan nyatakan tujuan hendak berjumpa. Saya akan pertimbangkan permohonan tersebut. Kalau ada kena mengena dengan Selangor, saya bagi jumpa. Pernah berlaku satu ketika dahulu saya beri jumpa seorang ahli politik, tetapi sesudah berjumpa dan keluar daripada istana, mereka cakap lain daripada apa yang dibincangkan. Itu yang bahaya. Kalau cakap betul-betul terdapat kemusykilan, atau saya ada membuat kesalahan, cakap terus terang, dan ikhlas nasihatkan saya. Berjumpa dengan saya dan beritahu apa tujuan sebenar, tapi janganlah apabila keluar istana cakap benda lain. Bila saya jawab balik, dah jadi masalah lain pula. Itu yang jadi masalah, jadi lebih baik tidak payah jumpa. Selain Menteri Besar, jika ada ahli politik yang hendak berjumpa, saya kena panggil Ahli Dewan Diraja sebagai saksi.

Tuanku ada menyatakan mahu melihat negeri Selangor terus maju dan syaratnya kerajaan negeri mesti terdiri daripada mereka yang berwibawa. Kebetulan pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi, apakah nasihat Tuanku kepada rakyat dalam hal ini?

SULTAN SHARAFUDDIN: Bagi saya apa yang perlu rakyat lakukan adalah memilih dengan penuh kebijaksanaan. Saya berkecuali dalam hal ini, kerana kedudukan saya mengatasi ahli politik. Malah Almarhum Ayahanda telah meninggalkan pesan supaya saya, Raja Muda serta waris tidak keluar mengundi supaya kami neutral dan berkecuali. Saya mahu pesan supaya kita semua perlu belajar dan memahami sejarah. Ini penting kerana kita ni mudah lupa. Sejarah yang telah terjadi perlu diingati supaya kita tidak lupa. Malangnya, kini ada pula pihak yang sudahlah tidak mahu memahami sejarah, tetapi mahu pula mengubah sejarah.

SULTAN BERJIWA RAKYAT

Tuanku banyak mendapat maklum balas daripada rakyat dan sudah tentu ia menggambarkan Tuanku rapat dengan mereka. Apakah pandangan Tuanku?

SULTAN SHARAFUDDIN: Ya, saya membaca dan mendapat banyak maklum balas. Ramai yang menulis surat kepada saya dan saya membacanya sendiri. Surat-surat ini bukan saja daripada orang istana atau kawan-kawan, tetapi kebanyakannya diterima daripada rakyat. Saya beritahu kepada Menteri Besar tentang surat yang saya terima mengenai perkara yang menjadi masalah rakyat. Terpulang kepada Menteri Besar untuk mengambil tindakan atau tidak, kerana beliau dipilih oleh rakyat. Kita mengamalkan demokrasi.

Seperti yang Tuanku ceritakan tadi, Tuanku naik teksi seperti orang kebanyakan dan adakah itu adalah salah satu cara mendapatkan maklum balas?

SULTAN SHARAFUDDIN: Ya, memang betul, mana-mana saya pergi tidak ada pengiring polis atau pengawal peribadi. Malah saya pergi luar negara pun tidak bawa sesiapa, hanya seorang diri atau bersama rakan rapat. Kalau sudah tiba ajal, maka jika pengawal penuh sekalipun, kita akan mati juga. Semua terpulang kepada Allah, saya tidak mempunyai musuh. Kalau orang tidak suka kepada saya, apa saya boleh buat. Mungkin saya perlukan orang lain bila sudah tua dan menggunakan kerusi roda. Kerana tidak boleh berjalan, maka saya terpaksa minta tolong.

Patik tertarik cara pemilihan penerima-penerima pingat. Kriterianya nampak begitu teliti.

SULTAN SHARAFUDDIN: Apabila mengambil alih tampuk pemerintahan, saya beritahu kakitangan bahawa Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Selangor bukanlah sesuatu yang boleh diberi secara mudah. Seperti anugerah Datuk mesti umur 45 tahun ke atas. Ahli politik sekurang-kurangnya berkhidmat satu penggal penuh dan pegawai kerajaan mesti lama bertugas di Selangor. Ahli perniagaan, kalau duit banyak itu kehidupan mereka tetapi tidak semestinya boleh mendapat gelaran Datuk melainkan mereka selalu menolong komuniti atau menyumbang untuk kebajikan, seperti Persatuan Bulan Sabit Merah, anak yatim atau lain-lain pertubuhan masyarakat. Untuk tahun ini penganugerahan Darjah Kebesaran adalah sedikit. Saya beri dua Darjah Kebesaran Datuk Seri, satu Darjah Kebesaran Datuk Setia dan 28 Datuk. Maksimum ialah 40, tapi biasanya saya akan beri tidak sampai 30 orang dan bergilir-gilirlah. Kadang-kala ada orang layak, tetapi kalau ada orang yang lebih senior, saya beri dahulu. Biar mereka merasa, orang muda boleh tunggu dulu.

Kalau ada pihak melobi, adakah mereka akan dilayan?

SULTAN SHARAFUDDIN: Mustahil mereka akan dilayan, tetapi memang banyak yang melobi. Tahun ini saya tidak beri kepada ahli politik, kerana hendak berlaku adil. Masa pentadbiran kerajaan sekarang, parti PKR, hanya Menteri Besar dapat anugerah Datuk Seri. Untuk DAP, saya beri kepada Datuk Teng Chang Kim. Tahun lepas saya beri kepada Datuk Hasan Ali dari Pas, kerana beliau telah berkhidmat selama banyak penggal sebagai wakil rakyat. Tetapi pada hari saya anugerahkan beliau Darjah Kebesaran, Hasan dipecat dari parti. Jadi beliau dapat dua berita. Satu berita gembira satu berita sedih. Itu bukan masalah saya beliau dipecat. Kalau saya beri kepada orang UMNO sahaja, mungkin mereka boleh kata saya pro UMNO, tetapi itu tidak berlaku. Saya tidak faham kenapa perlu dituduh begitu. Saya cuba menjadi adil sebaik mungkin. Saya tahu ramai yang layak, tetapi kalau beri terlalu banyak Darjah Kebesaran, ia akan menjadi tidak berharga. Tunggulah, kalau panjang umur dapatlah.

Bagaimanakah Tuanku mahu rakyat mengingati Sultan dan institusi diraja?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya fikir majoriti rakyat masih mahukan institusi raja. Namun ada orang dan pergerakan yang tidak mahu institusi raja. Antara alasannya adalah mereka melihat institusi raja ini sebagai satu penghalangan dan mereka ini mempunyai agenda terselindung. Antara penghalangan yang dilihat mereka adalah seperti yang diperkatakan oleh sepupu saya, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, bahawa institusi raja bukan sekadar lambang, tetapi banyak lagi kuasa yang dimiliki dan boleh dipraktikkan. Selain itu usaha untuk menukar perlembagaan, memansuhkan kedudukan Islam dan kedudukan orang Melayu, sebenarnya perlu mendapatkan kelulusan raja-raja. Itu juga penghalangan bagi mereka. Saya lihat ini antara punca kenapa mereka ada agenda tersembunyi. Namun saya menyerahkan kepada rakyat.

Saya juga difahamkan terdapat orang Melayu sendiri yang tidak bersetuju dengan institusi raja, malah menulis di dalam blog dan sebagainya, mengata akan keburukan raja-raja. Malah ada yang lebih dahsyat dengan mencerca kedudukan raja-raja secara terbuka, berbanding dahulu yang mana masih ada segan silu. Bukan bangsa lain yang memburuk dan menjatuhkan Raja-Raja Melayu, tetapi orang Melayu sendiri. Saya berharap institusi raja ini masih boleh dipertahankan. Selain dari itu, saya berharap kami Raja-Raja Melayu dapat melakukan perkara yang betul dan sepatutnya. Tetapi kalau orang Melayu sendiri yang tidak sedar maka sukarlah keadaannya. Seperti pesanan Almarhum Ayahanda kepada saya, jaga agama Islam, jaga orang Melayu, jaga perpaduan antara kaum, kerana perkara-perkara ini sangat penting untuk dipertahankan.

Akhir sekali apakah harapan Tuanku kepada rakyat Selangor?

SULTAN SHARAFUDDIN: Saya berharap semua orang yang menetap di Selangor dapat hidup bersatu padu antara satu sama lain. Saya juga sangat berharap supaya orang Melayu mesti bersatu kerana jika kita tidak bersatu, dalam apa jua yang dilakukan adalah mustahil untuk kita mencapainya. Hidup juga mesti saling hormat menghormati antara semua kaum, supaya kita boleh berkongsi kekayaan secara saksama.

Selain itu juga saya berasa kurang selesa dengan kedudukan orang bukan Islam bercakap tentang perkara berkaitan Islam. Orang Melayu tidak pernah menyentuh tentang hal agama lain tetapi kenapa mereka nak ganggu hak orang Melayu. Biarlah orang Melayu yang menguruskan hal ini kerana ia melibatkan sensitiviti. Ini bersesuaian dengan kedudukan Islam dalam perlembagaan. Seperti yang saya katakan tadi adalah perlu supaya semua kaum saling hormat menghormati dan bertoleransi supaya kita boleh hidup bersama dalam aman dan harmoni.

Sumber : Utusan Online

Juragan Malawati..

Sabtu, 8 Disember 2012

BANTUAN BN BERTERUSAN BUKAN DI MUSIM PILIHANRAYA!



Ketua Umno Bahagian Kuala Selangor, Datuk Amiruddin Setro yakin Barisan Nasional (BN) akan menawan semula Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Kalau cerita siapa calon, Umno Bahagian Kuala Selangor tidak menyenaraikan mana-mana nama, bagaimanapun yakin ramai yang keupayaan dan berketerampilan yang boleh diketengahkan dan diyakini mampu menawan semula tiga kerusi yang dirampas PR.

“Namun, semua itu bergantung kepada pucuk pimpinan parti kerana kita mahukan kemenangan diraih berdasarkan kemenangan parti dan bukannya individu semata-mata,” katanya.

Berkongsi rahsia kejayaan mengekalkan kesetiaan pengundi apabila berjaya mengalahkan calon Pas, Hairi @ Maruji Darmo dengan majoriti 1,566 pada PRU12, Amiruddin berkata, beliau berpegang prinsip rakyat adalah aset parti yang perlu diutamakan dan tunjang kerajaan.

“Sudah menjadi prinsip hidup saya untuk membantu rakyat melalui mandat yang diberikan dan manifesto Umno-BN sendiri, ‘Sayangi Selangor, Yakini BN’ selain golongan tua dihormati, yang muda disayangi sekali gus merapatkan ikatan kukuh antara pemimpin dan pengundi.

“Saya juga menyokong sepenuhnya pendekatan kreatif dan berkesan untuk menyelesaikan masalah rakyat dalam era moden ini dan sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi meringankan bebanan yang ditanggung termasuk mengenal pasti permohonan baik pulih rumah, bantuan Pembangunan Pertanian Kawasan Parlimen (MPPP) dan sumbangan berbentuk kewangan untuk mangsa bencana alam.

“Malang bagi petani dan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di sini kerana hanya menerima peruntukan RM100,000 sahaja kerana kawasan Parlimen Kuala Selangor dimenangi PR berbanding Parlimen lain yang dimenangi BN menerima peruntukan tambahan RM100,000.

“Hakikat ini perlu ditelan dan menjadi suntikan semangat buat rakyat khususnya golongan petani di sini supaya membantu pimpinan Barisan Nasional untuk menawan semula Selangor yang menjadi jantung negara dalam pilihan raya akan datang.

“Kita tetap melaksanakan bantuan dan sumbangan secara terus seperti wang masuk universiti sebanyak RM1,500 dan bukannya seperti PR yang hanya meuar-uarkan janji kosong yang kononnya mahu membantu rakyat dengan publisiti murahan," katanya.

Juragan Malawati..

Jumaat, 7 Disember 2012

Syabas serbu pusat peranginan curi air?


Yusof Badawi (dua, kanan) dan Priscilla Afred (dua, kiri) serta dua pegawai Syabas melihat paip sambungan haram yang dilakukan oleh sebuah pusat peranginan di Morib, Selangor, semalam.

Sebuah pusat peranginan yang juga merupakan kawasan pembangunan komersial di Jalan Besar, Morib di sini hari ini diserbu oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) selepas disyaki mencuri bekalan air terawat sejak lapan bulan lalu.

Kegiatan itu disyaki mengakibatkan Syabas kerugian sebanyak RM108,000.

Serbuan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Syabas bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini.

Pengarah Eksekutif Syabas, Yusof Badawi berkata, siasatan mendapati pemilik pusat peranginan berkenaan telah melakukan permohonan untuk menutup akaun bekalan air daripada Syabas pada Mac lalu.

"Kami telah membuat pemotongan dan menanggalkan meter di kawasan berkenaan pada 14 Mac lalu. Bagaimanapun hasil risikan dan aduan orang ramai kami mengesan terdapat sambungan haram dilakukan ke pusat peranginan tersebut dipercayai bagi menjalankan operasi harian mereka," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Yusof memberitahu, penyambungan bekalan air haram itu dilakukan terus dari paip utama Syabas dengan menggunakan paip poli berukuran 32 milimeter (mm) sepanjang 300 meter (m).

"Sambungan berkenaan menyalurkan bekalan air terus ke dua buah tangki simpanan khas berkapasiti 2,000 liter setiap satu.

"Ujian klorin telah dibuat dan keputusannya mendapati bekalan air tersebut adalah air terawat Syabas. Perbuatan mereka menyebabkan Syabas kerugian kira-kira RM108,000," katanya.

Menurut beliau, jika sabit kesalahan, pemilik premis tersebut boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 123 (3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan boleh didenda tidak melebihi RM100,00 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-dua sekali.

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Afred berkata, sehingga 3 Disember lalu Syabas kerugian sebanyak RM6.3 juta akibat kegiatan curi air di negeri ini.

Katanya, dalam tempoh itu, sebanyak 3,314 aduan telah diterima dan 669 daripadanya diklasifikasikan sebagai sahih.

"Kesan kegiatan mencuri air adalah kawasan sekitar akan mengalami tekanan air rendah dan menyebabkan gangguan bekalan air, masalah kualiti air dan juga berlaku pembaziran kerana lazimnya mereka akan membiarkan air mengalir begitu sahaja," katanya.

Juragan Malawati..

Khamis, 6 Disember 2012

Sokong walau siapa calon BN!


Dr. Mahathir Mohamad menerima sumbangan untuk Tabung Kecemasan Gaza daripada wakil Koperasi Felda Chemomoi pada Majlis Bicara Tokoh di Felda Kemasul, Bentong, semalam.

Semua ahli UMNO diminta bersatu memberikan sokongan kepada siapa sahaja calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang walaupun yang dipilih itu daripada pemimpin parti komponen.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, selain itu, untuk mendapatkan kemenangan dua pertiga, seluruh ahli UMNO perlu merapatkan barisan dan mengelakkan perpecahan dalam parti.

"Kita (ahli UMNO) harus ingat kalau diletakkan siapa saja calon walaupun mata sepet sebelah, hidung penyet, asalkan dia calon BN, kita undi sajalah.

"Yang hendak dan perlu menang ialah parti, bukan orang. Kalau Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) menang saja pun tak guna juga sebab kita masih tidak dapat membentuk kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab dalam Majlis Bicara Tokoh di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Selepas majlis tersebut, Dr. Mahathir yang juga Presiden Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) menerima cek RM3,000 sumbangan Koperasi Felda Kemasul (RM2,000) dan Koperasi Felda Chemomoi (RM1,000) untuk Tabung Kecemasan Gaza.

Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkata, Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang berakhir Sabtu lalu dilihat memberikan semangat baharu kepada ahli parti.

"Apa yang saya harapkan semangat ini diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada parti supaya kita menang dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Ditanya seorang peserta dalam sesi soal jawab tersebut mengapa sehingga kini Perdana Menteri masih berteka-teki tentang tarikh pilihan raya umum, Dr. Mahathir berkata, Najib kini sedang berusaha memulihkan UMNO.

"Hal ini kerana dalam Pilihan Raya Umum 2008 ada orang yang tidak berpuas hati dengan kita dan undi parti lawan," katanya.

Beliau berkata, UMNO perlu terus mendampingi rakyat terutama orang Melayu agar BN kembali mendapat sokongan dalam pilihan raya umum nanti.

"Orang Melayu adalah kaum majoriti di negara ini, tetapi kita telah berpecah kepada UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga menyebabkan kita menjadi minoriti.

"Jadi kita harap orang lain untuk menang kerana kalau semua ahli undi calon UMNO yang dipilih tetap tak boleh menang dan sebab itu perlu sokongan daripada bukan UMNO (komponen BN)," katanya.-UMO

Juragan Malawati..

Rabu, 5 Disember 2012

Izinkanlah transformasi dalam UMNO!



Sebaik-baik sahaja mengambil alih teraju kepimpinan UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Persekutuan, tanpa bertangguh lagi Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Agenda Transformasi sebagai respons kepada isyarat rakyat yang disampaikan melalui keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12.

Kesungguhan beliau sangat jelas dibuktikan dalam Program Transformasi Kerajaan yang diketengahkan melalui pelaksanaan program, projek dan pendekatan baru oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kementerian, jabatan kerajaan dan agensi kerajaan yang dilancar dan diperkenalkan hampir setiap bulan itu.

Program Transformasi Kerajaan pimpinan Najib bukan sahaja memberikan warna baru yang ceria dan meyakinkan malah mampu membalut calar dan luka yang terguris oleh pendekatan lama yang agak jumud, stereotaip dan tidak begitu responsif terhadap perubahan persekitaran yang sedang berlaku dengan pantas di kalangan rakyat terbanyak.

Sementara setiap degup dan denyut nadi kehidupan rakyat mahu didengar dan diberikan pembelaan sewajarnya, apa jua kekangan, halangan dan hambatan yang wujud dalam mengembangkan potensi dalam pelbagai sektor ekonomi telah mula dileraikan dengan sebaik-baiknya melalui dasar-dasar yang lebih terbuka dan bersifat akomodatif.

Di sana sini terdapat keghairahan dan sambutan yang sangat positif terhadap kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri. Walau apa pun percubaan dilakukan oleh pembangkang untuk meremeh dan memperlekeh kehadiran sebegitu ramai rakyat dalam majlis-majlis yang dihadiri oleh Najib, hakikatnya majoriti rakyat sangat teruja dengan gaya kepimpinan yang terbuka dan bergerak seiring dengan pendekatan kerajaan yang lebih inklusif itu.

Walaupun sesetengah istilah 'orang putih' seperti NKRA, NKEA, ETP dan lain-lain tidak begitu dapat menangkap imaginasi rakyat, petunjuk-petunjuk ekonomi berkaitan dengan peningkatan nilai pelaburan asing dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga turut memancing kembali keyakinan rakyat terhadap masa depan negara di bawah kerajaan sedia ada.


Sebagaimana slogan 1Malaysia yang telah mula mengakar dan meresap dalam kehidupan rakyat, Agenda Transformasi Kerajaan telah bertunas dan mula menjalar ke semua kementerian dan agensi kerajaan. Masa akan menjadi bukti betapa agenda transformasi ini akan benar-benar muncul sebagai agenda nasional yang akan melonjak rakyat dan negara ke era negara maju yang dicita-citakan itu.

Menjelang PRU-13, rakyat dan pengundi kini sedang menantikan apakah akan berlaku transformasi politik secara jelas dan menyeluruh dalam parti UMNO yang menunjangi Barisan Nasional.

Rakyat yang pernah dijanjikan bahawa UMNO dan Barisan Nasional akan berubah untuk kekal relevan sedang memerhatikan dengan tekun. Apakah transformasi yang dijanjikan itu hanya berlaku di permukaan sahaja atau akan menyentuh sendi-sendi utama yang melonglaikan parti itu selama ini.

Umum mengetahui bahawa proses peremajaan kepimpinan UMNO di semua peringkat berlaku dengan amat perlahan sekali. Terdapat semacam suatu sindrom yang berbaur di antara semangat juang yang tinggi dan keengganan untuk berundur serta memberikan laluan kepada generasi pelapis yang sangat ketara berlaku dalam UMNO.

Sejajar dengan fitrah manusiawi yang akan kehilangan dinamisme apabila direnggut usia, UMNO nampaknya masih berdepan dengan dilema untuk mendepani cabaran proses peremajaan kepimpinan parti itu yang pastinya merupakan antara elemen transformasi politik yang tidak boleh ditangguh atau dielakkan lagi.


Syarat 'winnable candidate' atau calon boleh menang umpamanya telah dimanipulasikan habis-habisan oleh sebilangan pemimpin veteran UMNO untuk kekal sebagai calon PRU-13 walaupun rata-ratanya memahami akan perlunya transformasi dilakukan untuk memberikan imej dan wajah baru kepada UMNO.

Kenyataan umum yang sangat tipikal adalah menyerahkan masa depan mereka kepada Presiden parti, seolah-olahnya mereka tidak tahu dan tidak mampu membuat keputusan sendiri. Agak aneh bagi veteran yang sudah melewati usia 60-an dan sudah lebih empat penggal menjadi calon masih tidak dapat membuat pertimbangan yang saksama demi kepentingan UMNO.

Selain itu, politiking dalam UMNO sangat meresahkan profesional dan kumpulan terpelajar Melayu bumiputera yang berasa begitu sukar untuk mendapat peranan yang setimpal dengan latar belakang mereka dalam parti ini.

Ketidakseimbangan dalam komposisi kepimpinan UMNO yang dikuasai oleh kumpulan aktivis bukan profesional dan berpendidikan tinggi memudarkan keyakinan terhadap keupayaan parti dalam memimpin perjuangan dan masa depan. Anehnya ia tidak juga menjadikan parti ini sebagai parti yang merakyat lantaran kealpaan pemimpin dan aktivis UMNO menjuarai isu-isu rakyat yang berlegar di depan mata mereka.

Telah tiba masanya untuk komposisi kepimpinan, pendekatan dan orientasi kerja UMNO ditransformasikan supaya UMNO tidak sahaja dilihat memiliki keterampilan dan keupayaan untuk memimpin masa depan, malahan sentiasa dirasakan kehadirannya di tengah-tengah masyarakat lantaran komitmen luar biasa parti ini dalam membela nasib rakyat.


Sekali lagi Perhimpunan Agung UMNO kali terakhir sebelum PRU-13 sewajarnya menuturkan dengan lantang akan iltizamnya untuk melakukan transformasi dalam aspek kepimpinan - supaya intelektualisme juga menjadi sebahagian ciri, tradisi serta wibawa UMNO; dan agar pendekatan perjuangan parti kembali merakyat dan menyusur akar.

Sebagai parti yang berjuang menegakkan Islam, UMNO juga sewajarnya kelihatan lebih jujur dan bersungguh-sungguh dalam memenuhi tanggungjawabnya itu. Jika sebagai kerajaan kita telah begitu berjaya membina dan mengangkat Malaysia sebagai model negara Islam yang berjaya, kenapakah sebagai sebuah parti politik kita dijadikan sasaran mudah kepada segala macam tohmahan yang ada kalanya agak melemaskan itu?

Apakah kerana kita amat defensif dan terlalu mengikut rentak Pas maka akhirnya kita juga ingin kelihatan seperti Pas dalam intonasi bicara dan penampilan hinggakan kita kehilangan originaliti dalam perjuangan menegakkan agama?

UMNO tidak boleh memindahkan tanggungjawab ini kepada Datuk Seri Jamil Khir, Datuk Dr. Mashitah, Datuk Seri Abdullah Mat Zain, Ustaz Fathul Bari, Ustaz Pirdaus dan beberapa orang intelektual atau tokoh agama semata-mata.

UMNO secara total dan konsisten harus memperlihatkan komitmennya dalam perjuangan agama; tentunya bukan sebagai suatu respons kepada Pas, sebaliknya berdasarkan perspektifnya yang lebih pragmatik dan tidak mengutamakan simbol dan retorik!

Sesungguhnya rakyat Malaysia sedang memerhati dan menilai janji-janji transformasi politik UMNO yang akan diisyaratkan dalam Perhimpunan Agung UMNO ini.

Mengisi debat dan perbahasan yang sarat dengan jenaka Pengerusi Tetap sahaja tentunya tidak cukup untuk menceriakan kembali wajah suram bahana PRU-12 yang lalu. Izinkanlah transformasi politik dilakukan dalam UMNO untuk parti kekal relevan dan terus diyakini rakyat.-UMO

Juragan Malawati..

Isnin, 3 Disember 2012

Maksud pengkhianat dalam UMNO?



Kira-kira pukul 8 malam Sabtu lalu, selepas bersidang selama lima hari, lebih 2,000 perwakilan dan ribuan lagi ahli serta penyokong UMNO yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2012 meninggalkan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Mereka pulang ke kawasan masing-masing selepas 'disuntik' pelbagai vaksin oleh pemimpin-pemimpin parti itu bagi meningkatkan semangat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Bagaimanapun kita harus mengakui apa yang menjadi kerisauan kepimpinan UMNO yang diterajui oleh Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak ialah apakah peringatan tentang perlu parti itu dan Barisan Nasional (BN) terus berkuasa benar-benar akan tersemat dalam hati para pemimpin dan ahli-ahli UMNO.

Apa yang paling meresahkan ialah sejauh manakah dalam pilihan raya umum kali ini tidak berlaku lagi perbuatan sabotaj atau pengkhianatan seperti mana-mana terjadi dalam pilihan raya umum 2008.

Itulah kebimbangan Najib ketika menyampaikan ucapan penggulungan apabila menyentuh soal keyakinan beliau, BN mampu mencapai kemenangan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang.

Seorang pemimpin bahagian di Kedah ketika diminta pandangan berhubung perbuatan sabotaj itu berkata, ia berlaku kerana ramai ahli UMNO yang tidak faham apa itu sabotaj atau dalam bahasa kasarnya pengkhianatan kepada parti.

''Mereka ingat perbuatan khianat tu setakat keluar parti tetapi sedangkan ia berkait dengan apa yang mereka buat sepanjang pilihan raya sehingga memungkinkan parti kalah,'' katanya ketika ditemui semasa menghadapi perhimpunan agung berkenaan.

Berikut penulis senaraikan perbuatan yang dianggap mengkhianati parti tetapi tidak disedari oleh si pelakunya.

* Memburukkan calon - Apabila seseorang pemimpin itu tidak dipilih sebagai calon, dia akan berusaha untuk memburuk-burukkan peribadi calon yang dipilih oleh parti. Dia akan menggambarkan dirinya teraniaya dan sikap ini kebiasaannya dilakukan oleh mereka yang bertaraf YB tetapi tidak dipilih bertanding semula dan penyokong-penyokongnya.

* Tidak keluar berkempen - Oleh kerana kecewa tidak dipilih sebagai calon atau pemimpin yang mereka sokong tidak terpilih, individu yang terlibat tidak keluar berkempen. Malahan ada antara mereka yang diberikan amanah akan menutup bilik-bilik operasi yang diamanahkan kepada mereka.

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana ada antara mereka membawa diri termasuk naik ke gunung di waktu dinihari demi membawa hati yang lara dan ada pula berlepas ke luar negara ketika pilihan raya berlangsung.

* Berkempen jangan undi calon parti dipilih parti - Atas prinsip 'aku tak dapat, kau pun tak dapat', maka pemimpin yang kecewa tidak terpilih sebagai calon, akan berkempen supaya calon yang dipilih parti tidak disokong. Individu yang terlibat sanggup menghalang penyokong-penyokong daripada keluar mengundi. Perbuatan seumpama inilah yang memungkinkan dalam pilihan raya umum lalu ada kawasan yang UMNO dan BN tewas dengan majoriti yang cukup kecil.

* Protes senyap - Pemimpin yang tidak dipilih sebagai calon akan berkumpul bersama-sama dengan penyokong-penyokong di kediaman mereka. Tidak melakukan apa-apa sebagai tanda protes kepada pemilihan.

Sememangnya itulah antara tindakan dianggap mengkhianati parti yang kadang kala tidak disedari oleh pemimpin-pemimpin UMNO khususnya di peringkat cawangan, bahagian dan negeri.

Semua itu berlaku kerana apabila seseorang pemimpin itu tidak terpilih menjadi calon pilihan raya apatah lagi apabila dia adalah ketua bahagian, seolah-olah dunia kiamat baginya.

''Janganlah ingat politik sahaja yang membolehkan mereka hidup, apabila tiba masanya mereka kena berhenti juga, oleh itu terimalah hakikat,'' kata seorang ketua UMNO bahagian kepada penulis.

Atas sebab itulah, laungan, jeritan dan ikrar untuk memastikan kemenangan UMNO dan BN dalam pilihan raya umum nanti bukan sekadar retorik di Dewan Merdeka, PWTC sahaja, sebaliknya ia perlu diterjemahkan dengan penuh tanggungjawab apabila pulang ke kawasan masing-masing.

Tetapi masalahnya ramai dalam kalangan pemimpin-pemimpin di peringkat bahagian bersikap hipokrit.

Ketika di Dewan Merdeka, mereka bertepuk tangan, berdoa dan menangis apabila mendengar seruan-seruan pentingnya UMNO dan BN menang dalam pilihan raya umum nanti.

Mereka juga berikrar dan berjanji akan akur seandainya tidak terpilih sebagai calon atau digugurkan sebagai calon tetapi apabila benar-benar perkara itu berlaku, mulalah mereka buat perangai.

Apabila pilihan raya umum berlangsung mereka bukannya mengatur strategi bagaimana untuk menewaskan pembangkang tetapi sebaliknya berfikir siang malam bagaimana hendak memastikan calon yang dipilih oleh parti sendiri kecundang.

Inilah perangai buruk yang masih wujud dalam kalangan pemimpin di peringkat bahagian yang ada antara mereka sudah bergelar 'YB' berpenggal-penggal.

Begitulah juga dengan mereka yang pernah tewas dalam pilihan raya berkali-kali, masih mahu bertanding dan tidak berhasrat memberi laluan kepada muka baru biar pun rakyat sudah pun tidak mahu mereka lagi.

Bagaimanapun mereka perlu faham pilihan raya kali ini amat penting. Ia bukannya berlangsung dalam keadaan UMNO dan BN berada dalam keadaan selesa, sebaliknya pilihan raya itu penentu sama ada parti itu akan berkuasa atau kehilangan kuasa, memerintah atau diperintah.

Apa gunanya kalau mereka mahu beria-ia bertanding tetapi akhirnya parti mengalami kerugian akibat kekalahan mereka?

Ini bukannya perlawanan bola sepak Piala AFF Suzuki, kalau kalah di perlawanan akhir sekadar tidak mampu memenangi piala, tetapi ini adalah pilihan raya - satu gelanggang yang bakal menentukan nasib bangsa, agama dan negara.

Kalau betul mereka berjiwa UMNO, ahli UMNO dan orang UMNO, maka bersedialah untuk berkorban demi kepentingan parti.

Janganlah bersikap menzahirkan diri seolah-olah pejuang di depan pucuk pimpinan tetapi hakikatnya bertindak sebagai pengkhianat di belakang.

Mereka ini biar pun masih berada dalam UMNO tetapi tiada bezanya dengan mereka yang melakukan pengkhianatan terbesar iaitu keluar parti.

Sedangkan selama ini mereka menikmati pelbagai kesenangan dan mendapat kedudukan kerana jasa parti, namun apabila parti menuntut pengorbanan mereka, maka balasan yang diberikan adalah pengkhianatan.

Tidak dapat dinafikan mungkin ada antara mereka mempunyai pengikut yang ramai dan boleh menjadi penentu kepada kejayaan seseorang calon di satu-satu kawasan.

Tetapi ini tidak bermakna pemimpin penyebar 'virus pengkhianat' itu perlu 'disembah' bagi meraih bantuan untuk menyokong calon yang terpilih.

Sebaliknya, pemimpin seumpama itu perlu sedar bahawa mereka adalah pengkhianat parti yang sama sekali tidak diperlukan.

Kerana Najib sudah mengingatkan, ''Satu undi untuk Pas bermakna satu undi untuk perpecahan. Satu undi untuk DAP bermakna satu undi penindasan ke atas bangsa tercinta.''

Oleh itu jangan biarkan anda berkongsi dosa ini!.

Juragan Malawati..