UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Rabu, 5 Disember 2012

Izinkanlah transformasi dalam UMNO!



Sebaik-baik sahaja mengambil alih teraju kepimpinan UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Persekutuan, tanpa bertangguh lagi Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Agenda Transformasi sebagai respons kepada isyarat rakyat yang disampaikan melalui keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12.

Kesungguhan beliau sangat jelas dibuktikan dalam Program Transformasi Kerajaan yang diketengahkan melalui pelaksanaan program, projek dan pendekatan baru oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kementerian, jabatan kerajaan dan agensi kerajaan yang dilancar dan diperkenalkan hampir setiap bulan itu.

Program Transformasi Kerajaan pimpinan Najib bukan sahaja memberikan warna baru yang ceria dan meyakinkan malah mampu membalut calar dan luka yang terguris oleh pendekatan lama yang agak jumud, stereotaip dan tidak begitu responsif terhadap perubahan persekitaran yang sedang berlaku dengan pantas di kalangan rakyat terbanyak.

Sementara setiap degup dan denyut nadi kehidupan rakyat mahu didengar dan diberikan pembelaan sewajarnya, apa jua kekangan, halangan dan hambatan yang wujud dalam mengembangkan potensi dalam pelbagai sektor ekonomi telah mula dileraikan dengan sebaik-baiknya melalui dasar-dasar yang lebih terbuka dan bersifat akomodatif.

Di sana sini terdapat keghairahan dan sambutan yang sangat positif terhadap kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri. Walau apa pun percubaan dilakukan oleh pembangkang untuk meremeh dan memperlekeh kehadiran sebegitu ramai rakyat dalam majlis-majlis yang dihadiri oleh Najib, hakikatnya majoriti rakyat sangat teruja dengan gaya kepimpinan yang terbuka dan bergerak seiring dengan pendekatan kerajaan yang lebih inklusif itu.

Walaupun sesetengah istilah 'orang putih' seperti NKRA, NKEA, ETP dan lain-lain tidak begitu dapat menangkap imaginasi rakyat, petunjuk-petunjuk ekonomi berkaitan dengan peningkatan nilai pelaburan asing dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga turut memancing kembali keyakinan rakyat terhadap masa depan negara di bawah kerajaan sedia ada.


Sebagaimana slogan 1Malaysia yang telah mula mengakar dan meresap dalam kehidupan rakyat, Agenda Transformasi Kerajaan telah bertunas dan mula menjalar ke semua kementerian dan agensi kerajaan. Masa akan menjadi bukti betapa agenda transformasi ini akan benar-benar muncul sebagai agenda nasional yang akan melonjak rakyat dan negara ke era negara maju yang dicita-citakan itu.

Menjelang PRU-13, rakyat dan pengundi kini sedang menantikan apakah akan berlaku transformasi politik secara jelas dan menyeluruh dalam parti UMNO yang menunjangi Barisan Nasional.

Rakyat yang pernah dijanjikan bahawa UMNO dan Barisan Nasional akan berubah untuk kekal relevan sedang memerhatikan dengan tekun. Apakah transformasi yang dijanjikan itu hanya berlaku di permukaan sahaja atau akan menyentuh sendi-sendi utama yang melonglaikan parti itu selama ini.

Umum mengetahui bahawa proses peremajaan kepimpinan UMNO di semua peringkat berlaku dengan amat perlahan sekali. Terdapat semacam suatu sindrom yang berbaur di antara semangat juang yang tinggi dan keengganan untuk berundur serta memberikan laluan kepada generasi pelapis yang sangat ketara berlaku dalam UMNO.

Sejajar dengan fitrah manusiawi yang akan kehilangan dinamisme apabila direnggut usia, UMNO nampaknya masih berdepan dengan dilema untuk mendepani cabaran proses peremajaan kepimpinan parti itu yang pastinya merupakan antara elemen transformasi politik yang tidak boleh ditangguh atau dielakkan lagi.


Syarat 'winnable candidate' atau calon boleh menang umpamanya telah dimanipulasikan habis-habisan oleh sebilangan pemimpin veteran UMNO untuk kekal sebagai calon PRU-13 walaupun rata-ratanya memahami akan perlunya transformasi dilakukan untuk memberikan imej dan wajah baru kepada UMNO.

Kenyataan umum yang sangat tipikal adalah menyerahkan masa depan mereka kepada Presiden parti, seolah-olahnya mereka tidak tahu dan tidak mampu membuat keputusan sendiri. Agak aneh bagi veteran yang sudah melewati usia 60-an dan sudah lebih empat penggal menjadi calon masih tidak dapat membuat pertimbangan yang saksama demi kepentingan UMNO.

Selain itu, politiking dalam UMNO sangat meresahkan profesional dan kumpulan terpelajar Melayu bumiputera yang berasa begitu sukar untuk mendapat peranan yang setimpal dengan latar belakang mereka dalam parti ini.

Ketidakseimbangan dalam komposisi kepimpinan UMNO yang dikuasai oleh kumpulan aktivis bukan profesional dan berpendidikan tinggi memudarkan keyakinan terhadap keupayaan parti dalam memimpin perjuangan dan masa depan. Anehnya ia tidak juga menjadikan parti ini sebagai parti yang merakyat lantaran kealpaan pemimpin dan aktivis UMNO menjuarai isu-isu rakyat yang berlegar di depan mata mereka.

Telah tiba masanya untuk komposisi kepimpinan, pendekatan dan orientasi kerja UMNO ditransformasikan supaya UMNO tidak sahaja dilihat memiliki keterampilan dan keupayaan untuk memimpin masa depan, malahan sentiasa dirasakan kehadirannya di tengah-tengah masyarakat lantaran komitmen luar biasa parti ini dalam membela nasib rakyat.


Sekali lagi Perhimpunan Agung UMNO kali terakhir sebelum PRU-13 sewajarnya menuturkan dengan lantang akan iltizamnya untuk melakukan transformasi dalam aspek kepimpinan - supaya intelektualisme juga menjadi sebahagian ciri, tradisi serta wibawa UMNO; dan agar pendekatan perjuangan parti kembali merakyat dan menyusur akar.

Sebagai parti yang berjuang menegakkan Islam, UMNO juga sewajarnya kelihatan lebih jujur dan bersungguh-sungguh dalam memenuhi tanggungjawabnya itu. Jika sebagai kerajaan kita telah begitu berjaya membina dan mengangkat Malaysia sebagai model negara Islam yang berjaya, kenapakah sebagai sebuah parti politik kita dijadikan sasaran mudah kepada segala macam tohmahan yang ada kalanya agak melemaskan itu?

Apakah kerana kita amat defensif dan terlalu mengikut rentak Pas maka akhirnya kita juga ingin kelihatan seperti Pas dalam intonasi bicara dan penampilan hinggakan kita kehilangan originaliti dalam perjuangan menegakkan agama?

UMNO tidak boleh memindahkan tanggungjawab ini kepada Datuk Seri Jamil Khir, Datuk Dr. Mashitah, Datuk Seri Abdullah Mat Zain, Ustaz Fathul Bari, Ustaz Pirdaus dan beberapa orang intelektual atau tokoh agama semata-mata.

UMNO secara total dan konsisten harus memperlihatkan komitmennya dalam perjuangan agama; tentunya bukan sebagai suatu respons kepada Pas, sebaliknya berdasarkan perspektifnya yang lebih pragmatik dan tidak mengutamakan simbol dan retorik!

Sesungguhnya rakyat Malaysia sedang memerhati dan menilai janji-janji transformasi politik UMNO yang akan diisyaratkan dalam Perhimpunan Agung UMNO ini.

Mengisi debat dan perbahasan yang sarat dengan jenaka Pengerusi Tetap sahaja tentunya tidak cukup untuk menceriakan kembali wajah suram bahana PRU-12 yang lalu. Izinkanlah transformasi politik dilakukan dalam UMNO untuk parti kekal relevan dan terus diyakini rakyat.-UMO

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan