UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Rabu, 30 Oktober 2013

Anwar perlu henti manipulasi GST?


Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim digesa menghentikan politik murahan dengan memanipulasi pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kononnya membebankan rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, tindakan Anwar memanipulasi GST untuk kepentingan politik meskipun mengakui hakikat kelebihannya boleh menjejaskan masa depan ekonomi negara dan rakyat.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan menambah, sebagai Penasihat Ekonomi Selangor, Anwar pastinya mengetahui GST bukan sistem pencukaian yang merugikan rakyat sebaliknya telah memberi kebaikan kepada rakyat di keseluruhan negara yang melaksanakannya.

"Sebenarnya, pembangkang yang diketuai Anwar kekeringan modal berdasarkan prestasi kerajaan Barisan Nasional (BN), sebab itu mereka cuba takutkan rakyat dengan isu GST.

''Tetapi apa yang penting, masyarakat perlu tahu kerajaan BN sentiasa menjuarai kepentingan rakyat dalam membuat sesuatu keputusan," katanya.


Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Tabung Perajurit dan bergotong-royong membersihkan pejabat baharu Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Sri Gading di Parit Raja, di sini hari ini.

Ab. Aziz mengulas tindakan pemimpin pembangkang yang menggunakan isu GST untuk menyerang Bajet 2014, kononnya pelaksanaan sistem pengutan cukai baharu itu akan menindas rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sri Gading, Lassim Borhan berkata, pembangkang memperlihat contoh berpolitik yang tidak baik selepas sanggup melakukan apa sahaja demi cita-cita mereka.

Menurutnya, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sri Gading sebelum ini sering menjadikan pelan ekonomi Singapura yang menggunakan GST sebagai contoh dalam ceramah mereka.

Walau bagaimanapun, tambah beliau, ketika negara berhasrat melaksana sistem pencukaian yang sama malah lebih baik, mereka cuba bertindak sebagai jaguh dan menentang pelaksanaannya.

Juragan Malawati..

Sabtu, 26 Oktober 2013

Nurul Izzah Melenting Bila Noh Omar Sebut ‘Liwat’ Di Dewan Rakyat?


Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dilihat melenting apabila Ahli Parlimen BN Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar membangkitkan soal ‘liwat’ di Dewan Rakyat.

“Saya tidak pasti jika (dia ) menyokong liwat atau tidak,” kata Noh ketika Nurul Izzah bangun mahu mencelah ketika Ahli Parlimen Tanjung Karang itu mempertikaikan tindakan Gabungan NGO Malaysia di dalam Proses UPR (COMANGO) melakukan proses lobi ke peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mendapatkan pengiktirafan hak LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) di Malaysia.

“Awak tarik balik. Jangan jadi kurang ajar !” kata Nurul Izzah.

Noh menjawab beliau tidak akan menarik balik kata-katanya itu kerana beliau sekadar bertanya adakah anak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menyokong liwat atau sebaliknya.



Selaras dengan asasi manusia, kata Noh, Nurul Izzah mempunyai hak untuk menyokong ataupun tidak.

Sebelum insiden itu, Noh ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2013 pada persidangan Dewan Rakyat Rabu dilaporkan Bernama berkata tindakan COMANGO itu sebagai ‘bunga-bunga’ yang menjurus kepada ancaman perpaduan agama di dalam negara yang disifatkannya sebagai ancaman keselamatan alaf baharu.

Menurutnya, COMANGO dilihat berselindung di sebalik hak asasi manusia untuk membawa agenda yang boleh mengancam Islam dan mempromosi seks songsang.


“Ada beberapa perkara yang dibawa oleh COMANGO mencabar dan menggugat kedudukan Islam dalam Perlembagaan sebagai agama Persekutuan.

“Ia juga dilihat cuba memperjuang hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), murtad… adakah ini menyentuh hak asasi manusia?” soalnya.

Pandangan beliau disokong Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) yang menyifatkan apa yang terkandung dalam laporan COMANGO ke Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) boleh merosak dan memudaratkan pegangan rakyat di negara ini.

“Perincian yang dituntut oleh COMANGO bukan menyentuh isu-isu hak asasi manusia sahaja tetapi turut merangkumi hak kebebasan orientasi seks, lesbian, gay, biseksual dan transgender. Hak kebebasan murtad bagi orang Islam, hak kesamarataan agama,” katanya.


Selain itu, katanya COMANGO juga mempersoal kes penggunaan kalimah Allah, mengenai Syiah dan hak seorang bapa untuk mengIslamkan anak bawah umur, menuntut undang-undang jenayah Syariah dihapuskan dan memberi persepsi negatif penguatkuasaan Jabatan Agama Islam negeri yang berusaha berdakwah kepada orang Asli, serta mendesak kerajaan menarik balik pengharaman buku karya penulis kontroversi Irshad Manji bertajuk ‘Allah, Kebebasan dan Cinta’.

“Ini semua isu panas dan mengundang perasaan tak puas hati dalam kalangan rakyat, bercanggah Perlembagaan dan hak orang Islam. Sebab itu, saya minta kerajaan buka mata dan ambil perhatian seterusnya selaraskan tindakan yang perlu supaya hak-hak istimewa rakyat di Malaysia jangan dipertikai di peringkat antarabangsa,” katanya lagi

COMANGO merupakan gabungan kira-kira 50 NGO Malaysia yang merangka kandungan laporan mengenai hak asasi manusia untuk dikemukakan kepada UPR esok di Geneva.

Juragan Malawati..

Khamis, 24 Oktober 2013

Bajet 2014 : Lakukan sesuatu untuk kurangkan cukai golongan pertengahan?


"Kenapa kena bayar cukai banyak sangat ni?", "Macam mana nak kurangkan cukai?", "Kalau macam ni, tahun depan tentu kena bayar lebih lagi." Itulah antara rungutan yang diluahkan oleh rakan-rakan kepada penulis selepas menyelesaikan tanggungjawab sebagai pembayar cukai yang menerima pendapatan penggajian pada 30 April lalu.

Rata-rata apabila kerajaan mengumumkan bajet tahunan, semua pihak tertunggu-tunggu akan goodies dan apa-apa perubahan yang boleh mengurangkan beban cukai masing-masing.

Secara umumnya, terdapat tiga golongan sasaran dalam bajet yang diumumkan iaitu golongan berpendapatan rendah, sederhana dan tinggi.

Lazimnya penekanan akan diberikan kepada golongan berpendapatan rendah dengan pemberian bantuan dan insentif untuk membantu mengurangkan beban dan meningkatkan taraf kehidupan mereka dari semasa ke semasa.

Malangnya golongan berpendapatan sederhana termasuk yang sederhana tinggi kurang atau tidak begitu mendapat penekanan wajar dalam pembentangan bajet. Mereka hanya mampu berputih mata dan merungut sesama sendiri.



Di Malaysia, golongan yang berpendapatan sederhana dan sederhana tinggi kebanyakannya terdiri daripada golongan pengurusan dan profesional yang berpendapatan penggajian seperti eksekutif, pengurus, guru, ahli akademik, peguam, jurutera, doktor dan sebagainya. Mereka ini tersepit di celah-celah kemajuan negara disebabkan terpaksa menanggung kos sara hidup dan beban cukai yang semakin tinggi setiap tahun.

Golongan ini kebanyakannya mempunyai jumlah pendapatan yang dikenakan cukai di antara RM50,000 hingga RM100,000. Kadar cukai bagi kumpulan pendapatan ini adalah di antara 19% - 24%. Kadar cukai ini tidak pernah dikurangkan sejak lebih 10 tahun yang lalu iaitu sejak 2002. Sedangkan bagi kumpulan pendapatan bercukai lain, kadar cukai telah dikurangkan beberapa kali dalam tempoh tersebut.

Malah, kerajaan juga telah meningkatkan jumlah pendapatan bercukai minimum daripada RM2,500 kepada RM5,000 dalam Bajet 2013 yang lalu yang menyebabkan segolongan pendapatan bercukai rendah terkecuali daripada membayar cukai.

Majoriti golongan berpendapatan sederhana ini jatuh dalam kategori umur lingkungan lewat 30-an dan 40-an. Pada tahap ini, bagi mereka yang mempunyai anak, kebanyakan anak-anak masih berumur bawah 18 tahun dan belum memasuki institusi pengajian tinggi.

Perbelanjaan persekolahan dan sara hidup anak pada hari ini adalah sangat tinggi sedangkan pelepasan cukai hanyalah RM1,000 sahaja bagi setiap anak.

Perbelanjaan berkaitan anak-anak termasuklah kos sara hidup, kos penjagaan anak oleh pengasuh, pakaian dan peralatan persekolahan, pakaian dan peralatan aktiviti ko-kurikulum, kos penjagaan selepas sekolah, yuran tadika/prasekolah, yuran tuisyen terutama yang akan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia serta pelbagai belanja sampingan yang lain.


Peningkatan kos sara hidup, terutamanya kos petrol memberi kesan secara langsung kepada golongan sederhana dan sederhana tinggi kerana mereka adalah golongan yang rata-rata berkereta dan sentiasa berulang-alik ke tempat kerja. Ini belum mengambil kira harga rumah dan barangan keperluan harian yang turut mengalami kenaikan.

Akibatnya, golongan inilah merupakan golongan yang paling tinggi menanggung bebanan hutang - pinjaman kenderaan, pinjaman perumahan, pinjaman peribadi dan hutang kad kredit.

Justeru itu, sangatlah wajar bagi pihak kerajaan untuk mengambil langkah untuk mengurangkan beban cukai golongan ini. Antaranya adalah melalui pengurangan kadar cukai, peningkatan pelepasan dan rebat cukai.

Memandangkan kadar cukai untuk kumpulan ini tidak pernah dikurangkan sejak lebih 10 tahun yang lalu berbanding kumpulan lain yang telah dikurangkan beberapa kali, tambahan pula mereka ini mengalami kenaikan gaji tahunan, adalah dicadangkan agar kadar cukai bagi kumpulan berpendapatan bercukai antara RM50,000-RM100,000 dikurangkan sebanyak 2 peratus.

Kalangan knowledge workers di Iskandar Malaysia hanya dikenakan cukai sebanyak 15 peratus, sedangkan jika mereka bekerja di luar kawasan tersebut cukai yang dikenakan adalah 19 peratus dan ke atas. Maka cadangan penurunan kadar cukai 2 peratus ini adalah dikira wajar.

Jika diteliti jenis-jenis pelepasan cukai yang boleh dituntut oleh golongan berpendapatan sederhana ini sangatlah terhad. Pelepasan anak seperti yang dibincangkan amatlah wajar untuk dinaikkan terutama bagi anak yang masih bersekolah.


Mengambil contoh di Australia, perbelanjaan persekolahan seperti pembelian alat tulis, pakaian, komputer dan perisian komputer untuk anak-anak adalah diberi tolakan dari cukai perlu bayar. Malah, penjagaan ibu bapa, ibu bapa mertua, saudara yang tinggal serumah juga mendapat tolakan cukai.

Pelepasan untuk pembelian buku yang berjumlah RM1,000 maksimum pada masa ini dilihat boleh membantu ibu bapa jika amaunnya ditingkatkan selain pemberian baucer buku 1Malaysia dipanjangkan juga kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah.

Kakitangan Kerajaan dari kategori pendapatan ini kebanyakannya tidak membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Hal ini menyebabkan mereka tidak boleh menuntut penuh pelepasan KWSP dan insurans nyawa yang berjumlah RM6,000. Bagi pekerja swasta pula, caruman KWSP beserta bayaran premium insurans nyawa lazimnya melebihi RM6,000 had tuntutan.

Oleh itu, adalah wajar jika pelepasan KWSP dan insurans nyawa diasingkan dan jumlahnya di naikkan agar pendapatan bercukai dapat dikurangkan bagi kakitangan kerajaan dan juga swasta.

Golongan berpendapatan sederhana dan sederhana tinggi adalah golongan yang juga perlu diberi perhatian wajar. Mereka menaruh harapan tinggi agar belanjawan 2014 yang akan dibentangkan nanti membawa berita gembira kepada mereka.-UMO

Juragan Malawati..

Ahad, 20 Oktober 2013

Tahniah diucapkan kepada Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor!


Tahniah diucapkan kepada YB Dato' Haji Amiruddin Setro kerana berjaya mengekalkan kerusi Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor.

Seterusnya kepada mereka yang menang pada pemilihan parti kali ini, hendaklah menghulurkan tangan persahabatan dan bukannya bermegah atau angkuh dengan kuasa yang ada demi masa depan lebih gemilang. Ingat, kemenangan diraih perlu dianggap sebagai amanah besar yang perlu dipikul!

Yang kalah, tidak kalah dalam perjuangan. Perjuangan masih boleh diteruskan. Inilah semangat ahli UMNO yang sejati. Inilah yang dikatakan pertandingan persahabatan dalam keluarga.

Rapatkan barisan, teruskan perjuangan. Masih ada hari esok dan biarlah hari esok itu lebih hebat dan gemilang daripada hari ini!

Wallahuallam.

Juragan Malawati..

Jumaat, 11 Oktober 2013

Tiga penjuru tanding Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor?


Pemilihan bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor dijangka sengit apabila tiga calon akan bertanding dalam pemilihan parti esok.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Amiruddin Setro yang mempertahankan jawatannya dijangka dicabar oleh timbalannya, Datuk Jahaya Ibrahim dan Setiausaha UMNO Bahagian, Ishak Haron.


Amiruddin ketika ditemui mengesahkan keputusannya untuk mempertahankan jawatan dan menyifatkan sekiranya dua lagi pemimpin UMNO bahagian itu mencabar beliau, perkara itu adalah satu amalan biasa selaras dengan prinsip demokrasi dan keterbukaan yang diamalkan oleh parti.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Selangor amat mengharapkan mereka yang bertanding dalam pemilihan bahagian parti di seluruh negeri mengutamakan agenda memperkukuhkan parti dan bukannya semata-mata kerana kepentingan peribadi.


‘‘Dalam pilihan raya umum lalu, UMNO Kuala Selangor dilihat antara bahagian yang cemerlang apabila berjaya merampas kerusi Parlimen Kuala Selangor dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati daripada pembangkang selain mempertahankan DUN Jeram.

‘‘Bagi saya kejayaan ini adalah berkat usaha, kerja keras dan perpaduan seluruh jentera dan kepimpinan UMNO Bahagian," katanya di sini.

Juragan Malawati..

Khamis, 10 Oktober 2013

Ketua Pembangkang DUN Selangor akan terima keistimewaan tambahan?


KERAJAAN Selangor buat pertama kalinya dalam sejarah negeri ini akan memberi elaun dan keistimewaan kepada Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor sebagai pengiktirafan kepentingan jawatan tersebut dalam sebuah kerajaan demokrasi.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang semalam meluluskan keistimewaan tambahan kepada Katua Pembangkang Dewan Negeri Selangor yang akan dilaksanakan mengikut Seksyen 5 Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 1980.

Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira Ketua Pembangkang adalah komponen penting dalam sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi untuk menjalankan peranan semak dan imbang (check and balance) kepada kerajaan pemerintah sedia ada.

Kepentingan Ketua Pembangkang dapat dilihat seperti keutamaan yang diberikan untuk berhujah selepas sesuatu Rang Undang-Undang dibacakan dan keutamaan membahas usul Menjunjung Kasih DYMM Sultan Selangor selepas Dato' Menteri Besar pada persidangan Dewan Negeri Selangor.

Kelulusan ini akan dikuatkuasakan selepas usul ini dibentangkan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Ke -13 yang dijangka mula bersidang pada 19 November depan.

Ketua Pembangkang bakal menerima elaun tetap, elaun pemandu, elaun Setiausaha Kerja, kereta rasmi kerajaan dan elaun-elaun lain yang kesemuanya berjumlah RM8,620 sebulan.

Pembayaran elaun ini sejajar dengan imbuhan yang diberi kepada Ketua Pembangkang di Parlimen mengikut Akta Ahli Parliem (Saraan) 1980.

Keputusan ini selari dengan hasrat kerajaan Pakatan Rakyat untuk menanam dan menyuburkan demokrasi tulen di negara ini yang memberi kesamarataan hak demi memperjuangkan kebajikan rakyat.

YAB TAN SRI DATO' SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

Agak-agaklah berapa banyak yang diperolehi oleh Anwar Al-Juburi ( kata Mat Sabu lah ) atas perlantikannya sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen?

Juragan Malawati..

Ahad, 6 Oktober 2013

Selesaikan isu air di Peak 208?

Penduduk menunggu giliran untuk menadah air dari tangki statik yang disediakan oleh Syabas disebabkan berlaku gangguan bekalan air di Peak 208, Taman Kajang Utama, Kajang, Selangor, semalam.

Bukan sekali dua penduduk Peak 208, Taman Kajang Utama dekat sini terpaksa mengangkut air menggunakan baldi ke rumah mereka sejak tiga tahun lalu.

Sudah berkali-kali mereka melakukannya sehinggakan pada setiap bulan kerja sampingan itu terpaksa dilakukan agar rutin harian mereka dapat diteruskan dengan sempurna.

Gangguan bekalan air yang memberi kesan kepada hampir 800 penduduk taman tersebut membuatkan mereka kini sudah hilang sabar kerana penyelesaian terhadap isu itu masih tidak nampak.

Mana tidaknya, tatkala pulang bekerja pada waktu petang, mereka hanya mampu melihat penduduk taman berhampiran dapat membasuh kereta dan menyiram pokok bunga seperti biasa.

Malangnya, penduduk Peak 208 itu pula terpaksa beringat-ingat dan mencatu bekalan air agar dapat digunakan pada waktu-waktu kritikal.

MB lebih banyak tidor dari mengambil tahu hal rakyat!

Menurut wakil penduduk, Rostam Salleh, masalah tersebut berlarutan sejak sekian lama dan sering berulang sehingga ke hari ini.

"Gangguan kali ini berlaku sejak Sabtu lalu kerana kami difahamkan tangki air yang menyalurkan bekalan ke taman kami mempunyai masalah teknikal.

"Kami tidak pasti masalah apa yang menyebabkan gangguan kerap berlaku tetapi pernah diberitahu tangki utama di taman kami sering kosong kerana terpaksa menunggu tangki berhampiran penuh terlebih dahulu.

"Selepas tangki berhampiran penuh, barulah air bergerak ke tangki kami tetapi kalau tangki tersebut pun masih tidak penuh, kami tidak akan dapat langsung bekalan air," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Rostam yang terpaksa menyewa sebuah rumah inap desa di Bandar Baru Bangi sejak gangguan bekalan air Sabtu lalu berharap masalah tersebut dapat diselesaikan sepenuhnya.

"Apabila ada aduan penduduk, baru Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) menghantar kakitangannya untuk membuat pintasan secara manual di tangki tersebut, tetapi (masalah selesai) hanya untuk beberapa hari kerana masalah serupa akan berulang selepas itu," katanya.

Ujarnya lagi, tindakan menyewa rumah inap desa itu terpaksa dilakukan demi memberi keselesaan kepada anaknya untuk mengulang kaji pelajaran sebagai persiapan menghadapi Penilaian Menengah Rendah (PMR) bermula hari ini.

Juragan Malawati..

Jumaat, 4 Oktober 2013

Luahan maaf pengantin perempuan setelah lauk kendurinya korbankan 4 nyawa?


PENGANTIN perempuan yang majlis perkahwinannya di Sungai Petani, Kedah pada Sabtu lalu menyebabkan kematian empat orang kerana keracunan makanan memohon maaf kepada semua yang terlibat atas ketentuan yang berlaku.

Haslina Yusof berkata, beliau sedih dan terkilan dengan kejadian yang menimpa sanak saudara dan tetamu yang hadir pada majlis perkahwinan itu.

Empat orang yang maut itu keracunan makanan selepas menikmati juadah kenduri kahwin berkenaan termasuk sepupu Haslina sendiri, Norshazana Mohd Rashid, 24, yang meninggal dunia di rumahnya di Sungai Petani.

“Saya tidak sangka boleh jadi begini,” katanya kepada wartawan .

Haslina, 23, merayu agar tidak ada mana-mana pihak yang menaruh syak wasangka dan memberi tanggapan serong terhadap keluarganya.
Katanya, beliau dan keluarga sudah cukup menanggung malu atas apa yang telah terjadi.

Mereka juga tidak berniat untuk menganiaya sesiapa apatah lagi menaruh racun ke dalam makanan seperti yang ditohmah oleh sesetengah pihak.


Sementara itu, bapa Haslina, Yusof Ahmad, 52, juga terkilan dan sedih kerana tidak menyangka majlis perkahwinan pertama dalam keluarganya itu bertukar jadi bencana.

“Saya sebagai tuan rumah nak minta maaf banyak-banyaklah berlaku pada kenduri baru-baru ini. Saya pun tak sangka yang boleh jadi macam itu. Saya panggil kawan-kawan untuk datang makan kenduri ini dengan iklhas, tak ada niat nak buat jahat atau apa,” katanya.

Apa yang menyebabkan beliau lebih terkilan ialah antara mangsa keracunan yang dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia itu adalah saudara-maranya sendiri.

Yusof turut memaklumkan beliau dan ahli keluargnya juga cirit-birit dan muntah-muntah dan ditahan di hospital selama tiga hari. Mereka hanya dibenarkan pulang pada pagi Rabu.

Sementara itu, jenazah mangsa keempat, Wang Razali Yaacob, 56, selamat dikebumikan pada pagi Rabu di Tanah Perkuburan Masjid Al-Atiq, Kampung Merbok, Sungai Petani.

Allahyarham meninggal dunia pukul 7.15 malam Selasa di Hospital Sultan Abdul Halim setelah sakit perut dan muntah-muntah selepas pulang dari majlis perkahwinan itu.

Dua lagi mangsa yang meninggal dunia ialah Mohd. Nor Rahmat Yusof, 11, dari Kampung Singkir Laut yang maut ketika mendapat rawatan di Hospital Yan dan Ibrahim Mohammad, 62, dari Kampung Huma yang meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Mereka dipercayai memakan ayam masak merah yang dimasak secara gotong-royong oleh penduduk kampung pada majlis perkahwinan berkenaan.

Dalam pada itu, polis masih menunggu laporan perubatan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah yang mengumpulkan laporan berkenaan daripada empat buah hospital daerah dan dijangka akan siap dalam masa terdekat.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Khalili Ariffin berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh selepas menerima laporan itu bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk melihat unsur khianat atau kecuaian.

Setakat ini, 270 orang dilaporkan mendapatkan rawatan di hospital kerana keracunan makanan daripada majlis kenduri kahwin itu.

Juragan Malawati..

Rabu, 2 Oktober 2013

Sultan Selangor perkenan pelantikan Ahli MAIS penggal 2012-2014.

Dari kiri Syed Muhammad Syahadi Syed Siksh, Muhammad Fuad Abdul Latip, Mohd. Hairuddin Ab. Rahim dan Abdul Majid Abdul Rahman selepas menerima watikah pelantikan tugas di mahkamah syariah daripada Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, semalam.

Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Noordin Sulaiman mendahului tiga senarai individu yang dilantik secara rasmi sebagai Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi penggal 2012-2014 dalam satu istiadat yang diadakan di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Noordin menerima watikah sebagai Ahli MAIS itu daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang telah memperkenankan pelantikan itu untuk jawatan tersebut, berkuat kuasa 1 September lalu.

Yang turut menerima watikah pelantikan sebagai Ahli MAIS ialah Ketua Polis Selangor yang baharu, Datuk Mohd. Shukri Dahlan serta Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi.

Pelantikan Mohd. Shukri sebagai Ahli MAIS berkuat kuasa pada 2 Ogos lalu manakala Sallehen pula berkuat kuasa hari ini.

Pada masa sama, Sultan Selangor turut berkenan menyerahkan watikah pelantikan Syed Muhammad Syahadi Syed Siksh, 29, dan Muhammad Fuad Abdul Latip, 37, sebagai Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor.

Baginda turut menyerahkan watikah pelantikan kepada dua lagi individu iaitu Mohd. Hairuddin Ab. Rahim, 34, dan Abdul Majid Abdul Rahman, 31, masing-masing sebagai Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Negeri Selangor.

Pelantikan empat individu terbabit berkuat kuasa secara rasmi pada 2 September lalu, selaras dengan Seksyen 60, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003.

Di bawah peruntukan enakmen tersebut, Sultan Selangor atas nasihat Ketua Hakim Syarie boleh melantik daripada kalangan anggota perkhidmatan awam am atau perkhidmatan bersama, seorang Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah dan Penolong-penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah.

Juragan Malawati..