UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Selasa, 31 Januari 2012

Inilah 'PARASIT' yang dimaksudkan oleh Hasan Ali?

Buat kali pertama, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali mendedahkan pemimpin Pas yang selama ini dianggap ‘parasit’ dengan menamakan Timbalan Pesuruhjaya Pas III negeri, Khalid Samad sebagai individu terbabit.

Beliau yang dilucutkan jawatan Exco Hal Ehwal Islam negeri pada 13 Januari lalu mendakwa, Ahli Parlimen Shah Alam itu sering dilihat menyebarkan fahaman yang tidak menyebelahi Islam selain merupakan individu paling lantang menentang usahanya untuk melarang penjualan minuman keras di kedai-kedai runcit di kawasan penempatan majoriti orang Melayu.

Hasan berkata, Khalid juga beria-ia mengkritik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika agensi agama itu menyerbu sebuah premis yang dikatakan sebagai Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) meskipun pihak berkuasa menerima maklumat mengenai penganjuran satu majlis yang bermatlamat bagi menyelewengkan akidah umat Islam di negeri ini.

“Saya tidak hairan sekiranya usaha-usaha itu ditentang oleh pemimpin DAP mahu pun pemimpin bukan Islam dalam PKR, tetapi saya sangat hairan apabila ia ditentang hebat oleh Khalid Samad yang bertanding atas tiket Pas.

“Sebab itu saya hendak ingatkan pengundi di Shah Alam agar jangan beri satu undi pun kepada dia (Khalid) pada pilihan raya umum akan datang kerana dia adalah pengkhianat kepada akidah umat Islam,” katanya ketika berucap pada program Bicara Memurnikan Akidah Ummah di Dewan Rukun Tetangga Seksyen 17 di sini malam ini.

Program itu dihadiri lebih 1,000 orang termasuk bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasan Basri Mohd. dan bekas Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Datuk Aidit Ghazali.

Hasan berkata, pihaknya sedang dalam perancangan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertujuan untuk mempertahankan Islam, Melayu dan institusi diraja di negara ini.

Kata beliau, pertubuhan yang akan dikenali sebagai Jati itu akan menggabungkan beberapa NGO lain yang turut mempunyai perjuangan sama selain individu yang berminat untuk menyertainya.

“Pertubuhan itu dijangka dilancarkan pada 21 Februari di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dengan sasaran penyertaan seramai 100,000 keahlian.

“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan jaringan ketiga iaitu sebagai pengimbang kepada parti pemerintah serta parti pembangkang dalam mempertahankan Islam, Melayu dan Raja Melayu (IMR) di negara ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hasan Basri berkata, penyebaran fahaman ‘Anwarism’ kini semakin merbahaya kerana ia jelas bersifat sekular dan liberal yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

“Sebagai contoh, demi untuk kuasa dan mendapat sokongan negara Barat, Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sanggup mengiktiraf sebuah negara haram Israel yang sejak sekian lama melakukan kekejaman terhadap umat Islam di Palestin.

“Selain itu, atas nama hak asasi manusia, Anwar juga bersungguh-sungguh menganggap Seksyen 377B (Kanun Keseksaan) yang melarang seks gay dan lesbian sebagai lapuk serta tidak lagi relevan dan sebab itulah saya kata fahaman ‘Anwarisme’ ini merbahaya kepada umat Islam di negara ini,” tegasnya.

Aidit pula mengingatkan umat Islam di negara ini supaya taksub hanya kepada Allah dan bukannya kepada seseorang pemimpin mahu pun organisasi kerana ia adalah tuntutan Islam.-UM.

Juragan Malawati..

Sabtu, 28 Januari 2012

Tindakan terdesak PAS - 'Pilihanraya olok-olok' akan diadakan di Bandar Puncak Alam esok!


Mungkin sudah terdesak agaknya...!!!

Gempar..!!! Adakah ini tanda-tanda awal MB Khalid G hendak membubarkan DUN Selangor dalam masa terdekat iaitu lebih awal dari PRU ke-13? Khalid ada berani ke nak bubarkan DUN setelah mengetahui dirinya sendiri sudah di TOLAK di DUN Ijok?

Atau adakah MP Kuala Selangor yang juga mantan Pengarah Stategi PAS , DR.Zulkifli Ahmad setelah mengetahui diri beliau semakin ditolak di Kuala Selangor cuba untuk membuat satu 'Pilihanraya Percubaan' bagi menguji samada beliau masih lagi diterima di Kuala Selangor ataupun tidak..!!!

Selama 3 tahun lebih manjadi MP di Kuala Selangor, langsung tiada apa-apa perubahan yang dilakukan di kawasan Parlimennya? Rakyat Kuala Selangor masih perlukah Ahli Parlimen yang sebegini yang hanya menerima alaun bulanan atau lebih tepat lagi dipanggil 'makan gaji buta'. Fikir-fikirkanlah...!!!

Juragan Malawati..

Khamis, 26 Januari 2012

Syarikat Kroni Dapat Habuan, Rakyat Selangor Dapat Sampah!

Kroni dapat habuan masing-masing, rakyat dapat sampah.. ini mungkin kesimpulan yang boleh dibuat terhadap permasalahan sampah yang dihadapi rakyat negeri Selangor sejak beberapa bulan lalu.

Mengulas masalah yang berlanjutan itu Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abd Shukor Idrus berkata rakyat Selangor menjadi mangsa kerakusan dan keangkuhan kerajaan negeri Selangor dalam penyelesaian isu sampah dan sisa pepejal di negeri ini.

Tegasnya rakyat Selangor kini semakin sesak nafas kerana terpaksa menghidu bau busuk, sampah berulat yang menghantuai mereka, kerana tindakan bodoh kerajaan negeri yang tidak melanjutkan kontrak Alam Flora yang telah berpengalaman dalam menguruskan sampah dan sisa pepejal ini semata-mata kerana Alam Flora dilantik oleh kerajaan BN dahulu, dan bukannya melihat kepada prestasi Alam Flora.

”Kini, rakyat yang menjadi mangsa. Jika dahulu, pihak Alam Flora akan mengutip sampah tiga kali seminggu, namun pihak syarikat pengurusan baru yang dilantik kerajaan negeri ternyata gagal mengutip sampah tiga kali seminggu, sebaliknya seminggu sekali pun susah.

“Kita yakin, pihak syarikat pengurusan yang baru bukan sahaja tidak berpengalaman seperti Alam Flora, malah tidak mempunyai kelengkapan yang mencukupi, lori sampah misalnya.

“Jadi, mana mungkin mereka mampu untuk mengutip sampah tiga kali seminggu, jika mereka terpaksa menggunakan sumber terhad untuk menguruskan dan mengutip sampah dan sisa pepejal di seluruh Selangor,” katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Beliau yang juga ADUN Kuang, Selangor seterusnya berkata kerajaan negeri tidak menggunakan pendekatan kerajaan terdahulu yang memilih atau meneruskan kontrak mana-mana syarikat pengurusan sampah melalui pendekatan penilaian prestasi, sebaliknya mereka lebih selesa melantik syarikat dari kalangan kroni mereka.

”Mereka lebih mementingkan kroni mereka berbanding kebajikan dan keselesaan rakyat Selangor. Masalah sampah yang berlaku di negeri jelas menunjukkan kegagalan pentadbiran negeri menyediakan perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

‘‘Pentadbiran yang gagal bukan sahaja memberi kesan kepada agensi-agensi di bawah kerajaan negeri seperti PBT, akhirnya rakyat yang menderita terpaksa menghidu bau busuk dan sampah berulat setiap hari,” ujarnya lagi.

Pada masa yang sama, Pergerakan Pemuda UMNO Shah Alam melihat masalah isu sampah di Selangor khususnya di Shah Alam ini semakin menemui jalan buntu apabila kerajaan negeri terus dengan hasrat mereka untuk menamatkan perkhidmatan Alam Flora Sdn. Bhd dan dalam masa yang sama melantik kontraktor baru yang gagal melaksanakan tugas dengan baik.

Ketuanya, Azahari Datuk Shaari melihat kontraktor baru bukan sahaja gagal melaksanakan tugas mengutip sampah-sampah ini, malah mereka mengambil jalan mudah untuk menuduh UMNO dan Barisan Nasional sebagai dalang yang membuang sampah di kawasan-kawasan tertentu untuk memberikan imej buruk kepada pentadbiran kerajaan negeri.

”Memang sudah menjadi moto pakatan pembangkang, `Semuanya salah UMNO’ dalam melepaskan diri mereka dari apa sahaja isu yang membebankan mereka”, katanya.

Justeru beliau mengajak rakyat Selangor menilai sendiri keberkesanan dan kejayaan kerajaan pakatan pembangkang sejak mereka mentadbir Selangor sejak tiga tahun lalu.

“Adakah ini mutu perkhidmatan yang kita mahukan dari sebuah kerajaan yang mewar-warkan ketelusan sebaliknya apa yang mereka buat pada hari ini, bukan sahaja memberi keselesaan malah memberi beban kepada rakyat Selangor,” ujarnya. -MediaUMNO

Ingat Khalid, ingat sampah...!!!











Juragan Malawati..

Isnin, 23 Januari 2012

PAS bukan sebuah AGAMA tetapi hanya sebuah PARTI POLITIK!

Pas tidak boleh dianggap sebagai sebuah agama yang bersifat maksum, sebaliknya ia hanyalah parti politik yang tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan.

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, sesetengah pihak yang taksub di dalam Pas sengaja menyamakan parti itu sebagai sebuah agama supaya ia dapat diletakkan dalam jajaran hati manusia.

Beliau berkata, dengan cara itu ia akan membuatkan pengikutnya bersikap fanatik serta takut untuk berbeza pendapat dengan pemimpin mereka kerana khuatir tindakan itu boleh membuatkannya terkeluar daripada agama.

Pas hanyalah sebuah parti politik dan dakwaan yang mengatakan Pas setaraf dengan agama hanyalah sebagai usaha menjadikan pengikutnya sebagai fanatik kepada parti dan sekali gus takut untuk berbeza pendapat dengan ketua mereka kerana bimbang akan terkeluar daripada ajaran agama Islam.

“Ini tidak betul dan sekiranya kita selidik secara mendalam doktrin seperti ini boleh merosakkan akidah umat Islam,” katanya ketika berucap pada program Bicara Memurnikan Akidah Ummah di Dewan Majlis Perbandaran Klang, Meru, di sini Sabtu lalu.

Selain Hasan, turut menjadi panel pada program itu ialah bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasan Basri Mohd. dan Exco Biro Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Mukram Mohd. Taib.

Hasan memberitahu, sebab utama beliau menyertai Pas pada 15 tahun yang lalu adalah kerana parti itu majoritinya dipimpin oleh barisan ulama yang merupakan pejuang Islam tulen.

Namun pada hari ini hanya tinggal 23 peratus pemimpin di dalam Pas yang merupakan golongan ulama.

Sebanyak 72.28 peratus lagi pemimpin di dalam Pas bukan daripada golongan ulama dan mereka itulah yang merupakan ‘parasit-parasit’ yang merosakkan parti itu pada hari ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, Hasan Basri menyelar pihak yang mengangkat perjuangan komunis dan menghina pejuang kemerdekaan, meskipun mereka bermati-matian berjuang untuk memerdekakan negara yang kesannya dapat dinikmati sehingga hari ini.

“Saya nak tanya, apakah Leftenan Adnan yang terbukti sanggup bergadai nyawa demi agama, bangsa dan negara juga mereka anggap sebagai pengkhianat negara,” soalnya.

Juragan Malawati..

Ahad, 22 Januari 2012

Strategi PKR, DAP kukuhkan kuasa - Noh!

Tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melakukan rombakan dengan mengambil alih portfolio Hal Ehwal Agama daripada Pas dilihat sebagai strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mengukuhkan penguasaan mereka dalam pentadbiran negeri.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, keputusan Abdul Khalid mengambil alih portfolio yang begitu penting sebenarnya bukan bertujuan untuk memperkukuhkan perjuangan Islam, sebaliknya mahu menjaga hati sekutunya DAP.

Ini kerana, beliau berkata, ketika portfolio itu dipegang oleh Datuk Dr. Hasan Ali yang mewakili Pas, pemimpin itu sering kali dilihat tidak bersependapat dengan PKR dan DAP terutama melibatkan isu penjualan arak, murtad, penguatkuasaan ke atas operasi rumah urut dan hotel bajet di negeri ini.

"Kita tidak menolak kemungkinan pengurusan hal ehwal agama Islam ketika di bawah penguasaan Exco yang mewakili Pas sebelum ini, dilihat sebagai 'batu penghalang' oleh DAP untuk melaksanakan agenda mereka di negeri ini dengan mempergunakan PKR.

"Pengambilalihan portfolio itu kepada Menteri Besar juga tidak sesuai kerana beliau bukan ahli dalam bidang itu (pakar dalam agama Islam). Kalau letak orang yang pakar agama Islam, ia mungkin mencetuskan kebimbangan DAP," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) peringkat fasa pertama kepada 400 orang penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haron di sini.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang menyifatkan DAP telah mencapai kemenangan apabila berjaya mendorong PKR untuk mengambil alih portfolio berkenaan yang menyebabkan Pas kini seolah-olah menjadi 'pak turut' dalam pentadbiran Selangor.

''Pas hanya digunakan sebagai batu loncatan kepada PKR dan DAP untuk mendapatkan kuasa pentadbiran di Selangor. Jika dahulu Pas dianggap menumpang dalam pentadbiran negeri ini, sekarang parti itu 'melukut di tepi gantang' apabila hanya dijadikan alat untuk kekalkan kuasa PKR dan DAP," katanya.

Juragan Malawati..

Khamis, 19 Januari 2012

‘Ops parasit’ selamatkan Pas dari kemusnahan!

‘‘Ketika saya menunaikan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan, ramai yang datang bersalam dan memeluk saya, mereka memberi sokongan terhadap perjuangan saya.’’ Itulah yang dikatakan oleh Datuk Dr.Hasan Ali kepada penulis sebaik sahaja selesai sidang akhbar beliau di kediamannya, Isnin lalu.

Sememangnya sokongan seumpama itulah yang menguatkan semangat Hasan yang muncul pada sidang akhbar berkenaan penuh ketenangan. Di wajah beliau tidak ada keresahan apatah kegelisahan, beliau membaca satu persatu kenyataan akhbarnya dengan tenang dan disusuli dengan soal jawab.

Walaupun Hasan mengulangi kenyataan bahawa beliau sedih dengan pemecatan dari Pas yang dianggap drastik, namun jiwa perjuangannya dalam mempertahankan agama Islam, orang Melayu dan institusi raja tidak pernah luntur.

Malahan Hasan memberi amaran kepada Pas mengenai kewujudan golongan parasit yang dikatakan semakin menguasai parti tersebut.

Sememangnya kita tidak pasti siapakah golongan parasit itu yang dikatakan berusaha menukar haluan perjuangan asal Pas tetapi seperti mana kata Hasan mereka ini sudah menguasai jawatan-jawatan strategik dalam parti berkenaan.

‘‘...Pengaruh golongan parasit dalam Pas begitu kuat sehingga pucuk pimpinan terpaksa tunduk kepada mereka. Inilah yang sedang berlaku dalam Pas. Golongan parasit dengan jumlah yang lebih besar dan menggunakan strategi licik telah mengubah hala tuju Pas termasuk dalam pemecatan saya,’’ kata Hasan.

Namun kita percaya, Pas tidak akan menerima apatah lagi mempercayai kata-kata Hasan, biar pun semua orang tahu bagaimana keadaan parti tersebut ketika ini.

Sebaliknya, Hasan akan diserang habis-habisan oleh golongan parasit tersebut yang sudah pasti antara hujah mereka, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor berkenaan telah terpengaruh dengan agenda UMNO.

Apa pun Hasan berpegang kepada prinsip kebenaran kerana Rasulullah SAW telah berpesan, katakanlah yang benar biar pun pahit. Bagaimanapun dalam keghairahan Pas memburu kuasa, mereka tidak akan mempedulikan semua itu dan akan menganggap Hasan hanyalah orang kecewa akibat dipecat.

Bagi Pas, mereka tidak perlu menjaga hati insan-insan perjuangan seperti Hasan kerana apa yang lebih penting ialah menjaga hubungan politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Sebab itulah, Hasan dipecat, beliau menerima nasib berkenaan bukannya kerana mengecam atau memperlekehkan Pas tetapi hanya disebabkan beliau menentang Himpunan 901, bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berdasarkan kepada hujah itu, jelaslah Pas sudah dikuasai oleh parasit atau makhluk perosak yang matlamat perjuangan mereka hanyalah untuk memburu kuasa politik. Kita tidak perlu bertanya dan mengetahui siapa parasit berkenaan kerana seperti mana kata Hasan kalau hendak tahu, ikutilah road show beliau yang dianggap akan mendedahkan segala-galanya mengenai perjuangan politik Pas.

Apa pun Pas perlu faham, mereka tidak boleh memandang rendah kepada keupayaan Hasan dalam meneruskan perjuangan murninya. Ia kerana sudah ada tanda-tanda bahawa di dalam Pas sendiri ramai yang menyokong Hasan. Keadaan itu berlaku kerana Hasan bukannya ingin menghancurkan Pas tetapi ingin menyedarkan parti itu supaya kembali kepada perjuangan asal.

Hasan tidak mahu Pas hanya menjadi ‘pak turut’ atau ‘kuda tunggangan’ kepada mana-mana pihak sehingga terpaksa mengorbankan perjuangan Islamnya.

‘‘Kepada ahli dan penyokong Pas, kembalikanlah Pas ke landasan asalnya iaitu membangunkan masyarakat berlandaskan al-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qias.’’ itulah pesanan Hasan pada sidang akhbar tersebut.

Keikhlasan Hasan untuk memperbetulkan Pas jelas apabila beliau mempertegaskan bahawa beliau masih sayangkan Pas terutama perjuangan asal parti itu.

Sebab itulah, kepimpinan Pas terutamanya golongan ulama perlu bersama menyokong Hasan, tidak kiralah sama ada secara terbuka atau tertutup. Mereka tidak boleh memandang serong apatah lagi ‘meminggirkan’ Hasan hanya kerana semata-mata beliau memperjuangkan Islam.

‘Musuh’ golongan ulama Pas bukan Hasan tetapi golongan parasit yang semakin menguasai parti itu. Tiada gunanya mereka melihat Hasan sebagai ‘musuh’ sedangkan beliau hanya memperjuangkan apa yang seharusnya diperjuangkan oleh Pas.

Puak-puak yang tidak mahu bersama Hasan kerana bimbang ia akan menjejaskan sokongan politik kepada Pas sepatutnya berasa malu. Mereka perlu tampil menyatakan kebenaran demi menyelamatkan Pas daripada golongan parasit.

Sikap bermain politik secara selamat dengan menafikan kebenaran yang diperjuangkan oleh Hasan adalah tindakan ‘jahil’. Seharusnya kesanggupan Hasan mempertaruhkan jawatan dan kedudukannya demi menegakkan kebenaran disokong dan bukannya dipecat tanpa sempat beliau mengemukakan pembelaan.

Tindakan Pas untuk terus meminggirkan Hasan berikutan ketegasan beliau hanya akan menyebabkan parti itu kehilangan sokongan, walaupun mungkin tidak banyak tetapi lambat-laun ia boleh melemahkan Pas.

Sama ada hendak diakui atau tidak, Hasan bukan sahaja mempunyai pengikut dan penyokong sendiri malahan Pas juga perlu sedar bahawa di kalangan ahli parti itu ramai yang bersimpati dan bersetuju dengan perjuangan bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor itu.

Mereka ada sebahagiannya sudah menyatakan komitmen untuk bersama Hasan melancarkan ‘ops parasit’ sama ada berada di dalam parti mahu pun di luar parti.

Justeru Pas jangan memandang remeh kepada perjuangan Hasan jika tidak mahu dilihat sebagai sebuah parti yang sanggup tunduk dan patuh kepada arahan rakan sekutunya sehinggakan pemimpin sendiri pun sanggup dikorbankan.

Jika kenyataan Hasan dikaji adalah jelas beliau sudah tawar hati untuk berada di dalam Pas buat masa ini, biar pun masih sayang parti itu, namun ini tidak akan menghalang misi beliau menghapuskan ancaman parasit.

Dalam keadaan sekarang dengan ketegasan yang ditunjukkan oleh beliau untuk melaksanakan ‘ops parasit’ sudah pasti mereka yang tergolong dalam kelompok itu tidak akan duduk diam. Dengan kedudukan yang dianggap strategik dalam Pas, sudah pasti Hasan akan dihalang untuk ‘diampunkan’.

Puak-puak parasit ini tidak mahu agenda mereka bagi mencapai cita-cita politik kekuasaan bersama-sama dengan PKR dan DAP terhalang. Tidak kira apa pun yang Hasan pejuangkan, bagi mereka semua itu tidak penting, yang mustahak sekarang ialah menawan Putrajaya.

Dalam soal ini, hanya ahli dan penyokong Pas sahaja yang mampu menghalang penguasaan golongan parasit dalam parti itu melalui kerjasama dengan Hasan demi memastikan agenda untuk kepentingan peribadi dan kelompok puak itu terhalang.

Ia juga sekali gus akan dapat menyelamatkan Pas daripada bahana menang sorak kampung tergadai dalam pilihan raya umum akan datang.-UM.

Juragan Malawati..

Rabu, 18 Januari 2012

Exco Agama Selangor Tidak Lagi Milik Pas!


Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan beliau sendiri mengambil alih tugas-tugas Exco Hal Ehwal Agama Selangor dan bukannya ADUN Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi daripada PAS yang dilantik menggantikan Datuk Dr Hasan Ali.

Pengumumkan mengejutkan itu bermakna PAS tidak lagi mengemudi kerajaan negeri dari segi pelaksanaan enakmen syariah di Selangor tetapi tanggungjawab itu diambil alih oleh Khalid daripada Parti Keadilan Rakyat. Ia juga menguatkan hujah bahawa Khalid tunduk kepada desakan DAP tidak mahukan seorang Exco Agama "mirip Hasan" dalam menguatkuasakan undang-undang Islam.

Walaupun mengambil tempat Hasan sebagai Exco, Yunus hanya diberikan tanggungjawab untuk menjaga Adat Resam Melayu dan Hal Ehwal Belia dan Sukan. Selain Hal Ehwal Islam, Khalid juga akan menggalas tugas Exco untuk Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Hasan menjadi Exco Agama, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam sejak 2008 sebelum di pecat dari Pas dan digugurkan sebagai Exco minggu lalu. Pesuruhjaya Pas Selangor Dr Rani Osman yang diuar-uarkan akan mengganti tempat Hasan, diberikn “saguhati” apabila dilantik Pengerusi Skim Mikro Kredit Miskin Luar Bandar (SKIMSEL).

ADUN Bandar Baru Bangi, Dr Shafie Abu Bakar dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Adat Istiadat Melayu (PADAT). Kedua-dua jawatan ini sebelumnya di sandang oleh Hasan. Rombalan Exco dan jawatan kanan kerajaan negeri itu oleh Khalid pasti mengejutkan, khususnya tindakan beliau menggugurkan pemimpin Pas untuk Exco Agama.

Hasan sebelum ini menjadi sasaran pemimpin negeri DAP dan PKR kerana dilihat terIampau ghairah menguatkuasakan undang-undang syariah sehingga dikata mencemaskan pengundi bukan Melayu.

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu memberi sokongan kepada isu-isu murtad yang dibawah oleh Himpun selain berusaha mengekang jualan arak kepada masyarakat Islam di negeri ini.

Juragan Malawati..

Isnin, 16 Januari 2012

Gempar...!!! Parasit ancam Pas, Anwar mesti ditolak!


Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, saya terperanjat dan bersedih dengan keputusan drastik yang dibuat oleh pimpinan tertinggi parti. Setahu saya, apa juga perbezaan pendapat di antara saya dengan parti telah pun diharmonikan dan dianggap selesai.

Saya telah dijemput menemui ketiga-tiga pimpinan tertinggi parti itu Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr.Haron Din dan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Pertemuan yang penuh kemesraan itu berlangsung di Kota Bharu pada 27 Disember 2011.

Tuan Guru Mursyidul Am menyatakan rasa terharu beliau dengan tindakan memohon maaf saya kerana menarik balik kenyataan yang boleh menyinggung ahli dan penyokong Pas. Atas nama Pertemuan Mahabbah, beliau telah mencadangkan diadakan kenduri besar di peringkat Pas pusat dengan ahli-ahli menyumbang untuk menyatakan kenduri tersebut. Di pihak beliau sendiri, kenduri kecil telah diadakan di JKR 10 sempena Pertemuan Mahabbah tersebut.

Kes melibatkan saya dengan parti telah diharmonikan dengan sepenuhnya. Bagi saya pemecatan saya sebagai ahli Pas adalah kerana saya menyentuh kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Himpunan 901.

Saya telah menasihatkan ahli-ahli Pas khususnya mahasiswa dan mahasiswi supaya tidak menghadiri himpunan tersebut. Kes tersebut adalah kes peribadi melibatkan seorang pemimpin. Bagi saya mahasiswa dan mahasiswi sepatutnya menumpukan perhatian kepada pengajian berikutan dengan minggu peperiksaan yang sedang berjalan ketika itu.

Perlu disebutkan kenyataan saya dilihat selari dengan kehendak Presiden Pas sendiri yang tidak menggalak dan tidak juga melarang ahli menyertai perhimpunan tersebut.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali melenting dengan kenyataan tersebut dan meminta pucuk pimpinan Pas segera memecat saya. Keesokan harinya Jawatankuasa Pas Pusat bersidang dan memutuskan secara drastik bahawa saya telah dipecat daripada menjadi ahli Pas tanpa memberi peluang kepada saya membela diri terhadap tuduhan-tuduhan yang saya sendiripun tidak dimaklumkan sehingga hari ini.

Pemecatan saya itu tidak menggunakan prosedur yang biasa diamalkan oleh mana-mana pertubuhan termasuk pertubuhan politik. Lazimnya tertuduh diberi peluang untuk membela diri terhadap tuduhan-tuduhan bertulis yang dikenakan kepada pihak tertuduh.

Bagi saya, Pas pusat yang sepatutnya mengamalkan prinsip-prinsip Islam dalam berorganisasi telah tidak mematuhi prinsip-prinsip tersebut di atas. Jelas keputusan itu dibuat secara autokratik dan menyimpang daripada asas-asas mengurus manusia dalam organisasi mengikut prinsip-prinsip Islam.

Saya yakin Presiden Pas dan lain-lain pimpinan ulama faham tentang asas-asas disiplin melibatkan manusia dalam organisasi berpandukan kepada Islam tetapi pengaruh golongan parasit dalam Pas begitu kuat sehingga pucuk pimpinan terpaksa tunduk kepada mereka.

Inilah yang sedang berlaku dalam Pas. Golongan parasit dengan jumlah yang lebih besar dan menggunakan strategi yang licik telah berjaya mengubah arah tuju Pas termasuk dalam kes pemecatan saya ini.

Saya hairan dan cuba mencari hujah yang digunakan oleh pimpinan Pas waktu membuat keputusan memecat saya. Pemecatan saya bukan atas dasar kesilapan yang saya lakukan yang telah pun diharmonikan tetapi semata-mata menegur pimpinan PKR yang menghadapi kes mahkamah yang saya katakan bersifat peribadi. Saya juga hairan bagaimana Pas boleh tunduk dengan tekanan dari PKR yang meminta saya dipecat. Apakah Pas sudah hilang maruah?

Saya dihujani dengan panggilan telefon, pesanan ringkas dan kunjungan bertali arus untuk menanyakan sama ada saya akan membuat rayuan terhadap pemecatan saya itu. Saya masih memerlukan masa untuk mendengar berbagai pendapat daripada sahabat-sahabat khususnya teman-teman ulama saya.

Saya masih sayangkan Pas terutama perjuangan Pas yang asal. Tetapi saya perlu membuat keputusan yang adil untuk diri saya, adil untuk keluarga saya, adil untuk masyarakat dan adil untuk umat seluruhnya. Lebih daripada itu, saya mahukan keputusan saya itu membantu saya mengagungkan Islam, mengangkat martabat bangsa Melayu dan mendaulatkan institusi Raja.

Dalam apa keadaan pun saya telah dan akan terus berjuang baik di dalam mahu pun di luar Pas. Peluang dan ruang terbuka untuk saya, tidak sesempit seperti yang dijangkakan oleh sesetengah pihak, akan saya gunakan sepenuhnya. Saya gembira hidup untuk Islam dan saya reda mati untuk Islam.

Pagi ini saya menerima surat dari Istana memaklumkan tentang pengguguran saya sebagai ahli Exco berkuat kuasa mulai 16 Januari 2012. Di peringkat ini, saya merasakan bahawa tarikh pengguguran itu sebenarnya bercanggah dengan kuatkuasa keahlian saya sebagai ahli Pas yang sepatutnya tamat pada hari akhir tempoh rayuan. Saya tidak ada masalah atas pengguguran sebagai ahli Exco ini.

Sebenarnya saya telah menulis surat kepada Menteri Besar untuk memohon bercuti sehingga hari tamat tempoh rayuan dan Menteri Besar telah pun meluluskan cuti saya itu. Ini bermakna pelucutan saya sebagai ahli Exco berlaku dalam keadaan secara teknikalnya jangka hayat keahlian saya masih berjalan sehingga minggu pertama bulan Februari 2012. Mungkin Menteri Besar terlepas pandang menasihatkan Sultan Selangor mengenai perkara ini.

Seperti saya sebutkan, saya tidak ada masalah di atas pengguguran ini. Malah saya telah bersedia secara mental dan fizikal untuk menghadapinya. Bagi saya, ini adalah asam garam perjuangan. Perkara ini tidak sedikitpun menganggu hasrat saya untuk memperjuangkan sesuatu yang paling murni dalam hidup seorang insan iaitu mengagungkan Islam.

Hanya saya tertanya-tanya apa di sebalik tindakan yang begitu tergesa-gesa untuk memecat dan menggugurkan saya. Tindakan tergesa-gesa ini seolah-olah menampakkan ada pihak yang begitu tidak sabar-sabar untuk mengeluarkan dan menggantikan tempat saya. Walhal dari segi pengguguran ahli Exco saya sepatutnya masih ada tiga minggu lagi tempoh bertenang untuk membuat keputusan yang terbaik.

Kepada rakan-rakan Exco yang lama dan baru ingin mencoretkan satu pesanan supaya berhati-hati memegang mentadbir negeri Selangor. Dalam pembangunan yang begitu pesat jangan sekali-kali keagungan Islam, martabat bangsa Melayu dan kedaulatan institusi Raja serta Perlembagaan dikesampingkan.

Itulah amanah pertama dan utama. Menyisihkan bererti saudara sekalian sudah mengkhianati kuasa dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Akhirnya, kepada ahli dan penyokong Pas, kembalikanlah Pas ke landasan asalnya iaitu membangunkan masyarakat berlandaskan al-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qias. Ahli dan penyokong Pas mesti berani mengambil langkah positif dan tegas untuk membebaskan Pas daripada cengkaman golongan parasit yang mempunyai agenda tersendiri untuk kepentingan peribadi dan kelompok mereka.

SIAPA ketua parasit?

DR. HASAN ALI : Saya diberitahu Pesuruhjaya Pas Selangor dan timbalannya mencabar saya menamakan siapakah parasit yang dimaksudkan. Soal parasit ini pernah saya sebut dalam satu program, sebelum ini. Saya dan teman-teman sebenarnya bercadang untuk mengadakan ceramah-ceramah luar yang berbentuk road show. Saya telah menerima jemputan hampir seluruh Malaysia termasuk Sabah.

Tujuan road show ini adalah untuk menerangkan kedudukan sebenar. Pertama, mengenai pemecatan saya daripada Pas dan keduanya, pengguguran saya sebagai Exco kerajaan Selangor. Jadi ketuanya saya tidak umumkan hari ini pengikutnya juga saya tidak umumkan hari ini. Marilah bersama-sama dalam road show saya akan datang dan saya akan maklumkan kepada tuan-tuan.

Bagaimanakah caranya ahli Pas yang mendukung perjuangan asal Pas mahu mengatasi masalah penguasaan golongan parasit itu?

HASAN: Itulah sebabnya kita memerlukan orang seperti saya. Jika dari dalam (parti) kita hendak hindarkan daripada parasit agak sukar sebab dipandu oleh peraturan-peraturan yang menyekat kita daripada menghuraikan masalah ini. Ia juga tidak boleh diselesaikan melalui mesyuarat-mesyuarat sahaja sebab masalah ini mengaitkan hampir satu juta ahli-ahli Pas. Mereka berhak mengetahui isu ini.

Untuk pengetahuan hikmah daripada apa yang berlaku, pertama apabila cawangan bermesyuarat mereka telah membincangkan perkara ini yang mana dulu tidak pernah. Mesyuarat di peringkat kawasan pun serupa dan begitu juga mesyuarat di peringkat negeri dan pusat. Mungkin kita boleh katakan Hasan Ali jolok sarang tebuan tetapi tebuan yang dijolok Alhamdulillah bukan tebuan yang menyengat sebarangan tetapi semata-mata tujuan untuk memandu manusia ke jalan Allah SWT.

Inilah yang saya lakukan. Daripada dalam pula apa yang boleh kita lakukan Insya-Allah, saya amat mengharapkan golongan ulama terutamanya. Begitu juga dengan Dewan Pemuda Pas yang nampaknya orientasi mereka seiring dengan orientasi saya. Saya amat berharap Insya-Allah supaya jalinan terus dapat dilakukan bersama teman-teman di dalam walaupun saya berada di luar (parti).

Saya terlalu yakin dan mereka sebahagiannya telah bertemu untuk merundingkan bagaimana jalinan dapat dibuat, kita tentukan parasit-parasit ini dalam waktu terdekat dapat dibebaskan daripada organisasi Pas. Maksudnya luar pun bergerak dalam pun bergerak.

Di luar ini memanglah lebih lantang dan garis sempadannya tidak terikat dengan panduan dan Perlembagaan parti. Insya-Allah saya akan lakukan dengan penuh hikmah, bijaksana dan keintelektualan untuk kita bersama-sama menggerakkan supaya Pas kembali berada seperti mana di zaman kepimpinan Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Saya yakin Datuk Seri Abdul Hadi Awang menginginkan Pas menjadi tonggak pertama untuk mempertahankan Islam di bumi Malaysia ini.

Apakah ciri-ciri parasit dan adakah ia berada di dalam Pas atau mana-mana organisasi?

HASAN: Parasit ini mempunyai kumpulan, ada pertemuan-pertemuan, ada gagasan, ada matlamat, ada misi dan visinya. Sebahagian daripada mereka telah bergerak cergas semasa menuntut di luar negara. Sebahagiannya bergerak cergas ketika berada di peringkat awal pekerjaan mereka dan menyusup di mana-mana.

Penyusupan ini akhirnya berlaku dan bergerak aktif di dalam Pas. Mereka kemudian memegang jawatan-jawatan penting dan strategik di dalam Pas. Memang mereka minta untuk memegang jawatan-jawatan strategik ini. Kita melihat sekarang apa yang telah berlaku.

Insya-Allah, selepas ini saya akan memberi komen-komen lebih terperinci lagi kerana saya juga telah diminta untuk menghuraikan soal parasit ini, apa yang mesti dilakukan dan bagaimana mereka bercambah dan bergerak. Sebenarnya parasit ini telah wujud 30 hingga 40 tahun lalu.

Ia bukan fenomena baru sebaliknya fenomena lama, namun isu parasit ini terus berlanjutan. Saya tahu jaringan kerjasama mereka di peringkat negeri, daerah, pertubuhan-pertubuhan Islam mahupun antarabangsa. Insya-Allah saya dan teman-teman akan menganalisis perkara ini dan akan membentangkannya satu persatu pada masa akan datang.

Adakah golongan parasit ini pro Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ?

HASAN: Saya tidak mahu jawab setakat ini. Biar saya jawab pada situasi yang lain. Lagipun program road show saya akan diadakan tidak lama lagi. Oleh itu saya amat berharap rakyat mengikuti road show ini kerana ada maklumat-maklumat yang boleh dikongsi bersama. Insya-Allah sebahagian daripada isi ceramah saya berkaitan dengan parasit-parasit ini.

Siapakah penganjur road show ini?

HASAN : Pejabat saya sendiri dan dalam masa sama teman-teman lama juga telah bersetuju bersama-sama saya menjayakan road show ini. Ada yang menawarkan kereta, ada yang menawarkan tenaga dan ada yang menawarkan masa. Ingin saya tegaskan di sini apa yang saya lakukan ini tidak ada kepentingan apa-apa tetapi semata-mata untuk mempertahankan kesucian Islam kepentingan orang Melayu dan kepentingan raja-raja Melayu. Inilah tiga perkara penting yang saya perjuangkan.

Apa pandangan Datuk berhubung kenyataan Anwar yang mempertikaikan undang-undang berkaitan kegiatan homoseksual di negara ini?

HASAN: Inilah salah satu sebab saya tidak boleh bersekongkol dengan Anwar Ibrahim. Inilah sebabnya rakyat Malaysia mesti menolak perjuangan Anwar Ibrahim. Kalau kegiatan gay, lesbian, homoseksual dan transgender, itu hendak dihalalkan di Malaysia, saya rasa masyarakat akan bergolak dan berpecah. Saya nampak kekacauan akan berlaku. Ini pandangan saya.

Sebenarnya, pandangan Anwar Ibrahim bukan hanya di Mumbai melalui BBC itu sahaja. Kalau tidak salah, itulah pandangan peribadi dan pandangan asasi yang dipegang oleh Anwar Ibrahim dan itu sebab utama saya tidak boleh bersama Anwar Ibrahim, saya yakin pendirian saya adalah tepat.

Adakah objektif road show Datuk untuk bersihkan Pas daripada parasit-parasit itu?

HASAN: Tugas saya bukan untuk membersihkan Pas sahaja. Tugas saya adalah untuk memikul tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi. Jika hendak bersihkan Pas, carilah mana-mana orang Pas untuk bersihkan. Lagi pun saya telah terkeluar daripada Pas. Namun tugas saya lebih besar dan hanya Allah sahaja Maha Mengetahui. Sebab itu di dalam road show itu nanti, pertama saya akan menerangkan kepada masyarakat bagaimana institusi dan pertubuhan yang ada tidak mampu mengangkat ketiga-tiga martabat itu (Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu).

Kedua, saya akan terangkan Pas yang sepatutnya menjadi juara untuk mengangkat martabat itu, saya masukkan dalam kategori gagal kerana pengaruh daripada parasit . Ketiga, saya hendak menerangkan, apa pengaruh DAP dan apa pengaruh PKR dalam Pas. Ada teman-teman hendak menulis tentang Anwarisasi dalam Pas maknanya proses ‘menganwarkan’ Pas.

Ada pula teman-teman hendak menulis di bawah tajuk Pas kuda tunggangan DAP. Saya objektif dan bersandarkan kepada fakta. Sebab itu di dalam road show saya nanti apa yang kita akan bentangkan kepada masyarakat adalah berdasarkan kepada hasil kajian serta analisis yang kita jalankan.

Sebab apa saya hendak adakan road show? Sebab ia membolehkan saya bersemuka dengan rakyat pelbagai lapisan di Bangi saya bertemu dengan golongan intelek. Saya boleh bertemu dengan golongan pertengahan di Kuala Selangor. Saya boleh bertemu dengan penduduk kampung di Tanjung Karang. Ini satu tugas yang berat dan bersama-sama saya sudah ada antara 20 hingga 30 orang.

Menyentuh kenyataan Anwar mempertikaikan undang-undang berkaitan kegiatan homoseksual di negara ini, saya minta penjelasan sekali lagi?

HASAN: Saya tidak akan bersetuju apa-apa cadangan untuk membenarkan kegiatan homoseksual, lesbian atau apa jua bentuk kegiatan tidak bermoral. Dalam isu ini saya juga akan rujuk kepada ulama kerana pendirian ulama bersandarkan hukum-hukum terdapat di al-Quran, al-hadis, qias dan ijmak.

Ini bukan persoalan moral yang terasing dan kita harus ingat isu moral berkaitan dengan agama. Walau apa pun saya akan akur dengan pandangan ulama sama ada ulama di dalam Pas mahu pun di luar Pas berhubung isu yang diperjuangkan oleh Anwar Ibrahim bersama teman-temannya yang lain.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Nik Aziz) meminta Datuk tutup mulut. Apa komen Datuk?

HASAN: Saya hormati pandangan beliau. Saya asalkan ulama memanglah saya hormati. Saya hormati Datuk Nik Aziz sebagai tok guru, saya hormati Nik Aziz sebagai ulama besar. Nik Aziz pada masa dahulu adalah pemimpin saya. Dia suruh tutup mulut semua orang kena tutup mulut.

Semua orang kena tutup mulut termasuk orang yang bercakap kena tutup mulut. Bagaimanapun saya tetap menghormatinya dan Insya-Allah saya akan jadikan nasihat ini sebagai panduan utama di dalam perjuangan saya.

Anwar ketika mengulas pemecatan Datuk telah menyatakan bahawa adalah lebih baik bersihkan pakatan pembangkang daripada individu-individu yang gila kuasa dan duit?

HASAN: Siapa yang gila kuasa? Cuba tuan-tuan fikir saya atau Anwar Ibrahim. Saya telah diberikan kuasa sebagai Exco kerajaan negeri. Bayangkan exco ini selesa, hidup separuh mewah, semuanya dibayar, kuasanya besar, Alhamdulillah. Orang sanggup berbunuh-bunuh untuk menjadi exco. Namun saya korbankan jawatan itu kerana satu idealisme.

Bayangkan seorang ini, kumpulkan orang di Sabah, kumpulkan orang di Sarawak untuk menawan Putrajaya pada 16 September. Dia gila kuasa ke atau saya gila kuasa? Bayangkan atas nama gila kuasa, dia kata dalam penjara pun akan menjadi Perdana Menteri. Hasan tidak pernah sebut. Saudara-saudara timbangkanlah. Mengenai gila duit. Masya-Allah jika hendak kata saya gila duit ini, saya dulu perunding pengurusan dan latihan.

Tanya isteri saya berapa pendapatan saya pada masa itu sebulan. Saya menyertai Pas semata-mata kerana perjuangan. Jangan tanya saya berapa kerugian saya apabila menyertai Pas setelah hampir 15 tahun. Isteri saya faham, anak-anak saya faham. Saya merupakan exco yang bertanggungjawab infrastruktur dan kemudahan awam. Projek-projek JKR dan JPS.

Saya ingat saya tidak ambil satu sen pun. Rekod saya bersih. Hendak disogok-sogok ini saya tidak biasa. Saya pun tidak pernah duduk dengan penyogok, disogok, penyogokan, kesogokan tidak ada, yang ada ialah agaknya teman-teman yang lain. Dari segi psikologinya kadang-kadang kita hendak menafikan yang kita buat kita tuduh orang buat.

Adakah sebab-sebab lain Datuk dipecat sebagai ahli Pas?

HASAN: Saya tidak tahu sebab-sebab lain tetapi saya yakin apa yang berlaku ini satu sejarah buat Malaysia dan saya juga yakin akan ada pelajar ijazah, sarjana atau doktor falsafah buat kajian mengenai peristiwa ini dan pada masa itu baru kita tahu sebab-sebab lain. Di pihak saya, saya tidak tahu kerana kertas pertuduhan itu tidak ada.

Saya tidak pernah lihat kertas pertuduhan. Sepatutnya ada kertas pertuduhan dalam bentuk tulisan. Melalui kertas pertuduhan ini jawatankuasa disiplin akan bersidang. Daripada situ mereka akan membuat cadangan kepada Jawatankuasa Pusat. Itu yang biasa tetapi sehingga hari ini satu calit pertuduhan saya tidak terima dan saya tidak tengok. Saya tidak tahu apa kesalahan saya.

Mereka tuduh saya merugikan parti. Adakah saya ditemubual di dalam rancangan soal jawab terbitan TV3 merugikan parti. Menurut teman-teman yang menonton soal jawab, mereka berkata daripada Januari sehingga November itu jumlah penonton program itu dikatakan tertinggi. Bukankah bagus untuk Pas? Pemimpin Pas duduk ditemubual dalam rancangan TV3.

Bagaimana pula tuduhan bahawa Datuk alat dan agenda UMNO ?

HASAN: Saya mahu membuat pendedahan ketika berlakunya pertemuan di JKR 10 di Kota Bharu, Kelantan pada 27 Disember lalu. Presiden beritahu kami tidak ada dalam Pas, tidak ada dalam undang-undang dan dasar Pas yang melarang orang Pas bertemu dengan UMNO. Jika ada bagaimana gerakan dakwah hendak dilaksanakan. Cukup setakat ini. Di sini saya juga ingin tegaskan bahawa saya tidak akan menyertai UMNO.

Adakah Datuk masih sayangkan Pas dan masih menganggap sebagai ahli Pas?

HASAN: Sehingga hari ini saya masih menganggap Abdul Hadi sebagai presiden saya dan walaupun saya berada di luar Pas, Nik Aziz masih Mursyidul Am Pas, kekanda saya. Hati besar saya, hati kecil saya masih bersama Pas. Andai ditakdirkan ada jodoh pertemuan saya dengan Pas iaitu apabila parasit-parasit ini sudah tidak ada, bila Pas kembali ke pangkalan asalnya, Hasan Ali akan mengisi borang baru untuk menjadi ahli Pas.

Apa akan berlaku sekiranya parasit-parasit ini masih berada di dalam Pas. Adakah akan berlaku kemusnahan di dalam Pas?

HASAN: Apa yang pasti selagi mereka berada di dalam Pas maka perjuangan Pas akan terkeluar daripada perjuangan asal.-UM.

Apakah Parasit itu Kumpulan Erdogan dalam Pas..fikir-fikirkan lah..!!!

Juragan Malawati..

Jumaat, 13 Januari 2012

Pastikan BN Kembali Memerintah, Banyak Masalah Rakyat Selangor Akan Selesai!


Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata banyak masalah yang dihadapi oleh rakyat Selangor di bawah kerajaan negeri pakatan pembangkang akan dapat diselesaikan jika kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil alih negeri itu.

Perdana Menteri berkata selepas empat tahun mentadbir negeri Selangor sejak pilihan raya umum 2008, kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang masih tidak menunaikan janji-janji mereka sehingga menyebabkan sesetengah pihak berasa kecewa.

Najib berkata demikian semasa berucap pada Program Sepetang Bersama Perdana Menteri di Pangsapuri Rimba Jaya di sini sempena lawatan beliau ke negeri Selangor di bawah Program Nurani Rakyat Sayangi Selangor Yakini BN, hari ini.


Beliau berkata antara masalah yang dihadapi oleh rakyat Selangor kini ialah masalah air, sampah sarap dan para peniaga kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang menghadapi cadangan kenaikan sewa ruang niaga yang mencecah sehingga 100 peratus.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan Kerajaan Persekutuan akan memberikan peruntukan bagi membina sebuah surau yang amat diperlukan oleh penduduk-penduduk di pangsapuri itu.

“Saya lihat pangsapuri Rimba Jaya memang memerlukan sebuah surau yang baru kerana saya telah dibawa berjemaah Asar petang tadi, tentu kawasan itu tak sesuai untuk kita terus kekalkan sebagai surau kawasan pangsapuri ini,” katanya.

Buat masa ini penduduk menggunakan ruang tingkat bawah pangsapuri itu sebagai surau yang hanya boleh memuatkan antara 50 dan 60 jemaah pada sesuatu masa. Selain itu, Najib berkata Kerajaan Persekutuan akan membiayai pembinaan sebuah kuil baru untuk masyarakat India di kawasan pangsapuri itu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri tidak mengumumkan jumlah peruntukan yang akan diberikan untuk kedua-dua rumah ibadat itu.


Mengenai masalah sesetengah bekas penghuni setinggan Rimba Jaya dahulu yang tidak dapat berpindah semula ke pangsapuri ini, beliau meminta tempoh masa untuk mengkaji jalan penyelesaian kepada masalah itu.

Dalam ucapan aluannya pada majlis itu, Penyelaras BN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Tiga, Zulkarnain Osman berkata terdapat bekas penghuni setinggan itu yang tidak dapat berpindah ke unit yang disediakan untuk mereka di pangsapuri Rimba Jaya kerana tidak mendapat pinjaman bank.

Sementara itu, Najib turut melawat para peniaga di Kompleks PKNS selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri tengah hari tadi.


Beliau turut dimaklumkan oleh para peniaga berkenaan bahawa pakatan pembangkang banyak menabur janji manis sebelum berkuasa dahulu tetapi setelah berkuasa mengenakan kenaikan sewa bulanan yang keterlaluan sehingga mencapai 100 peratus.

“Pengerusi Persatuan (Peniaga-peniaga Kompleks PKNS) tadi minta (Kerajaan Persekutuan) ambil alih Kompleks PKNS…kalau ambil alih kerajaan negeri akan kenakan syarat yang menyusahkan.


“Adalah lebih baik jika BN mengambil alih semula kerajaan negeri kerana bukan sahaja masalah peniaga itu selesai tetapi masalah sampah sarap, air dan pangsapuri Rimba Jaya akan selesai,” katanya.

Najib, yang telah melakukan lawatan sebanyak tiga kali ke Selangor bulan ini, turut mengucapkan terima kasih kepada para penduduk pangsapuri itu kerana memberikan sambutan hangat kepada lawatan beliau itu.

Gambar: Ikhsan Gerakan Timur.

Juragan Malawati..

Rabu, 11 Januari 2012

Mohon segera failkan rayuan!

Azlan Mohd. Lazim pada sidang media merayu agar Peguam Negara membuat rayuan segera kes liwat melibatkan anaknya, Mohd. Saiful Bukhari di kediamannya di Bandar Utama, Damansara, Selangor, semalam.


Bapa Mohd. Saiful Bukhari, Azlan Mohd. Lazim, 58, merayu supaya pihak Peguam Negara segera mengemukakan rayuan selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan melepas dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat anaknya, kelmarin.

Pada masa sama, Azlan dalam satu sidang media di kediamannya hari ini mengecam keras kenyataan Majlis Peguam yang menyarankan agar Peguam Negara tidak perlu memfailkan rayuan terhadap kes membabitkan anaknya itu.

Azlan berkata, walaupun beliau sekeluarga dapat menerima keputusan tersebut tetapi itu tidak bermakna hak keadilan bagi Mohd. Saiful perlu dinafikan kerana di dalam sistem perundangan negara, anaknya itu masih berhak mengemukakan rayuan sehingga peringkat mahkamah tertinggi.

‘‘(Oleh itu) Demi anak saya, saya merayu agar pihak Peguam Negara memfailkan rayuan. Diharap pihak peguam Negara tidak terpengaruh dengan desakan Majlis Peguam atau mana-mana pihak agar tidak mengemukakan rayuan.

‘‘Sebagai bapa saya akan terus bersama anak saya dan berjuang untuk memastikan aduan anak saya ini mendapatkan pengadilan seadil-adilnya bagi mengembalikan nama, maruah dan juga seluruh keluarga saya,’’ katanya di kediamannya di Bandar Utama, dekat sini hari ini.

Sidang media hari ini dibuat rentetan daripada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Moh. Saiful kerana tidak cukup bukti.

Menyentuh lebih lanjut gesaan Majlis Peguam tersebut, Azlan sekali lagi membidas saranan itu kerana menurutnya ia dilihat sebagai langkah menidakkan hak seseorang warganegara untuk diadili dan didengar rayuannya sehingga ke peringkat tertinggi menurut Perlembagaan Persekutuan.

‘‘Mengapa Majlis Peguam selama ini tidak pernah membantah tertuduh dalam kes itu yang mengikut rekod telah mengemukakan penangguhan perbicaraan sebanyak 36 kali? Ini baru pertama kali pihak kami mengemukakan rayuan. Itu pun sudah mahu dihalang.

‘‘Mengapa ada pilih kasih? Adakah disebabkan anak saya hanya seorang insan kerdil, bukan orang kenamaan, ahli politik maka haknya dinafikan begitu sahaja?’’ soalnya.

Beliau berkata, Majlis Peguam dalam kes tersebut seharusnya bersifat neutral dengan tidak menghalang proses keadilan dilaksanakan.

Satu lagi persoalan, katanya, adakah gesaan itu melambangkan pendirian semua peguam di Malaysia atau hanya mewakili pendirian individu-individu tertentu yang ada kepentingan politik?

Menjawab satu soalan, Azlan berkata, beliau dan keluarganya akan menunggu perkembangan dalam tempoh dua minggu untuk melihat perkembangan rayuan bagi pihak Mohd. Saiful sebelum pihaknya mengumumkan tindakan selanjutnya.

‘‘Kita perlu mengambil langkah demi langkah dan tidak boleh tergesa-gesa. Jika sebelum ini kita boleh menunggu empat tahun, mengapa kita tidak boleh menunggu selama satu atau dua minggu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebagaimana dinyatakan Mohd. Saiful dalam laman blog peribadinya, anaknya itu berada dalam keadaan sihat dan dapat menerima keputusan mahkamah tersebut dengan tenang.

“Mohd. Saiful masih bekerja di Kuala Lumpur, hidup tetap perlu diteruskan, kita dapat terima dengan tenang, kita amat profesional, memang keluarga kami hanya orang biasa tetapi kita terima dengan tenang,” katanya.

Katanya, beliau serta ahli keluarga yang lain akan terus menyokong Mohd. Saiful dan berdasarkan respons daripada orang ramai serta kawan-kawan, banyak yang turut bersimpati di atas keputusan kes tersebut.

Juragan Malawati..

Selasa, 10 Januari 2012

Hasil ajaran AGAMA PAS...Nilai sebenar akhlak muslimat PAS!


Gelagat memalukan muslimat PAS

Ketika muslimat PAS sering ditonjolkan sebagai kumpulan wanita Islam dengan akhlak terpuji, gelagat yang ditunjukkan sebahagian daripada mereka di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mencerminkan sebaliknya.

Meskipun bertudung labuh dengan sebahagian besar daripada mereka berjubah, muslimat PAS itu mempertontonkan gelagat yang cukup memalukan sewaktu menunggu keputusan perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

Dengan dipimpin oleh seorang ketua yang memegang pembesar suara, muslimat PAS itu menyanyi-nyanyi dan bersorak tanpa mempedulikan orang ramai yang memerhatikan aksi mereka.



Lebih memalukan, muslimat PAS itu seolah-olah lupa diri sehingga sanggup mengeluarkan perkataan ''UMNO mampus'' malah ada kalangan mereka yang gagal menjaga aurat dengan selamba bersalaman dengan lelaki bukan muhrim.

Apa yang menjadi persoalan apabila kumpulan muslimat PAS itu turut disertai Ketuanya, Siti Zailah Mohd. Yusof yang bukan setakat tidak melarang gelagat tidak senonoh pengikutnya, malah kelihatan gembira dan bersama-sama meraikannya.

''Jika dulu PAS sering mengutuk Wanita serta Puteri UMNO kerana tidak berakhlak dan bebas bersalaman dengan bukan muhrim. Adakah itu berakhlak?

''Walaupun Ketua Muslimah PAS berada di situ tetapi tiada langsung usaha untuk menghalang daripada menghentikan perbuatan tidak berakhlak ahli-ahlinya. Malah, beliau pula yang turut sama bergembira.

PAS satu masa dahulu pernah mengharamkan wanita menyertai tilawah al-Quran kerana suara wanita adalah aurat. Terpulang kepada rakyat untuk menilai akhlak sebenar muslimat-muslimat PAS yang selama ini memperjuangkan Islam melebihi orang lain.

Wallahuallam.

Juragan Malawati..

Nik Aziz sifatkan Hasan Ali tidak senonoh?

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Datuk Dr. Hasan Ali yang dipecat keahliannya semalam sebagai ahli yang tidak senonoh.

"Pecatlah...laki bini lagi bercerai. Tidak ada parti atas muka dunia ini yang tidak pernah pecat ahlinya yang tidak senonoh," katanya semasa ditemui di sini hari ...ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat yang telah membuat keputusan sebulat suara memecat keahlian Hasan sebagai anggota parti itu semalam.

Pemecatan Hasan merupakan tindakan kedua parti itu selepas membuat tindakan sama terhadap Datuk Zulkifli Nordin kerana perbezaan ideologi dan matlamat perjuangan berbeza.

Ditanya lanjut, Nik Abdul Aziz bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung persoalan atau alasan terhadap tindakan yang dianggap drastik itu.

"Persoalan tak usah sebut. Dia (AJK Pas Pusat) pecat, pecat sudah," katanya ringkas.

Bulan lalu, Hasan mengkritik Pas kerana meninggalkan matlamat perjuangan Islam atas faktor politik.

Sementara itu Pemuda Pas mahu Hasan Ali terus perjuang Islam jika ikhlas!

Dewan Pemuda Pas Malaysia mahu Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang dipecat dari parti itu tidak meninggalkan perjuangan Islam jika benar-benar ikhlas.

Ketuanya, Nasruddin Hassan berkata, situasi Hasan adalah sama seperti Abu Bakar Hamzah yang pernah dipecat kerana membuat kenyataan bercanggah dengan keputusan parti.

"Tetapi beliau (Abu Bakar) tidak lari meninggalkan perjuangan suci ini.

“Beliau berehat panjang dan akhirnya kembali semula ke pangkuan Pas di penghujung karier dan usianya,” katanya dalam laman sosial Facebooknya.

Abu Bakar ialah ketua pemuda semasa Allahyarham Datuk Mohd Asri Muda menjadi presiden Pas pada 1974, dan pernah memegang jawatan setiausaha agung parti.

Semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan pemecatan Hasan berkuat kuasa serta-merta dari parti berkenaan.

Juragan Malawati..

Ahad, 8 Januari 2012

Angkara Anwar, akhirnya Hasan Ali dipecat!


PAS Pusat dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ini, PAS Pusat telah membuat keputusan berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian YB Dato’ Dr Hasan Mohd Ali sebagai ahli PAS berkuatkuasa serta merta.

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS

Setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa PAS Pusat dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ini, PAS Pusat telah membuat keputusan berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian YB Dato’ Dr Hasan Mohd Ali sebagai ahli PAS berkuatkuasa serta merta.

Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan YB Dato’ Hasan Ali yang menyalahi dan merugikan kepentingan Parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan PAS.

Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS


P/s : Memanglah rugi kerana Dr Hasan Ali tidak mahu menjadi kuda tunggangan DAP, sedangkan dasar PAS sekarang adalah matlamat menghalalkan cara. Buat apa sahaja, termasuk menguburkan perjuangan melaksanakan Hudud dan Negara Islam asalkan kita terus kekal berkuasa di beberapa negeri ini bersama DAP..!!!

Juragan Malawati..

Jumaat, 6 Januari 2012

Sudikah Ku Li diperkudakan sebagai PM sementara?

Tinggal dua hari sahaja lagi detik penentuan keputusan penghakiman perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim. Hari Isnin, 9 Januari 2012 akan menentukan Anwar bersalah atau dibebaskan.

Tarikh yang diheboh-hebohkan sebagai 901 itu juga akan menentukan, jika didapati bersalah maka laluan Ketua Pembangkang itu ingin mendiami Sri Perdana dan menawan Putrajaya akan tersekat.

Tetapi nampaknya pakatan pembangkang tidak mahu mengalah, tanpa Anwar usaha menawan Putrajaya itu akan diteruskan. Maka pemimpin pembangkang sudah sibuk mencari pengganti Anwar sejak tahun lalu. Mereka percaya kepada seorang "pemimpin lama" bagi memastikan pakatan pembangkang dapat mengambil alih Putrajaya.

Menurut Sin Chew Daily News semalam, maklumat yang diperolehi akhbar itu bahawa pakatan pembangkang telah mengenal pasti veteran UMNO yang juga bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) sebagai pengganti pemimpin pembangkang itu di Parlimen.

Pakatan pembangkang dilaporkan telah kenal pasti pemimpin mereka perlu mempunyai banyak aspek, termasuk dipersetujui oleh DAP dan Pas, mesti ahli Parlimen dan juga berbangsa Melayu.

Jika pada PRU kali ini pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya, Ku Li akan menjadi Perdana Menteri sementara sehingga Anwar mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong. Selepas itu, barulah jawatan perdana menteri itu diserahkan kepada Anwar.

Sejak tahun lepas lagi, dalam arena politik tersebar kuat cerita pakatan pembangkang mengadakan perbincangan sulit memujuk Tengku Razaleigh sebagai persediaan jika Anwar dipenjarakan kerana kes liwat, maka Ku Li akan jadi pemimpin pembangkang.

Anwar semasa menerima wawancara Sin Chew memberitahu, pakatan telah kenal pasti calon penggantinya, jika pada 9 Januari ini beliau dipenjarakan, pakatan akan umumkan calon penggantinya.

Ada maklumat memberitahu, Anwar sudah banyak kali mengadakan "perbincangan sulit" dengan Tengku Razaliegh, maka rahsia itu sudah bukan jadi rahsia lagi. Lim Kit Siang dan Hadi Awang pun sudah tahu perkara itu, dan mereka juga bersetuju dengan rancangan kerjasama itu.

Pakatan Rakyat tidak bercadang untuk melantik Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Anwar kerana beliau bukan ahli Parlimen. Wan Azizah juga tidak layak bertanding pada PRU akan datang, sebab itu beliau tiada peluang untuk menjadi Perdana Menteri wanita yang pertama bagi melakar sejarah negara ini.

Pelawaan kepada Ku Li berdasarkan pengalamannya dalam menghadapi UMNO dan Barisan Nasional (BN) ketika PRU 1990 dan 1995, Pas dan DAP terpaksa melantik Tengku Razaleigh melalui Semangat 46 untuk menjadi pemimpin pembangkang bagi membolehkan dua parti itu dapat 'tidur sebantal'.

Pihak pembangkang tidak boleh menyamakan pendirian Ku Li ketika menubuhkan dan menerajui Parti Melayu Semangat 46 dengan pendiriannya pada ketika ini. Tengku Razaleigh yang sebelum ini disebut-sebut 'dirisik' oleh pihak pembangkang telah menegaskan, beliau akan tetap bersama UMNO kerana mempunyai keyakinan tinggi terhadap parti terbesar orang Melayu itu.

Sanggupkah Tengku Razaleigh Hamzah menerima tawaran pakatan pembangkang jika gabungan PKR, DAP dan Pas berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13?

Apakah perasaan Ku Li yang hanya akan dilantik sebagai Perdana Menteri sementara kerana pakatan pembangkang sudah ada perancangan untuk melantik juga Anwar sebagai Perdana Menteri jika pengampunannya diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Nampaknya, pakatan pembangkang tidak menghormati kedudukan Ahli Parlimen Gua Musang itu. Ku Li seorang pemimpin veteran dan beliau amat mengenali pembangkang sejak dahulu lagi. Ku Li masih waras dan beliau tahu untuk membezakan sikap pembangkang dahulu dan kini.

Namun dalam politik segalanya berkemungkinan berlaku.-UM.

Juragan Malawati..

Bukti Pas semakin lemah!

Anwar Ibrahim berbincang dengan Nik Aziz Nik Mat pada Ceramah Mega Pengenalan Calon Pilihan Raya Kecil di Kampung Ladang, Kuala Terengganu, pada 2009.

Dalam Islam antara perkara yang paling dituntut adalah melakukan kebaikan dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada umat.

Sebab itulah Allah SWT memberi peringatan melalui firman-Nya dalam surah Al-Asr yang bermaksud;

''Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.''

Persoalannya, apakah ayat ini akan menjadi pegangan kepada pemimpin dan penyokong Pas apabila mereka turun ke jalanan pada 9 Januari ini?

Yang anehnya, mereka turun bukan untuk mempertahankan Islam, mereka berarak bukan bagi membantah usaha memurtadkan orang Islam dan sudah pasti mereka berhimpun bukan untuk mempertahankan pemimpin mereka.

Tetapi penyokong Pas berbuat demikian adalah untuk mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mengetahui nasibnya dalam kes tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Apakah Pas lupa dalam keghairahan mereka menyokong Anwar, pemimpin PKR tersebut sudah secara terbuka menyatakan, ''Apabila Pakatan Rakyat memerintah kerajaan Pusat, sesekali tidak akan melaksanakan undang-undang Islam ataupun mengubah undang-undang persekutuan untuk merealisasikan undang-undang hudud Islam.''

Atau mungkin Pas sudah tidak kisah dengan kenyataan Anwar itu kerana parti tersebut kini telah meninggalkan perjuangan negara Islam dan beralih kepada negara berkebajikan, justeru soal hukum hudud dan melaksanakan undang-undang Islam tidak perlu difikirkan lagi.

Oleh itu, bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila sekali lagi seperti mana perhimpunan haram sebelum ini Pas bersedia 'diperkudakan'.

Mungkin Pas ingin menunjukkan kesetiaan berikutan kesepakatan yang sudah dicapai dengan PKR dan DAP, maka apa yang kedua-dua parti itu putuskan maka Pas ikut sahaja, tanpa bantahan.

Tetapi wajarkah Pas yang mempunyai ramai alim-ulama menggalakkan satu perbuatan yang boleh mencetuskan huru-hara dan mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat.

Kenapakah mereka tidak beramai-ramai mengadakan solat hajat bagi meminta petunjuk Allah SWT dalam menghadapi isu Anwar ini? Bukankah selama ini solat hajat seolah-olah sudah dilihat menjadi 'alat' kepada Pas bagi mencapai tujuan politik mereka?

Kalau betul Pas yakin Anwar tidak bersalah seperti mana dipertegaskan oleh Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat, kenapakah selama ini Pas tidak memainkan peranan menyuruh Anwar melakukan sumpah laknat? Kenapakah apabila Mohd. Saiful Bukhari bersumpah, pelbagai kenyataan mereka buat bagi menolak 'pembelaan diri' pemuda tersebut?

Kenapakah selama ini Pas tidak berusaha 'menyucikan' Anwar termasuk membuat solat hajat agar pemimpin pujaan mereka itu tidak perlu dihadapkan ke mahkamah? Kenapa Pas tidak pertimbangkan fakta benarkah Anwar dianiaya, dan tak kan mereka tidak tahu doa orang teraniaya tiada hijab dengan Allah SWT?

Jelaslah penglibatan Pas dalam demonstrasi haram melalui kempen Bebas Anwar 901 itu bukan soal menegakkan keadilan, menentang kemungkaran atau memperjuangkan kebenaran tetapi segala-galanya kerana politik!

Pas hakikatnya sudah terdesak dan semakin lemah dalam perjuangan politiknya, sebab itu mereka terus mahu merelakan diri menjadi 'pak turut'.

Mereka sudah tiada lagi keyakinan diri untuk bertanding secara sendirian dalam pilihan raya dan semakin percaya pemimpin mereka tidak layak menjadi Perdana Menteri kecuali Anwar.

Justeru, akibat terhakisnya keyakinan diri berkenaan, maka Pas bersedia melakukan apa sahaja bagi mempertahankan Anwar dan kerjasama dengan pembangkang.

Sebab itulah, pemimpin Pas sudah menyatakan kesediaan mengerahkan penyokong mereka untuk menyertai demonstrasi haram berkenaan.

Walaupun pelbagai ulama sudah memberi peringatan bahawa perbuatan tersebut haram dari segi Islam kerana ia boleh membawa kemudaratan, namun pemimpin-penyokong Pas peduli apa.

Bagi mereka, peringatan oleh para ulama dan mufti itu tidak perlu didengari kerana ia bukannya datang daripada golongan ulama dalam parti mereka.

Kepada penyokong Pas, hanya ulama mereka sahaja yang berhak menghalal atau mengharamkan sesuatu perkara itu, datanglah nasihat daripada ulama dari Mekah sekali pun, mereka tidak akan menghiraukannya.

Semua ini jelas membuktikan bahawa Pas semakin lemah dan semakin taksub dengan Anwar sehinggakan mereka merasakan kalau apa-apa berlaku kepada Anwar maka habislah pakatan pembangkang.

Tetapi dalam masa sama, kenapakah penyokong Pas tidak bertanya, apabila Anwar menyatakan pembangkang sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan berikutan kes mahkamahnya dan sudah ada orang bakal menggantikannya sebagai ketua pembangkang, siapakah orang itu?

Apakah ia di kalangan pemimpin Pas? Ramai yang percaya bahawa Pas hanya bermimpi untuk menjadi pemimpin utama dalam pakatan pembangkang.

Walaupun dari segi moral, majoriti Pas dilihat jauh lebih baik daripada pemimpin PKR tetapi itu bukan kriteria yang akan membolehkan mereka dipilih menjadi pemimpin utama pembangkang.

PKR dan DAP sudah ada pilihan mereka sendiri dan ia sudah pastilah di kalangan mereka juga, bukannya daripada Pas.

Hakikatnya, Pas hanya alat untuk PKR dan DAP mencapai cita-cita politik mereka, sebab itulah dalam blog penyokong Pas ada antara mereka menulis, '' Masalah dengan PKR ni, bila perlu orang berhimpun - depa (mereka) ajak kita. Bila dia dapat kuasa - dia tinggal kita.''

Memang itulah hakikatnya dan ia disedari oleh penyokong-penyokong Pas tetapi malangnya di dalam parti itu mereka diasuh untuk taat kepada pemimpin, tidak boleh ingkar atau bantah, kalau bantah nanti dituduh 'menjadi boneka UMNO'.

Kita tidak perlu membuang masa untuk menasihatkan pemimpin dan penyokong Pas kerana pandangan dan mungkin juga hati mereka sudah ditutup untuk melakukan pengimbangan bagi membuat keputusan yang tepat dalam berpolitik.

Biarlah rakyat terutamanya umat Islam menilai sendiri apakah begitu sikap sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam? Apakah Islam menggalakkan pendekatan yang boleh menimbulkan huru-hara dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau melahirkan pendapat?

Dan kita juga percaya, umat Islam akan lebih tahu bagaimana untuk mendapatkan pertolongan dan petunjuk Allah bagi mengetahui antara kebenaran dan kepalsuan, seseorang itu dianiaya atau tidak dan antara yang betul dan salah.

Pas perlu ingat, mereka mungkin boleh berbangga kerana mempunyai kehebatan mengumpul orang turun ke jalanan tetapi itu bukanlah penentu mereka boleh menjadi parti yang berkuasa di negara ini, apatah lagi selagi berkawan dengan PKR dan DAP.

Ia kerana Pas dalam pakatan pembangkang, hakikatnya hanyalah penyokong dan bukannya peneraju kepimpinan. Itulah nasib puak yang bersedia menjadi 'pak turut' akibat ghairah memburu kuasa!

Oleh : ZULKIFLEE BAKAR

Juragan Malawati..

Khamis, 5 Januari 2012

MB Khalid GAGAL tangani masalah bas di Selangor!


Isu Bas memberhentikan Perkhidmatan - Tanggungjawab kebajikan kerajaan Negeri !

Kenyataan Media GAPS

Bas adalah pengangkutan utama rakyat Selangor pergi dan balik dari tempat kerja. Sejak Cityliner memberhentikan perkhidmatan bas di Selangor bulan lalu kerana rugi, berpuluh ribu rakyat selangor menjadi mangsa. Kawasan yang paling teruk terjejas adalah Klang, Kapar, Pelabuhan Klang, Shah Alam, Kota Raja, Subang dan Banting yang menjadi nadi ekonomi Lembah Klang.

Kini apabila persekolahan telah bermula permasalahan ini lebih serius kerana ramai anak Selangor yang bersekolah dengan menaiki bas. Ibu-bapa terpaksa ambil cuti atau mc, bersusah payah mengambil dan menghantar anak mereka ke sekolah dengan basikal, motor atau kereta.

Dimanakah tanggungjawab kerajaan negeri? Dimanakah slogan Negeri Kebajikan yang dilaungkan pada setiap hari oleh pentadbiran kerajaan negeri? Adakah tugas MB dan Exco cuma melahirkan rumah-rumah urut yang tumbuh bagai cendawan atau membiayai mahasiswa berdemostrasi di jalanan?


Menteri Besar Khalid Ibrahim seperti biasa akan menyalahkan orang lain pada setiap kali timbul masalah rakyat di Selangor, sedangkan beliau adalah ketua eksekutif pentadbiran di Negeri Selangor. Sebagai MB tidak ada cara lainkah untuk menyelesaikan masalah rakyat Selangor selain menudung ke pihak lain yang bukan dalam tanggungjawab mereka ?

Dimanakah inisiatif MB untuk membantu rakyat? Khalid wajar belajar dari MB Negeri Sembilan yang membantu pengusaha Bas yang mengalami kerugian dengan memberikan pampasan bagi memastikan perkhidmatan bas dapat terus diberikan kepada rakyat.

Wahai MB Khalid guna lah wang peruntukan RM300 juta mesra rakyat yang diluluskan dalam sidang Dun Selangor November lalu untuk membantu kebajikan sebenar rakyat, bukan menyalahgunakan wang itu untuk kroni politik dan projek tempelan yang merugikan rakyat.

Perkhidmatan bas sangat relevan di Selangor. Rakyat menuntut perkhidmatan bas diteruskan. Isu bas ini lebih penting dari isu Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor yang akan dijatuhkan hukuman atas kesalahan Liwat suka sama suka pada 9 Jan ini.

Hamidzun Khairudddin
Presiden
Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS)

Juragan Malawati..

Isnin, 2 Januari 2012

Karnival Sayangi Selangor di i-City meriah!


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berharap negara akan terus berkembang dan berada di landasan yang lebih baik pada 2012.

Beliau berkata, Malaysia pada 2011 dilihat telah berjaya mengekalkan kemakmuran dan perpaduan termasuklah prestasi pertumbuhan yang pesat dari segi ekonomi meskipun berhadapan dengan cabaran global seperti kemelesetan ekonomi dan sebagainya.


" Pada 2011, kita telah cipta banyak kekayaan, transformasi ekonomi dan politik. Kerajaan juga telah mengekalkan bantuan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menyeri iaitu bantuan persekolahan percuma, buku dan tidak lama lagi bantuan RM500 kepada isi rumah berpendapatan dibawah RM3,000 sebulan.

" Maka untuk tahun 2012, kita terus cemerlang dengan pelbagai perancangan yang telah tersusun dan program transformasi yang dilaksanakan. Sektor swasta juga yakin terhadap kepimpinan BN sebagai peneraju negara menerusi dasar pragmatik, dasar pro rakyat, pro perpaduan. Ini jaminan BN," katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan ambang tahun baru sempena Karnival Sayangi Selangor bermula 28 Disember lalu dan berakhir malam semalam di i-City di Seksyen 7 disini.

Turut hadir pada sambutan itu ialah isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd.Zin Mohammmad dan Pengerusi MAC Negeri, Senator Donald Lim Siang Chai.




Sementara itu, sambutan ambang tahun baru 2012 di tapak Karnival Sayangi Selangor di i-City disini meriah dengan kehadiran 100,000 orang ramai yang turut serta bersama-sama Timbalan Perdana Menteri mengira detik 12 tengah malam.

Malah, suasana ambang baru pada karnival tersebut turut disusuli dengan pertunjukan bunga api selama 13 minit dan nyanyian lagu 1Malaysia para pelajar daripada Universiti Lim Kok Wing.




Selain itu, suasana di tapak karnival yang berjaya menarik pengunjung seramai 500,000 sejak diadakan empat hari lalu turut bergema apabila Muhyiddin Yasin memimpin laugan 1Malaysia yang disambut gemuruh oleh para hadirin sempena sambutan tersebut.

Apa yang boleh Juragan katakan adalah sungguh luarbiasa sambutan Tahun Baru 2012 di Dataran i-City Shah Alam, tengah malam semalam. Begitu ramai sekali rakyat Selangor yang hadir sehingga menyukarkan pergerakkan badan. Apakah ini petanda akan kebangkitan rakyat Selangor yang mahukan perubahan kerajaan dalam PRU ke-13 nanti?

Adakah MB Khalid terketar lutut apabila melihat kebangkitan rakyat Selangor sehingga sibuk mengumpul 'harta perang' sekarang setelah mengetahui harapan untuk mempertahankan kerusi MB nampak tipis?

' SAYANGI SELANGOR dan SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2012 '.

Juragan Malawati..