UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Isnin, 27 September 2010

Anwar semakin terdesak!

Anwar Ibrahim dikatakan semakin terdesak dengan kekalutan yang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila secara tiba-tiba mengemukakan teori kemungkinan wujudnya ‘Kuda Trojan’ dalam parti berkenaan.

Sambil mencabar Penasihat PKR itu mendedahkan siapa yang dimaksudkan `Kuda Trojan’ itu, bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Mohd. Zahid Md. Arip berkata, tindakan Anwar bertujuan menutup kelemahan diri sendiri.

“Anwar kini terdesak apabila semakin ramai pemimpin dan ahli PKR menentang rancangannya. Jadi untuk mengelakkan kelemahan ini dikesan dan menjadi modal politik, seperti biasa dia menggunakan taktik mengalih isu melalui dakwaan terdapat ‘Kuda Trojan’.

“Teori ini tidak lain bertujuan menyelamatkan calon kesayangannya, Azmin Ali dan kalau benar beliau seorang yang bermaruah serta tidak berbohong, saya cabar dedahkan siapa ‘Kuda Trojan’ yang dimaksudkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anwar semalam yang meminta ahli PKR supaya berhati-hati dengan kemungkinan wujudnya ‘Trojan Horse’ yang menyelinap dalam parti tersebut semata-mata untuk meraih pangkat dan kedudukan.

Istilah ‘Trojan Horse’ diambil berdasarkan kelicikan dan kejayaan tentera Greek menawan kerajaan Troy melalui taktik pembinaan sebuah kuda kayu yang besar bagi membolehkan tentera mereka bersembunyi di dalamnya sebelum melancarkan serangan mengejut ke atas kota tersebut.

Menurut Mohd. Zahid, Anwar perlu mendedahkan siapa dan berapa ramai ‘Trojan Horse’ kerana orang ramai dan ahli parti ingin mengenali siapa sebenarnya yang menyelinap ke dalam PKR bagi tujuan menghancurkan parti tersebut.

“Beliau perlu dedahkan, apakah ‘Trojan Horse’ itu adalah individu-individu yang tidak selari dengan perancangannya atau adakah mereka ini terdiri daripada pihak yang menentang Azmin bagi jawatan Timbalan Presiden,” soalnya.

Mengenai hasrat Nurul Izzah untuk bertanding jawatan Naib Presiden PKR, Mohd. Zahid berkata, parti itu kini menjadi sebuah organisasi politik yang mengamalkan amalan nepotisme paling dahsyat dalam negara.

Katanya, sehingga kini belum pernah lagi dalam politik negara suami, isteri dan anak menerajui sebuah parti tetapi sejarah tersebut dicipta oleh PKR yang kononnya menentang amalan nepotisme dan kronisme.

“Saya percaya Anwar bukan sahaja akan menjadi pengurus kempen kepada Azmin tetapi beliau juga akan menggunakan sepenuh pengaruh untuk memastikan Nurul Izzah menang,” ujarnya.

Juragan Malawati..

Ahad, 26 September 2010

Anwar sanggup lakukan apa saja untuk Azmin!

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim didakwa sanggup melakukan apa sahaja asalkan anak emasnya yang juga Naib Presiden PKR, Azmin Ali menang dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden parti itu pada pemilihan November ini.

Bekas Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), SD Johari Md. Yassin berkata, perkara itu tidak perlu dihairankan kerana beliau sendiri pernah mengalami nasib yang serupa ketika bertanding merebut jawatan Timbalan Ketua AMK pada 2006.

Katanya, dalam pemilihan tersebut Anwar telah mengarahkan semua Jawatankuasa AMK Pusat dan Ketua AMK negeri memastikan bahagian tidak memberi pencalonan kepadanya kerana mahu jawatan itu diberikan kepada calon lain.

''Ketika proses pencalonan masih lagi berjalan Anwar telah mengadakan satu mesyuarat Jawatankuasa AMK pusat tanpa kehadiran saya yang pada masa itu memegang jawatan Setiausaha.

''Saya hanya mengetahui mesyuarat tersebut setelah diberitahu oleh sahabat-sahabat yang lain yang kebetulan diadakan buat pertama kali di pejabat baru parti di Petaling Jaya.

''Dalam mesyuarat itu Anwar mengarahkan bahagian AMK tidak lagi memberi pencalonan kepada saya,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Zaid Ibrahim untuk bersaing merebut jawatan Timbalan Presiden parti.

Setakat ini, hanya Azmin dan Zaid mengesahkan untuk bertanding merebut jawatan berkenaan.

SD Johari sebelum meninggalkan PKR pada 2007 merupakan salah seorang pengikut Anwar yang setia dan menyertai parti tersebut sejak ia ditubuhkan pada 1998.

Menceritakan lebih lanjut SD Johari berkata, sebelum Anwar mengadakan mesyuarat itu beliau telah mendapat 118 pencalonan berbanding dua lagi saingannya iaitu Fariz Musa dan Nurul Izzah Anwar yang masing-masing baru menerima sembilan dan lima pencalonan.

''Jika diikut perkiraan kasar, saya jauh mendahului dua orang saingan saya ini. Namun, disebabkan arahan Anwar, saya telah dinafikan hak untuk mendapat lebih banyak pencalonan sekali gus menjadi calon pilihan di dalam pemilihan tersebut.

''Akhirnya saya membuat keputusan untuk menarik diri daripada pertandingan itu ekoran campur tangan Anwar,'' katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan perkara yang sama akan dilakukan oleh Anwar untuk memastikan kemenangan Azmin dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden.

''Saya percaya Anwar pada masa ini menganggap Zaid sebagai ancaman bagi beliau dan Azmin. Oleh itu Anwar akan cari apa jua jalan bagi memusnahkan karier Zaid di dalam PKR meskipun terpaksa menggunakan wang.

''Saya tidak fikir Anwar akan berdiam diri kerana Azmin adalah satu-satunya individu yang diharapkan untuk memimpin PKR. Azmin adalah calon pilihannya dan Azmin juga tidak boleh disentuh walaupun oleh Presiden parti, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail,'' ujarnya.

Sungguhpun begitu, beliau berkata, Anwar dan Azmin tidak harus memandang rendah terhadap keupayaan Zaid kerana bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mempunyai kekuatan tersendiri.

''Tambahan pula Zaid mendapat sokongan penuh daripada keluarga Anwar sendiri iaitu Wan Azizah dan Nurul Izzah selain kumpulan pemimpin yang membenci Azmin selama ini,'' ujarnya.

Juragan Malawati..

Rabu, 22 September 2010

Wajah sebenar PKR terdedah!

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

Sebelum ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) sentiasa menampakkan parti itu yang paling sempurna walaupun pelbagai pihak tertanya-tanya beberapa perkara yang dianggap agak janggal dalam perjalanan parti itu.

Ramai bertanya apa pandangan pemimpin dan ahli PKR, apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi ketua umum lebih berkuasa daripada Presiden yang disandang oleh isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Orang bertanya apakah perasaan Wan Azizah apabila Anwar dilihat menguasai segala pengurusan parti, sedangkan Wan Azizah hanya muncul sekali-sekala sahaja?

Orang juga bertanya. betulkah hubungan antara Wan Azizah dan Azmin Ali tidak ada masalah? Benarkah mereka mampu berganding bahu dalam satu pasukan, istilah mudah Wan Azizah menjadi Presiden dan Azmin Ali menjadi Timbalan Presiden?

Masyarakat juga bertanya, benarkah Anwar yang dilihat begitu menyayangi dan mengutamakan Azmin dalam segala hal akan bersikap berkecuali dalam pemilihan parti itu yang akan berlangsung November nanti?

Bagaimana pula sokongan Anwar kepada Datuk Zaid Ibrahim yang sebelum ini dianggap bagaikan wira apabila dipilih bertanding mewakili PKR di Parlimen Hulu Selangor dan kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan?

Kini, semua persoalan itu sudah terjawab. Mesyuarat peringkat cabang (bahagian) yang sudah berlangsung sejak beberapa minggu lalu telah mendedahkan wajah sebenar dalam PKR.

Kenyataan demi kenyataan yang dibuat oleh beberapa pemimpin parti itu termasuklah pendedahan bagaimana pemilihan di peringkat cabang sudah membuktikan bahawa PKR hakikatnya adalah sebuah parti yang dilumuri dengan seribu satu masalah dan seribu satu helah politik yang lebih buruk daripada apa yang dijangkakan.

Semua itu terdedah selepas berlakunya pemilihan kerusi Timbalan Presiden apabila Azmin yang dikatakan menjadi harapan utama Anwar tidak diberikan laluan mudah oleh musuh-musuh politiknya di dalam PKR.

Paling ketara beliau kini berhadapan dengan saingan sengit daripada Zaid yang dikatakan mendapat sokongan Wan Azizah dan anaknya, Nurul Izzah. Kedua-dua mereka dikatakan tidak menyenangi Azmin.

Walaupun Nurul Izzah dikatakan cuba menyembunyikan sokongan tersebut, namun beberapa kenyataannya dikatakan menjurus ke arah menolak Azmin menjadi timbalan kepada ibunya.

Keadaan itu sudah menjawab persoalan mengenai situasi sebenar hubungan antara Wan Azizah, Nurul Izzah dan Azmin yang sememangnya digambarkan oleh pelbagai pihak 'senyum di depan, bermasam muka di belakang.' Walaupun cabang Permatang Pauh yang diketuai oleh Wan Azizah mencalonkan Azmin sebagai Timbalan Presiden tetapi semua pemimpin dan ahli PKR di cabang itu memahami siapa lebih berkuasa di situ, yang pastinya pemimpin berkenaan bukan Wan Azizah!

Selain itu, pemilihan kali ini juga menurut satu sumber parti itu dijadikan medan oleh sesetengah pemimpin dan ahli parti untuk menyampaikan mesej yang jelas kepada Anwar bahawa beliau selama-lamanya tidak boleh menjadikan Wan Azizah sebagai boneka dalam pengurusan PKR.

Mereka tidak mahu, Anwar yang digambarkan oleh Zaid sebagai ahli biasa tetapi mempunyai kuasa mengatasi Wan Azizah sebagai Presiden. Sebab itulah, Zaid berazam untuk menghapuskan 'sketsa' ini.

Zaid mahu meletakkan kembali Wan Azizah sebagai Presiden yang sebenar dan mempunyai kuasa sepenuhnya mengawal parti. Jika Anwar berhasrat untuk melaksanakan tanggungjawab itu maka beliau perlu bertanding merebut jawatan tersebut.

Berlandaskan alasan itulah, beberapa cabang yang bermesyuarat baru-baru ini seolah-olah 'ingkar' arahan Anwar supaya tidak mencalonkan beliau bertanding apa-apa jawatan, apabila mencalonkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu untuk jawatan Presiden. Setakat ini, Anwar sudah layak merebut jawatan berkenaan menentang Wan Azizah.

Walaupun cabang-cabang yang membuat pencalonan itu tahu bahawa Anwar akan menarik diri atau tidak akan bertanding tetapi mereka ingin menyampaikan mesej yang jelas kepada Anwar bahawa jangan duduk di luar gelanggang tetapi begitu berkuasa mahu mencampuri urusan politik di dalam PKR sehingga Wan Azizah dilihat seperti boneka sahaja.

Turut terdedah bagaimana buruknya politiking di dalam PKR apabila hampir sebahagian besar cabang yang bermesyuarat setakat ini dicemari dengan elemen-elemen yang membuktikan bahawa PKR tidaklah sebaik mana.

Pendedahan awal oleh Zaid yang menyatakan beliau diserang habis-habisan kerana hendak bertanding jawatan Timbalan Presiden diikuti pula pendedahan beberapa pemimpin lain sudah menunjukkan bahawa permainan politik dalam PKR adalah jauh lebih buruk berbanding parti-parti lain yang selama ini mereka cerca.

Sebut sahaja apa juga istilah tangan ghaib atau kuasa ghaib, semua itu berlaku dalam pemilihan di peringkat cabang. Dakwaan ini bukannya dibuat oleh UMNO atau mana-mana parti komponen BN tetapi oleh pemimpin PKR sendiri.

Di Permatang Pauh, tersebar berita bagaimana 'tangan ghaib' membuat panggilan mengarahkan calon tertentu menarik diri bagi memberi laluan kepada calon impian Anwar mencapai kemenangan. Perkara ini dilaporkan di dalam media dan blog.

Situasi yang sama juga berlaku di beberapa cabang lain. Anwar didakwa terlibat secara langsung dalam memastikan pemimpin-pemimpin pilihannya menang dan mahukan Azmin diberikan pencalonan bagi bertanding kerusi Timbalan Presiden. Maklumlah sebagai orang yang dilantik sebagai pengurus kempen, sudah tentu Anwar mahu Azmin menang.

Pendedahan paling menarik dilakukan oleh bekas Setiausaha Agung PKR, P.S Jenapala apabila beliau menyatakan bagaimana pencalonannya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden yang dibuat oleh Batu Gajah dan Bruas di Perak telah diarah menarik balik pencalonan kerana beliau dikatakan bukan calon pilihan pihak tertentu.

Berikutan kepincangan demi kepincangan yang berlaku, Jenapala memberikan jaminan untuk mengadakan sidang media setiap minggu bagi mendedahkan penipuan yang dilakukan pihak tertentu yang mahu merebut jawatan tertinggi parti itu.

Apa yang dramatiknya, beliau mencabar Anwar dan Azmin supaya mengesahkan atau menafikan secara terbuka penglibatan mereka dalam penipuan yang berlaku sepanjang pemilihan berlangsung.

Percayalah, cabaran Jenapala pasti tidak akan dijawab oleh kedua-dua pemimpin berkenaan, sebaliknya satu demi satu tohmahan mungkin akan dikeluarkan bagi memburuk-burukkan beliau. Nasib seumpama ini sudah dialami oleh beberapa wakil rakyat PKR yang membuat keputusan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

Mereka dikecam dan dituduh dengan pelbagai dakwaan termasuk dibayar sejumlah wang untuk meninggalkan PKR tetapi sampai sekarang parti berkenaan terutamanya Anwar belum mengemukakan bukti dakwaan tersebut.

Apa pun demikianlah serba sedikit gambaran terhadap kekalutan yang berlaku dalam PKR sekarang semata-mata bagi merebut jawatan di dalam parti. Menurut beberapa pemimpin parti berkenaan, mereka percaya situasi akan bertambah buruk menjelang November nanti.

''Selepas ini, kita mungkin akan saksikan SMS dan surat layang pula. Saya juga percaya serangan peribadi ke atas calon-calon akan dipertingkatkan. Nak buat macam mana... inilah politik merebut kuasa,'' kata seorang pemimpin kanan PKR yang ternyata kecewa dengan apa yang berlaku.

Juragan Malawati..

Isnin, 20 September 2010

Nota ‘minta maaf, selamat tinggal’ Beng Hock ditemui!

“Minta maaf, saya sangat penat, Selamat Tinggal" antara kandungan nota yang dijumpai pegawai penyiasat di dalam beg sandang milik Teoh Beng Hock, tiga bulan selepas kematiannya.

Jurubahasa mahkamah, Tin Chin Kin ketika memberi keterangan dalam inkues kematian Teoh berkata, terjemahan daripada Bahasa Cina ke Bahasa Melayu itu turut mengandungi luahan perasaan serta permohonan maaf kerana tidak dapat membantu.

Chin Kin kemudian diminta membaca terjemahan keseluruhan nota yang dipercayai ditulis oleh Beng Hock yang berbunyi seperti berikut: “‘Ou Yang’ Dalam keadaan tidak menyalin fail dalam komputer saya, mereka telah mengambil semua komputer itu.” “Mereka asyik menyalahkan kamu.”

“Minta maaf.”

“Tidak mengerti tapi pura-pura mengerti, akhirnya menyusahkan kamu.”

“Saya kata, ‘mendapat kelulusan YB’ mereka berdegil menaip jadi ‘mengikut arahan YB’.”

“Saya tidak dapat membantu kamu, maaf.”

“Minta maaf, saya sangat penat, Selamat Tinggal.” - Bernama

Juragan Malawati..

Ahad, 19 September 2010

30 PEMUDA PAS SERTAI UMNO KUALA SELANGOR !

Oleh : Suzaini Bin Sulaiman

KUALA SELANGOR : 30 Pemuda Parti Islam Semalaysia (PAS) Kuala Selangor sepakat menyertai UMNO dengan menyerahkan borang keahlian kepada Ketua UMNO Kuala Selangor Datuk Amiruddin Setro bertempat di rumah Pengerusi JKKP Kampung Bukit Kuching merangkap Ketua UMNO Cawangan Bukit Kuching, Noh Buang kelmarin.

Sharudin Mohd. Nri , 31, bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS cawangan Kuala Parit membuat keputusan untuk menyertai UMNO bersama lebih 30 pemuda di Kampung Bukit Kuching setelah merasa perjuangan Pas sudah terpesong semenjak parti ini bergabung dengan Pakatan Rakyat (PR) yang disertai DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Pada hari ini kami sepakat menyertai UMNO kerana kami sebagai bangsa Melayu merasa tertindas kerana hak kita tidak diperjuangkan dan kebanyakan pemimpinnya tidak sepakat serta ada yang mempunyai kepentingan peribadi didalam parti.

"Lebih mengecewakan lagi masjid pun dijadikan tempat berpolitik sedangkan UMNO tidak pernah berbuat demikian," katanya yang telah menyertai PAS semenjak berumur 18 tahun.
Sharudin berkata sebelum ini PAS dilihat benar-benar memperjuangkan Islam tetapi semenjak Selangor diperintah Pakatan Rakyat, PAS seolah hilang pedoman hinggakan masjid turut dijadikan lokasi berpolitik.

"Kami menyertai UMNO dengan harapan dapat menyatukan bangsa melayu dan memperjuangkan Islam kerana parti inilah yang dilihat mampu melakukannya.

"Saya benar benar kecewa dengan senario politik PAS sekarang semenjak parti ini bergabung dengan Pakatan Rakyat yang menyebabkan bentuk perjuangan mereka kabur dan umpama "Lalang Ditiup Angin" hinggakan saya rasa perjuangan terhadap Islam seolah olah diketepikan demi perjuangan Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau juga meragui sekiranya Pas di dalam Pakatan Rakyat menang didalam pilihanraya tetapi mempunyai majoriti yang rendah dan mampukah PAS memerintah dan bolehkah Islam dan bangsa Melayu diperjuangkan.

Sementara itu, Amiuddin Setro merangkap ADUN Kawasan Jeram mengulas persitiwa bersejarah ini berasa bersyukur kerana mereka membuat keputusan yang bijak kerana memilih UMNO sebagai parti yang menyatukan bangsa melayu dan menegakkan Islam.
"Pemuda di kampung ini telah timbul kesedaran mereka tentang pentingnya mempejuangkan Islam dan bangsa Melayu.

"Ini adalah satu penghijrahan yang baik sempena bulan Syawal yang mulia ini dan berharap semua pemuda meneruskan halatuju generasi melayu yang akan datang," katanya.
Amiruddin menjelaskan UMNO Kuala Selangor mengamalkan prinsip "Yang muda disayangi dan yang tua dihormati".

"Semoga lebih ramai belia di kampung ini menyertai UMNO kerana hanya parti inilah yang dilihat mampu memperjuangkan Islam dan memartabatkan bangsa Melayu," katanya.

Juragan Malawati..

Khamis, 16 September 2010

MB Kedah akui manifesto belum tercapai!

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini mengakui bahawa kerajaan negeri masih belum berjaya mencapai manifesto Pilihan Raya Umum 2008 dalam bidang ekonomi. Bagaimanapun, Azizan berkata, kerajaan pimpinannya berjaya meningkatkan hasil negeri sebanyak 205 peratus.

"Jika dipandang dari sudut ekonomi, memang kita masih belum menampakkan hasil, tetapi dari sudut lain, kita dapat meningkatkan hasil negeri sebanyak 205 peratus.

"Kita tingkatkan hasil negeri, itu kejayaan kita yang tak dibuat oleh Barisan Nasional dulu," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentalon di sini.

Beliau berkata, pencapaian 80 peratus pelaksanaan manifesto Pas di Kedah bukan hanya tertumpu kepada bidang ekonomi semata-mata, tetapi merangkumi semua aspek.

Katanya, kenyataan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bahawa pencapaian 80 peratus itu merupakan retorik semata-mata, adalah tidak benar kerana peratusan itu merupakan pencapaian keseluruhan manifesto yang dibuat kepada rakyat semasa pilihan raya umum lepas dan bukan hanya dalam bidang ekonomi.

"Apa yang dikatakan Mahdzir tentang sambungan projek itu memang betul.

"Kita menyambung semua projek yang dirancang kerajaan terdahulu, seperti meneruskan pentadbiran Kolej Universiti Insaniah (KUIN), itu kita akui," katanya.

Azizan berkata, walaupun KUIN ditubuhkan semasa pentadbiran kerajaan negeri terdahulu, namun kerajaan yang ada sekarang merancang dan membina kampus induk di Kuala Ketil, selain menambah program baru di kolej itu.

"Jadi, bila kita bercakap tentang konsep 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua', kita sudah buat, tetapi ia tidak boleh dilihat dari segi sudut ekonomi sahaja, tetapi kita bercakap untuk kesenangan dan kesejahteraan rakyat, rakyat melihat kita adil untuk semua," katanya.

Beliau berkata, jika mahu melihat hasil ekonomi, tempoh antara tiga dan empat tahun diperlukan kerana ia tidak boleh diperoleh dengan segera. - BERNAMA

Juragan Malawati..

Rabu, 15 September 2010

Polis rungkai kes pembunuhan ustazah!















DIDAKWA mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Ali Tan Abdullah, 34, dibawa keluar dari perkarangan Kompleks Mahkamah Seremban selepas dia dihadapkan atas dua pertuduhan membunuh seorang ustazah Norliza Ishak, 35, dan anaknya Amirul Ayman Mohd Yusof, 10, pada 2 September lalu di Mahkamah Majistret Seremban di sini, hari ini.


Suspek kes pembunuhan seorang ustazah bersama anaknya di Port Dickson, 3 September lalu dipercayai memasuki rumah mangsa dengan memberi alasan kunci rumahnya tertinggal sebagai strategi menyamun mangsa.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, suspek yang juga jiran mangsa menggunakan strategi itu bagi membolehkannya memasuki rumah mangsa melalui bahagian dapur.

“Mangsa membenarkan suspek memasuki rumah dan kemudiannya suspek terus mencederakan serta mengikat mangsa bersama anaknya.

“Suspek kemudiannya membawa kedua-dua mangsa ke bilik air. Kedua-dua tangan dan kaki mereka diikat menggunakan tali, sementara mulut ditutup dengan pita pelekat serta dibalut kain sarung,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), dekat sini, semalam.

Menurutnya, suspek berumur 34 tahun itu ditahan jam 12.50 tengah hari pada 5 September lalu di rumah neneknya di kawasan Port Dickson.

“Hasil siasatan, polis mendapati tujuan utama suspek adalah mahu menyamun mangsa berikutan masalah kewangan yang dihadapi.

“Suspek yang bekerja sebagai pemasang paip gas mengalami masalah kewangan disebabkan bebanan hutang seperti bayaran kereta, rumah dan lain-lain,” katanya.

Osman berkata, polis turut menemui barang yang dicuri suspek, dipercayai milik mangsa.

“Barang yang dirampas daripada suspek adalah sebuah komputer riba, sebuah permainan video, tiga telefon bimbit, dua utas rantai tangan serta seutas rantai leher bersama loket.

“Sementara wang tunai mangsa yang dicuri berjumlah RM1,300 dan hasil gadaian barang kemas pula bernilai RM2,200 telah dimasukkan ke dalam akaun milik suspek untuk membayar hutangnya,” katanya.

Juragan Malawati..

Khamis, 9 September 2010

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri

Semangat fitrah makin kurang dihayati ketika rai Aidilfitri

RAMADAN dan Syawal datang silih berganti. Kehadiran dua bulan berkat ini sememangnya dinantikan umat Islam. Ramadan adalah bulan ujian dan Syawal membawa bersamanya perayaan Aidilfitri meraikan kejayaan umat Islam berjaya melalui ujian Ramadan.

Sesuai dengan namanya, Aidilfitri adalah perayaan bagi meraikan tuntutan fitrah anugerah Allah kepada seluruh umat manusia. Fitrah makan dan minum, berkasih-sayang, menghubungkan silaturahim, mencintai keharmonian melalui tradisi bermaaf-maafan, berhias-hiasan, dan kasih-mengasihi sesama manusia tanpa mengenal darjat, taraf dan bangsa.

Islam sesungguhnya adalah agama yang memelihara tuntutan fitrah manusia sehingga diwujudkan suatu hari istimewa untuk meraikannya. Menariknya, meraikan fitrah tidak akan menjejaskan kredibiliti iman seseorang, sebaliknya, meninggalkan fitrah dianggap suatu pengkhianatan besar terhadap agama.

Namun, berapa ramaikah daripada kita yang menyedari hakikat ini sedangkan inilah dia semangat fitrah yang seharusnya diketahui, dirai dan dihayati umat Islam semua lebih-lebih lagi di Aidilfitri yang mulia.

Allah menegaskan bahawa 'fitrah' adalah 'ketetapan Allah yang telah ditentukan kepada umat manusia sejak awal penciptaannya. Imam al-Ghazali, Ismail Raji al-Faruqi dan Sayed Naquib al-Attas adalah kalangan sarjana Islam yang membincangkan secara terperinci berkaitan fitrah dalam karya ilmiah mereka.

Secara umumnya, mereka menyimpulkan bahawa fitrah sebagai suatu potensi dalam diri manusia yang cenderung kepada nilai positif sejagat meliputi kecenderungan kepada kehidupan beragama dan nilai dipegang agama.

Perbincangan mengenai Aidilfitri, sewajarnya umat Islam merenung kembali sejauh manakah Aidilfitri diraikan dalam suasana menghayati fitrah. Pada hari ini, umat Islam bersuka-ria, bergembira, menikmati juadah enak, memakai pakaian baru, menghias kediaman, ziarah-menziarahi, bermohon maaf antara sanak saudara dan taulan, mengeluarkan zakat fitrah untuk disedekahkan kepada yang memerlukan.

Kesimpulannya, Aidilfitri adalah hari di mana nilai positif sejagat diraikan sebagai satu tuntutan agama. Adalah malang sekali andainya Aidilfitri semata-mata menjadi hari di mana kita membalas dendam terhadap nafsu makan dan minum yang dikekang di Ramadan yang lalu.

Berpakaian baru dan menghias kediaman sekadar menunjuk-nunjuk. Ziarah-menziarahi dan bermohon maaf sekadar suatu tradisi. Zakat fitrah, sedekah raya semata-mata kerana memenuhi tanggung-jawab peribadi dan sosial.

Mampukah semangat fitrah ini dihayati seandainya lebih ramai daripada kita memilih untuk duduk saja di rumah menonton rancangan menarik yang disajikan. Daripada sudut ekstrem, ada antara kita memilih memulakan puasa sunat seawal dua Aidilfitri sehingga menghalang budaya ziarah-menziarahi yang digalakkan di Aidilfitri.

Sesungguhnya, Aidilfitri adalah bukti rahmat Allah kepada umat Islam. Dari sudut sejarah, Allah menggantikan dua perayaan jahiliah kepada dua perayaan mulia iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Jadi sempena di hari yang mulia ini, juragan mengambil kesempatan disini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua rakan-rakan bloggers dan juga pengikut-pengikut setia umno-kselangor.blogspot.com. serta pembaca dan pengulas yang budiman. Jika ada tersalah kata atau terkasar bahasa semasa juragan berkarya di blog ini harap dapat kalian semua maafkan. Maaf Zahir Dan Batin.

Ikhlas dari
Juragam Malawati..

Rabu, 8 September 2010

Pembangkang guna taktik komunis!

Ahli, pemimpin BN mesti waspada kewujudan 'musuh dalam selimut'.

UMNO tidak akan tunduk kepada kumpulan yang mencanang ramalan negatif mengenai Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, sebaliknya terus melaksanakan tanggungjawab membela nasib rakyat dan mengukuhkan imej Barisan Nasional (BN) yang membawa Malaysia menjadi antara paling disegani dunia dalam tempoh 53 tahun.

“Kita tidak perlu tunduk dengan tekanan negatif yang hanya melemahkan kita. UMNO dan BN diserang dari setiap sudut terutama pembangkang yang diketuai orang yang pernah menjadi orang kedua paling berkuasa di negara ini.

“Dia melakukannya kerana sejak awal motifnya untuk menghancurkan UMNO dari dalam. Ramai orang takut dengan UMNO dan parti komponen BN lain kerana ia adalah parti akar umbi. Strukturnya amat teguh dan musuh kita sentiasa mencari jalan membongkar akar ini.

“Menyedari ia tidak boleh dibuat dari luar, maka ada yang menyertai kita. Hari ini, mereka tahu bagaimana kita berfikir, tahu strategi dan kelemahan kita.

“Niat mereka hanya satu untuk musnahkan UMNO dan BN. Cara mereka mengikut cara komunis. Semua benda buruk dikeluarkan setiap hari dan diulang setiap masa,” kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tidak mampu menahan gelodak kemarahan melihat ramai ahli UMNO dan komponen BN turut terpengaruh dengan strategi licik pembangkang, Tengku Adnan yang selama ini senyap dalam menyusun langkah ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini memberi amaran kepada semua ahli BN, terutama barisan kepemimpinan yang memudahkan gerakan pembangkang.

“Semua yang berlaku hari ini berpunca daripada seorang manusia yang mencetus fenomena ‘perjuangan perut’, perubahan sistem pendidikan yang dilakukan dalam tempoh 11 tahun dia berada dalam UMNO membuatkan rakyat kita menjadi cacamerba hari ini.

“Sistem begitu bercelaru bukan saja mengikis jati diri sebagai bangsa Malaysia tetapi melahirkan rakyat yang suka mendengar khabar angin, suka gosip, fitnah dan mencerca tanpa boleh berfikir soal fakta, apa lagi untuk berfikir akan sebab dan akibat.

“Kita perlu mengembalikan asas pendidikan utama kita iaitu pendidikan seumur hidup, membetulkan landasan yang digunakan ketika menjadi Menteri Pelajaran, yang mana kita pergi sekolah dan universiti hanya untuk dapatkan sijil, diploma atau ijazah,” katanya mengkritik keras kepemimpinan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Pelajaran dan mengubah sistem pembelajaran daripada menimba ilmu pengetahuan kepada perlumbaan mengejar gred.

Tengku Adnan meminta ahli UMNO dan rakyat melihat kepada sejarah ‘perjuangan’ Anwar sejak di universiti, terutama membabitkan cara dan strateginya.

“Kita mesti ingat kenapa dia hendak masuk UMNO. Dia hanya berada dalam UMNO selama 11 tahun, tapi dalam tempoh yang amat singkat itu dia telah menjadi orang kedua paling berkuasa di Malaysia dan dalam tempoh yang singkat itu juga dia telah banyak merosakkan.

“Ramai orang tidak sedar apa yang berlaku pada UMNO sepanjang tempoh 11 tahun dia bersama parti ini, dan apabila dia keluar pada 1998, lihat apa sejarah Pilihan Raya Umum ke-11. Ahli UMNO sendiri tak memilih UMNO kerana taksub dengan Anwar... manusia ini mencipta sistem membuatkan ahli UMNO taksub kepada kepemimpinan.

“Dia silap kerana kita sebagai ahli UMNO sepatutnya taksub kepada parti. Wadah perjuangan UMNO mempunyai hala tuju dan landasan yang ditetapkan sendiri melalui Perlembagaannya dan telah dipersetujui semua ahli,” kata Ahli Parlimen Putrajaya itu.

Perkara pertama dilakukan Datuk Seri Najib Razak, sebaik saja menjadi Presiden UMNO tahun lalu ialah mengubah semua sistem yang banyak menjejaskan imej parti, terutama membabitkan sistem kuota dalam pemilihan barisan kepemimpinan sekali gus memberi kesan besar kepada usaha membanteras politik wang dalam parti.

Menjawab soalan, Tengku Adnan tidak gusar dengan segelintir penyokong Anwar yang masih bersama UMNO kerana strategi sama dibawa Ketua Pembangkang itu ke dalam pakatan pembangkang telah membenihkan pelbagai perasaan tidak puas hati dan saling mencurigai.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diketuai isteri Anwar sendiri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, kini menyerlahkan elemen perebutan kuasa yang pernah berlaku dalam UMNO ketika beliau mula mengorak langkah menghapuskan semua musuh yang menghalang laluannya untuk menjadi orang paling berkuasa di negara ini.

“Ramai penyokong Anwar kini sudah berada di luar UMNO, ramai menyertai PKR dan PAS. Ketika ini antara mereka sedang mencetus masalah dalaman kedua-dua parti ini.

“Tapi kita tahu masih ada yang menyokong orang ini di dalam UMNO dan mereka yang terpengaruh dengan didikannya. Susah hendak menghapuskan semua elemen negatif ini secara menyeluruh kerana tidak ada parti politik atau situasi dalam dunia ini yang kita boleh mencapai kesempurnaan hakiki,” kata Tengku Adnan.

Justeru, Setiausaha Agung Umno itu menegur barisan kepimpinan semua peringkat UMNO dan BN yang kelihatan percaya dengan ramalan negatif Pilihan Raya ke-13, sehingga tidak lagi bekerja keras menangkis perspektif negatif sebaliknya sibuk cuba ‘mendapatkan apa yang boleh’.

“UMNO sentiasa bergerak ke arah perjuangan agenda bangsa, agama dan negara. Kita insaf apa yang berlaku, kita terus melihat ke dalam dan membetulkan apa juga kelemahan serta kesilapan. Umno juga bergerak ke hadapan, seiring dengan perubahan dunia.

“Kita perlu menangani perspektif negatif yang menular sekarang kerana gerakan pembangkang sama seperti cara komunis. Dia mencanangkan yang buruk setiap hari, UMNO rasuah, lemah, pemimpin tamak, kuat tidur... yang lemah dan silap adalah pemimpin, bukan parti,” katanya.

Juragan Malawati..

Isnin, 6 September 2010

Selangor Bangkit : Projek Barat Laut IADA diteruskan walaupun kerajaan PR Selangor cuba sabotaj!

Blog KitaGempur sebelum ini ada mengeluarkan artikel berkenaan isu ini dalam keluaran lepas. Klik di sini
Dalam artikel tersebut ada di sertakan kronologi tentang projek ini dan juga surat arahan dari kerajaan Selangor supaya memberhentikan kerja-kerja tersebut.

Ahad lepas satu perjumpaan diadakan diantara Dato' Seri Noh Omar dengan penduduk setempat untuk mendapat kata putus adakah projek ini perlu dilaksanakan ataupun tidak. Didalam blog peribadi DS Noh Omar beliau ada mengemukakan persoalan adakah ini adalah percubaan kerajaan Selangor untuk menjadikan projek IADA ini sebagai projek gajah putih.Klik di sini.

Satu persoalan yang perlu kita fikirkan iaitu ada kemungkinan perkara tersebut boleh terjadi kerana kos yang dibayar kerajaan persekutuan amat besar. Kerajaan Selangor sudah hampir kekeringan isu yang boleh dipertengahkan di dalam Selangor dan pada masa yang sama UMNO terus menerus menyerang kepimpinan MB Khalid "G".

Perkara ini menyebabkan mereka tidak nyenyak tidur dan ini adalah salah satu peluang mereka untuk melengah-lengahkan projek ini supaya memberi satu gambaran buruk kepada kerajaan Barisan Nasional. Apa lagi yang mampu mereka lakukan untuk memesongkan pandangan rakyat terhadap BN?

Mereka mendakwa wujud unsur rasuah tetapi mereka pun mengamalkan perkara yang sama. Mereka mendakwa wujud unsur kronisme dan nepotisme tetapi adakah tidak wujud unsur ini di dalam Pakatan Rakyat?. Apa lagi kehebatan kerajaan Selangor sekarang yang mampu mereka banggakan? Air percuma? Pergi mampos dengan skim air percuma yang menguntungkan sesetengah pihak. Sampai sekarang banyak lagi rumah terpaksa membayar bil air yang tinggi kerana sistem meter pukal masih lagi digunakan.

Perjumpaan DS Noh Omar bersama penduduk Parit 4 Sungai Haji Dorani mencapai kata putus apabila penduduk dikawasan tersebut mahukan projek tersebut diteruskan. Klik di sini. Apa tujuan sebenarnya kerajaan Selangor mengarahkan kerja-kerja dihentikan? Mereka diberi mandat oleh rakyat untuk menjaga kepentingan rakyat bukannya menghalang tindakan yang dilakukan untuk kepentingan rakyat.

Betullah apa yang dikatakan selama ini bila Pakatan Rakyat memerintah. Dimana Pakatan Kuat Di Situ Rakyat Merempat ... ! Wallahuallam.

Sumber : Kita Gempur ( http://www.kitagempur.com/ )

Juragan Malawati

Ahad, 5 September 2010

Pemilihan PKR Bahagian Kuala Selangor: Khalid ditentang tiga calon!

Pemilihan Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Selangor tahun ini bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru apabila penyandangnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Menteri Besar Selangor akan dicabar tiga lagi calon.

Tiga calon yang telah mengesahkan akan bertanding menentang Abdul Khalid ialah bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Mazli Saring, 42; bekas Ketua Wanita PKR Bahagian Kuala Selangor, Fauziah Sulaiman, 51, dan pesara guru, Muhammad Kamil Vaanan Abdullah, 44.

Pemilihan akan berlangsung pada 3 Oktober iaitu semasa Mesyuarat Agung Tahunan Kuala Selangor 2010 di Stadium Tertutup Kuala Selangor yang turut menyaksikan lebih 100 pencalonan untuk jawatan-jawatan lain dalam bahagian.

Situasi yang berlaku jelas menunjukkan tentangan hebat ahli-ahli PKR terhadap kepimpinan Abdul Khalid sebagai Ketua Bahagian yang sebelum ini mendapat kritikan teruk daripada ahli-ahli akar umbi.

Malah jumlah calon yang ramai bertanding untuk merebut kerusi disandang Abdul Khalid membuktikan ahli-ahli PKR Kuala Selangor mahu ada pemimpin baru meneraju bahagian itu.

Pemilihan ini dianggap yang pertama oleh beberapa calon yang bertanding (selain Abdul Khalid) kerana sebelum ini ahli jawatankuasa bahagian dipilih tanpa pertandingan.

Sementara itu, Mazli yang ditemui pemberita selepas mengisi borang pencalonan berkata, beliau mahu membina kembali PKR Bahagian Kuala Selangor dengan lebih tersusun, mantap dan dinamik jika diberi mandat oleh ahli-ahli.

Selain atas seruan demokrasi, beliau mahu pemimpin bahagian baru yang dapat mematuhi perlembagaan PKR selain menumpukan perhatian sepenuhnya kepada politik bahagian.

''Saya cakap begitu kerana berdasarkan apa yang pernah saya bangkitkan sebelum ini. Contohnya pada 15 Mac yang lalu apabila Mesyuarat Agung Bahagian diadakan ahli-ahli tidak dimaklumkan dengan cara yang betul hingga 50 ahli yang tidak puas hati keluar dewan.

''Untuk pemilihan kali ini juga masih belum ada notis diberikan sehingga ke hari ini mengikut cara yang ditetapkan perlembagaan," katanya.

Bagi Muhammad Kamil pula yang sebelum ini tidak memegang apa-apa jawatan dan hanya ahli cawangan Batang Berjuntai di sini, semua ahli parti mempunyai hak untuk bertanding dan beliau mahu menyahut suara akar umbi yang inginkan perubahan dalam bahagian.

''Saya bertanding atas dasar demokrasi dan hak saya sebagai ahli. Tiada niat untuk saya menentang penyandang sedia ada," katanya.

Seorang lagi calon iaitu Fauziah hanya mengesahkan pencalonan dan enggan memberikan sebarang komen. Beliau merupakan isteri kepada Timbalan Ketua Bahagian Kuala Selangor, Arshad Abu Bakar yang sedang digantung selama enam bulan oleh PKR pusat.

Juragan Malawati..

Khamis, 2 September 2010

Hudud tidak semestinya dilaksana – PAS!























Pas mengakui hukum hudud tidak semestinya dilaksanakan sekiranya pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan memerintah negara.

Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Pas dan parti-parti dalam pakatan pembangkang pada peringkat ini telah bersetuju untuk tidak membincangkan soal pelaksanaan hukum hudud yang menjadi agenda perjuangan parti itu selama ini.

Malah, katanya, Pas dan rakan-rakannya dalam pakatan itu juga tidak akan ‘mengusik’ kerangka Perlembagaan Persekutuan walaupun ada pandangan yang mengatakan ia perlu dipinda sekiranya Pas hendak melaksanakan syariat Islam.

“Tidak semestinya kita akan laksanakan, kita melihat kepada persediaan dan persetujuan masyarakat.“Kita ada persetujuan untuk peringkat ini kita tidak bincangkan soal hudud. Misi kita yang utama ialah untuk menjatuhkan Barisan Nasional pada pilihan raya.

“Bagi kita secara personalnya, perjuangan kita adalah untuk menegakkan syiar (Islam), tetapi kita tidak akan memaksakan hasrat ini kepada masyarakat. “Bila masyarakat sudah bersedia dengan penjelasan, kefahaman, pada masa itu kita akan laksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan yang pakatan pembangkang tidak pernah merancang untuk melaksanakan undang-undang Islam termasuk hudud jika ditakdirkan berjaya memerintah negara ini.Ini kerana parti-parti dalam pakatan itu, termasuk Pas terikat kepada perjanjian bersama yang akan terus mempertahankan dan mengamalkan perlembagaan sedia ada.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang mendedahkan perkara itu menjelaskan, dasar itu dipersetujui dan ditandatangani oleh semua pemimpin pembangkang termasuk Pas.

Baru-baru ini, Penyelaras Pakatan Pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim menyatakan bahawa Pas tidak akan dapat melaksanakan hukum hudud berdasarkan realiti politik hari ini dan perjanjian antara parti pakatan pembangkang yang berpegang teguh pada Perlembagaan Negara.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Dakwah negeri berkata, cita-cita Pas untuk menegakkan syariat dan sebuah negara Islam tidak pernah berubah tetapi pelaksanaannya bergantung kepada persediaan masyarakat yang juga pengundi.

“Rakyat Malaysia iaitu pengundi, walaupun pilih Pakatan Rakyat tetapi mereka belum bersedia untuk menerima pelaksanaan (hukum hudud) kita tak jadi masalah.“Selama ini kita bagi tahu nak laksanakan negara Islam pun bukan nak memaksa, tapi dilaksanakan dengan persetujuan pengundi, itu paling penting. Sebab, bila rakyat setuju soal perlembagaan sekular tak berbangkit dah,” katanya.

Baca dan nilai lah sendiri apa yang PAS perjuangkan selama ini? Jangan lupa kalau selama ini PAS menggunakan HUDUD untuk menyerang UMNO dan mendapatkan UNDI orang Melayu ...!!! Adakah ini cakap tak serupa bikin!!!..Selepas mendapat kuasa..segala-galanya berubah!!!

Wallahuallam.

Juragan Malawati..

Rabu, 1 September 2010

Ke mana hukum hudud Pas?

SUDAH jelas dan nyata kini, matlamat Pas untuk memperjuangkan hukum hudud sudah berakhir.

Penegasan dan penentangan yang diberikan oleh beberapa pemimpin dalam pakatan pembangkang sudah memberi isyarat bahawa cita-cita Pas dalam soal itu sudah berkubur.

Pas kini perlu mengakui keberadaan mereka bersama-sama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam pakatan tersebut semata-mata untuk mencari kuasa politik.

Parti itu sudah tidak berhak lagi bercakap soal melaksanakan hukum hudud atau memperjuangkan negara Islam. Pendedahan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bahru, Zulkifli Noordin bahawa pakatan pembangkang tidak pernah merancang untuk melaksanakan undang-undang Islam termasuk hudud jika berjaya memerintah negara ini, sudah menjadi bukti bahawa cita-cita Pas sudah berkubur.

Oleh itu, tidak perlulah lagi Pas hendak bersandiwara termasuk terus melemparkan tuduhan kepada UMNO bahawa parti itu mengamalkan semangat kebangsaan. Jika pakatan pembangkang ditakdirkan memerintah Malaysia, Pas hanya menjadi 'pak turut' kepada PKR dan DAP sekali gus hanya akan menyebabkan mereka terikat dengan kesepakatan bersama iaitu terus mempertahankan dan mengamalkan Perlembagaan sekular sedia ada.

Pas seharusnya tidak perlu berdolak-dalih atau membuat kenyataan bahawa pelaksanaan hukum hudud tetap menjadi keutamaan mereka kerana dasar mempertahankan Perlembagaan sedia ada sudah dipersetujui dan ditandatangani oleh semua pemimpin pembangkang termasuk Pas.

"Itulah hakikatnya! Itulah faktanya! Bahawa perjuangan Pas untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam tidak termasuk dalam dasar dan persetujuan bersama pakatan pembangkang.

"Itu hanya mimpi Pas, kata pemimpin pembangkang (yang lain)! Mimpi yang Pas tidak akan dapat capai selagi bersama pakatan pembangkang.

"Saya percaya ramai ahli akar umbi Pas tidak tahu yang undang-undang Islam tidak akan dilaksanakan, negara Islam tidak akan ditubuhkan serta Perlembagaan sekular sedia ada akan terus diamalkan jika pembangkang memerintah," kata Zulkifli.

Apa yang lebih malang kepada sebuah parti seperti Pas yang dilihat terlalu ingin berkuasa di peringkat pusat, ialah awal-awal lagi sudah diberi amaran bahawa mereka tidak akan dapat melaksanakan hukum hudud berdasarkan realiti politik hari ini.

Penyelaras pakatan pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim contohnya sudah menegaskan bahawa untuk melaksanakan hukum hudud, Pas perlu mendapatkan kerusi paling banyak di Parlimen dan ia juga perlu mendapat sokongan daripada ahli Parlimen yang lain. Persoalannya adakah PKR dan DAP akan merelakan Pas dominan dalam pakatan atau lebih tepat lagi memiliki kerusi paling banyak dalam Parlimen?

Adakah DAP yang menentang keras pelaksanaan undang-undang Islam akan membuka laluan kepada Pas. Begitu juga PKR, apakah Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tunduk dengan desakan Pas atau akan memenuhi permintaan DAP.

Kita tidak harus lupa bahawa Anwar lebih rapat dengan DAP berbanding dengan Pas. Kesediaan DAP memberikan peluang kepada Anwar untuk terus menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat telah menyebabkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu terhutang budi dengan DAP.

Malahan dalam senario politik sekarang, di mana kedudukan undi orang Melayu terpecah, Anwar lebih rela bersahabat rapat dengan DAP bagi meraih undi bukan Melayu berbanding dengan Pas.

Kita juga percaya dalam mengekalkan kekukuhan dalam pakatan Anwar lebih percaya kepada DAP berbanding Pas, memandangkan sebahagian pemimpin Pas masih berpegang teguh kepada pendirian bahawa apa pun berlaku, hak keistimewaan kedudukan orang Melayu dan umat Islam dipertahankan.

Berdasarkan hakikat itu, Pas tidak perlu melutut apatah lagi terus tunduk kepada PKR dan DAP. Pas mempunyai kekuatan sendiri dan masih lagi menjadi parti alternatif kepada orang Melayu. Pas perlu jujur kepada ahli-ahlinya dan orang Melayu. Mereka perlu secara terbuka mengakui bahawa perjuangan untuk melaksanakan hukum hudud dan menegakkan negara Islam sudah tiada lagi dalam kamus perjuangan politiknya.

Janganlah ada di kalangan pemimpin parti itu yang cuba berdolak-dalik dengan mengatakan hukum hudud tidak pernah menjadi keutamaan mereka sebelum ini. Selama ini hukum hududlah yang menjadi pelaris kepada Pas untuk meraih undi daripada orang Melayu. Malahan ramai orang Melayu menyokong Pas kerana percaya parti itu benar-benar ingin menegakkan perjuangan Islam.

Pemimpin-pemimpin Pas perlu mengakui bahawa perjuangan mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti adalah semata-mata untuk merebut kekuasaan dan meneruskan misi sejak tahun 1951 iaitu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN). Pas tidak boleh lagi terus memberi harapan palsu kepada pengikut setianya bahawa perjuangan Islam menjadi teras utama politik mereka.

''Saya yakin dan percaya kebanyakan ahli akar umbi Pas memang ikhlas bersama dengan parti itu kerana percaya pada perjuangannya untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

''Klimaksnya apabila satu Kenyataan Bersama dikeluarkan baru-baru ini memperkukuhkan Perjanjian Bersama Dasar Pakatan Rakyat menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam," katanya.

Justeru sudah sampai masanya, Pas bertindak jujur dalam meraih undi dan sokongan dalam pilihan raya. Janganlah berkobar-kobar bercakap kononnya hendak melaksanakan hukum hudud kerana ia adalah satu perbuatan politik yang tidak bermoral.

Akui sahaja selagi Pas masih menjadi pak turut dan ibarat melukut di tepi gantang di dalam pakatan pembangkang selagi itulah cita-cita murni mereka hanya sekadar menjadi slogan.

Perjuangan Pas untuk melaksanakan hukum hudud sama seperti slogan 'membangun bersama Islam' tiada apa-apa makna sebaliknya hanya sekadar halwa telinga sahaja, pelaksanaannya terlalu banyak kecacatan.

Jika Pas masih lagi tidak faham permainan politik yang ditunjukkan oleh PKR dan DAP, ingatlah kembali kata-kata Zaid iaitu: ''Awak perlu menang dua per tiga dulu, kemudian baru kita boleh bercakap, kalau tidak ia hanya teori politik. Tok guru ada mimpi, saya pun ada mimpi. Contohnya impian saya ingin terbang ke bulan, tidak salah bercakap, saya boleh lakukan atau tidak bergantung kepada keadaan.''

Semoga pemimpin-pemimpin Pas akan memahami mesej berkenaan. Jangan sampai nanti Pas ibarat menang sorak kampung tergadai apabila pengikut setia dan jentera partinya, siang malam bertungkus-lumus berkempen tetapi orang lain yang menikmati kemenangan!

ZULKIFLEE BAKAR - UM

Juragan Malawati..