UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Khamis, 16 September 2010

MB Kedah akui manifesto belum tercapai!

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini mengakui bahawa kerajaan negeri masih belum berjaya mencapai manifesto Pilihan Raya Umum 2008 dalam bidang ekonomi. Bagaimanapun, Azizan berkata, kerajaan pimpinannya berjaya meningkatkan hasil negeri sebanyak 205 peratus.

"Jika dipandang dari sudut ekonomi, memang kita masih belum menampakkan hasil, tetapi dari sudut lain, kita dapat meningkatkan hasil negeri sebanyak 205 peratus.

"Kita tingkatkan hasil negeri, itu kejayaan kita yang tak dibuat oleh Barisan Nasional dulu," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentalon di sini.

Beliau berkata, pencapaian 80 peratus pelaksanaan manifesto Pas di Kedah bukan hanya tertumpu kepada bidang ekonomi semata-mata, tetapi merangkumi semua aspek.

Katanya, kenyataan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bahawa pencapaian 80 peratus itu merupakan retorik semata-mata, adalah tidak benar kerana peratusan itu merupakan pencapaian keseluruhan manifesto yang dibuat kepada rakyat semasa pilihan raya umum lepas dan bukan hanya dalam bidang ekonomi.

"Apa yang dikatakan Mahdzir tentang sambungan projek itu memang betul.

"Kita menyambung semua projek yang dirancang kerajaan terdahulu, seperti meneruskan pentadbiran Kolej Universiti Insaniah (KUIN), itu kita akui," katanya.

Azizan berkata, walaupun KUIN ditubuhkan semasa pentadbiran kerajaan negeri terdahulu, namun kerajaan yang ada sekarang merancang dan membina kampus induk di Kuala Ketil, selain menambah program baru di kolej itu.

"Jadi, bila kita bercakap tentang konsep 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua', kita sudah buat, tetapi ia tidak boleh dilihat dari segi sudut ekonomi sahaja, tetapi kita bercakap untuk kesenangan dan kesejahteraan rakyat, rakyat melihat kita adil untuk semua," katanya.

Beliau berkata, jika mahu melihat hasil ekonomi, tempoh antara tiga dan empat tahun diperlukan kerana ia tidak boleh diperoleh dengan segera. - BERNAMA

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan