UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Ahad, 26 September 2010

Anwar sanggup lakukan apa saja untuk Azmin!

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim didakwa sanggup melakukan apa sahaja asalkan anak emasnya yang juga Naib Presiden PKR, Azmin Ali menang dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden parti itu pada pemilihan November ini.

Bekas Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), SD Johari Md. Yassin berkata, perkara itu tidak perlu dihairankan kerana beliau sendiri pernah mengalami nasib yang serupa ketika bertanding merebut jawatan Timbalan Ketua AMK pada 2006.

Katanya, dalam pemilihan tersebut Anwar telah mengarahkan semua Jawatankuasa AMK Pusat dan Ketua AMK negeri memastikan bahagian tidak memberi pencalonan kepadanya kerana mahu jawatan itu diberikan kepada calon lain.

''Ketika proses pencalonan masih lagi berjalan Anwar telah mengadakan satu mesyuarat Jawatankuasa AMK pusat tanpa kehadiran saya yang pada masa itu memegang jawatan Setiausaha.

''Saya hanya mengetahui mesyuarat tersebut setelah diberitahu oleh sahabat-sahabat yang lain yang kebetulan diadakan buat pertama kali di pejabat baru parti di Petaling Jaya.

''Dalam mesyuarat itu Anwar mengarahkan bahagian AMK tidak lagi memberi pencalonan kepada saya,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Zaid Ibrahim untuk bersaing merebut jawatan Timbalan Presiden parti.

Setakat ini, hanya Azmin dan Zaid mengesahkan untuk bertanding merebut jawatan berkenaan.

SD Johari sebelum meninggalkan PKR pada 2007 merupakan salah seorang pengikut Anwar yang setia dan menyertai parti tersebut sejak ia ditubuhkan pada 1998.

Menceritakan lebih lanjut SD Johari berkata, sebelum Anwar mengadakan mesyuarat itu beliau telah mendapat 118 pencalonan berbanding dua lagi saingannya iaitu Fariz Musa dan Nurul Izzah Anwar yang masing-masing baru menerima sembilan dan lima pencalonan.

''Jika diikut perkiraan kasar, saya jauh mendahului dua orang saingan saya ini. Namun, disebabkan arahan Anwar, saya telah dinafikan hak untuk mendapat lebih banyak pencalonan sekali gus menjadi calon pilihan di dalam pemilihan tersebut.

''Akhirnya saya membuat keputusan untuk menarik diri daripada pertandingan itu ekoran campur tangan Anwar,'' katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan perkara yang sama akan dilakukan oleh Anwar untuk memastikan kemenangan Azmin dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden.

''Saya percaya Anwar pada masa ini menganggap Zaid sebagai ancaman bagi beliau dan Azmin. Oleh itu Anwar akan cari apa jua jalan bagi memusnahkan karier Zaid di dalam PKR meskipun terpaksa menggunakan wang.

''Saya tidak fikir Anwar akan berdiam diri kerana Azmin adalah satu-satunya individu yang diharapkan untuk memimpin PKR. Azmin adalah calon pilihannya dan Azmin juga tidak boleh disentuh walaupun oleh Presiden parti, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail,'' ujarnya.

Sungguhpun begitu, beliau berkata, Anwar dan Azmin tidak harus memandang rendah terhadap keupayaan Zaid kerana bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mempunyai kekuatan tersendiri.

''Tambahan pula Zaid mendapat sokongan penuh daripada keluarga Anwar sendiri iaitu Wan Azizah dan Nurul Izzah selain kumpulan pemimpin yang membenci Azmin selama ini,'' ujarnya.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan