UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Sabtu, 23 Ogos 2014

Tragedi nahas kapal terbang #MH17 : Seluruh negara bersedih.

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah diiringi Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta jemaah lainnya mengaminkan doa imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad selepas menunaikan solat jenazah hadir dan ghaib mangsa nahas MH17 di Masjid Putra, Putrajaya, semalam.

Perasaan sedih dan simpati menyelubungi rakyat Malaysia hari ini ketika upacara bertafakur seminit sebagai penghormatan kepada jenazah serta jasad mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.

Dalam suasana hening, tempoh seminit itu digunakan oleh seluruh rakyat untuk bersama-sama berdoa mengikut agama dan kepercayaan masing-masing sebaik sahaja pengumuman mengenainya dibuat menerusi stesen radio serta televisyen tempatan tepat pada pukul 10.54 pagi.

Detik masa seakan terhenti pada waktu itu apabila orang ramai dengan rela hati menghentikan seketika urusan masing-masing selepas kumpulan pertama 20 jenazah yang tiba dari Amsterdam, Belanda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selesai diletakkan ke dalam kenderaan jenazah.

Malah ada dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang yang bersatu hati menempuh saat sukar berkenaan tidak mampu menahan perasaan sebak sehingga menitiskan air mata mengenangkan nasib mangsa tragedi MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

Beberapa lebuh raya utama di ibu negara termasuk Lebuh Raya Kajang Seremban (Lekas), Lebuh Raya Besraya, Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Sprint dan Lebuh Raya Baru Pantai menutup lorong masing-masing selama seminit sebagai tanda memberi penghormatan kepada mangsa.

Operasi perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) dan monorel di Lembah Klang juga dihentikan seminit dengan keadaan serupa dapat dilihat di beberapa lokasi di seluruh negara apabila kereta serta bas berhenti seketika untuk bersama-sama menyertai detik sedih yang belum pernah dilakukan di negara ini.

Terdahulu, pesawat MAS MH6129 membawa jenazah rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi MH17 tiba di pekarangan Kompleks Bunga Raya, KLIA tepat pukul 9.54 pagi untuk diberi penghormatan negara menerusi istiadat ketenteraan dengan diIsaksikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.

Yang turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, anggota Kabinet, ahli Parlimen serta diplomat asing untuk menyertai para waris mangsa.

Sementara itu, kira-kira 3,000 orang daripada pelbagai kaum berdiri beriringan di Dataran Merdeka di sini untuk menghayati detik-detik bersejarah itu.

Hari ini yang diisytiharkan sebagai Hari Perkabungan Negara menyaksikan Jalur Gemilang dikibar separuh tiang dan ramai rakyat berpakaian gelap selain bertafakur seminit melibatkan pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara.

Dalam pada itu, upacara bertafakur seminit diadakan di pelbagai lokasi di negeri-negeri.

Di GEORGETOWN, pergerakan kenderaan dari tanah besar menghala ke pulau dihentikan selama seminit di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang untuk bertafakur memperingati mangsa tragedi MH17.

Keadaan sama dapat dilihat di Jambatan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah apabila semua kenderaan berhenti di Plaza Tol Batu Maung manakala di terminal feri, ratusan penumpang Feri Pulau Rimau dan Pulau Undan di kedua-dua arah tanah besar serta George Town turut bertafakur selama seminit.

Di KUALA TERENGGANU, upacara bertafakur selama seminit sempena istiadat penghormatan ketibaan jenazah mangsa tragedi pesawat MH17 turut diadakan pada majlis pelancaran program Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pendidikan di Pusat Dagangan Terengganu (TTC).

Di IPOH, kira-kira 500 warga Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) terdiri daripada guru, pelajar dan kakitangannya bersama-sama dengan seluruh rakyat Malaysia bertafakur bagi menzahirkan kesedihan terhadap insiden menimpa mangsa pesawat MH17.

Di MELAKA, kira-kira 500 orang berkumpul di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Ayer Keroh bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah mangsa tragedi MH17 yang diterbangkan pulang ke tanah air selepas 37 hari nahas menyayat hati itu berlaku.

Di KUANTAN, upacara bertafakur yang berlangsung di Dataran Setia, Wisma Pahang dihadiri kira-kira 3,000 kakitangan awam dan disertai Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

Di KEDAH, para peniaga di Pasar Besar Alor Setar turut berkongsi kesedihan dengan bertafakur selama seminit dan menghentikan aktiviti perniagaan seketika bagi menghormati 20 jenazah kumpulan pertama mangsa nahas pesawat tersebut yang dibawa pulang dari Amsterdam hari ini.- Bernama

Juragan Malawati..

Selasa, 19 Ogos 2014

Mahathir : Saya tidak suruh Najib letak jawatan?


Tun Dr Mahathir Mohamad semalam menekan bahawa kritikan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak bukan peribadi dan tidak bermakna bahawa perdana menteri Malaysia hendaklah meletak jawatan.

Bekas perdana menteri berkata beliau tidak setuju dengan dasar-dasar yang digunakan oleh Najib kerana ia tidak membawa faedah kepada negara. Dr Mahathir juga telah menuduh Najib menjadi "lembut", dengan kecenderungan berdiam diri apabila menghadapi masalah.

Menurut Malaysian Insider, beliau juga merungut dalam blognya atas kes culik rakyat Malaysia untuk wang tebusan kepada isu ketegangan perkauman dan keagamaan.

Juragan Malawati..

Isnin, 18 Ogos 2014

Teguran Tun Mahathir?


1. Ada orang yang memberitahu kepada Dato Seri Najib Tun Razak yang saya telah memburukkan pemerintahannya.

2. Saya tidak akan menyangkal kerana saya telah berkali-kali menegur dasar-dasar Kerajaan sekarang.

3. Saya menegur kerana saya berpendapat pemimpin yang tidak ditegur akan percaya segala-gala yang dilakukan oleh mereka baik-baik belaka. Hanya apabila ditegur sahaja barulah pemimpin akan sedar akan kesalahan dan mungkin akan memperbetulkannya.

4. Izinkan saya mencerita cerita dongeng berkenaan seorang raja Inggeris. Ia dikelilingi dengan ramai dato-dato yang mendakwa dia adalah seorang raja yang amat berkuasa keatas segala-galanya. Demikian pasang-surut air di laut pun akan patuh kepada perintahnya.

5 Alkesah, maka pada satu hari raja menitah untuk meletakkan takhtanya di pantai menghadapi laut.

6. Air sedang pasang dan raja bertanya kepada dato-datonya apakah baginda boleh hentikan air pasang supaya tidak basahkan kakinya.

7. Jawab mereka, “Ya, Tuanku. Air tidak akan sampai kaki Tuanku.”

8. Maka raja pun menitah supaya air laut itu tidak naik lagi.

9. Tetapi air laut itu terus pasang dan kena pada kaki baginda. Maka baginda pun murka kepada dato-datonya.
Demikianlah sikap dato-dato kerana ingin menyenangkan hati raja mereka.

10. Satu lagi cerita dongeng juga ialah berkenaan dato-dato istana yang tidak pernah menegur raja. Mereka sepanjang masa mengiyakan saja apa juga yang dilakukan oleh raja.

11. Satu hari raja masuk dewan dalam keadaan bogel. Baginda bertanya cantikkah pakaiannya. Semua angguk kepala dan berkata “Ya Tuanku”.

12. Hanya seorang budak yang berkata, “Tuanku bogel.”

13. Maka raja pun murka akan dato-datonya yang tidak berkata yang benar apabila dia bogel.

14. Kita boleh dapat sedikit pelajaran dari cerita-cerita dongeng ini.

15. Orang Melayu mempunyai banyak pepatah yang boleh jadi panduan dalam kehidupan mereka. Antaranya ingin saya sebut disini:

“Sayangkan anak tangan-tangankan
Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan”
Dengan izin saya ingin menambah sedikit kepada pepatah ini.
“Sayangkan pemimpin tegur-tegurkan”

16. Saya lihat bagaimana orang Melayu tidak mudah menegur pemimpin. Walaupun pemimpin jelas bersalah, tidak ada siapa yang sanggup menegur secara terbuka. Tetapi di belakang pemimpin mereka akan keluarkan kata-kata yang kesat terhadapnya.


17. Mungkin saya berbeza sedikit dari Melayu lain. Apabila YTM Tunku membuat beberapa dasar dan tindakan yang tidak disenangi oleh ramai orang Melayu, saya menulis surat menegur Tunku.

18. Walaupun kerananya saya dipecat, tetapi YTM Tunku meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Mungkin bukan kerana teguran saya, tetapi hakikatnya Tunku mengundur diri.

19. Demikian juga dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Mungkin kerana teguran, mungkin kerana prestasi buruk Pilihanraya ke 12. Tetapi hakikatnya Tun Abdullah juga letak jawatan.

20. Saya sendiri pun letak jawatan. Sebahagian dari sebabnya ialah kerana saya dengar bisik-bisik yang menyoal “Bila lagi orang tua ini akan pergi.” Saya percaya jika saya tidak letak jawatan, bisik akan jadi jeritan.

21. Pilihan saya bagi mengganti Tun Abdullah ialah Dato Seri Najib. Setelah beberapa lama dilihat bahawa dasar dan tindakan Dato Seri Najib tidak lebih berkesan dari Tun Abdullah.

22. Saya tidak sangka yang pencapaiannya dalam Pilihanraya Umum ke13 lebih buruk dari Tun Abdullah.

23. Harapan saya Dato Seri Najib akan mengambil ikhtibar dari prestasinya yang buruk dalam Pilihanraya Umum ke 13. Malangnya sehingga kini tidak ternampak apa-apa perubahan dari segi dasar atau pendekatan walaupun saya cuba menyampaikan pendapat saya, (yang juga pendapat ramai yang datang bertemu saya) secara langsung kepada Dato Seri Najib.

24. Saya tidak ada pilihan selain dari menarik balik sokongan saya. Ini pun tidak berkesan. Oleh itu terpaksalah saya menegur.

25. Apakah dianya yang saya fikir salah. Ia bermula dengan pendirian melayani semua tuntutan musuh. ISA dan undang-undang buang daerah dimansuh. Tindakan ini tidak sedikit pun mengurangkan tentangan oleh parti lawan. Sebaliknya jenayah bertambah dengan banyaknya kerana pembebasan ketua-ketua geng.

26. Demikian juga dengan sikap merendah diri kepada negara jiran sehingga urusan dalam negeri pun tertakluk kepada pendapat Kerajaan negara jiran.

27. Tetapi pendapat kaum dan parti yang kuat menyokong untuk menyelamatkan kedudukan Kerajaan tidak diberi layanan yang saksama.

28. Wang Kerajaan diguna untuk mempengaruhi sokongan rakyat apabila sahaja pilihanraya umum diadakan. Ini menjadikan rakyat terlalu bergantung kepada Kerajaan untuk segala-galanya. Bagi yang betul-betul miskin, bantuan seperti ini memanglah wajar. Tetapi beribu rakyat yang ditawar menolak bantuan wang seperti ini. Semangat rakyat untuk bekerja menjadi luntur apabila mereka diberi ganjaran tanpa apa-apa usaha oleh mereka. Semangat ini tidak akan menolong pembangunan Negara.

29. Dasar ekonomi mengutamakan tuntutan pengguna. Impot barangan digalakan dan industri tempatan diabaikan, bahkan dihalang oleh dasar Kerajaan.

30. Cuti ditambah sehingga adakalanya pekerja bercuti lebih satu minggu. Sebaliknya gaji minimum dinaikkan tanpa mengambilkira kenaikan kos yang boleh menjadi perniagaan dan perusahaan tidak bedayasaing dengan barangan impot.

31. Sesungguhnya banyaklah dasar, pendekatan dan perbuatan Kerajaan pimpinan Dato Seri Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara.

32. Semua ini disebabkan penyokong Kerajaan tidak pernah menegur pemimpin.

33. Jikalau tiada siapa yang sanggup menegur, biarlah saya menegur. Saya pernah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman, dipulau oleh Datuk Seri Abdullah dan difitnah oleh ramai. Jika kerana menegur saya akan didera, terpaksalah saya terima.

34. Bukanlah saya tidak sayang pemimpin. Tetapi saya lebih sayang bangsa dan negara saya.

Juragan Malawati..

Ahad, 17 Ogos 2014

Isu MB Selangor : Nik Aziz tunggu penjelasan Hadi?


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mendapatkan penjelasan daripada Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai keputusan yang dibuat parti itu berhubung krisis politik Menteri Besar Selangor.

Beliau berkata, Presiden Pas itu akan datang ke negeri itu esok dan mengadakan pertemuan dengannya untuk memberi penjelasan mengenai isu tersebut.

"Dia (Abdul Hadi) akan jumpa (saya) di pejabat, esok saya baru boleh buat kenyataan, saya perlu dengar daripada dia," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.


Pas hari ini mengemukakan nama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

Tindakan tersebut bertentangan dengan keputusan Majlis Syura Ulama yang diketuai oleh Nik Abdul Aziz yang memberi sokongan penuh kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

Juragan Malawati..

Sabtu, 16 Ogos 2014

Cubaan kali kedua Wan Azizah menghadap Sultan Selangor?


Setelah ditolak menghadap dengan surat tulisan suaminya, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membuat cubaan kedua menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, dengan menghantar surat permohonan yang ditandatanganinya sendiri, lapor The Star.

Surat itu dihantar Azizah ke istana pada Selasa lalu, dikatakan mahu memberi penjelasan berhubung krisis PKR sehingga menjejaskan pentadbiran negeri Selangor, kata akhbar itu hari ini.

Laporan akhbar itu mengatakan Sultan Sharafuddin tahu tentang permohonan kedua Wan Azizah tetapi hanya akan pulang ke tanah air pada 23 Ogos ini selepas berangkat ke luar negara semalam.

Wan Azizah dalam surat pertama pada Ahad lalu mahu menghadap Sultan untuk menjelaskan isu pemecatan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada parti, tetapi surat itu ditandatangani suaminya yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.



Setiausaha Sulit Sultan, Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataan pada Selasa berkata baginda enggan melayan permintaan Anwar dan Wan Azizah kerana sudah pun berjumpa Khalid dan mendapat penjelasan mengenai isu menteri besar. Sila baca di sini.

“Sultan Selangor berpendapat pemecatan Khalid dari menjadi ahli PKR merupakan isu dalaman parti yang tidak menjejaskan kedudukan beliau sebagai Ahli Dewan Negeri (Adun) Selangor.

“Baginda tidak mahu campur tangan dalam isu dalaman PKR,” katanya.

Khalid pada Isnin lalu mengumumkan dirinya masih menteri besar yang sah dan akan meneruskan tugas seperti biasa selepas berjumpa Sultan Sharafuddin di Istana Alam Shah Klang dan mendapat perkenan baginda.

Khalid dalam pertemuannya dengan Sultan berkata, beliau masih mendapat sokongan undi majoriti walaupun dipecat daripada PKR pada 9 Ogos lalu. PKR memecat Khalid kerana enggan berundur daripada kedudukannya walaupun diarahkan parti yang mahu menggantikannya dengan Wan Azizah.

Juragan Malawati..

Rabu, 13 Ogos 2014

Tidak mustahil Pas akan buat 'u-turn'?


Suasana politik dalam PR dilihat semakin rumit, dengan pelbagai kejutan dan liku-liku disaksikan sejak kemelut parti pemerintah di Selangor itu mencapai kemuncaknya pada 9 Ogos lalu, apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat daripada PKR.

Kini, kuasa penentu di tangan Pas untuk menyelesaikan konflik terburuk dihadapi PR sejak penubuhan pakatan itu pada 1 April 2008.

Pertemuan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Ketua Umum PKR(KETUM), Anwar Ibrahim kelmarin menimbulkan persoalan besar kepada banyak pihak, terutama berkaitan pendirian Pas terhadap Abdul Khalid.

Terdahulu, pimpinan tertinggi Pas, termasuk Majlis Syura Ulama, membuat keputusan menyokong Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor, bertentangan dengan kemahuan PKR dan DAP untuk memberikan jawatan Abdul Khalid kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Namun, susulan pertemuan Anwar-Abdul Hadi, penganalisis politik, Dr Sivamurugan Pandian berpendapat, tidak mustahil berlaku u-turn dalam keputusan Pas sekiranya Anwar berjaya meyakinkan Abdul Hadi.

“Saya percaya pertemuan itu pasti membincangkan isu di Selangor. Saya juga yakin Pas sudah ada jawapan adakah akan terus menyokong Abdul Khalid atau turut menolak kepimpinan calon Bebas itu seperti mana yang dilakukan oleh rakan sekutu mereka, PKR dan DAP.

“Jika PR menjadi keutamaan (kepada Pas), tidak mustahil Pas buat u-turn,” katanya disini hari ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali kelmarin mengesahkan pertemuan rahsia antara Anwar dan Abdul Hadi berlangsung selama sejam di sebuah hotel di Kuala Ibai, Terengganu, namun enggan mengulas lanjut mengenai butiran perbincangan.

Turut sama dalam pertemuan itu Setiausaha Politik Presiden Pas, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.


Keputusan Pas dinantikan semua pihak

Menurut Sivamurugan, keputusan Pas amat dinantikan semua pihak khususnya rakyat Selangor, kerana mereka ingin tahu adakah kepimpinan Abdul Khalid benar-benar mendapat sokongan majoriti seperti didakwa beliau.

Beliau berkata, kedudukan Abdul Khalid kini boleh dipersoalkan kerana sokongan Pas terhadapnya sebelum ini berdasarkan faktor Abdul Khalid masih ahli PKR.

Katanya, jika Pas bertegas dengan keputusannya untuk menyokong Abdul Khalid, akan berlaku sedikit konflik dengan rakan PR kerana Pas akan dilihat tidak sehaluan dengan keputusan Majlis Pimpinan PR yang lain.

Sementara itu, Abdul Khalid semalam masih meneruskan tugasnya sebagai menteri besar selepas mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan mendakwa masih memperoleh sokongan majoriti Dun.

Juragan Malawati..

Azizah Rayu PAS, Timbang Keputusan PKR Calon Dirinya Sebagai MB Selangor?


Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merayu PAS agar menimbang keputusan PKR dalam isu calon wanita sebagai menteri besar Selangor.

Pada ketika ini, PKR sudah memilih Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, namun hanya DAP menyetujui keputusan tersebut.

“Parti kami sudah pilih saya sebagai calon, PAS perlu pertimbangkan. Kami sudah pilih calon,” kata Dr Wan Azizah yang ditemui selepas menghadiri mesyuarat Biro Politik di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya malam tadi.

PAS sehingga hari ini masih tidak menyatakan pendirian dalam krisis di Selangor, malah selepas pemecatan enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) DAP dan PKR semalam, parti Islam itu masih belum membuat keputusan.


Apabila ditanya mengenai penolakan PAS kerana calon wanita yang diletak PKR, Dr Wan Azizah dengan sedih berkata:

”Berilah peluang.”

Pada Isnin, Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi membincangkan isu di Selangor, namun pertemuan tersebut gagal mencapai sebarang persetujuan.

Sumber memberitahu PAS tidak bersetuju dengan calon PKR yang meletak Dr Wan Azizah.PAS juga berkata hanya akan menyatakan pendirian mereka selepas selesai bermesyuarat pada 17 Ogos ini.

Juragan Malawati..

Selasa, 12 Ogos 2014

Krisis MB Selangor: PKR hilang kuasa di Selangor?


Enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) PKR dan DAP dipecat serta merta petang tadi, mengakibatkan kerajaan Pakatan Rakyat (PKR) hilang kuasa di Selangor.

Buat masa ini, kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, hanya dianggotai empat EXCO PAS.

Khalid berkata beliau sudah mempersembahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, surat memohon perkenan untuk memecat ahli EXCO berkenaan kerana cuba mengehadkan kuasa beliau sebagai Menteri Besar.

PKR dan DAP kini sedang bermesyuarat tergempar bagi membincangkan perkembangan terbaharu itu.

Juragan Malawati..

Isnin, 11 Ogos 2014

Skrip lama perjuangan Wan Azizah demi Anwar bermula?


Ceramah atau road show PKR di Seksyen 19, Shah Alam malam tadi selain mendedahkan kelemahan-kelemahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut jadi gelanggang kepada Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail meraih simpati.

Walaupun Presiden PKR itu tidak mengulas mengenai pemecatan Khalid dan menerangkan kepada perlu diganti, bakal menteri besar Selangor itu sebaliknya menceritakan kisah sedih hidup beliau selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangkap dan dipenjarakan pada ketika permulaan Reformasi PKR.

“Saya tak mahu panjangkan isu menteri besar, biarlah Datuk Saifuddin (Nasution Ismail) dan saudara Rafizi (Ramli) menjelaskannya.

“Saya datang jumpa tuan puan malam ini nak berkongsi kehidupan saya. Bagaimana deritanya saya dan anak-anak hidup tanpa suami,” katanya.

Sebelum itu, Rafizi, Saifuddin dan ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin turut menyampaikan ucapan yang rata-rata memberikan alasan kenapa Khalid perlu diganti.

Wan Azizah antara lain mengakui mengakui tidak mempunyai pengalaman secukupnya untuk mentadbir sebuah kerajaan negeri.

Namun, katanya pertukaran menteri besar perlu dilakukan di Selangor ketika ini bagi menambah baik semua dasar kerajaan negeri di samping mengekalkan dasar lama yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Bagi saya, pertukaran menteri besar tidak penting, yang lebih penting adalah amanah yang dipegang kita,” katanya dalam ceramah tersebut.

Ceramah itu awalnya dirancang di Dataran Kemerdekaan Shah Alam tetapi tidak mendapat kelulusan Setiausaha Kerajaan Negeri dan kemudiannya di adakan di Seksyen 19.

Wan Azizah, isteri kepada Anwar turut menepis dakwaan pihak tertentu bahawa pencalonannya sebagai menteri besar itu bersifat nepotisme.

“Ini bukan nepotisme sebab saya pernah dilantik oleh Anwar mengetuai gerakan reformasi semasa suami saya berada di penjara pada 1998,” katanya.


Pada 21 Julai lalu, Majlis Pimpinan Pusat PKR sebulat suara memilih Wan Azizah sebagai calon menggantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor yang baharu.

Dr Wan Azizah, isteri kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menepis dakwaan pihak tertentu bahawa pencalonannya itu bersifat nepotisme.

“Ini bukan nepotisme sebab saya pernah dilantik oleh Anwar mengetuai gerakan reformasi semasa suami saya berada di penjara pada 1998,” katanya.

Tindak tanduk Azizah ini sudah dijangka kerana cadangan supaya beliau dilantik menteri besar Selangor yang baharu adalah paltform semata-mata mahu menyelamatkan Anwar daripada hukuman penjara setelah disabit kesalahan meliwat.

Dengan jawatan sebagai menteri besar, air mata seorang isteri, Wan Azizah akan mengulangi skrip lama yang pernah dilakukan ketika awal gerakan reformasi pada 1998 untuk menagih simpati orang ramai terhadap Anwar yang menjalani hukuman penjara.

Kesannya Wan Azizah menang ketika bertanding di parlimen Permatang Pauh dan seterusnya mendapat sokongan daripada DAP serta PAS.

Sementara itu Zuraida yaqng juga ahli parlimen Ampang mengesyorkan agar Khalid menubuhkan parti baru jika ingin terus menjadi menteri besar.

“Saya MP Ampang kalau parti tak letak saya di Ampang adakah saya jadi YB di Ampang?

“Kalau tak nak ikut parti, baik dia buat parti sendiri jadi menteri besar sendiri.

“Tapi, boleh menangkah?” katanya.

Apapun yang didedahkan PKR terhadap Khalid, sebahagian besar adalah isu lama termasuk soal pinjaman beliau dengan Bank Islam serta perjanjian penyelesaian isu air di Selangor.

Perkara berkaitan pinjaman itu sudah dibangkitkan ketika Khalid bertanding pada PRK di Ijok tetapi kepimpinan PKR tidak memperdulikannya.

Isu air pula tiada cacat celanya kerana Pusat memenuhi tuntutan kerajaan Selangor termasuk pembayaran bagi pengambilalihan yang dituntut kerajaan negeri.

Isu lain mengenai kenaikan elaun menteri besar, Exco dan Adun yang ditangguhkan dipersetujui kerajaan PR.

Kesimpulan, Khalid jadi mangsa kerana tidak menuruti Langkah Kajang untuk memberi laluan menggantikan menteri besar.

Perlu diingat, Khalid tidak pernah menolak Wan Azizah sebagai menteri besar tetapi menegaskan, ianya mesti melalui proses yang dimaktub dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri Selangor.

Bagaimanapun, PKR adalah parti yang akan marah jika kerajaan Barisan Nasional (BN) melanggar undang-undang tetapi bagi mereka, sudah kerap matlamat menghalalkan cara.

Ini contoh terbaru permainan politik kotor PKR.

Juragan Malawati..

Sabtu, 9 Ogos 2014

Keputusan tidak gugat kedudukan Abdul Khalid selaku MB!


Pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan menggugat kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Selangor kerana pemecatan tersebut hanya berlaku dalam parti dan tidak membabitkan jawatan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Malah, Abdul Khalid masih boleh meneruskan tugasnya itu selagi mendapat kepercayaan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurut Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, sekiranya benar PKR mahu melucutkan jawatan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar, parti tersebut perlu menghantar petisyen hilang kepercayaan kepada Sultan Selangor seperti yang berlaku di Perak sebelum ini.

"Abdul Khalid tidak akan hilang jawatan dan tidak hilang status sebagai Menteri Besar Selangor. Saya melihat senario ini sebagai satu cabaran besar kepada pembangkang untuk terus mengekalkan kerusi di Selangor. Malah, kita mengetahui beliau mendapat sokongan daripada Pas.

"Jika adanya petisyen daripada ketiga-ketiga komponen parti pembangkang, maka Abdul Khalid perlu meletak jawatan. Beliau memiliki kuasa menasihati Sultan Selangor untuk membubarkan DUN dan kemudian terpulang kepada Sultan sama ada mendengar nasihat Abdul Khalid atau bertindak sebaliknya," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Abdul Khalid hari ini dipecat sebagai ahli PKR berkuatkuasa serta-merta bagaimanapun beliau masih kekal sebagai Menteri Besar Selangor sehingga diputuskan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tambah Nik Ahmad Kamal, dalam keadaan politik terburuk itu, peranan Sultan amat diperlukan dalam menentukan langkah terbaik sama ada memecat atau mengekalkan jawatan Abdul Khalid.

Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd. Aziz turut berpendapat, pemecatan sebagai Menteri Besar hanya berlaku apabila DUN hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid, bukan melalui kuasa parti.

"Syarat untuk kekal sebagai Menteri Besar ialah mendapat sokongan majoriti ahli Dewan.

"Sekiranya pemecatan (oleh parti) dianggap sebagai indikasi hilangnya kepercayaan ahli Dewan kepada Abdul Khalid, ini mungkin tidak tepat disebabkan keadaan ini luar biasa dan kita tidak mempunyai contoh kes atau keputusan mahkamah, maka ia masih lagi tafsiran undang-undang," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Malaysia Kelantan, Prof. Dr. Roselina Ahmad Saufi berkata, tindakan pemecatan Abdul Khalid sebagai ahli dalam parti selepas beliau enggan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar disifatkan sebagai keterlaluan dan melanggar Perlembagaan negara.

Jelas beliau, PKR perlu melalui satu proses perbincangan bersama Pas dan DAP sebelum mengambil keputusan pemecatan tersebut.

Malah katanya, pemecatan Abdul Khalid, bukan hak individu sebaliknya milik parti kerana Menteri Besar itu dilantik oleh ahli parti.

"Lebih baik PKR kembali kepada Perlembagaan dan membuat satu mesyuarat agung tahunan (AGM) khas untuk membincangkan isu Abdul Khalid. Saya melihat PKR berat sebelah apabila memecat beliau sebagai ahli dalam parti kerana keengganannya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

"Perkara itu (pemecatan) tidak adil kepada Abdul Khalid. Ya, PKR amat berat sebelah kerana memecat seseorang tanpa alasan yang kukuh semata-mata kerana 'seseorang' dalam parti itu yang gila kuasa," katanya.

Tambahnya, Abdul Khalid seharusnya diberi peluang untuk membela diri serta membuktikan enam pertuduhan iaitu satu berkaitan dengan kenyataan media dan lima pula berkaitan dengan polisi kerajaan negeri adalah tidak benar.

"Sudah tiba masa campur tangan Sultan dalam pentadbiran negeri. Selangor akan kucar-kacir akibat kesombongan beberapa pemimpin dan malangnya rakyat menjadi mangsa politik di sana," ujarnya.

Juragan Malawati..

Khalid : Saya tetap MB dan akan jumpa Sultan Selangor secepat mungkin!


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan terus memegang jawatan Menteri Besar Selangor dan akan mengadap Sultan Selangor untuk mendapatkan pandangan Tuanku mengenai pemecatannya daripada PKR yang dianggap sebagai tidak adil.

Khalid menyifatkan pemecatan itu sebagai melanggar perlembagaan PKR dan tidak adil kerana telah memohon penangguhan sesi penjelasan kepada Lembaga Disiplin tetapi tiada jawapan balas diberikan.

"Saya akan mengadap DYMM Sultan Selangor untuk memaklumkan kepada baginda perkembangan terbaru ini,
seterusnya mendengar pandangan baginda yang boleh dikongsi," kata Khalid dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Abdul Khalid hari ini dipecat serta-merta daripada parti melalui keputusan yang dibuat oleh Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di Petaling Jaya, hari ini kerana kesalahan enggan meletak jawatan sebagai menteri besar seperti yang diarahkan oleh parti.

Juragan Malawati..

Khamis, 7 Ogos 2014

Pas sifatkan Anwar zalim, mengaibkan?


Pas terutama daripada kalangan pemimpin ulama ternyata sudah membulat tekad untuk menghalang permainan politik kotor Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada jawatan Menteri Besar Selangor.

Malah Pas menerusi Ahli Jawatankuasa Pusatnya, Nasruddin Hassan secara terbuka melabelkan tindakan Ketua Pembangkang sebagai satu bentuk kezaliman yang mengaibkan dan seterusnya menegaskan, menjadi kewajipan parti itu untuk membela Abdul Khalid.

Bekas Ketua Pemuda Pas Pusat itu juga tidak berselindung tentang penentangannya apabila tampil menggesa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melancarkan Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak) 2.0 bagi menggagalkan niat serong Anwar.

Kenyataan keras itu adalah yang pertama keluar daripada mulut pemimpin Pas sejak krisis politik di Selangor bermula dan dipercayai ada kaitan dengan serangan terbaharu Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap Abdul Khalid menerusi Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

"Apa skandal dan salah laku beliau yang memaksa Abdul Khalid perlu dipecat dari PKR lalu digugurkan sebagai Menteri Besar Selangor? Apakah perkara ini mahu dilihat hanya perkara dalaman PKR dan rakyat tidak perlu bangkit untuk membela Abdul Khalid?

"Jika Anwar yang disingkir oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dari kerusi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998 menyaksikan kebangkitan Pas yang dipimpin bekas Presiden, Datuk Fadzil Noor melalui Gerak pada waktu itu.

"Saya kira, andai Abdul Khalid disingkir oleh Anwar dari kerusi Menteri Besar, sewajarnya Pas yang dipimpin tuan guru Abdul Hadi bangkit membela Abdul Khalid yang dizalimi dan diaibkan melalui Gerak 2.0," kata Nasruddin menerusi Facebooknya hari ini.

Krisis politik di Selangor yang berpunca daripada Anwar, hanya kerana mahu menjatuhkan Abdul Khalid menyebabkan pentadbiran negeri terkaya di Malaysia itu berada dalam keadaan tidak menentu tetapi semua itu langsung tidak dihiraukan Ketua Pembangkang.

Sebaliknya, apa yang menjadi keutamaan Anwar ialah menabalkan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu walaupun jika keadaan itu menyebabkan rakyat terpaksa berdepan dengan pilihan raya negeri.

Dalam pada itu, Nasruddin mempersoal sikap pemimpin PKR yang menuduh tindakan Dr. Mahathir menyingkir Anwar pada tahun 1998 sebagai suatu kezaliman dan fitnah tetapi mengapa apabila tindakan serupa dibuat ke atas Abdul Khalid, rakyat tidak boleh bangkit menentang.

"Anwar dipecat atas tuduhan skandal liwat. Rakyat bangkit dan membela. Mereka tak anggap itu masalah UMNO dan kini berlaku pergolakan di Selangor yang menyaksikan Abdul Khalid diperlakukan dengan tindakan serupa, apakah rakyat tidak boleh bangkit membela," soalnya.

Juragan Malawati..

PKR sedia hilang Selangor asalkan Abdul Khalid ditumbangkan?


Demi nafsu politik, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengakui parti itu bersedia untuk kehilangan Selangor jika pilihan raya negeri terpaksa dibuat asalkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berjaya ditumbangkan.

Paling tidak masuk akal, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli memberi alasan pihaknya sanggup berdepan risiko tersebut kononnya atas dasar integiriti, sedangkan semua telah maklum bahawa cubaan menjatuhkan Abdul Khalid adalah demi nafsu politik peribadi.

Malah beliau turut mengheret DAP dalam alasan tersebut apabila berkata, sekutu kuat PKR dalam usaha untuk menabalkan isteri Anwar Ibrahim, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, sebagai Menteri Besar Selangor baharu itu berkongsi kesediaan sama.

"Jika kita perlu melakukan pilihan raya negeri untuk menyelesaikan (krisis jawatan menteri besar) dan kita kehilangan negeri dan jika itu berlaku. Saya bersedia, kami bersedia, PKR bersedia. Saya pasti DAP juga bersedia manakala Pas perlu membuat keputusan," katanya.

Juragan Malawati..

Rabu, 6 Ogos 2014

Isu MB Selangor: Pembangkang sedia hadapi pilihan raya - Anwar?


Pakatan pembangkang bersedia untuk menghadapi pilihan raya di Selangor jika ia terpaksa diadakan berhubung kontroversi pelantikan jawatan Menteri Besar baharu, kata Penasihat PKR, Anwar Ibrahim.

"Sekiranya pilihan raya terpaksa dilakukan, Pakatan telah bersedia untuk menghadapi para pengundi dan berkeyakinan penuh bahawa rakyat Selangor akan sekali lagi menyokong kita," katanya.

Bagaimanapun, beliau menambah, tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya negeri kerana Barisan Nasional hanya mempunyai 12 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pilihan Raya Umum ke-13 juga baru sahaja diadakan kira-kira 15 bulan yang lalu.

"Kita yakin bahawa isu Menteri Besar Selangor ini akan diselesaikan dengan baik sesuai dengan semangat Pakatan Rakyat, sama ada diselesaikan melalui proses peralihan yang lancar, undi tidak percaya mahupun pilihan raya," katanya dalam kenyataan di laman web rasmi parti itu www.keadilandaily.com hari ini.

Juragan Malawati..

Jumaat, 1 Ogos 2014

Anwar didakwa mahu halang Khalid tandatangan perjanjian air?


Langkah Kajang yang digunakan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada jawatan Menteri Besar kini mencetuskan persoalan baharu.

Pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin mendesak Abdul Khalid memberi penjelasan sama ada Anwar ingin memberi tekanan terhadapnya berikutan proses pembelian syarikat konsesi air, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (Splash).

Beliau mendakwa, pelaksanaan Langkah Kajang pada asalnya bertujuan untuk menyingkirkan Abdul Khalid selepas Hari Raya Aidilfitri namun perkara itu tidak menjadi kenyataan.

"Mereka ingin berbuat demikian bagi menghalang Abdul Khalid daripada menandatangani perjanjian penstrukturan semula industri air Selangor bersama kerajaan Pusat.

"Nampaknya mereka terlewat kerana Abdul Khalid telah menandatanganinya petang ini. Jadi, penyingkiran Abdul Khalid tidak akan memberi sebarang kesan," katanya menerusi portal berkenaan hari ini.

Pada 26 Julai lalu, Ketua Pemuda Pakatan Anak Selangor Menyokong Menteri Besar (Pasmeb), Norizwan Mohamed meminta Anwar menjawab tuduhan mengatakan beliau telah mengarahkan Abdul Khalid supaya membeli Splash pada harga RM2.5 bilion berbanding tawaran asal sebanyak RM250 juta.

Menurut Norizwan, Anwar perlu memberi penjelasan kerana tindakan tersebut adalah satu cubaan rasuah dan pecah amanah menggunakan duit rakyat dalam jumlah yang sangat besar.

Norizwan berkata, terdapat beberapa dakwaan yang turut mengaitkan keengganan Abdul Khalid memenuhi permintaan itu menyebabkan desakan daripada PKR untuk beliau berundur daripada jawatannya dan digantikan dengan Presiden parti, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail semakin kuat.

Raja Petra memberitahu, tiada apa yang dapat Anwar lakukan tentang perjanjian itu walaupun usaha menjatuhkan Abdul Khalid berhasil.

"Walaupun Dr. Wan Azizah berjaya menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu, beliau mesti mematuhi perjanjian tersebut," jelasnya.

Juragan Malawati..