UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Rabu, 13 Ogos 2014

Tidak mustahil Pas akan buat 'u-turn'?


Suasana politik dalam PR dilihat semakin rumit, dengan pelbagai kejutan dan liku-liku disaksikan sejak kemelut parti pemerintah di Selangor itu mencapai kemuncaknya pada 9 Ogos lalu, apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat daripada PKR.

Kini, kuasa penentu di tangan Pas untuk menyelesaikan konflik terburuk dihadapi PR sejak penubuhan pakatan itu pada 1 April 2008.

Pertemuan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Ketua Umum PKR(KETUM), Anwar Ibrahim kelmarin menimbulkan persoalan besar kepada banyak pihak, terutama berkaitan pendirian Pas terhadap Abdul Khalid.

Terdahulu, pimpinan tertinggi Pas, termasuk Majlis Syura Ulama, membuat keputusan menyokong Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor, bertentangan dengan kemahuan PKR dan DAP untuk memberikan jawatan Abdul Khalid kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Namun, susulan pertemuan Anwar-Abdul Hadi, penganalisis politik, Dr Sivamurugan Pandian berpendapat, tidak mustahil berlaku u-turn dalam keputusan Pas sekiranya Anwar berjaya meyakinkan Abdul Hadi.

“Saya percaya pertemuan itu pasti membincangkan isu di Selangor. Saya juga yakin Pas sudah ada jawapan adakah akan terus menyokong Abdul Khalid atau turut menolak kepimpinan calon Bebas itu seperti mana yang dilakukan oleh rakan sekutu mereka, PKR dan DAP.

“Jika PR menjadi keutamaan (kepada Pas), tidak mustahil Pas buat u-turn,” katanya disini hari ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali kelmarin mengesahkan pertemuan rahsia antara Anwar dan Abdul Hadi berlangsung selama sejam di sebuah hotel di Kuala Ibai, Terengganu, namun enggan mengulas lanjut mengenai butiran perbincangan.

Turut sama dalam pertemuan itu Setiausaha Politik Presiden Pas, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.


Keputusan Pas dinantikan semua pihak

Menurut Sivamurugan, keputusan Pas amat dinantikan semua pihak khususnya rakyat Selangor, kerana mereka ingin tahu adakah kepimpinan Abdul Khalid benar-benar mendapat sokongan majoriti seperti didakwa beliau.

Beliau berkata, kedudukan Abdul Khalid kini boleh dipersoalkan kerana sokongan Pas terhadapnya sebelum ini berdasarkan faktor Abdul Khalid masih ahli PKR.

Katanya, jika Pas bertegas dengan keputusannya untuk menyokong Abdul Khalid, akan berlaku sedikit konflik dengan rakan PR kerana Pas akan dilihat tidak sehaluan dengan keputusan Majlis Pimpinan PR yang lain.

Sementara itu, Abdul Khalid semalam masih meneruskan tugasnya sebagai menteri besar selepas mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan mendakwa masih memperoleh sokongan majoriti Dun.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan