UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Sabtu, 9 Ogos 2014

Keputusan tidak gugat kedudukan Abdul Khalid selaku MB!


Pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan menggugat kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Selangor kerana pemecatan tersebut hanya berlaku dalam parti dan tidak membabitkan jawatan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Malah, Abdul Khalid masih boleh meneruskan tugasnya itu selagi mendapat kepercayaan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurut Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, sekiranya benar PKR mahu melucutkan jawatan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar, parti tersebut perlu menghantar petisyen hilang kepercayaan kepada Sultan Selangor seperti yang berlaku di Perak sebelum ini.

"Abdul Khalid tidak akan hilang jawatan dan tidak hilang status sebagai Menteri Besar Selangor. Saya melihat senario ini sebagai satu cabaran besar kepada pembangkang untuk terus mengekalkan kerusi di Selangor. Malah, kita mengetahui beliau mendapat sokongan daripada Pas.

"Jika adanya petisyen daripada ketiga-ketiga komponen parti pembangkang, maka Abdul Khalid perlu meletak jawatan. Beliau memiliki kuasa menasihati Sultan Selangor untuk membubarkan DUN dan kemudian terpulang kepada Sultan sama ada mendengar nasihat Abdul Khalid atau bertindak sebaliknya," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Abdul Khalid hari ini dipecat sebagai ahli PKR berkuatkuasa serta-merta bagaimanapun beliau masih kekal sebagai Menteri Besar Selangor sehingga diputuskan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tambah Nik Ahmad Kamal, dalam keadaan politik terburuk itu, peranan Sultan amat diperlukan dalam menentukan langkah terbaik sama ada memecat atau mengekalkan jawatan Abdul Khalid.

Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd. Aziz turut berpendapat, pemecatan sebagai Menteri Besar hanya berlaku apabila DUN hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid, bukan melalui kuasa parti.

"Syarat untuk kekal sebagai Menteri Besar ialah mendapat sokongan majoriti ahli Dewan.

"Sekiranya pemecatan (oleh parti) dianggap sebagai indikasi hilangnya kepercayaan ahli Dewan kepada Abdul Khalid, ini mungkin tidak tepat disebabkan keadaan ini luar biasa dan kita tidak mempunyai contoh kes atau keputusan mahkamah, maka ia masih lagi tafsiran undang-undang," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Malaysia Kelantan, Prof. Dr. Roselina Ahmad Saufi berkata, tindakan pemecatan Abdul Khalid sebagai ahli dalam parti selepas beliau enggan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar disifatkan sebagai keterlaluan dan melanggar Perlembagaan negara.

Jelas beliau, PKR perlu melalui satu proses perbincangan bersama Pas dan DAP sebelum mengambil keputusan pemecatan tersebut.

Malah katanya, pemecatan Abdul Khalid, bukan hak individu sebaliknya milik parti kerana Menteri Besar itu dilantik oleh ahli parti.

"Lebih baik PKR kembali kepada Perlembagaan dan membuat satu mesyuarat agung tahunan (AGM) khas untuk membincangkan isu Abdul Khalid. Saya melihat PKR berat sebelah apabila memecat beliau sebagai ahli dalam parti kerana keengganannya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

"Perkara itu (pemecatan) tidak adil kepada Abdul Khalid. Ya, PKR amat berat sebelah kerana memecat seseorang tanpa alasan yang kukuh semata-mata kerana 'seseorang' dalam parti itu yang gila kuasa," katanya.

Tambahnya, Abdul Khalid seharusnya diberi peluang untuk membela diri serta membuktikan enam pertuduhan iaitu satu berkaitan dengan kenyataan media dan lima pula berkaitan dengan polisi kerajaan negeri adalah tidak benar.

"Sudah tiba masa campur tangan Sultan dalam pentadbiran negeri. Selangor akan kucar-kacir akibat kesombongan beberapa pemimpin dan malangnya rakyat menjadi mangsa politik di sana," ujarnya.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan