UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Ahad, 28 Februari 2010

Mengapa Pemimpin Islam Sanggup Jadi ' Balaci' !

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menyifatkan pemimpin Islam yang bersetuju dengan cubaan pihak tertentu membatalkan sambutan Maulidur Rasul sebagai "bajingan" serta "balaci" yang rela dicucuk hidung seperti lembu.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan pihak mana yang cuba membatalkan sambutan itu dan mereka yang dimaksudkannya sebagai bajingan tersebut. Katanya, pemimpin Islam seperti itu umpama lalang yang akan mengikut segala rentak yang dimainkan oleh pihak yang cuba membatalkan sambutan yang menjadi syiar bagi umat Islam di negara ini.

"Dan yang paling malang, ada di kalangan kita yang bersedia menjadi bajingan dan balaci mereka, menjadi seperti lembu yang dicucuk hidung. "Bila kafir ini meniup ke kiri, maka terkinja-kinjalah kita berjoget ke kiri. Bila mereka menghembus ke kanan, maka terkial-kiallah kita berzapin ke kanan," katanya sewaktu membacakan khutbah sembahyang Jumaat, semalam.

Entri bertajuk "Khutbah Maulidur Rasul" itu turut dimasukkan dalam blognya, http://zul4kulim.blogspot.com.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan pendedahan Setiausaha Sekretariat Perhimpunan Melayu Pulau Pinang, Mohd. Nor Suhaili Jamali mengenai pembatalan perarakan sempena Maulidur Rasul oleh kerajaan Pulau Pinang. Bagaimanapun, selepas dikritik hebat dan bimbang kehilangan sokongan orang Melayu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng membuat keputusan untuk mengadakan perarakan tersebut mengikut program asal sebelum ia dibatalkan.

Malah, Guan Eng menafikan perarakan itu dibatalkan dan menuduh Utusan Malaysia berbohong dan membuat fitnah untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri. Tambah Zulkifli, penghinaan itu berlaku kerana penyakit 'wahan' (cintakan dunia dan takutkan mati) apabila pemimpin Islam terbabit terlalu sayangkan kedudukan, jawatan dan habuan.

"Kita mengenepikan semua prinsip dan matlamat perjuangan demi mengejar impian keduniaan dan kerusi empuk kekuasaan. "Hingga kita sampai mempertuhankan politik dan demokrasi. Kita takut kedudukan, jawatan dan habuan kita itu mati dan hilang. "Maka hari ini kita menjadi umat yang hina di mana-mana sahaja kita berada. Yang tinggal hanya sejemput janggut dan senipis serban, kita hanya muncul Islam pada nama, tetapi tong kosong di dalam," katanya.

Jelas Zulkifli, kesatuan umat Islam bukannya bersandarkan kepada nasionalisme; assabiyah puak, kumpulan atau pertubuhan tetapi kekuatannya berpunca daripada pegangan kukuh kepada al-Quran.

JM...

Rabu, 24 Februari 2010

Menjuarai isu rakyat!

KESUNGGUHAN Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Tun Razak mendekati rakyat pelbagai kaum terutama rakyat biasa semakin hari semakin menyerlah. Tanpa mengenal erti penat dan lelah terutama dalam keadaan cuaca yang panas terik sekarang, Najib tetap bersemangat turun padang menemui dan beramah mesra dengan rakyat di seluruh pelosok tanah air.

Tidak kira rakyat yang hanya bekerja sebagai kelindan lori, penjaja, peniaga pasar malam, nelayan dan orang kampung, kesemuanya menerima sapaan mesra Najib dalam lawatan rasmi dan tidak rasmi yang telah diadakan di sekitar Kuala Lumpur, Kedah, Melaka, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Itulah rutin tugas Najib yang benar-benar ikhlas mahu membantu rakyat dengan mendengar dan melihat sendiri permasalahan mereka sejak hari pertama bertugas sebagai PM keenam pada 3 April 2009.

Tidak kira umur, keturunan, warna kulit dan agama, kesemua rakyat di kawasan yang dilawatinya bersyukur kerana pasti ada 'habuan' yang bakal diraih mereka. Terbaru, penduduk Sarawak tentu gembira apabila Najib mengumumkan peruntukan sebanyak RM3.4 bilion untuk melaksanakan projek infrastruktur di beberapa kawasan pedalaman Sarawak.

Selepas melihat sendiri apa masalah utama penduduk Sarawak, Najib meluluskan peruntukan itu untuk kebajikan rakyat Bumi Kenyalang terutama di pedalaman. Ia membuktikan bahawa Najib tidak sekadar cakap kosong, sebaliknya menunaikan setiap janji yang diucapkan.
"Najib bukan cakap kosong tetapi dia melaksanakan dan mengotakan apa yang telah dijanjikan kepada rakyat. Inilah yang rakyat mahu,"kata Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya, Khairul Anwar Rahmat kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi.

Menurutnya, sambutan hangat rakyat pada setiap kali Perdana Menteri melakukan lawatan menunjukkan rakyat menerima keikhlasan Najib dalam mendekati mereka. Katanya, ia bukan sekadar slogan yang kerap dicanang di sana dan sini, sebaliknya setiap apa yang telah dijanji dan dikatakan, akan ditunaikan seberapa segera.

Sebelum ini, kita diuar-uarkan dengan slogan Mesra Rakyat, namun ia sekadar tinggal slogan sahaja kerana tidak banyak dilakukan untuk mencapai misi tersebut. Menurutnya, jika sebelum ini kebanyakan pemimpin lebih selesa berada di pejabat berhawa dingin dan sekadar mengarahkan pegawai untuk bertemu rakyat bagi mendapatkan maklumat tentang apa yang diperlukan, maka langkah Najib mendekati rakyat itu harus dicontohi dan dijadikan amalan.

"Terdapat pegawai yang beri laporan tidak tepat dan menunjukkan semuanya okey sehinggalah berlakunya tsunami politik. "Apabila ini berlaku, barulah dapat tahu bahawa rakyat tak puas hati terhadap banyak perkara. Jadi, langkah Najib sekarang memang tepat di kala BN sedang bertungkus lumus memenangi semula hati rakyat," tambahnya.

Sebagai generasi muda berusia 30-an, Khairul mendapati Najib ialah seorang pemimpin yang ikhlas mendekati rakyat. Menurutnya, keikhlasan itu dibuktikan menerusi kesungguhan Najib mengembara di seluruh negara untuk bertemu rakyat termasuk di sekitar kawasan Kuala Lumpur pada April tahun lalu.

"Bayangkan Najib sarapan di Chow Kit, kemudian tengah hari berada di Kedah dan pada malamnya pula, Najib sudah menjejak kaki ke Sarawak. "Bukan calang-calang orang boleh buat kesemua itu dalam masa 24 jam. Tetapi Najib boleh. Kualiti dan kemampuan itulah yang rakyat mahu ada pada setiap pemimpin di peringkat bahagian, cawangan dan Parlimen," ujarnya.

Selain itu, katanya, program Juara Rakyat itu merupakan satu isyarat daripada PM terhadap semua parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) supaya mereka juga turun ke bawah mendekati rakyat. "Kalau semua wakil rakyat buat macam itu, nescaya tidak akan ada masalah untuk rakyat kembali ke pangkuan BN," katanya.

Mengulas lanjut, Khairul berkata, Juara Rakyat tidak retorik dan menjuarai isu rakyat bukan sekadar kesungguhan melakukannya, sebaliknya benar-benar ikhlas dalam memenangi hati rakyat. Setakat hari ini, pengisian program Juara Rakyat yang dilancarkan pada 9 Januari lalu terbukti tidak terhad kepada usaha membantu orang Melayu sahaja, malah semua kaum turut mendapat manfaat.

Walaupun Juara Rakyat lahir daripada inisiatif UMNO, namun ia kini dirangka dengan semangat memperjuangkan nasib kaum-kaum lain selaras dengan gagasan 1Malaysia. Justeru, setiap parti komponen BN perlulah mendokong tema yang sama dalam program anjuran mereka.

Pegawai Eksekutif Yayasan Pemulihan Sosial, G. Vimalah Nair berkata, beliau masih teringat ucapan Najib di Batu Caves, Selangor sempena sambutan perayaan Thaipusam yang lalu.
Di celah-celah ribuan orang ramai, Vimalah perasan wajah-wajah yang dilihatnya pada sambutan itu menunjukkan riak kagum terhadap intipati ucapan Najib yang banyak menyentuh tentang penyatuan.

"Nada suara Najib datang daripada hatinya yang ikhlas untuk melihat rakyat Malaysia bersatu. Ia tidak hanya diucapkan di mulut, tetapi dibuktikan melalui program Juara Rakyat," katanya.
Selain itu, Najib juga membuktikan bahawa beliau seorang yang berjiwa rakyat kerana sering mengungkapkan perkataan toleransi dalam percakapannya.

Menurutnya, dalam sebuah negara berbilang kaum, itulah yang perlu diberi perhatian oleh setiap pemimpin dan Najib sentiasa menekankan betapa sikap toleransi penting dalam memastikan misi dan visi yang disasarkan oleh negara dalam menuju negara maju dan harmoni dapat dicapai.

JM...

Ahad, 21 Februari 2010

Surat Ibrahim kepada YB Australia!

SAYA terperanjat dengan surat yang ditandatangani oleh Yang Berhormat serta 49 ahli Parlimen Australia mengenai kes sodomi Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saya tidak nampak tentang relevannya surat yang dihantar kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra menuntut agar kes itu ditarik balik dan digugurkan.
Saya menganggap surat Yang Berhormat itu sebagai ‘tidak wajar dan tidak perlu’ yang mencerminkan kelakuan tidak bertamadun dan jahil bagi pihak Yang Berhormat tentang perundangan dan senario politik Malaysia.

Jika saya dibenarkan membuat interpretasi selanjutnya berkenaan surat itu, saya beranggapan surat yang berhormat yang ditandatangani oleh 49 lagi ahli Parlimen Australia itu, secara sedar atau tidak, sebagai satu cubaan untuk mencampuri proses perundangan Malaysia. Ia boleh dianggap sebagai satu perbuatan sombong yang bertentangan dengan etika tidak mencampuri maruah negara lain.

Bagaimanapun, saya tidak menuduh Yang Berhormat serta rakan-rakan kerana telah diselewengkan dan tidak tahu perkara sebenar latar belakang kes itu serta orang yang terlibat.
Tuduhan Yang Berhormat tentang adanya konspirasi bagi pihak kerajaan kerana Anwar yang mengetuai pembangkang membuat kejutan dalam pilihan raya Mac 2008 adalah tidak benar.

Kes ini adalah kes peribadi antara orang yang menuduh bernama Mohd. Saiful Bukhari Azlan dengan orang kena tuduh, Anwar yang kebetulan adalah ketua pembangkang. Mohd. Saiful telah membuat laporan polis dan pihak polis pula telah membuat siasatan secara terperinci dan profesional yang berakhir dengan Anwar dibawa ke mahkamah.
Untuk pengetahuan Yang Berhormat serta rakan-rakan, bila kes ini disebut kali pertama tahun lepas, Anwar telah menggunakan segala peluang dalam proses perundangan dan telah pun menghabiskan segala peluang yang ada bagi menggugurkan kes ini tetapi mahkamah tetap dengan keputusan untuk kes ini dibicarakan.

Bagi undang-undang di Malaysia, kes ini adalah kes kriminal dan tiada elemen konspirasi seperti tuduhan Yang Berhormat. Jadi tindakan yang berhormat mencuba mencampuri kes ini adalah tidak wajar. Saya juga berpendapat Yang Berhormat tidak akan hendak atau suka jika ahli Parlimen Malaysia membuat petisyen agar kes-kes kriminal yang melibatkan ahli Parlimen pembangkang di Australia digugurkan dengan tuduhan ia adalah konspirasi kerajaan Australia bagi melemahkan pembangkang di negara itu.

Saya berpendapat eloklah sekiranya Yang Berhormat serta rakan-rakan membela nasib pribumi Australia yang setahu saya sedang ditindas. Dalam pada itu, saya juga ingin mengingatkan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton dan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan juga tidak mencampuri maruah Malaysia.

Tentu sekali ada banyak lagi hal-hal dalam dunia yang luas ini bagi mereka untuk menyelesaikan selain dari menekan Malaysia untuk menggugurkan kes Anwar, melainkan mereka ada agenda tersembunyi yang saya tidak tahu. Seperti juga negara Yang Berhormat, di Malaysia tiada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang dan ketua pembangkang pun tidak terkecuali.

Dengan itu, saya menawarkan diri saya untuk bertemu dengan Yang Berhormat serta rakan-rakan di mana sahaja serta bila-bila masa sahaja bagi menerangkan episod ini secara terperinci.
Kesediaan saya bertemu secara bersemuka dengan Yang Berhormat serta ahli Parlimen Australia adalah dengan tujuan menerangkan segala keraguan serta menguatkan lagi hubungan baik yang telah dijalinkan selama ini.

Saya berpendapat dan berharap pertemuan ini akan meningkatkan pengetahuan Yang Berhormat serta ahli Parlimen lain tentang senario politik Malaysia. Dengan cara ini, Yang Berhormat dan rakan-rakan tidak akan diselewengkan dan tidak lagi akan membuat andaian pada masa hadapan.

Saya berharap Yang Berhormat akan menerima tawaran saya dengan minda terbuka tanpa prejudis, secara matang dan bijaksana, akhlak yang sepatutnya dimiliki oleh ahli politik dalam negara-negara Komanwel. Saya berharap mendapat jawapan dari Yang Berhormat dengan segera.
JM...


Sabtu, 20 Februari 2010

Hadi bukan Kit Siang!

Gelombang bantahan rakyat Malaysia terhadap campur tangan 50 Ahli Parlimen Australia berhubung perbicaraan kes Anwar Ibrahim, semakin ketara.

Mesejnya Malaysia adalah negara berdaulat. Bagi sesebuah negara, kedaulatan adalah segala-galanya. Maka desakan pihak asing mahukan pertuduhan liwat terhadap Anwar digugurkan, adalah keterlaluan. Anwar dan peneraju DAP, Lim Kit Siang tidak sewajarnya membuka laluan kepada pihak luar.

Di sebalik gerakan Anwar dan Kit Siang, perkembangan terkini tidak memihak kepada mereka. Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak dengan tegas menolak desakan agar usul pengguguran kes liwat Anwar dibawa ke Parlimen kerana ia tiada kaitan dengan kerajaan dan kepentingan negara.

Timbalannya, Muhyiddin Yassin pula menegaskan, kerajaan tidak akan tunduk kepada tekanan asing. Lebih menarik perhatian apabila Presiden Pas, Hadi Awang turut menyatakan pendirian tegas membantah campur tangan luar. Walaupun berbeza aliran politik, Hadi menampakkan kematangan dan ternyata beliau mengutamakan kedaulatan negara. Mesej yang boleh dibaca ialah Hadi bukan jenis pemimpin seperti Anwar mahupun Kit Siang.

Tindakan 50 ahli Parlimen itu turut mengundang kritikan negarawan, Dr. Mahathir Mohamad yang tidak mahu Australia menjadi 'Timbalan Sherif Asia Timur'. Mungkin kita boleh bertanya kepada Kit Siang, apa istimewanya kes Anwar? Jika beliau mahu kes Anwar digugurkan maka pertuduhan kes melibatkan puluhan ribu yang lain, wajar digugurkan juga.

Apa yang berlaku ini memperlihatkan Anwar terdesak setelah rakyat tidak lagi mahu terheret dengan kes moralnya. Lalu bantuan asing diperlukan. Kit Siang pula terdesak kerana Anwar amat berguna kepada agenda politik DAP, yang aspirasinya dikongsi bersama. Kedua-duanya saling memerlukan.

Kit Siang sepatutnya belajar sejarah tamadun China yang pantang mengundang campur tangan asing. Sesiapa yang berbuat demikian, mendapat penghinaan dahsyat. Persoalannya, apa lagi campur tangan asing yang Anwar dan Kit Siang inginkan pada masa depan?

JM...

Isnin, 15 Februari 2010

Pakatan Haram Selangor : Sikap macam kebudak-budakan!

Kain rentang besar sambutan Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kampung Baru Pandamaran, Klang pada 20 Februari sebelum diturunkan.

UMNO Selangor kesal dengan tindakan kerajaan ne geri menurunkan kain rentang sambutan Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kampung Baru Pandamaran di sini pada 20 Februari ini.

Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, tindakan Majlis Perbandaran Klang (MPK) atas arahan Exco kerajaan negeri, Ronnie Liu itu disifatkan sebagai tidak bertang gungjawab dan satu cubaan untuk merosakkan semangat perayaan tersebut di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Menurutnya, tindakan menurunkan kain rentang yang dipasang pada 11 Februari lalu itu adalah tidak wajar. ‘‘Ini memandangkan pemasangan nya bukan bermotifkan politik malah tiada langsung imej parti politik dipaparkan kecuali gambar Perdana Menteri yang akan merasmikan majlis tersebut,’’ katanya kepada pemberita.
Abdul Shukor berkata, penganjuran majlis peringkat kebangsaan itu merupakan julung-julung kali diadakan di Pandamaran dan ia satu kebanggaan bagi penduduk di kawasan berkenaan yang majoritinya kaum Tionghua.

“Apa alasan kerajaan negeri termasuk Ronnie untuk menurunkan kain rentang berkenaan, sedangkan ia tidak melibatkan program politik selain mematuhi syarat yang ditetapkan. Ia hanya program rakyat sempena Tahun Baru Cina yang dihadiri oleh Perdana Menteri yang memimpin seluruh rakyat di negara ini.

“Tindakan seumpama ini jelas menunjukkan kerajaan negeri tidak mempunyai semangat perayaan antara kaum di negara ini. Mereka lebih mengutamakan sentimen politik daripada rakyat,” katanya .

Sementara itu, Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Klang, Datuk Teh Kim Poo berkata, tindakan kerajaan negeri itu mengecewakan penduduk Pandamaran yang mahukan orang ramai hadir dalam sambutan Tahun Baru Cina di kawasan mereka.

Beliau yang juga Ketua MCA Ba hagian Klang berkata, pihaknya menggantungkan kain rentang berkenaan di laluan Simpang Lima, Klang sebagai makluman kepada warga Klang serta Selangor mengenai sambutan itu sebelum ia diturunkan oleh MPK pada hari Sabtu lalu ki ra-kira pukul 2 pagi. Malah beliau turut difahamkan, sebelum tindakan tersebut, terdapat beberapa wakil pakatan pembang kang telah meninjau kain rentang itu pada Jumaat lalu.

“Kenapa kerajaan negeri mengamalkan sikap tidak bermoral itu sedangkan sambutan ini bukan atas dasar politik mana-mana pihak. Ia terbuka kepada semua rakyat sama ada orang Cina, Melayu dan India.

“Bagi rakyat Pandamaran, ia satu penghormatan kepada mereka. Bagi saya, tindakan ini satu pencabulan serta ‘berniat jahat’ terhadap rakyat di kawasan Pandamaran,” ujarnya.
Sementara itu, usaha wartawan Utusan Malaysia bagi mendapatkan penjelasan Ronnie gagal, apabila beliau tidak menjawab panggilan yang dibuat.
Manakala itu GPSS selar tindakan Kerajaan Selangor
Gabungan Pertubuhan Sukarela Selangor (GPSS) menyelar tindakan kerajaan negeri yang mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Klang menurunkan kain rentang sempena sambutan Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Kampung Baru Pandamaran, Klang, 20 Februari ini.

Pengerusinya, Datuk Mat Yasir Ikhsan berkata, tindakan tersebut adalah tidak wajar kerana sambutan yang bakal diadakan itu sebenarnya akan memberi manfaat jangka panjang terhadap semangat perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Katanya, perayaan Tahun Baru Cina tidak bermakna perayaan itu hanya untuk kaum Tionghua tetapi ia juga terbuka kepada semua kaum sama ada Melayu dan India untuk bersama-sama meraikan sambutan tersebut.

“Saya fikir, tindakan menurunkan kain rentang ini adalah satu bentuk pemikiran yang sempit dan sepatutnya tidak perlu diamalkan oleh kerajaan negeri. “Kerajaan negeri seharusnya mengambil kira kepentingan rakyat dari semua kaum khususnya masyarakat Cina dengan bersama-sama menyertai sambutan itu bukannya menghalang dengan menurunkan kain rentang yang khusus dibuat untuk mengajak semua masyarakat menghadiri sambutan itu.

“Malah, penganjuran sambutan Tahun Baru Cinaperingkat kebangsaan itu juga tidak harus dipolitikkan oleh kerajaan negeri pakatan pembangkang hanya kerana kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kerajaan negeri mengarahkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) menurunkan kain rentang sambutan Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan di Kampung Baru Pandamaran, Klang yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini.
Tindakan MPK itu dibuat pada kira-kira pukul 2 pagi pada 13 Februari lalu. Sambutan itu juga secara kebetulan diadakan serentak dengan majlis rumah terbuka anjuran kerajaan negeri di Jenjarom, Banting, pada tarikh serta waktu yang sama.

Malah, Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Klang, Datuk Teh Kim Poo ketika ditemui hari ini menyatakan pihaknya difahamkan terdapat beberapa wakil pakatan pembangkang telah meninjau ke kawasan kain rentang berkenaan termasuklah Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago serta Yang Dipertua Pas Klang, Ismail Arsat yang menunjukkan isyarat ‘tidak bagus’.

Dalam pada itu, Mat Yasir turut memberitahu, beliau amat kesal sekiranya sambutan yang akan diadakan di Pandamaran itu cuba dipolitikkan oleh kerajaan negeri yang jelasnya hanya mendatangkan implikasi negatif kepada seluruh masyarakat berbilang kaum di Selangor.
Katanya, perayaan Tahun Baru Cina yang disambut oleh di negara ini adalah sama seperti sambutan Aidilfitri dan Deepavali kerana semua kaum bersama-sama meraikan perayaan-perayaan tersebut.

“Kenapa kerajaan negeri mahu menyukarkan semangat perpaduan ini. Saya yakin semua orang khususnya masyarakat Cina di Pandamaran tidak akan menerima tindakan kerajaan negeri turunkan kain rentang untuk sambutan itu di kawasan mereka,” ujarnya.
JM...

Jumaat, 12 Februari 2010

5,000 pelajar miskin, anak yatim ke UiTM!

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Datin Seri Rosmah Mansor disambut oleh para pelajar dan warga uitm pada majlis perasmian Kampus UiTM Puncak Alam Fasa 1, Shah Alam, semalam. Turut mengiringi, Datuk Seri Khaled Nordin dan Datuk Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyediakan 5,000 tempat untuk pelajar miskin dan anak yatim melanjutkan pengajian di universiti itu setiap tahun. Beliau berkata, ia bagi memberi peluang kepada golongan itu mendapat pendidikan di peringkat tertinggi di negara ini.

‘‘Jika ini dapat dilakukan, 20,000 pelajar miskin terdiri daripada anak pekebun, anak yatim, nelayan dan anak kakitangan pembantu am rendah akan berpeluang belajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kampus UiTM Puncak Alam Fasa Satu di sini yang dihadiri lebih 1,000 penuntut UiTM dari beberapa kampus cawangannya petang ini.Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.Kampus UiTM Puncak Alam merupakan kampus tambahan untuk menampung lebih 20,000 pelajar dari kampus induk Shah Alam.

Fasa satu UiTM Kampus Puncak Alam menempatkan Fakulti Farmasi, Fakulti Pengurusan dan Teknologi Pejabat serta Fakulti Sains Kesihatan di atas tapak seluas 138.3 hektar daripada tapak keseluruhannya seluas 434.3 hektar.

Kini kampus Puncak Alam telah diisi seramai 4,200 pelajar dan 520 kakitangan akademik dan pentadbiran. Pihak UiTM memohon agar kerajaan memberi peruntukan untuk membina sebuah hospital di atas tanah kosong seluas 40 hektar di kampus itu bagi membolehkan 2,000 doktor Melayu dilahirkan dalam tempoh lima tahun.

Perdana Menteri ketika mengulas permohonan itu menyatakan kesediaan menimbang dan menyemak permintaan itu dengan Kementerian Kewangan. ‘‘Saya kena semak ada duit atau tidak sebab perbelanjaan membina hospital ini memang besar. ‘‘Saya akan semak dan pertimbangkan sebaik-baiknya perkara ini,” kata beliau.

Komen :

Rasa berbangga kerana kerajaan prihatin dan berusaha memajukan pelajaran anak-anak Melayu termasuk pelajar miskin dan juga anak yatim. Semuga anak-anak Melayu yang sudah berjaya nanti tidak akan jadi seperti kacang lupakan kulit dan contoh terbaik adalah MB Selangor sekarang yang cuba menghalang satu lagi cawangan UiTM di tubuhkan Serendah dengan bertindak merampas tanah YBK ( Yayasan Basmi Kemiskinan Selangor ) iaitu tapak yang sepatutnya UiTM didirikan. Mungkin MB Khalid marahkan nyamuk, tetapi habis kelambu dibakar? Wallahuallam.

JM...

Selasa, 9 Februari 2010

Menilai Cuaca Politik Ciptaan Pas!

''SAYA tak tau nak kata apa sebab pendirian dia, bertukar macam cuaca, ada masa dia setuju, ada masa tak setuju. Saya nak tunggu pendirian yang tegas oleh Pas, jadi bila dia bersikap dolak-dalik ni susah nak cerita.''

Itulah jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mencadangkan Pas dan UMNO duduk semeja berbincang dan menamatkan perseteruan lebih 50 tahun antara kedua-dua parti dokongan orang Melayu itu.

Sememangnya, kalaulah kenyataan Nik Abdul Aziz seperti cuaca maka akan huru-hara penduduk di kawasan yang terlibat, masakan tidak, kalau hari ini panas, esok hujan dan lusa pula mendung.

Tetapi kenyataan politik tidak boleh dilayan seperti cuaca, ia sebaliknya perlu konsisten dan padu. Kalau hari ini kata mahu, esok kata tidak, lusa kata nak fikir dulu, maka tiada siapa pun boleh disalahkan kalau orang sifatkan Nik Abdul Aziz tiada pendirian.

Oleh itu, kenyataan terbaru Nik Abdul Aziz berhubung rundingan dengan UMNO boleh ditafsirkan satu kenyataan politik atau tidak keterlaluan kalau disifatkan sebagai usaha mengalih perhatian berikutan pelbagai kemelut yang melanda pembangkang sekarang.

Mungkin atas nama perpaduan Islam dan orang Melayu, pemimpin UMNO termasuk Najib sentiasa bersikap terbuka untuk berunding dengan Pas. Tetapi dalam masa yang sama, apa yang harus difikirkan, apakah kali ini Pas benar-benar serius?

Kita tidak harus melupakan pada Oktober tahun lalu, Pas dilanda konflik hanya semata-mata apabila ada beberapa pemimpin itu mencadangkan rundingan dengan UMNO. Cubalah ingat apa yang dilakukan oleh Nik Abdul Aziz, pada 24 Oktober Mursyidul Am Pas itu berkata, beliau tetap dengan keputusannya meminta pimpinan parti itu mengadakan muktamar agung khas bagi menentukan kedudukan beberapa pemimpin yang menimbulkan masalah dalaman kepada parti berhubung isu kerajaan perpaduan.

Akibatnya beberapa pemimpin utama Pas dipandang serong oleh ahli sendiri dan dianggap mempunyai agenda politik peribadi, biarpun mereka ikhlas menyuarakannya demi kepentingan umat Islam. Tindakan Nik Abdul Aziz tersebut hanyalah secebis daripada beberapa kenyataan Nik Abdul Aziz sebelum itu yang menentang sebarang usaha untuk mengadakan rundingan dengan UMNO.

Tambahan pula Menteri Besar Kelantan itu sentiasa menganggap Pas jauh lebih baik daripada UMNO. Sehinggakan kalau hendak bermesyuarat dengan DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR), boleh tetapi kalau dengan UMNO tidak boleh.

Oleh itu kenapa baru sekarang Nik Abdul Aziz hendak bercakap soal rundingan dengan UMNO dan kenapa pula mahu menyeret sama DAP dan PKR dalam rundingan tersebut? Begitu juga apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menegaskan parti itu sedia bekerjasama dan berbincang dengan UMNO dalam setiap perkara.

Tetapi kita harus faham dalam beberapa isu politik yang tercetus sebelum ini terutamanya melibatkan kerjasama dengan UMNO, Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi seolah-olah tidak mempunyai kata putus. Apabila perkara itu dibawa dalam perbincangan, mesyuarat atau muktamar, seolah-olah ada arus yang begitu kuat menghalang sebarang usaha untuk berunding dengan UMNO.

Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi boleh berkata dan mencadangkan apa sahaja tetapi akhirnya keputusan akan dibuat oleh parti. Kaji sahaja isu penggunaan kalimah Allah, pada mulanya, kedua-dua pemimpin itu dengan tegas mengatakan ia tidak boleh digunakan oleh bukan Islam tetapi apabila mesyuarat diadakan, keputusan dan pendirian mereka berubah!

Dalam soal ini, Pas berbeza dengan UMNO, jika di dalam UMNO apabila pemimpin sudah sepakat maka ahli akan mengikut sahaja tetapi dalam Pas, sentimen politik mengatasi segala-galanya. UMNO dilihat seolah-olah 'musuh kamu yang paling nyata' sehingga kalau ada pemimpin Pas yang mencadangkan berbaik-baik dengan UMNO, mereka akan dianggap sebagai 'boneka UMNO'.

Ketika diminta mengulas perkara ini, salah seorang pemimpin Pas yang suatu ketika dahulu amat bersetuju jika kedua-dua parti berunding berkata, beliau tidak menaruh apa-apa harapan.
''Anggaplah sahaja buat masa ini, ia hanyalah satu kenyataan politik sehinggalah parti membuat keputusan,'' katanya ketika dihubungi.

Pemimpin tersebut tentu lebih memahami sentimen di dalam partinya, apatah lagi kalaulah Pas terutamanya Nik Abdul Aziz hendak berunding, hentikanlah semua tohmahan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO. Mana mungkin, kedua-dua belah pihak berunding kalau dalam masa yang sama, satu pihak mengecam pihak yang lain. Adalah lebih baik, kalau Pas benar-benar ikhlas dan tegas kali ini untuk berunding maka mereka juga perlu menunjukkan sikap persahabatan dengan UMNO.

Mereka perlu memberi penjelasan terlebih dahulu kepada ahli-ahli kenapa rundingan itu hendak dijalankan. UMNO sudah pasti tidak mahu pisang berbuah dua kali, apabila setelah menyatakan kesediaan berunding, Pas pula bercakaran sesama sendiri yang akhirnya rundingan itu entah ke mana.

Lebih buruk lagi, demi untuk menjaga hubungan politiknya dengan anggota pembangkang yang lain, maka kesudahannya UMNO pula dipersalahkan dan kononnya berada dalam keadaan lemah sehingga mahu berunding dengan Pas. Bukankah ini yang berlaku dahulu apabila Abdul Hadi mencadangkan kerajaan perpaduan dahulu? Oleh itu adalah lebih baik jika semua pemimpin UMNO mencontohi sikap Najib yang tidak tergopoh-gapah untuk menyatakan persetujuan kecuali melihat Pas benar-benar tegas dalam soal tersebut.

Sama ada hendak diakui atau tidak, UMNO ingin berunding dengan Pas adalah demi kebaikan umat Islam dan orang Melayu, tidak lebih daripada itu. UMNO tidak memerlukan suntikan kekuatan daripada Pas bagi memperolehi kejayaan di dalam pilihan raya. Rakyat lebih tahu menilai siapa yang paling layak antara kedua-dua parti itu dalam memperjuangkan nasib orang Melayu dan umat Islam.

Oleh itu rundingan dengan Pas adalah atas dasar keikhlasan UMNO untuk melihat dua parti terbesar orang Melayu sekurang-kurangnya sekata dalam isu berkaitan kaum tersebut dan agama Islam. Berdasarkan kepada keadaan itu, adalah wajar jika kenyataan Nik Abdul Aziz dianggap 'cuaca yang tidak menentu ciptaan Pas', mungkin paling sesuai disifatkan 'hujan panas' yang menimbulkan keresahan kerana tidak pasti apakah selepas itu akan panas atau hujan.

Apa pun, kali ini seperti juga isu kerajaan perpaduan, ia terserah kepada Pas untuk menentukan langkah seterusnya. UMNO tidak perlu berbuat apa-apa kerana sejarah sudah membuktikan bahawa di dalam Pas terlalu banyak 'otak' yang akhirnya mewujudkan cuaca politik ciptaan Pas dan bak kata Perdana Menteri, ''Saya tak tau nak kata apa''.
Wallahuallam...

JM...

Sabtu, 6 Februari 2010

Anwar : Kenapa Nak Mengelabah!

Apabila 'laporan kurang tepat' disiarkan oleh Utusan Malaysia, pasukan pembelaan Anwar Ibrahim pantas mahu tindakan diambil kerana didakwa hina mahkamah.
Utusan Malaysia dituduh melakukan kesilapan, tetapi wajarkah salah lapor itu dianggap hina mahkamah.

Alangkah baiknya pasukan pembelaan Anwar tidak mengalihkan tumpuan daripada perbicaraan. Cukup-cukuplah cubaan untuk melengah-lengahkan perbicaraan sebelum ini.

Tidak perlu libatkan perkara kecil dan remeh-temeh dalam kes liwat itu. Jika semua perkara kecil mahu mahkamah mencampurinya, bila hendak selesai kes ini.

Sedarlah, selama ini tidak ada mana-mana pihak pun menggesa diambil tindakan mahkamah terhadap para penyokong Anwar yang tidak henti-henti mempertikaikan kes liwat pemimpin mereka di luar mahkamah?

Banyak masa dan tenaga dihabiskan dalam usaha mencari keadilan dalam kes liwat kedua melibatkan Penasihat PKR itu. Majoriti rakyat tahu kes itu sudah tertangguh lebih setahun. Hanya pada 3 Februari lalu baharu dapat dijalankan perbicaraannya.

Tetapi baharu tiga hari perbicaraan berlangsung, para penyokong Anwar giat semula menanamkan persepsi bahawa segalanya konspirasi, fitnah dan bohong. Ia didakwa semata-mata taktik jahat untuk menjatuhkan idola mereka.

Maknanya mereka percaya Anwar tidak bersalah dan keadilan patut memihak kepada Ketua Pembangkang itu sahaja. Sebaliknya, mereka bukan sahaja memaki hamun Mohd. Saiful Bukhari Azlan, bahkan menafikan hak 'mangsa liwat' itu mendapatkan keadilan.

Tetapi sejak Ogos 2008, Anwar sudah kerap mengadakan siri ceramah jelajah seluruh negara supaya 'mahkamah rakyat' bersimpati dengan nasibnya. Perkara yang sama dilakukannya kali ini.
Sebab itu, bila kes liwatnya timbul, semua pihak diserang. Slogan 'reformasi' dipekik semula. Kita maklum apa tujuannya. Tapi tidak mendapat respon daripada orang ramai. Nurul Izzah Anwar dalam kenyataan terbukanya berhubung perbicaraan bapanya mendakwa Peguam Negara, pimpinan tertinggi UMNO dan Ketua Polis Negara terbabit dalam kes liwat kedua ini sebagai mana perencanaan konspirasi 1998.

Benarkah perbicaraan kali ini merupakan satu percubaan jahat yang bukan sahaja berniat untuk menghina dan menghancurkan karier politik bapanya, tetapi juga keutuhan keluarganya?
Kenyataan sebenar ialah tidak ada konspirasi atau penglibatan orang ketiga. Isu utama yang dibicarakan di mahkamah ialah sama ada kes liwat itu berlaku atau tidak. Kes ini hanya antara Anwar dan bekas pembantunya Mohd. Saiful Bukhari. Mereka berdua sahaja yang perlu diberi tumpuan.

Laporan polis yang dibuat oleh Mohd. Saiful Bukhari bukan perancangan UMNO dan Barisan Nasional untuk menganiaya Anwar daripada bangkit semula dalam politik tanah air.

Hakikatnya perbuatan terkutuk itu sudah berlaku dan orang yang terbabit sudah membuat laporan dan kes dibawa ke mahkamah. Pada hemat saya, rakyat perlu melihat dari sudut pandangan yang betul bahawa tuduhan liwat itu terhad antara Anwar dengan bekas pembantunya. Sememangnya sesiapa saja boleh menuduh wujudnya konspirasi dan cerita-cerita yang boleh meyakinkan apabila mendengarnya.

Tetapi para penyokong Anwar juga harus terima hakikat bahawa orang lain juga boleh berfikir dan membuat bermacam persepsi atau andaian berasaskan pada perkembangan perbicaraan ini. Apa pun, kes liwat itu sudah sampai ke peringkat mahkamah, dan semua pihak perlu menghormatinya dengan tidak membuat sebarang perbincangan ataupun spekulasi mengenainya. Sebab ia hanya akan menimbulkan prejudis terhadap kes itu.

Elok kita dengar dahulu hujah pasukan pendakwaan dan pembela. Tuduhannya ialah liwat dan tiada kena-mengena dengan konspirasi. Jadi jangan kita kecoh-kecoh dan mengheret orang ramai ke dalam perbicaraan kes Anwar-Saiful Bukhari.

JM...