UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Ahad, 21 Februari 2010

Surat Ibrahim kepada YB Australia!

SAYA terperanjat dengan surat yang ditandatangani oleh Yang Berhormat serta 49 ahli Parlimen Australia mengenai kes sodomi Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saya tidak nampak tentang relevannya surat yang dihantar kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra menuntut agar kes itu ditarik balik dan digugurkan.
Saya menganggap surat Yang Berhormat itu sebagai ‘tidak wajar dan tidak perlu’ yang mencerminkan kelakuan tidak bertamadun dan jahil bagi pihak Yang Berhormat tentang perundangan dan senario politik Malaysia.

Jika saya dibenarkan membuat interpretasi selanjutnya berkenaan surat itu, saya beranggapan surat yang berhormat yang ditandatangani oleh 49 lagi ahli Parlimen Australia itu, secara sedar atau tidak, sebagai satu cubaan untuk mencampuri proses perundangan Malaysia. Ia boleh dianggap sebagai satu perbuatan sombong yang bertentangan dengan etika tidak mencampuri maruah negara lain.

Bagaimanapun, saya tidak menuduh Yang Berhormat serta rakan-rakan kerana telah diselewengkan dan tidak tahu perkara sebenar latar belakang kes itu serta orang yang terlibat.
Tuduhan Yang Berhormat tentang adanya konspirasi bagi pihak kerajaan kerana Anwar yang mengetuai pembangkang membuat kejutan dalam pilihan raya Mac 2008 adalah tidak benar.

Kes ini adalah kes peribadi antara orang yang menuduh bernama Mohd. Saiful Bukhari Azlan dengan orang kena tuduh, Anwar yang kebetulan adalah ketua pembangkang. Mohd. Saiful telah membuat laporan polis dan pihak polis pula telah membuat siasatan secara terperinci dan profesional yang berakhir dengan Anwar dibawa ke mahkamah.
Untuk pengetahuan Yang Berhormat serta rakan-rakan, bila kes ini disebut kali pertama tahun lepas, Anwar telah menggunakan segala peluang dalam proses perundangan dan telah pun menghabiskan segala peluang yang ada bagi menggugurkan kes ini tetapi mahkamah tetap dengan keputusan untuk kes ini dibicarakan.

Bagi undang-undang di Malaysia, kes ini adalah kes kriminal dan tiada elemen konspirasi seperti tuduhan Yang Berhormat. Jadi tindakan yang berhormat mencuba mencampuri kes ini adalah tidak wajar. Saya juga berpendapat Yang Berhormat tidak akan hendak atau suka jika ahli Parlimen Malaysia membuat petisyen agar kes-kes kriminal yang melibatkan ahli Parlimen pembangkang di Australia digugurkan dengan tuduhan ia adalah konspirasi kerajaan Australia bagi melemahkan pembangkang di negara itu.

Saya berpendapat eloklah sekiranya Yang Berhormat serta rakan-rakan membela nasib pribumi Australia yang setahu saya sedang ditindas. Dalam pada itu, saya juga ingin mengingatkan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton dan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan juga tidak mencampuri maruah Malaysia.

Tentu sekali ada banyak lagi hal-hal dalam dunia yang luas ini bagi mereka untuk menyelesaikan selain dari menekan Malaysia untuk menggugurkan kes Anwar, melainkan mereka ada agenda tersembunyi yang saya tidak tahu. Seperti juga negara Yang Berhormat, di Malaysia tiada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang dan ketua pembangkang pun tidak terkecuali.

Dengan itu, saya menawarkan diri saya untuk bertemu dengan Yang Berhormat serta rakan-rakan di mana sahaja serta bila-bila masa sahaja bagi menerangkan episod ini secara terperinci.
Kesediaan saya bertemu secara bersemuka dengan Yang Berhormat serta ahli Parlimen Australia adalah dengan tujuan menerangkan segala keraguan serta menguatkan lagi hubungan baik yang telah dijalinkan selama ini.

Saya berpendapat dan berharap pertemuan ini akan meningkatkan pengetahuan Yang Berhormat serta ahli Parlimen lain tentang senario politik Malaysia. Dengan cara ini, Yang Berhormat dan rakan-rakan tidak akan diselewengkan dan tidak lagi akan membuat andaian pada masa hadapan.

Saya berharap Yang Berhormat akan menerima tawaran saya dengan minda terbuka tanpa prejudis, secara matang dan bijaksana, akhlak yang sepatutnya dimiliki oleh ahli politik dalam negara-negara Komanwel. Saya berharap mendapat jawapan dari Yang Berhormat dengan segera.
JM...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan