UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Ahad, 28 Oktober 2012

Isu Selangor : Peniaga mahu Kompleks PKNS dipertahankan?


Bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam.

Para peniaga di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Shah Alam di sini mahu pusat komersial itu dipertahankan dan terus dijadikan sebagai peneraju bagi orang Melayu memasarkan produk mereka.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, rata-rata peniaga yang ditemui masih bersemangat waja untuk berjuang, sekali gus membuktikan masyarakat bumiputera terutamanya orang Melayu mampu maju serta sehebat bangsa lain dalam bidang perniagaan.

Seorang peniaga, Amran Yahaya, 54, berkata, tidak kira siapa pun yang mengepalai pentadbiran Kompleks PKNS itu, perjuangan pemimpin terdahulu yang mahu melihat orang Melayu diberi ruang untuk maju dalam bidang perniagaan harus diteruskan.

Dia berkata, selama ini pemimpin terdahulu telah berjuang habis-habisan untuk membela nasib orang Melayu dalam bidang ekonomi dan tidak seharusnya dimusnahkan begitu sahaja.

"Apa jua keputusan pihak pengurusan (PKNS), mereka sepatutnya memikirkan agenda utama iaitu memajukan ekonomi orang Melayu dan perjuangan ini perlu diteruskan tidak kira siapa pun yang mentadbir PKNS.

"Sekiranya peniaga Melayu tidak lagi dibela, saya bimbang mereka tidak mampu untuk bersaing dengan bangsa lain hingga membuatkan mereka gulung tikar, sekali gus hilang punca rezeki," katanya.

Gerai-gerai peniaga Melayu yang terdapat di Kompleks PKNS Shah Alam

Baru-baru ini Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar mencabar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tampil memberi penjelasan penuh berhubung dakwaan Lembaga Pengarah Perbadanan PKNS meluluskan penjualan lima aset milik anak syarikat kerajaan negeri itu berjumlah RM321 juta.

Lima aset tersebut ialah Menara PKNS Petaling Jaya dengan harga RM90 juta; Shah Alam Mall (RM97 juta); Kompleks PKNS Shah Alam (RM85 juta); Kompleks PKNS Bangi (RM42 juta) dan Wisma Yakin (RM7 juta).

Menurut Noh, difahamkan proses penjualan belum dimuktamadkan kerana surat perjanjian penjualan itu masih belum ditandatangani tetapi berada pada peringkat akhir kerana secara asasnya Lembaga Pengarah PKNS telah bersetuju untuk menjualnya.

Sementara itu, Amran berkata, pihaknya juga kecewa kerana pengurusan PKNS gagal melakukan promosi bagi menarik lebih ramai pengunjung datang ke premis berkenaan hingga membuatkan para peniaga sukar meraih keuntungan.

Peniaga pakaian, Khadijah Md. Said, 54, berkata, dia berasa takut dan risau apabila mendapat tahu tentang hasrat PKNS itu yang seolah-olah cuba meminggirkan peniaga Melayu sepertinya.

"Apabila mendapat tahu tentang perkembangan terbaharu ini dan sekiranya benar-benar berlaku, saya bimbang serta takut tentang nasib kami para peniaga di masa akan datang," jelasnya.

Juragan Malawati..

Jumaat, 26 Oktober 2012

Haji Mabrur: Kemuncak ibadat!


Jemaah haji bersembahyang dan berdoa di bukit berbatu di Padang Arafah dekat Mekah, semalam. Pihak berkuasa Arab Saudi menganggarkan 3.4 juta jemaah tempatan dan luar negara itu telah tiba di tanah suci Mekah untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini.

Setiap tahun Malaysia berhadapan masalah untuk memenuhi keinginan umat Islam untuk menunaikan fardu haji ke Mekah sedangkan kouta yang dibenarkan adalah berjumlah 28,000. Ini bermakna permintaan yang tinggi itu adalah disebabkan kemakmuran yang dinikmati, membolehkan lebih ramai umat Islam menyimpan wang bagi menunaikan ibadat tersebut.

Malangnya, dalam kemewahan itu ramai dalam kalangan umat Islam tidak insaf atas penderitaan yang dihadapi oleh saudara seagama di seluruh dunia, baik umat Islam itu merupakan kumpulan majoriti mahupun sebagai kelompok minoriti.

Umat Islam sebagai kumpulan minoriti di Filipina misalnya terpaksa mengharungi konflik yang panjang, namun kini Bangsamoro boleh menarik nafas lega apabila kerajaan berjanji akan memberikan mereka kuasa autonomi, melaksanakan peraturan syariah dan bersama-sama membangunkan kawasan yang kaya dengan sumber alam itu.

Sebaliknya nasib masyarakat Islam di selatan Thailand masih tidak berubah kerana hampir setiap hari berlaku serangan berdarah hingga hidup mereka dalam ketakutan. Nasib lebih malang berlaku ke atas masyarakat Islam di Libya, Iraq, Syria, Pakistan dan Afghanistan. Bagaimanapun, kita di Malaysia tetap bersyukur dengan nikmat yang diperoleh meskipun terlalu banyak 'politiking' sehingga Malaysia perlu diselamatkan.

Ibadat haji merupakan kewajipan bagi umat Islam yang mampu dan menjadi rukun Islam kelima. Tentunya setiap kewajipan yang ditetapkan oleh Allah SWT mempunyai hikmahnya, dan kerana itulah setiap orang Islam bercita-cita untuk menunaikan ibadat tersebut sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Setiap kali musim haji tiba, kita dengan sedarnya mengetahui berhimpunnya umat manusia daripada pelbagai latar belakang, geografi dan warna kulit dalam satu tujuan, iaitu mengabdikan diri kepada Allah SWT menerusi amalan dan niat yang tulus ikhlas agar seusainya peribadatan tersebut, ia akan membentuk akhlak dan peribadi kita seolah-olah "dilahirkan kembali dalam keadaan serba bersih dan suci."

Ibadat haji merupakan kemuncak penyerahan diri manusia sebagai hamba kepada Allah SWT dan pada ketika itu, segala urusan keduniaan dilupakan dengan rela hati. Seluruh waktu digunakan untuk melakukan pelbagai ritual dan dihabiskan dengan mengingati kebesaran nikmat yang dianugerahkan sepanjang hidup agar memperoleh keberkatan-Nya sebagai bekalan memburu syurga di alam yang lebih kekal.

Setiap muslimin akan menggunakan satu bentuk bahasa yang penuh makna penyerahan sebagai 'perjumpaan kudus' dengan Allah SWT. Sebaik-baik sahaja memulakan langkah pertama menuju ke tempat berkumpul sebelum berangkat ke Tanah Suci, bermula dengan doa selamat agar sepanjang tempoh beribadat itu mendapat 'Haji Mabrur.'

Maksud 'Haji Mabrur' ialah ibadah haji yang mendapat kebaikan daripada Allah SWT. Dari segi istilah, mabrur membawa dua maksud, iaitu 'bersih, suci dan baik'; dan 'diterima dan mendapat keredaan Allah SWT'.

Haji mabrur merupakan haji yang sangat mulia dan berharga, maka menjadi harapan setiap orang yang beriman. Dalam hubungan ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; "Dari umrah ke umrah adalah penghapus dosa di antara kedua-duanya. Dan haji mabrur ada balasannya iaitu syurga. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam konteks haji, dikatakan ibadat haji yang lengkap memerlukan mujahadah iaitu satu usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai musyahadah kesedaran, barulah dapat disebut haji mabrur.

Dalam ibadah haji yang menjadi ukuran mabrur atau tidak adalah dengan ukuran seberapa banyak amal ibadah haji yang dilakukan itu berupaya melahirkan suatu kesedaran moral dan spiritual yang dapat pula melahirkan semangat untuk melakukan perkara-perkara kebaikan sehingga berjaya mengubah diri daripada sikap negatif kepada sikap positif. Dari sikap tamak kepada pemurah dari sikap sombong kepada rendah diri, daripada bakhil kepada pemurah.

Mereka yang memperoleh haji mabrur, sebaik sahaja selesai mengerjakan ritual itu dengan tekun dan penuh keinsafan akan memperoleh ketenangan psikologi sehinggalah apabila kembali semula ke kampung halaman, akan menceritakan pengalaman itu sebagai sesuatu yang amat berkesan dan terbaik sepanjang hayat. Kerana itulah setiap daripada mereka bertekad, jika boleh dan berkemampuan akan melakukan ibadat tersebut untuk kesekian kalinya.

Rindu begitu mendalam untuk berada di kota Mekah dan Madinah, dua buah kota yang begitu suci dalam setiap hati umat Islam sehinggakan mereka mudah boleh memaafkan jika berlaku sebarang masalah dan kekurangan sepanjang tempoh peribadatan, kerana ia adalah percubaan Allah SWT mengenai kesabaran manusia. Maka, ketika itulah setiap muslim menjadi seorang yang berjiwa pemaaf, penuh kesyukuran dan reda dengan apa musibah yang menimpa.

Ibadat haji turut mengajak manusia mengimbas semula sejarah lama yang penuh dengan ketekunan dan pengorbanan para nabi yang diutuskan untuk membimbing manusia ke jalan kebaikan. Sejarah permulaan ibadat haji tetap dikaitkan dengan Nabi Ibrahim AS dan keluarganya, dan kerana itulah selepas mengerjakan wukuf, umat Islam diwajibkan 'berkorban' dengan menyembelihkan binatang ternakan.

Di samping semangat pengorbanan dan keredaan Nabi Ismail as terhadap mimpi ayahandanya sendiri, Nabi Ibrahim as, kisah sedih yang menimpa Siti Hajar yang mundar-mandir mencari air untuk diminum oleh anaknya yang terlalu haus turut dibawa pulang oleh jemaah haji dengan penuh hormat dan keinsafan.

Air zam-zam akan dibahagi-bahagikan kepada sanak saudara dan kenalan sekembalinya ke tanah air dengan harapan ada keberkatannya. Sanak saudara yang menerima seteguk dua air zam-zam itu secara automatiknya mengingatkan kisah itu. Semangat tawakal Siti Hajar yang dijelmakan menerusi saei Safa dan Marwah menjadi petunjuk kesabaran dan penyerahan kasih sayang hamba. Atas kasih sayang itulah Allah SWT kemudiannya menganugerahkan pancuran air di tengah padang pasir bukan sahaja sebagai penghilang dahaga bahkan lambang ketenangan dan kemenangan dalam kesabaran.

Dalam keadaan bermusafir, terserlah peribadi sebenar seseorang terutama apabila berhadapan dengan dugaan dan cabaran. Ada ketikanya kita mendengar, oleh kerana berlaku sedikit penyimpangan dalam urusan sebelumnya, orang berkenaan ditimpa musibah, kesesatan walaupun jalan yang dilalui itu adalah jalan yang sama setiap masa, orang itu tidak menemui jalan pulang. Ada yang sesat hingga ketika kemuncak ibadat haji menyebabkan tidak memperoleh haji mabrur.

Pengurusan LTH dengan cekap telah membolehkan bakal Malaysia mengerjakan ibadat itu dengan baik dan sempurna. Kebajikan mereka dijaga dan diberikan perhatian bermula dari tempat pengumpulan hinggalah semasa berada di Mekah dan Madinah, seterusnya sehingga kembali ke tanah air.

Menguruskan jemaah haji turut mempamerkan kesabaran dan kecekapan melayani pelbagai sifat dan naluri manusia, walaupun tujuan dan hasratnya adalah satu, menyerah diri dan menjadi tetamu Allah SWT. Hakikat itulah sebenarnya yang perlu dibawa pulang dan pengalaman menjalani proses dilahirkan semula dengan keinsafan dan kesedaran spiritual itulah sepatutnya menjadi kerangka perilaku untuk hari-hari seterusnya.

Tetapi, ini jarang berlaku kerana ada dalam kalangan kita mula melupakan pengalaman batin itu setelah beberapa bulan dan tahun selesai menjalani 'proses dilahirkan semula' itu.

Itulah yang sepatutnya berlaku kepada kita semua. Sepatutnya, selepas memasuki madrasah haji dan menerima panggilan nama di depan sebagai 'Tuan Haji' atau 'Puan Hajah', iaitu sudah bergraduasi dengan kemabrurannya, kita berubah lebih baik dan tidak mengulangi kesilapan-kesilapan terdahulu.

Kita pulang membawa misi mabrur maka seluruh kehidupan dan masa-masa yang kita lalui kemudiannya mestilah memakaikan seluruh sifat mahmudah, bersalaman dan menyemaikan peradaban salam, sebagaimana diteladani oleh Rasullullah SAW.-UMO

Juragan Malawati..

Khamis, 25 Oktober 2012

Salam Aidil Adha.. !



" Labbaika Allahumma labbaika. Labbaika la syarika laka labbaika. Innal hamda wanni’mata laka wal mulka. laa syarika laka ".

" Ya Allah, aku datang karena panggilanMu. Tiada sekutu bagiMu. Segala ni’mat dan puji adalah kepunyanMu dan kekuasaanMu. Tiada sekutu bagiMu ".

Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha dari saya buat semua rakan-rakan blogger dan juga para pembaca yang budiman. Selamat melakukan ibadah Qurban dan sambutlah ianya dengan penuh keinsafan dan keredhaan. Semoga Allah swt sentiasa memberkati kita semua..InsyaAllah..AMIN.

Ikhlas Dari :

Juragan Malawati

Isu selangor : Nilai hartanah Talam melambung empat kali ganda?



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa melakukan siasatan terhadap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung penilaian tanah milik Talam Corporation Berhad (Talam) yang melonjak empat kali ganda daripada RM90.875 juta kepada RM391.986 juta.

Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta itu adalah satu situasi yang boleh menimbulkan syak wasangka dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, SPRM perlu memainkan peranan mereka setelah mendapat maklumat berhubung perkara tersebut dengan melakukan siasatan terhadap kerajaan Selangor.

"SPRM juga perlu cepat bertindak ke atas maklumat atau laporan yang membabitkan pakatan pembangkang, sebelum ini SPRM dilihat hanya bertindak tegas berhubung kes-kes melibatkan kerajaan sahaja, sehubungan itu mereka perlu berlaku adil dalam situasi ini.

"Abdul Khalid digesa supaya menjelaskan bagaimana harga penilaian tanah-tanah milik Talam dibuat sehinggakan melonjak empat kali ganda dan mengapa beliau menandatangani surat pengambilan hutang Talam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai harga hartanah milik Talam yang dipersoal oleh Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah yang disiarkan di Utusan Malaysia hari ini.

Selain itu, Hamidzun turut mendesak supaya Abdul Khalid membeli rumah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) daripada pemiliknya dengan harga empat kali ganda seperti mana pengambilalihan hutang talam.

"Jika mampu, belilah rumah PKNS daripada pemilik sekarang yang tidak berkemampuan untuk menjelaskan pinjaman dengan harga empat kali ganda seperti mana pengambilalihan hutang Talam tersebut.

"Jika mempunyai sumber kewangan yang kukuh gunalah ia untuk kesejahteraan rakyat, bantulah golongan yang memerlukan dan bukannya membantu pemilik Talam yang umum tahu sudah kaya-raya," katanya.

Juragan Malawati..

Rabu, 24 Oktober 2012

Isu Selangor : Bekas Peneroka Felda Sungai Buaya Tuntut Kerajaan Selangor Pulangkan Tanah?



Sekumpulan bekas peneroka Felda Sungai Buaya, Rawang, dan waris mereka hari ini menuntut kerajaan negeri Selangor memulangkan tanah seluas 419.57 hektar milik mereka yang didakwa dirampas pada 2010 dan membatalkan prosiding perampasan terhadap tiga lagi keping tanah seluas 451.62 hektar milik mereka di Mukim Serendah, Hulu Selangor.

Kira-kira 40 orang yang mewakili 362 bekas peneroka dan waris terbabit berkumpul di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini pada pukul 11.30 pagi dan memegang pelbagai kain rentang bagi menyatakan tuntutan mereka terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Mereka turut menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri menerusi wakil mereka Noryzal Zainal Abidin.

Berdasarkan memorandum itu, bekas peneroka terbabit mendakwa pada 1994 mereka telah menubuhkan satu syarikat dikenali sebagai Murna Jaya Development Berhad (Murna Jaya) bagi menjual dan memajukan tanah mereka secara usahasama dengan mana-mana pemaju yang berminat dan berkemampuan.

Seterusnya pada 1996, Murna Jaya telah mengikat perjanjian usahasama dengan syarikat pemaju dikenali sebagai Bandar Sungai Buaya Sdn Bhd (BSB) untuk memajukan keseluruhan tanah peneroka menjadi sebuah bandar baharu di kawasan itu.

BSB kemudian telah membangunkan sebahagian daripada tanah peneroka dengan mendirikan rumah kediaman dan blok kedai kira-kira 3,275 unit, bagaimanapun sekitar 1998, BSB tidak dapat meneruskan projek itu dengan lancar disebabkan kejatuhan ekonomi serantau sehingga akhirnya memaksa BSB menghentikan terus kerja pembangunan di kawasan itu.

Ekoran itu, persetujuan telah dicapai di mana menjadi tanggungjawab BSB untuk memulangkan kembali kira-kira 654.37 hektar tanah milik peneroka dan sebahagian lagi tanah di Mukim Serendah, Hulu Selangor, sebagai ganti rugi atas kegagalan BSB menyiapkan projek itu selaras dengan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 16 Mei 2005 yang mengarahkan BSB berbuat demikian.

Kesemua tanah yang perlu dipulangkan kembali kepada Murna Jaya telah didaftarkan atas nama BSB sebagai tuan punya berdaftar kecuali tanah di Mukim Serendah.


Bagaimanapun disebabkan BSB menghadapi masalah kewangan yang serius segala perancangan untuk memulangkan serta mendaftarkan semula tanah tersebut atas nama Murna Jaya tidak dapat dilaksanakan disebabkan kegagalan BSB menjelaskan cukai tanah yang telah tertunggak.

Akhirnya pada awal 2009, Murna Jaya telah menerima satu notis sebagai tuanpunya benefisial berhubung dengan kegagalan tuan punya (BSB) menjelaskan cukai tanah yang tertunggak sebanyak RM8.22 juta.

Ekoran itu, Murna Jaya telah mengambil inisiatif untuk menyelamatkan tanah tersebut seperti menghantar beberapa pucuk surat kepada pihak kerajaan negeri untuk mengemukakan beberapa cadangan tetapi usaha itu gagal dan pada 11 Ogos 2011 mereka menerima surat daripada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor memaklumkan bahawa lapan hakmilik tanah mereka berkeluasan 419.57 hektar telah dirampas mengikut Akta Perampasan Tanah.

Ketika ini kerajaan negeri juga telah memulakan prosiding bagi merampas tiga lagi hakmilik tanah seluas 451.62 hektar di Mukim Serendah atas alasan cukai tertunggak sebanyak RM3.5 juta.

Murna Jaya melalui peguam mereka iaitu Tetuan Wan Haron & Associates telah menerima surat daripada Jabatan Insolvensi Malaysia bertarikh 26 Julai 2012 yang menyokong permohonan Murna Jaya untuk penangguhan prosiding perampasan itu untuk jangkamasa enam bulan bagi meneliti dokumen berkaitan tetapi sehingga kini Menteri Besar didakwa masih belum membuat keputusan berhubung permasalahan itu.

Sehubungan itu peneroka terbabit menuntut kerajaan negeri menerima cadangan Murna Jaya untuk menyelesaikan jumlah cukai tertunggak bagi kesemua 2,152.8 hektar tanah yang telah dirampas termasuk tanah yang terlibat dalam prosiding perampasan di Mukim Serendah secara berperingkat seterusnya memulangkan kembali tanah berkenaan kepada Murna Jaya untuk diteruskan pembangunan.

Mereka turut menuntut kerajaan negeri mempercepatkan dan menanggung segala kos perbelanjaan untuk proses pecah tanah itu seterusnya mengeluarkan geran berasingan kepada setiap pembeli atau pemilik rumah atau tanah masing-masing selain menaik taraf kemudahan asas serta melaksanakan projek pembangunan yang dijanjikan sebelum ini.

Sementara itu, wakil peneroka terbabit, Abu Hasan Mohd Sidek, 70, yang telah menetap di sana sejak 40 tahun lepas merayu supaya kerajaan negeri bertimbang rasa dengan menerima tuntutan yang dikemukakan oleh mereka.

“Kami akan bayar tunggakan cukai tetapi secara berperingkat kerana kami orang susah. Kami beri tempoh selama 14 hari untuk Menteri Besar membuat keputusan terhadap tuntutan kami sebelum kami ambil tindakan lebih drastik dan tegas selepas ini,” katanya.

Sumber : Sahabat Gunung

Juragan Malawati..

Isnin, 22 Oktober 2012

Menjelang PRU-13 : Siap siaga sebelum 'berperang'?


Najib Tun Razak diiringi Chua Soi Lek bersalaman dengan para perwakilan MCA selepas merasmikan Perhimpunan Agung MCA Ke-59 di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam.

Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua jentera serta parti komponen Barisan Nasional (BN) berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi sebelum menuju ke medan peperangan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak lama lagi.

Perdana Menteri berkata, adalah penting bagi seluruh jentera dan komponen BN membuat persiapan terbaik termasuk mengkaji pelbagai kemungkinan yang akan berlaku agar setiap gerakan berupaya dilaksanakan tanpa rasa ragu.

"Kita mesti membuat persiapan terbaik dan terus bersiap sedia sehingga tiada lagi perasaan sangsi terhadap keputusan perang itu kelak. Saya menganggap persediaan ini amat penting, perancangan amat penting," katanya semasa berucap pada Perhimpunan Agung MCA Ke-59, di Wisma MCA, di sini hari ini.

Dalam menegaskan perkara tersebut, Najib memetik falsafah seorang ahli falsafah Islam bahawa pihak yang mempunyai perancangan teliti boleh mengalahkan pihak kurang melakukan perancangan walaupun yang kurang membuat perancangan itu adalah di pihak yang benar.

Perdana Menteri turut menyatakan rasa kagum dengan kebangkitan dan semangat baharu MCA yang disifatkannya sudah bersedia untuk 'berperang', sekali gus memastikan kemenangan besar BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut beliau, MCA di bawah kepemimpinan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek bukan sahaja berpadu dalam satu pasukan tetapi turut memperlihat sikap tidak gentar kepada pakatan pembangkang khususnya DAP apabila berani berdepan dan membongkar kelemahan mereka.

"Persidangan MCA kali ini ada kelainan dan keistimewaannya. Saya lihat ahli MCA begitu bersemangat dan sudah bersedia untuk berperang. MCA bukan sahaja tidak takut kepada pembangkang tetapi sekarang ini lebih berani untuk berdepan dengan mereka.

"Semangat ini saya yakin bukan sahaja mampu mendokong BN (menang majoriti besar) tetapi mampu 'mengkaramkan' pembangkang yang berhasrat mahu menawan Putrajaya," katanya.

Namun pada masa sama, Najib mengingatkan seluruh kepemimpinan dan ahli MCA, walaupun parti itu sudah bersedia berperang dalam pilihan raya umum, tetapi untuk memastikan kemenangan, mereka harus mempunyai hati dan pemikiran yang sama sebagaimana diasaskan BN.

Jelas Perdana Menteri, sebagai sebuah parti, BN dan MCA perlu mempunyai persediaan serta perancangan terbaik agar keputusannya nanti bukan sahaja berpihak kepada kerajaan tetapi tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Tanpa persediaan serta perancangan tersebut kata beliau, parti mungkin boleh terperangkap, walaupun hakikatnya pakatan pembangkang banyak menipu dan berbohong kepada rakyat.

Beliau turut menyelar pakatan pembangkang yang mendakwa bersedia untuk menawan Putrajaya, sedangkan perkara asas seperti bertanding di bawah simbol yang sama sebagaimana BN, masih gagal dilaksanakan.

Tegas Perdana Menteri, rakyat tidak boleh menaruh keyakinan kepada parti yang hanya mahu menawan Putrajaya tetapi tiada kesatuan bagaimana untuk membangunkan negara ini kerana jika tersilap memilih, Malaysia boleh ranap dalam sekelip mata.

"Ingat lagi krisis ekonomi pada 1997? Siapa Menteri Kewangan pada masa itu? Siapa yang naikkan kadar faedah sehingga 24 peratus? Siapa ambil jalan mudah nak serah negara ini kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) walaupun bererti menyerah kedaulatan negara.

"Siapa pula yang selamatkan negara ini jika bukan BN di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sebab itu rakyat mesti pilih kerajaan yang mempunyai pengalaman dan rekod perkhidmatan cemerlang selain telah banyak berjasa," katanya.

Juragan Malawati..

Ahad, 21 Oktober 2012

Isu Selangor : Rakyat Terus Bangkit Tuntut Hak Air Percuma Seperti Yang Dijanjikan!



Semakin ramai rakyat Selangor khususnya mereka yang menduduki flat dan pangsapuri sedar dan bangkit menuntut air percuma seperti yang dijanjikan kerajaan pakatan Selangor di bawah kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Hari ini, penduduk Pangsapuri Selayang Height yang mengandungi 500 unit rumah pula menyatakan tuntutan mereka kepada kerajaan negeri.

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor, Dato’ Sohaimi Shahadan berkata, rakyat tidak boleh menerima alasan kerajaan Khalid menolak pemberian air percuma seperti yang dijanjikan dalam manifestonya pada PRU12 yang lalu dengan memberi alasan hanya pengguna meter individu sahaja yang layak menerima, walhal dulu tidak disebut pun syarat-syaratnya.


“Ramai sudah sedar dan bangkit menuntut air percuma ini tetapi sehingga kini Khalid masih enggan mempertimbangkan untuk mengagihkan rebet RM11.40 yang tertunggak selama empat tahun kepada pengguna meter pukal.

Migrasi, pemberian kupon atau sebagainya tiada kena menggna dengan tuntutan rakyat terhadap air percuma ini. Rakyat menuntut tunggakan air percuma yang terhutang oleh kerajaan Khalid sejak tahun 2008 hingga kini,” ujarnya selepas demostrasi aman penduduk Selayang Height di sini pagi tadi.


Tambahnya, penduduk berhak menfailkan tuntutan mereka di mahkamah demi mendapatkan hak yang sengaja dinafikan oleh kerajaan negeri.

Mengikut kiraan, setiap isi rumah layak mendapat sebanyak RM570 iaitu tunggakan subsidi bernilai RM11.40 setiap bulan yang didarab selama 50 bulan (bagi tempoh dari Jun 2008 hingga September 2012)

Sebelum ini lima demostrasi telah dibuat iaitu di Aparmen Mentari Court, Bandar Sunway, Apartmen Vista Levander, Kinrara Puchong, Apartmen Angsana Bandar Mahkota Cheras, Apartmen Putra Perdana Puchongdan terakhir di Flat SPNB, Taman Medan Cahaya, Petaling Jaya Selatan2.


“Kerajaan negeri sepatutnya mencari mekanisme yang sesuai untuk mengagihkan subsidi 20 meter padu air kepada seluruh rakyat di negeri Selangor, bukannya memberi alasan yang dangkal yang jelas menipu rakyat.

Kenyataan Khalid bahawa manifesto pilihanraya bukan janji yang perlu ditunai mendedahkan belang sebenar kerajaan pakatan pembangkang yang sebenarnya langsung tidak boleh dipercayai lagi,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang.

Sumber : Sahabat Gunung

Juragan Malawati..

Isnin, 15 Oktober 2012

Jangan salahkan kerajaan jika SAR dan SAN tidak mahu sertai SABK?



Kementerian Pelajaran telah menukar status 195 daripada 382 Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) di seluruh negara kepada status Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sejak 2005 hingga kini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kesemua SAR dan SAN yang telah mendaftar dengan kementerian itu bakal mendapat manfaat peruntukan RM100 juta melalui Bajet 2013 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lalu selain RM95 juta yang diterima pada Bajet 2011.

Sehubungan itu, kata beliau, tidak seharusnya timbul isu SAR atau SAN dianaktirikan oleh kerajaan seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu kerana kerajaan sentiasa membuka pintu kepada dua jenis sekolah itu untuk menjadi sekolah bantuan kerajaan.

"Isu sebenarnya adalah pihak Lembaga Pengurusan SAR dan SAN tidak mahu berdaftar di bawah SABK kerana bimbang kuasa mentadbir hilang berikutan rata-rata daripada mereka tidak mempunyai kelulusan bagi mentadbir sekolah.

"Ahli lembaga pengarah itu terdiri daripada pemilik asal sekolah sejak mula ditubuhkan. Jadi konsep yang mereka amalkan adalah warisan atau turun-temurun dan bukannya berdasarkan kepada kelayakan dalam pendidikan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas tindakan kira-kira 300 warga SAR dan SAN dari beberapa negeri dengan diketuai oleh Pengerusi Majlis Permuafakatan Institusi Pendidikan Islam Selangor (Mappis), Prof. Madya Zainal Abidin Kidam berdemonstrasi di hadapan bangunan Parlimen pagi ini bagi menuntut peruntukan daripada kerajaan melalui Bajet 2013.

Sambil menyatakan kerajaan sentiasa mengalu-alukan penukaran status SAR dan SAN kepada SABK, Mohd. Puad berkata, sekolah-sekolah di bawah SABK akan diberi geran berkapita, bantuan menaik taraf bangunan sekolah, latihan guru, guru-guru akan berjawatan tetap dan mempunyai pencen selain skim gaji yang lebih baik.

Beliau turut menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kerajaan menetapkan syarat ketat untuk mendaftar di bawah SABK dan menyifatkan itu hanya agenda politik pembangkang semata-mata.

"Kita mahu mereka berdaftar dengan SABK supaya sekolah mereka dimajukan, guru-guru mereka mendapat manfaat seperti guru-guru yang ada di Malaysia dan pendidikan pelajar lebih seimbang.

"Tetapi walaupun mereka telah berdaftar di bawah SABK, kerajaan tetap tidak mengganggu aspek kokurikulum mereka. SABK lebih kepada menjaga kebajikan warga sekolah," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri berkata, dakwaan pihak tertentu bahawa kerajaan sengaja menganaktirikan SAR dan SAN melampau kerana berdasarkan laporan Kementerian Kewangan, para pelajar di kedua-dua jenis sekolah itu turut menerima RM100 seorang menerusi Bantuan Persekolahan yang diperuntukkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Saya juga mempersoalkan tindakan SAR dan SAN yang menggunakan tenaga pelajar-pelajar untuk berdemonstrasi. Seharusnya pelajar-pelajar itu tidak berada di luar Parlimen bagi berdemonstrasi pagi ini. Tempat mereka di dalam bilik darjah," katanya.

Juragan Malawati..

Ahad, 14 Oktober 2012

Pas sudah jauh berubah?



SASTERAWAN Negara, PROF. EMERITUS DATUK DR. SHAHNON AHMAD, 79, kini agak uzur kerana penyakit myasthenia gravis berkaitan saraf selain masalah pendengaran yang dialaminya namun tetap bersemangat berbicara tentang senario politik tanah air terutama mengenai kerjasama di antara UMNO dan Pas.

Dalam satu pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. AZELI ALI dan jurugambar ISMAIL KAMADIN selama hampir satu jam di rumahnya di Changkat Minden, Gelugor, Pulau Pinang, Jumaat lalu, beliau yang juga ahli seumur hidup Pas turut bercerita mengenai novel terbarunya yang bertajuk Mahabbah.

Menurutnya, perumpamaan dua batang sungai yang mengalir menuju ke satu kuala yang digarap di dalam novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka itu merujuk kepada persepakatan antara dua parti utama mewakili orang Melayu dan Islam iaitu UMNO dan Pas.

Sambil meminta semua pihak menjaga keharmonian di dalam berpolitik, beliau tidak mengelak ketika ditanya tentang bahaya kerjasama Pas-DAP, pengaruh Anwarinas dalam Pas dan pesanan terhadap masyarakat Melayu Islam.

MINGGUAN: Boleh Datuk ceritakan perkembangan sekarang, adakah masih aktif dalam bidang penulisan dan kesusasteraan tanah air?

SHAHNON: Sekarang ini kesihatan saya tidak berapa baik kerana beberapa penyakit termasuk myasthenia gravis namun tidak berapa serius. Selain itu ada masalah pendengaran sikit-sikit. Saya juga masih boleh mengarang novel dan cerpen termasuk yang terbaru novel bertajuk Mahabbah yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Novel itu baru sahaja dilancarkan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Datuk Dr. Omar Osman baru-baru ini. Mahabbah yang bermaksud cinta menjadi agenda bagi saya meneruskan perjuangan menyatupadukan orang Islam di Malaysia. Di dalam novel itu biarpun saya tak sebut nama tapi kalau orang baca dengan teliti penghujungnya merujuk kepada UMNO dan Pas yang akhirnya bersatu.

Bagaimana pula penglibatan Datuk di dalam Pas. Adakah masih aktif?

SHAHNON: Saya masih lagi ahli Pas seumur hidup sebab setakat ini tak ada apa-apa masalah tentang keahlian saya itu. Tapi saya dah tak aktif sebagai penggerak di dalam gerakan disebabkan keuzuran ini. Namun saya masih teruja mengutarakan persoalan politik di dalam karya-karya saya termasuk novel Mahabbah itu.

Satu ketika dahulu Datuk dilihat agak lantang mengkritik kerajaan tetapi kini dilihat semakin berkurangan. Apakah yang menyebabkan Datuk berubah sikap?

SHAHNON: Dahulu pun saya tidaklah begitu lantang bersuara tetapi lebih kritikal mempersoalkan isu-isu ketidakadilan serta amalan rasuah dalam kalangan pemimpin negara di dalam karangan-karangan saya. Sekarang ini saya lihat sudah ada perubahan yang optimis dan menggalakkan dilakukan oleh pemimpin negara kita. Walau saya tak kritik tapi setiap bulan melalui kolum khas di dalam majalah Dewan Sastera saya tetap menulis mengenai kegemilangan dan kestabilan negara serta isu kestabilan Malaysia.

Bagaimana Datuk melihat perjuangan Pas kini berbanding dahulu?

SHAHNON: Saya melihat Pas kini melalui dua perubahan besar iaitu para ulama tidak lagi memainkan peranan penting malah Timbalan Presidennya sendiri bukan dari kalangan ulama tetapi lebih kepada sekular. Pas adalah parti yang memperjuangkan Islam jadi seharusnya ia dipimpin oleh ulama. Mengambil contoh pada zaman Rasulullah SAW di Madinah, baginda mendapat wahyu daripada Allah dan memerintah berlandaskan al-Quran. Pas juga perlu memerintah berlandaskan al-Quran jadi kita perlukan orang yang fasih iaitu ulama untuk mentafsirkan kitab Allah itu di dalam pentadbiran. Saya sebenarnya bimbang Pas akan hilang arah sekiranya golongan ulama semakin berkurangan dan tiada pengganti kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang semakin dimamah usia. Oleh itu tokoh-tokoh muda Pas harus datang daripada golongan ulama muda yang boleh mentafsir al-Quran dan Sunah.

Kenyataan saya ini bukan bermakna saya menolak golongan muda yang liberal dan aktivis masyarakat kerana mereka juga penting tetapi tunjang parti sepatutnya golongan ulama. Perubahan kedua adalah kerjasama Pas dengan parti-parti lain terutama DAP. Saya tidak menolak Pas dan DAP bersama namun mereka harus menjadikan Islam sebagai penentu keputusan. Oleh itu saya menyokong kenyataan Nik Aziz tentang kerjasama dengan DAP cuma ia perlu diubah kepada DAP perlukan Pas. Sewaktu berhijrah ke Madinah dan mendirikan negara Islam, Rasulullah SAW juga bekerjasama dengan Yahudi, Nasrani dan Musyrikin Madinah tetapi syarat utama adalah mereka tidak boleh remeh-temeh terhadap Islam dan menerima Islam adalah penentu keputusan. Oleh itu kalau mereka (Pas) bekerjasama dengan DAP pasti tak ada salahnya jika mereka boleh bekerjasama dengan UMNO kerana kedua-duanya nak negara Islam. Konteks kerjasama yang kita harapkan adalah selalu adakan pertemuan dan bermesyuarat bagi mencari titik persamaan.

Datuk pernah berkata Pas sudah tidak menepati kehendak Islam apabila bersekongkol dengan DAP, boleh Datuk ulas perkara ini lebih lanjut?

SHAHNON: Ia kembali kepada permasalahan utama iaitu Pas kini tidak lagi dipimpin oleh ulama yang membawa Pas lari dari landasan Islam sebenar. Saya juga dapati Pas kini lebih banyak berbicara isu-isu sekular serta bersifat kebendaan, berbentuk fizikal serta lebih ke arah keduniaan berbanding matlamat utama iaitu ukhrawi. Kita tidak boleh menolak dunia untuk akhirat tetapi perlu kedua-duanya kerana yang hakiki dan abadi adalah kehidupan di akhirat nanti. DAP pernah berkata mereka menolak hudud dan beberapa pemimpin di dalam Pas seolah-olah bersetuju dengan pandangan itu sedangkan hudud adalah matlamat utama Pas selain menubuhkan negara Islam.

Jadi adakah Datuk rasa perkara ini berlaku kerana kepimpinan Pas tidak nampak 'bahaya' kerjasama ini atau mereka hanya pejamkan mata?

SHAHNON: Saya setuju kalau dikatakan mereka tak nampak 'bahaya' itu atau mungkin beranggapan politik hanya untuk mengejar kuasa, publisiti atau kerusi dalam pilihan raya sahaja. Ramai golongan muda di dalam Pas hari ini saya rasa hanya melihat lingkungan politik sekular sahaja dan lari daripada matlamat parti Islam yang menjadi parti ke arah ukhrawi. Saya lihat Nik Aziz banyak menulis buku tentang perjuangan Pas untuk membawa rakyat mencapai kejayaan dunia dan akhirat namun kurang dipersetujui oleh golongan muda. Pas tak boleh lari daripada memperjuangkan dunia untuk mendapatkan akhirat. Tapi kalau masih ada orang muda yang lebih fikir duit, populariti atau kepujian semata-mata, tak ada bezalah Pas macam parti-parti lain yang sekular.

Tetapi kini Pas dilihat tidak memiliki peranan jelas dalam pakatan pembangkang malah semakin membisu dalam memperjuang perkara pokok parti iaitu penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud. Pada pandangan Datuk apa lagi matlamat Pas sekarang?

SHAHNON: Pas tidak boleh lari daripada matlamat utama iaitu menegakkan negara Islam dan dengan sendirinya mengutamakan hukum hudud kerana hanya Islam yang boleh membawa kita ke syurga serta membawa kebahagiaan sebenar di sisi Allah. Tapi kalau semua itu tidak lagi menjadi keutamaan dan Pas pula hanya pentingkan kerusi maka tunjang perjuangan Pas tiada makna lagi. Pada saya, kalau matlamat Pas adalah negara Islam jadi perkara pokok adalah pemimpin harus daripada golongan ulama. Ulama pun bukan yang penipu atau yang penakut tapi benar-benar ikhlas berjuang demi Islam dan berharap kepada keredaan Allah. Perjuangan untuk menegakkan Islam ini tak boleh atas usaha sendiri sahaja tetapi perlu kembali kepada Allah sebab kita tak memiliki kuasa yang agung seperti-Nya. Pastinya tiada erti nama parti Islam itu jika kita gagal memperjuangkan Islam serta memahami al-Quran sebagai teras amalan.

Bagaimana pula Datuk melihat penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang dan pengaruh Anwarinas di dalam Pas?

SHAHNON: Kalau boleh saya malas nak ulas panjang tentang Anwar kerana pada saya beliau adalah orang politik yang hanya pentingkan kuasa dan kerusi dalam pilihan raya. Jadi beliau akan lakukan apa sahaja untuk mencapai kehendaknya itu asalkan mendapat kekuasaan. Kalau beliau nak bergabung dengan Pas sepatutnya beliau kena tunduk kepada Islam kerana saya lihat PKR ini didapati cuba membawa parti-parti lain di dalam pakatan ke arah sekularisme. Ini pastinya harus ditentang oleh Pas sekeras-kerasnya. Kebanyakan pemimpin PKR terdiri daripada golongan sekular dan liberal serta pengaruh mereka mula meresap di dalam diri ahli-ahli Pas yang terdiri daripada golongan muda yang tidak berapa teguh keislaman mereka. Pada masa sama, sifat retorik mereka serta kecekapan berpidato mampu mempengaruhi ahli-ahli Pas. Itu yang saya agak bimbangkan.

Bagaimana pula Datuk melihat kerjasama antara Pas dan UMNO sama ada ia harus diteruskan atau tidak kerana ramai pemimpin Pas sendiri menolak usaha ini?

SHAHNON: Pas dengan UMNO ni nak kelahi buat apa. Macam yang saya katakan tadi perlunya ada kerjasama di antara Pas dan UMNO kerana ada titik persamaan antara kedua-dua parti bagi membela rakyat terutama masyarakat Melayu Islam. Sekarang ini pun setiap hari berlaku fitnah sesama kita yang akhirnya akan merugikan orang Melayu, jadi kedua-dua pihak harus mengamalkan musyawarah dan sentiasa duduk semeja bagi mencapai hasrat bersama. Kita lihat kepada slogan 1Malaysia yang diutarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ia seharusnya diulas dalam konteks yang lebih luas bukan sekadar satu bangsa dan satu agama sahaja bagi Pas dan UMNO. Tetapi budaya musyawarah itulah yang harus diutamakan dan kita nak pemimpin duduk mesyuarat bincang agenda yang membawa faedah kepada rakyat. Rakyat juga menunggu nak lihat kematangan berpolitik mereka. Kalau berpolitik semata-mata nak dapat populariti, pasti Pas dan UMNO tak akan ke mana dan yang rugi pasti kedua-duanya. Ini adalah harapan seluruh rakyat Malaysia kerana kalau nak kira negara kita ni unik. Kita miliki pelbagai etnik dan budaya tapi boleh hidup aman harmoni. Jadi parti politik yang ada pun harus ambil kesempatan atas kepelbagaian budaya ini dengan bekerjasama bagi mencapai erti kata sebenar 1Malaysia. Pas sendiri pun bukan sahaja dengan UMNO tapi nak kerjasama dengan DAP, MCA dan MIC pun pastinya tak ada masalah dengan syarat Islam diutamakan.

Apakah Datuk lihat UMNO dan Barisan Nasional kini berada di landasan yang betul dan apakah yang diperlukan untuk UMNO mendapat sokongan rakyat?

SHAHNON: Sebenarnya pada saya UMNO sebuah parti yang bersifat sekular dan mementingkan keduniaan juga kerana mereka lebih memikirkan soal harta benda dan wang ringgit berbanding aspek ukhrawi yang sepatutnya menjadi matlamat insan. Untuk diterima rakyat terutama orang Melayu Islam mereka harus ubah mentaliti itu kerana harta benda dan wang ringgit bukan kebahagiaan hakiki. Malah untuk mendapat sokongan juga mereka harus ikhlas bersama-sama Pas menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud.

Akhir sekali apa pesanan Datuk kepada orang Melayu Islam di negara ini yang semakin berpecah-belah kerana lebih tertumpu kepada politik?

SHAHNON: Pertama sekali sebagai orang Islam kita tak boleh lupakan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW. Jangan terlalu kejar aspek duniawi sehingga lupa janji Allah tentang akhirat kerana baginda sendiri berpesan kepada kita agar berpegang kepada dua perkara itu. Kehidupan kita harus menyeluruh antara dunia dan akhirat dan itulah politik yang harus dipegang oleh orang Melayu Islam. Dalam mengejar politik itulah kita memelihara keharmonian sesama masyarakat dan menghormati agama dan bangsa lain.-UMO

Juragan Malawati..

Selasa, 9 Oktober 2012

Loji air susut, lebih 30,000 terutama pesawah bakal terjejas?


Loji Pembersihan Air Sungai Sireh menyusut sejak seminggu lalu sehingga melebihi paras kritikal.

Lebih 30,000 pengguna air terutamanya pesawah di daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam dikhuatiri terjejas kerana Loji Pembersihan Air Sungai Sireh di sini berdepan penyusutan lebih 50 peratus di terusan utama Sungai Sireh sejak seminggu lalu.

Difahamkan, keadaan itu menyebabkan pengeluaran air dari loji itu mula berkurangan daripada 21 juta liter sehari (JLH) kepada 16 JLH dan ketika ini pengeluaran air di loji terbabit terpaksa ditampung oleh beberapa loji lain.

Ekoran itu, paras air di Terusan Besar Sungai Sireh mencapai tahap kritikal iaitu 3.34 meter berbanding paras normal melebihi empat meter dan menyebabkan air sungai itu terpaksa disedut menggunakan pam kerana paras air yang susut.

Difahamkan juga, penyusutan air di terusan utama Sungai Sireh berpunca daripada taburan hujan yang berkurangan di kawasan tadahan air, musim kemarau dan penggunaan air untuk tanaman padi di kawasan Tanjong Karang, Sekinchan dan Sungai Besar.

Seorang pesawah, Ahmad Maidin Hussin, 60, berkata, pihaknya sedia maklum isu berhubung penyusutan air di terusan utama Sungai Sireh di sini yang jelas dapat dilihat dan turut bimbang sekiranya air terus kering jika krisis ini berterusan.

“Saya juga terkejut melihat paras air terlalu rendah sehingga boleh menyebabkan loji yang ada di sini terjejas. Jika masih berterusan, mungkin menimbulkan banyak masalah kepada pengguna.

“Mungkin pesawah di Sawah Sempadan tidak terjejas kerana musim menanam sudah berakhir dan kini hanya menunggu kerja menuai pada 20 Oktober nanti, namun turut bersimpati dengan nasib pesawah di Sekinchan kini tengah menanam padi,” katanya.

Seorang lagi pesawah, Hussien Abdul Shukor, 43, berkata, sejak seminggu lalu, bekalan air di kawasan sawahnya di Sungai Sireh mula berkurangan apabila paras air di terusan berkenaan yang menjadi sumber utama bekalan mulai menyusut.

“Kebanyakan pesawah di sini terpaksa guna air simpanan dan parit, namun kami bernasib baik apabila tanaman padi di kawasan ini sudah hampir masa untuk dituai dan tidak memerlukan air banyak,” katanya yang mengusahakan sawah seluas 2.4 hektar.

Bagi seorang petani, Rosmi Ahmad, 57, berkata, dia juga terpaksa menggunakan air dalam tong untuk mengusahakan tanaman keladi dan jika sumber air sungai terus menyusut, dikhuatiri tanamannya akan musnah.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Urus Air Selangor, Md Khairi Selamat ketika dihubungi berkata, sehingga hari ini pihaknya belum menerima laporan mengenai masalah terbabit dan akan memberi penjelasan selepas ini.

Juragan Malawati..

Tun Mahathir : Undi pembangkang sama seperti undi Soros?



Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan memberi undi kepada pembangkang sama seperti mengundi George Soros iaitu penyangak mata wang yang kejam.

Beliau menegaskan, Soros menggunakan wang beliau bagi meletakkan calon pilihannya untuk memerintah negara-negara yang disasarkan.

Bagi Malaysia, katanya, Soros memilih pemimpin pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melakukan pertukaran rejim dengan menjatuhkan kerajaan sedia ada.

''Mungkin sesetengah orang masih ingat Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu gemar dengan 'masyarakat sivil' ketika berada dalam kerajaan dan beliau juga masih bercakap tentang perkara itu sekarang. Persamaan idea antara Soros dengan Anwar adalah penting," katanya dalam satu rencana yang ditulis untuk akhbar New Sunday Times hari ini.

Dr. Mahathir secara jelas menunjukkan pembabitan Soros melalui Open Society Institute dalam menukar pemerintah sesebuah negara seperti yang berlaku di Georgia.

Sebelum ini, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) juga didakwa turut menerima sumbangan daripada Open Society Institute.

Dr. Mahathir turut melontar persoalan mengapa Soros membiayai Malaysiakini, sebuah portal berita propembangkang.

''Jelas sekali, tindakan itu adalah untuk menjayakan perubahan rejim dengan meletakkan calon-calon pilihannya sebagai Perdana Menteri dan menteri-menteri di dalam kerajaan Malaysia.

''Apa yang kerajaan itu akan lakukan nanti ? jika tidak melaksanakan hasrat Soros," katanya.

Tegas beliau, Malaysia adalah salah satu sasaran Soros.

''Sekiranya terdapat rakyat Malaysia yang ingin dijajah semula, itu adalah pilihan mereka. Tetapi saya percaya rakyat Malaysia tidak mahu menjadi tali barut asing," katanya.

Menurut Dr. Mahathir, tindakan Soros itu terbukti berjaya menjatuhkan rejim di Georgia, Ukraine dan Hungary.

Juragan Malawati..

Ahad, 7 Oktober 2012

Politik bayang-bayang pembangkang?


Inilah Kabinet bayangan pakatan pembangkang yang disiarkan oleh sebuah blog yang dikatakan diambil daripada sumber dalaman PKR.

Sebutlah apa juga istilah bayangan, gila bayang atau mengejar bayang-bayang sememangnya ia tidak boleh dipisahkan dengan pakatan pembangkang yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas.

Sejak 2008 lagi, pakatan pembangkang sememangnya sudah digerakkan untuk melaksanakan politik bayangan atau bayang-bayang apabila Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggegarkan negara dengan impian 16 September pada tahun itu.

Pada masa itu, Anwar yang teruja dengan kemenangan pembangkang menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat apabila menguasai 84 kerusi Parlimen menguar-uarkan ke seluruh dunia bahawa kerajaan akan berubah tangan.

Anwar 'membayangkan' bahawa kira-kira 30 ahli Parlimen BN akan berpaling tadah untuk menyertai pembangkang dan sekali gus membolehkan mereka menubuhkan kerajaan.

Bagaimanapun apa yang dikatakan oleh Anwar hanyalah sekadar mengejar bayang-bayang, impian berkenaan tidak tercapai. Tidak ada seorang pun ahli Parlimen BN yang melompat parti.

Apa yang sebaliknya berlaku dan tidak pernah terbayang di fikiran pakatan pembangkang ketika itu ialah mereka akan kehilangan penguasaan kerajaan negeri di Perak, apabila terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri daripada PKR dan DAP menjadi wakil rakyat Bebas.

Tumbangnya kerajaan pakatan pembangkang di negeri tersebut menyebabkan ramai pemimpinnya menjadi gila bayang dengan kedudukan selama 11 bulan yang pernah mereka kecapi.

Namun begitu, semua itu tidak menjejaskan usaha pakatan pembangkang untuk mula hidup dalam bayangan bagi memburu kuasa politik dengan menjadikan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRY13) sebagai sasaran bagi menamatkan pemerintahan BN.

Di mana-mana sahaja mereka membayangkan bahawa pakatan pembangkang akan mampu menawan Putrajaya. Pelbagai janji mereka taburkan untuk mempengaruhi rakyat.

Mereka membayangkan kepada rakyat bahawa merekalah pilihan terbaik untuk menggantikan BN biar pun rakyat sudah boleh membayangkan apa yang akan berlaku jika mereka memerintah negara.

Corak pemerintahan di negeri-negeri di bawah penguasaan mereka menyebabkan rakyat boleh membayangkan kekalutan yang akan berlaku kepada negara jika pakatan pembangkang memerintah.

Namun pakatan pembangkang tidak pernah berputus asa untuk terus mengejar bayang-bayang politik mereka. Bagaimanapun ketika mereka bersungguh-sungguh berbuat demikian dalam masa yang sama mereka juga bagaikan takut bayang-bayang sendiri.

Apa sahaja yang berlaku ke atas pemimpin-pemimpin atau pentadbiran mereka akan dianggap satu konspirasi oleh UMNO, BN dan media prokerajaan.

Pakatan pembangkang tidak pernah mahu mengakui kelemahan mereka, sebaliknya mereka lebih suka hidup dalam dunia penafian dan bayangan kononnya mereka sempurna dan hebat.

Akibat takut kepada bayang-bayang juga, pembangkang sehingga ke hari ini tidak mahu mendedahkan Kabinet bayangan mereka. Sebaliknya, mereka lebih bersedia memaparkan bajet bayangan yang didakwa jauh lebih baik berbanding Bajet 2013 yang dibentangkan oleh kerajaan BN.

Memanglah sesiapa pun boleh membayangkan apa yang akan mereka lakukan jika mereka mempunyai kuasa tetapi bagi pakatan pembangkang, rakyat sudah menyaksikan bagaimana kelam-kabutnya mereka apabila diberi kuasa memerintah beberapa negeri.

Kini mereka kembali melaksanakan politik mengejar bayang-bayang untuk memburu kuasa memerintah negara.

Walaupun mereka mengerti kerjasama dalam pakatan pembangkang ibarat mengejar bayang-bayang sahaja kerana realitinya, perbezaan ideologi dan arah tuju perjuangan akan menjadi penghalang utama mereka berada dalam satu kapal, namun buat sementara perkara itu diketepikan.

Mereka berusaha menanam keyakinan kepada rakyat untuk bersama-sama memburu bayang-bayang itu dengan menjanjikan pelbagai perkara.

Bagaimanapun, dalam masa yang sama mereka tidak boleh menafikan sehingga ke hari ini, hukum hudud bagaikan bayangan ngeri untuk DAP sehingga Pas yang selalu membayangkan mampu melaksanakan hukum berkenaan terkapai-kapai.

Walaupun Pas telah membayangkan siang dan malam kepada penyokong-penyokong mereka bahawa hukum hudud tidak pernah dilupakan namun mereka tetap diburu bayangan ngeri akibat penentangan DAP manakala PKR pula sentiasa menyokong pendirian DAP.

Begitu juga apabila ketiga-tiga parti mengambil jalan selamat dengan tidak mahu menyentuh soal Kabinet bayangan biar pun sudah ada pemimpin PKR membayangkan siapa dalam kalangan mereka yang dikatakan layak dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.

Tentulah bayangan sedemikian tidak digemari oleh DAP dan Pas kerana mungkin masing-masing merasakan lebih layak mempunyai lebih ramai anggota Kabinet berbanding PKR.

Apatah lagi muncul pula senarai Kabinet bayangan pakatan pembangkang seperti mana disiarkan oleh blog papagomo.com yang menunjukkan PKR menguasai 13 jawatan, Pas (10) dan DAP (8).

Tidak apalah kalau pakatan pembangkang mahu menafikan senarai itu ada kaitan dengan mana-mana pemimpin mereka, namun semua itu terjadi kerana pakatan pembangkang takut dengan bayang-bayang untuk menyenaraikan barisan Kabinet, jika impian mereka menjadi kerajaan.

Apa pun tidak kisahlah sama ada diburu oleh bayang-bayang, sentiasa hidup dalam bayangan atau gila bayang untuk menubuhkan kerajaan tetapi apa yang pasti mereka tidak berhak menyeret rakyat hidup dalam politik bayang-bayang mereka.

Masa depan negara tidak boleh dirancang apatah lagi diuruskan melalui bayang-bayang atau bayangan sahaja. Sebaliknya, perkara itu perlu dilaksanakan secara realiti dan bukannya mengajak rakyat untuk membayangkan sesuatu yang tidak pasti.

Berdasarkan kepada hujah itu adalah diharapkan rakyat tidak akan terpengaruh dengan politik bayang-bayang pembangkang.

Kerajaan BN sejak merdeka lagi, tidak pernah mengajak rakyat untuk membayangkan sesuatu yang tidak pasti.

Sebaliknya apa yang dilakukan adalah melalui tindakan berdasarkan realiti semasa dan bukannya memburu bayang-bayang.

Apa pun, kita percaya politik bayang-bayang pembangkang akan berterusan sehinggalah PRU13 berlangsung. Bagaimanapun politik seumpama itu tidak akan ke mana.

Bak kata lirik lagu Bayangan Gurauan nyanyian kumpulan Mega, ''Di dalam jaga ku tercari-cari; Di dalam tidur termimpi-mimpi..''

Demikianlah politik pakatan pembangkang sentiasa mencari dan sentiasa bermimpi tetapi tidak pernah menjadi realiti.-UMO

Juragan Malawati..

Rabu, 3 Oktober 2012

Seri Paduka lawat Menara Skytree Tokyo


Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tuanku Hajah Haminah berkenan merakamkan gambar pemandangan bandar raya Tokyo ketika mengadakan lawatan ke Tokyo Skytree Tower, semalam.

TOKYO 2 Okt. - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, yang dalam rangka lawatan lima hari ke negara matahari terbit ini, melawat Menara Skytree Tokyo, Selasa.

Ketibaan baginda berdua disambut oleh Presiden Tobu Tower Skytree Co Ltd. Michiaki Suzuki.

Seri Paduka berdua menaiki lif berkelajuan tinggi (600 meter sesaat) untuk ke dek pemerhatian di tingkat 350 bangunan berbentuk jarum itu.

Dek pemerhatian atau dek Tembo, menawarkan pemandangan menarik 360 darjah panorama bandar Tokyo.

Baginda berdua kemudian menaiki lif kedua untuk ke Galeri Tembo setinggi 450 meter.

Digelar sebagai 'skywalk tertinggi di dunia', Galeri Tembo terdiri daripada jalan lingkaran landai yang semakin meninggi apabila berpusing mengelilingi menara itu.

Tokyo Skytree atau Tokyo Sukaitsuri, yang berfungsi sebagai menara penyiaran untuk televisyen dan radio serta menjadi tarikan pelancong, diiktiraf oleh Guiness Book of Records sebagai menara paling tinggi di dunia, dengan ketinggian 634 meter.

Dibuka pada 22 Mei 2012, ia menggantikan Menara Tokyo setinggi 333 meter, yang menjadi mercu tanda ibu negara Jepun sejak 1958, sebagai hab penyiaran.

Dikendalikan oleh Tobu Tower Skytree Co Ltd, menara itu dilengkapi dengan pengkalisan gempa bumi, termasuk syaf tengah yang diperbuat daripada konkrit yang diperkuat.

Kemudahan lain yang terdapat di sini ialah kedai, restoran, kampus universiti dan akuarium. - BERNAMA

Juragan Malawati..