UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Isnin, 22 Oktober 2012

Menjelang PRU-13 : Siap siaga sebelum 'berperang'?


Najib Tun Razak diiringi Chua Soi Lek bersalaman dengan para perwakilan MCA selepas merasmikan Perhimpunan Agung MCA Ke-59 di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam.

Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua jentera serta parti komponen Barisan Nasional (BN) berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi sebelum menuju ke medan peperangan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak lama lagi.

Perdana Menteri berkata, adalah penting bagi seluruh jentera dan komponen BN membuat persiapan terbaik termasuk mengkaji pelbagai kemungkinan yang akan berlaku agar setiap gerakan berupaya dilaksanakan tanpa rasa ragu.

"Kita mesti membuat persiapan terbaik dan terus bersiap sedia sehingga tiada lagi perasaan sangsi terhadap keputusan perang itu kelak. Saya menganggap persediaan ini amat penting, perancangan amat penting," katanya semasa berucap pada Perhimpunan Agung MCA Ke-59, di Wisma MCA, di sini hari ini.

Dalam menegaskan perkara tersebut, Najib memetik falsafah seorang ahli falsafah Islam bahawa pihak yang mempunyai perancangan teliti boleh mengalahkan pihak kurang melakukan perancangan walaupun yang kurang membuat perancangan itu adalah di pihak yang benar.

Perdana Menteri turut menyatakan rasa kagum dengan kebangkitan dan semangat baharu MCA yang disifatkannya sudah bersedia untuk 'berperang', sekali gus memastikan kemenangan besar BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut beliau, MCA di bawah kepemimpinan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek bukan sahaja berpadu dalam satu pasukan tetapi turut memperlihat sikap tidak gentar kepada pakatan pembangkang khususnya DAP apabila berani berdepan dan membongkar kelemahan mereka.

"Persidangan MCA kali ini ada kelainan dan keistimewaannya. Saya lihat ahli MCA begitu bersemangat dan sudah bersedia untuk berperang. MCA bukan sahaja tidak takut kepada pembangkang tetapi sekarang ini lebih berani untuk berdepan dengan mereka.

"Semangat ini saya yakin bukan sahaja mampu mendokong BN (menang majoriti besar) tetapi mampu 'mengkaramkan' pembangkang yang berhasrat mahu menawan Putrajaya," katanya.

Namun pada masa sama, Najib mengingatkan seluruh kepemimpinan dan ahli MCA, walaupun parti itu sudah bersedia berperang dalam pilihan raya umum, tetapi untuk memastikan kemenangan, mereka harus mempunyai hati dan pemikiran yang sama sebagaimana diasaskan BN.

Jelas Perdana Menteri, sebagai sebuah parti, BN dan MCA perlu mempunyai persediaan serta perancangan terbaik agar keputusannya nanti bukan sahaja berpihak kepada kerajaan tetapi tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Tanpa persediaan serta perancangan tersebut kata beliau, parti mungkin boleh terperangkap, walaupun hakikatnya pakatan pembangkang banyak menipu dan berbohong kepada rakyat.

Beliau turut menyelar pakatan pembangkang yang mendakwa bersedia untuk menawan Putrajaya, sedangkan perkara asas seperti bertanding di bawah simbol yang sama sebagaimana BN, masih gagal dilaksanakan.

Tegas Perdana Menteri, rakyat tidak boleh menaruh keyakinan kepada parti yang hanya mahu menawan Putrajaya tetapi tiada kesatuan bagaimana untuk membangunkan negara ini kerana jika tersilap memilih, Malaysia boleh ranap dalam sekelip mata.

"Ingat lagi krisis ekonomi pada 1997? Siapa Menteri Kewangan pada masa itu? Siapa yang naikkan kadar faedah sehingga 24 peratus? Siapa ambil jalan mudah nak serah negara ini kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) walaupun bererti menyerah kedaulatan negara.

"Siapa pula yang selamatkan negara ini jika bukan BN di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sebab itu rakyat mesti pilih kerajaan yang mempunyai pengalaman dan rekod perkhidmatan cemerlang selain telah banyak berjasa," katanya.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan