Bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam.
Para peniaga di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Shah Alam di sini mahu pusat komersial itu dipertahankan dan terus dijadikan sebagai peneraju bagi orang Melayu memasarkan produk mereka.
Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, rata-rata peniaga yang ditemui masih bersemangat waja untuk berjuang, sekali gus membuktikan masyarakat bumiputera terutamanya orang Melayu mampu maju serta sehebat bangsa lain dalam bidang perniagaan.
Seorang peniaga, Amran Yahaya, 54, berkata, tidak kira siapa pun yang mengepalai pentadbiran Kompleks PKNS itu, perjuangan pemimpin terdahulu yang mahu melihat orang Melayu diberi ruang untuk maju dalam bidang perniagaan harus diteruskan.
Dia berkata, selama ini pemimpin terdahulu telah berjuang habis-habisan untuk membela nasib orang Melayu dalam bidang ekonomi dan tidak seharusnya dimusnahkan begitu sahaja.
"Apa jua keputusan pihak pengurusan (PKNS), mereka sepatutnya memikirkan agenda utama iaitu memajukan ekonomi orang Melayu dan perjuangan ini perlu diteruskan tidak kira siapa pun yang mentadbir PKNS.
"Sekiranya peniaga Melayu tidak lagi dibela, saya bimbang mereka tidak mampu untuk bersaing dengan bangsa lain hingga membuatkan mereka gulung tikar, sekali gus hilang punca rezeki," katanya.
Gerai-gerai peniaga Melayu yang terdapat di Kompleks PKNS Shah Alam
Baru-baru ini Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar mencabar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tampil memberi penjelasan penuh berhubung dakwaan Lembaga Pengarah Perbadanan PKNS meluluskan penjualan lima aset milik anak syarikat kerajaan negeri itu berjumlah RM321 juta.
Lima aset tersebut ialah Menara PKNS Petaling Jaya dengan harga RM90 juta; Shah Alam Mall (RM97 juta); Kompleks PKNS Shah Alam (RM85 juta); Kompleks PKNS Bangi (RM42 juta) dan Wisma Yakin (RM7 juta).
Menurut Noh, difahamkan proses penjualan belum dimuktamadkan kerana surat perjanjian penjualan itu masih belum ditandatangani tetapi berada pada peringkat akhir kerana secara asasnya Lembaga Pengarah PKNS telah bersetuju untuk menjualnya.
Sementara itu, Amran berkata, pihaknya juga kecewa kerana pengurusan PKNS gagal melakukan promosi bagi menarik lebih ramai pengunjung datang ke premis berkenaan hingga membuatkan para peniaga sukar meraih keuntungan.
Peniaga pakaian, Khadijah Md. Said, 54, berkata, dia berasa takut dan risau apabila mendapat tahu tentang hasrat PKNS itu yang seolah-olah cuba meminggirkan peniaga Melayu sepertinya.
"Apabila mendapat tahu tentang perkembangan terbaharu ini dan sekiranya benar-benar berlaku, saya bimbang serta takut tentang nasib kami para peniaga di masa akan datang," jelasnya.
Juragan Malawati..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan