UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Ahad, 14 Oktober 2012

Pas sudah jauh berubah?



SASTERAWAN Negara, PROF. EMERITUS DATUK DR. SHAHNON AHMAD, 79, kini agak uzur kerana penyakit myasthenia gravis berkaitan saraf selain masalah pendengaran yang dialaminya namun tetap bersemangat berbicara tentang senario politik tanah air terutama mengenai kerjasama di antara UMNO dan Pas.

Dalam satu pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. AZELI ALI dan jurugambar ISMAIL KAMADIN selama hampir satu jam di rumahnya di Changkat Minden, Gelugor, Pulau Pinang, Jumaat lalu, beliau yang juga ahli seumur hidup Pas turut bercerita mengenai novel terbarunya yang bertajuk Mahabbah.

Menurutnya, perumpamaan dua batang sungai yang mengalir menuju ke satu kuala yang digarap di dalam novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka itu merujuk kepada persepakatan antara dua parti utama mewakili orang Melayu dan Islam iaitu UMNO dan Pas.

Sambil meminta semua pihak menjaga keharmonian di dalam berpolitik, beliau tidak mengelak ketika ditanya tentang bahaya kerjasama Pas-DAP, pengaruh Anwarinas dalam Pas dan pesanan terhadap masyarakat Melayu Islam.

MINGGUAN: Boleh Datuk ceritakan perkembangan sekarang, adakah masih aktif dalam bidang penulisan dan kesusasteraan tanah air?

SHAHNON: Sekarang ini kesihatan saya tidak berapa baik kerana beberapa penyakit termasuk myasthenia gravis namun tidak berapa serius. Selain itu ada masalah pendengaran sikit-sikit. Saya juga masih boleh mengarang novel dan cerpen termasuk yang terbaru novel bertajuk Mahabbah yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Novel itu baru sahaja dilancarkan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Datuk Dr. Omar Osman baru-baru ini. Mahabbah yang bermaksud cinta menjadi agenda bagi saya meneruskan perjuangan menyatupadukan orang Islam di Malaysia. Di dalam novel itu biarpun saya tak sebut nama tapi kalau orang baca dengan teliti penghujungnya merujuk kepada UMNO dan Pas yang akhirnya bersatu.

Bagaimana pula penglibatan Datuk di dalam Pas. Adakah masih aktif?

SHAHNON: Saya masih lagi ahli Pas seumur hidup sebab setakat ini tak ada apa-apa masalah tentang keahlian saya itu. Tapi saya dah tak aktif sebagai penggerak di dalam gerakan disebabkan keuzuran ini. Namun saya masih teruja mengutarakan persoalan politik di dalam karya-karya saya termasuk novel Mahabbah itu.

Satu ketika dahulu Datuk dilihat agak lantang mengkritik kerajaan tetapi kini dilihat semakin berkurangan. Apakah yang menyebabkan Datuk berubah sikap?

SHAHNON: Dahulu pun saya tidaklah begitu lantang bersuara tetapi lebih kritikal mempersoalkan isu-isu ketidakadilan serta amalan rasuah dalam kalangan pemimpin negara di dalam karangan-karangan saya. Sekarang ini saya lihat sudah ada perubahan yang optimis dan menggalakkan dilakukan oleh pemimpin negara kita. Walau saya tak kritik tapi setiap bulan melalui kolum khas di dalam majalah Dewan Sastera saya tetap menulis mengenai kegemilangan dan kestabilan negara serta isu kestabilan Malaysia.

Bagaimana Datuk melihat perjuangan Pas kini berbanding dahulu?

SHAHNON: Saya melihat Pas kini melalui dua perubahan besar iaitu para ulama tidak lagi memainkan peranan penting malah Timbalan Presidennya sendiri bukan dari kalangan ulama tetapi lebih kepada sekular. Pas adalah parti yang memperjuangkan Islam jadi seharusnya ia dipimpin oleh ulama. Mengambil contoh pada zaman Rasulullah SAW di Madinah, baginda mendapat wahyu daripada Allah dan memerintah berlandaskan al-Quran. Pas juga perlu memerintah berlandaskan al-Quran jadi kita perlukan orang yang fasih iaitu ulama untuk mentafsirkan kitab Allah itu di dalam pentadbiran. Saya sebenarnya bimbang Pas akan hilang arah sekiranya golongan ulama semakin berkurangan dan tiada pengganti kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang semakin dimamah usia. Oleh itu tokoh-tokoh muda Pas harus datang daripada golongan ulama muda yang boleh mentafsir al-Quran dan Sunah.

Kenyataan saya ini bukan bermakna saya menolak golongan muda yang liberal dan aktivis masyarakat kerana mereka juga penting tetapi tunjang parti sepatutnya golongan ulama. Perubahan kedua adalah kerjasama Pas dengan parti-parti lain terutama DAP. Saya tidak menolak Pas dan DAP bersama namun mereka harus menjadikan Islam sebagai penentu keputusan. Oleh itu saya menyokong kenyataan Nik Aziz tentang kerjasama dengan DAP cuma ia perlu diubah kepada DAP perlukan Pas. Sewaktu berhijrah ke Madinah dan mendirikan negara Islam, Rasulullah SAW juga bekerjasama dengan Yahudi, Nasrani dan Musyrikin Madinah tetapi syarat utama adalah mereka tidak boleh remeh-temeh terhadap Islam dan menerima Islam adalah penentu keputusan. Oleh itu kalau mereka (Pas) bekerjasama dengan DAP pasti tak ada salahnya jika mereka boleh bekerjasama dengan UMNO kerana kedua-duanya nak negara Islam. Konteks kerjasama yang kita harapkan adalah selalu adakan pertemuan dan bermesyuarat bagi mencari titik persamaan.

Datuk pernah berkata Pas sudah tidak menepati kehendak Islam apabila bersekongkol dengan DAP, boleh Datuk ulas perkara ini lebih lanjut?

SHAHNON: Ia kembali kepada permasalahan utama iaitu Pas kini tidak lagi dipimpin oleh ulama yang membawa Pas lari dari landasan Islam sebenar. Saya juga dapati Pas kini lebih banyak berbicara isu-isu sekular serta bersifat kebendaan, berbentuk fizikal serta lebih ke arah keduniaan berbanding matlamat utama iaitu ukhrawi. Kita tidak boleh menolak dunia untuk akhirat tetapi perlu kedua-duanya kerana yang hakiki dan abadi adalah kehidupan di akhirat nanti. DAP pernah berkata mereka menolak hudud dan beberapa pemimpin di dalam Pas seolah-olah bersetuju dengan pandangan itu sedangkan hudud adalah matlamat utama Pas selain menubuhkan negara Islam.

Jadi adakah Datuk rasa perkara ini berlaku kerana kepimpinan Pas tidak nampak 'bahaya' kerjasama ini atau mereka hanya pejamkan mata?

SHAHNON: Saya setuju kalau dikatakan mereka tak nampak 'bahaya' itu atau mungkin beranggapan politik hanya untuk mengejar kuasa, publisiti atau kerusi dalam pilihan raya sahaja. Ramai golongan muda di dalam Pas hari ini saya rasa hanya melihat lingkungan politik sekular sahaja dan lari daripada matlamat parti Islam yang menjadi parti ke arah ukhrawi. Saya lihat Nik Aziz banyak menulis buku tentang perjuangan Pas untuk membawa rakyat mencapai kejayaan dunia dan akhirat namun kurang dipersetujui oleh golongan muda. Pas tak boleh lari daripada memperjuangkan dunia untuk mendapatkan akhirat. Tapi kalau masih ada orang muda yang lebih fikir duit, populariti atau kepujian semata-mata, tak ada bezalah Pas macam parti-parti lain yang sekular.

Tetapi kini Pas dilihat tidak memiliki peranan jelas dalam pakatan pembangkang malah semakin membisu dalam memperjuang perkara pokok parti iaitu penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud. Pada pandangan Datuk apa lagi matlamat Pas sekarang?

SHAHNON: Pas tidak boleh lari daripada matlamat utama iaitu menegakkan negara Islam dan dengan sendirinya mengutamakan hukum hudud kerana hanya Islam yang boleh membawa kita ke syurga serta membawa kebahagiaan sebenar di sisi Allah. Tapi kalau semua itu tidak lagi menjadi keutamaan dan Pas pula hanya pentingkan kerusi maka tunjang perjuangan Pas tiada makna lagi. Pada saya, kalau matlamat Pas adalah negara Islam jadi perkara pokok adalah pemimpin harus daripada golongan ulama. Ulama pun bukan yang penipu atau yang penakut tapi benar-benar ikhlas berjuang demi Islam dan berharap kepada keredaan Allah. Perjuangan untuk menegakkan Islam ini tak boleh atas usaha sendiri sahaja tetapi perlu kembali kepada Allah sebab kita tak memiliki kuasa yang agung seperti-Nya. Pastinya tiada erti nama parti Islam itu jika kita gagal memperjuangkan Islam serta memahami al-Quran sebagai teras amalan.

Bagaimana pula Datuk melihat penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang dan pengaruh Anwarinas di dalam Pas?

SHAHNON: Kalau boleh saya malas nak ulas panjang tentang Anwar kerana pada saya beliau adalah orang politik yang hanya pentingkan kuasa dan kerusi dalam pilihan raya. Jadi beliau akan lakukan apa sahaja untuk mencapai kehendaknya itu asalkan mendapat kekuasaan. Kalau beliau nak bergabung dengan Pas sepatutnya beliau kena tunduk kepada Islam kerana saya lihat PKR ini didapati cuba membawa parti-parti lain di dalam pakatan ke arah sekularisme. Ini pastinya harus ditentang oleh Pas sekeras-kerasnya. Kebanyakan pemimpin PKR terdiri daripada golongan sekular dan liberal serta pengaruh mereka mula meresap di dalam diri ahli-ahli Pas yang terdiri daripada golongan muda yang tidak berapa teguh keislaman mereka. Pada masa sama, sifat retorik mereka serta kecekapan berpidato mampu mempengaruhi ahli-ahli Pas. Itu yang saya agak bimbangkan.

Bagaimana pula Datuk melihat kerjasama antara Pas dan UMNO sama ada ia harus diteruskan atau tidak kerana ramai pemimpin Pas sendiri menolak usaha ini?

SHAHNON: Pas dengan UMNO ni nak kelahi buat apa. Macam yang saya katakan tadi perlunya ada kerjasama di antara Pas dan UMNO kerana ada titik persamaan antara kedua-dua parti bagi membela rakyat terutama masyarakat Melayu Islam. Sekarang ini pun setiap hari berlaku fitnah sesama kita yang akhirnya akan merugikan orang Melayu, jadi kedua-dua pihak harus mengamalkan musyawarah dan sentiasa duduk semeja bagi mencapai hasrat bersama. Kita lihat kepada slogan 1Malaysia yang diutarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ia seharusnya diulas dalam konteks yang lebih luas bukan sekadar satu bangsa dan satu agama sahaja bagi Pas dan UMNO. Tetapi budaya musyawarah itulah yang harus diutamakan dan kita nak pemimpin duduk mesyuarat bincang agenda yang membawa faedah kepada rakyat. Rakyat juga menunggu nak lihat kematangan berpolitik mereka. Kalau berpolitik semata-mata nak dapat populariti, pasti Pas dan UMNO tak akan ke mana dan yang rugi pasti kedua-duanya. Ini adalah harapan seluruh rakyat Malaysia kerana kalau nak kira negara kita ni unik. Kita miliki pelbagai etnik dan budaya tapi boleh hidup aman harmoni. Jadi parti politik yang ada pun harus ambil kesempatan atas kepelbagaian budaya ini dengan bekerjasama bagi mencapai erti kata sebenar 1Malaysia. Pas sendiri pun bukan sahaja dengan UMNO tapi nak kerjasama dengan DAP, MCA dan MIC pun pastinya tak ada masalah dengan syarat Islam diutamakan.

Apakah Datuk lihat UMNO dan Barisan Nasional kini berada di landasan yang betul dan apakah yang diperlukan untuk UMNO mendapat sokongan rakyat?

SHAHNON: Sebenarnya pada saya UMNO sebuah parti yang bersifat sekular dan mementingkan keduniaan juga kerana mereka lebih memikirkan soal harta benda dan wang ringgit berbanding aspek ukhrawi yang sepatutnya menjadi matlamat insan. Untuk diterima rakyat terutama orang Melayu Islam mereka harus ubah mentaliti itu kerana harta benda dan wang ringgit bukan kebahagiaan hakiki. Malah untuk mendapat sokongan juga mereka harus ikhlas bersama-sama Pas menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud.

Akhir sekali apa pesanan Datuk kepada orang Melayu Islam di negara ini yang semakin berpecah-belah kerana lebih tertumpu kepada politik?

SHAHNON: Pertama sekali sebagai orang Islam kita tak boleh lupakan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW. Jangan terlalu kejar aspek duniawi sehingga lupa janji Allah tentang akhirat kerana baginda sendiri berpesan kepada kita agar berpegang kepada dua perkara itu. Kehidupan kita harus menyeluruh antara dunia dan akhirat dan itulah politik yang harus dipegang oleh orang Melayu Islam. Dalam mengejar politik itulah kita memelihara keharmonian sesama masyarakat dan menghormati agama dan bangsa lain.-UMO

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan