UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Khamis, 28 Oktober 2010

DAP takut sejarah Malaysia : Bantahan DAP agenda cuba 'membutakan' rakyat!

Tindakan DAP membantah keputusan Kementerian Pelajaran menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 mungkin merupakan agenda parti itu untuk 'membutakan' rakyat mengenai asal-usul penubuhan negara ini.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus berkata, sebenarnya tiada sebab DAP mahu mempertikaikan keputusan tersebut kerana ia bertujuan melahirkan generasi yang tahu asal-usul serta perkembangan negaranya sendiri. Menurutnya, keputusan itu mempunyai rasional kerana penghayatan terhadap sejarah mampu meningkatkan jati diri serta semangat patriotisme di kalangan generasi muda.

''Tidak timbul isu UMNO menentukan segala-galanya kerana pengumuman itu adalah bersifat nasional. Yang menjadi persoalannya kenapa DAP begitu bersungguh-sungguh menentang keputusan ini.

''Apakah DAP mahu 'membutakan' rakyat khususnya generasi muda daripada memahami serta menghayati sejarah negara melalui penekanan mata pelajaran Sejarah," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Rasah daripada DAP, Loke Siew Fook pada satu sidang akhbar di bangunan Parlimen semalam yang mempersoalkan keputusan itu yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Menurut Siew Fook yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), pengumuman Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran sepatutnya dibawa ke Kabinet, bukannya menerusi perhimpunan parti itu.

Malah, Siew Fook turut melemparkan tuduhan bersifat melaga-lagakan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) apabila menyatakan kononnya UMNO sahaja yang menentukan dasar kerajaan kerana keputusan Muhyiddin itu dibuat tanpa melibatkan MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain.

Abdul Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang berkata, kenyataan Siew Fook itu mungkin kerana DAP tidak mahu mata pelajaran Sejarah dijadikan subjek wajib lulus.

Ini kerana jelasnya, sejarah negara hakikatnya melibatkan penglibatan serta peranan UMNO dan pemimpin daripada parti komponen BN dalam membentuk Persekutuan Tanah Melayu sebelum mencapai kemerdekaan sehingga ke hari ini.

Jelas beliau, sepatutnya DAP tidak perlu berfikiran negatif atau menjadikan keputusan itu sebagai isu politik kerana ia bertujuan memupuk perpaduan nasional di kalangan generasi muda.

" DAP tidak boleh memadamkan sejarah, tamadun serta peranan pemimpin terdahulu yang menjadi asas pembentukan negara ini. Generasi muda berhak dan harus mengetahui, memahami serta menghayati sejarah melalui penekanan pembelajaran di sekolah," ujarnya.-UM

Juragan Malawati..

Rabu, 27 Oktober 2010

APABILA DAP BERJAYA MEM"bapuk"KAN PEMIMPIN PAS!

Pas adalah pejuang Islam yang paling bacul. Demi mengejar kuasa Pas merelakan apa sahaja walaupun secara terang Islam telah diperlekehkan oleh rakan sepolitiknya. Banyak peristiwa yang membuktikan betapa Pas hanya menjadikan agama sebagai alat memuaskan nafsu gila kuasa m...ereka.

1) Karpal Singh pernah menyinggung perasaan seluruh umat Islam dengan kenyataannya berbunyi “Langkah mayat saya dulu, baru pemerintahan Islam boleh dilaksanakan di Malaysia”.

2) Kenyataan DAP yang membayangkan sikap negatif terhadap Islam. Contoh, Lim Kit Siang dengan lantangnya berkata “Penubuhan negara Islam tidak sesuai bagi masyarakat majmuk di Malaysia….kemajuan rakyat lebih utama”.

3) Chen Man Hin berani membuat kenyataan “DAP tidak berganjak dengan pendirian untuk memastikan negara ini sebagai negara sekular”.

4) DAP mula mempertikaikan usaha Pas mahu menubuhkan negara Islam dengan mendakwa Pas perlu menang 128 kerusi Parlimen sedangkan parti itu hanya diperuntukkan 60 kerusi Parlimen oleh pakatan pembangkang.

5) Laungan takbir sebilangan besar penyokong Pas menyambut kedatangan Karpal Singh di Perak.

6) Tindakan melampau seorang penceramah Cina berketurunan Siam mengkafirkan pemimpin kerajaan yang juga seorang yang beragama Islam sedangkan orang Islam sendiri tidak mempunyai hak untuk mengkafirkan orang Islam yang lain.

7) Mempertahankan tindakan ahli politik kafir mencemarkan masjid. Ahli politik kafir itu telah menggunakan tempat suci orang Islam beribadat untuk memaki hamun dan mencerca pemimpin Islam.

8) DAP lantang menentang untuk memasukkan slogan penubuhan negara Islam dalam manifesto pakatan pembangkang dalam pilihan raya akan datang sedangkan jika diukur dari segi kemampuan memenangi kerusi pilihan raya Pas lebih berhak menentukan agenda dalam manifesto gabungan pembangkang. Ini adalah satu penghinaan paling terhormat dilakukan oleh DAP bagi menunjukkan sikap anti Islam mereka.

Kenyataan dan perbuatan yang dilakukan oleh DAP jelas menggambarkan pandangan serong parti itu terhadap Islam. Ini adalah satu tamparan yang hebat kepada Islam keseluruhannya.

Namun Pas lebih selesa untuk terus tidur berbantalkan lengan DAP. Pas semakin gagal menyemai nilai Islam dalam hati nurani rakan pembangkang yang sekaligus menunjukkan betapa Pas tidak akan mampu memupuk benih kemurnian dan semangat ukhwah sesama umat Islam.

Kepada Pas, teruskanlah sandiwara ini kerana ternyata mereka adalah pejuang Islam bacul tersohor di penghujung abad ini.

Juragan Malawati..

Selasa, 26 Oktober 2010

AIR SELANGOR : PEMBOHONGAN PAKATAN SELANGOR DIBONGKAR!

( BACA DAN EDAR ) Memahami kronologi isu air ini akhirnya akan mendedahkan kelemahan corak pentadbiran kerajaan negeri selangor mengawal dan mentadbir urus isu air..semuanya mahu dipolitikkan..!!!

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo, hari ini, menyifatkan Kerajaan Pakatan di Selangor tidak ubah seperti beruk mendapat bunga apabila berkuasa sejak tiga tahun lalu.

Menurut Mohamad Khir, tindakan kerajaan negeri Selangor enggan membenarkan loji rawatan air di Hulu Selangor dibina oleh kerajaan Persekutuan seperti mana dalam pelan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang ke Selangor sebagai keterlaluan dan boleh menyebabkan kos meningkat berkali ganda kepada kerajaan Persekutuan.

Menurut bekas Menteri Besar Selangor itu, kerajaan Selangor tidak menguruskan isu air dengan betul apabila mengaitkan isu penstrukturan semula air dan kenaikan tarif air dengan pembinaan loji rawatan air di Hulu Langat.

Dalam tulisan terbaru beliau berjudul “Sokong Penstrukturan Semula Air Selangor” di dalam blognya mengkritik kerajaan negeri Selangor, ” Bagaimana kerajaan negeri ingin bermain logik mengugut kerajaan Persekutuan sedangkan mereka “bergaduh” dengan sebuah syarikat berstatus berhad yang mereka sendiri ada 30% saham?

Bolehkah kita yang rasional menerima sikap kerajaan negeri yang menangguhkan kelulusan pembinaan loji kerana mereka gagal mengambil alih sebuah syarikat? Wajarkah projek yang bernilai berbilion ringgit ini dijadikan taruhan dan menyebabkan kerajaan Persekutuan perlu berbelanja lebih, yang tentunya membabitkan wang rakyat?

“ Alasan kenaikan tarif air ini hanyalah sandiwara kerajaan negeri kerana syarat-syarat sedia ada sudah cukup menjaga kepentingan pengguna. Seperti yang saya jelaskan tadi, tarif air tidak boleh dinaikkan tanpa persetujuan panel penilai yang dianggotai oleh kerajaan negeri, persekutuan dan wakil Syabas. ”

Adakah krisis air di lembah Klang akan berulang kembali!!!

Juragan Malawati..

Ahad, 24 Oktober 2010

UMNO dahulukan rakyat!

Bismillahirrahmanirahim
Sidang perwakilan, sidang pemerhati, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian, Syukur Alhamdulillah kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang telah memberi taufik dan inayahnya kepada kita semua sehingga Perhimpunan Agung kali ke-61 ini dapat dirangkum dan disempurnakan dengan selamat sampai kepada penghujungnya.

Seperti mana yang saya sebut dalam ucapan dasar saya bahawa Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka ini dilangsungkan sebanyak 25 kali. Pada kali ini perhimpunan ini mencatat beberapa perkembangan yang amat signifikan lagi bersejarah.

Yang pertama ialah buat kali pertama dalam sejarah UMNO solat Jumaat telah diadakan di dalam bangunan UMNO sendiri. Moga-moga petanda ini akan membawa keberkatan yang berkekalan. Insya-Allah.

Dan saya ucap terima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha memberi kebenaran untuk solat Jumaat diadakan di dalam bangunan UMNO yang keramat lagi bersejarah ini.

Yang kedua ialah buat kali pertama sebelum perhimpunan ini diadakan satu forum antarabangsa yang bertajuk ‘Pembentukan Masyarakat Global: Liberalisasi Media dan Realiti Politik Baru’ yang melibatkan 400 peserta dari dalam dan luar negara. Sekaligus kita telah dapat mengetengahkan UMNO, usaha-usaha murni UMNO memimpin negara kita, memaju negara kita dan membawa perubahan yang besar kepada negara kita. Biar dunia lihat bahawa kejayaan ini kerana kemajuan UMNO selama ini.

Saudara saudari sekalian,

Pada awal ucapan, saya nak menyelesaikan urusan yang biasa saya buat pada penghujung ucapan saya. Saya ucap terima kasih pada Datuk Pengerusi Tetap Persidangan UMNO yang telah mempengerusikan persidangan ini dengan gayanya tersendiri dan amat menarik.

Dan saya nak mengesahkan, saya turun bawah tadi jumpa dengan reporter akhbar Cina, saya tanya, “Betul ke Pengerusi Tetap kita cakap bahasa Hokkien?”’ Dia kata betul. Walaupun bahasa Hokkien pasar tapi betul. Tahniah juga kepada Timbalan Pengerusi Tetap yang cekap membantunya.

Saya juga ucap terima kasih kepada urus setia ibu pejabat, Setiausaha Agung (Datuk Tengku Adnan Mansor). Terima kasih kepada Setiausaha Kerja yang sihat walafiat, tak berhenti bekerja. Dan kepada semua kakitangan ibu pejabat, semua pihak, media, segala-galanya yang telah membantu persidangan kita berjalan dengan baik.

Saudara saudari sekalian,

Saya berasa begitu terharu bahawa ucapan Presiden saya pada kali ini mendapat sambutan yang sangat hangat di kalangan para perwakilan.

Saya ucap terima kasih kepada Timbalan Presiden yang telah menyatakan bahawa ucapan itu ucapan yang tegas dan berani.

Ada dua reaksi yang agak menarik perhatian saya. Yang pertama bila saya sedang ambil gambar dengan Exco Wanita, ramai wanita yang kata, ‘‘Datuk, kami wanita puas dengar ucapan.’’ Dia punya puas panjang sikit. Puas....Ini isteri saya tak marah. Bab ini dia tak marah. Bab lain jangan cuba.

Yang kedua bila saya balik rumah, ada seorang teman lama dari Pahang tunggu tercegat di luar pagar rumah saya. Jadi saya gamit dia bila saya masuk. Saya kaji apa hajatnya. Tak ada. Dia kata selama ini dia bimbang masa depan anak cucu dia. Tapi bila dengar ucapan saya dia kata dia yakin masa depan anak cucu dia terbela.

Dan itulah sebenarnya hakikatnya bahawa peruntukan-peruntukan yang menyangkut tentang kepentingan orang Melayu, bumiputera, yang melibatkan soal keistimewaan orang Melayu sudah pun terpateri kemas, telah terkunci, tersimpul mati dalam Perlembagaan negara kita. Yang tak boleh dipinda melainkan dengan persetujuan Raja-Raja Melayu dan saya tak nampak Raja-Raja Melayu akan pinda peruntukan Perlembagaan ini.

Namun ada juga pihak, inilah kata kumpulan yang sebelah sana, dia pakar pusing. Dia pusing bab itu, dia pusing. Orang putih kata spinning. Dia very good at spinning. Dia kata kalau sudah terkunci, tersimpul mati, jadi tak perlulah UMNO berkuasa sebab orang Melayu kalau ada kuasa pun orang lain boleh pertahankan sebab sudah ada peruntukan dalam Perlembagaan.

Ini adalah satu pandangan yang tidak benar sama sekali. Ini kerana walhal peruntukan itu sudah terkunci kemas tapi kuasa politik perlu di dalam tangan UMNO untuk menterjemahkan prinsip semangat peruntukan Perlembagaan. Sebab itulah dalam ucapan saya, bab kedua ketiga penghujungnya sekali saya tutup ucapan saya dengan mengatakan dalam apa juga keadaan, mesti kita pertahankan apa mesej itu.

Jangan sampai dia benak. Dia benak ataupun orang Negeri Sembilan kata bangang. Saya tanya isteri saya, bangang itu apa. Bangang itu paling teruk sekalilah ataupun dia faham sengaja tak nak buat faham. Inilah masalah kita berdepan dengan pembangkang yang selalu memutar sesuatu kenyataan untuk mengelirukan rakyat jelata. Kita beritahu bahawa UMNO akan menyelamatkan masa depan Melayu dan negara kita yang tercinta. Tak ada orang lain boleh, nak kata dia boleh? Dulu sibuk dengan reformasi, sekarang ini sibuk baling kerusi. Saya tak sebut, dia tau, dia faham.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Dalam perhimpunan ini, soal Perlembagaan tak usah bangkit pada sesiapa lagi, habis tutup cerita, kita mara ke depan. Orang putih kata let’s move on. Dalam perhimpunan ini saya lihat memang hasrat kita, hasrat saudara-saudara sekalian bahawa soal agenda Melayu, kedudukan bumiputera akan terus diperjuangkan oleh pimpinan UMNO dan kerajaan.

Saya nak beritahu bahawa hal ini memang akan terus diperjuangkan oleh kita. Malah dalam persidangan MCA baru-baru ini, bila saya rasmikan, sebelah saya semua pimpinan MCA. Apa saya kata? Saya kata sekiranya majoriti dalam sebuah negara itu memiliki sebahagian kecil daripada kekayaan, itu tidak adil dan tidak menyumbang kepada kestabilan politik tanah air kita.

Saya kata depan Presiden MCA, depan pimpinan MCA saya terangkan dengan jelas. Dalam UMNO, MCA dan MIC, dalam apa jua keadaan, kita mesti menegakkan keadilan sosial di dalam negara kita. Terima kasih perwakilan mengingatkan siapa pencetus Dasar Ekonomi Baru. Takkan saya, anakandanya, darah yang mengalir dalam badan saya, tidak akan meneruskan semangat dan prinsip perjuangan itu.

Dalam majlis ini, saya nak bagi tahu, bahawa hasrat saudara-saudara sekalian supaya kita tubuhkan apa yang dikatakan Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera atau pun MTAB. Saya nak beritahu bahawa pada hakikat sebenarnya, Majlis Tertinggi mengangkat agenda bumiputera sudah pun diwujudkan oleh kerajaan. Malah mesyuarat pertama telah diadakan sebulan yang lalu. Saya jadi Pengerusi, Timbalan Perdana Menteri jadi Timbalan Pengerusi, menteri-menteri yang berkenaan menganggotai termasuk tiga-tiga Naib Presiden, hak Jawa, hak Turki, hak lanun, semua ada. Ketiga-tiga ini sekarang saya tak panggil nama dia. Saya panggil dia Jawa, Turki, lanun, biar lekat triple ini, semua ada.

Kami akan pastikan agenda bumiputera terus diperjuangkan. Malah ada satu perkembangan yang saya nak terangkan. Ini juga kaitan dengan program kita untuk menambah lagi penyertaan bumiputera yakni Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJJB) yang sekretariat dia bawah Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Saya nak beritahu bahawa pada tahun sudah dan tahun 2010, empat buah syarikat bumiputera yang market capitalisation berjumlah RM411 juta sudah pun disenaraikan di Bursa Saham. Syarikat-syarikat ini kami tak kenal siapa dia. Syarikat-syarikat ini diproses berdasarkan kepada kebolehannya untuk disenaraikan.

Tetapi untuk disenaraikan dia mesti ada rekod baik lima tahun keuntungan dan Suruhanjaya Sekuriti nak tengok dari segi keuntungan akan datang. Jadi, apa yang diperlukan oleh syarikat-syarikat bumiputera ini bantuan sedikit oleh kerajaan, dalam bahasa Inggeris disebutkan The Last Mile, ini penghujungnya. Jadi, kita bantu, bila kerajaan bantu penghujungnya syarikat-syarikat ini boleh disenaraikan di Bursa Saham dan tahun sudah RM411 juta.

Tahun akan datang insya-Allah 11 buah syarikat bumiputera dijangka disenaraikan dengan pasarannya hampir RM2 bilion. Memang seperti mana perwakilan kata, kita tak marah orang lain dapat keuntungan, kita tak marah orang lain kaya malah yang kaya itu pun kerana UMNO juga mereka kaya. Betul tak? Siapa bagi lesen beras? Siapa bagi lesen gula? Siapa bagi lesen IPP (projek loji tenaga bebas)? Siapa bagi lesen satelit? Tidakkah UMNO yang bagi. Kalau kita nak tolong bumiputera, jangan pula mereka marah kita nak tolong bumiputera, ini baru adil. Hak orang lain dapat dia senyap, hak kita nak bagi dia komplen, tak bolehlah macam itu, adilkah semua ini?

Ini yang kita hendak, itu satu 1Malaysia. Terima kasih semua kerana sudah terima 1Malaysia sekarang ini sampai ada seorang perwakilan pakai 1Malaysia dekat songkok dia, ada keluar dalam gambar, ini jelas.

Saudara-saudari sekalian,

Kita pun ada program lain macam Ekuinas. Kita sudah labur dalam tiga syarikat bumiputera dengan nilai sebanyak RM350 juta. Malah dalam

Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan RMK-11, kerajaan memperuntukkan RM5 bilion untuk Ekuinas. Kalau ada syarikat bumiputera yang berpotensi jadi lebih besar, sampai ke peringkat persada antarabangsa, kita akan bantu Melayu Ekuinas. Ini supaya syarikat bumiputera bukanlah syarikat yang kecil, kerdil tapi syarikat besar bertaraf dunia global. Ini hasrat kita supaya Melayu berjaya, bumiputera berjaya di persada antarabangsa.

Kita tidak lupa. Bukan sahaja orang usahawan, bukan sahaja golongan korporat tetapi perjuangan kita bak kata pemimpin-pemimpin tadi berbentuk inklusif, keterangkuman. Jadi, hak yang bawah pun kita mesti jaga sebab itulah kita perkenalkan gaji minimum. Siapa untung? Yang pertama posmen dah untung. Posmen dahulu hampir dekat paras kemiskinan. Sekarang ini dapat RM1,300, RM1,400 sebulan. Perjuangan siapa? Perjuangan UMNO. Bukan orang lain, UMNO.

Siapa lagi? Imam masjid pun terkejut, tersentak, tidak terfikir-fikir boleh dapat RM750. Sebab itu ada imam yang dah letak jawatan hendak ambil semula itu. Datuk Seri Jamil Khir Baharom kata ada, ada dia hendak minta balik jadi imam.

Siapa lagi? Guru-guru KAFA dapat, ketua kampung pun dapat, siapa ketua kampung? Separuh daripada ketua cawangan. Ketua Bahagian kena jaga ketua cawangan betul tak? Kalau tidak dia tidak sokong undi.

Mulai tahun depan siapa lagi, pengawal-pengawal keselamatan yang kebanyakannya bekas tentera, ini Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dapat gaji RM700 insya-Allah dapat RM1,000 ke atas. Ini perjuangan UMNO. Ini kena beritahu, jangan sebab nak bagi air 20 milimeter padu percuma, besarnya punya cerita. Macam wakil Pulau Pinang sebut nak bagi RM50 guru KAFA pun macam nak tenggelam Pulau Pinang punya ceritalah. Tapi kita mesti tahu, mesti beritahu, mesti uar-uarkan bahawa segala-galanya adalah kerana hasil perjuangan UMNOlah memungkinkan perkara ini jadi kenyataan, bukan orang lain.

Wakil Pemuda cadangkan supaya golongan muda yang baru keluar, baru nak kahwin, tak sabar nak kahwin tapi nak rumah (tetapi) tidak mampu, kerajaan telah isytiharkan bahawa kalau beli rumah bawah RM220,000 ke bawah tak payah bayar wang pendahuluan, dapat pinjaman 100 peratus.

Wakil Pemuda cadangkan supaya hak RM3,000 itu jangan kira pendapatan sekeluarga, tapi kalau seorang RM3,000 ke bawah pun tak apa. Boleh saya nak kata, saya setuju dengan syor Pemuda.

Inilah yang kita kata inklusif. Jangan jaga orang di atas sahaja, jaga di bawah, jangan main di atas sahaja, hak belakang pun jangan (Pengerusi Tetap mencelah), jangan itu, tak boleh lalu, tak boleh. Inilah yang kata UMNO ini keindahan. Cuma kita ini UMNO tidak pandai nak bawa cerita. Itu saja, tak pandai nak jual cerita, kurang sikit mahir, sebab apa? Kita ini mesti uar-uarkan di kampung, di bandar, di semua tempat, beritahu ini semua perjuangan UMNO. Bukan orang lain.

Saudara saudari sekalian,

Ramai yang sebut tentang transformasi UMNO. Jadi, saya nak sebut di sini bahawa model transformasi UMNO apa temanya. Saya fikir waktu persidangan ini, jurucakap, pensyarah semua saya menghayati hujah-hujah mereka. Saya tilik-tilik dan saya rasakan bahawa tema yang sesuai model transformasi UMNO ialah ‘UMNO Dahulukan Rakyat’. Ini dia. Jadi sebenarnya, proses transformasi ini dah mula. Dia mula seperti yang Datuk Hishammuddin (Hussein) kata tadi dari waktu kita meminda Perlembagaan pada tahun sudah. Kita tidak tahu sangat signifikannya. Tapi dalam sejarah UMNO, ada tiga peristiwa yang sangat besar ertinya iaitu penubuhan UMNO, UMNO diharamkan dan pindaan Perlembagaan UMNO pada tahun sudah. Ini tiga. Sebab apa? (Kerana) ia menukar sama sekali asas pemilihan, proses menentukan pemilihan UMNO yang lebih demokratik dan lebih inklusif termasuk jawatan Presiden UMNO pun. Nasib Presiden UMNO di tangan 140,000 perwakilan tidak boleh bersandar lagi kepada kuota. Dulu ada kuota. Ada 58 bahagian mencalonkan baru layak lawan Presiden. Tuan-tuan ingat senang dapat 58 bahagian. Berani 58 bahagian calon orang lain lawan Presiden? Tak ada, tak jadi. Saya betul-betul menyerah nasib saya, Tan Sri Muhyiddin (Yassin), naib-naib Presiden pada saudara-saudara sekalian.

Untuk menentukan ini, kita kembalikan kepercayaan kepada ahli supaya ahli akan menentukan dia boleh buat kerja atau tidak boleh buat kerja. Kalau tidak boleh buat kerja, dia akan hantar signal. Kami tidak mahu terus berkuasa tanpa dilihat, dinilai sebagai pemimpin yang boleh berjasa dan berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air.

Saya nak sebut sekali lagi, empat tonggak utama kemenangan kita. Satu, kepimpinan Barisan Nasional dengan dasarnya dan hala tujunya mesti diterima rakyat. Kedua, kepimpinan di peringkat negeri pun penting juga. Ketiga ialah parti sama ada parti kita dalam keadaan disenangi, diterima oleh rakyat. Keempat ialah calon, saya kata minta ‘winable candidate’. Empat ini mesti. Ingat, kalau keempat-empat ini jadi positif macam bah besar di Pekan, Pahang. Tuan-tuan dan puan-puan tahu bila bah besar di Pekan, Pahang? Tahu? Tak tahu? Ia jadi besar bila air turun dari hulu bertembung dengan laut air pasang, ia jadi limpahan banjir besar. Kalau kita nak menang besar, keempat-empat ini mesti menjurus kepada yang positif, baru kita menang besar macam bah besar di Pekan. Saya tahulah, saya ahli Parlimen Pekan.

Air naik berapa kaki? (Pengerusi Tetap mencelah): Naik tinggi...(ketawa) banyak kaki... Datuk. Belah Yan (Kedah) dulu, air naik empat kaki saja. Pahang lagi besar.

Jadi, kita mesti lihat dan saya cuba fikir apa dia elemen-elemen model transformasi. Saya tak nak kata ini Presiden punya idea atau Timbalan Presiden sama dengan Presiden punya idea.

Jadi kita mesti lihat dan saya cuba fikir apa agaknya elemen-elemen model transformasi. Saya tak nak kata ini Presiden punya idea atau Timbalan Presiden sama dengan Presiden punya idea.

Saya nak cantumkan, adunkan dengan perwakilan kerana kawan saya wakil Melaka kata, percayalah kepada kami. Betul tak? Betul.

Saya nak percaya pada perwakilan dan ahli UMNO. Saya nak gariskan berdasarkan pada intipati ucapan saudara-saudari dalam perhimpunan ini.

Yang pertama, nilai elemen yang pertama ialah tentukan bahawa maruah parti, kepentingan parti lebih besar, lebih tinggi daripada maruah kepentingan diri.

Wakil Kelantan contohnya katanya Tok Pa (Mustapa Mohamed) Pengerusi Perhubungan Negeri Kelantan, tapi bila kita ambil keputusan lantik Tengku Razaleigh sebagai pengarah Pilihan Raya DUN Galas, Tok Pa jadi timbalan kepada Tengku Razaleigh, kerana apa? Kerana dia nak menang.

Maknanya bukan soal maruah diri. Bukan soal status diri, bukan soal kepentingan diri tapi diutamakan parti mesti menang.

Nilai elemen kedua, saya ambil wakil dari Sabah, sahabat saya juga. Dia kata bahawa dalam parti ini yang penting bukan kumpulan tapi pasukan. Banyak beza kumpulan dan ‘team’. Makna bila ada team adalah pemain, posisi kita tahulah, bola sepakkan. Semua orang tahu macam mana kita nak menang dalam bola sepak, cuma pasukan kita tak boleh nak menang. Itu saja.

Maknanya kita mesti ada penyerang, menyerang. Jangan sumbat gol sendiri. Ada orang dia ‘score’ gol sendiri. Pilihan raya (umum) ada, pilihan raya kecil ada. Ada setiausaha bahagian, pilihan raya tak jadi calon pukul 10 malam dah tidur. Ada yang tak ada di kawasan pun ada. Betul tak? Betul. Tak jadi calon tak nampak muka. Langsung tak nampak. Cari, hilang. Ada yang sponsor pergi Medan.

Itulah kata ada yang bentes kaki. Orang Kelantan kata ‘cah keting’. Kalau tidak kita menang di Manek Urai. Belum masuk bab Datuk Seri Shafie (Apdal) kata banyak yang tak daftar. Yang tak daftar inilah bentes kaki, cah keting. Yang hilangkan diri, yang merajuk semua ada. Sebab itulah kita belum ada lagi aspek ‘esprit de corps’ yang kuat. Dalam transformasi model ini kita mesti memperkukuhkan ‘esprit de corps’ dalam parti kita di semua peringkat.

Janganlah kalau kerja dalam kumpulan kalau tidak ikut rentak, geng atau ‘clique’ kita, kita nak cantas dia. Walhal dia boleh buat sumbangan pada parti, betul tak? Ini jadi perangai kita. Jadi transformasi model politik jangan pakai lagi perangai macam ini.

Yang ketiga, saya ambil daripada perwakilan juga. Memenangi pemikiran, hati dan jiwa rakyat. Sebab itu kita buat program Juara Rakyat. Kita nak bersifat inklusif. Juara rakyat jangan kita sama kita geng kita. Ada satu bahagian buat kejohanan boling sesama dia. Tak jadi juara rakyatlah. Jadi juara boling saja. Tapi claim pada UMNO. Jadi macam mana rakyat?

Kita mesti macam perwakilan kata jangan menunjuk-nunjuk. Dia kata jangan nak buat sekelip mata tukar rumah besar, kereta besar, cuma isteri tak nak besar. Ini perwakilan cakap. Bukan saya cakap. Jadi inilah yang mesti kita buat. Biar rakyat pandang dia suka tengok pemimpin UMNO. Kita dapat memenangi hati dan pemikiran rakyat.

Keempat, zaman ini zaman moden. Kita mesti jadi juara dalam media baru juga. Jangan puak-puak sana saja. Kita mesti ada facebook. Mesti ada Twitter. Macam-macam mesti buat. Sebab itu saya kata kerajaan Melaka tumbang pada Portugis kenapa? Kerana dia dengan dia punya tombak, keris dan kapak. Portugis dengan meriam, senapang. Kalahlah kita.

Zaman sekarang ini kita pakai facebook sebagai social network. Kita mesti jadi juara social network.

Saya pun cubalah walaupun tak mahir sangat. Alhamdulillah facebook saya sudah setengah juta. Tun Dr. Mahathir (Mohamad) yang veteran pun dah mahir blog, facebook. Dia buat transformasi juga.

Yang kelima, orang muda. Empat juta pengundi baru. Yang lama dah masuk dalam kotak, dalam bakul UMNO, bakul Pas atau bakul apa. Yang baru empat juta ini mesti jadi sasaran kepada UMNO menjurus kepada PRU-13. Itulah kita hendak. Bila Ketua Pemuda cadang buat think tank, saya setuju dan kita bantu.

Yang keenam, UMNO mesti menuju sifar masalah. Ada masalah lagi? Ada. Dalam perhimpunan ini pun ada. Ramai. Ada juga bahagian yang datang jumpa saya sebab masalah bahagian. Sebab apa? Sebab ada dua kumpulan. Bahagian yang boleh kita menang. Kerusi yang boleh kita menang. Tapi kita kalah. Sebab apa? Sebab UMNO tidak dapat menyelesaikan masalah dalaman di peringkat bahagian itu. Jadi, saya mintalah kita semua bantu cari penyelesaian. Yang kaki hantuk, kaki batu ‘ronson’, jawatankuasa mandi, tak usah buat kerja ini.

Dan yang ketujuh, UMNO mesti dahulukan rakyat, saya sebut tadi. Ini penting sangat, dahulukan rakyat. Tengoklah, kalau kita buat apa-apa bantuan, nak bagi saham Felcra di bahagian ini pun tengoklah, jangan bagi anak saudara kita.

Anak saudara kita yang dah jadi peguam nak saham Felcra, nak buat apa? Bagi kepada orang yang memerlukan bantuan, biar UMNO dilihat parti yang adil dan inklusif, dahulukan rakyat, rakyat sentrik. Insya-Allah, UMNO akan berjaya kalau kita letakkan rakyat yang kita dahulukan rakyat sepanjang masa.

Saudara-saudari sekalian,

Saya dah cuba gariskan bahawa transformasi politik amat perlu kita lakukan. Mulai tahun hadapan, saya ambil keputusan, sama-sama dengan Timbalan Presiden, kami akan turun ke negeri-negeri. Kami akan berjumpa dengan UMNO dan rakyat. Saya hendak UMNO sediakan yang sebaik-baiknya. Sediakan untuk lawatan kami berdua supaya mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan. Boleh ke tidak? Balik ini buat persiapan. Kita nak tengok persiapan yang diberi. Saya nak belek, saya nak tilik, saya nak tengok.

Saya nak beritahu bahawa dalam masa yang terdekat ini, saya akan buat perubahan kepada kepimpinan UMNO di peringkat tertentu. Mula dengan susunan yang akan datang ini, akan lengkaplah persediaan kita. Saya akan runding dengan Timbalan Presiden, runding dengan Jawa, Turki, lanun apa formula yang sebaik-baiknya. Saya nak kita bekerja kuat, sebab orang Melayu dan negara tak boleh harap pada orang lain melainkan UMNO sahaja. Jadi, kita turun padang dan sentiasa berada atas padang.

Jadi rajin, jangan malas,

Boleh menang kita di Galas.

Jangan jadi batu api,

Boleh menang di Batu Sapi.

Bersusah-susah mendaki bukit,

Tanah yang kontang digali lembah,

Walau berkecai bumi di langit,

Hak Melayu takkan dirubah.

Nyiur gading puncak mahligai,

Ketupat pulut berisi inti,

Biar bergoncang dihentam badai,

Bahtera UMNO tak kan berhenti.

Demi Islam, demi Melayu, demi Malaysia.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.-UM.

Juragan Malawati..

Sabtu, 23 Oktober 2010

Jangan persoal hak Melayu!














Hak keistimewaan orang-orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak sebagaimana yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak sepatutnya dipersoalkan oleh sesiapapun.

Tetapi anehnya, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, hak keistimewaan orang Melayu sering disentuh dan dibangkitkan oleh pihak tertentu sama ada golongan bukan Melayu mahupun orang Melayu sendiri.

Kenapa ini harus terjadi? Pada hal, ia telah 'terpahat kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan yang sangat sukar diganggu-gugat sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2010 kelmarin.

"Hak orang Melayu dilindungi sepenuhnya serta 'terkunci kemas' dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat dan kenyataan ini wajar diterima oleh semua kaum di negara ini."

Najib menambah, "seandainya mempunyai dua pertiga dalam Parlimen pun, ia tidak akan mampu mengubah setitik apa pun jua, tanpa kebenaran Majlis Raja-Raja yang dianggotai oleh sembilan Raja-Raja Melayu."

Hakikat ini perlu difahami oleh semua warganegara. Asas pemahaman Perlembagaan Negara mahu tidak mahu mesti difahami oleh setiap warganegara agar kita dapat bertindak dengan lebih tepat dan tidak terpesong dari jalan sebenar. Dalam masa yang sama, ia tidak digunakan oleh pihak-pihak tertentu bagi kepentingan mereka.

Dalam memahami hak-hak keistimewaan orang Melayu sebagaimana yang terkandung dalam Perkara 153 (yang mempunyai hubungan rapat dengan 'kontrak sosial', ia perlu dikaitkan dengan sejarah perjuangan bangsa serta struktur negara. Bagi melihat dan memahami perkara ini, perkara 153 tidak boleh dilihat secara bersendirian. Hanya semata-mata membincangkan perkara 153, ia akan memungkinkan kita menjadi keliru. Di antara perkara yang berkait rapat dalam memahami perkara 153 adalah:

1. Perkara 38 (5)

2. Perkara 10 (4)

3. Perkara 8 (2)

4. dan perkara-perkara lain yang berkaitan.

Perkara 38 (5) adalah sangat penting difahami dalam membincangkan Perkara 153. Dalam Perkara 38 (5) menyatakan "Majlis-Majlis Raja-raja hendaklah dirundingi sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar yang menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153."

Inilah di antara istimewanya Perkara 153 kerana ia tidak boleh dipinda hanya dengan suara majoriti dua pertiga Parlimen. Walaupun dua pertiga ahli Parlimen bersetuju meminda hak keistimewaan orang Melayu, ia tidak akan dapat dipinda sekiranya tidak ada persetujuan daripada sembilan orang sultan/raja Melayu.

Kadang-kadang timbul salah faham bahawa jika parti politik tertentu dapat menguasai dua pertiga dalam Parlimen, maka perkara yang berkaitan dengan hak keistimewaan ini akan dipinda dan diberikan hak yang sama rata kepada semua rakyat.

Pernah juga dikatakan oleh pihak-pihak tertentu bahawa hak istimewa ini adalah perkara lapuk lebih setengah abad lalu yang kini tidak lagi sesuai.

Memang Perlembagaan Persekutuan menyatakan satu peruntukan tertentu mengenai hak kesamarataan yang terkandung dalam Perkara 8. Tetapi dalam Perkara 8 (2) juga ada dinyatakan dengan jelas 'kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan Persekutuan ini…'

Ini bermaksud ada kekecualian 'kesamarataan' itu apabila ada dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 153 itu.

Perkara 153 ini mendapat kedudukan istimewa kerana ia tidak boleh dipersoalkan sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 10 (4). "Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2) (a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogative yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153, atau 181 melainkan yang berhubung dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.

Memang tak dapat dinafikan bahawa Perkara 153 adalah perkara yang istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh diubah. Kedudukannya amat konkrit dan tidak sepatutnya dipersoalkan oleh kaum lain.

Penulis melihat ada maksud tersirat dan falsafah yang tinggi nilainya di sebalik hak keistimewaan orang Melayu sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 153 ini, iaitu pembentukan satu rupa bangsa yang kuat dan stabil yang didokong oleh kumpulan majoriti yang besar sifat dan bilangannya.

Maksud tersirat adalah akan terbentuknya satu kumpulan bangsa Melayu (bukan bangsa Malaysia) yang dominan dalam jangka panjang. Bagi mengukuhkan hujah ini bahawa orang-orang Melayu itu (mengikut pentafsiran Perlembagaan Persekutuan) adalah bukan dilihat daripada segi biologi, tetapi lebih kepada sosio budaya dan undang-undang.

Bagi menyokong hujah ini, kita mesti merujuk Perkara 160 mengenai definisi 'orang-orang Melayu'. Melayu mengikut Perkara 160 adalah 'orang Melayu' ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan - (a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura: atau (b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian.

Tidak mudah memahami Perkara 153 dan hal-hal yang berkaitan tanpa menghubungkaitkan dengan perkara-perkara lain. Rumusan yang dapat dibuat bahawa Perkara 153 dan hal-hal berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu adalah mempunyai niat baik dan tujuan positif bagi pembinaan negara bangsa khususnya dalam jangka panjang.

Tidak sepatutnya ada sesiapa yang menolak dan mempertikaikan perkara ini jika benar-benar faham dengan mendalam. Adalah wajar kenyataan Perdana Menteri dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2010 bahawa hak keistimewaan Melayu ini wajar diterima oleh semua kaum di Malaysia.

Sebagai parti politik besar seperti UMNO, persoalan seperti ini perlu jelas agar orang-orang Melayu faham dan sedar tonggak sebenar perjuangan bangsa Melayu dan UMNO, agar bangsa Melayu terus bersatu dan kuat bagi kestabilan negara dan pembangunan Malaysia.

Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Yazid

Juragan Malawati..

Jumaat, 22 Oktober 2010

Perhimpunan Agung UMNO yang Ke-64 : Penegasan Najib!

NAJIB Tun Razak dengan penuh semangat menyampaikan ucapan perasmian Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kedudukan orang Melayu serta bumiputera dan kepentingan kaum-kaum lain adalah terkunci kemas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di Dewan Merdeka, PWTC semalam, beliau berkata, peruntukan Perlembagaan tidak dapat diubah walaupun mendapat majoriti dua pertiga dalam Parlimen, tanpa kebenaran sembilan raja Melayu.

Dari itu, sia-sia sahaja jerit pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit sekalipun darurat diisytiharkan, ia tetap tidak boleh disinggung.

MELAYU PENERAJU

Kepada semua pihak hendaklah menyedari, bukankah apa yang Malaysia capai selama 53 tahun kemerdekaan adalah juga hasil usaha dan penerajuan bangsa Melayu? Lantas, kita menjadi lemas dan rimas dewasa ini, apabila kedengaran suara-suara sumbang yang cuba memperlecehkan pencapaian orang Melayu. Benar sekali, amat mudah bagi lidah tidak bertulang membuat nista. Mereka dengan suka-suka menuduh perkhidmatan awam sebagai lubuk ketidakcekapan.

Pesanan kepada ahli UMNO

ORANG UMNO tidak boleh hilang harapan atau bergundah- gulana. Ajaran agama Islam juga sangat melarang kita berputus asa. Kita sebagai ahli parti dan orang UMNO tidak mampu untuk terumbang-ambing di kubang kecewa dalam kekalahan, malah kita juga tidak semudah-mudah nak membiarkan UMNO musnah.

MELAYU ABAD KE-21

Melayu abad ke-21 harus gigih membina keupayaan dan kemampuan, bukannya sekadar mendabik perabung-perabung dada bahawa mereka harus berjaya kerana ia adalah hak mereka untuk berjaya. Mahu tidak mahu, Melayu abad ini harus berdepan realiti untuk meraih kejayaan.

MISI Putrajaya

“Kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menempah alam kegagalan. Berpasaklah kepada UMNO. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional. Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!”


Juragan Malawati..

Rabu, 20 Oktober 2010

Perhimpunan Agung UMNO yang Ke-64 : Jangan biar perjuangan UMNO diculik!

SEMASA merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO kelmarin, ucapan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin banyak memberi fokus mengenai perjuangan asas UMNO.

Mesej-mesejnya kepada UMNO dan orang Melayu, parti komponen dan kaum lain sangat tegas dan meyakinkan. Beliau turut memberi jaminan UMNO akan tetap mempertahankan hak orang Melayu dan pada masa sama menghormati hak-hak kaum lain.

Kepada wartawan Utusan Malaysia OTHMAN MOHAMAD, ZULKEFLI HAMZAH, ROZAMAN ISMAIL dan HERMAN HAMID, beliau menjelaskan mengenai intipati ucapannya itu.

UTUSAN: Perhimpunan kali ini berbalik kepada banyak isu asas, perpaduan, elak prasangka, jangan prejudis, permuafakatan. Kenapa kita berbalik perkara yang asas?

MUHYIDDIN: Kita berbalik kepada asas kerana untuk sekian lama ada perkembangan-perkembangan yang telah berlaku dalam ekosistem politik yang agak berlainan dan isu-isu yang berbangkit jauh lebih kritikal berbanding sebelum ini. Sebab itu kita berpendapat adalah wajar kita balik semula kepada asas perjuangan kita. Contohnya, jika ada tanggapan di kalangan masyarakat Melayu pada hari ini bahawa UMNO tidak berjuang macam dahulu untuk kepentingan orang Melayu, ini mungkin disebabkan persepsi. Tapi kita berpendapat asas perjuangan kita masih kukuh. UMNO tak pernah berganjak seperti mana dalam ucapan saya semalam tentang soal-soal pokok yang telah jadi asas perjuangan kita bersandar Perlembagaan yang saya jelaskan. Tetapi disebabkan situasi dan keadaan, kita berpendapat perlu diperingatkan semula supaya, pertama – khususnya ahli UMNO sendiri mesti yakin tentang perjuangan UMNO itu sendiri, jangan luntur semangatnya hanya kerana keadaan senario politik sudah berubah. Kita hadapi cabaran atau menghadapi ancaman daripada situasi politik baru pada hari ini.

Ahli kita kena perkukuh balik semangat juang bahawa UMNO tak bersalah, UMNO bukan parti rasis, UMNO parti nasional dan perjuangan kita berlandaskan perjuangan yang betul. Kedua, untuk masyarakat Melayu, perjuangan kita yang dahulu untuk bangsa, agama dan negara, dan kita sebut kandungan Perlembagaan yang menjadi asas kukuh parti kita masih kekal walaupun dalam senario politik yang agak berbeza. Umpamanya soal berbangkit sekarang kerana ada pihak yang rasa seolah-olah hak mereka mula terhakis, Melayu rasa terhakis, bukan Melayu rasa terhakis. Tentunya bukan begitu, tetapi kerana persepsi juga, kita kena yakinkan orang Melayu bahawa dia masih boleh bergantung harap kepada UMNO, sebab UMNO tak akan berganjak daripada perjuangan kita.

Sebab itu saya tekankan semalam kita tak akan apologetik, kita tak kompromi dalam soal-soal yang menyentuh hak kaum Melayu, bahasa Melayu, kedudukan raja-raja, Perlembagaan, soal untuk memastikan martabat Melayu itu terbela. Demikian juga dalam menghormati hak kaum-kaum lain.

Apakah tidak perlu sebut Melayu dahulu?

Tak perlu, seperti saya sebut semalam, saya tak perlu ulangi hal sebegitu. Yang penting matannya iaitu kandungannya apa, bahawa kita tak perlu rasa takut bimbang seolah-olah kita tinggalkan asas perjuangan kita, kerana kita masih berpandu prinsip perjuangan yang besar. Tapi persepsi dalam politik bagaimana yang saya pernah ungkapkan kepada media sebelum ini ia memberi kesan, mungkin kerana dilihat sekitarnya itu maka itulah persepsi. Tapi persepsi itu perlu kita perbetulkan. Bila saya sebut semalam tentang apa orang kata mengulang semula, bukan kerana dia tujuan retorik tapi mengingati kembali baik di kalangan pemimpin UMNO, ahli mahu pun orang Melayu di luar.

Tan Sri sebut UMNO sudah berubah, di tahap mana?

Sebab ada orang kata UMNO tak berubah, macam dulu. Sudah pun berlaku perubahan, tapi perubahan apa dia, kalau perubahan kerangka minda, dia memerlukan tempoh masa. Tapi sudah bermula maksud saya ialah kita tidak berfikir seperti mana kita fikir setahun dua tahun yang lalu. Bila kita bicara di kalangan pemimpin UMNO dan BN, kita tak bicara dalam rentak lagu lama. Bermakna kita sudah ada senario baru. Ada perubahan dari segi pemahaman kita. Perubahan itu sudah ada. Apa lagi kalau kita sebut contoh perlembagaan parti mengenai kita mahu jadi lebih inklusif. Kita ambil kira soal-soal utama apatah lagi dikaitkan pimpinan kerajaan terajui UMNO, apa yang dilakukan Perdana Menteri, transformasi ekonomi dan kerajaan. Ini tak boleh dipisahkan daripada kepimpinan dalam parti. Ini perubahan yang telah bermula. Tapi yang penting ialah bagaimana nak wujudkan tempoh masa ke hadapan.

Merujuk kepada ucapan Tan Sri semalam banyak disebut tentang perjuangan Melayu, adakah ini beri gambaran semangat itu mula hilang di kalangan ahli UMNO?

Saya tak fikir begitu, takkan Melayu hilang di dunia. Semangat Melayu itu masih ada tapi kita harus pragmatik dalam hal ini kerana yang saya sebut juga mungkin ada tanggapan, persepsi yang merasakan seolah-olah semangat juang di kalangan pimpinan UMNO mula luntur tapi tuntutan Melayu tidak luntur.

Orang Melayu masih lagi mahu mencapai kemajuan lebih besar, menguasai semua bidang. Tapi bila dilihat seolah-olah tidak imbang antara tuntutan yang dibuat parti kita, itu gambaran. Maka mereka rasa kurang yakin dan menyebabkan mereka mungkin beralih pandang ke pihak lain yang tidak pasti pun boleh jamin masa depan.

Jadi kita kena kembali. Bila saya sebut tentang Melayu itu bukan apa, nak ingatkan asas penubuhan dan perjuangan UMNO adalah untuk membela nasib bangsa, agama dan negara. Terasnya adalah Melayu, bumiputera dan Islam. Jadi, saya sebut itu untuk mereka tahu UMNO tak lari, masih kekal jadi wadah perjuangan orang Melayu. Itu kita ulang.

Pihak-pihak tertentu nak culik apa yang jadi milik kita. Perjuangan Melayu kita asaskan, bela nasib bangsa, agama, bahasa, institusi raja-raja, ini kita punya tapi ada pihak mula nak culik itu, sama ada dia pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau parti politik lain. Dia kata dia perjuangkan, kononnya. Sebelum barang itu diculik oleh pihak lain, kita kena pertahan, ini kita punya, kita perjuang dan ini harus kekal.

Tapi apakah semangatnya sampai kepada ahli-ahli untuk bertindak?

Yang penting kita kena bugarkan semangat. Tadi saya duduk dalam persidangan Pemuda, saya nampak orang kata suara yang disampaikan Presiden dalam taklimat semalam mula bergema, disahut. Sebab itu penting kerana kita tak mahu parti kita dilihat lesu. Lesu UMNO bukan apa, ahli tak bersemangat, itu kita perlu elak. Kena beritahu ahli yang kita ini di landasan betul. Jangan gundah gulana, takut kerana hanya ada pihak lain sudah mula menyerang kita. Dalam situasi sebegini kita kena perkukuh semangat.

Semangatnya mungkin sedikit lesu tapi nampaknya ada bahagian UMNO masih belum bersatu dan berpuak-puak, bagaimana boleh diatasi?

Ini pun saya sebut jangan ada sedikit pun nak timbulkan amarah sesama kita yang boleh timbul berpecah-belah. Ini diulang berkali-kali oleh pucuk pimpinan. Kerana kita tahu walau kita atur strategi besar sebegini tapi dari segi dalaman, hubungan tak baik, tak ada kerjasama, cah keting, itu tak akan bawa kesan yang baik kepada kita. Soal pokoknya saya kata, kena balik pada soal menilai kesedaran dan semangat. Itu pokok. Apa pun yang saya biasa tegaskan ialah etika dalam politik. Kalau kita pegang etika, nilai dan moral, kita tak akan buat sebegitu. Lebih-lebih lagi bersandarkan hukum agama kita, hal-hal sebegini bukan sahaja tidak baik tapi ada balasan, ada dosa.

Kalau itu diperingatkan, saya rasa mereka akan lebih sedar dan mesti harus mengelak hal itu. Tapi hal yang lain perlu ada tindakan afirmatif di peringkat kepimpinan. Kalau negeri lihat bahagian itu bermasalah macam saya di pusat, apa yang harus kita buat. Ini sudah kita mula macam sesetengah bahagian kita minta negeri pantau seperti di Rantau Panjang. Nampak bila Datuk Seri Mustapa Mohamed masuk, sudah balik baik semula. Itu tindakan afirmatif kita buat.

Kalau di Kedah, apa masalah. Di Terengganu nampak inisiatif Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, jumpa dan cakap balik. Tapi maklumlah hal sebegini bukan boleh selesai dalam tempoh sekali dua usaha. Tapi nampak ada kesedaran dan kesediaan untuk bekerja bersama-sama.

Apakah ciri atau karakter yang perlu ada kepada ahli UMNO dalam berdepan perubahan dalam konteks UMNO yang lebih inklusif dan demokratik?

Dia kena faham asas kekuatan itu pada ilmu. Bila kita bicara semalam pembangunan modal insan, pendidikan, penguasaan ilmu teknologi dan dia memahami. Jadi kita kena lihat masa depan bergantung kepada kebijaksanaan generasi muda menguasai ilmu.

Kalau kita nak suruh pemimpin muda kita ke depan tapi dia tak ada kebijaksanaan, tak ada ilmu dan tak ada kemahiran, jadi apakah bentuk kepimpinan yang kita dapat? Pokoknya pengalaman penting tetapi ilmu penguasaan semua bidang itu perlu.

EKONOMI DAN MAJLIS TERTINGGI AGENDA BUMIPUTERA

Kenapa perlu wujudkan Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB)?

Itu mungkin perbahasan peringkat usul yang saya ingat satu daripada cadangannya untuk pimpinan tubuhkan MTAB. Saya yakin ia akan disokong 100 peratus oleh perwakilan. Kenapa penting, kerana bila transformasi dilakukan kepimpinan khususnya Perdana Menteri yang dilakukan adalah transformasi yang besar, baik dari segi Program Transformasi Kerajaan (GTP) atau Program Transformasi Ekonomi (ETP) dipecah dalam bentuk Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) dan Model Baru Ekonomi (MBE). Ini satu perkara hebat yang ditanya ramai Melayu di mana posisi Melayu dalam konteks transformasi yang besar. Ada yang beranggapan kita sudah tinggalkan agenda bumiputera, tak dijelaskan secara terperinci dalam kerangka MBE atau NKEA di mana khususnya bumiputera terlibat. Jadi kita perlu jawab itu. Kerana kalau tak dijawab kemungkinan orang akan anggap negara maju 2020 nanti, negara berpendapatan tinggi, tapi di manakah kedudukan Melayu.

Tapi persoalannya, pertama penubuhan MTAB itu penting bagi mengumpul data-data yang lengkap. Pasal ini kita tak boleh buat secara sambilan atau letak di bawah unit-unit, sebab persoalan ini akan timbul 10, 20 tahun akan datang, itu sudah terlambat. Lagi pun dalam proses ekonomi yang dinamik kalau kita tak pantau perkembangannya maka kita akan tersasul. Mana bidang yang patut bumiputera ada di situ, kita tak ada.

Jadi satu – kumpul data lengkap kedudukan kita dalam setiap NKEA yang 12 itu, mana kita boleh terjemahkan penyertaan Melayu di dalamnya sama ada dibuat oleh swasta atau didokong oleh usaha kerajaan. Jadi ini satu rencana yang besar dan saya percaya bila badan itu ditubuh, inilah perlu dilihat supaya setiap sektor sekurang-nya sasaran ekuiti bumiputera 30 peratus itu jelas.

Dan di samping itu bagaimana kita nak kenal pasti dalam pelan afirmatif baru yang disebut Presiden tidak seperti zaman DEB dulu – siapa nak ambil, kita bagi saja. Sekarang berdasarkan meritokrasi bumiputera mengikut kesungguhan individu itu nak laksanakannya. Kita kena kenal pasti kelompok ini untuk kita bantu dan dorong supaya terlibat dalam sektor-sektor ekonomi nanti.

Apakah majlis ini berperanan mengumpul pangkalan data atau lebih daripada itu?

Lebih daripada itu. Sekarang ada pihak yang terjemah ekuiti bumiputera telah capai hingga lebih 40 peratus. Yang penting kita nak tentukan di mana kedudukan kita sekarang, adakah 18, 19 peratus? Itu langkah awalan, berikut itu apa pelan tindakan. Jadi saya percaya mungkin dah tubuh badan itu nanti mesti ada pelan tindakan yang meletakkan bumiputera di mana?

Ini (MTAB) agensi atau di bawah parti?

Mungkin yang penting kerajaan. Saya percaya parti boleh buat tapi tak ada yang lebih berupaya daripada kerajaan. Tapi terserah kepada Perdana Menteri untuk menentukannya.

Agenda bumiputera 50 tahun akan datang di bawah majlis ini?

Yang lebih utama sekarang dalam tempoh 10 tahun akan datang, kerana 2020 kita nak jadi negara maju tapi persoalannya maju macam mana. Melayu di mana dan dalam tempoh 10 tahun juga telah digaris dalam ETP dan NKEA, kita akan jana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM1.2 trilion. Jadi daripada jumlah itu berapa banyak Melayu ada. Contohnya pelaburan yang masuk, jana pendapatan kasar RM1.2 trilion. Sebab itu kita nak ambil 10 tahun yang awal. Lepas itu bila asasnya lebih kukuh, maka akan lebih rancak.

Usul yang akan dibawa ini akan mengumumkan penubuhan majlis ini?

Satu daripada perenggan usul akan sebut pentingnya program ini dan kita akan bahas. Kita harap ia akan diterima untuk dipanjangkan kepada pucuk pimpinan.

PILIHAN RAYA

Dalam konteks pilihan raya umum akan datang macam mana Tan Sri harapkan persediaan kita?

Presiden dalam taklimatnya ada sebut empat perkara penting untuk tentukan masa depan kita termasuk soal calon. Itu perkara yang perlu dipegang oleh semua ahli. Bila ada kesedaran baru dan diikuti dengan langkah cadangan saya supaya ada kad skor, ada sikit orang kata hala tuju, sesuatu yang boleh kita lakukan. Tahun lepas kita sebut KPI, jadi macam mana nak ukur KPI kalau tak lihat apa yang dia harus tumpukan. Jadi idea saya ialah kita sediakan kad skor umpama hubungan dengan NGO di kawasannya, dia berhubung lagi tak, kalau kosong maknanya dia tak buat. Ini bukan soal hukuman.

Di sini kita dapat nilai usaha dia berkesan atau tidak. Atau kebajikan – kawasan dia ada orang miskin, dia pergi bantu atau tidak. Jadi kita boleh tentukan. Ini saya serah kepada Exco untuk menggariskan bagaimana caranya. Kalau dibuat begitu, barulah kita dapat lihat kesan daripada inisiatif ini iaitu pertama, kesedaran baru. Kedua kesungguhan ahli untuk bekerja lebih keras. Ketiga, pemulihan keyakinan masyarakat umum kepada kita terutama orang Melayu. Kalau itu berlaku, dalam proses setahun dua akan datang saya percaya angin perubahan akan lebih kencang menghala kepada kita.

Tetapi soal pokoknya apa yang harus kita lakukan dalam tempoh dua tahun. Kalau dua tahun ini kita bekerja keras hingga sampai tempoh waktu 2012 atau 2013, saya tak tahulah bila, itu PM umumkan (pilihan raya), maka setidak-tidaknya kita sudah bergerak. Apa pun bergantung kepada usaha kita.

Peranan komponen lain?

Peranan komponen memang tak boleh kita nafikan. Yang pertama mereka harus kukuhkan kedudukan mereka, MCA, MIC dan Gerakan, kita lihat sudah ada inisiatif yang dibuat pemimpin komponen parti. Tapi belum mantap, nak kata tak ada langsung tidak betul. Jadi itu penting kerana kalau kata UMNO saja usahakan, ia tidak akan selesai semua masalah terutama nak tarik sokongan bukan Melayu.

Mereka nak lihat siapa dalam BN yang jadi pejuang mereka. MCA untuk suarakan masalah orang Cina, tapi jika MCA lemah maka orang Cina tak yakin apa yang MCA boleh lakukan. Proses mengukuhkan MCA telah dilakukan. Sedikit sebanyak saya fikir nampak serius. Cuma Gerakan belum cukup kukuh, komponen-komponen lain belum berganjak jauh, tapi ini perlu diteruskan. Tak boleh bebankan UMNO sahaja. Kita nak lain-lain komponen berperanan sama.

PERLEMBAGAAN DAN PRASANGKA BUKAN MELAYU

Semalam Tan Sri ada menyebut tentang hapuskan prasangka, adakah itu ditujukan kepada keluarga besar BN?

Itu saya tuju kepada semua. Bila sebut masih wujud mengenai debat sensitiviti kaum, ungkapan-ungkapan yang timbul, dengan sebab itu timbul situasi orang marah. Saya ada dengar bila hadir ke pertemuan macam rasa benci, ini saya fikir bukan satu puak, puak lain juga begitu. Maka seruan saya itu mencakupi semua supaya hal sebegini kita kena uruskan dengan betul, tak boleh kita biar.

Saya kata kalau penting, kita mesti berhenti sekarang. Itu boleh dilakukan kalau kita beri jaminan. Semalam dalam ucapan saya, pemimpin UMNO akan jamin hak Melayu, bumiputera memang ada. Jadi bila ada, buat apa nak bising. Sebab dia bersuara macam takut nak hilang (hak dia). Dia bersuara, bukan bumiputera pun macam itu kalau tak buat begini, aku tak ada apa-apa walaupun sudah dapat banyak.

Jadi bila dia tahu hak dan kedudukan dia sudah terpelihara dan ini tidak akan diungkit. Lebih baik tak payah ungkit, buat apa nak diungkit, sudah ada di situ maka tak akan timbullah soal begini.

Maka sebelum sampai di situ, kita kena uruskan sebab soal sensitiviti antara kaum, hak, peruntukan Perlembagaan yang sudah mula dengar secara lebih lumrah sekarang ini satu perkembangan yang tidak sihat, sesuatu yang boleh menggugat kestabilan politik, sesuatu boleh cetuskan keadaan tidak baik kepada masyarakat. Jadi ini kita kena uruskan.

Apakah ini berkaitan soal prinsip ketiga Rukunegara, Keluhuran Perlembagaan?

Saya tak fikir kita nak olah semula apa yang sudah termaktub. Bila termaktub ia tak boleh nak rungkai. Itu sudah ada. Kebijaksanaan pengasas negara kita waktu awal-awal dulu mengajak semua pihak. Bermakna mereka tahu bahawa jika perkara ini tidak diurus awal-awal, maka ini akan jadi masalah. Sudah diurus pun berbangkit balik sebab satu putaran telah berlaku iaitu generasi baru naik yang sudah tidak terikat dengan lampau.

Jadi inilah senarionya yang kita harus pergi satu pusingan semua. Untuk kita jelaskan semula. Ingatkan balik. Mengapa nak bangkit lagi. Tak payah lagi, hak dia sudah ada di situ. Ini penting untuk beri keyakinan bahawa kedudukan mereka tidak tergugat dan masih terpelihara walaupun UMNO ditubuhkan atas nama Melayu tetapi adil, inklusif untuk lain-lain. Jadi bagi keyakinan, anda sokong kita akan lindung. Dia sokong kita selama 53 tahun jadi kita lindung hak dia. Apa hak dia yang kita ambil.

Tapi kerana telah dipolitikkan sebegitu rupa oleh parti lawan maka termakanlah sesetengah kelompok dalam masyarakat bahawa hak akan hilang, kedudukan akan terhakis, Itu sebab mereka bangkit semula dan menyuarakan hal ini. Jadi kita sebagai parti utama kena uruskan hal itu. Tak boleh biar.

Tapi tak mudah nak meyakinkan hal ini dalam keadaan mereka semakin lantang bersuara?

Ya, tak mudah lebih-lebih lagi ia dipolitikkan puak-puak pembangkang. Pembangkang eksploitasi itu. Dia lebih cauvinis daripada sesiapa lain. Untuk itu kita tak boleh lepas tangan. Jadi kita kena ambil langkah proaktif mengenal pasti apa isu dan permasalahan. Beri penjelasan dan jaminan bahawa selagi kita tadbir negara, kedudukan mereka tak akan tergugat. Jika mereka miskin misalnya kita akan bantu, bukan sebagai ungkapan tetapi amalan kita, turun ke bawah lihat masyarakat bukan Melayu, apa isu mereka di kawasan. Jika kita buat begitu saya percaya akan ada perubahan.

GENERASI MUDA DAN SAYAP

PEMUDA DAN PUTERI

Generasi muda rasa hak-hak mereka tak payah diperbesarkan kerana boleh bersaing secara saksama dengan yang lain manakala generasi lama mahu ia terus dipertahankan. Bagaimana kita nak urus kedudukan ini?

Generasi muda mesti sedar di mana mereka berada. Mesti faham tentang Perlembagaan kerana kita hidup dalam satu sistem Demokrasi Berparlimen dalam keadaan ekonomi terbuka. Ini realiti politik, ekonomi dan sosial yang mesti difahami. Kalau mereka fahami apa yang telah kerajaan lakukan sekarang, beri perlindungan, bantuan dan bangunkan mereka, saya yakin mereka akan rasa lebih yakin. Masa depan untuk mereka di bawah UMNO, Soal pokoknya sekarang memberi didikan politik yang lebih kepada generasi muda supaya mereka faham realiti politik sebenar.

Kalau itu tidak dilakukan, mereka mungkin boleh terpedaya oleh media sosial yang membawa pelbagai berita. Mereka tak boleh buat penilaian kerana tidak ada pihak yang membantu menjelaskan keadaan. Jadi jika itu, mereka mungkin buat tanggapan yang silap. Jadi soal sebegini saya fikir hubungan dengan generasi muda jangan kita abaikan. Kena beri perhatian utama libatkan mereka dalam proses buat keputusan. Tarik mereka bersama-sama buat keputusan. Baru dapat memahami dan hargai situasi dan keadaan mereka.

Sayap Pemuda dan Puteri nampak macam elit dan gagal menjalinkan hubungan dengan generasi muda termasuk yang di universiti?

Nak kata elit saya tak fikir begitu. Sebab dalam proses politik seperti Pemuda atau Puteri, dia berubah. Prosesnya dinamik. pimpinan silih berganti, pengalaman baru, kesedaran baru dan pendekatan berbeza. Tapi nampak usaha itu belum cukup. Harapan rakyat tinggi. Jadi saya fikir perlu ada usaha lebih berganda, seperti saya sebut dalam ucapan saya. Sudah ada buat itu dan ini. Tapi belum mencukupi sebab jangkaan masyarakat adalah tinggi. Keupayaan mereka masih terbatas, sebab itu kena lihat bagaimana pimpinan muda dalam UMNO baik Pemuda dan Puteri berhubung dengan masyarakat lebih daripada apa yang telah dibuat.

Juragan Malawati..

Ahad, 17 Oktober 2010

Taubatlah Anwar!

Tiga wakil Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menghantar ‘memorandum taubat’ kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu segera bertaubat.

Memorandum satu muka surat itu dihantar oleh 60 ahli dari tiga cabang parti yang terdiri daripada wakil Perak serta Pulau Pinang (Butterworth dan Bayan Baru), di ibu pejabat parti tersebut di sini, pukul 11.30 pagi.

Wakil kumpulan itu, Nor Hilmi Ismail dari PKR Bayan Baru berkata, antara tujuan memorandum tersebut dihantar adalah berkaitan dengan kes yang melibatkan Anwar di mahkamah.

Katanya, ia bagi mendesak Anwar bertaubat segera demi menjaga martabat perjuangan parti berkenaan.“Kes-kes mahkamah melibatkan Anwar dilihat merosakkan perjuangan parti.

“Oleh itu, jika Anwar enggan bertaubat selepas pelbagai pendedahan mengenainya dibongkar, lebih separuh daripada ahli parti mendesak beliau meletakkan jawatan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Jelas Nor Hilmi, semua ahli parti memerlukan pemimpin yang dapat memberi sepenuh perhatian terhadap perjuangan parti dan bukan sebaliknya, iaitu hanya tertumpu kepada isu-isu peribadi.

“Kami tidak mahu pemimpin menggunakan dan berselindung di sebalik parti untuk mengelakkan diri daripada tindakan undang-undang,” katanya.‘Memorandum taubat’ itu diberikan kepada wakil Petugas Pemilihan PKR 2010, Raou Imran untuk diserahkan kepada Anwar.

Jelas Hilmi, memorandum itu turut mendesak Anwar agar dapat memberi sepenuh tumpuan dan perhatian terhadap memperkasakan parti bagi meneruskan kesinambungan PKR untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Karpal pun kata Anwar kena bertaubat, jangan tauBUAT aje...!!!

Juragan Malawati..

Jumaat, 15 Oktober 2010

GELOMBANG Ke-2 ROADSHOW SSDE MALAM NI. JOM TURUN !











15HB OKTOBER 2010 (JUMAAT) : Bahagian Subang, DUN Kota Damansara

Tempat : Padang awam Subang Perdana Jalan SP 2/10, Subang Perdana
Masa : 9 malam
PENCERAMAH : YB Dato Satim Diman, Senator Ezam, Lokman Adam dan Ustaz Ahmad Najib

16HB OKTOBER 2010 (SABTU) : Bahagian Shah Alam, DUN Kota Anggerik

Tempat : Dewan Bunga Kertas, Jalan Opera H, TTDI Shah Alam
Masa : 9 malam
PENCERAMAH : YB Dato' Seri Noh Omar, Senator Ezam, Dato Suhaimi Sahadan dan Ustaz Rosdi Long.

Semua di jemput hadir. InsyaAllah

Juragan Malawati..

Khamis, 14 Oktober 2010

Kerana Mu Nurul Izzah!

KIRA-KIRA sepuluh tahun lalu berlaku gerakan "Reformasi" ala Indonesia. Bermula dan berpusat di kota Jakarta. Matlamat gerakan ini untuk menjatuhkan pemerintahan regim Suharto. Senjata yang digunakan ialah menuduh Suharto mengamalkan KKN (Korupsi, Kroni dan Nepotisme).

Pada waktu yang sama - saya kira memang sudah dirancang dan ada ketoloi dari Amerika - wujud gerakan menjatuhkan Dr. Mahathir Mohamad. Ia bermula secara terbuka apabila Datuk Ahmad Zahid Hamidi, yang waktu itu menjadi Ketua Pemuda UMNO, membuat ucapan menyerang Dr. Mahathir semasa pembukaan Mesyuarat Agung Pemuda.

Senjatanya sama dengan di Jakarta - Dr. Mahathir dituduh mengamalkan "Korupsi, Kroni dan Nepotisme." Esoknya, serentak dengan Perhimpunan Agung UMNO, Dr. Mahathir mengeluarkan satu senarai panjang kroni Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Satu serangan balas yang pantas dan tepat sasarannya. Saya kira, Dr. Mahathir memang sudah tahu, Anwar sedang melakukan gerakan untuk menjatuhkan beliau. Berikutnya bermulalah demonstrasi jalanan dengan laungan "Re-for-ma-si" yang diselang seli dengan pekikan "Allahuakbar".

Di Jakarta, Presiden Suharto jatuh. Di Kuala Lumpur, Anwar yang waktu itu jadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri yang hampir sah akan menggantikan Dr. Mahathir - yang jatuh - dan masuk penjara Sungai Buluh.

Tetapi Gerakan Reformasi, yang juga disertai pemimpin dan penyokong Pas, akhirnya melahirkan Parti Keadilan - sekarang jadi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dan setelah mengikat kerjasama pilihan raya dengan Pas dan DAP - pakatan ini mencapai kemenangan besar dalam PRU Ke-12. Selepas ambil alih kerusi Parlimen Permatang pauh daripada isterinya, Anwar dilantik jadi Ketua Pembangkang dan sudah mengatur rancangan untuk menawan Putrajaya.

Gerakan Reformasi ini juga telah melahirkan Nurul Izzah sebagai "Putri Reformasi".

Sekarang Nurul Izzah dikhabarkan akan menawarkan diri merebut jawatan Timbalan Presiden PKR. Kalau nanti Nurul Izzah jadi Timbalan atau Naib Presiden, maka berlakulah nepotisme yang ditentang Gerakan Reformasi pimpinan Anwar - dalam partinya sendiri.

Dan nepotisme ini akan lebih lengkap dengan masuknya Azmin Ali - pembantu akrab Anuar selama 22 tahun - ke dalam barisan kepemimpinan tertinggi parti.

Datuk Zaid Ibrahim yang baru setahun menyertai barisan kepimpinan PKR juga sedang berusaha untuk merebut jawatan Timbalan Presiden atau Presiden.

Dalam kempennya, Zaid mengkritik keras cara Anwar mentadbirkan parti. Zaid sebenarnya cuba mencabar kekuatan Anwar.

Tiba-tiba pada 7 Oktober lalu, Zaid mengumumkan, "Kalau benarlah Nurul Izzah serius hendak merebut jawatan Timbalan Presiden, saya bersedia untuk menarik diri. Saya bersedia membantu beliau dalam pertandingan ini kerana saya melihat Nurul Izzah adalah nafas baru kepada PKR."

Zaid menegaskan, "Saya tidak menolak kemungkinan untuk bertanding Presiden, bergantung kepada keputusan Nurul Izzah. She has the right attributes. If she thinks that she needs me to contest in any other position, I will also go for it."

Dengan kata lain, Anwar dan Wan Azizah tidak perlu diberi pertimbangan. Ertinya "Kerana mu Nurul Izzah, aku akan berbuat apa saja." Begitulah hebatnya pengorbanan dan perjuangan Zaid dalam politik!

Apabila Zaid meletak jawatan menteri ketika sedang jadi tokoh yang hebat, beliau segera mengumumkan: "Tidak akan menyertai mana-mana parti. Lagi pun saya sudah tua."

Maka beberapa hari beliau jadi bintang berita nasional yang besar. Tetapi tidak lama. Rupanya politik masih tetap dihati beliau dan menaruh dendam pada UMNO. Lalu masuk PKR dan terus dilantik jadi Ketua Cabang Kuala Lumpur dan calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil di Hulu Selangor - melangkah ramai pengasas dan pemimpin yang lama.

Malangnya beliau kalah. Jika menang, pastilah dia jadi bintang baru yang dipuja dalam PKR.

Sama sekali tak diduga, malah tidaklah masuk akal, tokoh politik-peguam-korporat terkenal seperti Zaid, akhirnya meletakkan masa depan politiknya kepada Nurul Izzah.

Strategi politik yang aneh. Melagakan anak dengan ibu dan ayah! Sesungguhnya, apabila Zaid meninggalkan parti lamanya dan masuk PKR, UMNO dan orang Melayu tidak rugi apa-apa pun.

Meskipun kedudukan Anwar sebagai ketua pembangkang nampak lemah, setelah ramai anggota Parlimen PKR keluar, dan DAP sedang bersiap untuk mengambil alih pimpinan pakatan pembangkang, tidak mungkin Zaid akan menewaskan kombinasi Anwar-Wan Azizah-Azmin. Nampaknya masa depan Zaid dalam PKR pun semakin kabur.

Oleh : Noor Azam

Juragan Malawati~

Isnin, 11 Oktober 2010

Demokrasi jadi alat politik!

Oleh MUHAMMAD AFIFI ABDUL RAZAK

Kekecohan semasa pengiraan undi pemilihan ketua dan ahli jawatankuasa PKR cabang Sabak Bernam adalah satu insiden yang sangat tidak ‘demokratik’ dan ‘ganas’.

Sebagaimana yang diketahui umum, demokrasi adalah alat politik. Ia memberikan satu idea kepada para pengamal politik bahawa satu cara terbaik untuk mengurus hal ehwal negara adalah menerusi cara demokrasi yang mana suara majoriti rakyat dikatakan menjadi ‘penentu’ utama perjalanan pentadbiran dan jangka hayat sesebuah negara.

Negarawan Amerika Syarikat, Abraham Lincoln pernah menyebut bahawa demokrasi adalah ‘dari rakyat’, ‘oleh rakyat’, dan ‘untuk rakyat’.

Demokrasi sebagai alat politik telah pun menjangkau satu usia yang sangat panjang. Hari ini, amalan demokrasi boleh dilihat di mana-mana di serata pelosok dunia termasuk di Malaysia. Walaupun ‘darjah’ ketepatan amalan sistem demokrasi di sesetengah negara, misalnya di negara-negara dunia ketiga boleh dipersoalkan, namun secara umumnya, kita boleh menyimpulkan bahawa demokrasi telah diterima umum oleh banyak negara pada hari ini sebagai satu bentuk sistem terbaik dalam konteks pemerintahan negara.

Sungguhpun begitu, secara praktiknya, amalan berpolitik mengikut demokrasi sememangnya tidak mudah sebagaimana yang disangkakan. Ini kerana idea demokrasi itu sendiri wujud di negara Barat dan bukannya di negara dunia ketiga. Memandangkan terdapat beberapa unsur ‘kebaikan’ yang ada dalam idea demokrasi tersebut boleh dimanfaatkan oleh semua ‘warga dunia’, satu bentuk penyesuaian (adjustment) amat diperlukan bagi memastikan bahawa pelaksanaan dan amalan sistem demokrasi di negara dunia ketiga tidak memberikan apa-apa implikasi buruk kepada negara dunia ketiga untuk jangka masa panjang.

Sesetengah negara mungkin terpaksa melalui proses ‘trial and error’ sebelum dapat menyesuaikan diri dengan sistem demokrasi di negara mereka. Malaysia adalah antara negara dunia ketiga yang mengguna pakai sistem demokrasi sebagai alat pemerintahan negara. Sejak mencapai kemerdekaan daripada British pada tahun 1957, Malaysia telah mengamalkan sistem pemerintahan secara demokrasi ‘ala-Westminster’.

Walaupun terdapat beberapa pendapat yang cuba ‘menyanggah’ realiti ini di mana Malaysia seringkali dilabel sebagai sebuah negara ‘separa demokrasi’, faktor-faktor sejarah, khasnya, perkembangan sistem politik dan pemerintahan negara, termasuk siri-siri pilihan raya umum sejak merdeka dan keupayaan parti pembangkang menguasai beberapa buah negeri dalam Persekutuan Malaysia jelas menunjukkan bahawa Malaysia sememangnya mengamalkan sistem pemerintahan secara demokrasi.

Begitu pun, usaha parti pemerintah yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) untuk ‘mendemokrasikan’ sistem pemerintahan di Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai. BN sendiri terpaksa melalui pelbagai liku-liku pahit dan onak berduri demi melihat sistem demokrasi dapat dimartabatkan di Malaysia.

Baru-baru ini, pakatan pembangkang yang diterajui oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang seringkali mengkritik keras BN dilihat sudah mula menerima ‘tempias’ politik secara demokrasi. Proses pemilihan kepimpinan PKR di beberapa tempat di seluruh negara telah dicemari dengan pelbagai insiden yang sangat tidak ‘demokratik’ dan ‘ganas’. Keadaan ini dipanaskan dengan wujudnya calon tertentu yang dikatakan mendapat ‘restu’ daripada pimpinan tertinggi parti.

Unsur-unsur kronisme dan nepotisme juga kelihatan sangat jelas melalui gandingan ‘anak-beranak’ yang bertanding merebut beberapa jawatan tertinggi dalam parti, manakala calon yang tidak mendapat ‘restu’ dipinggirkan. Dalam parti DAP, senario yang hampir sama juga boleh dilihat apabila gandingan ‘anak-beranak’ menguasai kepimpinan tertinggi parti. Manakala dalam parti Pas pula, calon yang mendapat ‘restu’ daripada pimpinan tertinggi parti pastinya akan menang.

Apa yang penting bagi mereka ialah kedudukan mereka sebagai pimpinan tertinggi parti ‘selesa’ dengan sokongan calon yang sebenarnya ‘kroni’ mereka sendiri. Hasrat untuk melihat calon pilihan penyokong parti menang pasti akan terkubur dengan sendirinya. Bagi mereka, sokongan ahli parti tidak penting. Yang penting adalah kedudukan mereka terjamin. Sokongan ahli parti hanya penting untuk masa-masa tertentu sahaja.

Dengan ini, pakatan pembangkang juga boleh dilabel sebagai ‘cakap tidak serupa bikin’. Jika keadaan ini pun boleh berlaku dalam parti pembangkang, ia sudah tentu boleh berlaku dalam mana-mana parti politik di negara ini. Semua senario ini menunjukkan kepada kita betapa susahnya untuk mempraktikkan amalan dan sistem demokrasi dalam konteks politik dan pemerintahan negara. Buktinya ialah, apabila pemimpin parti dipilih dari kalangan ‘anak-beranak’, ‘kroni’ dan calon yang mendapat ‘restu’ orang-orang tertentu yang berkuasa dalam parti, dan sebaliknya bukan oleh penyokong parti, ia adalah sesuatu yang sangat tidak demokratik.

Apakah maknanya amalan sistem demokrasi sekiranya percaturan politik negara ditentukan oleh hanya segelintir orang-orang tertentu yang berkuasa dalam parti dan bukannya penyokong parti ataupun rakyat jelata sendiri.

Sememangnya adalah tidak wajar bagi para ‘pengamal’ politik untuk mendabik dada dengan mengatakan bahawa “kami faham makna politik dan demokrasi, rakyat apa tau…”.

Para ‘pengamal’ politiklah yang wajar membuka mata dan minda mereka dengan menerima hakikat bahawa rakyat pada hari ini sudah pun ‘celik politik’ dan bukannya seperti zaman dahulu kala. Adalah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa pada hari ini, rakyat lebih ‘celik politik’ dan lebih memahami makna sistem demokrasi berbanding dengan pemimpin mereka.

Bukti yang jelas bagi menyokong kenyataan ini ialah wujud banyak keputusan-keputusan ‘upset’ yang tidak dijangka dalam beberapa siri pilihan raya umum dan pilihan raya kecil di Malaysia sejak kebelakangan ini. Satu peringatan bagi para pemimpin politik di negara ini, sekiranya anda mahu memastikan sokongan berterusan rakyat kepada parti yang anda sedang terajui, jadilah seorang pemimpin yang ‘celik politik’ dan ‘faham demokrasi’. Jangan jadi pemimpin yang ‘buta politik’ dan ‘jahil demokrasi’.

Menyebut sesuatu dan memberi label mengenai itu dan ini atas nama demokrasi sememangnya mudah, tetapi untuk mempraktikkan demokrasi sebagai satu bentuk amalan berpolitik dan mengurus negara untuk satu jangka masa yang panjang tidaklah semudah yang disangkakan. Ini kerana demokrasi adalah idea warisan dunia Barat.

Juragan Malawati..

Selasa, 5 Oktober 2010

Sultan Johor : Jangan bahas isu sensitif!

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah di majlis perasmian Seminar Khas Perlembagaan Persekutuan Peringkat Negeri Johor di Persada, Johor Bahru, semalam.

Sebagaimana yang kita ketahui, Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang yang paling utama di Malaysia. Ia merupakan sebuah Perlembagaan yang lengkap dan telah mengambil kira kepentingan semua rakyat dan latar belakang sejarah negara ini.

Perlembagaan ini telah digubal dengan begitu teliti oleh Suruhanjaya Reid yang dianggotai oleh pakar-pakar undang-undang dari luar negara. Ia telah melalui pelbagai proses yang rumit, termasuklah meneliti 131 memorandum dari semua pihak dan mengadakan 118 persidangan dalam masa lima bulan.

Seterusnya, Rang Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah melalui proses maklum balas, kajian semula, pindaan dan akhirnya barulah diluluskan oleh Majlis Undangan Persekutuan pada 15 Ogos 1957 dan seterusnya berkuat kuasa pada 27 Ogos 1957.

Kita mesti faham bahawa Perlembagaan ini telah digubal bersandarkan kepada semangat toleransi oleh semua pihak untuk mencapai kemerdekaan. Oleh yang demikian, semua aspek agama, bangsa, budaya dan bahasa telah diambil kira dengan adil dan saksama untuk mewujudkan sebuah negara Malaysia yang aman dan damai.

Yang paling jelas adalah semangat toleransi dalam Parti Perikatan di mana MCA dan MIC telah bersetuju menerima kedudukan “hak istimewa orang Melayu’’ dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Manakala pihak UMNO pula telah bersetuju menerima pemberian taraf kerakyatan kepada orang-orang asing secara jus soli.

Kita perlu ingat bahawa Perlembagaan Persekutuan ini bukan digubal dengan sewenang-wenangnya. Orang dahulu telah berfikir dengan mendalam dan berpandangan jauh tentang masa hadapan.

Oleh itu pada masa kini janganlah mudah sangat demi untuk kepentingan sesuatu pihak, Perlembagaan ini dipinda sesuka hati. Kerana akhirnya nanti Perlembagaan ini akan menjadi tidak bermakna dan mungkin tinggal sekeping kertas sahaja.

Di dalam seminar ini nanti, saudara saudari telitilah berapa banyak pindaan yang telah dibuat terhadap Perlembagaan ini dan sebab-sebab mengapa pindaan itu dibuat.

Dokumen asas kepada Perlembagaan Persekutuan adalah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang ditandatangani oleh pihak British dengan Raja-Raja Melayu. Di mana Raja-Raja Melayu telah bersetuju melepaskan sedikit kuasa pemerintahannya di negeri-negeri. Namun begitu kuasa Raja-Raja terhadap agama dan adat istiadat Melayu masih dikekalkan dan dinyatakan dengan jelas.

Begitu juga di dalam Perlembagaan Persekutuan, kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja juga dinyatakan dengan jelas sebagai payung kepada negara dan negeri. Namun begitu ada juga pihak yang semasa senang, lupa akan pentingnya Institusi Diraja dan cuba menghapuskan kuasa Raja-Raja.

Tetapi malangnya, apabila timbul masalah di kemudian hari, mulalah mencari Raja untuk meminta bantuan dan perlindungan. Inilah sikap manusia yang lupa diri. Semasa hari redup, payung dicampak dan dibuang, tetapi bila hujan turun, masing-masing berlari mencari payung untuk berlindung.

Negeri Johor merupakan Negeri Tanah Melayu yang pertama mempunyai Undang-Undang Tubuh Kerajaannya sendiri iaitu pada tahun 1895. Undang-undang ini mengambil masa 10 tahun untuk dibuat dan menjadi asas kepada undang-undang tubuh negeri lain dan juga Perlembagaan Persekutuan.

Di dalam Perjanjian Persekutuan juga, Raja-Raja Melayu telah berkorban dan bersetuju untuk menyerahkan sebahagian kuasa mutlaknya terhadap negeri bagi membentuk persekutuan yang merdeka. Ini bermakna, jika tidak ada negeri, tidak akan ada persekutuan.

Sehubungan dengan itu, pihak Persekutuan mestilah peka dengan apa yang hendak dilaksanakan di negeri-negeri. Walaupun hubungan hal ehwal luar negara adalah di bawah kuasa Persekutuan, tetapi sekiranya perjanjian yang hendak dibuat melibatkan tanah dan kepentingan negeri, rujuklah dahulu perkara tersebut kepada Raja negeri yang berkenaan.

Keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama telah menjadi contoh kepada negara-negara lain. Ini semua telah dapat dicapai dengan adanya semangat bertolak ansur dan hormat-menghormati antara semua bangsa dan agama di negara ini.

Namun begitu akhir-akhir ini, ada pihak yang begitu ghairah memperjuangkan kaumnya dan mempertikaikan hak dan keistimewaan orang Melayu yang telah diperuntukkan sekian lama di dalam Perlembagaan.

Mereka ini adalah golongan yang cetek akal dan hanya bercakap mengikut selera sendiri tanpa meneliti sejarah pembentukan Perlembagaan Persekutuan. Tindakan ini akan hanya merosakkan keharmonian hubungan kaum dan kesejahteraan hidup masyarakat negara ini.

Kita perlu ingat, keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu tidak menghalang hak kaum lain, malah kaum lain juga diberi hak dan jaminan di dalam Perlembagaan. Ini semua terbentuk hasil dari sikap toleransi yang tinggi pemimpin-pemimpin kita dahulu.

Keharmonian negara ini mestilah dijaga dengan baik dan janganlah dibahaskan isu-isu sensitif yang boleh menggugat kesejahteraan negara. Jangan dipersoalkan kuasa Raja di dalam Perlembagaan atau Enakmen Negeri kerana itu bukanlah hak untuk dibahaskan.

Jangan tafsir Perlembagaan mengikut selera dan kepentingan sendiri dan tidak perlu mengajar Raja mengenai undang-undang dan kuasa kerana Raja telah dididik tentang kuasa sejak kecil lagi.

Belajarlah daripada peristiwa 13 Mei 1969, yang mana kedamaian negara tergadai akibat daripada hilangnya sikap toleransi dan wujudnya golongan pelampau atau extremist.

Di mana-mana juga, golongan extremist inilah yang menjadi dalang merosakkan kedamaian sesebuah negara. Oleh itu, kita harus bersikap sederhana dan bertolak ansur jika kita ingin hidup makmur dalam negara yang berbilang bangsa ini.

Apa yang lebih penting sekarang adalah untuk kita sama-sama berganding bahu, bersatu padu dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan negara kita untuk menjadi sebuah negara yang maju.

Di sini juga, suka saya ingatkan kepada semua pelaksana dan pengamal undang-undang supaya mengambil tindakan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Pihak mahkamah atau badan kehakiman juga perlu lebih berhati-hati apabila menerima sesuatu kes untuk diadili.

Kes-kes sensitif yang tidak sesuai untuk dibicarakan hendaklah ditolak kerana jika mahkamah mendengar kes tersebut dan membuat keputusan, sudah pasti ada pihak yang tidak berpuas hati. Oleh itu, adalah lebih baik jangan dilayan atau ditolak kes-kes yang sensitif terutamanya yang melibatkan kuasa Raja-Raja.

Sebarang bentuk perbahasan dan pertelingkahan mengenai isu-isu sensitif juga hendaklah dielakkan kerana ia hanya akan menambahkan lagi jurang perselisihan terutama antara agama dan bangsa.

Segala kekeliruan yang timbul pula perlu diperjelaskan dengan teliti supaya semua rakyat dalam negara ini dapat hidup dengan harmoni, aman damai, dan saling hormat menghormati bagi menjamin ketenteraman dan kesejahteraan hidup semua.

Penganjuran seminar seperti ini hendaklah dilakukan secara berterusan dan diperluaskan ke segenap lapisan masyarakat, terutama kepada generasi muda masa kini.

Saya percaya, sekiranya mereka faham dengan maksud-maksud yang terkandung di dalam Perlembagaan ini dan memahami asas dan sejarahnya, sudah pasti mereka akan sedar betapa beruntungnya mereka hidup di zaman kemerdekaan.

Kepada pembuat dan pelaksana dasar, gunakanlah kesempatan ini untuk mendapatkan kefahaman yang jelas agar segala keputusan dan tindakan yang diambil selari dengan peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Saya juga berharap agar saudara saudari yang menghadiri seminar ini dapat mendalami dan memahami Perlembagaan yang ada seterusnya menjelaskan mengenainya kepada masyarakat umum. Berpeganglah kepada Perlembagaan yang ada dan yang paling mudah ingatlah Rukun Negara yang sering kita ikrarkan.

Akhir kata dengan lafaz Bismillahir Rahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Seminar Perlembagaan Malaysia Peringkat Negeri Johor pada hari yang mulia ini.


Di harap rakyat semua dapat menghayati dan mengambil iktibar dari titah ucapan DYMM Baginda Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar .

Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku.

Juragan Malawati..

Sabtu, 2 Oktober 2010

PKR makin haru-biru : Proses kira undi dicemari insiden gaduh!

PEMILIHAN peringkat pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Sabak Bernam, Selangor, semalam lengang walaupun 1,000 ahli didakwa hadir mesyuarat agong pada sebelah pagi.

Proses mengira undi bagi pemilihan Ketua dan Ahli Jawatankuasa Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabak Bernam yang berlangsung di Dewan Tun Razak, di sini, malam ini kecoh apabila berlaku insiden bertumbuk dan membaling kerusi.

Kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu bermula dengan tindakan sekumpulan lapan lelaki membuat bising di luar dewan sambil menendang pintu masuk utama. Setelah itu, mereka kemudian menyerbu masuk ke dalam dewan sebelum bertindak menimbulkan kekecohan dengan membaling kerusi.

Difahamkan tindakan kumpulan tersebut kerana tidak puas hati dengan proses pengiraan undi yang dikatakan wujud penipuan. Timbalan Ketua Cabang PKR Sabak Bernam, Abu Talib Bujang yang berada di dalam dewan itu cuba menghalang tindakan kumpulan berkenaan.

Bagaimanapun, tindakannya itu menyebabkan tercetusnya insiden tolak-menolak dan pergaduhan. Malah anaknya, Mohd. Fazli yang turut berada di dalam dewan turut cedera di kepala apabila terkena objek keras yang dipercayai serpihan kerusi yang pecah.

Dia seterusnya dihantar ke Hospital Ampuan Jemaah di sini untuk rawatan lanjut. Ekoran kejadian tersebut, mereka yang berada di dalam dewan telah meluru keluar apabila melihat keadaan yang tidak terkawal itu.

Namun kehadiran anggota polis dan sebuah kereta peronda 10 minit kemudiannya berjaya meredakan keadaan.

Sementara itu, jurugambar Utusan Malaysia, Mohd. Shahrani Saidi yang berada di pintu masuk dewan untuk merakam insiden tersebut telah dikejar oleh ahli PKR yang menuntut supaya diserahkan kamera yang dibawa kepada mereka.

Pergelutan kecil berlaku menyebabkan flash kamera milik jurugambar tersebut terjatuh dan pecah. Shahrani kemudian membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.Wartawan akhbar Sinar Harian, Emelda Pasola turut membuat laporan polis kerana trauma akibat digertak dalam kejadian tersebut.

Dalam pada itu menurut isteri Abu Talib, Siti Zubaidah Idris, kejadian itu berlaku dengan pantas dan di luar jangkaan sama sekali. Bagaimanapun beliau bersyukur kerana keadaan anak dan suaminya yang turut cedera dalam insiden tersebut tidak mengalami kecederaan serius.

Sehingga berita ini ditulis pada pukul 9.15 malam, masih ramai ahli parti yang menunggu di luar dewan kerana tidak mendapat kepastian mengenai sama ada keputusan akan diumumkan atau tidak pada malam ini.

Namun media difahamkan pengumuman keputusan pengundian bagi peringkat cabang tersebut ditangguhkan. Menurut seorang ahli Cabang PKR Sabak Bernam yang enggan dikenali, mesyuarat agung tahunan cabang itu ditangguhkan dan pengundian dibatalkan.

"Insiden yang berlaku ini akan dimaklumkan kepada pihak ibu pejabat dalam masa terdekat,'' katanya.

Cabang Sabak Bernam menyaksikan penyandang Ketuanya, Dr. Badrulamin Bahron ditentang oleh Abdul Aziz Idris dan Abdul Kadir Abdul Rashid.

Abu Talib sendiri bertanding untuk mengekalkan jawatannya dengan mendapat tentangan daripada Anuar Simin yang juga Pengerusi Tetap cabang berkenaan dan seorang lagi, Muhamad Husin Taib.

Sumber : Utusan Malaysia

Juragan Malawati