UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Rabu, 20 Oktober 2010

Perhimpunan Agung UMNO yang Ke-64 : Jangan biar perjuangan UMNO diculik!

SEMASA merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO kelmarin, ucapan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin banyak memberi fokus mengenai perjuangan asas UMNO.

Mesej-mesejnya kepada UMNO dan orang Melayu, parti komponen dan kaum lain sangat tegas dan meyakinkan. Beliau turut memberi jaminan UMNO akan tetap mempertahankan hak orang Melayu dan pada masa sama menghormati hak-hak kaum lain.

Kepada wartawan Utusan Malaysia OTHMAN MOHAMAD, ZULKEFLI HAMZAH, ROZAMAN ISMAIL dan HERMAN HAMID, beliau menjelaskan mengenai intipati ucapannya itu.

UTUSAN: Perhimpunan kali ini berbalik kepada banyak isu asas, perpaduan, elak prasangka, jangan prejudis, permuafakatan. Kenapa kita berbalik perkara yang asas?

MUHYIDDIN: Kita berbalik kepada asas kerana untuk sekian lama ada perkembangan-perkembangan yang telah berlaku dalam ekosistem politik yang agak berlainan dan isu-isu yang berbangkit jauh lebih kritikal berbanding sebelum ini. Sebab itu kita berpendapat adalah wajar kita balik semula kepada asas perjuangan kita. Contohnya, jika ada tanggapan di kalangan masyarakat Melayu pada hari ini bahawa UMNO tidak berjuang macam dahulu untuk kepentingan orang Melayu, ini mungkin disebabkan persepsi. Tapi kita berpendapat asas perjuangan kita masih kukuh. UMNO tak pernah berganjak seperti mana dalam ucapan saya semalam tentang soal-soal pokok yang telah jadi asas perjuangan kita bersandar Perlembagaan yang saya jelaskan. Tetapi disebabkan situasi dan keadaan, kita berpendapat perlu diperingatkan semula supaya, pertama – khususnya ahli UMNO sendiri mesti yakin tentang perjuangan UMNO itu sendiri, jangan luntur semangatnya hanya kerana keadaan senario politik sudah berubah. Kita hadapi cabaran atau menghadapi ancaman daripada situasi politik baru pada hari ini.

Ahli kita kena perkukuh balik semangat juang bahawa UMNO tak bersalah, UMNO bukan parti rasis, UMNO parti nasional dan perjuangan kita berlandaskan perjuangan yang betul. Kedua, untuk masyarakat Melayu, perjuangan kita yang dahulu untuk bangsa, agama dan negara, dan kita sebut kandungan Perlembagaan yang menjadi asas kukuh parti kita masih kekal walaupun dalam senario politik yang agak berbeza. Umpamanya soal berbangkit sekarang kerana ada pihak yang rasa seolah-olah hak mereka mula terhakis, Melayu rasa terhakis, bukan Melayu rasa terhakis. Tentunya bukan begitu, tetapi kerana persepsi juga, kita kena yakinkan orang Melayu bahawa dia masih boleh bergantung harap kepada UMNO, sebab UMNO tak akan berganjak daripada perjuangan kita.

Sebab itu saya tekankan semalam kita tak akan apologetik, kita tak kompromi dalam soal-soal yang menyentuh hak kaum Melayu, bahasa Melayu, kedudukan raja-raja, Perlembagaan, soal untuk memastikan martabat Melayu itu terbela. Demikian juga dalam menghormati hak kaum-kaum lain.

Apakah tidak perlu sebut Melayu dahulu?

Tak perlu, seperti saya sebut semalam, saya tak perlu ulangi hal sebegitu. Yang penting matannya iaitu kandungannya apa, bahawa kita tak perlu rasa takut bimbang seolah-olah kita tinggalkan asas perjuangan kita, kerana kita masih berpandu prinsip perjuangan yang besar. Tapi persepsi dalam politik bagaimana yang saya pernah ungkapkan kepada media sebelum ini ia memberi kesan, mungkin kerana dilihat sekitarnya itu maka itulah persepsi. Tapi persepsi itu perlu kita perbetulkan. Bila saya sebut semalam tentang apa orang kata mengulang semula, bukan kerana dia tujuan retorik tapi mengingati kembali baik di kalangan pemimpin UMNO, ahli mahu pun orang Melayu di luar.

Tan Sri sebut UMNO sudah berubah, di tahap mana?

Sebab ada orang kata UMNO tak berubah, macam dulu. Sudah pun berlaku perubahan, tapi perubahan apa dia, kalau perubahan kerangka minda, dia memerlukan tempoh masa. Tapi sudah bermula maksud saya ialah kita tidak berfikir seperti mana kita fikir setahun dua tahun yang lalu. Bila kita bicara di kalangan pemimpin UMNO dan BN, kita tak bicara dalam rentak lagu lama. Bermakna kita sudah ada senario baru. Ada perubahan dari segi pemahaman kita. Perubahan itu sudah ada. Apa lagi kalau kita sebut contoh perlembagaan parti mengenai kita mahu jadi lebih inklusif. Kita ambil kira soal-soal utama apatah lagi dikaitkan pimpinan kerajaan terajui UMNO, apa yang dilakukan Perdana Menteri, transformasi ekonomi dan kerajaan. Ini tak boleh dipisahkan daripada kepimpinan dalam parti. Ini perubahan yang telah bermula. Tapi yang penting ialah bagaimana nak wujudkan tempoh masa ke hadapan.

Merujuk kepada ucapan Tan Sri semalam banyak disebut tentang perjuangan Melayu, adakah ini beri gambaran semangat itu mula hilang di kalangan ahli UMNO?

Saya tak fikir begitu, takkan Melayu hilang di dunia. Semangat Melayu itu masih ada tapi kita harus pragmatik dalam hal ini kerana yang saya sebut juga mungkin ada tanggapan, persepsi yang merasakan seolah-olah semangat juang di kalangan pimpinan UMNO mula luntur tapi tuntutan Melayu tidak luntur.

Orang Melayu masih lagi mahu mencapai kemajuan lebih besar, menguasai semua bidang. Tapi bila dilihat seolah-olah tidak imbang antara tuntutan yang dibuat parti kita, itu gambaran. Maka mereka rasa kurang yakin dan menyebabkan mereka mungkin beralih pandang ke pihak lain yang tidak pasti pun boleh jamin masa depan.

Jadi kita kena kembali. Bila saya sebut tentang Melayu itu bukan apa, nak ingatkan asas penubuhan dan perjuangan UMNO adalah untuk membela nasib bangsa, agama dan negara. Terasnya adalah Melayu, bumiputera dan Islam. Jadi, saya sebut itu untuk mereka tahu UMNO tak lari, masih kekal jadi wadah perjuangan orang Melayu. Itu kita ulang.

Pihak-pihak tertentu nak culik apa yang jadi milik kita. Perjuangan Melayu kita asaskan, bela nasib bangsa, agama, bahasa, institusi raja-raja, ini kita punya tapi ada pihak mula nak culik itu, sama ada dia pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau parti politik lain. Dia kata dia perjuangkan, kononnya. Sebelum barang itu diculik oleh pihak lain, kita kena pertahan, ini kita punya, kita perjuang dan ini harus kekal.

Tapi apakah semangatnya sampai kepada ahli-ahli untuk bertindak?

Yang penting kita kena bugarkan semangat. Tadi saya duduk dalam persidangan Pemuda, saya nampak orang kata suara yang disampaikan Presiden dalam taklimat semalam mula bergema, disahut. Sebab itu penting kerana kita tak mahu parti kita dilihat lesu. Lesu UMNO bukan apa, ahli tak bersemangat, itu kita perlu elak. Kena beritahu ahli yang kita ini di landasan betul. Jangan gundah gulana, takut kerana hanya ada pihak lain sudah mula menyerang kita. Dalam situasi sebegini kita kena perkukuh semangat.

Semangatnya mungkin sedikit lesu tapi nampaknya ada bahagian UMNO masih belum bersatu dan berpuak-puak, bagaimana boleh diatasi?

Ini pun saya sebut jangan ada sedikit pun nak timbulkan amarah sesama kita yang boleh timbul berpecah-belah. Ini diulang berkali-kali oleh pucuk pimpinan. Kerana kita tahu walau kita atur strategi besar sebegini tapi dari segi dalaman, hubungan tak baik, tak ada kerjasama, cah keting, itu tak akan bawa kesan yang baik kepada kita. Soal pokoknya saya kata, kena balik pada soal menilai kesedaran dan semangat. Itu pokok. Apa pun yang saya biasa tegaskan ialah etika dalam politik. Kalau kita pegang etika, nilai dan moral, kita tak akan buat sebegitu. Lebih-lebih lagi bersandarkan hukum agama kita, hal-hal sebegini bukan sahaja tidak baik tapi ada balasan, ada dosa.

Kalau itu diperingatkan, saya rasa mereka akan lebih sedar dan mesti harus mengelak hal itu. Tapi hal yang lain perlu ada tindakan afirmatif di peringkat kepimpinan. Kalau negeri lihat bahagian itu bermasalah macam saya di pusat, apa yang harus kita buat. Ini sudah kita mula macam sesetengah bahagian kita minta negeri pantau seperti di Rantau Panjang. Nampak bila Datuk Seri Mustapa Mohamed masuk, sudah balik baik semula. Itu tindakan afirmatif kita buat.

Kalau di Kedah, apa masalah. Di Terengganu nampak inisiatif Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, jumpa dan cakap balik. Tapi maklumlah hal sebegini bukan boleh selesai dalam tempoh sekali dua usaha. Tapi nampak ada kesedaran dan kesediaan untuk bekerja bersama-sama.

Apakah ciri atau karakter yang perlu ada kepada ahli UMNO dalam berdepan perubahan dalam konteks UMNO yang lebih inklusif dan demokratik?

Dia kena faham asas kekuatan itu pada ilmu. Bila kita bicara semalam pembangunan modal insan, pendidikan, penguasaan ilmu teknologi dan dia memahami. Jadi kita kena lihat masa depan bergantung kepada kebijaksanaan generasi muda menguasai ilmu.

Kalau kita nak suruh pemimpin muda kita ke depan tapi dia tak ada kebijaksanaan, tak ada ilmu dan tak ada kemahiran, jadi apakah bentuk kepimpinan yang kita dapat? Pokoknya pengalaman penting tetapi ilmu penguasaan semua bidang itu perlu.

EKONOMI DAN MAJLIS TERTINGGI AGENDA BUMIPUTERA

Kenapa perlu wujudkan Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB)?

Itu mungkin perbahasan peringkat usul yang saya ingat satu daripada cadangannya untuk pimpinan tubuhkan MTAB. Saya yakin ia akan disokong 100 peratus oleh perwakilan. Kenapa penting, kerana bila transformasi dilakukan kepimpinan khususnya Perdana Menteri yang dilakukan adalah transformasi yang besar, baik dari segi Program Transformasi Kerajaan (GTP) atau Program Transformasi Ekonomi (ETP) dipecah dalam bentuk Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) dan Model Baru Ekonomi (MBE). Ini satu perkara hebat yang ditanya ramai Melayu di mana posisi Melayu dalam konteks transformasi yang besar. Ada yang beranggapan kita sudah tinggalkan agenda bumiputera, tak dijelaskan secara terperinci dalam kerangka MBE atau NKEA di mana khususnya bumiputera terlibat. Jadi kita perlu jawab itu. Kerana kalau tak dijawab kemungkinan orang akan anggap negara maju 2020 nanti, negara berpendapatan tinggi, tapi di manakah kedudukan Melayu.

Tapi persoalannya, pertama penubuhan MTAB itu penting bagi mengumpul data-data yang lengkap. Pasal ini kita tak boleh buat secara sambilan atau letak di bawah unit-unit, sebab persoalan ini akan timbul 10, 20 tahun akan datang, itu sudah terlambat. Lagi pun dalam proses ekonomi yang dinamik kalau kita tak pantau perkembangannya maka kita akan tersasul. Mana bidang yang patut bumiputera ada di situ, kita tak ada.

Jadi satu – kumpul data lengkap kedudukan kita dalam setiap NKEA yang 12 itu, mana kita boleh terjemahkan penyertaan Melayu di dalamnya sama ada dibuat oleh swasta atau didokong oleh usaha kerajaan. Jadi ini satu rencana yang besar dan saya percaya bila badan itu ditubuh, inilah perlu dilihat supaya setiap sektor sekurang-nya sasaran ekuiti bumiputera 30 peratus itu jelas.

Dan di samping itu bagaimana kita nak kenal pasti dalam pelan afirmatif baru yang disebut Presiden tidak seperti zaman DEB dulu – siapa nak ambil, kita bagi saja. Sekarang berdasarkan meritokrasi bumiputera mengikut kesungguhan individu itu nak laksanakannya. Kita kena kenal pasti kelompok ini untuk kita bantu dan dorong supaya terlibat dalam sektor-sektor ekonomi nanti.

Apakah majlis ini berperanan mengumpul pangkalan data atau lebih daripada itu?

Lebih daripada itu. Sekarang ada pihak yang terjemah ekuiti bumiputera telah capai hingga lebih 40 peratus. Yang penting kita nak tentukan di mana kedudukan kita sekarang, adakah 18, 19 peratus? Itu langkah awalan, berikut itu apa pelan tindakan. Jadi saya percaya mungkin dah tubuh badan itu nanti mesti ada pelan tindakan yang meletakkan bumiputera di mana?

Ini (MTAB) agensi atau di bawah parti?

Mungkin yang penting kerajaan. Saya percaya parti boleh buat tapi tak ada yang lebih berupaya daripada kerajaan. Tapi terserah kepada Perdana Menteri untuk menentukannya.

Agenda bumiputera 50 tahun akan datang di bawah majlis ini?

Yang lebih utama sekarang dalam tempoh 10 tahun akan datang, kerana 2020 kita nak jadi negara maju tapi persoalannya maju macam mana. Melayu di mana dan dalam tempoh 10 tahun juga telah digaris dalam ETP dan NKEA, kita akan jana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM1.2 trilion. Jadi daripada jumlah itu berapa banyak Melayu ada. Contohnya pelaburan yang masuk, jana pendapatan kasar RM1.2 trilion. Sebab itu kita nak ambil 10 tahun yang awal. Lepas itu bila asasnya lebih kukuh, maka akan lebih rancak.

Usul yang akan dibawa ini akan mengumumkan penubuhan majlis ini?

Satu daripada perenggan usul akan sebut pentingnya program ini dan kita akan bahas. Kita harap ia akan diterima untuk dipanjangkan kepada pucuk pimpinan.

PILIHAN RAYA

Dalam konteks pilihan raya umum akan datang macam mana Tan Sri harapkan persediaan kita?

Presiden dalam taklimatnya ada sebut empat perkara penting untuk tentukan masa depan kita termasuk soal calon. Itu perkara yang perlu dipegang oleh semua ahli. Bila ada kesedaran baru dan diikuti dengan langkah cadangan saya supaya ada kad skor, ada sikit orang kata hala tuju, sesuatu yang boleh kita lakukan. Tahun lepas kita sebut KPI, jadi macam mana nak ukur KPI kalau tak lihat apa yang dia harus tumpukan. Jadi idea saya ialah kita sediakan kad skor umpama hubungan dengan NGO di kawasannya, dia berhubung lagi tak, kalau kosong maknanya dia tak buat. Ini bukan soal hukuman.

Di sini kita dapat nilai usaha dia berkesan atau tidak. Atau kebajikan – kawasan dia ada orang miskin, dia pergi bantu atau tidak. Jadi kita boleh tentukan. Ini saya serah kepada Exco untuk menggariskan bagaimana caranya. Kalau dibuat begitu, barulah kita dapat lihat kesan daripada inisiatif ini iaitu pertama, kesedaran baru. Kedua kesungguhan ahli untuk bekerja lebih keras. Ketiga, pemulihan keyakinan masyarakat umum kepada kita terutama orang Melayu. Kalau itu berlaku, dalam proses setahun dua akan datang saya percaya angin perubahan akan lebih kencang menghala kepada kita.

Tetapi soal pokoknya apa yang harus kita lakukan dalam tempoh dua tahun. Kalau dua tahun ini kita bekerja keras hingga sampai tempoh waktu 2012 atau 2013, saya tak tahulah bila, itu PM umumkan (pilihan raya), maka setidak-tidaknya kita sudah bergerak. Apa pun bergantung kepada usaha kita.

Peranan komponen lain?

Peranan komponen memang tak boleh kita nafikan. Yang pertama mereka harus kukuhkan kedudukan mereka, MCA, MIC dan Gerakan, kita lihat sudah ada inisiatif yang dibuat pemimpin komponen parti. Tapi belum mantap, nak kata tak ada langsung tidak betul. Jadi itu penting kerana kalau kata UMNO saja usahakan, ia tidak akan selesai semua masalah terutama nak tarik sokongan bukan Melayu.

Mereka nak lihat siapa dalam BN yang jadi pejuang mereka. MCA untuk suarakan masalah orang Cina, tapi jika MCA lemah maka orang Cina tak yakin apa yang MCA boleh lakukan. Proses mengukuhkan MCA telah dilakukan. Sedikit sebanyak saya fikir nampak serius. Cuma Gerakan belum cukup kukuh, komponen-komponen lain belum berganjak jauh, tapi ini perlu diteruskan. Tak boleh bebankan UMNO sahaja. Kita nak lain-lain komponen berperanan sama.

PERLEMBAGAAN DAN PRASANGKA BUKAN MELAYU

Semalam Tan Sri ada menyebut tentang hapuskan prasangka, adakah itu ditujukan kepada keluarga besar BN?

Itu saya tuju kepada semua. Bila sebut masih wujud mengenai debat sensitiviti kaum, ungkapan-ungkapan yang timbul, dengan sebab itu timbul situasi orang marah. Saya ada dengar bila hadir ke pertemuan macam rasa benci, ini saya fikir bukan satu puak, puak lain juga begitu. Maka seruan saya itu mencakupi semua supaya hal sebegini kita kena uruskan dengan betul, tak boleh kita biar.

Saya kata kalau penting, kita mesti berhenti sekarang. Itu boleh dilakukan kalau kita beri jaminan. Semalam dalam ucapan saya, pemimpin UMNO akan jamin hak Melayu, bumiputera memang ada. Jadi bila ada, buat apa nak bising. Sebab dia bersuara macam takut nak hilang (hak dia). Dia bersuara, bukan bumiputera pun macam itu kalau tak buat begini, aku tak ada apa-apa walaupun sudah dapat banyak.

Jadi bila dia tahu hak dan kedudukan dia sudah terpelihara dan ini tidak akan diungkit. Lebih baik tak payah ungkit, buat apa nak diungkit, sudah ada di situ maka tak akan timbullah soal begini.

Maka sebelum sampai di situ, kita kena uruskan sebab soal sensitiviti antara kaum, hak, peruntukan Perlembagaan yang sudah mula dengar secara lebih lumrah sekarang ini satu perkembangan yang tidak sihat, sesuatu yang boleh menggugat kestabilan politik, sesuatu boleh cetuskan keadaan tidak baik kepada masyarakat. Jadi ini kita kena uruskan.

Apakah ini berkaitan soal prinsip ketiga Rukunegara, Keluhuran Perlembagaan?

Saya tak fikir kita nak olah semula apa yang sudah termaktub. Bila termaktub ia tak boleh nak rungkai. Itu sudah ada. Kebijaksanaan pengasas negara kita waktu awal-awal dulu mengajak semua pihak. Bermakna mereka tahu bahawa jika perkara ini tidak diurus awal-awal, maka ini akan jadi masalah. Sudah diurus pun berbangkit balik sebab satu putaran telah berlaku iaitu generasi baru naik yang sudah tidak terikat dengan lampau.

Jadi inilah senarionya yang kita harus pergi satu pusingan semua. Untuk kita jelaskan semula. Ingatkan balik. Mengapa nak bangkit lagi. Tak payah lagi, hak dia sudah ada di situ. Ini penting untuk beri keyakinan bahawa kedudukan mereka tidak tergugat dan masih terpelihara walaupun UMNO ditubuhkan atas nama Melayu tetapi adil, inklusif untuk lain-lain. Jadi bagi keyakinan, anda sokong kita akan lindung. Dia sokong kita selama 53 tahun jadi kita lindung hak dia. Apa hak dia yang kita ambil.

Tapi kerana telah dipolitikkan sebegitu rupa oleh parti lawan maka termakanlah sesetengah kelompok dalam masyarakat bahawa hak akan hilang, kedudukan akan terhakis, Itu sebab mereka bangkit semula dan menyuarakan hal ini. Jadi kita sebagai parti utama kena uruskan hal itu. Tak boleh biar.

Tapi tak mudah nak meyakinkan hal ini dalam keadaan mereka semakin lantang bersuara?

Ya, tak mudah lebih-lebih lagi ia dipolitikkan puak-puak pembangkang. Pembangkang eksploitasi itu. Dia lebih cauvinis daripada sesiapa lain. Untuk itu kita tak boleh lepas tangan. Jadi kita kena ambil langkah proaktif mengenal pasti apa isu dan permasalahan. Beri penjelasan dan jaminan bahawa selagi kita tadbir negara, kedudukan mereka tak akan tergugat. Jika mereka miskin misalnya kita akan bantu, bukan sebagai ungkapan tetapi amalan kita, turun ke bawah lihat masyarakat bukan Melayu, apa isu mereka di kawasan. Jika kita buat begitu saya percaya akan ada perubahan.

GENERASI MUDA DAN SAYAP

PEMUDA DAN PUTERI

Generasi muda rasa hak-hak mereka tak payah diperbesarkan kerana boleh bersaing secara saksama dengan yang lain manakala generasi lama mahu ia terus dipertahankan. Bagaimana kita nak urus kedudukan ini?

Generasi muda mesti sedar di mana mereka berada. Mesti faham tentang Perlembagaan kerana kita hidup dalam satu sistem Demokrasi Berparlimen dalam keadaan ekonomi terbuka. Ini realiti politik, ekonomi dan sosial yang mesti difahami. Kalau mereka fahami apa yang telah kerajaan lakukan sekarang, beri perlindungan, bantuan dan bangunkan mereka, saya yakin mereka akan rasa lebih yakin. Masa depan untuk mereka di bawah UMNO, Soal pokoknya sekarang memberi didikan politik yang lebih kepada generasi muda supaya mereka faham realiti politik sebenar.

Kalau itu tidak dilakukan, mereka mungkin boleh terpedaya oleh media sosial yang membawa pelbagai berita. Mereka tak boleh buat penilaian kerana tidak ada pihak yang membantu menjelaskan keadaan. Jadi jika itu, mereka mungkin buat tanggapan yang silap. Jadi soal sebegini saya fikir hubungan dengan generasi muda jangan kita abaikan. Kena beri perhatian utama libatkan mereka dalam proses buat keputusan. Tarik mereka bersama-sama buat keputusan. Baru dapat memahami dan hargai situasi dan keadaan mereka.

Sayap Pemuda dan Puteri nampak macam elit dan gagal menjalinkan hubungan dengan generasi muda termasuk yang di universiti?

Nak kata elit saya tak fikir begitu. Sebab dalam proses politik seperti Pemuda atau Puteri, dia berubah. Prosesnya dinamik. pimpinan silih berganti, pengalaman baru, kesedaran baru dan pendekatan berbeza. Tapi nampak usaha itu belum cukup. Harapan rakyat tinggi. Jadi saya fikir perlu ada usaha lebih berganda, seperti saya sebut dalam ucapan saya. Sudah ada buat itu dan ini. Tapi belum mencukupi sebab jangkaan masyarakat adalah tinggi. Keupayaan mereka masih terbatas, sebab itu kena lihat bagaimana pimpinan muda dalam UMNO baik Pemuda dan Puteri berhubung dengan masyarakat lebih daripada apa yang telah dibuat.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan