UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Isnin, 11 Oktober 2010

Demokrasi jadi alat politik!

Oleh MUHAMMAD AFIFI ABDUL RAZAK

Kekecohan semasa pengiraan undi pemilihan ketua dan ahli jawatankuasa PKR cabang Sabak Bernam adalah satu insiden yang sangat tidak ‘demokratik’ dan ‘ganas’.

Sebagaimana yang diketahui umum, demokrasi adalah alat politik. Ia memberikan satu idea kepada para pengamal politik bahawa satu cara terbaik untuk mengurus hal ehwal negara adalah menerusi cara demokrasi yang mana suara majoriti rakyat dikatakan menjadi ‘penentu’ utama perjalanan pentadbiran dan jangka hayat sesebuah negara.

Negarawan Amerika Syarikat, Abraham Lincoln pernah menyebut bahawa demokrasi adalah ‘dari rakyat’, ‘oleh rakyat’, dan ‘untuk rakyat’.

Demokrasi sebagai alat politik telah pun menjangkau satu usia yang sangat panjang. Hari ini, amalan demokrasi boleh dilihat di mana-mana di serata pelosok dunia termasuk di Malaysia. Walaupun ‘darjah’ ketepatan amalan sistem demokrasi di sesetengah negara, misalnya di negara-negara dunia ketiga boleh dipersoalkan, namun secara umumnya, kita boleh menyimpulkan bahawa demokrasi telah diterima umum oleh banyak negara pada hari ini sebagai satu bentuk sistem terbaik dalam konteks pemerintahan negara.

Sungguhpun begitu, secara praktiknya, amalan berpolitik mengikut demokrasi sememangnya tidak mudah sebagaimana yang disangkakan. Ini kerana idea demokrasi itu sendiri wujud di negara Barat dan bukannya di negara dunia ketiga. Memandangkan terdapat beberapa unsur ‘kebaikan’ yang ada dalam idea demokrasi tersebut boleh dimanfaatkan oleh semua ‘warga dunia’, satu bentuk penyesuaian (adjustment) amat diperlukan bagi memastikan bahawa pelaksanaan dan amalan sistem demokrasi di negara dunia ketiga tidak memberikan apa-apa implikasi buruk kepada negara dunia ketiga untuk jangka masa panjang.

Sesetengah negara mungkin terpaksa melalui proses ‘trial and error’ sebelum dapat menyesuaikan diri dengan sistem demokrasi di negara mereka. Malaysia adalah antara negara dunia ketiga yang mengguna pakai sistem demokrasi sebagai alat pemerintahan negara. Sejak mencapai kemerdekaan daripada British pada tahun 1957, Malaysia telah mengamalkan sistem pemerintahan secara demokrasi ‘ala-Westminster’.

Walaupun terdapat beberapa pendapat yang cuba ‘menyanggah’ realiti ini di mana Malaysia seringkali dilabel sebagai sebuah negara ‘separa demokrasi’, faktor-faktor sejarah, khasnya, perkembangan sistem politik dan pemerintahan negara, termasuk siri-siri pilihan raya umum sejak merdeka dan keupayaan parti pembangkang menguasai beberapa buah negeri dalam Persekutuan Malaysia jelas menunjukkan bahawa Malaysia sememangnya mengamalkan sistem pemerintahan secara demokrasi.

Begitu pun, usaha parti pemerintah yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) untuk ‘mendemokrasikan’ sistem pemerintahan di Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai. BN sendiri terpaksa melalui pelbagai liku-liku pahit dan onak berduri demi melihat sistem demokrasi dapat dimartabatkan di Malaysia.

Baru-baru ini, pakatan pembangkang yang diterajui oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang seringkali mengkritik keras BN dilihat sudah mula menerima ‘tempias’ politik secara demokrasi. Proses pemilihan kepimpinan PKR di beberapa tempat di seluruh negara telah dicemari dengan pelbagai insiden yang sangat tidak ‘demokratik’ dan ‘ganas’. Keadaan ini dipanaskan dengan wujudnya calon tertentu yang dikatakan mendapat ‘restu’ daripada pimpinan tertinggi parti.

Unsur-unsur kronisme dan nepotisme juga kelihatan sangat jelas melalui gandingan ‘anak-beranak’ yang bertanding merebut beberapa jawatan tertinggi dalam parti, manakala calon yang tidak mendapat ‘restu’ dipinggirkan. Dalam parti DAP, senario yang hampir sama juga boleh dilihat apabila gandingan ‘anak-beranak’ menguasai kepimpinan tertinggi parti. Manakala dalam parti Pas pula, calon yang mendapat ‘restu’ daripada pimpinan tertinggi parti pastinya akan menang.

Apa yang penting bagi mereka ialah kedudukan mereka sebagai pimpinan tertinggi parti ‘selesa’ dengan sokongan calon yang sebenarnya ‘kroni’ mereka sendiri. Hasrat untuk melihat calon pilihan penyokong parti menang pasti akan terkubur dengan sendirinya. Bagi mereka, sokongan ahli parti tidak penting. Yang penting adalah kedudukan mereka terjamin. Sokongan ahli parti hanya penting untuk masa-masa tertentu sahaja.

Dengan ini, pakatan pembangkang juga boleh dilabel sebagai ‘cakap tidak serupa bikin’. Jika keadaan ini pun boleh berlaku dalam parti pembangkang, ia sudah tentu boleh berlaku dalam mana-mana parti politik di negara ini. Semua senario ini menunjukkan kepada kita betapa susahnya untuk mempraktikkan amalan dan sistem demokrasi dalam konteks politik dan pemerintahan negara. Buktinya ialah, apabila pemimpin parti dipilih dari kalangan ‘anak-beranak’, ‘kroni’ dan calon yang mendapat ‘restu’ orang-orang tertentu yang berkuasa dalam parti, dan sebaliknya bukan oleh penyokong parti, ia adalah sesuatu yang sangat tidak demokratik.

Apakah maknanya amalan sistem demokrasi sekiranya percaturan politik negara ditentukan oleh hanya segelintir orang-orang tertentu yang berkuasa dalam parti dan bukannya penyokong parti ataupun rakyat jelata sendiri.

Sememangnya adalah tidak wajar bagi para ‘pengamal’ politik untuk mendabik dada dengan mengatakan bahawa “kami faham makna politik dan demokrasi, rakyat apa tau…”.

Para ‘pengamal’ politiklah yang wajar membuka mata dan minda mereka dengan menerima hakikat bahawa rakyat pada hari ini sudah pun ‘celik politik’ dan bukannya seperti zaman dahulu kala. Adalah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa pada hari ini, rakyat lebih ‘celik politik’ dan lebih memahami makna sistem demokrasi berbanding dengan pemimpin mereka.

Bukti yang jelas bagi menyokong kenyataan ini ialah wujud banyak keputusan-keputusan ‘upset’ yang tidak dijangka dalam beberapa siri pilihan raya umum dan pilihan raya kecil di Malaysia sejak kebelakangan ini. Satu peringatan bagi para pemimpin politik di negara ini, sekiranya anda mahu memastikan sokongan berterusan rakyat kepada parti yang anda sedang terajui, jadilah seorang pemimpin yang ‘celik politik’ dan ‘faham demokrasi’. Jangan jadi pemimpin yang ‘buta politik’ dan ‘jahil demokrasi’.

Menyebut sesuatu dan memberi label mengenai itu dan ini atas nama demokrasi sememangnya mudah, tetapi untuk mempraktikkan demokrasi sebagai satu bentuk amalan berpolitik dan mengurus negara untuk satu jangka masa yang panjang tidaklah semudah yang disangkakan. Ini kerana demokrasi adalah idea warisan dunia Barat.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan