UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Jumaat, 23 Mei 2014

Kenapa ganggu UiTM, kenapa tidak SJKC?


Kolum Cuit minggu lepas telah meramalkan Dyana Sofya akan menjadi calon DAP pada PRK Parlimen Teluk Intan. Betul, Setiausaha Politik Lim Kit Siang itulah yang diangkat menjadi calon.

Melihat dia dan ibunya Yammy Samat di satu majlis yang saya turut hadir minggu lepas, saya berkata dalam hati “gadis alumni UiTM ini cukup versatil dan dalam usia 27 tahun dia sudah berjaya berada dalam inner circle Lim Kit Siang." Hebat!

Sebagai Presiden Alumni UiTM Malaysia, itu perasaan saya ketika itu. Namun selepas hari penamaan calon, gadis itu sudah lupa daratan. Dia telah menghina UiTM.

Dyana telah menarik institusi keramat Bumiputera, alma maternya sendiri, menjadi modal kempen kebencian kaum. Setelah berada dalam inner circle Kit Siang - dia sudah lupa siapa dirinya dan asal usul induk bapanya. Ibunya berdarah Cina.

Wahai Dyana, janganlah dipertikaikan kewujudan UiTM. UiTM tidak pernah menjadi milik UMNO pun, tetapi adalah milik mutlak bangsa Melayu bumiputera bagi membantu mereka merapatkan jurang sosioekonomi kaum lain yang lebih terkehadapan.

UiTM menjadi pengimbang sosioekonomi Melayu bumiputera agar bangsa Melayu seperti Dyana tidak lagi memerlukan ‘tongkat’ untuk maju dalam kerjaya dan kehidupan.

Tahniah Dyana, anda tidak lagi memerlukan tongkat itu, tapi anak-anak dan cucu-cucu kamu mungkin masih memerlukan selagi jurang sosioekonomi terus wujud.

Persoalannya mengapa gemar sangat DAP menyentuh institusi pendidikan ulung istimewa orang Melayu bumiputera itu. Adakah kerana ia semakin hebat sekarang? Institusi itu ternyata cemerlang dalam melahirkan siswazah yang cukup berjaya dari dulu hingga sekarang.

Mengapa Dyana terlalu terharu apabila Kit Siang melinangkan air mata kerana UiTM. Mengapa Dyana tidak melihat berapa ramai lagi bangsanya sendiri yang menangis kerana keciciran?

Siapa yang memenuhi kolej-kolej dan universiti-universiti swasta yang tidak mampu dimasuki oleh pelajar-pelajar miskin?

Untuk pengetahuan Dyana, sekolah Cina juga bukan milik MCA atau DAP. Ia adalah milik rakyat. Maka itu ia sepatutnya menjadi seperti sekolah rakyat atau sekolah kebangsaan. Sebagai sekolah milik rakyat ia harus menggunakan bahasa rakyat Malaysia iaitu bahasa kebangsaan sahaja.

Sepatutnya Dyana menjadi aktivis ke arah merealisasikan Satu Sekolah Untuk Semua seperti yang diamalkan di Singapura, Thailand, Filipina malah Amerika dan China serta di India.

Dyana seharusnya menjadi orang tengah memujuk Dong Zong yang menentang guru-guru yang tidak fasih dalam penggunaan bahasa Mandarin (rata-ratanya guru Me­layu) daripada dihantar ke sekolah-sekolah Cina.

Pelantikan seorang penolong pengetua berbangsa Melayu di sebuah sekolah Cina di Alor Gajah baru-baru ini pun menjadi isu kerana dibantah oleh Dong Zong dengan tunjuk perasaan.

Jijik sangat ke kita ini? Jika sistem pendidikan sekolah kita telah menjadi satu - tiada lagi sekolah Cina atau vernakular lain, maka saya sendiri akan memperjuangkan supaya UiTM juga dibuka kepada semua.

Jika kewujudan sekolah Cina tidak langsung termaktub dalam peruntukan Perlembagaan malah bercanggah pula, kewujudan UiTM sekurang-kurangnya berkait dengan Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, Dyana dan DAP, janganlah dijolok sarang tebuan!

Kau terlalu mentah...

Seperti yang dijangka isu perkauman sedang menjadi isu besar dalam PRK Teluk Intan.

Ini merupakan isu yang tidak boleh dibendung oleh sesiapa yang tidak memahami keadaan dan latar belakang politik negara yang berkait dengan berbilang kaum.

Tetapi yang paling elok difikirkan jika kita jujur untuk mengelak diri daripada terlibat dengan isu perkauman ialah: Isu UiTM wajar di asingkan dengan semua isu dalam banyak-banyak isu yang berbangkit.


Semua pihak disaran tidak menjadikan UiTM sebagai kambing hitam politik. Baik DAP mahupun UMNO, isu UiTM wajar diberikan exemption (pengecualian) daripada dimainkan sebagai isu politik.

UiTM, dulunya ITM ditubuhkan lama sebelum wujud Dasar Ekonomi Baru (DEB). Ia terbentuk di atas landasan untuk menambah bilangan kaum bumiputera, tidak kira Melayu atau pun Pribumi dari Sabah dan Sarawak tanpa mengira kaum dan agama.

UiTM diwujudkan untuk merapatkan jurang perbezaan kedudukan pendidikan di antara kaum bumiputera dengan bukan bumiputera.

Jika DEB itu wujud selepas kejadian 13 Mei 1969, UiTM itu sendiri wujud lama sebelum kejadian berdarah yang berlaku akibat perbezaan kedudukan ekonomi dan sosial di antara kaum.

Kepada DAP, eloklah anda memahami bahawa UiTM itu tidak hanya untuk kaum Melayu tetapi juga untuk bumiputera bukan Melayu juga. Termasuk kini bumiputera Siam.

Dasar ini telah mempercepatkan pe­nyertaan bumiputera bukan Melayu di Sabah dan Sarawak untuk bersama-sama menyertai dalam bidang industri dan swasta sekarang ini.

Tidak adil jika ada pihak seperti DAP terus memainkan isu ini kerana kewujudan UiTM itu telah dipersetujui oleh semua kaum sebagai institusi pengajian tinggi khusus untuk bumiputra secara ‘perpetual’ tanpa dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

Kewujudan UiTM itu sendiri adalah dikhususkan untuk membentuk dan mendidik komuniti bumiputera dalam bidang separa profesional dan profesional dan akhirnya akan memperimbang kehadiran bumiputera dan bukan bumiputera dalam bidang industri, iaitu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.

Matlamat ini diterima dan disokong oleh semua kaum kerana semasa itu kaum-kaum lain memahami yang negara tidak akan aman dan damai jika wujud jurang perbezaan pendapatan dan kedudukan ekonomi di antara kaum di negara ini.

Kewujudan kestabilan politik adalah elemen terpenting bagi mewujudkan dan mencapai ‘ultimate’ negara iaitu yang bersatu-padu, hidup saling menghormati di antara satu dengan lain.

Semua bangsa dan agama telah me­nerima kewujudan Mara dan agensi-agensi lain yang diwujudkan sejak merdeka untuk memegang kepentingan bumiputera. Ia telah dipersetujui oleh semua bangsa dan ia dipersetujui untuk kekal secara ‘perpe­tuity’.

Isu yang diperbesarkan oleh calon DAP Melayu, Dyana Sofya yang masih dianggap ‘novice’ politik itu amat mendukacitakan ramai orang Melayu. Dyana tidak tahu butang mana yang hendak ditekan seolah-olah perjuangan generasi Y kini adalah kebebasan dalam semua hal.

Tiada makhluk yang mempunyai kebebasan untuk berbuat sesuatu dengan kebebasan sepenuhnya. Jika haiwan di hutan pun tidak bebas 100 peratus, inikan pula manusia yang hidup dengan agamanya, budayanya, dan tatacara kehidupan yang berbeza mengikut bangsa mereka.

Saranan yang berterusan oleh calon DAP untuk meminta UiTM memberikan pelajar bukan bumiputera untuk menuntut di UiTM atau mewujudkan sebuah institusi untuk bangsa lain ala UiTM, menampakkan Dyana ini seolah-olah sudah lemas oleh glamor dan pujian sesetengah pihak dan media massa.

Dyana sudah terlebih Cina daripada Cina, atau dalam kata lain lebih sudu daripada kuah. Jika inilah sikap Dyana maka penyertaannya dalam DAP bukan untuk membantu memperkukuhkan perpaduan antara kaum tetapi dengan memecah dan merobohkan warisan pejuangan orang Melayu terdahulu.

Jika begitu, bukankah lebih baik DAP menonjolkan calon berbangsa Cina sahaja dalam PRK Teluk Intan ini? Jika kita mengharapkan Dyana untuk memperkukuhkan perjuangan orang Melayu yang masih perlukan pembelaan, tetapi sudah secara terang-terangan, dia berusaha untuk memecahkan apa yang sedikit ada kepada bangsanya sendiri.

Harapan saya ketika melihatnya ialah Dyana akan bersama kita memperjuangkan nasib Melayu, yang kini kian terhakis dalam beberapa bidang termasuk pengurusan di syarikat-syarikat awam di negara ini. Tetapi amat malang sekali, ia tidak akan berlaku.

Dengan sikapnya sebegini kita tidak ya­kin sama ada Dyana tahu apa yang hendak dilakukan jika menang kerusi Teluk Intan dan menjejaki Parlimen sebagai ahli dewan legislatif negara kelak.

Syarikat-syarikat awam besar yang kebanyakannya ditunjangi kaum Cina kini sudah tidak lagi memberi peluang untuk bumiputera bersama dalam peringkat pe­ngurusan syarikat seperti dahulu.

Isu ini, malangnya tidak disedari oleh bangsa Melayu sendiri. Malahan syarikat-syarikat besar ini kebanyakannya mengambil mereka yang mahir berbahasa Mandarin seperti yang kita lihat dalam iklan cari kerja yang kita baca.

Ini merupakan cara halus bagi menge­lakkan perkembangan penyertaan Melayu dalam bidang pengurusan syarikat awam negara ini.

Dahulunya semasa pimpinan Tun Razak dan Tun Husein Onn kebanyakan syarikat awam telah mengadakan management trainee bagi melatih bumiputera mengisi jawatan pengurusan. Tetapi kini isu ini sudah dilupakan. Kebanyakan jawatan pe­ngurusan pertengahan syarikat-syarikat awam sudah kekurangan bangsa Melayu, sedangkan siswazah Melayu dalam bidang pengurusan dan perniagaan semakin hari semakin ramai.

Jika isu ini dihayati oleh bangsa lain sebagai usaha untuk mencapai ‘ultimate’ pe­nyatuan bangsa, maka ia tidak seharusnya dilupa dan diabaikan.

Bolehkah Dyana memperjuangkan isu ini dari dalam DAP? Atau hanya setakat melaung mengkritik kerajaan sahaja?

Semoga Dyana berbahagia dan berjaya dalam usahanya untuk membantutkan kemajuan bangsanya sendiri. Semasa masih muda dan hebat ini pergilah bersama de­ngan perjuangan bangsa asing untuk membunuh identiti bangsanya.

Namun perlu diingat, kita hanya akan ‘menjilatnya’ kembali apabila kita sudah berusia dan tidak diperlukan oleh bangsa yang sentiasa berusaha untuk menindas bangsa beliau sendiri.

Semasa tuanya nanti orang Melayu inilah yang akan menemani beliau sehingga ke akhir hayatnya. Ingatlah Dyana perbilangan kata, setinggi-tinggi terbang bangau ak­hirnya akan turun dan hinggap di belakang kerbau jua.

Benarlah kata-kata Tun Dr. Mahathir Mohamad, kamu hanya dijadikan alat atau window dressing oleh DAP semata-mata. Dyana oh Dyana, kau terlalu mentah...

Oleh : Zaini Hassan

Juragan Malawati..

Ahad, 18 Mei 2014

Pas dakwa pemimpinnya teruk?


Tindakan segelintir pemimpin Pas yang mencemuh ahlinya sendiri iaitu calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor, Mohamed Nabi Bux Mohd. Abd. Sathar memperlihatkan sikap buruk kepimpinan parti itu. Ahli Pas Negeri Sembilan, Shamsul Faizal Baharom hairan mengapa apabila isu hudud disentuh oleh Mohamed Nabi Bux yang merupakan ahli Pas, kepimpinan parti itu melenting tetapi jika DAP yang bersuara, mereka bertindak sebaliknya.

“Saya tidak sangka begitu teruk sikap pemimpin Pas yang sanggup berdampingan dengan DAP tetapi membiarkan Mohamed Nabi Bux keseorangan membawa isu ini.

“Sebagai ahli Pas, saya berharap pe­mimpin jangan tunduk dan takut kepada parti lain kerana hudud adalah perjua­ngan parti itu," katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini hari ini.


Beliau mengulas sikap pemimpin Pas yang memecat dan menghina Mohamed Nabi Bux termasuk Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar yang menyarankan supaya calon Bebas tersebut memberi sokongan kepada calon DAP, Ramkarpal Singh Deo.

Shamsul Faizal berasa amat kecewa dengan pemimpin Pas yang asyik menafikan peranan Mohamed Nabi Bux yang mengetengahkan isu hudud sepanjang tempoh berkempen di Bukit Gelugor.

Beliau mempersoal kenapa selama ini kepimpinan Pas tidak bersuara, membisu dan memekakkan telinga dalam isu hudud sedangkan ia merupakan perjuangan Pas.

Katanya, jika pemimpin parti itu tidak berpuas hati dengan tindakan Mohamed Nabi Bux dan merasakan apa yang diperjuangkan olehnya bertentangan dengan perlembagaan Pas, mereka perlu memberikan bukti bukannya terus menghukum calon Bebas itu.

Juragan Malawati..

Jumaat, 16 Mei 2014

MB Khalid berang...!!! Manikavasagam kemuka bukti?


Calon Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Selangor S. Manikavasagam yang digantung keanggotaannya membuat rayuan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) agar mempertimbangkan semula hukuman itu.

Manikavasagam yang juga bekas Ahli Parlimen Kapar berkata, JPP sepatutnya tidak menjatuhkan hukuman selagi siasatan penuh belum dijalankan.

"Saya sudah membuat rayuan kepada lembaga disiplin parti dan JPP, jadi tengok macam mana nanti dan mereka meminta saya tidak bercakap dengan media.

"Saya hanya bercakap yang benar dan tidak ada perkara yang hendak disorokkan, saya tidak pernah menyebut Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (pesaing jawatan Ketua Cabang Kuala Selangor) bagi duit tetapi saya sebut orang suruhannya yang bagi duit," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di luar ibu pejabat parti itu, di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr. Tan Kee Kwong dalam kenyataannya memberitahu, Manikavasagam diberikan surat tunjuk sebab dan digantung keanggotaannya kerana didapati bersalah mengkritik lembaga disiplin di media arus perdana.

Sementara itu, Manikavasagam meminta JPP menyiasat sepenuhnya bahan bukti yang dikemukakan beliau kepada lembaga disiplin.

"Saya tidak menuduh tetapi saya minta penjelasan dan siasatan dibuat, saya pun hairan kenapa Tan Sri Khalid mahu saman saya, tetapi sekiranya Tan Sri mahu saman saya, terpulang kepada dia," jelasnya.

Turut bersamanya adalah Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Kuala Selangor, Bobi Nath Vello, 28, yang mendakwa mempu­nyai bukti kukuh untuk mengheret mereka yang mengamalkan politik wang semasa pemilihan baru-baru ini ke lembaga disiplin dan JPP.

"Saya dapat panggilan daripada orang suruhan Menteri Besar Selangor iaitu Tuan Haji Ibrahim dan beliau memberitahu mengenai duit untuk diberikan kepada saya sebagai Naib Ketua AMK dan penyokong untuk Abdul Khalid.

"Saya ambil tindakan berhati-hati dan telah merakam perbualan saya dengan Tuan Haji Ibrahim menggunakan telefon bimbit saya," katanya.

Juragan Malawati..

Ahad, 11 Mei 2014

UMNO boleh berjaya jika semua 20,000 pemimpin cawangan bertanggungjawab!


Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, parti keramat orang Melayu itu boleh berjaya jika semua pemimpin peringkat cawangan menjalankan tanggungjawab mereka.

Dalam ucapan sempena majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-68 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini, Najib berkata, UMNO boleh melangkah dengan lebih berjaya jika semua 20,000 cawangan parti itu bergerak aktif.

"Setiap pemimpin cawangan perlu berasa bertanggungjawab. Kalau 20,000 cawangan UMNO bergerak kita akan berjaya," kata Najib dalam ucapannya malam tadi.

Katanya, UMNO mempunyai banyak sebab untuk berasa bangga bagi menyambut ulang tahun ke-68 penubuhannya hari ini.

Menurut Najib, banyak parti politik yang seusia tidak lagi segagah UMNO yang terus berkuasa sehingga kini.

"Perayaan ini bukan untuk bermegah-megah. Kita berkuasa kerana Allah mengizinkan.

"Kita masih lagi gagah kerana berjuta-juta ahli UMNO yang berbakti, bersetia dan berkhidmat tanpa mengenal penat lelah dan turun pada setiap kali pilihan raya," kata Najib.

Presiden UMNO juga berkata, UMNO perlu melihat semula kekuatan dan kelemahan yang perlu diperbaiki dalam menghadapai persekitaran yang lebih mencabar.

"Kumpulan bandar perlu diberi perhatian. Adakah kita memudahkan atau menyukarkan kumpulan intelek menyertai kita?

"Adakah UMNO boleh menarik golongan ulama? Bagaimana pula hubungan kita dengan generasi-Y dan penguasaan laman media sosial," kata Najib.

Justeru menurut Najib, dengan langkah tambahan yang diambil parti itu termasuk melatih kepimpinan baru dan kemahiran serta penambahan ahli, parti UMNO diharapkan akan maju.

Juragan Malawati..

Jumaat, 2 Mei 2014

Air Dipam Dari Lombong Tercemar Logam Berat?


Berbeza dengan jaminan kerajaan Selangor, Anggota Parlimen Klang Charles Santiago hari ini mendakwa, kajian mendapati takungan di sebuah lombong di Bestari Jaya sangat tercemar dengan bahan logam.

Wakil rakyat DAP itu berkata, dua penyelidik daripada Universiti Malaysia yang menjalankan kajian berasingan mendapati, lombong itu tercemar dengan arsenik, kromium, tembaga, plumbum, zink dan timah.

“Kedua-dua kajian ini mendapati lombong Bestari Jaya mempunyai logam berat dan penurunan kualiti air,” katanya.

Lombong di Bestari Jaya antara antara dicadangkan dipam airnya ke lembangan Sungai Selangor bagi menghadapi masalah kekurangan air akibat penyusutan tahap air empangan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Charles berkata, tahap pencemaran logamnya juga antara sederhana dan sangat tinggi, sekali gus sangat berbahaya kepada alam sekitar dan manusia.

“Ia memberi kesan kepada kesihatan awam,” katanya.

Beliau juga berkata, jika air lombong tercemar dengan logam berat atau toksik, loji rawatan tetap tidak dapat membersihkannya.

Menurut laporan yang disiarkan pada 2010 dan 2012 itu, kepekatan logam di Bestari Jaya melebihi tahap dibenarkan Standard Kualiti Air Malaysia.

Juragan Malawati..