UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Sabtu, 23 November 2013

Ketua pembangkang DUN Selangor digantung?


SHAH ALAM 22 Nov. - Ketua Pembangkang negeri, Datuk Shamsudin Lias digantung sehari daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bermula hari ini kerana mempersoalkan tindakan Exco mengaitkan permasalahan rakyat yang dibangkitkan seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sebagai sangkaan jahat.

Shamsudin (BN-Sungai Burong) ketika sesi perbahasan bangkit mempertahankan hujah Halimaton Saadiah Bohan (BN-Kota Damansara) yang sebelum itu mahu kerajaan negeri memberi perhatian terhadap kenaikan kadar sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Subang dan Kota Damansara.

Halimaton ketika membahaskan Bajet Selangor 2014 sebelum itu mahu kerajaan negeri menurunkan kadar sewa PPR terbabit yang dikenakan pada kadar RM250 kepada RM124 sebulan kepada 15,000 penghuninya khususnya daripada golongan orang kurang upaya, warga emas dan ibu tunggal.

Menurut Halimaton, kadar kenaikan tersebut membebankan golongan berkenaan sehingga menyebabkan ada di antara penghuni mempunyai tunggakan sewa yang tinggi.

Bagaimanapun, Elizabeth Wong (PKR-Bukit Lanjan) dan Datuk Teng Chang Khim (DAP-Sungai Pinang) masing-masing merupakan Exco kerajaan negeri bangkit mencelah dan menyatakan kenyataan Halimaton itu adalah sangkaan jahat di bawah Perkara 36(6) Peraturan-peraturan Tetap Dewan selain isu tersebut telah dijawab dalam sesi DUN sebelum ini.


Tindakan Elizabeth dan Chang Khim itu menyebabkan Shamsudin bangkit mempersoalkan penggunaan peraturan tersebut kerana apa yang dibangkitkan Halimaton itu adalah menyuarakan pandangan rakyat yang sepatutnya diambil kira dan didengari oleh kerajaan negeri.

Reaksi Shamsudin itu telah mencetuskan ketegangan sebelum Timbalan Speaker, Nik Nazmi Nik Ahmad berkali-kali mengarahkan beliau duduk, namun Ketua Pembangkang itu meneruskan hujahnya mempertahankan Halimaton sebelum digantung dewan di bawah Perkara 44(2) Peraturan-peraturan Tetap Dewan.

Nik Nazmi turut meminta Halimaton menarik balik kenyataannya mengenai isu kenaikan sewa PPR tersebut yang didakwa bermula seawal Jun 2013.

Sementara itu, Shamsudin ketika ditemui pemberita lobi DUN menyatakan beliau tidak berniat untuk menghina atau menidakkan mana-mana peraturan dewan.

"Sebaliknya, kita mahu setiap perkara yang dibangkitkan dalam dewan dapat didengari oleh kerajaan negeri apatah lagi mengenai isu kenaikan sewa PPR tersebut yang melibatkan kepentingan rakyat.

"Bagaimana kita mahu selesaikan masalah rakyat sekiranya setiap kali kita bangkitkannya, perkara itu dianggap sangkaan jahat," katanya.

Dalam pada itu, Halimaton ketika menyambung sesi perbahasan pada petang ini bersetuju menarik balik kenyataannya mengenai tempoh kenaikan sewa PPR itu bermula.

"Saya tarik balik kenyataan saya itu jika perkara itu menimbulkan salah faham demi kepentingan rakyat," katanya.

Juragan Malawati..

Jumaat, 22 November 2013

MANA AMBIGA...!!! DULU TUDUH SPR TAK BERSIH, SEKARANG PEMILIHAN PAS PUN KANTOI MENIPU AHLI?


Tuduh SPR tak bersih dan menipu ... rupa-rupanya pemilihan PAS pun nak menipu juga .... hahaha..!!!

Nak sekarang mereka sendiri mengakui kerana ada unsur penipuan di kertas undi ...


SHAH ALAM: Jawatankuasa Pemilihan PAS membatalkan pengundian bagi jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat ekoran berlakunya kesilapan pada kertas undi.

Pengerusinya, Asmuni Awi berkata, proses pengundian bagi memilih 18 AJK PAS itu akan diadakan semula pada Sabtu pagi.

"Kita kesan terdapat kesalahan pada kertas undi, jadi bagi mengelakkan sebarang implikasi yang lebih besar...kita tangguhkan hingga esok," katanya.














Juragan Malawati..

Khamis, 21 November 2013

Selangor guna rizab negeri sekadar helah?


Shah Alam : Pengumuman kerajaan Selangor menggunakan rizab negeri berjumlah RM430 juta bagi tujuan pembangunan disifatkan sebagai helah mengaburi pihak tertentu, kononnya Belanjawan 2014 negeri mengutamakan pembangunan.

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohd Shamsudin Lias, berkata penggunaan rizab negeri itu dianggap sebagai ‘bajet desakan’ untuk memenuhi permintaan pihak tertentu dalam pakatan pembangkang, yang tidak sebulu dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dibuat saat akhir

“Kalau betul-betul hendak pentingkan pembangunan, kenapa tidak masukkan terus dalam bajet yang dibentangkan semalam (kelmarin). Adakah pengumuman penggunaan rizab negeri ini hanya untuk menyedapkan hati pihak tertentu.

“Kami juga percaya pengumuman ini dibuat saat-saat akhir sebab didesak supaya perbelanjaan pembangunan ditambah,” katanya kepada media pada sesi rehat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, semalam.

Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan (BBC) Selangor sebelum ini tidak bersetuju dengan bajet yang dibentangkan Abdul Khalid apabila hanya memperuntukkan sebanyak RM625 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

BBC dalam satu memorandum yang dihantar kepada Menteri Besar baru-baru ini menggesa perbelanjaan pembangunan ditambah kepada RM800 juta sebagai langkah menjana serta merangsang pertumbuhan ekonomi.


Shamsudin (BN-Sungai Burong) berkata, Abdul Khalid tidak perlu berbangga dengan statusnya sebagai ahli korporat yang hebat kerana belanjawan kerajaan negeri selama tiga tahun berturut-turut bermula 2009 mencatatkan defisit.

Bajet defisit

“Kerajaan Selangor pernah mencatat bajet lebihan pada 2006 dan 2007. Sekarang ini Selangor catat bajet defisit, berbeza dengan Sarawak, Johor dan Pahang yang mencatat bajet lebihan.

“Kalau dikatakan bajet berimbang, tidak akan ada bajet tambahan atau usul meluluskan dana perbekalan tambahan. Kalau kita tengok rekod pentadbiran Abdul Khalid, hampir setiap sidang DUN akan ada tambahan bajet,” katanya.

Kelmarin, Abdul Khalid mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.85 bilion untuk Bajet 2014 iaitu tertinggi dalam sejarah perbelanjaan negeri itu.

Belanjawan bertemakan Belanjawan Berhemat dan Berimpak Tinggi, Maslahat Rakyat itu memperuntukkan sebanyak RM1.225 bilion atau 66.2 peratus untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM625 juta perbelanjaan pembangunan.

Selain itu, kerajaan negeri mengumumkan penggunaan rizab negeri berjumlah RM430 juta bagi tujuan pembangunan.

Bagaimanapun, penggunaan rizab itu mesti mendapat kelulusan DUN Selangor bagi memastikan dana itu diguna sebaik mungkin.

Juragan Malawati..

Jumaat, 8 November 2013

Timbalan Presiden PAS : Nik Amar Cabar Mat Sabu?


Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Amar Nik Abdullah telah mengesahkan beliau akan bertanding jawatan Timbalan Presiden menentang penyandang jawatan berkenaan, Mohamad Sabu (Mat Sabu).

Pertandingan satu lawan satu itu meyaksikan Nik Amar mewakili kem ulama manakala Mat Sabu mewakili kem bukan ulama.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Husam Musa yang sebelum ini diwar-warkan bakal bertanding Timbalan akhirnya memutuskan untuk bertanding Naib Presiden Pas.

Berikut senarai lengkap yang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Asmuni Awi hari ini.

Presiden PAS: Datuk Seri Abdul Hadi Awang (menang tanpa bertanding)

Ketua Dewan Ulama: Datuk Harun Taib (menang tanpa bertanding)

Timbalan Ketua Ulama : Datuk Ustaz Ahmad Yakob (menang tanpa bertanding)

Naib Ketua Ulama : Datuk Dr Mahfodz Mohamad (menang tanpa bertanding)

Timbalan Presiden :

1. Datuk Nik Amar Nik Abdullah (ulama)
2. Mohamad Sabu (penyandang)

Naib Presiden :

1. Datuk Husam Musa (penyandang),
2. Datuk Mahfuz Omar (penyandang),
3. Salahuddin Ayub (penyandang),
4. Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (ulama)
5. Datuk Abu Bakar Chik (ulama)

Ketua Dewan Pemuda :

1. Kamarulzaman Muhammad (ulama)
2. Suhaizan Kaiat
3. Zulhazmi Sharif

Timbalan Ketua Dewan Pemuda :

1. Mohd Khalil Abdul Hadi (ulama/anak Presiden Pas)
2. Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob

Naib Ketua Dewan Pemuda :

1. Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi (ulama)
2. Ir Mohd Khairul Nizam Khairuddin

Ketua Dewan Muslimat :

1. Nuridah Salleh (ulama)
2. Siti Zailah Mohd Yusof (penyandang)

Timbalan Ketua Muslimat

1. Dr Siti Mariah Mahmud (penyandang)
2. Dr Najihatussalehah Ahmad (ulama)

Naib Ketua Muslimat :

1. Mumtaz Mohd Nawi (penyandang)
2. Dr Rosni Adam (ulama)

Juragan Malawati..

Rabu, 6 November 2013

#PRKSgLimau : Analisa, Benarkah Pengundi Cina Menyokong BN Di Sungai Limau?


Pertambahan berikut adalah terhadap undi Barisan Nasional

6.7 peratus atau 1,842 daripada 27,222 pemilih berdaftar di DUN Sungai Limau terdiri pengundi Cina. Benarkah ada sokongan tambahan daripada pengundi Cina di Sungai Limau?

MCA begitu yakin bahawa sokongan masyarakat Cina terhadap BN akan kembali pada Barisan Nasional ( baca di sini ). Namun keyakinan MCA itu hanya boleh diukur secara adil jika sekurang kurangnya 80% masyarakat Cina atau 1,469 orang pengundi Cina turun mengundi di Sungai Limau.

Selepas pengundian selesai, yang turun hanyalah 1,065 orang (51.05%) di Sungai Limau, jauh berbeza berbanding peratus turun undi Sungai Limau sendiri iaitu 85.5%.

Jika begitu, belum tentu kesemua 1,065 orang itu memberi undi kepada Barisan Nasional? Boleh jadi perbezaan 1,029 undi itu juga adalah daripada orang Melayu yang telah mengundi PAS pada pilihan raya umum Mac 2013.

Namun jika dilihat pada jadual di atas, sejumlah 1,108 pengundi Cina hanya berkumpul di lima Daerah Mengundi sahaja.

Untuk bantuan pendidikan sahaja, BN telah beri sejumlah RM2.35 juta. Bantuan itu terdiri daripada RM200,000 untuk Tabung Pendidikan Cina Sungai Limau, bantuan RM1 juta untuk SRJK (C) Aik Min, RM1 juta untuk SRJK (C) Yuk Meng Sg Limau, serta RM50,000 untuk SRJK (C) Pek Hwa.

Sekolah sekolah terbabit adalah dalam kawasan lima Daerah Mengundi dalam jadual di atas. Apakah ini turut memberi kesan pada pertambahan pengundi Cina terhadap BN?

Belum tentu ketepatannya. Ini kerana dalam lima kawasan yang bertambah 1,029 undi kepada BN itu, terdapat ramai pengundi Melayu. Apakah pertambahan itu adalah daripada pengundi Melayu?

Mari kita lihat pecahan pengundi Melayu di lima kawasan itu :

1. Simpang Tiga 1,053 orang Melayu (ahli UMNO 538 orang)
2. Sungai Daun 1,700 orang Melayu (ahli UMNO 664 orang)
3. Sungai Limau 1,053 orang Melayu (ahli UMNO 455 orang)
4. Batu 16 1,003 orang Melayu (ahli UMNO 292 orang)
5. Kg Titi Batu 1,378 orang Melayu (ahli UMNO 451 orang)

Jumlah 6,187 orang Melayu dan sejumlah 2,400 orang ahli UMNO. Bilangan pengundi Melayu ini lebih ramai daripada hanya sejumlah 1,108 pengundi Cina di lima kawasan ini.

Dalam PRU13, BN dan PAS mendapat undi seperti berikut di lima kawasan berikut :

1. Simpang Tiga BN (640), PAS (594)
2. Sungai Daun BN (853), PAS (716)
3. Sungai Limau BN (556), PAS (568)
4. Batu 16 BN (380), PAS (574)
5. Kg Titi Batu BN (541), PAS (817)

Jika dilihat pada pola undi BN dan jumlah ahli UMNO di lima kawasan ini, didapati jumlah undi pada BN adalah sejumlah 2,970 undi sedangkan hanya terdapat 2,400 orang ahli UMNO di lima kawasan tersebut. Lebihan sejumlah 570 undi.

Dengan mengandaikan semua ahli UMNO akan sokong BN, maka lebihan 570 undi ini tentunya datang daripada orang Melayu atas pagar, orang PAS atau pengundi Cina (sejumlah 1,108) di kawasan tersebut. Itu keputusan PRU13.

Apa yang berlaku dalam PRK Sungai Limau yang lepas ?

1. Simpang Tiga BN (794), PAS (397), Undi PAS kurang 197
2. Sungai Daun BN (866), PAS (665), Undi PAS kurang 51
3. Sungai Limau BN (691), PAS (426), Undi PAS kurang 142
4. Batu 16 BN (425), PAS (482), Undi PAS kurang 92
5. Kg Titi Batu BN (613), PAS (687), Undi PAS kurang 130

Di lima PDM ini, Undi BN dapat adalah sejumlah 3,389, dengan mengandaikan semua orang UMNO (2,400 orang) undi BN, maka ada lebihan 989 undi di lima PDM tersebut.

Undi PAS pula berkurang sebanyak 612 undi di lima PDM tersebut. Apakah lebihan 989 undi itu datangnya daripada pengundi Melayu yang dahulunya memilih PAS atau datang daripada undi Cina?

Tidak semua masyarakat Cina turun mengundi, hanya 51.05% turun mengundi. Oleh itu daripada 1,108 masyarakat Cina di lima PDM tersebut, yang turun mengundi mungkin hanya 565 orang (51%) sahaja.

Apakah semua 565 orang ini mengundi BN dan menyumbang kepada pertambahan sejumlah 989 undi yang BN perolehi di lima PDM tersebut?

Apakah tidak ada langsung undi masyarakat Cina pada PAS? Mustahil.

Jika semua 565 ini undi BN pun, masih ada lagi baki 424 undi yang sudah tentunya daripada pengundi Melayu yang bukannya ahli UMNO. Undi dari ahli PAS dan orang atas pagar.

Pengundi Cina mungkin memberi undi BN?

Ianya tidak dapat diulas dengan tepat kerana MCA dan Gerakan tidak punyai data yang jelas tentang keahlian parti mereka di lima PDM tersebut. Inilah kelemahan utama yang MCA dan Gerakan perlu atasi jika mahu menang dalam PRU14.

Jika tidak, jangan hanya salahkan pihak lawan semata mata. Kekalahan berlaku kerana faktor pengurusan parti sendiri.

Kesimpulannya, tidak semua masyarakat Cina di lima PDM tersebut menyumbang pada pertambahan sejumlah 989 undi pada BN. Undi daripada orang atas pagar dan ahli ahli PAS juga mungkin ada. Terdapat pergerakan undi daripada masyarakat Cina kepada BN, tetapi tidaklah dalam jumlah besar yang disangka.

BN perlu analisis dengan lengkap data dan statistik di dua kawasan Melayu ini (Kuala Besut) dan (Sungai Limau). Di Kuala Besut bertambah 167 undi dan di Sungai Limau berjaya kurangkan undi PAS sejumlah 1,690 undi.

UMNO kena cari formula bagaimana untuk cairkan "pengundi pengundi tegar" PAS yang terdiri daripada Melayu kepada BN. Jika formula itu berjaya, insyallah banyak lagi kawasan BN akan tawan.

Undi masyarakat Cina adalah bersama pihak yang mereka percaya akan jadi kerajaan. Disebabkan kerajaan negeri tidak berubah jika menyokong PAS di Sungai Limau, maka sebab itulah ada "sedikit perubahan" undi Cina terhadap BN di Sungai Limau.

Sumber : Angin Perubahan

Juragan Malawati..

Nampaknya pengundi Sg Limau belum sedia berhijrah?


Ada penduduk Sungai Limau yang belum bersedia untuk berhijrah - itulah rumusan keputusan PRK Dun Sungai Limau yang menyaksikan Pas berjaya mengekalkan kerusi itu setelah dipegang lima penggal oleh Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Walaupun dijanjikan dengan pelbagai tawaran untuk berhijrah, pengundi memilih untuk kekal bersama Pas dengan memberi kemenangan kepada Mohd Azam Abdul Samat dengan majoriti 1,084 undi menewaskan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim yang memperolehi 10,985 undi.

Ternyata walaupun ada yang mahu melakukan penghijrahan tetapi tidak kesampaian apabila masih ramai pengundi yang mahu mengekalkan staus quo bagi meneruskan kesinambungan penguasaan Pas untuk kerusi itu setelah terlepas kerusi Parlimen Jerai pada PRU13 kepada BN yang sudah menguasai Dun Guar Chempedak dan Gurun sejak sekian lama.

Pada PRU13, Azizan menang kerusi itu dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 2,774 undi. BN diwakili sepupunya, Ir Mohd Fadzilah Mohd Ali.

Pas dalam kempen kali ini tidak menjanjikan apa-apa kecuali Mohd Azam memberi jaminan untuk membaiki jalan raya yang rosak dan menyediakan perkhidmatan WiFi percuma kepada penduduk.

Sama ada mampu atau tidak melaksanakannya itu bukan persoalannya kerana pengundi sedia maklum Adun pembangkang tidak berupaya melaksanakan apa-apa sama seperti ketika BN menjadi pembangkang pada PRU12.

Pengalaman BN selama lima tahun dari 2008 hingga Mei 2013 boleh menjadi pengajaran mengenai kemampuan pembangkang walaupun ada "bapa" di Putrajaya yang dapat menyalurkan pelbagai peruntukan untuk projek pembangunan di negeri ini melalui pejabat kemajuan negeri Kedah.

Dan kali ini, sebagai pembangkang setelah tewas dalam PRU13, Pas tidak mampu lagi menjanjikan apa-apa kepada pengundi Dun Sungai Limau tetapi sekadar "janji air liur" seperti kata sesetengah pemimpin BN sebelum ini.

Menurut mereka, apabila tidak berkuasa ke atas kerajaan negeri, Pas tidak mampu menjanjikan sebarang projek atau program pembangunan walaupun untuk mencuci longkang sekali pun kerana ia memerlukan peruntukan, dan sudah pasti dari kerajaan.

Tetapi pengundi Dun Sungai Limau mungkin tidak begitu fokus kepada pembangunan kerana sebelum ini pun tidak banyak projek yang dapat dilihat dilaksanakan di situ walaupun wakilnya seorang menteri besar.

Mereka mungkin lebih mementingkan hubungan ukhuwah, mengekalkan nostalgia tokoh yang tiada tolok bandingan dan mempertahankan maruah parti kerana dianggap kubu kuat Pas selama ini.

Nah, keputusan sudah dibuat dan pasti pengundi menyedari kesan atau risiko memilih wakil rakyat dari pembangkang yang tidak lagi sealiran dengan pentadbiran kerajan negeri yang baru dan kerajaan Pusat.

Seperti kata Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir bahawa wakil rakyat dari pembangkang hanya boleh berjanji dan tidak mampu melaksanakannya kerana tidak mempunyai keupayaan atau kemampuan berbanding BN yang boleh menepati janji kerana ia dibuat atas nama sebuah kerajaan.

Dengan slogan "Berani Hijrah", Mukhriz mengajak pengundi kawasan ini beralih angin dengan memilih wakil dari BN bagi memudahkannya membawa cadangan kepada kerajaan negeri atau pusat untuk pertinbangan dan kelulusan.

"Wakil rakyat yang sama warna dengan kerajaan negeri dan pusat akan memudah dan mempercepatkan semua urusan. Berbanding wakil rakyat pembangkang yang hanya boleh mengemukakan cadangan atau mendesak dan terus mendesak kerajaan.

"Tetapi keputusan akhir terletak kepada kerajaan yang memerintah sama ada menerima atau menolak cadangan itu. Siapa yang rugi jika dapat wakil rakyat pembangkang. Sudah tentu pengundi di kawasan ini," katanya.

Di sebalik pelbagai pembangunan yang dirancang untuk jangka pendek dan panjang, BN berjanji untuk menaiktaraf penduduk di kawasan itu agar setanding dengan kawasan lain di Kedah termasuk dari segi pendapatan dan limpahan nikmat pembangunan.

Tetapi kini semuanya mungkin tinggal impian setelah pengundi tidak bersedia berhijrah bersama BN untuk menikmati masa depan yang lebih gemilang.

Sungguhpun begitu, Mukhriz berjanji akan meneruskan cadangan pembinaan jalan utama menghubungkan Guar Chempedak dengan Pulau Bunting dan sebuah pelabuhan di situ di sebalik kekalahan calon BN dalam pilihan raya itu.

Saranan kekal yang diterjemahkan oleh Mukhriz kepada pengundi di situ juga belum dapat dihayati sepenuhnya.

Mukhriz menwarkan Sungai Limau sebagai dun angkat menteri besar bagi menyanggah slogan kekal dilaungkan Pas dengan alasan ia adalah bekas kawasan ketua pentabiran negeri suatu ketika dahulu.

"Pas kata nak kekal sebab ini kawasan bekas menteri besar. Jadi saya pula nak bagi satu komitmen kepada semua pungundi. Kalau BN menang, bukan sahaja ada Adun (Ahmad Sohami) tetapi saya akan jadi kawasan ini sebagai Dun angkat.

"Jadi samalah keadaannya sebelum ini. Wakil rakyat Pas adalah menteri besar. Sekarang saya juga akan jadikan Dun Sungai Limau sebagai kawasan angkat. Jadi samalah seperti yang diperjuangkan Pas.

"Cuma masalah sekarang wakil Pas bukan lagi menteri besar tetapi BN akan mendapat menteri besar sebagai bapa angkat Dun," katanya.

Walaupun dengan hujahan itu, pengundi tetap memilih wakilnya untuk membawa suara mereka di dalam
Dun kelak walaupun ramai yang menjangkakan BN mempunyai peluang cerah untuk merampasnya.

Seorang pemerhati politik berpendapat BN mempunyai peluang untuk merampas kerusi itu walaupun menghadapi saingat sengit berdasarkan kepada gerak kerja jentera pilihan raya dalam tempoh 12 hari itu.

"Mereka berjaya menembusi banyak kubu Pas termasuk di Bukit Choras, Bukit Besar, Permatang Buloh dan Sungai Dedap.

"Kalau dahulu memang BN tidak masuk ke kawasan ini tetapi sekarang boleh bertemu penduduknya yang berlainan fahaman politik. Kalau dahulu memang semua pintu ditutup tetapi kini agak berbeza responsnya apabila orang BN datang," katanya.

Sekali lagi timbul persoalan sama ada jentera BN benar-benar menembusi kawasan dalam kubu Pas atau luaran sahaja menyababkan pihak lawan tidak risau dengan kehadiran mereka kerana yakin keutuhan dan kesetiaan ahlinya selama ini.

Seorang veteran Umno tertanya-tanya sama ada jentera BN berjaya melemahkan kekuatan Pas di empat kawasan itu yang dianggap hitam sebagai usaha mengurangkan undi majoriti bagi daerah mengundinya.

"Setiap kali pilihan raya, kawasan ini menjadi tumpuan kerana Pas akan menang dengan majoriti besar. Kemenangan BN di kawasan lain tidak cukup untuk menampung atau meneutralkan undi Pas.

"Cuba lihat undi Pas di kawasan Bukit Besar. Mereka menang dengan majoriti melebihi 1,000 undi. Dengan undi itu, ia sudah cukup untuk membolehkan Pas menguasai Dun Sungai Limau. Itu pun belum mengambil kira kelebihan undi kecil di kawasan lain," katanya.

Jadi tidak hairanlah apabila seorang pemimpin Umno bahagian lain yang berjiran dengan Parlimen Jerai berkata, jika BN dapat mengurangkan undi Pas di kawasan hitam, peluang untuk menang adalah cerah.

"Tetapi masalahnya undi Pas di Bukit Besar dan Bukit Choras akan 'menelan' semua undi yang dimenangi oleh BN," katanya.

Lantaran itu, ada seorang pemimpin lain berkata, BN perlu menang di kawasan mengundi lain sekurang-kirangnya dengan kelebihan 200 undi untuk menampung jurang besar di kawasan Bukit Besar dan Bukit Choras.

Itu satu lagi persoalan. Pemerhatian pada hari mengundi mendapati jentera pilihan raya Pas bergerak lebih efisien dan agresif untuk membawa keluar ahli atau penduduk kampung pergi mengundi berbanding BN. Di sepanjang jalan, hanya kelihatan kereta, van dan motosikal dengan bendera Pas yang berulang alik di atas jalan raya.

Kenderaan dengan lambang dacing seolah-olah tenggelam dan tidak banyak kelihatan untuk membawa penyokongnya ke pusat mengundi.

Pemerhati politik berkata, Pas memang begitu agresif pada hari mengundi untuk membawa keluar pengundi berbanding BN yang nampak lebih relaks walupun perayu undinya begitu agresif.

"Tidak perlu agresif pada kempen dan ceramah kerana ia bukan faktor yang menentukan kemenangan. Orang datang dengar dan balik.

"Paling penting ialah pada hari mengundi. Kalau berjaya bawa keluar ramai penyokong kita, sudah pasti calon kita akan menang. Inilah yang dilakukan oleh Pas," katanya.

Menurutnya, Pas turut melakukan taktik yang pernah digunakan PKR pada masa PRK Permatang Pauh beberapa tahun lalu dengan "menyesakkan" jalan raya dengan puluhan kereta penyokongnya agar lalu laintas terhalang.

"Mereka bijak merancang dengan membawa pengundi lebih awal iaitu bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari. Apabila hampir semua penyokong mereka selesai mengundi, ahli Pas yang terlatih dan secara terancang akan membuat jalan menuju ke pusat mengundi menjadi sesak.

"Perjalanan yang biasa mengambil lima atau 10 minit kini menjadi satu atau satu setengah jam. Keadaan itu tersebar ke merata tempat menyebabkan ada pengundi yang tidak mahu kerana bimbang keselamatan atau tersangkut dalam kesesakan. Malangnya kebanyakan pengundi yang belum keluar adalah penyokong BN," katanya.

Beliau berkata, kesesakan itu berlarutan sehingga jam 4.30 petang petang menyebabkan ramai yang sudah malas untuk keluar mengundi dan tidak berupaya menolong menambah undi kepada BN.

"Ini turut menjadi faktor kepada kekurangan undi BN dalam PRK kali ini," katanya.

Satu lagi tumpuan ialah sama ada undi Cina sudah kembali kepada BN. Berdasarkan kepada jumlah undi yang diterima calonnya di kawasan majoriti Cina menunjukkan tidak banyak perubahan yang berlaku.

Pemerhati politik itu berkata, undi dari pengundi tua memang diberi kepada BN tetapi pengundi muda Cina masih kekal dengan Pas, rakan sekutu DAP dan PKR dalam PR.

Beliau berkata, agak sukar penngundi muda Cina untuk beralih kepada BN dalam sekelip mata kerana mereka sudah biasa dengan pelbagai isu yang dibangkitkan PR terhadap BN.

"Jadi nak kata, pengundi Cina sudah kembali kepada BN adalah sukar dibuktikan setakat ini. tetapi sekurang-kurangnya sudah ada sedikit kesedaran dalam kalangan mereka dengan mengambil kira faktor ekonomi dan survival bangsa," katanya.

Sekurang-kurangnya PRK Dun Sungai Limau boleh menjadi pengukur kepada BN untuk menilai semula keberkesanan jenteranya termasuk yang dibawa masuk dari luar Kedah benar-benar membantu atau sekadar mengisi ruang dan waktu yang disusun oleh parti atau untuk makan angin walaupun ada yang bersemangat dan mempunyai komitmen tinggi. .

Pas pula tidak boleh terus gembira dengan kemenangan ini kerana ia juga sebagai isyarat pengundi makin bersikap terbuka dan boleh menerima pembaharuan yang bakal dibawa oleh BN kerana banyak kawasan yang sebelum ini dianggap kubu kuat sudah ditembusi oleh jentera pilihan raya BN walaupun sebagai permulaan atau perintis jalan.

Juragan Malawati..