UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Khamis, 21 November 2013

Selangor guna rizab negeri sekadar helah?


Shah Alam : Pengumuman kerajaan Selangor menggunakan rizab negeri berjumlah RM430 juta bagi tujuan pembangunan disifatkan sebagai helah mengaburi pihak tertentu, kononnya Belanjawan 2014 negeri mengutamakan pembangunan.

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohd Shamsudin Lias, berkata penggunaan rizab negeri itu dianggap sebagai ‘bajet desakan’ untuk memenuhi permintaan pihak tertentu dalam pakatan pembangkang, yang tidak sebulu dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dibuat saat akhir

“Kalau betul-betul hendak pentingkan pembangunan, kenapa tidak masukkan terus dalam bajet yang dibentangkan semalam (kelmarin). Adakah pengumuman penggunaan rizab negeri ini hanya untuk menyedapkan hati pihak tertentu.

“Kami juga percaya pengumuman ini dibuat saat-saat akhir sebab didesak supaya perbelanjaan pembangunan ditambah,” katanya kepada media pada sesi rehat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, semalam.

Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan (BBC) Selangor sebelum ini tidak bersetuju dengan bajet yang dibentangkan Abdul Khalid apabila hanya memperuntukkan sebanyak RM625 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

BBC dalam satu memorandum yang dihantar kepada Menteri Besar baru-baru ini menggesa perbelanjaan pembangunan ditambah kepada RM800 juta sebagai langkah menjana serta merangsang pertumbuhan ekonomi.


Shamsudin (BN-Sungai Burong) berkata, Abdul Khalid tidak perlu berbangga dengan statusnya sebagai ahli korporat yang hebat kerana belanjawan kerajaan negeri selama tiga tahun berturut-turut bermula 2009 mencatatkan defisit.

Bajet defisit

“Kerajaan Selangor pernah mencatat bajet lebihan pada 2006 dan 2007. Sekarang ini Selangor catat bajet defisit, berbeza dengan Sarawak, Johor dan Pahang yang mencatat bajet lebihan.

“Kalau dikatakan bajet berimbang, tidak akan ada bajet tambahan atau usul meluluskan dana perbekalan tambahan. Kalau kita tengok rekod pentadbiran Abdul Khalid, hampir setiap sidang DUN akan ada tambahan bajet,” katanya.

Kelmarin, Abdul Khalid mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.85 bilion untuk Bajet 2014 iaitu tertinggi dalam sejarah perbelanjaan negeri itu.

Belanjawan bertemakan Belanjawan Berhemat dan Berimpak Tinggi, Maslahat Rakyat itu memperuntukkan sebanyak RM1.225 bilion atau 66.2 peratus untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM625 juta perbelanjaan pembangunan.

Selain itu, kerajaan negeri mengumumkan penggunaan rizab negeri berjumlah RM430 juta bagi tujuan pembangunan.

Bagaimanapun, penggunaan rizab itu mesti mendapat kelulusan DUN Selangor bagi memastikan dana itu diguna sebaik mungkin.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan