UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Sabtu, 23 November 2013

Ketua pembangkang DUN Selangor digantung?


SHAH ALAM 22 Nov. - Ketua Pembangkang negeri, Datuk Shamsudin Lias digantung sehari daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bermula hari ini kerana mempersoalkan tindakan Exco mengaitkan permasalahan rakyat yang dibangkitkan seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sebagai sangkaan jahat.

Shamsudin (BN-Sungai Burong) ketika sesi perbahasan bangkit mempertahankan hujah Halimaton Saadiah Bohan (BN-Kota Damansara) yang sebelum itu mahu kerajaan negeri memberi perhatian terhadap kenaikan kadar sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Subang dan Kota Damansara.

Halimaton ketika membahaskan Bajet Selangor 2014 sebelum itu mahu kerajaan negeri menurunkan kadar sewa PPR terbabit yang dikenakan pada kadar RM250 kepada RM124 sebulan kepada 15,000 penghuninya khususnya daripada golongan orang kurang upaya, warga emas dan ibu tunggal.

Menurut Halimaton, kadar kenaikan tersebut membebankan golongan berkenaan sehingga menyebabkan ada di antara penghuni mempunyai tunggakan sewa yang tinggi.

Bagaimanapun, Elizabeth Wong (PKR-Bukit Lanjan) dan Datuk Teng Chang Khim (DAP-Sungai Pinang) masing-masing merupakan Exco kerajaan negeri bangkit mencelah dan menyatakan kenyataan Halimaton itu adalah sangkaan jahat di bawah Perkara 36(6) Peraturan-peraturan Tetap Dewan selain isu tersebut telah dijawab dalam sesi DUN sebelum ini.


Tindakan Elizabeth dan Chang Khim itu menyebabkan Shamsudin bangkit mempersoalkan penggunaan peraturan tersebut kerana apa yang dibangkitkan Halimaton itu adalah menyuarakan pandangan rakyat yang sepatutnya diambil kira dan didengari oleh kerajaan negeri.

Reaksi Shamsudin itu telah mencetuskan ketegangan sebelum Timbalan Speaker, Nik Nazmi Nik Ahmad berkali-kali mengarahkan beliau duduk, namun Ketua Pembangkang itu meneruskan hujahnya mempertahankan Halimaton sebelum digantung dewan di bawah Perkara 44(2) Peraturan-peraturan Tetap Dewan.

Nik Nazmi turut meminta Halimaton menarik balik kenyataannya mengenai isu kenaikan sewa PPR tersebut yang didakwa bermula seawal Jun 2013.

Sementara itu, Shamsudin ketika ditemui pemberita lobi DUN menyatakan beliau tidak berniat untuk menghina atau menidakkan mana-mana peraturan dewan.

"Sebaliknya, kita mahu setiap perkara yang dibangkitkan dalam dewan dapat didengari oleh kerajaan negeri apatah lagi mengenai isu kenaikan sewa PPR tersebut yang melibatkan kepentingan rakyat.

"Bagaimana kita mahu selesaikan masalah rakyat sekiranya setiap kali kita bangkitkannya, perkara itu dianggap sangkaan jahat," katanya.

Dalam pada itu, Halimaton ketika menyambung sesi perbahasan pada petang ini bersetuju menarik balik kenyataannya mengenai tempoh kenaikan sewa PPR itu bermula.

"Saya tarik balik kenyataan saya itu jika perkara itu menimbulkan salah faham demi kepentingan rakyat," katanya.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan