UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Selasa, 25 November 2014

DAP akui protes senyap kepada Pas, 
cadangkan calon Timbalan Speaker DUN?

Ng Suee Lim

Tindakan kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang mencalonkan ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim sebagai Timbalan Speaker DUN adalah sebagai tanda protes senyap parti tersebut kepada Pas negeri.

Perkara itu diakui oleh Suee Lim yang mengatakan percalonan itu telah diputuskan dalam mesyuarat DAP negeri sejak sebulan lalu.

“Salah satu sebab DAP mengemukakan calon (adalah) kerana kecewa dengan pendirian Pas dalam isu pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.


“Tindakan ini juga dibuat sebagai protes kepada Pas dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kebelakangan ini dilihat membuat tindakan tidak selari dengan semangat pakatan dan sering mengambil tindakan sendiri seperti tidak hadir mesyuarat,” katanya ketika ditemui di lobi DUN di sini hari ini.

Dalam pencalonan tersebut, ADUN Bangi, Dr. Shafie Ngah dari Pas mendapat 28 undian manakala ADUN Sekinchan 14 serta satu undi rosak manakala pembangkang iaitu Barisan Nasional mengambil keputusan untuk tidak mengundi dan berkecuali.

Isu itu bermula berikutan keputusan Pas Selangor meneruskan sokongan terhadap Abdul Khalid dengan menghadiri mesyuarat Exco yang dipengerusikan bekas Menteri Besar Selangor itu, walaupun PKR dan DAP mendesak Pas memboikot Abdul Khalid.

Juragan Malawati..

Jumaat, 14 November 2014

Khalid Bakal Kembali Semula, Mula Langkah Dengan NGO!


Arfa’eza Abdul Aziz memaklumkan bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak akan meletak jawatan ADUN Pelabuhan Klang dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan berazam untuk meneruskan karier politiknya di Selangor.


Bekas Menteri Besar Selangor itu akan memulakan langkahnya dengan NGO Sajian Rakyat, lapor Arfa’eza yang juga Setiausaha Akhbar Khalid.


Pada Isnin lepas, The Malaysian Insider melaporkan selepas dua bulan menghilang, Khalid dijangka bakal menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Taski bagi melaksanakan program “Sajian Rakyat” yang dirancangnya.

Perkara itu disahkan kepada The Malaysian Insider oleh individu yang terlibat secara langsung dalam mesyuarat antara ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu bersama PAS yang dijalankan minggu lalu Taman Jaya, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur berhubung penubuhan NGO tersebut.

“Khalid akan bergerak menggunakan NGO dan beliau meminta bantuan PAS Bandar Tun Razak untuk melaksanakannya,” kata Roslan Baharom , 59, kepada The Malaysian Insider

Roslan yang ditemui ketika tinjauan di kawasan Parlimen yang dimenangi Khalid dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei lalu berkata, PAS Wilayah Persekutuan turut memberikan kebenaran cawangan parti Islam dalam komponen Pakatan Rakyat (PR) itu membantu Khalid.

Roslan, yang merupakan wakil masyarakat dari Zon C di Bandar Tun Razak berkata, tindakan PAS dan Khalid bergerak atas nama NGO itu bertujuan bagi mengelakkan berlakunya krisis antara PKR dan PAS, selepas Khalid dipecat sebagai anggota PKR pada 9 Ogos lalu.

“Kita bergerak menggunakan nama NGO, bukan mewakili parti,” kata pesara kakitangan awam itu.

Beliau berkata, antara rancangan Taski adalah menganjurkan Sajian Rakyat seminggu sekali dengan peruntukan sebanyak RM5,000 yang diperuntukkan Khalid untuk setiap program.

“Kita belum membuat keputusan. Kalau seminggu sekali kami tidak sanggup, kami ada program sendiri juga,” kata Roslan.

“Tetapi itu peruntukan daripada Khalid sendiri,” katanya.

Lokasi pertama Sajian Rakyat juga katanya dijangka akan dilakukan di kawasan perumahan Flat Paya Permai.

“Mesyuarat sudah dijalankan beberapa kali dan saya sendiri hadir dalam mesyuarat penubuhan NGO itu,” katanya.

Turut difahamkan, Taski bakal digerakkan 15 individu yang pernah bekerja bersama-sama Khalid ketika beliau menjadi menteri besar Selangor sebelum ini.


Mereka termasuklah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Faekah Husin, yang kini merupakan pegawai khas Khalid di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dan Parlimen Bandar Tun Razak.

Faekah dalam satu kenyataan sebelum ini berkata Khalid masih lagi ingin memberikan khidmatnya kepada rakyat, dan akan meneruskan tugas wakil rakyat selepas berehat selama dua minggu.

Khalid dipecat sebagai ahli PKR apabila enggan melepaskan jawatan menteri besar Selangor, apabila Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ingin menggantikan beliau dengan isterinya, yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Krisis berkenaan turut memberi kesan kepada hubungan PAS dengan PKR dan DAP apabila parti Islam itu enggan mencalonkan Dr Wan Azizah sedangkan PKR dan DAP bersepakat menamakan beliau sebagai calon tunggal.

PAS sebaliknya menurut titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mengkehendaki PR menghantar lebih daripada dua nama untuk baginda pertimbangkan sebagai menteri besar bagi menggantikan Khalid.

Krisis berkenaan tamat apabila Mohamed Azmin Ali, yang juga timbalan presiden PKR dilantik menggantikan Khalid sebagai menteri besar.

“Beliau (Khalid) juga dijangka bakal membuka pusat khidmat rakyat tidak lama lagi di Bandar Tun Razak,” kata Roslan.

Faekah dilaporkan berkata, Sajian Rakyat akan bermula minggu hadapan sebagai usaha Khalid mendekati komuniti dan rakyat di kawasannya dan meneruskan khidmatnya sebagai wakil rakyat.

Malah, Faekah juga menolak khabar angin yang mengatakan Khalid akan melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat di DUN Pelabuhan Klang dan Parlimen Bandar Tun Razak.

Juragan Malawati..

Selasa, 11 November 2014

Kepemimpinan UMNO Selangor harus berubah?


Sudah sampai masanya barisan kepemimpinan Badan Perhubungan UMNO Se­langor diubah bagi memberi laluan kepada muka-muka baharu sebagai tanda ketanggungjawaban mereka ekoran kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan sedemikian diyakini mengembalikan semula kepercayaan para pengundi di negeri tersebut terhadap UMNO.

“Saya sendiri meletakkan jawatan dalam parti kerana mahu beri peluang kepada muka-muka baharu yang lain. Kalau hendak jadi pemimpin seumur hidup, payahlah macam itu.

“Saya percaya apabila kita sudah terlampau lama memimpin dan tidak berjaya, (kena) bagilah jawatan itu kepada orang lain. Kita kenalah sokong orang yang baharu pula,” katanya selepas merasmikan Persidangan Kuala Lumpur 2014, di sini hari ini.

Persidangan tiga hari yang bermula hari ini itu dihadiri lebih 30 peserta dari Sudan, Turki, Jordan, Algeria, Indonesia, Maghribi, Mesir dan Malaysia.

Dr. Mahathir melalui laman blognya, chedet.cc pada 5 November lalu meminta kepemimpinan UMNO Selangor mengikis imej sebuah parti yang rasuah dan menyarankan agar mereka menjalani hidup sederhana.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir menjelaskan beliau sekadar memberi pandangan berhubung isu kepemimpinan UMNO Selangor dan terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan.

“Kalau tidak mahu terima pandangan saya itu terpulanglah,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan pada Jumaat lalu yang memperuntukkan hukuman ke atas lelaki Islam berpakaian wanita sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, beliau berkata, hakim Mahkamah Sivil dan Syariah disaran duduk semeja membincangkan isu tersebut sebelum keputusan dibuat.

Dr. Mahathir menambah, kajian mendalam mengenainya juga perlu dibuat dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak kerana transgender merupakan isu rumit berikutan membabitkan imej, identiti dan kecenderungan seseorang tidak kira lelaki atau wanita.

“Kita harus ingat ada manusia yang lahir dengan tidak tentu jantinanya. Ada yang lelaki tetapi nampak macam perempuan dan ada juga perempuan yang nampak macam lelaki.

“Perasaan mereka juga berbeza-beza termasuklah cara berpakaian,” katanya.

Juragan Malawati..

Khamis, 6 November 2014

Azmin terus kritik Khalid?


‘Kemarahan’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali terhadap Tan Sri Abdul Khalid ternyata belum reda apabila beliau menjadikan majlis rasmi kerajaan negeri sebagai medan untuk mengkritik pentadbiran bekas menteri besar itu.

Semasa berucap dalam majlis pelancaran Pelan Tindakan dan Program Gotong-Royong Mega bertemakan Terjah dan Musnah Negeri Selangor 2014 di sini hari ini, Mohamed Azmin secara sinis mengkritik pe­ngu­rusan kerajaan ne­geri sebelum ini yang tidak menggunakan sepenuhnya peruntukan bagi menyelesaikan masalah rakyat seperti penyelenggaraan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).

Menurutnya, kerajaan negeri menerima peruntukan Marris sebanyak RM500 juta setahun yang disalurkan oleh kerajaan Pusat untuk tujuan penyelenggaraan sistem jalan raya, namun Abdul Khalid didakwa me­nyalurkan sebahagian sahaja dari­padanya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Dalam tempoh satu bulan (jadi Menteri Besar), saya menyalurkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM20 juta kepada semua PBT untuk menyelesaikan masalah kutipan sampah. Namun, peruntukan tersebut tidak termasuk penyelenggaraan jalan raya kerana kerajaan negeri meneri­ma peruntukan Marris sebanyak RM500 juta setahun.


“Cumanya amalan (kerajaan negeri) sebelum ini hanya sebahagian peruntukan tersebut diberikan kepada PBT. Peruntukan Marris perlu diserahkan kepada PBT,” katanya dalam majlis tersebut.

Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas majlis berkenaan, Mohamed Azmin memberitahu, moralnya peruntukan Marris harus disalurkan terus kepada PBT untuk tujuan penyelenggaraan jalan raya termasuk parit dan saliran.

“Mulai tahun depan, kerajaan negeri akan menyalurkan terus peruntukan itu secara terus kepada semua PBT di Selangor,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin enggan melayan kritikan Pegawai Khas kepada Abdul Khalid, Faekah Husin yang dilaporkan membidas Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana tidak melaporkan salah laku bekas Menteri Besar itu yang sebelum ini dituduh membelakangkan parti susulan isu perjanjian penstrukturan industri air Selangor dan pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex).

“Saya tidak kenal dia (Faekah),” katanya.

Persoalannya disini adalah benarkah Azmin tidak mengenali Faekah?

Juragan Malawati...

Selasa, 4 November 2014

UMNO Selangor digesa tingkat usaha tarik sokongan rakyat?


Badan Perhubungan UMNO Selangor diingatkan supaya tidak terus berada di zon selesa dengan segera menjalankan perubahan serta berusaha lebih keras bagi menarik sokongan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Aidit Ghazali berkata, UMNO Selangor perlu mempunyai mentaliti untuk pergi berperang dengan melaksanakan pelbagai strategi bagi memastikan mereka dapat merampas semula negeri itu dari pakatan pembangkang.

“UMNO Selangor tidak boleh ada sindrom bahawa kita masih mempunyai masa lagi untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Mereka mesti mempunyai mentaliti ‘perang’ bermula dari sekarang.

“Jika mereka masih mempunyai mentaliti seperti berada di zon selesa, kita bimbang UMNO Selangor tidak sempat untuk melakukan sebarang strategi bagi menarik sokongan rakyat dalam pilihan raya umum nanti,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menggesa UMNO Selangor meneliti tiga semakan realiti politik semasa dengan jiwa yang besar dan minda terbuka, sebelum menyusun langkah serta strategi tepat untuk menawan kembali negeri terkaya itu pada pilihan raya umum akan datang.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, UMNO Selangor perlu sedar bahawa parti itu kini cuma tinggal 12 kerusi daripada keseluruhan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN), walaupun asalnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi 54 kerusi pada pilihan raya umum 2004.

Mengulas lanjut, Aidit berkata, UMNO Selangor juga perlu menjalankan perubahan kepimpinan dengan memberi peluang kepada muka-muka baharu untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Pemimpin yang merasakan diri menjadi penyebab atau faktor kepada kekalahan UMNO di Selangor dalam pilihan raya lalu perlu melepaskan ‘baton’ kepada orang lain.

“Mereka perlu memberi peluang kepada orang lain dengan semangat dan jiwa baru untuk memimpin UMNO Selangor. Jika mereka tidak mahu berundur maka kita bimbang budaya-budaya lama dalam UMNO Selangor masih tidak akan berubah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi berkata, UMNO Selangor perlu mengambil positif perkara tersebut dengan menjalankan pembaharuan dalam gerak kerja mereka.

Beliau berkata, peringatan tersebut bukan sahaja perlu diambil iktibar kepada kepimpinan UMNO Selangor tetapi juga kepada ahli-ahli UMNO di negeri tersebut.

“Peringatan tersebut merupakan ‘wake up call’ bukan sahaja kepada pimpinan tetapi juga kepada semua. Ini merupakan tugas masing-masing dan bukan kepada individu untuk menguatkan semula parti.

“Jadi, bermula sekarang UMNO Selangor perlu terus bergerak dan ‘menyerang’ kerajaan negeri bagi memberi persepsi kepada rakyat bahawa dalam banyak kes, UMNO lebih banyak mengutamakan kepentingan rakyat,” jelasnya.

Juragan Malawati..

Sabtu, 1 November 2014

Janji Noh Omar selepas di tegur oleh Najib?


Badan Perhubungan UMNO Selangor memberi jaminan bahawa kegagalan memberi maklumat tepat kepada Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagaimana berlaku pada pilihan raya umum lalu tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan.

Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, beliau boleh merasai betapa kecewanya Najib kerana Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu diberi taklimat mengenai jaminan bahawa parti tersebut boleh menang tetapi akhirnya keputusan lebih buruk dicapai.

“Ini satu cabaran kepada saya. Dalam pilihan raya umum lalu mungkin beliau diberikan taklimat dan keyakinan BN boleh menang tetapi kalah lebih teruk, jadi tentunya satu perasaan yang saya boleh rasa, beliau cukup kecewa dengan apa berlaku.

“Insya-Allah saya akan pikul dengan kawan-kawan, saya seorang pun tak mampu buat. Saya perlu sokongan bahagian dan cawangan baru kita boleh tunaikan harapan Presiden,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen UMNO Selangor 2014 di sini hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai teguran keras Perdana Menteri terhadap kemelut politik yang melanda UMNO Selangor sebelum ini, sehingga menyebabkan parti itu hanya memenangi 12 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menyentuh transformasi politik yang akan dijayakan beliau selepas mengambil alih kepimpinan UMNO Selangor, Noh berkata, badan perhubungan negeri akan mengurangkan program parti sebaliknya memberi tumpuan kepada gerak kerja bagi mendekati pengundi.

“Kita beri penekanan kepada gerak kerja dengan terus kepada pengundi. Kita akan kurangkan program besar-besar tetapi tumpuan diberi kepada program bersifat akar umbi dengan gerak kerja kita seolah-oleh esok pilihan raya, bukan lagi seperti sebelum ini,” ujarnya.

Terdahulu ketika berucap pada konvensyen tersebut, Noh berkata, masalah dalaman UMNO Selangor seperti soal kepimpinan, organisasi, keberkesanan program dan usaha menarik minat masyarakat menjadi anggota parti perlu diberi perhatian utama oleh seluruh kepimpinan negeri.

Ke arah itu katanya, Badan Perhubungan UMNO Selangor telah menghasilkan lima gerak kerja iaitu memperkasa dan merancang strategi, memperkasa jentera parti, memasyarakatkan parti, memikat pengundi dan memenangi kembali negeri tersebut.

Harap janji jangan tinggal janji sudahlah...!!!

Juragan Malawati..