UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Selasa, 4 November 2014

UMNO Selangor digesa tingkat usaha tarik sokongan rakyat?


Badan Perhubungan UMNO Selangor diingatkan supaya tidak terus berada di zon selesa dengan segera menjalankan perubahan serta berusaha lebih keras bagi menarik sokongan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Aidit Ghazali berkata, UMNO Selangor perlu mempunyai mentaliti untuk pergi berperang dengan melaksanakan pelbagai strategi bagi memastikan mereka dapat merampas semula negeri itu dari pakatan pembangkang.

“UMNO Selangor tidak boleh ada sindrom bahawa kita masih mempunyai masa lagi untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Mereka mesti mempunyai mentaliti ‘perang’ bermula dari sekarang.

“Jika mereka masih mempunyai mentaliti seperti berada di zon selesa, kita bimbang UMNO Selangor tidak sempat untuk melakukan sebarang strategi bagi menarik sokongan rakyat dalam pilihan raya umum nanti,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menggesa UMNO Selangor meneliti tiga semakan realiti politik semasa dengan jiwa yang besar dan minda terbuka, sebelum menyusun langkah serta strategi tepat untuk menawan kembali negeri terkaya itu pada pilihan raya umum akan datang.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, UMNO Selangor perlu sedar bahawa parti itu kini cuma tinggal 12 kerusi daripada keseluruhan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN), walaupun asalnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi 54 kerusi pada pilihan raya umum 2004.

Mengulas lanjut, Aidit berkata, UMNO Selangor juga perlu menjalankan perubahan kepimpinan dengan memberi peluang kepada muka-muka baharu untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Pemimpin yang merasakan diri menjadi penyebab atau faktor kepada kekalahan UMNO di Selangor dalam pilihan raya lalu perlu melepaskan ‘baton’ kepada orang lain.

“Mereka perlu memberi peluang kepada orang lain dengan semangat dan jiwa baru untuk memimpin UMNO Selangor. Jika mereka tidak mahu berundur maka kita bimbang budaya-budaya lama dalam UMNO Selangor masih tidak akan berubah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi berkata, UMNO Selangor perlu mengambil positif perkara tersebut dengan menjalankan pembaharuan dalam gerak kerja mereka.

Beliau berkata, peringatan tersebut bukan sahaja perlu diambil iktibar kepada kepimpinan UMNO Selangor tetapi juga kepada ahli-ahli UMNO di negeri tersebut.

“Peringatan tersebut merupakan ‘wake up call’ bukan sahaja kepada pimpinan tetapi juga kepada semua. Ini merupakan tugas masing-masing dan bukan kepada individu untuk menguatkan semula parti.

“Jadi, bermula sekarang UMNO Selangor perlu terus bergerak dan ‘menyerang’ kerajaan negeri bagi memberi persepsi kepada rakyat bahawa dalam banyak kes, UMNO lebih banyak mengutamakan kepentingan rakyat,” jelasnya.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan