UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Selasa, 30 Mac 2010

'YB PKR gagal beri khidmat terbaik kepada rakyat'

Penduduk Parlimen Hulu Selangor mendakwa Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin gagal memberikan khidmat terbaik kepada rakyat di daerah berkenaan.Mereka mendakwa, selepas Dr Zainal Abidin menang dalam Pilihan Raya Umum pada 2008, penduduk sukar bertemu dengan beliau untuk mengadu masalah mereka.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Apartmen Kenanga, Taman Bunga Raya, Razally Abdullah, berkata, janji yang ditabur pemimpin itu hanyalah omong kosong belaka.Katanya, selain sukar bertemu dengannya setiap minggu penduduk berbilang kaum yang mengundinya dibiarkan tanpa peduli. “Pejabat Ahli Parlimen Hulu Selangor di Taman Tamu Hill, Batang Kali sentiasa ditutup menyukarkan rakyat bertemu dengannya. Kami serik memberi peluang kepada pemimpin yang tidak membela rakyat di kawasan Hulu Selangor ini, " katanya.

Misliah Rosdi, 53 dari Kampung Sungai Buaya, berkata pelbagai janji yang ditabur pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mampu ditunaikan termasuklah menyalurkan bantuan kepada orang tua di setiap kampung.“Bukan hanya tidak kerap berada di pejabatnya malahan beliau juga gagal turun padang bertemu penduduk dan beberapa kali saya cuba mahu bertemu dengannya tetapi gagal, ” katanya.

Sivakumar Balasundram dari Batang Kali berkata, sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai wakil rakyat Dr Zainal Abidin sering mengambil cuti sakit dan gagal memaklumkan kepada penduduk yang menunggu dengannya lebih tiga jam di pejabatnya. Katanya, penduduk berbilang kaum perlu mendapat khidmat yang terbaik seperti yang dijanjikan dalam kempen mereka.

Seorang peniaga, Lim Yiew Wah dari Kuala Kubu Bharu, berkata, peniaga kecil juga tidak menerima sebarang manfaat selepas memilih wakil rakyat yang kurang efektif dan keadaan semakin sulit apabila beliau gagal menyelesaikan masalah menjaja. “Banyak perkara masih belum berjaya diselesaikan dan penduduk perlu seorang wakil rakyat yang berkhidmat untuk mereka, ” katanya.

Juragan..

Sabtu, 27 Mac 2010

Negara Islam: Zul Noordin cabar Karpal Singh!


Empat ahli Parlimen Bebas mencabar Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya mengemukakan pendiriannya terhadap beberapa perkara sebelum meminta kesemua mereka mengosongkan kerusi masing-masing setelah meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.
Ahli Parlimen Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu), berkata, beliau dan Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) dan Tan Tee Beng (Nibong Tebal) turut mendesak supaya Karpal menjelaskan pendirian DAP sebelum ini bahawa parti itu sudah boleh menerima Islam.

"Sebelum minta kami mengosongkan kerusi, kami minta Karpal jawab dulu apa yang kami sebut hari ini dan kita akan tengok daripada situ," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini. Beliau mengulas kenyataan ahli Parlimen Bukit Gelugor itu di dalam Dewan Rakyat hari ini yang mencabar keempat-empat mereka supaya mengosongkan kerusi masing-masing bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan semula.

Antara lain, Zulkfli berkata, Karpal juga perlu menjawab terlebih dahulu desakan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong sebelum ini supaya meminta maaf atas kenyataannya yang mempertikai kedudukan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini. "Selain itu, kami mencabar Karpal supaya menyatakan pendiriannya tentang penubuhan negara Islam.


Adakah masih lagi perlu langkah mayat dia dulu sebelum boleh tubuh negara Islam? Atau dia sendiri sudah jadi mayat hidup sekarang," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Zulkifli berkata, beliau dan rakan-rakannya juga mencabar Karpal supaya menyatakan pendiriannya berhubung kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini yang mencadangkan Rukun Negara pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan ditukar kepada Kepercayaan Kepada Allah.

"Beliau juga perlu jelaskan apa pendiriannya terhadap tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang keluar dari Barisan Nasional (BN) untuk sertai PKR. Kenapa masa itu dia tak cakap apa-apa semasa itu tetapi dia nak mencabar kami hari ini?.
"Akhir sekali, kenapa beliau tidak mendesak Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang kalau benar dia kata mempertahankan nilai demokrasi," katanya.

Kata beliau, kenyataan Karpal bahawa beliau dan rakan-rakannya itu melompat parti adalah tidak benar memandangkan mereka tidak menyertai mana-mana parti lain sebaliknya menjadi wakil rakyat Bebas. Dalam pada itu, Zulkifli berkata, beliau akan meneliti keadaan sekiranya pihak polis mahu memanggilnya untuk menerangkan tentang pendedahan yang dibuat di dalam Dewan Rakyat semalam.

Zulkifli semalam mendakwa pernah diberi tawaran lumayan oleh pihak tertentu untuk mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

JM...

Khamis, 25 Mac 2010

Al-Fatihah Buat Ahli Parlimen Hulu Selangor


Ahli parlimen Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad telah kembali ke rahmatullah pada jam 9.27 malam tadi di rumahnya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras, Kajang akibat barah otak. Dr. Zainal Abdidin, 71 adalah juga bekas Timbalan Menteri Besar Selangor.
Juragan Malawati : Salam takziah buat keluarga allahyarham. Al Fatihah. Semuga Allah mencucuri rahmat ke atas roh nya dan di tempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Amin.
JM...

Ahad, 21 Mac 2010

Apabila Belanda minta tanah, kaduk naik junjung...
























PADA 13 Mac 2010, saya menerima e-meldaripada seorang saudara yang amat prihatin dengan nasib Melayu di bumi Melayu yang selalu dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu terutama parti ultra kiasu dan rakan sekutunya yang boleh diibaratkan seperti Belanda minta tanah dan kaduk naik junjung.

Saya terpaksa mengubah tajuk artikel yang sepatutnya kerana saya fikirkan emailnya amat penting, apatah lagi isu ini telah disensasikan oleh laman-laman web mereka.

Isunya berkaitan dengan penduduk Kampung Sungai Terentang, Rawang yang membantah kerja-kerja pemasangan kabel voltan tinggi oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang boleh dijadikan iktibar kepada masyarakat bukan Melayu untuk memahami sentimen kebanyakan masyarakat Melayu. Janganlah tuduh saya lebih Melayu dari Melayu selepas ini kerana saya tidak pernah mengakuinya walaupun ia diikhtiraf oleh Perlembagaan.

Sepanjang pengetahuan saya, tanah yang diduduki oleh penduduk kampung berkenaan bukannya tanah mereka pun. Tanah itu milik TNB dan mereka hanyalah setinggan di situ. Tetapi apabila ada ura-ura hendak merobohkan kediaman mereka dan memindahkan mereka yang terlibat, semuanya menjadi kecoh dan ramai yang menentang.

Pemimpin-pemimpin ultra kiasu mula masuk kampung kerana mereka mahu menjadi jaguh kampung untuk mendapatkan publisiti murahan. Bayangkanlah jika tanah tersebut diduduki oleh orang Melayu, sudah tentu TNB akan meneruskan kerja-kerjanya. Orang Melayu akan memberikan laluan atas dasar pembangunan walaupun pampasannya tidak seberapa. Apakah mungkin ultra kiasu ini akan membela mereka dengan bersungguh-sungguh?

Setinggan tetap setinggan. Dari segi undang-undang, mereka tidak ada hak pun untuk mempertahankan tanah tersebut. Saya tidak nampak semua rumah akan dirobohkan, mungkin sebahagian. Namun, mereka telah membawa kes berkenaan ke Mahkamah Persekutuan pada November lalu.

Mahkamah memutuskan bahawa TNB mempunyai hak untuk meneruskan projek itu sebab itu adalah tanah TNB, muktamad. Mahkamah juga memerintahkan TNB supaya membayar pampasan berjumlah RM10.4 juta kepada penduduk terlibat yang telah mereka melaksanakan. Tidakkah jumlah wang tersebut begitu besar?

Tetapi inilah sifat ultra kiasu yang telah menyelubungi mereka yang setelah dihasut oleh parti ultra kiasu. Jika di Pulau Pinang, senang sahaja tanah Melayu diambil dan gerai mereka diroboh, tetapi bila kena batang hidung sendiri? Alahai, itulah nasib Melayu di bumi Melayu. Lebih menyedihkan orang Melayu tidak banyak tampil membela Melayu itu sendiri.

Menitis air mata memikirkan bila bukan Melayu seperti saya terpaksa membela Melayu hanya dek kerana Melayu beragama Islam, walaupun terpaksa dihina dan dikeji oleh bangsa sendiri termasuk saudara mara saya. Tetapi apakan daya, semangat Islam mengatasi segala-gala.

Keistimewaan

Sepatutnya mereka mesti faham mengapa masyarakat bumiputera diberikan keistimewaan di sebuah negara yang diwarisi daripada nenek moyang mereka selama beratus bahkan beribu tahun. Jika mereka yang baru tinggal di situ secara haram tidak sampai seratus tahun bermati-matian berpendapat mereka berhak atas tanah tersebut disebabkan apa yang mereka telah usahakan, apakah salahnya bagi kaum bumiputera diberikan keistimewaan dari segi polisi pentadbiran kerana mereka juga telah berusaha selama ratusan (bahkan mungkin ribuan) tahun untuk memakmurkan wilayah mereka sendiri?

Di samping itu saya juga ingin berkongsi pengalaman seseorang yang pernah bekerja di bahagian kewangan sebuah kementerian yang diterajui oleh menteri bukan Melayu. Menurutnya, jika dalam kampung tersebut adalah terdiri daripada bukan Melayu yang sebangsa dengan menteri tersebut, maka jumlah gantirugi yang diberikan kepada penduduk tersebut adalah berlipat kali ganda.

Manakala, jika kawasan tersebut dihuni oleh orang Melayu atau bumiputera, maka peruntukan atau ganti rugi tersebut dibuat lebih kurang sahaja. Orang Melayu tidak banyak cakap dan menerima sahaja kerana pada mereka wang selonggok di depan mata sudah mencukupi. Mereka tidak sedar bahawa sejumlah wang tersebut hanya boleh menyaranya untuk jangka masa yang singkat, berbanding orang lain yang mungkin mendapatkan perlindungan atau pampasan jangka panjang.

Hari ini, mungkin pada luarannya dasar kerajaan nampak melebihkan bumiputera, tapi secara aplikasinya tidaklah begitu. Malah apa yang diperjuangkan oleh sebahagian masyarakat bukan Melayu selama ini mungkin telah pun mereka dapat secara senyap-senyap. Cuma tidak diberikan publisiti secara besar-besaran sebagaimana cara kita membantu orang Melayu. Publisitinya begitu meluas. Inilah sifat kita, selalunya suka dipuji sehingga pujian tersebut mengalpakan kita, ibarat menang sorak kampung tergadai.

Saya memetik kata-kata e-mel tersebut yang amat menyentuh hati saya: "Apa pun saya bukanlah sayang sangat bangsa saya, bahkan saudara-saudara baru (mualaf) lebih saya sayang daripada kebanyakan Melayu muslim. Terus terang saya katakan jika ada seorang Cina/India /Siam/Iban/Kadazan dan lain-lain yang baru memeluk Islam tidak sampai sebulan, tapi lebih alim, bertaqwa, cekap dan berkaliber dalam memerintah negara, saya lebih rela negara ini diperintah olehnya.

Ini kerana, seorang mukmin yang bertaqwa pasti akan berusaha memerintah dengan penuh keadilan tidak kira apa pun bangsanya. Yang Melayu Muslim memerintah sekarang ini ramai yang lebih banyak memalit arang kepada imej Islam (termasuklah daripada PAS sendiri). Cuma saya menulis di sini kerana ada pihak yang sudah jadi macam Belanda minta tanah, diberi betis nakkan peha".

Saya tidak dapat meneruskan kata-kata beliau kerana agak sensitif. Apa pun saya ucapkan terima kasih di atas keprihatinan dan sensitiviti penghantar email tersebut terhadap permasalahan ummah dalam pembinaan negara bangsa. Bandingkanlah tolak ansur, berapa banyak tanah-tanah Melayu termasuk tanah rezab yang telah tergadai kerana memberikan laluan kepada pembangunan? Hatta, masjid surau pun sanggup dirobohkan?

Bayangkan jika satu kuil atau rumah ibadat mereka dirobohkan, apakah reaksinya? Kenapa penduduk di kawasan tersebut begitu bimbang rumah mereka akan dirobohkan bagi pembinaan menara untuk kepentingan masa depan dan anak cucu mereka? Isunya hanya berkaitan pemasangan kabel elektrik dan pampasan telah pun disediakan? Takkan mereka mengharapkan TNB menyedia rumah banglo untuk mereka di kawasan bukan milik mereka?

Bantahan mereka masih belum berakhir. Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Peter Chin memberi jaminan bahawa tidak ada kerja-kerja merobohkan akan diadakan sehingga mesyuarat antara TNB dan wakil penduduk diadakan Jumaat lalu. Saya tidak tahu apakah keputusan kerana artikel ini terpaksa dihantar lebih awal.

Namun, saya boleh menjangkakan bahawa mesyuarat tersebut tidak akan dapat menyelesaikan masalah, apatah lagi kawasan tersebut berada di negeri yang perintah oleh ultra kiasu. Awal-awal lagi mereka telah bersekongkol walaupun ia bercanggah dengan undang-undang. Ini yang selalu saya katakan, bila nasib sebegini menimpa umat Islam, tidak banyak timbul masalah.

Tetapi bila kena pada bukan Islam, satu Malaysia seolah-olah tidak ada berita lain. Tindakan sebegini ternyata amat bercanggah dengan konsep 1Malaysia yakni memberikan hak kepada yang berhak mengikut lunas undang-undang bukannya menuntut apa yang telah dapat dan menambah sampai membukit.

Seultra kiasu

Melayu yang saya kenal tidaklah seultra kiasu seperti sekumpulan mereka yang berada di negeri ultra kiasu ini. Mereka rela hasil bumi dikaut oleh orang lain selagi budaya dan agama Islam terpelihara. Mereka jarang cemburu atau dengki kepada orang lain, walaupun sifat ini berlaku di kalangan sesama mereka. Bapa saya boleh membina kekayaan di kawasan majoriti orang Melayu, tanpa diganggu-gugat. Bapa saya berjaya membeli beberapa keping tanah di kampung-kampung Melayu.

Satu kelemahan orang Melayu mudah cair apabila melihat wang di depan mata dan pada masa sama mereka suka berhutang. Berhutang pula jarang mahu bayar, tetapi mereka tidak sedar keuntungan telah pun diperolehi daripada hutang pokok yang tidak dibayar. Bila hutang tidak dapat dibayar, maka hutang tersebut akan ditebus dengan menjualkan barang kepunyaan mereka seperti barang kemas, tanah, hasil subsidi kerajaan seperti biji benih, baja dan sebagainya.

Semasa saya kecil dahulu, saya melihat begitu banyak hasil subsidi kerajaan telah dijual kepada bapa saya bagi mereka yang tidak mampu membayar hutang. Kalau dulu hutang dipotong dengan menjual subsidi kerajaan, hari ini along telah mengambil alih tugas tersebut. Hutang mesti dibayar bersama faedah yang tinggi. Hutang bersama faedah akan terus bertambah dari masa ke semasa jika tidak dibayar.

Inilah sifat yang menyamai sifat Yahudi. Kebanyakan harta umat Islam tergadai kepada along kerana harta mereka telah tergadai. Saya ingin ingatkan rakan sebangsa saya, orang Melayu yang saya kenali suka memendam rasa. Hari ini mereka asyik mengalah. Kita pula seronok melihat orang lain kalah atau dikenakan tindakan.

Kita sentiasa mahu menang, tanpa menyedari kemenangan itu meninggalkan implikasi besar ke atas orang lain. Kita jarang mengkaji parut yang tinggal akibat kekalahan yang diterima. Parut inilah yang bahaya kerana parut ini akan meninggal kenangan yang sukar untuk dilupakan.
Dari sudut psikologi, parut itu akan dikenang hingga ke akhir hayat. Inilah yang disebut luka di tangan nampak berdarah, luka di hati siapa yang tahu. Parut ini biasanya akan menyebabkan seseorang itu memendam rasa. Sesuatu yang dipendam tidak selama-lamanya terpendam. Satu hari ia akan meletup. Letupan itulah yang paling saya takuti.

Saya bangkitkan isu ini kerana saya sayangkan bangsa saya yang tidak ultra kiasu. Saya bimbang mereka turut menjadi mangsa disebabkan oleh tindakan segelintir ultra kiasu. Mungkin sekarang kita tidak dapat kesannya. Tetapi ia tidak mustahil akan berlaku. Cuma masa akan menentukan. Saya cukup bersetuju dengan kata-kata bahawa negara kita nampak sahaja stabil tetapi sebenarnya tension.

JM...

Rabu, 17 Mac 2010

' Politik baru ' helah Anwar - Ezam

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd. Nor menyifatkan slogan 'politik baru' yang dicanang pembangkang bagi melibatkan semua kaum hanyalah satu helah untuk menarik sokongan politik bukan Melayu.

Beliau berkata, slogan sedemikian tidak memberi apa-apa makna kerana ia sebenarnya telah lama diamalkan pemimpin terdahulu sejak tertubuhnya Parti Perikatan sehinggalah kepada kewujudan Barisan Nasional (BN) sehingga ke hari ini.

Dakwanya, slogan yang dicetuskan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim itu hanya untuk memenuhi kepentingan politik dan diri bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Ini kerana, katanya, untuk mencapai usaha itu, Anwar bertindak menghasut rakyat dengan menanam kebencian antara kaum sehingga wujudnya pelbagai kritikan, penghinaan terhadap Islam, kedudukan orang Melayu dan sebagainya atas nama kesamarataan.

''Yang bina negara ini siapa? Yang bina negara ini ialah para pemimpin terdahulu yang bangkit dari semangat kenegaraan yang meletakkan kepentingan negara mengatasi diri mereka.
''Anwar telah rosakkan semangat ini dengan meletakkan kepentingan dia, nafsu dia, kebencian dia melebihi kepentingan negara. Kerana undi maksimum, dia sanggup hina, pijak dan siat maruah bangsa dan Islam.

''Jadi, siapa yang mula politik antara (semua) kaum ini, bukan Anwar yang mulakan, Perikatan yang mulakan dari pilihan raya pertama tahun 1955 lagi," katanya ketika berucap dalam majlis Ceramah Umum : Membongkar Rahsia anjuran UMNO Bahagian Kota Raja di Jalan Kebun di sini baru-baru ini.

JM...

Isnin, 15 Mac 2010

Orang Melayu dalam kerugian !

Setelah pilihan raya lalu, penulis meninjau ke Perak, Kedah, Melaka, Pulau Pinang, Johor, Selangor, Negeri Sembilan. Apabila pakatan pembangkang dapat menguasai Pulau Pinang, Selangor dan Perak ( sekarang BN ) tanpa pakatan yang mantap maka pelbagai perkara melibatkan hak-hak bumiputera dan umat Islam serta segala tuntutannya tidak dapat ditunaikan dengan baik.

Jika sebelum ini Pas merupakan pejuang penentang kemungkaran maka kini kritikan mereka terhad kerana hormat persefahaman dalam pakatan. Jika bertegas dengan pendirian, Pas mungkin boleh tersingkir daripada pakatan. Pakatan dalam erti kata yang sebenar masih tidak mantap. Namun, 'mungkin' mereka boleh bersepakat.

'Mungkin' merupakan perkataan berkebarangkalian maka boleh mengundang ketidakstabilan. Setakat ini, teorinya DAP dengan PKR, manakala Pas dengan PKR. Yang menjadi jambatan tengahnya ialah PKR. Jika Pas ingin meneruskan pakatannya maka ia perlu meliberalkan sikap dan pendekatan atau mengabaikan tanggungjawab agama yang dulu sememangnya diperjuangkan tanpa kompromi terhadap UMNO.

Ini merupakan kejayaan PKR dan DAP terhadap Pas. Di sinilah politik tawar-menawar sedang berlaku. Akhirnya, jika ini berterusan maka Islam apa yang akan muncul di Malaysia nanti?PKR pula merupakan ahli pelbagai ras dan agama. Sudah tentu setiap aktiviti Islam secara rasmi yang dilakukan oleh PKR akan diketahui bukan Islam. Di Malaysia, belum pernah terdapat kejayaan yang berpanjangan bagi parti yang keanggotaannya pelbagai ras dan agama.

DAP misalnya dulu dianggotai juga orang Melayu tapi kini didominasi bukan Muslim. Akhirnya, secara praktisnya, trend politik bukan Muslim mendasarinya. Barisan Nasional (BN) pula kebanyakan parti komponen bersifat politik bangsa dan kemudiannya membentuk kata sepakat sehingga BN memiliki 'perlembagaan' sendiri.

Pakatan pembangkang yang tanpa perlembagaan tersendiri boleh dikatakan sebagai kerajaan campuran atas dasar hendak memerintah sahaja dan kaedah ini belum pernah terbukti memperoleh kejayaan seperti yang berlaku di negara-negara lain. Biasanya kerajaan campuran akan berpecah atau menukar anggota masing-masing. Trend ini tidak pasti membawa kestabilan.

Boleh dikatakan pada masa ini politik pakatan sedang menyesuaikan diri kerana ketidaksangkaan mereka menang mengejut. Tapi, dalam politik apa-apa boleh terjadi. Boleh dikatakan bahawa trend ini sebagai percubaan hendak berbaik. Jika berjaya okay tetapi sebaliknya, apa kita boleh buat - kata sebahagian mereka. Kalau tidak berjaya, maka padah bagi umat Islam di Malaysia.

Umat Islam di Malaysia hanya hebat di pentas politik sahaja tapi dari segi ekonomi tidak kira sama ada Pas atau UMNO terpaksa terima apa sahaja tauke-tauke Cina tentukan. Unsur kemalaysiaan semakin terhakis. Perlembagaan Malaysia boleh dikatakan tidak dihormati malah tidak diketahui semua rakyat.

Penulis bersetuju apa yang dinyatakan oleh Raja Dr. Nazrin Shah pada 21 Jun, di Kuala Kangsar. "Jangan sampai terima nasib terpaksa musafir di bumi sendiri."Apa yang berlaku di dalam UMNO dan komponen BN merupakan masalah bagi semua parti. Kelemahan UMNO jika benar berlaku maka merupakan pemecahan perwakilan Melayu dalam pembuatan keputusan.

Begitu juga, bukan Melayu. Beralihnya undi MCA, MIC dan Gerakan kepada DAP merupakan ketidakstabilan. Tetapi, yang nyata undi Cina kepada Cina mungkin dalam nada yang majoriti. Di sini, juga tidak menguntungkan secara Perlembagaan seperti berlaku krisis pemilihan menteri besar akibat tiada yang menang majoriti di Perak dan Selangor. Dan alhamdulillah kini Perak dikuasai semula oleh BN.

Bagi isu ini, penulis cadangkan jika tiada parti yang menang dengan majoriti mudah maka sultanlah yang layak menentukan. Apabila berlaku perbezaan pendapat kecil dalam pemilihan menteri besar di Perak merupakan satu isyarat bahawa pemimpin parti yang terlibat pada masa itu tidak memahami perlembagaan Perak. Ini amat mendukacitakan. Mungkin kini mereka tahu tetapi mungkin ada lagi mereka yang tidak ambil tahu.

Apabila Cina dan Melayu berpecah maka sekali lagi akan menimbulkan masalah pemerintahan kerana Perlembagaan Malaysia secara khususnya memperuntukkan kuasa khas kepada bumiputera dan Islam. Maka krisis Perlembagaan akan berlaku juga. Atau adakah ada yang sanggup meminda demi kepentingan masing-masing.

Adakah api dalam sekam akan meletup? Oleh itu kita kena ambil perhatian supaya urusan pentadbiran negara tidak dicampuri urusannya oleh kuasa besar dunia akibat perbalahan sesama sendiri. Wallahualam.

JM..

Sabtu, 13 Mac 2010

Felda diancam fitnah!

SENARIO politik sekarang menyaksikan pakatan pembangkang berusaha keras mempengaruhi peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di seluruh negara, khususnya di Pahang. Pahang kini menjadi pertaruhan pakatan pembangkang untuk menawan negeri itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 kelak.

Seiring dengan usaha itu, muncul individu tertentu yang sanggup menjaja cerita yang tidak benar di kawasan Felda untuk menagih simpati peneroka agar memihak kepada mereka. Apa yang dikesalkan terdapat segelintir peneroka terutama generasi kedua yang terpengaruh dengan dakyah yang ditabur itu.

Kelahiran buku tulisan Mazlan Aliman bertajuk Felda...Dulu Tolong Sekarang Along sedikit sebanyak mempengaruhi kumpulan peneroka yang berada di atas pagar. Menjelaskan perkara itu, Pengarah Pembangunan Komuniti & Koordinasi Felda, Mohamad Ibrahim berkata, banyak fakta yang ditulis di dalam buku tersebut tidak tepat, selain memaparkan segala usaha yang dilakukan oleh Felda adalah buruk belaka dan menekan peneroka.

Katanya, tidak ada satu pun perkara baik dilaporkan di dalam buku itu, sedangkan peneroka telah mendapat banyak manfaat sejak Felda ditubuhkan 54 tahun yang lalu. "Mereka yang masuk Felda terdiri daripada pelbagai latar belakang ekonomi, pendidikan, loghat dan budaya dari berlainan negeri.

"Di penempatan Felda, mereka hidup bersatu padu dan diberi tanah seluas 4.046 hektar (10 ekar) untuk pertanian dan 0.809 hektar (dua ekar) untuk tapak rumah. "Apabila selesai menjelaskan Bayaran Kembali (BK) dalam tempoh 20 tahun, hak milik tanah itu akan menjadi milik peneroka.

"Ini bermakna, hasrat kerajaan untuk melihat lebih ramai orang Melayu memiliki tanah sudah pun tercapai, selain berjaya menyatupadukan penduduk pelbagai latar belakang," katanya kepada Utusan Malaysia. Felda ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 dan diberi kuasa untuk melaksanakan projek-projek pembangunan tanah menerusi Akta Tanah (Kumpulan Penempatan Berkelompok) atau Group Settlement Act (GSA) 1960.

Tujuan penubuhan Felda adalah untuk membuka tanah pertanian secara besar-besaran dan membuka kawasan penempatan baru. Jumlah peneroka sekarang adalah 112,635 dan daripadanya sebanyak 75,313 peneroka telah menerima hak milik tanah. Baki yang lain masih belum menerima hak milik kerana masih belum selesai menjelaskan BK atau permohonan masih diproses.

Mohamad berkata, banyak peneroka salah faham apabila menuduh Felda sengaja tidak mahu memberi hak milik tanah. Sedangkan, katanya, apa sebenarnya yang berlaku adalah Felda hanya mempunyai kuasa untuk mengesyorkan peneroka mendapat hak milik kepada kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri yang bagi hak milik tanah, Felda hanya boleh mengesyorkan nama-nama peneroka yang telah selesai menjelaskan BK. Kalau lambat dapat hak milik, kena tanya kerajaan negeri...bukannya Felda," katanya. Tuduhan kononnya peneroka dibebani hutang setiap kali mahu menanam semula juga tidak benar.

Menurutnya, peneroka mempunyai pilihan sama ada mahu menanam sendiri atau menyerahkan kerja-kerja menanam semula kepada Felda. "Terpulang kepada peneroka nak pilih cara apa. Kita tak paksa," katanya yang menjelaskan manfaat lebih dinikmati jika peneroka menyerahkan kerja-kerja menanam semula kepada Felda.

Antaranya, kos pengurusan kebun lebih murah kerana dijalankan secara berkelompok termasuk membeli baja, kebun diurus secara sistematik mengikut amalan agronomi dan bahan tanaman dijamin berkualiti. Beliau menjelaskan, apabila tanaman semula dijalankan, maka peneroka tidak mempunyai pendapatan selama tiga tahun bagi tanaman kelapa sawit dan enam tahun untuk tanaman getah.

"Sepanjang tempoh itu, Felda menawarkan pinjaman sebanyak RM1,000 sebulan untuk tahun pertama, RM1,200 (tahun kedua) dan RM1,300 (tahun ketiga dan seterusnya). "Apabila kebun telah membuahkan hasil, maka pinjaman itu perlu dibayar secara ansuran sebanyak RM250 sebulan atau lebih rendah. Tempoh bayaran adalah 15 tahun dan pihak Felda mengenakan caj pengurusan sebanyak 6.25 peratus bagi tempoh 15 tahun.

"Ada pihak mendakwa 6.25 peratus itu adalah bunga ke atas pinjaman yang perlu dijelaskan pada setiap bulan. Itu tidak benar kerana jika dikira balik, peneroka hanya membayar 0.42 peratus caj pengurusan sebulan sahaja. Jadi, tidak timbul soal riba dalam perkara ini," jelasnya panjang lebar.

Selain itu, desakan pihak tertentu agar peneroka diberi kebebasan untuk mengurus sendiri kebun juga tidak berpijak di bumi nyata. Menurutnya, apabila kebun diurus sendiri, semua kos akan meningkat berbanding jika dibuat secara berkelompok. "Misalnya, kalau beli baja secara berkelompok, harganya adalah RM300 setan, tetapi jika dibeli secara individu, harganya adalah RM400 setan. Mana lebih murah?" soalnya.

Lebih membimbangkan Felda apabila GSA 1960 dibubarkan, peneroka bebas berbuat apa sahaja terhadap kebun masing-masing termasuk memajak dan menjualnya. "Mesti akan ada peneroka yang memajak tanah kepada orang luar semata-mata untuk mengaut untung dalam sekelip mata.

"Misalnya, memajak tanah 10 ekar pada harga RM25,000 untuk tempoh 25 tahun. Memanglah dapat duit sebanyak itu dalam masa yang singkat, tetapi kita perlu ingat, duit itu boleh habis dalam masa sehari dua. "Apabila duit habis, tanah pula dah dipajak, kena tunggu 25 tahun untuk dapat balik tanah itu. Akhirnya, peneroka juga yang jatuh miskin," ujarnya.

Namun apa yang lebih membimbangkan apabila peneroka menjual tanah kerana mahukan wang segera. "Apabila tanah sudah terjual, habislah segalanya tergadai. Apa lagi nak dicari rezeki kerana tanah yang menjadi sumber rezeki telah beralih tuan," katanya. Beliau berkata, sepatutnya peneroka dan anak-anak peneroka bersyukur kerana mendapat peluang memperoleh tanah dan mengumpul harta menerusi Felda.

Berbanding dengan orang kampung, katanya, peneroka telah mendapat banyak faedah seperti pinjaman membesarkan rumah dengan bayaran balik tanpa faedah; tabung bantuan kebajikan untuk penyakit kronik, bencana alam dan alat bantuan; Skim Insentif Usahawan Felda dengan tambahan dana mencecah RM100 juta pada 2006; peruntukan untuk pertubuhan belia; faedah kematian RM10,000; sumbangan hari raya sebanyak RM350 untuk satu keluarga; bantuan pelajaran tinggi; projek perumahan warga Felda, misalnya di Taman Mempaga Utama dan Bukit Goh Perdana di Pahang.

"Rumah teres tiga bilik khas untuk warga Felda dijual pada harga RM35,000 seunit, sedangkan harga pasaran adalah RM55,000 hingga RM60,000 seunit. Ini bermakna Felda menanggung kos sebanyak RM20,000 hingga RM25,000 bagi setiap unit rumah yang dibeli oleh warga Felda.
"Cuba tengok orang lain, adakah mereka dapat manfaat seperti ini?," soalnya.

Sementara itu, mengulas desakan supaya kawasan ladang Felda seluas 331,375 hektar diserap masuk ke dalam kawasan berpeneroka, Mohamad berkata, ia tidak boleh dilaksanakan kerana jika itu berlaku, maka pihak Felda tidak mempunyai dana untuk membiayai kos infrastruktur, bonus peneroka, gaji kakitangan, mengisi dana pinjaman pelajaran, usahawan dan lain-lain yang kesemuanya diperoleh daripada hasil jualan dari kawasan ladang Felda.

"Luas kawasan berpeneroka adalah 521,938 hektar dan kesemua hasil dari kawasan itu dinikmati oleh peneroka sepenuhnya. "Sebab itulah, Felda membuka kawasan ladangnya sendiri yang pekerjanya terdiri daripada orang luar untuk mendapatkan hasil bagi membiayai perkara di atas.

"Jika ia diserap ke dalam kawasan berpeneroka, Felda tidak mempunyai pendapatan lagi, dan kesemua perkara tadi tidak dapat dibiayai termasuk bonus untuk peneroka," ujarnya. Dalam aspek pendidikan pula, katanya, anak-anak peneroka yang cemerlang menikmati pelbagai kemudahan termasuk menginap di Asrama Semai Bakti Felda.

"Felda menempatkan mereka di sekolah-sekolah terbaik di bandar-bandar yang mempunyai asrama tersebut. Terbaru, sebuah MRSM Felda dibuka di Trolak, Perak pada Januari lalu. Setakat ini, terdapat 742 pelajar di situ," jelasnya. Beliau berharap, penjelasan ini dapat menyedarkan peneroka terutama generasi kedua betapa mereka beruntung kerana membesar dengan menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan oleh Felda.

JM...

Sabtu, 6 Mac 2010

'Bahtera' siapa semakin bocor?

BEBERAPA minggu lalu, ketika ditanya oleh wartawan apakah mungkin akan berlaku penggabungan Pas ke dalam Barisan Nasional (BN), Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu tidak akan menaiki kapal yang bocor.

Maksud beliau, BN kini dalam masalah, oleh itu adalah lebih baik jika Pas terus kekal 'sekapal' dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam pakatan pembangkang.

Tetapi kini mungkin Abdul Hadi akan terfikir semula kapal siapakah yang bocor, BN atau pembangkang? Ia memandangkan 'kebocoran' yang berlaku dalam 'kapal' milik PKR semakin serius, jika tersilap langkah, ia akan menyebabkan keseluruhan 'kapal' pembangkang tenggelam. Sehari demi sehari ada sahaja 'anak kapal' PKR meninggalkan 'bahtera' pembangkang. Mereka tidak mahu lagi bersekongkol dengan 'nakhoda' apatah lagi 'kapal' yang hanya membawa arus yang boleh merosakkan kehidupan rakyat.

Itulah senario yang berlaku dalam pakatan pembangkang sekarang, apabila parti yang menjadi nakhoda mereka 'dihempas' gelombang penghijrahan Ahli-ahli Parlimennya. Apa yang berlaku membuktikan PKR yang muncul di samudera politik negara semata- mata untuk menakluk sebuah kekuasaan semakin kehilangan kekuatan dan arah tuju. Seorang demi seorang ahli Parlimen yang meninggalkan 'kapal' PKR mendedahkan satu demi satu kepincangan yang berlaku terutamanya mengenai sikap kepimpinan parti.

Mereka mulai sedar bahawa pengorbanan yang dilakukan hanyalah sia-sia apabila 'nakhoda' PKR mahu menguasai segala-galanya dan demi kuasa sanggup melakukan apa sahaja asalkan matlamat menjadi pemimpin utama negara tercapai. Malah 'nakhoda' PKR juga sanggup bertukar watak dan wajah sehingga mampu memperdayakan semua orang sama ada musuh atau kawan.

Justeru ahli-ahli Parlimen PKR yang keluar menjadi wakil rakyat bebas ini tidak mahu terus bersekongkol dengan 'nakhoda' seumpama itu. Demi kepentingan bangsa, agama dan negara mereka terpaksa membuat keputusan yang cukup berat, biar pun akan didakwa kononnya mengkhianati amanah rakyat.

Jika Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng keluar parti kerana tidak mampu lagi bertolak ansur dengan sikap Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan terlalu tunduk kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, keputusan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri dilihat lebih mengancam.

''Saya sangat khuatir dengan kegiatan politik yang diamalkan oleh PKR dan pakatan pembangkang khususnya di Perak termasuk menghalalkan pelbagai cara demi suatu matlamat yang sempit, serangan tanpa batasan terhadap institusi raja, badan kehakiman dan penguatkuasaan, termasuk meraih sokongan negara luar bagi menyerang kedaulatan negara.''

Itulah hujah Mohsin Fadzli yang sekali gus boleh diibarat mewakili seluruh rakyat terutamanya orang Melayu yang sememangnya tidak senang dengan tindakan Anwar, PKR dan DAP selama ini dalam perkara-perkara beliau nyatakan. Kenyataan Mohsin Fadzli juga secara langsung mendedahkan betapa bahayanya politik menghalalkan cara yang dilakukan oleh PKR dan DAP. Justeru seperti mana kata beliau, ''Perkara ini sudah sampai ke tahap yang saya tidak lagi boleh bertolak-ansur dan mengambil sikap mendiamkan diri.''

Dalam usia mencecah 65 tahun, langkah Mohsin Fadzli meninggalkan PKR boleh dianggap satu tindakan bagi mengelakkan beliau terus bersekutu dengan mereka yang bersikap terlalu gelojoh apabila mendapat kuasa. ''Sedikit kemenangan yang dianugerahkan oleh Allah pada 8 Mac 2008 bukannya digunakan untuk memantapkan perjuangan untuk umat, rakyat dan agama, sebaliknya menjadi medan politik 'ghonimah' (membahagikan harta rampasan perang),'' kata Mohsin Fadzli.

Mungkin selepas ini kita pasti akan mendengar pelbagai tuduhan PKR kepada Mohsin Fadzli, seolah-olah mereka yang bertindak keluar daripada parti itu tidak berguna sama sekali dan yang setia dengan parti berkenaan ibarat 'suci dalam debu'. PKR boleh membuat apa juga dakwaan dan tuduhan kepada ahli-ahli Parlimen yang meninggalkan 'kapal' pakatan pembangkang tetapi mereka tidak akan boleh selama-lamanya menyembunyikan fakta.

Apa yang berlaku di dalam PKR juga menjadi bukti bahawa keangkuhan dan keburukan parti itu yang selama ini berjaya disembunyikan melalui 'lakonan hebat' pemimpin-pemimpinnya akan diketahui oleh rakyat. Dalam pilihan raya umum lalu, sebahagian besar rakyat begitu percaya dengan pakatan pembangkang, oleh kerana ketika itu BN dilihat tidak menunaikan janji, maka kehadiran pembangkang dilihat sebagai alternatif.

Tetapi kini rakyat sudah mengetahui tembelang sebenar pembangkang. Mereka mempunyai seribu satu kelemahan dan kepincangan, malah lebih buruk lagi segala janji yang ditaburkan kepada rakyat dalam pilihan raya umum lalu hanyalah janji-janji palsu. Keadaan inilah juga yang mendorong ahli Parlimen PKR bertindak keluar parti, mereka tidak mahu menjadi sebahagian daripada gerombolan yang mengkucar-kacirkan negara dan memperdayakan rakyat melalui retorik politik.

Pemimpin-pemimpin yang masih berada dalam PKR dan cuba meneruskan 'pelayaran' ke 'pelabuhan' merebut kuasa perlu sedar bahawa mereka selama-lamanya tidak boleh mempermainkan rakyat. Kebenaran tetap kebenaran, ia tetap akan muncul biarpun ia cuba dilindungi dengan fitnah dan tohmahan kepada mereka yang berusaha menegakkannya.

Pas mungkin menganggap 'kapal' BN sudah bocor tetapi, mereka perlu ingat bahawa 'kapal' pembangkang sudah retak menanti belah. Jika tersilap langkah 'kapal' berkenaan akan karam dan sekali gus turut menghanyutkan Pas bersama-sama. Parti itu perlu memahami bahawa mereka yang meninggalkan PKR bukanlah calang-calang pemimpin. Mereka adalah terdiri daripada insan-insan yang sebelum ini dilihat begitu setia dengan perjuangan Anwar dan PKR.

Latar belakang mereka bersama PKR sudah menjadi bukti bahawa mereka suatu ketika dahulu adalah pejuang setia parti tersebut dan kawan baik kepada Anwar. Tetapi seperti mana kata Mohsin Fadzli, ''Hubungan akrab dan peribadi tidak boleh menjadikan satu alasan untuk mengetepikan akidah dan prinsip perjuangan yang saya yakini.'' Semoga pesanan ini difahami oleh sebahagian lagi pemimpin pembangkang termasuk daripada Pas yang masih melihat rakan mereka itu (PKR) sempurna segala-galanya.

JM..

Rabu, 3 Mac 2010

Pentas Pidato UMNO : Ezam Buka Pekong Anwar!


Semalam Selasa 2 hb. Mac 2010 bertempat di Kompleks UMNO Kuala Selangor, berlangsung satu ceramah pidato UMNO yang bertajuk " Selamatkan Malaysia Daripada Pengkhianat ". Kalau tidah silap penulis tajuk asal pidato semalam adalah " Membongkar Rahsia " , tetapi ditukar kesaat akhir kerana pada minggu yang sama PKR sudah membuat " Road Show" nya dengan bertemakan " Selamatkan Malaysia " di Kuala Selangor.

Agak menarik tema road show mereka( PKR ) dan penulis tertanya-tanya apakah sebenarnya " Selamatkan Malaysia " itu adalah " Selamatkan Malaysia Dari Pengkhianat Yang bernama Anwar Ibrahim " ? Jadi penulis merasakan tajuk pentas pidato UMNO Kuala Selangor semalam adalah bertepatan sekali untuk dibongkar supaya rakyat dapat mengetahui siapa sebenarnya yang bergelar " Pengkhianat Negara " dan orang yang sesuai sekali dipanggil untuk menceritakannya adalah Saudara Ezam Mohd. Nor kita iaitu bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Untuk pegetahuan kita semua Saudara Ezam Mohd. Nor sekarang sedang menjawat Pengerusi Yayasan Generasi Baru Nusantara di Jakarta, Indonesia. Terima kasih diucapkan kepada Saudara Ezam kerana sanggup meluangkan masa dan sudi hadir untuk memberikan ceramah beliau. Kehadiran memberangsangkan ribuan hadirin yang sanggup menunggu sejak dari petang lagi membuatkan dewan di Kompleks UMNO penuh sesak sehinggakan terpaksa memenuhi khemah di luar dewan.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Pemuda UMNO Kuala Selangor kerana kerja kuat mereka sekaligus memberi amaran kepada Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkefli Ahmad dari PAS dan Khalid Gagap wakil rakyat Ijok untuk bersedia menghadapi rempuhan UMNO-BN pada Pilihanraya ke 13 nanti…!

Seperti biasa majlis di mulakan dengan upacara membaca doa dan ucapan aluan oleh Ketua Pemuda UMNO Kuala Selangor, Mohd Nor Saad dan seterusnya oleh Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, YB Dato' Hj. Amiruddin Setro.

Saudara Ezam bersama-sama dengan YB. Dato' Hj. Amiruddin Setro wakil rakyat ADUN Jeram merangkap Ketua UMNO Bah. Kuala Selangor dan juga Timb. Ketua Hj. Jahaya Ibrahim.

Antara ribuan yang hadir tidak berganjak untuk mendengar segala kupasan isu politik semasa termasuklah beberapa pendedahan kepincangan dalam Pakatan Rakyat dari pemidato hebat Saudara Ezam Mohd.Nor.

Antara kupasan isu yang menarik adalah tentang Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim tidak pernah jujur dalam menjalin hubungan dengan Pas termasuk Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ezam Mohd. Nor berkata, Anwar mempunyai agendanya sendiri dalam menjalinkan kerjasama dengan Pas terutama ketika berdepan krisis moral.

Katanya, Anwar hanya mahu mempergunakan Pas semata-mata demi melepaskan diri daripada tuduhan meliwat. " Bagi saya, istilah kejujuran itu tidak ada pada Anwar dan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Ia bukan sahaja kes membabitkan Nik Aziz tetapi juga dalam kes lain, kes liwat dan sebagainya".

" Buktinya dalam kes Kelantan, semasa Anwar jadi Menteri Kewangan dulu, dia tidak meluluskan peruntukan yang diminta Nik Aziz ketika itu untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan, Menteri Kewangan selepasnya yang meluluskan perkara itu,” katanya . Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Amar Leo Moggie walaupun bukan Islam namun beliau juga memiliki hati perut yang bersih mahu melihat rakyat Islam di Kelantan turut sama mendapat kemudahan ini. Leo Moggie telah secara peribadi merayu kepada Anwar tetapi mantan TPM itu tetap dengan keputusannya malah menyebut ‘No Way!’…” tambah Ezam meneruskan ceritanya.

Kata Ezam lagi, bagi memastikan agenda politiknya terus hidup, Anwar menggunakan Pas untuk meraih simpati dan menyelesaikan masalah moral yang dihadapi. "Anwar memang terdesak sekarang, orang macam Nik Aziz yang dilihat macam Tok Guru memang diperlukan oleh Anwar kerana dia menghadapi krisis moral, jadi Anwar akan menggunakannya untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya. Beliau berkata, Pas kini dilihat sudah mula terpedaya dengan mainan politik Anwar sehingga sanggup menggadaikan prinsip utama parti untuk menubuhkan negara Islam.

" Kita tengok sekarang, Pas seperti sudah meninggalkan asas penubuhannya untuk menubuhkan negara Islam dan bagi saya, ini semua gara-gara Anwar yang memanipulasikan keadaan menyebabkan Pas tersepit. " Sebagai contoh, DAP bersama Pas bukan kerana Pas tetapi kerana jaminan Anwar bahawa Pas tidak akan membawa negara Islam, sekarang saya hendak tanya adakah betul Pas tidak mahu lagi negara Islam," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencabar Pas supaya menyatakan pendiriannya adakah masih mahu menubuhkan negara Islam ataupun hanya mencari kuasa politik dengan mengorbankan dasar perjuangannya sebelum mengakhiri ucapan beliau.

InsyaAllah Ezam akan terus menggegarkan Pentas Pidato dan Ceramah Umum di Selangor dan destinasi seterusnya adalah di Parlimen Kota Raja…!
JM..

Isnin, 1 Mac 2010

PENTAS PIDATO UMNO


SATU CERAMAH PIDATO " SELAMATKAN MALAYSIA DARIPADA PENGKHIANAT " AKAN DIADAKAN DI
KOMPLEKS UMNO KUALA SELANGOR
PADA : SELASA 2-3-2010

MASA : BERMULA JAM 8:30 MALAM
PEMIDATO JEMPUTAN : SDR. EZAM MOHD NOOR
SEMUA DI JEMPUT HADIR
INSYAALLAH.
DARI
UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR
SELANGOR DARUL EHSAN