UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Khamis, 29 September 2011

Soalan yang sering ditanyakan kebanyakan orang, mengapa kerajaan tidak melaksanakan hukum HUDUD!

Sudah dinyatakan bahawa tidak semestinya hudud itu perlu dilaksanakan sekaligus atau secara terus. Perlu ada perancangan dan perencanaan yang teliti dan rapi dibuat sebelum kita mahu melaksanakannya secara total di negara kita. Tidak boleh kalau kita perintah hari ni, terus laksana hudud sedangkan masih ramai lagi yang jahil dan belum memahami sepenuhnya mengenai hukum Allah yang maha adil ini.

Pelaksanaannya bukan boleh main-main atau untuk dijadikan modal politik. Ia berkaitan dengan pandangan masyarakat terhadap Islam itu sendiri. Jika pelaksanaannya gagal, maka tidak dapat tidak akan timbul salah faham di kalangan masyarakat bukan Islam dan Islam sendiri. Mereka mungkin beranggapan bahawa undang-undang Islam itu tidak adil dan kacau. Padahal hukum Islam itu memang perfect tetapi disebabkan implementasinya lemah dan tidak bijaksana maka ia akan mencacatkan matlamat perundangannya.

Pelaksanaan hudud bukan soal kewajipan seperti solat dan puasa. Ia berkenaan istitho‘ah, kemampuan pemerintah melaksanakannya mengikut kesesuaian zaman dan tempat, sama seperti kewajipan ibadat haji. Suasana persekitaran yang tidak sesuai tidak memungkinkan pelaksanaan sesuatu undang-undang hudud. Ini pernah disebutkan oleh Timbalan Mufti Kerajaan Kelantan, Datuk Shukri Mohamed.

Memang menjadi kewajipan pemerintah melaksanakan hudud sama seperti kewajipan ibadat haji itu sendiri. Menolak kewajipannya bererti kita terkeluar daripada akidah Islam dan dengan sendirinya dihukum murtad. Tidak melaksanakannya atau menangguhkannya itu lain cerita. Kalau ada pemerintah yang tak mahu laksana tapi tak mempertikaikan kewajipannya walaupun dilihat mampu melaksanakan sepenuhnya hukum tersebut, ia tak boleh dihukum murtad. Ia samalah dengan orang yang sudah mampu mengerjakan haji tetapi masih belum mahu menunaikannya, hukumnya berdosa besar.

Adapun mengenai menangguhkan atau melakukan pemeringkatan dalam pelaksanaan undang-undang Islam, ini tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Jika sesebuah negara itu masih belum mampu melaksanakannya ia tidak mengapa sama seperti hukum mengerjakan haji terbabit. Bahkan mengikut kaedah fiqh yang masyhur, “Setiap perkara yang membawa kepada suatu kesempurnaan suatu kewajipan, maka perkara tersebut menjadi wajib pula dihukumnya.” Wajib bagi pemerintah menerapkan pemahaman secara berperingkat dan membuat perencanaan sebelum melaksanakan hukum hudud itu.

Ini telah pun dilaksanakan oleh kerajaan kita dan ianya terbukti apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad, di mana beliau mengakui bahawa kerajaan telah pun menghubungi kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan satu model yang boleh dijadikan contoh untuk pelaksanaan hudud. Bagaimanapun, masih belum diterima sebarang respon daripada Arab Saudi. Melalui pendidikan, kita boleh lihat melalui matapelajaran Tamadun Islam yang diperkenalkan di peringkat pengajian tinggi dan penyusunan semula sukatan Pendidikan Islam di peringkat sekolah menengah.

Berkaitan pemeringkatan dalam pelaksanaan hudud ini, Dr. Yusuf Al Qardhawi ada membincangkan di dalam tulisan beliau. Kata beliau, pemeringkatan itu merupakan salah satu sunnah Allah di alam semesta dan di dalam syariah. Allah telah menentukan pelbagai perintah dan mengharamkan perkara yang haram secara berperingkat sebagaimana diwajibkan puasa, diharamkan arak dan seumpamanya.

Alangkah baiknya di sini apa yang dinyatakan oleh para ahli sejarah tentang Umar bin Abdul Aziz sewaktu beliau menjadi Khalifah, setelah manusia menyeleweng daripada manhaj al Khulafa’ ar Rasyidin, melakukan kezaliman, mencuaikan hak manusia dan melampaui hudud Allah.

Anaknya yang beriman lagi bertakwa bernama Abdul Malik datang menemui beliau dan berkata dengan penuh semangat, “Wahai ayahku, kenapa kamu lambat melaksanakan semua perkara ini? Demi Allah, saya tidak akan peduli sekiranya saya dan ayah mengelegak pada jalan Allah ini.”

Lalu bapa yang bijaksana ini menjawab, “Wahai anakku, sesungguhnya Allah telah mencela arak pada dan ayat dan mengharamkannya pada kali ketiga. Sesungguhnya aku bimbang untuk membawa manusia kepada kebenaran secara sekaligus lalu mereka menolaknya secara sekaligus juga.”

Jelas beliau berpandangan bahawa adalah suatu kebijaksanaan bersikap lemah lembut dan berperingkat dengan manusia sehinggalah mereka menerima kebenaran yang sepatutnya diterima.

Dalam masalah yang sama, Umar Abdul Aziz juga pernah berkata, “Sesungguhnya kaum kamu (Bani Umaiyah) telah mengikatkan perkara ini satu ikat demi satu ikat. Apabila kamu mahu memaksa mereka untuk menarik balik apa yang ada pada tangan mereka , maka saya tidak jamin mereka tidak akan menentang saya yang akan membanyakkan lagi pertumpahan darah. Demi Allah, runtuhnya dunia ini adalah lebih ringan bagi saya daripada ditumpahkan darah kerana saya! Tidakkah kamu redha sekiranya kamu datang pada setiap satu hari mendatangi ayah kamu melainkan kamu ini telah mematikan satu bidaah dan menghidupkan satu sunnah?”

Inilah dia pandangan realiti yang bijaksana yang diyakini, tetapi hendaklah difahami bahawa pemeringkatan (beransur-ansur) dalam pelaksanaan syariah bukanlah bererti membatalkan pelaksanaan hukum syariah atau menggantungkan pelaksanaannya hingga ke tempoh yang tidak ditetapkan. Bahkan ia sebenarnya bererti meletakkan perancangan rapi yang mempunyai peringkat yang telah ditetapkan bagi memindahkan masyarakat kepada Islam yang sebenar dengan memberikan keutamaan bagi sudut pendidikan, media massa dan thaqafah yang bekerja secara bekerjasama dan saling melengkapkan bagi membina manusia yang dikehendaki oleh Islam dan menyediakan suasana yang patut bagi memastikan seluruh syariat Islam itu dilaksanakan dengan jayanya.

Permulaan bagi itu semua ialah menghapuskan halangan di hadapan para pendokong Islam yang benar dalam bentuk individu dan kumpulan dan memberikan jaminan kebebasan yang perlu untuk mereka, supaya mereka dapat melaksanakan tugas mereka untuk berdakwah, memberikan kesedaran, pendidikan dan pembentukan diri. Ini semua adalah perkara yang paling utama.

Pemeringkatan yang perlu menurut Dr. Yusuf Al Qardhawi ialah dengan meletakkan matlamat di hadapan mata, berusaha keras untuk sampai kepadanya, tidak berlalu satu hari, sebagaimana yang dinyatakan oleh Umar bin Abdul Aziz, melainkan dia telah mematikan satu bidaah jahiliyah dan menghidupkan satu sunnah Islam.

Ziad bin Hudair meriwayatkan bahawa Umar r.a. telah berkata kepadanya: Apakah engkau ketahui apa yang akan meruntuhkan Islam? Kata Ziad: Aku menjawab: Tidak! Beliau berkata: Islam diruntuhkan oleh kesalahan alim ulama dan perdebatan orang munafiq dengan al Kitab dan pemerintahan imam-imam yang menyesatkan.” (H/R Ad Darimi : Sahih)

Janganlah seseorang itu menuduh seseorang yang lain dengan tuduhan kafir atau fasik, maka perbuatan itu akan kembali kepadanya sekiranya orang yang dituduh itu bukan seperti itu (bukan golongan kafir atau fasik).” [H/R Muslim dan Ahmad].

Wallahuallam.

Juragan Malawati..

Isnin, 26 September 2011

Amaran di Raja : Jangan peralatkan Islam untuk dapatkan kuasa!

Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini bertitah Islam telah mula dijadikan instrumen bertujuan meraih pengaruh dan mendapatkan kuasa sehingga ke peringkat sedia berkompromi kepada prinsip-prinsip menyentuh akidah.

Pada masa sama baginda dalam titah ucapannya turut mengingatkan bahawa kemusnahan ummah bukan lagi menghadapi pencerobohan daripada Alfonso de Alburque atau Stamford Raffles atau Francis Light mahu pun Yamashita tetapi ia datang daripada pencerobohan baru melalui manipulasi fakta sejarah, mempersendakan lagu kebangsaan dan menghina bendera negara.

Baginda bertitah pencerobohan baru itu turut berlaku melalui perlanggaran penggunaan kalimah suci Allah yang telah sekalian lama menjadi hak eksklusif umat Islam tanpa menghiraukan sensiviti serta terhirisnya perasaan mereka.

''Nama suci Allah yang termaktub di dalam al-Quran diambil dan dijadikan terjemahan kepada perkataan God. Allah yang merupakan kalimah yang amat suci di kalangan umat Islam kini turut dinamakan kepada simbol pujaan agama lain.

''Kalimah suci Allah bukan sekadar nama am yang bermaksud Tuhan walau apa bentuknya. Kesucian kalimah Allah amat tinggi di sisi Islam. Kalimah tersebut apabila dicetak pada kertas, tidak boleh dipijak, tidak boleh dijadikan bahan bungkusan, tidak boleh dibawa ke dalam tandas. Allah adalah nama khas-Tuhan Maha Suci-Tuhan Maha Agong. Allah adalah satu-satunya," titah baginda.

Baginda bertitah ketika menyampaikan titah ucapan diraja yang bertajuk Majlis Agama Islam Pemacu Transformasi Ummah sempena Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia Kali Pertama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Sehubungan itu Raja Nazrin berkata, adalah amat merbahaya sekiranya prinsip asas agama diredakan untuk dijadikan bahan tolak ansur politik.

''Sesungguhnya insiden yang sedang berlaku itu merupakan ujian besar kepada umat Islam di bumi ini. Ujian yang mungkin sengaja diturunkan oleh Allah terhadap umat Islam, menguji keikhlasan kepimpinan Islam di bumi ini. Ujian Allah terhadap ketegasan umat Islam keseluruhannya sama ada di kalangan ulama, barisan kepimpinan, organisasi politik hatta raja-raja.

''Ini juga merupakan ujian terhadap ketegasan umat Islam dalam mempertahankan kalimah tauhid, keesaan ilahi, Allah yang satu lagi berkuasa atas segala-galanya dan Allah yang mengamanahkan kuasa di kalangan mereka yang telah ditentukan," titah baginda.

Dalam menghadapi cabaran besar ini baginda menyeru semua umat Islam berpegang dan yakin kepada kalam Allah yang terkandung dalam petikan ayat 26 surah Ali Imran yang bermaksud 'Katakanlah (wahai Muhammad) Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan. Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.

Raja Nazrin bertitah, yakinlah bahawa kuasa itu adalah amanah Allah kerana ia datang daripada Allah dan Allah sahaja yang boleh memberi berkat, memberi kekuatan untuk mempertahankan kesucian kalam tauhid.

''Hanya disebabkan politik, umat Islam janganlah sampai hilang pedoman untuk tidak menghalang kepada sesiapa sahaja 'mengAllahkan' apa sahaja yang mereka anggap tuhan. (Ia merupakan) satu keredaan yang membuka jendela kepada proses yang berpotensi menyimpangkan akidah," titah baginda.

Siapa yang makan cili, maka merekalah yang akan terasa pedasnya. Mudah-mudahan kita semua mengambil iktibar dari apa yang telah disampaikan oleh baginda Tuanku Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah. InsyaAllah.

Daulat Tuanku!

Juragan Malawati..

Ahad, 25 September 2011

Email dari bekas ahli PAS : Antara realiti dan sandiwara PAS!

Saya sering mengikuti ceramah anjuran parti pembangkang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Saya sanggup mendengar ceramah hingga ke luar daerah kerana tertarik dengan pelbagai isu hangat dan sensasi yang didedahkan oleh tokoh terkenal Pakatan Rakyat.

Selepas ceramah didengar, saya akan balik dan dengan bangganya mengulas dan memberitahu perkara yang ditimbulkan kepada rakan-rakan lain yang sealiran. Kadang-kadang membabitkan rakan lain yang tidak sealiran hingga timbul perbincangan dan perdebatan hangat.

Kami menghabiskan masa berjam-jam setiap kali berkumpul di warung untuk mengupas persoalan semasa, seolah-olah warung itu menjadi ‘mini Parlimen’.

Kami puas membelasah apa saja yang dilakukan oleh kerajaan, sepertimana penceramah pembangkang yang kami dengar memaki-hamun pemimpin kerajaan secara terbuka. Pendeknya kebencian lami sungguh mendalam dan meluap-luap hingga jika kami disuruh membakar Putrajaya pun kami sanggup.

Bagaimanapun keyakinan kami kepada pembangkang sedikit demi sedikit menjadi luntur tanpa kami sedari. Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin pembangkang dengan sendirinya menjadikan kami garu kepala yang tidak gatal. Malah kami gagal membela hujah pemimpin kami disamping gagal menangkis serangan dan bidasan oleh rakan kami yang tidak sealiran dengan kami.

Dari rancangan lama PAS untuk melelong Putrajaya, mengeluarkan Perlis dari Malaysia, mengharamkan BSKL, bekerjasama dengan DAP, memilih perempuan tidak cantik untuk bekerja, tindakan menyimpan dokumen rahsia kerajaan di luar negara dan bermacam-macam lagi agenda politik pembangkang benar-benar merimaskan kami. Ini termasuklah yang terbaru apabila Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu pula mengakui komunis adalah pejuang kemerdekaan!

Kami baru terfikir bahawa bercakap dan mengkritik memang mudah tetapi untuk melaksanakannya adalah satu hal yang lain. Macam-macam ikrar dan janji boleh dibuat sekarang, tetapi bolehkah ia diterima rakyat?

Seorang rakan saya dari Pantai Timur mencemuh pemimpin pembangkang yang hanya pandai menjelajah ke seluruh negara mencaci pemimpin dan dasar kerajaan dengan bahasa yang memualkan. Tapi katanya mereka ini mengata dulang paku serpih lagaknya. Kokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang tahi.

Katanya bagus sangatkah pemimpin pembangkang menjaga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen mereka? Menurutnya ada di antara mereka ini sukar ditemui. Apa tidaknya, saban malam berarak dari Perlis ke Sabah! Maknanya mereka ini bukan pemimpin berjiwa rakyat.

Sambungnya lagi ada di antara mereka ini berada dalam kebimbingan kerana bimbang pengundi tempatan akan menghukum mereka pada pilihanraya nanti. Sebab masa kempen tahun 2008, mereka janji tetapi lepas itu batang hidung pun susah nampak. Sesetengahnya sudah melobi untuk berpindah kawasan, supaya pengundi kawasan baru boleh digula-gulakan.

Berhubung soal ceramah pembangkang, kami juga senak perut mendengar kata-kata nista mereka apabila berceramah. Dalam masa kira-kira sejam, kita boleh kumpul lebih 20 kata kesat yang tidak sanggup saya senaraikan di sini. Saya hairan mereka berkelulusan agama dan ada yang boleh dipanggil ulama sanggup bertindak demikian. Tidak rasa bersalah ke?

Mana akhlak dan moral pemimpin berjiwa Islam? Apa perasaan mereka apabila orang lain melontarkan kata-kata sedemikian kepada mereka?

Yang pasti kalau kita harapkan peningkatan ilmu dan iman hasil daripada mendengar ceramah Pakatan Rakyat, maka kita akan kehampaan. Peliknya apabila kata-kata kesat dituju pada pihak kerajaan, disahut dengan takbir. Pada saya hal ini amat tidak kena.

Seperkara yang saya nampak pihak pakatan rakyat begitu yakin akan kejayaan mereka membentuk kerajaan selepas pilihanraya. Mereka mendakwa kemenangan sudah dalam tangan. Pastinya mereka terpukau dengan kehadiran puluhan ribu ketika berceramah. Mereka ingat parti pemerintah sudah kecut perut dan hanya ‘menghitung hari’ untuk jadi pembangkang selepas pilihanraya.

Ingin saya ingatkan mereka jangan terlalu yakin hingga mengundang rasa takbur. Cuba lihat ketika pilihanraya Sarawak yang lalu. Kehadiran sungguh hebat ketika Pas mengadakan caramah tetapi ada calonnya hilang wang pertaruhan.

Mahu dapat 300 undi pun amat perit. Begitu juga ceramah PKR yang tidak kurang hebat kehadiran orang ramai. Hinggakan media asing begitu ghairah melaporkan BN pasti kecundang. Tetapi realitinya tidak begitu dan BN kekal berkuasa.

Oleh itu suka saya menyeru rakan-rakan saya dalam pakatan rakyat supaya merenung semula hakikat sekarang. Betapa kita perlu bersyukur atas kestabilan politik, ekonomi dan social sekarang. Betapa keamanan dan keharmonian yang dibina sejak merdeka perlu dipertahankan kerana BN sudah menyediakan landasan pemerintahan berkongsikuasa yang telus dan penuh kejujuran.

Tiada jaminan langsung gabungan Pas, Keadilan dan DAP mampu bersatu kerana mereka mempunyai mimpi yang berlainan. Lihatlah sekarang timbul pula isu HUDUD sehingga membuatkan DAP mengugut untuk keluar dari Pakatan Rakyat!

Bagaimana hendak dicapai kestabilan pemerintahan nanti jika tiada parti dan pemimpin yang dominan. Bolehkah DAP menerima Hadi Awang atau Nik Aziz Nik Mat sebagai Perdana Menteri?

Atau adakah akan digilirkan setiap dua tahun antara Lim Kit Siang, Haji Hadi dan Anwar Ibrahim? Kita tunggu dan lihat badut politik ini bersandiwara tetapi yang pasti jangan beri undi kepada mereka dalam PRU ke-13 nanti!

Dulu Pas Sekarang UMNO
Oleh : Ibni Walid Hamzah

Juragan Malawati..

Sabtu, 24 September 2011

Apakah petanda ini?


Pesuruhjaya PAS Selangor Sertai Muhyiddin Yassin Di Meru?

Apa kata PAS Pusat dengan kehadiran Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman ( berbaju merah) di majlis anjuran BNBCC bersama rakyat di Meru, kawasan Parlimen Kapar, Selangor. Kalau nak dikatakan sebagai memenuhi protokol apabila TPM Muhyiddin Yassin berkunjung ke DUN yang diwakilinya, bagaimana pula dengan malam sebelumnya di Kuala Selangor ketika majlis yang sama diadakan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak! Tak nampak pula kelibat MB Khalid dan juga Ahli Parlimen Kuala Selangor YB Dzulkifli?



Dan lebih menarik lagi ketika upacara penutup, Dr Rani dijemput naik ke pentas untuk bersama-sama dengan Tan Sri Muhyiddin Yasin dan YB-YB Kelab Penyokong BN menyanyikan lagu 1Malaysia!

Alhamdulillah, ketika PAS bergelut dengan isu komunis yang dibawa oleh Timbalan Presidennya, Mat Sabu dan juga ketika Tok Guru Nik Aziz mula mendendangkan " lagu lama HUDUD ", Dr Rani dengan riang gembira menyambut kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin ke Pekan Meru. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada Dr.Rani? Selepas ini bolehlah memohon borang menyertai UMNO pula ya. Wallahuallam!

Juragan Malawati..

Khamis, 22 September 2011

Pesan PM - Jangan terpengaruh!

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat tidak perlu terpengaruh dengan janji-janji perubahan yang ingin dibawa oleh parti pembangkang sekiranya mereka dapat memenangi pilihan raya.

Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan, kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi telah berani melakukan perubahan dalam negara ini dengan melangkaui zaman.

“Kalau dikaji sejarah, kita tidak lari daripada prinsip yang mendahului zaman dan berani buat perubahan.

“Tidak perlu janji-janji perubahan kerana kita membawa perubahan dan kita laksanakan perubahan. Ini adalah pendekatan terbaik untuk rakyat dan bila kita berani berubah ia akan membuka minda dan membawa harapan baru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Pemimpin Bersama Rakyat dan Jamuan Aidilfitri di pekarangan pasar raya Tesco Kuala Selangor di sini malam ini.

Majlis tersebut sempena perasmian Perhimpunan Dwitahunan Kelab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BNBBC) di negeri ini sejak semalam dan berakhir esok.

Seramai 149 ADUN BN dari seluruh negara menyertai perhimpunan itu dengan masing-masing ditempatkan di 73 pusat daerah mengundi melibatkan 20 kawasan Parlimen di Selangor.

Hadir sama Pengerusi Kelab BNBBC Malaysia, Datuk Mohd. Nadzri Ismail; Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Mohd. Satim Diman yang juga Pengerusi BNBBC Selangor; Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar serta para pemimpin parti komponen BN.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, pembangkang cuba membawa platform perubahan melalui reformasi tetapi semua itu tidak ke mana.

“Banyak janji tidak ditunaikan dan tidak kurang juga pembohongan dan yang paling besar ialah pembohongan 16 September 2008 yang mengatakan pembangkang akan ambil alih pemerintahan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu semua wakil rakyat yang berkampung selama tiga hari di negeri ini agar dapat membantu memberi pandangan apakah perkara yang perlu diberikan perhatian.

“Kalau boleh dapat selesai secara adil dan saksama seperti di Kuala Selangor ada kawasan ladang yang masih tiada bekalan air bersih sebab ladang adalah milik swasta.

“Saya tidak fikir ini wajar dikekalkan, mesti cari jalan dan BN mesti lakukan sesuatu untuk bantu golongan terdesak,” katanya.

Terdahulu, Najib mahu semua wakil rakyat BN memberikan satu persepsi baru bahawa mereka berjiwa rakyat dan mempunyai perasaan rendah diri.

“Bukannya mereka itu istimewa tetapi setaraf dengan rakyat dan pendekatan ini akan dapat memenangi hati dan fikiran rakyat.

“Kalau ini sikap pemimpin BN, maka kita akan dapat sokongan lebih bulat apabila sampai masanya,” katanya.

Selepas majlis itu, Najib mengadakan dialog tertutup dengan anggota BNBBC di Bangunan UMNO Kuala Selangor dekat sini.

Juragan Malawati..

Rabu, 21 September 2011

240 ADUN BN berkampung di Selangor!

Nadzri Ismail (dua dari kanan) memperkatakan sesuatu kepada pengerusi dan setiausaha ADUN Barisan Nasional sebelum memulakan mesyuarat di Shah Alam, semalam.

Seramai 240 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dari seluruh negara berkampung di 45 kawasan DUN di negeri Selangor selama tiga hari bermula semalam dalam rangka perhimpunan dwitahunan ADUN-ADUN BN (BNBBC).

Perasmian program itu dijadual disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di pekarangan pasar raya besar Tesco Kuala Selangor pada pukul 8.30 malam ini.

Sepanjang program tersebut, seramai 150 orang ADUN BN akan turun padang dan tinggal bersama keluarga angkat masing-masing melibatkan sebanyak 73 kawasan pusat daerah mengundi (PDM) di seluruh negeri ini.

Program tersebut dilihat sebagai satu penggemblengan secara serius BN bagi menawan hati rakyat negeri ini sekali gus mengembalikan semula tampuk pemerintahan negeri ke tangan BN melalui Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Pengerusi Kelab BNBBC Malaysia, Datuk Nadzri Ismail berkata, melalui program perkampungan tersebut, semua ADUN yang terlibat berpeluang menyelami masalah rakyat secara dekat selain memberikan penerangan mengenai gagasan 1Malaysia.

''Program itu juga dapat merapatkan lagi hubungan di kalangan ADUN-ADUN BN dan menggabungkan idea dalam menyelesaikan masalah rakyat.

''Ini akan dapat menambahkan lagi kekuatan ADUN-ADUN BN dan kita akan memberikan fokus kepada 45 kawasan DUN di Selangor bagi membolehkan BN kembali menerajui pentadbiran negeri ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat UMNO Selangor di sini semalam.

Program perkampungan BNBBC itu bermula dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama masyarakat di seluruh 73 PDM membabitkan 20 kawasan Parlimen di Selangor malam tadi.

Pagi ini mereka akan bersarapan bersama keluarga angkat dan kemudian bertolak ke Kuala Selangor bagi menghadiri ceramah yang akan disampaikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad bertajuk Peranan dan Cabaran Terkini Wakil Rakyat pada pukul 3 petang nanti.

Selepas majlis perasmian perhimpunan itu dan jamuan makan malam bersama Perdana Menteri, wakil-wakil rakyat tersebut akan menghadiri sesi dialog tertutup bersama Perdana Menteri di Bangunan UMNO Kuala Selangor dekat sini.

Perasmian penutup pula akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Klang pada Jumaat ini.

Nadzri yang juga ADUN Manjoi, Perak berkata, perkampungan tersebut juga dapat memberi pendedahan kepada kesemua ADUN BN supaya mempelajari cara menghadapi keadaan sekiranya mereka tidak lagi menjadi pemerintah sebagaimana berlaku di Selangor.

Juragan Malawati..

Selasa, 20 September 2011

PRU ke-13 : Ketelusan penentu nasib BN!

Ketika berucap pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan pemimpin dan ahli-ahli parti itu supaya tidak melaksanakan 'program syok sendiri' dan tidak memberikan laporan yang tidak tepat berhubung situasi politik di kawasan mereka.

Peringatan Najib yang juga Pengerusi BN itu tepat pada masanya kerana sebarang amalan politik kepura-puraan semata-mata untuk menyedapkan hati 'bos' sudah berakhir. Pemimpin-pemimpin BN terutamanya di negeri-negeri yang ditawan oleh pembangkang seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan perlulah telus dalam berpolitik.

Mereka tidak boleh lagi mahu menggambarkan seolah-olah di bahagian atau negeri mereka baik-baik belaka dan seolah-olah kalau pilihan raya diadakan esok BN akan menang dengan cemerlang.

'Penyakit' kepura-puraan dan syok sendiri inilah yang membawa bencana kepada BN dalam Pilihan Raya Umum 2008. BN masih bernasib baik kerana Tuhan masih memberi peluang kepada parti itu memerintah Malaysia biar pun tanpa majoriti dua pertiga di Parlimen dan kehilangan empat negeri termasuk di Perak selama 11 bulan.

Tetapi pengajaran yang boleh dipelajari daripada situasi tersebut ialah pemimpin BN di semua peringkat terutamanya UMNO perlu jujur, telus dan ikhlas untuk melihat parti mencapai kejayaan.

Apa yang paling penting ialah kejayaan parti dan bukannya individu. Justeru sikap hipokrit dalam berpolitik dengan menggambarkan segala-galanya baik belaka dan rakyat sudah kembali kepada BN perlu dihapuskan. Kita tidak menafikan sokongan kepada BN kini semakin pulih tetapi ia belum mencapai sasaran yang diinginkan.

Sama ada pemimpin BN dan UMNO hendak mengakui atau tidak, selama ini parti itu sukar menawan atau mempertahankan sesuatu kawasan bukan kerana pembangkang kuat tetapi kerana kesilapan strategi dalam menghadapi pilihan raya. Ini termasuklah sikap hipokrit dengan mengatakan sesuatu bahagian itu tidak ada masalah dengan ungkapan ''kami bersatu padu dan bersedia menghadapi pilihan raya bila-bila masa.''

Hakikat di sesetengah bahagian - pemimpinnya di hadapan bersalaman, di belakang bertikaman sesama sendiri. Turut perlu difahami situasi politik sekarang bukan macam dahulu apabila jumlah sokongan diukur berasaskan kepada kehadiran pada majlis-majlis diadakan. Sekarang situasi beza, yang ada hadir belum tentu menyokong dan yang tidak datang bukannya tidak mengundi BN.

Mungkin bagi sesetengah ahli politik mereka berbangga apabila majlis-majlis anjuran mereka mendapat sambutan ramai, ribuan yang hadir tetapi apakah jumlah kehadiran itu akan mencerminkan keputusan pilihan raya nanti. Sudah pasti tidak!

Atas sebab itulah, ketelusan, kejujuran dan keikhlasan dalam membuat bacaan politik seperti mana kata Najib amat penting. Pemimpin-pemimpin BN dan UMNO tidak boleh lagi mengamalkan politik berpura-pura dan merasakan semuanya 'OK' belaka sedangkan sejarah sudah membuktikan 'yang OK itu,' akhirnya KO.''

Dalam soal ini sekali lagi, keikhlasan amat dituntut daripada ketua-ketua bahagian dan pengerusi perhubungan parti di setiap negeri agar mereka tidak berselindung dalam membuat laporan kepada pihak atasan. Jika sesuatu bahagian atau negeri itu ada masalah, mereka perlu berterus-terang dan bukannya menyatakan segala-galanya elok belaka.

Selain itu, salah satu perkara yang berkaitan dengan ketelusan juga ialah kejujuran untuk menyatakan kepada pucuk pimpinan parti berhubung masalah dalaman. Pemimpin-pemimpin di semua peringkat tidak boleh bersikap hipokrit dengan menyembunyikan masalah dalaman kerana ia ibarat membiarkan api terus membawa di dalam serkam.

Faktor kelemahan dalaman inilah sebenarnya turut menjadi salah satu punca kekalahan BN di Selangor, Kedah, Perak dan Kelantan dalam pilihan raya umum lalu.

Segala-galanya berlaku kerana banyak ketua-ketua bahagian khususnya UMNO berbalah sesama sendiri sehingga jentera pilihan raya parti tidak mampu bergerak dengan lancar. Akibatnya apabila pilihan raya berlangsung, maka BN tewas dan selepas itu barulah hendak menyesal tiga hari tiga malam.

Justeru dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang politik kepura-puraan, sikap hipokrit dan menyembunyikan fakta sebenar harus disingkirkan daripada sanubari semua pemimpin-pemimpin BN.

Jika benar pemimpin-pemimpin BN dan UMNO di peringkat bahagian dan negeri tidak mahu dimalu dan dipersendakan oleh pembangkang, maka mereka perlu bertekad untuk memberi laporan yang tepat kepada pucuk pimpinan parti.

Ia kerana jika mereka masih lagi belum mahu insaf dengan apa yang berlaku ketika pilihan raya umum lalu, maka tidak mustahil BN dan UMNO akan tewas lebih teruk lagi. Sebab itulah pemimpin-pemimpin BN perlu memandang serius peringatan Najib dan Muhyiddin. Jangan biarkan pembangkang yang tidak kuat menjadi bertenaga hanya disebabkan kelemahan dalaman BN sendiri.

Jika pemimpin-pemimpin BN mendengar nasihat Najib dan mematuhi panduan Muhyiddin sudah pasti BN akan mencapai kejayaan cemerlang dalam pilihan raya umum akan datang.

Apa yang penting jangan biarkan ketidaktelusan dalam memberikan laporan kepada pucuk pimpinan parti menyebabkan rakyat merasa muak dan kesempatan itu diambil oleh pembangkang untuk meraih kemenangan.-UM.

Juragan Malawati..

Isnin, 19 September 2011

Manifesto khas buat BN Selangor - Noh Omar!

Barisan Nasional (BN) Selangor akan memastikan manifesto khas negeri itu sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 sebagai sesuatu yang boleh diterima dan sesuai dengan persekitaran politik semasa di negeri itu.

Sambil melahirkan rasa terima kasih atas persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merangka manifesto khas itu, Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, manifesto khas tersebut penting sebagai tempat bergantung bagi rakyat Selangor selepas pilihan raya umum.

"Selain manifesto di peringkat kebangsaan, BN Selangor memerlukan manifesto khas ini sebagai harapan kepada rakyat Selangor untuk menyaksikan perubahan oleh BN pada pilihan raya akan datang," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada majlis Konvensyen BN Selangor di sini, semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai reaksi kepada persetujuan Najib yang juga Pengerusi BN Selangor untuk merangka satu manifesto khas bagi Selangor selain manifesto kebangsaan sebagai langkah untuk merampas semula negeri itu daripada pembangkang.

Najib memberi jaminan itu ketika berucap pada sesi penggulungan dalam majlis tertutup sempena Konvensyen BN Selangor yang diadakan di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Noh berkata, BN Selangor perlu menerima hakikat bahawa antara kelemahan utama parti itu adalah masalah persepsi di kalangan rakyat terhadap dasar yang dilaksanakan.

Kata beliau, rakyat Selangor lebih melihat apa yang diberikan BN sebagai hak mereka tetapi menganggap apa yang dihulurkan pembangkang pula merupakan satu bentuk bantuan.

"Sedangkan jika mahu dibandingkan, banyak perkara yang dijanjikan oleh pembangkang pada pilihan raya umum lalu tidak ditunaikan dan banyak pula bantuan yang kita berikan sebenarnya tidak kita janjikan pada pilihan raya lalu," katanya.

Ketika ditanya bagaimana untuk menangani masalah persepsi itu, Noh berkata, setiap parti komponen BN Selangor perlu melihat isu-isu yang dibangkitkan oleh rakyat Selangor mengikut keperluan yang berbeza.

Ini kerana tambah beliau, isu-isu yang dibangkitkan di kawasan bandar atau luar bandar misalnya adalah berbeza dan BN tidak boleh menanganinya menerusi pendekatan yang sama.

Juragan Malawati..

Sabtu, 17 September 2011

Amaran Najib! - Pemimpin dengan program 'Syok sendiri' antara punca BN tewas di Selangor?

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak menempelak pemimpin tertentu dalam parti itu yang masih menjalankan program "syok sendiri" dan memberi laporan tidak tepat berhubung sokongan masyarakat akar umbi.

Katanya, anggota parti itu sepatutnya sedar bahawa tindakan seperti itulah yang menyebabkan BN kehilangan Selangor dalam pilihan raya 2008.

Tambahnya, pemimpin berkenaan hanya "menipu diri sendiri" sekiranya melaporkan bahawa program yang diadakan itu merupakan satu kejayaan. Walhal ia hanya dihadiri oleh 300 orang di kalangan mereka sendiri, katanya ketika bercakap kepada kira-kira 3,000 orang yang hadir dalam konvensyen BN Selangor di Shah Alam hari ini.

"Jangan hantar laporan, 300 orang berhimpun, berjaya. Siapa 300 orang itu?

"Kalau 300 orang itu orang yang menentang kita, barulah berbaloi buat perhimpunan," katanya lagi dalam perhimpunan yang diadakan di Politeknik Sultan Abdul Aziz Shah.

Beliau turut menyebut mengenai satu program "Sirih Pulang Ke Gagang" yang akan dihadirinya selepas itu di kampus Universiti Teknologi Mara.

"Saya dengar banyak ribu nak masuk balik. Kalau betul, we are on the upward swing," katanya lagi.

Tambahnya, pemimpin akar umbi perlu memberi bacaan politik yang tepat ke atas kawasan masing-masing. Jangan tipu pemimpin di atas. Kalau (kawasan) hitam, jangan kata putih. Mesti beritahu betul-betul.

Laporan macam dulu tak boleh pakai lagi. Mesti dengan tindakan dan penilaian tepat dan jujur.

"Bukan nak sedapkan kita saja. Kita rasa kita cukup kuat. Tapi kalau laporan kita betul, kita tak akan kalah di Selangor, kita boleh buat tindakan pemulihan," katanya lagi.

Beliau dalam pada itu turut menyeru kepada jentera parti itu supaya menjalankan kerja berterusan.

"Jangan harap pada kerajaan, pada (Jabatan) Penerangan, pada JASA (Jabatan Hal Ehwal Khas), pada KEMAS sahaja," katanya.

Dengan nada yang serius, Najib turut menggesa pemimpin berkenaan menumpukan usaha untuk meraih sokongan daripada golongan muda.

"Pada orang muda, kita mesti dilihat parti yang cool... Dia kena panggil 'bro' (saudara).

"Kita mesti ada pendekatan yang cool supaya kumpulan 'bro-bro' ini sokong kita," katanya lagi.

Najib turut mengulangi gesaannya supaya pemimpin di negeri itu insaf dengan kedudukan BN sebagai pembangkang di Selangor pada waktu ini.

"Kalau nak tubuh kerajaan, kita hendak semua ahli kita sokong BN. Tapi ada yang kita semak, yang khianati kita ni ahli kita sendiri," katanya.

Turut hadir di program itu ialah timbalan pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar serta pemimpin parti komponen lain termasuk Datuk Seri G Palanivel, M Kayveas dan Kohilan Pillay.

Juragan Malawati..

Rabu, 14 September 2011

UMNO Selangor saman S/U Agung Pas RM10 juta!


UMNO Selangor hari ini memfailkan saman terhadap Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, akhbar Harakah dan empat lagi yang didakwa memfitnah parti itu melalui satu artikel bertajuk 'Pas akan dedah bukti, UMNO main peranan operasi JAIS'.

Saman itu difailkan oleh Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed yang bertindak sebagai plaintif di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Mengikut writ saman, plaintif menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta serta lain-lain perintah mahkamah berhubung penyiaran artikel itu dalam Harakah edisi 19-21 Ogos lalu.













Juragan Malawati

Isnin, 12 September 2011

Benarkah biaDAP banyak berjasa kepada hamPAS!

Akhbar China Press terbitan 8 September 2011 lalu telah menyiarkan artikel mengenai hakikat bahawa DAP telah banyak berjasa untuk membantu memperkukuhkan kedudukan PAS di negara ini.

Artikel tulisan Goh Chee Chong bertajuk ‘‘PAS Melangkah Keluar Dari Pantai Timur’’ disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai, halaman C15.

Baru-baru ini, PAS telah melaungkan propaganda mereka untuk mengorak langkah keluar dari negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang selama ini menjadi kubu kuatnya. Sehubungan itu, pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang, PAS berhasrat bertanding di 60 kerusi Parlimen yang turut melibatkan negeri-negeri di Pantai Barat.

Jumlah kerusi yang akan ditandingi itu adalah berlipat kali ganda lebih banyak berbanding bilangan sedia ada sebanyak 23 kerusi. PAS sebelum ini hanya berpusing-pusing di kawasan Pantai Timur. Sebelum tsunami politik ketika PRU 2008, PAS hanya bertapak di Kelantan dan Terengganu, kerana parti itu tidak dapat meracuni idea mereka kepada penduduk di negeri-negeri lain.

Namun pada hari ini, PAS telah menyatakan hasrat untuk bertanding lebih banyak kerusi Parlimen. Kenapa pengaruh parti itu semakin meningkat dan siapakah yang membimbing serta melatih mereka?

Tidak boleh dinafikan, DAP adalah parti yang berjasa dan telah banyak membantu dalam memperkukuhkan penguasaan PAS. Dahulu PAS hanya dapat mengutip sebahagian kecil kerusi dari kawasan UMNO. Parti itu langsung tidak mendapat sokongan daripada pengundi kaum Cina, sebab itu PAS hanya boleh ‘bermain’ di kawasan Pantai Timur sahaja.

Selepas PAS bergabung dengan DAP, ia telah berjaya menarik pengundi kaum Cina menyokong PAS. Kini PAS telah mendapat sokongan majoriti kaum Cina dan minoriti kaum Melayu. Dengan sokongan penuh kaum Cina, PAS telah menang banyak kerusi Parlimen. Sebaliknya, DAP tidak menerima sebarang kebaikan hasil gandingannya dengan PAS.

Selepas PAS menang banyak kerusi Parlimen, parti itu tidak langsung berusaha untuk menjaga imej DAP di kalangan kaum Cina. PAS nampaknya tidak mengambil berat terhadap kehendak masyarakat Cina dan ia terbukti apabila parti itu dengan berkobar-kobar melaungkan hasrat untuk mewujudkan negara Islam.

Di Kedah, kerajaan PAS yang memerintah telah menutup pusat penyembelihan khinzir. Ia juga mengubah nama-nama pada papan tanda jalan kepada tulisan Jawi dan mengasingkan antara lelaki dan perempuan.

Sementara itu di Selangor, pemimpin PAS turut terlibat melarang penjualan arak, memindahkan pusat jualan nombor ekor dan secara mengejut menggeledah majlis makan malam gereja. Ini semua rancangan rapi PAS selepas tsunami politik 2008.

Sehubungan itu, kita ingin bertanya berapa banyak taktik yang telah dirangka DAP untuk menghalang isu-isu berkenaan daripada dicetuskan oleh pemimpin PAS? Dengan bantuan DAP, tidak dinafikan PAS telah dapat mengorak langkah keluar dari Pantai Timur.

PAS juga telah mencatatkan sejarah di Kelantan, Terengganu, Perak dan Kedah, apabila wakil parti itu telah dapat menjawat jawatan menteri besar di keempat-empat negeri itu. Hari ini, PAS juga dengan bangga telah menyatakan hasrat untuk mengambil alih kuasa Kerajaan Pusat pula.

Sekarang apa yang kita mahu lontarkan kepada PAS, jika DAP tidak membantu parti itu dengan tiket-tiket undi kaum Cina, tidak mungkin ia akan berada dalam kedudukan seperti hari ini. Adalah jelas, PAS telah terhutang budi kepada DAP. Oleh itu, parti itu sepatutnya menghormati DAP.

Sudah tentu, masyarakat Cina percaya bahawa DAP boleh menguruskan dan mengimbangi kuasa PAS dengan baik. Tetapi DAP perlu faham dengan lebih jelas bahawa usahanya untuk mengimbangi kuasa PAS itu masih jauh. Jika dibiarkan terlalu lama, masyarakat Cina tidak boleh bersabar menunggunya.

Kita dapat melihat untuk apa PAS melalui Timbalan Presidennya, Mat Sabu bermati-matian mengungkitkan mengenai siapa pejuang kemerdekaan dengan menyokong Mat Indera seorang komunis kalau bukan kerana hendak membalas budi baik DAP? Mereka masih menyimpan hasrat jika perjuangan komunis diiktiraf, maka harapan untuk membawa balik Chin Peng adalah cerah apabila mereka berjaya memerintah nanti. Fikir-fikirkan lah wahai anak bangsaku sebelum terlambat. Wallahuallam.

Juragan Malawati..

Surat terbuka untuk Mat Sabu!

Gambar anggota polis dan petikan berita serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong.


Sebagai rakyat yang cintakan negara, kami sanggup mempertaruhkan nyawa dan darah.

Untuk pengetahuan Yang Berhormat (YB), kami adalah bekas anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) 1/72 yang berkhidmat di Sarawak sejak tahun 1972 hingga 1981 yang ditempatkan di Batalion 14, Batalion 15 dan Batalion 16. Kemudian di Sabah iaitu Batalion 17 dan Batalion 18.

Apakah Mat Sabu menidakkan perjuangan kami yang telah mengorbankan nyawa dan kecederaan tubuh badan sehingga kekal ke hari ini? Termasuk memperlekehkan pengorbanan anggota keselamatan yang gugur dalam mempertahankan negara seperti mana peristiwa berdarah di Bukit Kepong?

Tahukah Mat Sabu bahawa serangan pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Muar yang di bawah pentadbiran OCPD Khalid Dato’ Kelana Putra dan Supritendan H.M. Strenthen pada 23 Februari 1950 adalah satu sejarah perjuangan murni rakyat yang cintakan negara.

Mereka sanggup berjuang sehingga ketitisan darah terakhir demi kedaulatan dan maruah negara.

Peristiwa Bukit Kepong adalah tragedi pilu bermandi darah dan air mata yang mengorbankan 26 nyawa terdiri daripada 19 anggota polis, 2 orang isteri dan 2 orang kanak-kanak serta 2 orang awam.

Ingin diperingatkan kepada Mat Sabu iaitu tarikh tersebut adalah hari kedua Tahun Baru Cina. Seramai 180 orang komunis telah mengepong dan menyerang Balai Polis Bukit Kepong dengan kekuatan hanya 18 anggota polis dan tiga sukarelawan diketuai oleh OCS Sarjan Jamil. Mereka berjuang hampir empat jam setengah mempertahankan diri, balai dan maruah.

Komunis bertindak ganas dan zalim dengan membakar berek dan balai polis. Terdapat di sana sini mayat anggota polis bergelimpangan dengan keadaan yang mengerikan. Tubuh badan mereka hangus terbakar. Sia-siakah pengorbanan mereka wahai YB?

Dalam usaha banyak pihak termasuk bekas pejuang lampau, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pencinta keamanan yang tampil dengan laporan polis, maka di sini disenaraikan mereka yang gugur dalam kekejaman komunis, biar Mat Sabu tidak terus mencarut dan celupar mulut melukai hati kami dan waris yang terkorban.

1. SJN 3493 JAMIL MOHD SHAH

2. KPL 7068 MOHD. YASSIN WAHAB

3. KPL 7186 JIDIN OMAR

4. KON 9136 HASSAN OSMAN

5. KON 5674 ABU MOHD. ALI

6. KON 3933 HAMZAH AHMAD

7. KON LAUT 60 IBRAHIM ADAM

8. KON LAUT 68 AWANG ALI

9. KON LAUT 181 BASIRON ADAM

10. KON 7493 MUHAMMAD @ AHMAD JAAFAR

11. KON 7862 ABDUL KADIR JUSOH

12. KON 8600 JAAFAR HASSAN

13. EPC 3795 JAAFAR ARSHAD

14. EPC 3475 MOHD. TOP LAZIM

15. AP 2130 SAMAD YATIM

16. AP 1912 MAHMUD SAAT

17. AP 1925 ALI AKOB

18. AP 2098 REDZUAN ALIAS

19. AP 2127 OTHMAN YAHYA

KELUARGA POLIS TERKORBAN

20. FATIMAH YAABA - Isteri

21. HASSAN ABU BAKAR - Anak

22. SAADIAH - Isteri

23. ARAFAH YUSOFF - Isteri

24. SIMAH ABU BAKAR - Anak

ORANG KAMPUNG TERKORBAN

25. EMBONG LAZIM

26. KOH AH CHENG

Cuba Mat Sabu bawa bertenang, yang terkorban adalah anak bangsa dan sesama agama. Siapa lagi yang sanggup mempertahankan negara kalau bukan sebangsa Mat Sabu baik dulu, sekarang dan masa hadapan?

Bagaimanakah sekiranya di antara yang terbujur kaku itu adalah anak YB? Semua yang terkorban, mahupun waris tidak kenal siapa itu Mat Sabu.

Malah mereka juga tidak minta Mat Sabu melawat ke pusara atau mengalung bunga atau melawat mereka yang masih hidup. Cakap kasarnya, mereka tidak pernah menyusahkan sesiapa. Mereka hanya pejuang di waktu itu demi kesejahteraan negara. Kenapa YB memperlekehkan dan memperlecehkan mereka yang berkorban dengan darah dan nyawa?

Mudah-mudahan selepas membaca surat terbuka ini, YB tidak terus mencemuh panjang ke atas pejuang lampau termasuk kami dan rakan-rakan seperjuangan yang meredah hutan belantara Sarawak dan Semenanjung sehingga Mat Sabu dapat menghirup udara bahagia dan hidup selesa hari ini.

Buatlah muhasabah diri. Jangan nanti sebab mulut badan binasa. Tidak mengejutkan jika semua bekas pejuang yang berselerak di segenap pelosok negara bangun dan bertindak. Tetapi kami tidak akan lakukan sebab kami masih waras. Masih boleh berfikir secara bijaksana.

Kepada semua pencinta keamanan dan kesejahteraan, tolong tepuk dada tanya diri sendiri. Inikah yang dikatakan jiwa pemimpin yang hendak kita sandarkan harapan? Jauh panggang dari api. Bertaubatlah wahai Mat Sabu!

Kami mohon kepada ALLAH S.W.T. semoga jiwa Mat Sabu tidak terus bercelaru. Jadilah pemimpin yang budiman dengan memohon maaf sebab tidak ada manusia yang sempurna. Pasti ada cacat celanya.

MAZLEE JAAFAR
Bekas PPH 1/72
Ras Com Sibu, Sarawak

Juragan Malawati..

Khamis, 8 September 2011

Mat Indera adalah militan PKM!

Mat Indera atau nama sebenarnya Ahmad bin Indera adalah anak Johor yang terlibat dengan gerakan-gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British sebelum Tanah Melayu beroleh kemerdekaan.

Beliau pada awalnya, seperti individu-individu lain juga telah berjuang atas platform masing-masing, dengan matlamat yang sama iaitu membebaskan negara daripada belenggu penjajahan.

Bezanya, Mat Indera melibatkan diri dalam gerakan haluan kiri dengan menjadi ahli kepada sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Haji Muhammad.

Sayap pemuda PKMM dikenali sebagai Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestamam. Haluan kiri ini termasuk juga gerakan Parti Komunis Malaya (PKM) yang mempengaruhi pelbagai gerakan buruh dan masyarakat awam.

Apabila pihak berkuasa British menguatkuasakan Undang-Undang Darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu (selepas tindakan militan dan ganas PKM membunuh peladang British), semua parti politik berhaluan kiri seperti PKMM, AWAS, API dan PKM telah diharamkan.

Oleh itu, ramai ahli gerakan haluan kiri ini memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM ataupun meneruskan hasrat berjuang di atas platform lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Perjuangan melalui parti dan gerakan (UMNO) yang sah itu adalah lebih teratur dan meluas dengan melibatkan pelbagai pertubuhan Melayu di Semenanjung, yang akhirnya berjaya menuntut kemerdekaan tanah air dan membina sejarah serta melangsungkan tamadun moden pasca merdeka di negara ini.

Bagaimanapun Mat Indera telah memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British.

Tindakannnya terus menyertai PKM dan menyertai gerakan militan adalah haram, tidak sah dan tidak benar dengan menggunakan taktik kekejaman dan kezaliman, sehingga menyebabkan dia termasuk dalam golongan yang bertindak secara salah dan terpesong.

Ini berlainan dengan para pemimpin haluan kiri yang lain seperti Dr. Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad ataupun Ibrahim Yaakub yang tidak memilih untuk bertindak secara militan.

Kemuncak penglibatan Mat Indera dalam gerakan ganas dan kejam PKM itu adalah peristiwa serangan komunis ke atas balai polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Februari 1950.

Fakta yang diperolehi daripada pelbagai sumber oleh sebilangan penyelidik ilmiah mengenai peristiwa itu menunjukkan bahawa Mat Indera telah merancang operasi ganas tersebut terhadap pegawai-pegawai polis British, tetapi telah diingkari oleh anggota di bawah kepemimpinannya yang menyerang dengan kejam semua sekali anggota polis dan keluarga mereka di balai polis Bukit Kepong.

Sebagai seorang daripada pemimpin rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya yang diharamkan, Mat Indera adalah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan tersebut.

Natijahnya, dia telah dianggap oleh penduduk tempatan di kampungnya sebagai pengganas yang kejam dan zalim, sehingga mengancam ketenteraman dan keselamatan orang awam di tanah air.

Sedangkan ketika itu orang lain sedang bertungkus-lumus berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan dengan kaedah yang lebih wajar, benar dan aman yakni melalui rundingan, bukan melalui kekejaman dan keganasan PKM yang memusnahkan nyawa, jiwa dan harta benda negara.

Mat Indera juga didapati berusaha keras mempengaruhi dan mengajak rakyat Melayu untuk menyertai kegiatan haramnya dalam gerakan PKM yang mempunyai cita-cita yang lebih buruk dari 'Malayan Union' British sebelum itu.

Komunis memang menentang pentadbiran British di Tanah Melayu secara militan bersenjata untuk menubuhkan 'People's Democratic Republic of Malaya' yang membawa natijah penghapusan kedaulatan Melayu di tanah airnya dan penguasaan bangsa asing di negeri Melayu.

Malaysia yang pada ketika itu dengan nama Persekutuan Tanah Melayu sangat-sangat bertuah kerana ramai penduduk tidak menyokong PKM, sebaliknya bersama-sama pasukan kerajaan membanteras kekejaman pengganas komunis.

Itulah yang berlaku sehingga tertangkapnya Mat Indera apabila kepemimpinan peringkat masyarakat di Kampung Parit Baru, Seri Medan sendiri yang merancang dengan kerjasama polis untuk memerangkap dan memberkasnya ketika dia datang ke kampung berkenaan.

Akhirnya Mat Indera telah berjaya ditangkap dan dijatuhi hukuman mati kerana peranannya dalam tindakan ganas dan jenayah membunuh dengan kejam sebagai anggota pergerakan komunis militan dan teroris yang diharamkan sehingga ke hari ini.

Sokongan penduduk ini memberi sumbangan besar yang menyebabkan pengganas komunis gagal mencapai cita-cita mereka iaitu menubuhkan Republik Komunis Malaya.

Dalam hal ini, sudah tentu perjuangan pengganas komunis amat berbeza sekali dengan perjuangan UMNO yang diasaskan oleh Dato' Onn Jaafar dan diteruskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, iaitu menuntut kemerdekaan melalui rundingan dan menubuhkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu berdaulat berlandaskan Demokrasi Raja Berpelembagaan.

Berdasarkan fakta-fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong itu, Mat Indera adalah dengan sengaja dan sedar menjadi anggota gerakan pertubuhan besar pengganas komunis PKM, sebagai Ketua Regimen ke-10, yang kejam serta zalim serta mengancam keselamatan dan ketenteraman orang awam pada ketika itu.

Dia bukan seorang 'pejuang' untuk mendapatkan kemerdekaan negara yang pada masa itu sedang diusahakan secara rundingan aman dan lebih berhemah serta bertamadun.

Sehingga hari ini, ketika rakyat negara ini sudah merdeka dan berkerajaan sendiri sejak 1957, gerakan PKM tetap diharamkan. Gerakan itu diharamkan kerana cita-cita komunisme yang bertentangan dengan ajaran Islam, ketuhanan dan bersifat menindas perbezaan pendapat dalam sistem demokrasi, walaupun sudah ada perjanjian perletakan senjata parti itu di Betong (Thailand) dengan kerajaan Malaysia pada 1989.

Dari sudut kegiatan Yayasan Warisan Johor (YWJ) segala kajian, penulisan dan catatan yang berhubung sejarah negeri, termasuk perjalanan hidup watak-watak seperti Mat Indera, adalah data-data kemasyarakatan berkaitan seorang anggota masyarakat yang pernah menonjolkan diri dalam peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku di negara ini, khususnya di negeri Johor dalam perjalanan sejarah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Penulisan dan catatan tersebut adalah menjadi bahan-bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik yang diamalkan olek kerajaan Malaysia kini, untuk mengayakan lagi khazanah maklumat dan rakaman-rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi demi generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan masa akan datang.

Oleh : DATUK ABDUL GHANI OTHMAN
Menteri Besar Johor

Juragan Malawati..

Selasa, 6 September 2011

Mat Sabu, Bukit Kepong dan Pas!

Pendapat Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu (Mat Sabu) bahawa gerombolan pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong adalah pejuang kemerdekaan dan hero sebenar peristiwa tersebut dan bukannya anggota polis yang mempertahankan balai itu dengan nyawa mereka bolehlah disifatkan sebagai satu usaha untuk menulis semula sejarah negara.

Dalam rangka yang lebih besar ia merupakan percubaan bagi mengabsahkan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) dan melakar perjuangan komunis sebagai perjuangan yang mulia.

Taktik Mat Sabu tidak menyebut perkataan komunis dan sebaliknya hanya menyebut nama Mat Indera dalam ceramahnya adalah suatu taktik halus sama seperti kaedah yang pernah diguna pakai PKM dalam mengumpan sokongan masyarakat Islam satu ketika dahulu.

Strategi diguna pakai PKM ini berasaskan kesedaran bahawa jika wajah sebenar komunisme yang menolak kewujudan Tuhan dan menganggap agama sebagai candu masyarakat didedahkan kepada orang Melayu, maka amat sukar bagi mereka untuk menerima atau menyokong ideologi tersebut.

Lantas untuk mengaburi mata umat Islam maka golongan Marxis-Leninist-Maoist menjadikan retorik perjuangan kemerdekaan daripada penjajahan British sebagai umpan utama untuk menarik sokongan orang Melayu.

Dalam hal ini, matlamat besar Mat Sabu adalah untuk merenggangkan hubungan parti UMNO dan sejarah perjuangan merebut kemerdekaan daripada penjajah British. Sebagai alternatif kepada peranan UMNO maka peranan PKM dipilih sebagai hero dan pejuang sebenar kemerdekaan dan oleh kerana komunisme itu sensitif di kalangan umat Islam maka Mat Indera digunakan sebagai contoh perlambangan yang perjuangannya disamakan dengan perjuangan Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong malah yang lebih dahsyat perjuangan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW sendiri. Sejarah yang ada pada hari ini pula dimomokkan sebagai sejarah yang dilakarkan oleh penjajah dan parti pemerintah.

Bagi mengetahui sama ada tuduhan ini benar atau tidak, kita perlu melaksanakan satu ujian sejarah alternatif. Berdasarkan fakta, kita boleh melukis hala tuju sejarah jika dikatakan PKM yang berjaya menghalau pihak British dari Tanah Melayu.

Mat Sabu menyembunyikan hakikat bahawa jika PKM berjaya 'membebaskan Malaya' maka ia akan mendatangkan tiga kesan utama. Pertamanya corak pemerintahan Malaya tidak mungkin berasaskan pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, di sebaliknya Malaysia akan berubah menjadi sebuah republik dengan kediktatoran satu parti manakala Raja-Raja Melayu dinyahtakhtakan.

Kedua, kehidupan beragama akan dihapuskan seperti mana lazim di negara-negara komunis, Islam tidak mungkin menjadi agama rasmi sebaliknya fahaman ateisme-sekular akan menjadi pegangan negara. Dalam situasi ini Parti Pas tidak mungkin wujud.

Ketiga, Tanah Melayu akan dipimpin oleh Setiausaha Agung PKM kerana sebagai pemimpin tertinggi PKM sudah tentu beliau akan memegang jawatan sama ada sebagai Ketua Negara atau Ketua Kerajaan. Jika ketiga-tiga hakikat ini direnung, tidak mungkin ada orang Melayu yang akan sanggup menyertai atau menyokong Parti Komunis.

Adalah amat dangkal dan tidak bertanggungjawab bagi sesetengah pihak dalam usaha mempertahankan pendapat Mat Sabu menyamakan perjuangan komunis dengan perjuangan Tok Janggut di Kelantan atau Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu yang menentang penjajahan British. Perbezaannya amat ketara - kedua-dua mereka tidak pernah sekali-kali mahu mendirikan sebuah republik dan menurunkan Raja-Raja Melayu daripada takhta.

Tidak berniat sekalipun untuk menghapuskan agama Islam sebagai agama dominan Tanah Melayu dan tidak rela sama sekali menjadi daie kepada fahaman ateisme atau pernah terfikir untuk menjadikan bangsanya sendiri sebagai bangsa terpinggir.

Perjuangan komunisme menentang British di Tanah Melayu juga tidak boleh sama sekali disamakan dengan perjuangan Nabi Muhammad SAW menentang Arab Jahiliyah atau pembukaan Kota Mekah. Kenapa pihak-pihak tertentu mahu menyamakan 25 anggota polis dan keluarga yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong yang semuanya beragama Islam dengan Arab Jahilliyah yang tidak menerima malah memerangi agama tauhid.

Bukankah kesemua pengganas komunis kecuali Mat Indera (itu pun perlu dikaji sama ada beliau masih beragama Islam ketika itu) adalah ateis yang bencikan agama serta menafikan kewujudkan Tuhan.

Siapakah yang berfikiran waras yang mahu menyamakan perjuangan mulia Nabi Muhammad SAW dengan sifat kebinatangan Kompeni Bebas ke-4 yang membunuh wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

Pada awal tahun 1950-an satu-satunya parti yang mengerakkan usaha-usaha untuk mendapatkan kemerdekaan adalah UMNO. Ada yang mendakwa bahawa pemberontakan bersenjata PKM mempercepatkan pihak British memberikan kemerdekaan kepada Malaya.

Jika PKM benar-benar memperjuangkan kemerdekaan negara, kenapa apabila kita mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957, PKM tidak mahu meletakkan senjata. Malahan mereka terus mengganas dengan membunuh orang awam, polis dan tentera? Kenapakah Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman Hashim mantan Ketua Polis Negara dibunuh oleh komunis 17 tahun selepas negara mencapai kemerdekaan. Bukankah beliau berkhidmat untuk sebuah kerajaan merdeka dan dipilih rakyat.

Hakikatnya kenapa menunggu sehingga Disember 1989 baru PKM mahu meletakkan senjata iaitu 32 tahun selepas merdeka. Kepada PKM, ia bukan soal menentang penjajah, bagi mereka kemerdekaan sebenar hanya dicapai apabila parti mereka berkuasa mutlak, apabila sebuah republik dengan kediktatoran satu parti didirikan di bumi ini dengan berkiblatkan ideologi komunisme dan apabila akidah Islam serta agama-agama lain dihapuskan dari hati sanubari rakyat.

Janganlah kita apabila memberikan pendapat cuba mengambil sikap tidak jujur dari segi intelektual dan cuba menulis semula sejarah untuk disesuaikan dengan agenda sempit.

UMNO dituduh parti berhaluan kanan yang disenangi penjajah, Presiden-Pengasas UMNO Allahyarham Dato' Onn dan Bapa Kemerdekaan Almarhum Tunku Abdul Rahman dituduh tali-barut Inggeris. Hakikatnya bukankah Dato' Onn telah meletakkan jawatan daripada perkhidmatan awam negeri Johor dan Tunku sebagai Timbalan Pendakwaraya untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara.

Kedua-duanya telah mengorbankan kesenangan serta keselesaan peribadi demi pertiwi. Oleh itu jangan sekali-kali dihina sumbangan mereka, jangan dicerca khidmat bakti mereka. Pendek kata jangan jadi manusia yang tidak mengenang budi.

Ada pula yang mahu mendewa-dewakan perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sebuah parti berhaluan kiri dalam usaha memperlekehkan parti UMNO. Tetapi siapa yang berani menceritakan kebenaran bahawa Presiden PKMM yang pertama iaitu Mokhtaruddin Lasso ialah seorang komunis. Begitu juga sebahagian besar ahli jawatankuasanya menganut fahaman komunisme. Bukankah dasar wahid PKMM dari lapan dasar yang diluluskan di kongres pertamanya di Ipoh dari tanggal 30 November hingga 3 Disember 1945 ialah mempersatu padukan bangsa Melayu, menanamkan semangat kebangsaan dalam sanubari orang Melayu dan bertujuan untuk menyatukan Malayadalam keluarga yang besar iaitu Republik Indonesia Raya.

Jika tercapai matlamat itu, maka hari ini agama Islam tidak akan menjadi agama rasmi negara, Raja-Raja Melayu akan diturunkan takhta dan assimilasi berbanding integrasi akan menjadi panduan kepada dasar perhubungan kaum di negara ini.

Percubaan historical revisionism oleh Mat Sabu ini perlu dilihat dari konteks yang lebih luas. Ia sebenarnya adalah percubaan fraksi 'Anwarisme' dalam Pas untuk menjadikan parti tersebut lebih diterima oleh orang bukan Islam, terutama oleh rakan pembangkangnya DAP.

Langkah pertama mereka telah berjaya dicapai apabila Mat Sabu menang jawatan Timbalan Presiden Pas mengalahkan penyandang dari kalangan ulama. Akibatnya dasar kepimpinan ulama yang dibawa generasi Allahyarham Yusof Rawa dan Fadzil Noor telah diketepikan. Mat Sabu sudah tentu bukan seorang ulama sama ada dari segi ilmu mahupun pembawaan.

Kedua, golongan ini telah berjaya menukar matlamat perjuangan Pas daripada negara Islam kepada negara berkebajikan. Sepatutnya umat Islam menitiskan air mata sebak mengenangkan selama 30 tahun akibat amanat Haji Hadi Awang, individu telah dikafirkan berdasarkan pendirian sama ada mereka menyokong konsep negara Islam yang dibawa Pas atau tidak.

Amanat ini telah memecahbelahkan umat Islam sehingga berlaku pertelingkahan antara ibu bapa dan anak-anak, antara suami dan isteri, antara adik-beradik, antara jiran tetangga dan antara ahli kariah.

Namun hari ini demi kepentingan politik dengan sekelip mata Pas tanpa segan silu ataupun memohon maaf kepada mereka yang dizalimi akibat amanat Haji Hadi dengan mudah menggugurkan perjuangan negara Islam dan sebaliknya digantikan dengan konsep negara berkebajikan yang telah dipelopori UMNO semenjak merdeka lagi.

Ketiganya apabila Pas sanggup menjadi Pak Turut dan Pak Sanggup DAP. Hari ini ukhuwah umat Islam tidak penting, DEB atau sebarang dasar afirmatif tidak adil, kedudukan bahasa Melayu tidak perlu, kedudukan agama Islam mampu dikompromi kerana yang penting adalah kuasa dan kedudukan.

Segala-galanya hatta prinsip serta teras perjuangan boleh dikorbankan demi matlamat rakus tersebut.














Oleh : DATUK IRMOHIZAM IBRAHIM
Fellow Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak), Universiti Teknologi Mara dan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia.

Juragan Malawati..

Isnin, 5 September 2011

Peguam Negara diminta bertindak ke atas Anwar!

Peguam Negara diminta mengambil tindakan ke atas Anwar Ibrahim yang secara terang-terangan memburukkan institusi kehakiman dan hakim perbicaraan di hadapan orang awam.

Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Irmohizam Ibrahim (gambar bawah) berkata, kenyataan pembelaan Anwar yang dibuat dari kandang tertuduh dengan tidak bersumpah boleh disifatkan sebagai tuduhan melampau yang merupakan penghinaan terhadap mahkamah.

Katanya, dalam konteks undang-undang, perbuatan Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu sebenarnya seperti menghina mahkamah serta mencabar kewibawaan hakim dalam mengendalikan kes berkenaan.

“Sepatutnya, Peguam Negara harus ambil tindakan tegas dengan mengenakan tuduhan menghina mahkamah di mahkamah lain terhadap tindakan Anwar itu kerana ia boleh mencabar integriti dan kredibiliti sistem perundangan dan kehakiman Malaysia yang telah diamalkan sejak merdeka.

“Janganlah dibiarkan tindakan beliau itu sebagai contoh oleh tertuduh lain di mahkamah nanti. Adakah tindakan Anwar seperti menunjukkan imuniti beliau terhadap kes itu?” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas wawancara Mingguan Malaysia bersama peguam terkemuka, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang menyatakan kenyataan Anwar merupakan penghinaan mahkamah paling serius yang pernah diketahuinya.

Irmohizam yang juga pensyarah di Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara berkata, tindakan melampau itu secara tidak langsung akan menjadi contoh yang tidak baik kepada generasi muda.

“Peguam Negara janganlah bertangguh dalam setiap tindakan agar mahkamah tidak dijadikan pentas untuk meraih sokongan politik.

“Anwar seperti ingin menggunakan mahkamah seperti pentas politik peribadi berbanding untuk mendapatkan kebenaran atas pertuduhan liwatnya. Pada hemat saya, perbuatan beliau itu mencabar prinsip rule of law dan kedaulatan undang-undang,” jelasnya.

Kata Irmohizam lagi, prinsip Rukun Negara mesti dipertahankan dan kedaulatan undang-undang mesti menjadi pegangan setiap warga Malaysia.

Sementara itu, pakar undang-undang, Prof. Salleh Buang berkata, sesiapa sahaja boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah walaupun memberi kenyataan di dalam mahkamah yang mendapat absolute privilege asalkan kenyataan itu termasuk dalam kategori mengaibkan mahkamah.

Juragan Malawati..

Mat Sabu - Fikiran kontot, tafsiran dangkal?

Setelah meneliti ucapan Mohamad Sabu atau Mat Sabu dalam YouTube. Memang beliau seorang tokoh penglipur lara politik yang sifatnya menghibur. Soal benar atau tidak fakta yang dibawanya, tidak diambil kira. Yang penting pendengar akan tidak kering gusi dengan gelak ketawa kerana cerita yang dibawanya.

Dalam menanggapi Mohd Indera yang bersubahat dengan komunis sebagai hero dan sebaliknya anggota polis yang mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong sebagai pengkhianat, terdapat elemen anarki yang tinggi dan tafsir yang songsang. Mana mungkin pendekatan membunuh manusia dianggap sebagai hero. Mana mungkin faham komunis yang tidak selari dengan Islam diletakkan dalam martabat tinggi.

Tidak ada alasan syarie atau syarak yang membolehkan perjuangan komunis diiktiraf sebagai perjuangan yang sah. Kafir harbi pun secara syarienya ada kedudukan dalam hukum fiqah Islam. Ini pula faham komunis yang menentang agama dan melakukan kekejaman dan kezaliman terhadap orang lain.

Meneliti kecenderungan Mat Sabu dalam ucapannya itu, maka elemen-elemen radikal dan revolusioner amat nyata. Apakah Mat Sabu yang mengkagumi Revolusi Iran dan Imam Khomeini ingin membawa faham dan cara tersebut ke Malaysia. Sekiranya hal ini benar ia amat bahaya.

Semua orang Islam tahu faham komunis adalah bercanggah dengan Islam. Pendekatan komunis terhadap orang Islam di mana-mana amat zalim dan penuh dengan sejarah hitam. Atas rasional apa Mat Sabu mengangkat orang komunis sebagai wira sebenar. Komunisme dan pergerakan komunis mempunyai rangkaian di seluruh dunia dan bercita-cita menjadikan komunis suatu faham politik dan ingin menguasai dunia.

Apakah Mat Sabu pernah terbaca sejarah perjuangan Chandra Bosh di India memperjuangkan faham komunisnya. Apakah Mat Sabu terlupa dengan Stalin dan Lenin di Rusia dan Mao Tse Tong di China semuanya ingin membawa faham komunis ke seluruh dunia. Tidakkah dengan mentafsir Mohd Indera sebagai hero menyebabkan Chandra Bosh, Stalin dan Lenin serta Mao Tse Tong juga dianggap sebagai hero antarabangsa.

Di sinilah kontotnya pemikiran Mat Sabu dan dangkal tafsirnya semata-mata niat politiknya untuk memenangi hati golongan tertentu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Kenyataan Mat Sabu itu adalah suatu penghinaan yang amat jijik kerana ia berlaku ketika umat Islam berada di sepuluh hari terakhir Ramadan yang besar ertinya dalam mengukuhkan akidah dan ibadah umat. Tiba-tiba lahir suatu kenyataan yang menyatakan komunis itu sebagai pejuang sebenar. Tidakkah kenyataan ini bercanggah dengan akidah tauhid kerana faham komunis bercanggah dengan Islam.

Kedua, ia berlaku pada saat Malaysia sedang menghadapi ulang tahun kemerdekaan. Kenyataan itu seolah-olah menafikan sama sekali pengorbanan tokoh-tokoh terdahulu seperti Dato' Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman dan pasukan keselamatan negara bahawa mereka adalah pengkhianat bukan hero yang sebenarnya.

Saya percaya tidak semua orang Cina atau Melayu atau India yang percaya kepada faham dan perjuangan komunis. Pengalaman menentang komunis di Malaya (kemudian Malaysia) adalah perjuangan semua pihak khususnya orang Melayu yang beragama Islam. Banyak pengorbanan yang dilakukan oleh orang Melayu tidak saja pada zaman penjajah tetapi selepas merdeka dalam menentang angkara komunis di Malaysia.

Kalau zaman penjajah Mat Sabu mengatakan polis dan tentera adalah alat penjajah. Kalau selepas merdeka dan komunis masih ada - mereka itu alat siapa pula?

Mat Sabu akan menjawab mereka alat kepada kerajaan. Maksud Mat Sabu ialah mengajak orang ramai menentang kerajaan atau menentang UMNO. Inilah inti penglipur lara Mat Sabu sebenarnya. Tetapi mengapa nak bandingkan dengan komunis. Apakah sampai begitu kebenciannya terhadap kerajaan dan UMNO?

Apakah tidak cukup dengan label-label taghut, kafir, sekular, liberal sehingga perlu dilabel komunis pula kerana pada hemat Mat Sabu, komunis adalah hero dan orang lain adalah pengkhianat.

Kalau Mat Sabu berjaya menumbangkan kerajaan yang ada kerana mereka adalah pengkhianat, apakah Mat Sabu bila memerintah nanti akan mendukung faham komunis kerana mereka adalah hero dan bagaimana pula dengan perjuangan Islamnya sekian lama.

Mat Sabu harus mampu meneliti jejak-jejak sejarah secara waras. Mat Sabu mungkin tak pernah dengar kisah kekosongan sewaktu Jepun menyerah kalah selama 13 hari sebelum pentadbiran Tentera British sampai dari India. Ramai orang Melayu dibunuh dengan kejam dan komunis secara paksa cuba menguasai tempat-tempat strategik dalam negara ini.

Kedatangan Jepun ke Malaya sebenarnya ingin menentang penjajah British juga disamping membawa kesedaran baru "Asia untuk Orang Asia." Apakah Jepun juga boleh dianggap sebagai hero kerana Jepun menentang British dan melakukan kezaliman yang luar biasa terhadap masyarakat Tanah Melayu khususnya orang Islam.

Oleh itu pandangan Mat Sabu terhadap isu ini amat dangkal dan tafsirannya amat cetek sekali. Saya katakan begitu kerana Mat Sabu tidak meletakkan sejarah dan tafsirannya dalam perspektif yang betul. Datuk Sagor, Mat Kilau, Datuk Bahaman dan lain-lain dalam buku-buku teks sejarah Malaysia dilihat sebagai pejuang. Sumbangan tokoh-tokoh ini dan yang seumpamanya diletakkan dalam perspektif yang betul.

Begitu juga banyak kajian ilmiah dibuat terhadap Abu Bakar Bakir, Burhanuddin al Helmi dan lain-lainnya mempunyai sumbangan dalam perjuangan kemerdekaan seperti juga peranan yang dimainkan oleh Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman. Malah tokoh seperti Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan ada juga peranannya dalam perjuangan kemerdekaan. Sejarah adalah cerminan kisah silam dan boleh diberi dengan pelbagai tafsiran. Tetapi tafsiran biarlah munasabah dan tidak mengambil pendekatan yang ekstrem.

Yang hairannya kenyataan Mat Sabu itu tidak diberi reaksi oleh pemimipin Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Karpal Singh ada membuat kenyataan yang tidak bersetuju dengan Mat Sabu. Apakah dengan Pas dan PKR mendiamkan diri itu menyatakan dua perkara. Pertama, bersetuju dengan kenyataan Mat Sabu itu atau kedua, tidak bersetuju tetapi tidak mahu berbeza dengan Mat Sabu dibimbangi ia sesuatu yang tidak bijaksana.

Yang pastinya bekas-bekas anggota polis dan tentera dalam Pas akan merasa tidak senang dengan kenyataan Mat Sabu itu. Ia tidak baik bagi Pas dan PKR. Orang bukan Melayu pun saya fikir tidak berasa selesa dengan kenyataan Mat Sabu itu. Sebahagian besar orang Cina senang dengan sistem kapitalis laizzerfaire atau pasaran bebas yang bercanggah dengan sistem komunis. Apakah kenyataan Mat Sabu itu menemui nasib seperti kata pepatah "yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran."

Mat Sabu kena faham bahawa orang Malaysia tidaklah sebodoh yang beliau sangka. Sebahagian besar orang Malaysia ada ilmu dan sebahagiannya lagi adalah pengamat kritis tetapi ada etika dan tanggungjawab. Sekiranya Mat Sabu membuat justifikasi yang cetek dan dangkal dalam analisisnya, ia memperlihatkan integriti yang rendah terhadap pemimpin nombor dua Pas itu.

Dan sekiranya pendapat Mat Sabu dianggap benar maka seluruh tradisi akademik atau pun ilmiah dianggap tidak mempunyai nilai apa-apa. Dan sekiranya seluruh tafsiran sejarah akan diubah apabila Mat Sabu dan seketunya berkuasa nanti (minta dijauhkan Allah) perjalanan sejarah akan menjadi kacau dan perspektif perjuangan komunis dianggap sesuatu yang unggul - pastinya bercanggah dengan Islam itu sendiri.

Apakah ini membawa petanda Mat Sabu dan kawan-kawannya akan bertukar ke arah konsep negara berkebajikan kepada liberal, pluralis, sosialis dan komunis?-UM.

Juragan Malawati..

Sabtu, 3 September 2011

Noramfaizul dikebumi di Tanah Perkuburan Islam UPM!

Jenazah jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, yang maut akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Somalia, dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dekat sini, esok.

Naib Presiden Kelab Putera 1Malaysia Rahman Rahim, yang mewakili keluarga arwah, berkata, jenazah akan dikebumikan sebelum Zohor, bergantung kepada keadaan.

Beliau berkata, sejurus tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, jenazah akan dimandi, dikapan dan disolatkan di Masjid TUDM sebelum dibawa pulang ke rumah keluarga arwah di Taman Serdang Raya.

Rahman memberitahu permberita jenazah kemudiannya akan dibawa ke Masjid Al-Islah berhampiran rumah ibu bapa Allahyarham untuk disolatkan. Jenazah dibawa pulang ke Malaysia pada Sabtu menaiki pesawat C-130 TUDM bersama anggota misi lain, dan dijangka tiba di Pangkalan TUDM kira-kira 9 pagi Ahad.

“Segala urusan daripada segi pengangkutan disediakan oleh pihak kami (Kelab Putera 1Malaysia) kepada kaum keluarga arwah, bermula di Subang sehingga disemadikan,” kata Rahman.

Sebelum itu : "Saya reda atas pemergiannya" - Isteri Allahyarham Noramfaizul

Norazrina Jaafar, isteri kepada jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor yang terbunuh di Somalia reda dengan pemergian Allahyarham.

"Saya reda terhadap kehilangan Allahyarham, Ia adalah qada dan qadar Allah S.W.T. Saya menerimanya,” katanya di sini.

Inilah saat dan detik yang dirakamkan sewaktu Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor menjamah juadah berbuka puasa dalam pesawat TUDM Charlie C130 sewaktu berangkat ke Somalia 28 Ogos yang lalu…

Noramfaizul, 39, meninggal dunia pada 11 malam (waktu Malaysia) hari Jumaat setelah terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu.

Norazrina, 37, berkata, suaminya pernah mengikuti beberapa tugasan yang berisiko tinggi sebelum ini dengan Allahyarham menganggap ia adalah sebahagian daripada tugasnya sebagai jurukamera berita.

"Sebelum ini, Allahyarham turut mengikuti penghantaran misi bantuan kemanusiaan di kawasan gempa bumi di New Zealand. Tugasan dianggapnya sebagai arahan yang perlu dipatuhi,” katanya.

Rakan karib Allahyarham, Ahmad Azmai Awang yang juga Ketua Jurukamera BernamaTV berkata, sejurus selepas menerima maklumat mengenai tragedi itu, beliau terus menghubungi isteri Allahyarham semalam.

Beliau berkata, Noramfaizul merupakan jurukamera yang berdedikasi serta berpengalaman luas membuat liputan di beberapa kawasan konflik dan bencana dunia seperti di Gaza, Pakistan dan New Zealand.

"Tahun ini merupakan kali kedua Allahyarham tidak dapat berhari raya bersama keluarganya kerana tahun lepas beliau turut membuat liputan misi kemanusiaan di Pakistan,” katanya.

Ahmad Azmai yang mula mengenali Allahyarham sejak awal 90-an menyifatkan beliau sebagai seorang yang amat ceria dan memiliki komitmen yang tinggi terhadap tugas yang amat diminatinya sebagai jurukamera.

"Beliau adalah seorang yang amat ceria, walaupun ketika menghadapi masalah tetapi beliau akan tetap ceria seolah-olah tiada masalah. Kehilangan Allahyarham amat dirasai oleh rakan setugasnya,” katanya.

Sementara itu : Anak Noramfaizul akan diurus kerajaan - Shahrizat

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menguruskan perbelanjaan anak-anak Jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, 39, yang maut akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ia akan dibuat menerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu meringankan beban keluarga Noramfaizul.

"Saya difahamkan Allahyarham adalah anak lelaki tunggal serta soleh dan merupakan seorang petugas yang begitu baik sekali di Bernama, bagi pihak kerajaan saya nak maklumkan bahawa kami akan menghulurkan bantuan.

"Buat masa ini kami akan membantu persekolahan anak-anaknya iaitu akan mengambil alih perbelanjaan mereka nanti, dan pihak YKN juga akan memberi sumbangan sebanyak RM5,000 untuk persekolahan anak-anaknya,” katanya kepada pemberita ketika melawat rumah keluarga Noramfaizul di sini, hari ini. Noramfaizul meninggalkan isteri, Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki — Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.

Juragan Malawati..

Jumaat, 2 September 2011

Abdul Khalid diingatkan tidak buat kenyataan jejaskan perpaduan!

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diingatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan antara agama di negara ini sehingga menimbulkan perasaan prejudis di kalangan umat Islam.

Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, kenyataan yang dibuat Abdul Khalid bahawa berlaku banyak salah faham di kalangan umat Islam terhadap penganut bukan Islam telah memburukkan imej muslim di negera ini.

Katanya, negara telah merdeka selama 54 tahun dan sepanjang tempoh tersebut, penganut agama Islam dan juga penganut bukan Islam hidup bagaikan sebuah keluarga yang bahagia.

“Mengapa beliau perlu membuat kenyataan tersebut. Ia seolah-olah memburukkan imej umat Islam di negara ini sedangkan kita (orang Islam) tidak pernah berfikiran seperti itu.

“Ia merupakan tindakan yang kurang cerdik. Ia hanya akan menimbulkan rasa prejudis di kalangan umat Islam, apa yang beliau sedang fikirkan.

“Tindakan beliau itu boleh memecah belahkan perpaduan, keamanan serta kesejahteraan yang dinikmati oleh penduduk negara ini yang terdiri daripada berbilang agama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang mengulas kenyataan Abdul Khalid bahawa berlaku banyak salah faham di kalangan umat Islam terhadap penganut bukan Islam sehingga ramai muslim menganggap bukan Islam sebagai ancaman.

Juragan Malawati..