UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Sabtu, 3 September 2011

Noramfaizul dikebumi di Tanah Perkuburan Islam UPM!

Jenazah jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, yang maut akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Somalia, dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dekat sini, esok.

Naib Presiden Kelab Putera 1Malaysia Rahman Rahim, yang mewakili keluarga arwah, berkata, jenazah akan dikebumikan sebelum Zohor, bergantung kepada keadaan.

Beliau berkata, sejurus tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, jenazah akan dimandi, dikapan dan disolatkan di Masjid TUDM sebelum dibawa pulang ke rumah keluarga arwah di Taman Serdang Raya.

Rahman memberitahu permberita jenazah kemudiannya akan dibawa ke Masjid Al-Islah berhampiran rumah ibu bapa Allahyarham untuk disolatkan. Jenazah dibawa pulang ke Malaysia pada Sabtu menaiki pesawat C-130 TUDM bersama anggota misi lain, dan dijangka tiba di Pangkalan TUDM kira-kira 9 pagi Ahad.

“Segala urusan daripada segi pengangkutan disediakan oleh pihak kami (Kelab Putera 1Malaysia) kepada kaum keluarga arwah, bermula di Subang sehingga disemadikan,” kata Rahman.

Sebelum itu : "Saya reda atas pemergiannya" - Isteri Allahyarham Noramfaizul

Norazrina Jaafar, isteri kepada jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor yang terbunuh di Somalia reda dengan pemergian Allahyarham.

"Saya reda terhadap kehilangan Allahyarham, Ia adalah qada dan qadar Allah S.W.T. Saya menerimanya,” katanya di sini.

Inilah saat dan detik yang dirakamkan sewaktu Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor menjamah juadah berbuka puasa dalam pesawat TUDM Charlie C130 sewaktu berangkat ke Somalia 28 Ogos yang lalu…

Noramfaizul, 39, meninggal dunia pada 11 malam (waktu Malaysia) hari Jumaat setelah terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu.

Norazrina, 37, berkata, suaminya pernah mengikuti beberapa tugasan yang berisiko tinggi sebelum ini dengan Allahyarham menganggap ia adalah sebahagian daripada tugasnya sebagai jurukamera berita.

"Sebelum ini, Allahyarham turut mengikuti penghantaran misi bantuan kemanusiaan di kawasan gempa bumi di New Zealand. Tugasan dianggapnya sebagai arahan yang perlu dipatuhi,” katanya.

Rakan karib Allahyarham, Ahmad Azmai Awang yang juga Ketua Jurukamera BernamaTV berkata, sejurus selepas menerima maklumat mengenai tragedi itu, beliau terus menghubungi isteri Allahyarham semalam.

Beliau berkata, Noramfaizul merupakan jurukamera yang berdedikasi serta berpengalaman luas membuat liputan di beberapa kawasan konflik dan bencana dunia seperti di Gaza, Pakistan dan New Zealand.

"Tahun ini merupakan kali kedua Allahyarham tidak dapat berhari raya bersama keluarganya kerana tahun lepas beliau turut membuat liputan misi kemanusiaan di Pakistan,” katanya.

Ahmad Azmai yang mula mengenali Allahyarham sejak awal 90-an menyifatkan beliau sebagai seorang yang amat ceria dan memiliki komitmen yang tinggi terhadap tugas yang amat diminatinya sebagai jurukamera.

"Beliau adalah seorang yang amat ceria, walaupun ketika menghadapi masalah tetapi beliau akan tetap ceria seolah-olah tiada masalah. Kehilangan Allahyarham amat dirasai oleh rakan setugasnya,” katanya.

Sementara itu : Anak Noramfaizul akan diurus kerajaan - Shahrizat

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menguruskan perbelanjaan anak-anak Jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, 39, yang maut akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ia akan dibuat menerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu meringankan beban keluarga Noramfaizul.

"Saya difahamkan Allahyarham adalah anak lelaki tunggal serta soleh dan merupakan seorang petugas yang begitu baik sekali di Bernama, bagi pihak kerajaan saya nak maklumkan bahawa kami akan menghulurkan bantuan.

"Buat masa ini kami akan membantu persekolahan anak-anaknya iaitu akan mengambil alih perbelanjaan mereka nanti, dan pihak YKN juga akan memberi sumbangan sebanyak RM5,000 untuk persekolahan anak-anaknya,” katanya kepada pemberita ketika melawat rumah keluarga Noramfaizul di sini, hari ini. Noramfaizul meninggalkan isteri, Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki — Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan