UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Isnin, 19 September 2011

Manifesto khas buat BN Selangor - Noh Omar!

Barisan Nasional (BN) Selangor akan memastikan manifesto khas negeri itu sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 sebagai sesuatu yang boleh diterima dan sesuai dengan persekitaran politik semasa di negeri itu.

Sambil melahirkan rasa terima kasih atas persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merangka manifesto khas itu, Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, manifesto khas tersebut penting sebagai tempat bergantung bagi rakyat Selangor selepas pilihan raya umum.

"Selain manifesto di peringkat kebangsaan, BN Selangor memerlukan manifesto khas ini sebagai harapan kepada rakyat Selangor untuk menyaksikan perubahan oleh BN pada pilihan raya akan datang," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada majlis Konvensyen BN Selangor di sini, semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai reaksi kepada persetujuan Najib yang juga Pengerusi BN Selangor untuk merangka satu manifesto khas bagi Selangor selain manifesto kebangsaan sebagai langkah untuk merampas semula negeri itu daripada pembangkang.

Najib memberi jaminan itu ketika berucap pada sesi penggulungan dalam majlis tertutup sempena Konvensyen BN Selangor yang diadakan di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Noh berkata, BN Selangor perlu menerima hakikat bahawa antara kelemahan utama parti itu adalah masalah persepsi di kalangan rakyat terhadap dasar yang dilaksanakan.

Kata beliau, rakyat Selangor lebih melihat apa yang diberikan BN sebagai hak mereka tetapi menganggap apa yang dihulurkan pembangkang pula merupakan satu bentuk bantuan.

"Sedangkan jika mahu dibandingkan, banyak perkara yang dijanjikan oleh pembangkang pada pilihan raya umum lalu tidak ditunaikan dan banyak pula bantuan yang kita berikan sebenarnya tidak kita janjikan pada pilihan raya lalu," katanya.

Ketika ditanya bagaimana untuk menangani masalah persepsi itu, Noh berkata, setiap parti komponen BN Selangor perlu melihat isu-isu yang dibangkitkan oleh rakyat Selangor mengikut keperluan yang berbeza.

Ini kerana tambah beliau, isu-isu yang dibangkitkan di kawasan bandar atau luar bandar misalnya adalah berbeza dan BN tidak boleh menanganinya menerusi pendekatan yang sama.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan