UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Rabu, 30 Disember 2009

Kenapa terma pelantikan Anwar belum didedahkan?

Selepas 44 hari Anwar Ibrahim dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Selangor, rakyat negeri berkenaan terus tertanya-tanya terma pelantikannya yang masih belum didedahkan kepada umum.

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman berkata, sikap 'berahsia' kerajaan negeri itu merupakan satu lagi bukti slogan ketelusan yang dilaungkan selama ini hanya retorik untuk meraih undi semata-mata.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri membuat penjelasan mengenai perkara berikut:
* Adakah surat pelantikan Anwar telah dikeluarkan?
* Adakah Anwar perlu melapor kepada Menteri Besar ataupun Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco)?
* Apakah kaedah laporan yang diguna pakai sama ada secara lisan atau bersurat?

Mohamad Satim berkata, persoalan tersebut mesti dijawab segera oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan jika beliau enggan, Exco Kanan, Azmin Ali mesti mengambil tanggungjawab itu. "Sudah lebih sebulan Abdul Khalid umumkan pelantikan Anwar, namun sehingga hari ini, kita langsung tidak diberitahu apa-apa.

"Makluman itu mestilah dibuat secara terbuka kerana kerajaan negeri mendakwa mereka mengamalkan ketelusan dalam pentadbiran. "Jika Abdul Khalid tidak mahu berbuat demikian, kita desak Azmin tampil, lagipun saya difahamkan beliau bakal memegang jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR)," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Pada 13 November lalu, Abdul Khalid pada sidang akhbar selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam mengumumkan pelantikan Anwar berkuat kuasa serta-merta dengan bayaran gaji RM1 sebulan. Beberapa hari selepas itu, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri bersedia untuk memberikan kemudahan pejabat, kenderaan dan elaun kepada Anwar.

Pelantikan itu sebelum ini dianggap Mohamad Satim sebagai senjata halus bagi mengukuhkan kedudukan Azmin di Selangor selepas cadangan untuk melantiknya sebagai Ketua Perhubungan PKR Sabah ditolak mentah-mentah oleh ahli-ahli parti di negeri tersebut.

JK...

Isnin, 28 Disember 2009

Bukan Melayu MB Kelantan?

Kerajaan Pas Kelantan sedia meminda Undang-undang Tubuh Negeri bagi memberi peluang kepada orang bukan Melayu yang beragama Islam menjadi Menteri Besar.
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, langkah itu selaras dengan dasar Islam yang tidak memandang bangsa dalam memilih pemimpin sebaliknya mengutamakan kelayakan dan akhlak seseorang.

Beliau berkata, cadangan itu juga mampu meluaskan penyebaran Islam kepada masyarakat lain kerana bertindak adil kepada semua kaum. "Undang-undang Kelantan itu lain kerana ia dibuat pada zaman itu. Benda itu boleh diubah.
"Masalah undang-undang yang dibuat mesti bangsa Melayu itu masalah undang-undang sahaja.

"Yang kita tengok adalah pandangan Islam macam mana," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Ijtimak Ulama Muda Negeri Kelantan 2009 di sini hari ini. Beliau diminta mengulas kenyataannya sebelum ini yang sedia berkempen untuk melantik orang Cina Kelantan yang beragama Islam, berpelajaran dan berakhlak baik sebagai Menteri Besar.

Nik Abdul Aziz menjelaskan, dasar Islam untuk memilih seseorang pemimpin tidak mengenal bangsa sebaliknya berdasarkan akhlak yang baik. "Dasar Islam adalah dia orang Islam, akhlak baik cukuplah, tak kira bangsa, tidak ada kelebihan bangsa Arab berbanding bangsa lain kecuali takwa pada Allah.

"Kalau orang Arab jahat, saya akan kempen tak beri, saya akan lawan, tapi kalau Cina baik, saya akan sokong jadi Menteri Besar, ini boleh meluaskan keadilan Islam di Malaysia," ujarnya.

Sementara itu : MB didakwa gadai maruah

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dianggap sanggup menggadai maruah apabila bersedia menggubal undang-undang bagi membolehkan orang bukan Melayu juga menerajui negeri itu. Presiden Persatuan Anak-Anak Kelantan Darul Naim (Pakatan), Datuk Dr. Noordin Ab. Razak menegaskan, pihaknya menentang sekeras-kerasnya cadangan itu dan yakin ia juga dikongsi bersama oleh majoriti rakyat negeri itu terutamanya Melayu Islam.

Menurut beliau, cadangan itu adalah amat tidak logik dan tidak masuk akal memandangkan majoriti penduduk Kelantan adalah Melayu. "Sejarah juga telah termaktub bahawa negeri ini semasa naungan British merupakan negeri tak bersekutu yang mempunyai undang-undang tubuhnya sendiri iaitu memberikan keutamaan kepada Melayu beragama Islam untuk menjadi Menteri Besar.

"Orang British pun tahu hakikat ini, sebab itulah mereka menetapkan hanya Melayu sahaja boleh menjadi ketua negeri, janganlah pula Nik Abdul Aziz nak menjadi lebih Inggeris daripada orang Inggeris," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini. Noordin juga mengingatkan Nik Abdul Aziz supaya sedar dengan amanah yang diberikan oleh rakyat dan tidak seharusnya membiarkan diri serta kerajaan yang dipimpinnya terus dipergunakan oleh pihak lain yang berkepentingan.

JM...

Khamis, 24 Disember 2009

Pas perlu lebih berhati-hati!

PARA penyokong Pas sudah tentu berasa bangga kerana ketika berlangsungnya konvensyen pakatan pembangkang pada 19 Disember lalu, mereka menyaksikan bagaimana Pengerusi DAP, Karpal Singh duduk di sebelah dua tok guru mereka iaitu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Malah mereka juga mungkin berasa seronok apabila Nik Abdul Aziz menyatakan bahawa "di dada Karpal ada bulan.'' Sebenarnya tidak salah untuk mereka mempunyai perasaan sedemikian kerana Karpal yang dikenali sebagai penentang kuat penubuhan negara Islam yang diperjuangkan oleh Pas mampu duduk sebaris dengan Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz.

Tetapi mereka perlu fikirkan semula. Adakah detik yang dianggap bersejarah itu, Karpal mengambil kesempatan memohon maaf kepada Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz berhubung kenyataannya sebelum ini berkaitan penubuhan negara Islam? Karpal tidak berbuat demikian. Walaupun ada pemimpin Pas menganggap ia saat terbaik untuk pemimpin DAP menghapuskan kesangsian di kalangan penyokong Pas mengenai parti itu.

Bagaimanapun, detik berkenaan sudah berlalu. Tetapi persoalan yang bermain di fikiran ahli-ahli Pas ialah apakah DAP benarbenar ikhlas dalam menjalin hubungan dengan Pas? Atau terdapat agenda tersembunyi di sebalik kerjasama itu? Apa yang lebih merisaukan sesetengah penyokong Pas ialah adakah konvensyen itu membuka ruang yang lebih luas kepada pihak-pihak tertentu untuk terus mengganggu-gugat hak-hak dan kedudukan orang Melayu dan agama Islam.

Sebenarnya, konvensyen berkenaan tidak memberi manfaat kepada orang Melayu dan Islam. Sebaliknya ia hanya mendedahkan kepada lebih banyak tuntutan berdasarkan kepada perjuangan kesamarataan. "Inilah yang perlu disedari oleh orang Melayu yang menghadiri konvensyen berkenaan. Tetapi saya lihat seolah-olah tidak ada kebimbangan di kalangan peserta yang hadir.

"Mereka bangga kerana Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencapai kata sepakat untuk berjuang dalam pilihan raya. Tetapi mereka tidak lihat kesan bagi jangka masa panjang,'' kata seorang pemimpin muda Pas yang turut menjadi peserta konvensyen berkenaan.
Beliau berkata, apa yang dicapai dalam konvensyen tersebut dengan jelas menunjukkan sikap mengalah orang Melayu semata-mata untuk mendapat kuasa politik.

Mereka tidak harus terlalu teruja mahu menumbangkan Barisan Nasional (BN) atau meranapkan penguasaan UMNO sehingga sanggup mengenepikan kepentingan dan hak-hak orang Melayu. Slogan kononnya mahu menghapuskan agenda pembangunan bangsa daripada fahaman perkauman sempit hanyalah mainan PKR dan DAP dalam usaha mereka untuk memperolehi kuasa politik.

Apakah selama ini PKR dan DAP tidak mengamalkan politik perkauman sehingga melihat seolah-olah politik seumpama itu hanya dimainkan oleh BN dan UMNO? Apa yang berlaku di Selangor dan di Perak ketika pakatan pembangkang memerintah sudah menjadi bukti bagaimana politik perkauman menjadi senjata utama kepada PKR dan DAP bagi meraih sokongan.

Atas sebab itulah, keterujaan penyokongpenyokong Pas menerima apa yang disepakati dalam konvensyen berkenaan haruslah terhad dan bukannya membuta tuli. Dalam suasana politik sekarang, pelbagai helah boleh dilakukan bagi menghakis satu demi satu hak Melayu dan umat Islam. Kalau dikaji resolusi yang dicapai dalam konvensyen tersebut, ia tidak ubah hanyalah nyanyian lagu lama oleh pembangkang kerana apa yang mereka perkatakan sudah dan senang dilaksanakan oleh kerajaan.

Tetapi PKR dan DAP tidak akan mengakui seumpama itu, sebaliknya akan terus berusaha untuk menunjukkan kepada rakyat kononnya masih terdapat seribu satu kepincangan dalam pentadbiran negara. Dalam kita memperkatakan soal dakwaan pembangkang itu, tidak perlulah kita mengambil contoh lebih banyak lihat sahaja resolusi berkaitan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) serta desakan supaya sistem pilihan raya negara ini lebih bersih, bebas dan adil.

Walaupun kerajaan sudah menunjukkan ketelusan dengan mengubah Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada SPRM tetapi ia belum memuaskan hati mereka. Begitu juga soal mewujudkan pilihan raya yang adil. Kenapa baru sekarang mereka hendak memperkatakan soal itu sedangkan apabila mereka menawan empat negeri, mengekalkan kuasa di Kelantan dan menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen pada pilihan raya umum lalu tidak pula ia dibangkitkan?

Ini dengan jelas menunjukkan bahawa pakatan pembangkang cuba bermain politik apabila berusaha menguar-uarkan kepada rakyat kononnya pilihan raya umum nanti tidak akan telus. Kebimbangan itu dilahirkan kerana pembangkang semakin memahami bahawa sokongan rakyat kepada mereka semakin merosot. Begitu juga apabila mereka memperkatakan soal badan kehakiman. Semuanya ada agenda bagi menunjukkan bahawa badan itu tidak telus.

Ini mungkin sebahagian persiapan dalam melancarkan propaganda menjelang perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu dakwaan meliwat pembantu peribadinya. Sebenarnya konvensyen yang diadakan hanyalah mainan politik pakatan pembangkang yang semakin berasa kepanasan dengan corak pentadbiran kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebab itulah apabila beberapa media utama termasuk Utusan Malaysia tidak menyiarkan berita mengenai konvensyen berkenaan, ada pemimpin pembangkang yang marah kerana agenda propaganda mereka tersekat. Sebenarnya, tiada apa yang menarik hendak dilaporkan selain daripada retorik berterusan pembangkang.

Selain itu ia juga mengenai bagaimana ada di kalangan pemimpin Melayu terutamanya dalam PKR bersedia mengalah asalkan mereka boleh meraih keuntungan politik. Namun begitu apa yang diharapkan ialah penyokong-penyokong Pas terutamanya mereka yang menjadi peserta konvensyen tersebut memahami bahawa jika parti itu tidak berhati-hati, ia boleh terjerumus dalam perangkap politik PKR dan DAP.

Tidak salah untuk berbangga kononnya konvensyen berkenaan adalah sesuatu yang bersejarah memandangkan ia mampu mengumpulkan semua pemimpin pembangkang. Tetapi jangan sampai kebanggaan itu akhirnya hanya mendatangkan kerugian kepada orang Melayu dan umat Islam di masa depan. Siapa yang akan rugi? - UM

JM

Ahad, 13 Disember 2009

Fikirkan kedudukan Melayu!

Tulisan bertemakan "Jagalah Hati Melayu" sepatutnya direnung bukan sahaja oleh pemimpin UMNO tetapi seluruh pemimpin Barisan Nasional (BN). Bagi Kelab Penyelidikan Politik Malaysia (KPPM), tulisan itu merupakan satu anjuran yang berani dan ditunggu-tunggu oleh orang Melayu. Harapan kami terlalu menggunung agar pemimpin UMNO tidak melupakan saraf tunjang politik BN dan Malaysia iaitu kaum Melayu.

KPPM bersetuju bahawa kebimbangan Awang Selamat itu amat berasas. Pernah diberitakan pada suatu ketika, Allahyarham Tun Razak membuat penegasan bahawa "tidak semua yang baik untuk Melayu itu baik untuk negara, dan tidak semua yang baik untuk negara itu baik untuk Melayu".
Dalam memahami pengertian yang cuba dibawakan oleh Tun Razak tersebut ke dalam situasi politik negara hari ini, KPPM senada dengan Awang Selamat.

Orang Melayu perlu dirundingi secara tersurat dan tersirat dalam apa-apa penentuan dasar dan hala tuju yang ingin dibawakan oleh kepimpinan baru UMNO. Sudah pastilah kenyataan Awang Selamat itu perlu difahami sebagai tidak bertentangan dengan semangat perubahan semasa yang ingin dibawakan oleh saf kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seperti mana Awang Selamat yang berhujah mengenai berkurangnya sokongan bukan Melayu pada pilihan raya kecil, rekod penyelidikan KPPM juga menunjukkan hal yang sama. Keadaan ini bukan dicirikan oleh perkauman tetapi disebabkan manfaat ekonomi. Untuk menjelaskan keadaan ini, eloklah sekiranya diberikan contoh peranan UMNO dan Pas di negeri Kelantan berbanding peranan parti-parti bukan Melayu sama ada dalam pakatan pembangkang mahu pun BN dalam tata permainan politik semasa.

Di Kelantan, ada pandangan mengatakan UMNO lebih selesa berada dalam keadaan tewas berbanding menang. Alasannya disebabkan "saluran ekonomi" kepada penggerak di peringkat bahagian dan cawangan akan lebih terfokus berbanding sekiranya UMNO menang di peringkat negeri. Bagi Pas Kelantan pula, mereka tetap selesa dalam keadaan menang apabila bantuan dari kerajaan Pusat dalam bentuk kewangan tetap diteruskan dalam usaha memujuk rakyat negeri itu.

Itulah resipi kekalahan UMNO dan kemampuan Pas bertahan hampir 20 tahun di Kelantan. Jika dibandingkan, peranan berkenaan tiada bezanya dengan parti-parti dominasi Cina atau India pada masa ini. Dalam apa pun keadaan, mereka mengandaikan mereka akan dilayan dengan istimewa oleh kerajaan BN atas dasar keperluan ekonomi mereka akan sentiasa dipenuhi. Siri pilihan raya kecil telah membuktikan fakta ini. Tanpa membezakan kedudukan parti bukan Melayu sama ada dalam pakatan pembangkang mahupun BN.

Pada pandangan KPPM, sudah sampai masanya UMNO memilih jalan tengah, iaitu kembali ke perjuangan asal. Hentikan pujukan. Sesekali cuba kaedah 'tumbukan' pula. Atau tukar strategi, lebih pujukan kepada Melayu sebagai saraf tunjang dan sesekali beri 'tumbukan' kepada parti politik bukan Melayu. Lihat implikasinya dan bandingkan dengan keadaan UMNO semasa yang seolah-olah menghadapi dilema terlalu besar dalam menentukan arah tujunya.

Akhirnya elok sekali lagi direnung tulisan Awang Selamat, "UMNO perlu bijak menyulam peranannya sebagai pemimpin BN untuk semua kaum tanpa mengorbankan kepentingan orang Melayu. Jasa UMNO terlalu besar kepada orang Melayu, begitu juga kepada kaum lain walaupun hakikat ini cuba dinafikan.

UMNOlah yang mempertahankan bukan Melayu sejak awal kemerdekaan daripada aliran politik ekstremisme. Ketika Pas menjauhi parti dan kaum bukan Melayu serta menganggap mereka kafir selama beberapa dekad lamanya, UMNO menghulur tangan permuafakatan. Menerusi dasar dan naungan UMNO, kaum minoriti bukan sahaja terjamin hak malah mampu menguasai ekonomi negara. Sesungguhnya UMNO tidak pernah mengkhianati bukan Melayu. Apa yang mula berlaku adalah sebaliknya. Jadi, jagalah hati Melayu terlebih dahulu."

Kelab Penyelidikan Politik Malaysia

JM...

Khamis, 10 Disember 2009

DIRGAHAYU Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Darul Ehsan


MERAFAK SEMBAH SETINGGI-TINGGI TAHNIAH SEMPENA
HARI KEPUTERAAN

DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJIBNI ALMARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJD.K.,D.M.N.,D.K.(Terengganu).,D.K.(Kelantan).,D.K.(Perak).,D.K.(Perlis)., D.K.(Negeri Sembilan)., D.K.(Kedah).,S.P.M.S.,S.S.I.S.,S.P.M.J.

Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul EhsanSerta Segala Daerah Takluknya.

Pada 11 hb Disember 2009 bersamaan 24 Zulhijjah 1431H.

Patik dan rakyat jelata mendoakan agar KeBawah Duli Tuanku sentiasa diberi limpah hidayah dan petunjuk dari ALLAH swt, dipanjangkan umur dan dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus menjadi payung kepada negeri Selangor yang tercinta ini.

Patik dan rakyat jelata juga mendoakan agar Tuanku akan senantiasa memartabatkan agama Islam dan bangsa Melayu serta menjaga seluruh rakyat negeri Selangor agar senantiasa berada di dalam hidup yang aman dan sejahtera.

AMPUN TUANKU SEMBAH PATIK HARAP DIAMPUN
DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU.

Ikhlas Dari :
Warga UMNO Bahagian Kuala Selangor
Selangor Darul Ehsan.