UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.

Ahad, 30 September 2012

Rezeki 400 nelayan Kuala Selangor terjejas?


Kahar Buntal (kiri) dan rakan-rakannya menunjukkan sampel air yang dikumpul sejak 30 Ogos lalu kepada wartawan di pangkalan nelayan Bagan Sungai Buloh, Jeram, Kuala Selangor kelmarin.

Kira-kira 400 nelayan yang berpangkalan di Bagan Sungai Buloh, Jeram di sini meminta kerajaan negeri menyelesaikan masalah pencemaran sungai yang semakin serius di kawasan mereka.

Ini kerana masalah pencemaran tersebut yang dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa sebuah loji kumbahan ke dalam Sungai Buloh telah menyebabkan kemusnahan habitat hidupan laut dan mengakibatkan pendapatan mereka terjejas sehingga 50 peratus.

Tinjauan semalam mendapati air di sungai tersebut telah bertukar ke warna hitam, berkeladak dan berbau busuk seperti longkang yang tersumbat.

Sampah-sarap yang terapung turut kelihatan dibawa arus sungai selain keadaan pokok-pokok yang dahulunya menghijau kini sudah tidak berdaun dan hanya tinggal ranting.

Difahamkan, kawasan itu yang dahulunya turut menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara untuk melihat berbagai spesies burung seperti flamingo, burung botak dan kedidi, kini sepi akibat tiada lagi hidupan berkenaan yang singgah di situ.

Seorang nelayan veteran, Mohamad Ismail Ibrahim, 58, berkata, banyak rakannya terpaksa mencari kerja baru kerana tidak tahan dengan pendapatan mereka yang semakin merosot.

"Pendapatan kami sebelum ini mampu mencecah sehingga RM3,000 sebulan, namun kini berkurangan kepada hanya kira-kira RM 1,500.

"Jika ditolak duit minyak enjin, hanya berapa ratus yang tinggal untuk perbelanjaan anak-anak dan isteri. Ada kalanya kami pulang dengan tangan kosong," katanya ketika ditemui di jeti Bagan Sungai Buloh di sini.

Menurut Mohamad Ismail, pencemaran itu bukan sekadar menjejaskan pendapatan, namun ia turut memudaratkan kesihatan.

"Saya diserang penyakit gatal-gatal pada belakang badan. Ada juga rakan-rakan yang mengadu dijangkiti penyakit sama. Apabila pemeriksaan dibuat, doktor memberitahu ia akibat terkena air kotor yang mengandungi bahan beracun," katanya yang telah 45 tahun menjadi nelayan.

Bagi Kahar Buntal, 60, pula, dia menggesa kerajaan membantu mereka serta prihatin dengan masalah yang mereka hadapi selama ini.

Disaat rakyat menghadapi masalah, Menteri Besar seronok dengan makan besar

Menurutnya, perkara itu sudah berlarutan selama sepuluh tahun dan semakin memburuk kebelakangan ini.

"Kawasan ini adalah lubuk kepada pelbagai jenis ikan yang menjadi punca pendapatan kami selama ini. Kami bimbang ia akan pupus sekiranya tiada tindakan sewajarnya diambil.

"Jadi kami harap rintihan kami ini didengar pihak berwajib kerana kami semua adalah nelayan sepenuh masa dan tak mampu untuk ke laut dalam dengan keadaan sampan yang kecil ini," katanya.

Bimbang akan keadaan itu, Kahar mengambil sampel air sungai tersebut sejak 30 Ogos lalu sehingga ke hari ini untuk menunjukkan peningkatan pencemarannya kepada pihak kerajaan negeri.

Seorang lagi nelayan, Jamaluddin Mohd. Isa, 43, pula mengakui kesal dan jemu dengan pihak berkuasa yang tidak sudah-sudah mengadakan perjumpaan dengan mereka namun masih tiada tindakan drastik untuk membersihkan sungai tersebut dibuat.

"Saya kecewa dengan wakil Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang datang banyak kali tetapi sekadar untuk bermesyuarat dan menasihatkan kami agar menjaga kebersihan sungai.

"Lebih teruk, ketika mahu mengambil sampel air sungai ini, wakil tersebut mengarahkan kami (nelayan) berbuat demikian sedangkan itu merupakan tugasnya. Dia juga meminta kami membuat siasatan sendiri untuk mengenal pasti punca pencemaran tersebut," dakwanya.

Selain itu, Jamaluddin yang melabur sebanyak RM100,000 dalam projek ternakan kerang di situ dua tahun lalu terpaksa menanggung kerugian kerana tidak mendapat keuntungan.

"Saya menggunakan wang simpanan sendiri dan meminjam daripada adik-beradik kerana yakin projek ternakan ini akan berjaya memandangkan kerang di kawasan ini terkenal dengan kualitinya.

"Saiz kerang di sini semakin mengecil. Dahulu ia boleh membesar sehingga 16 sentimeter (cm) tetapi kini hanya 10cm sahaja. Kerang ternakan kami juga banyak yang mati akibat terkena air tercemar," katanya dengan nada kesal.

Juragan Malawati..

Sabtu, 29 September 2012

Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati.



Tuan Yang Dipertua,

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk "Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2013 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu" dibaca bagi kali kedua.

MUKADIMAH

Saya mulakan lafaz ucapan Bajet 2013 dengan kalimah mulia Bismillahirrahmanirrahim dan memetik sepotong ayat daripada Surah Al-Baqarah yang diturunkan di Madinah, bahawa:

"Berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua pada hari kiamat untuk menerima balasan. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Saya berdiri di dewan yang mulia pada petang Jumaat yang berbahagia, penghulu segala hari, untuk membentangkan bajet kelima bagi pihak kerajaan semenjak mula memegang amanah selaku Menteri Kewangan Malaysia pada tahun 2008. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana di atas limpah rahmat-Nya jua, kita telah menyaksikan sepanjang tempoh tersebut, melalui usaha kolektif rakan-rakan anggota pentadbiran dengan sokongan Ahli-ahli Parlimen, penjawat awam dan seluruh rakyat Malaysia, negara tercinta ini telah berjaya dilindungi daripada kesan terburuk akibat kegawatan kewangan global. Bahkan, ekonomi negara telah diletakkan di landasan pertumbuhan mapan ke arah transformasi sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Manakala kesejahteraan rakyat pula telah dipertingkatkan secara berterusan.

Sesungguhnya, Bajet 2013 ini sebagai penerus tradisi terbaik Kerajaan Barisan Nasional memakmurkan negara dan membawa kesejahteraan kepada semua rakyat. Ia manifestasi sebuah janji yang ditepati. Sejak 55 tahun lalu, pada setiap peringkat pembangunan negara, rakyat Malaysia telah meletakkan kepercayaan mereka kepada kerajaan yang sama. Terima kasih kita ucapkan atas kepercayaan tersebut. Sekali-kali sepanjang masa dan musim berguling ia tidak pernah dikhianati, sebaliknya pada setiap ketika ia telah dibalas dengan laba pada julat berganda.

Kerajaan ini hakikatnya tidak pernah menjanjikan bulan, bintang mahupun cakerawala. Kita tidak pernah melakar lukisan yang pada hari ini tampak muluk-muluk dan indah tetapi sebenarnya berupa racun yang berbisa. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita tetap menceritakan kebenaran biarpun kelat. Kita tidak pernah mendodoi rakyat dengan dogengan lipurlara sebaliknya sentiasa menawarkan penyelesaian serta kepimpinan bitara terhadap segala permasalahan rakyat.

Telah terbukti tanpa tersanggah lagi bahawa ekonomi Malaysia merupakan ekonomi berteraskan rakyat. Ia hasil wawasan dan aspirasi rakyat. Ia merupakan manifestasi kerja keras dan jerih payah rakyat. Ia sumbangan masyarakat desa dan bandar, golongan profesional serta pekerja kolar biru, petani, buruh, peladang, pekebun kecil, nelayan, guru, pensyarah dan karyawan. Didukung pula para penjawat awam dan usahawan. Di atas segalanya, ia diuruskan secara teliti dan berhemah oleh kerajaan yang meletakkan kebajikan rakyat di atas jemalanya. Inilah formula kejayaan Malaysia.

Sayugia, mengurus sebuah negara majmuk yang kompleks seperti Malaysia bukan perkara mudah. Ia memerlukan keikhlasan dan kebijaksanaan kerana rakyat Malaysia amat cerdik menilai yang mana intan dan yang mana kaca. Hakikat rakyat telah memberi mandat kepada kerajaan ini sebanyak 12 kali tanpa putus semenjak 1959 bermakna sesuatu yang betul telah dilakukan oleh kerajaan sedia ada.

Sesungguhnya waad yang wujud itu, di antara rakyat dan kerajaan selama ini mana mungkin mampu dipunahkan waima sekuat mana pun fitnah dan mehnah melanda. Sehubungan itu, naskhah bajet yang akan saya persembahkan ini merupakan sebuah penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia lantaran terus meletakkan kepercayaan kepada kami di sepanjang ketika.

PRESTASI EKONOMI 2012 DAN PROSPEK 2013

Kerajaan komited dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang meskipun dalam persekitaran global yang tidak menentu dan mencabar. Asas ekonomi yang kukuh serta disokong oleh sistem monetari akomodatif telah membolehkan ekonomi negara berada di landasan teguh. Dalam tempoh separuh pertama 2012, ekonomi negara tumbuh pada kadar 5.1 peratus didorong, terutamanya oleh kekukuhan aktiviti pelaburan dan penggunaan swasta. Negara terus menerima kemasukan pelaburan langsung asing bersih berjumlah RM13.6 bilion selaras dengan peningkatan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama.

Bagi keseluruhan tahun 2012, walaupun pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia sederhana, pertumbuhan ekonomi negara dijangka berkembang kukuh pada kadar 4.5 hingga 5 peratus. Pertumbuhan ini dipacu oleh pelaburan swasta sebanyak 11.7 peratus atau mencapai RM127.9 bilion. Prestasi ini jauh lebih besar berbanding jumlah pelaburan sebanyak RM81 bilion pada tahun 2009. Trend ini menunjukkan aktiviti pelaburan domestik semakin rancak, terutama dengan pelaksanaan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi. Ini mendorong sektor pembinaan terus melonjak tinggi sebanyak 15.5 peratus berbanding 4.6 peratus pada tahun 2011.

Persekitaran ekonomi domestik yang mantap juga mendorong bursa saham mencatat prestasi yang menggalakkan. Ini terbukti dengan Indeks Komposit Bursa Malaysia telah mencecah rekod tertinggi 1,654.11 mata pada 4 September 2012. Nilai modal pasaran telah meningkat sebanyak 44 peratus daripada RM999 bilion pada akhir tahun 2009 kepada RM1.43 trilion pada akhir Julai 2012. Pendapatan per kapita pula meningkat kepada hampir RM31,000 pada tahun 2012 berbanding RM25,000 pada tahun 2009. Rizab antarabangsa pada 14 September 2012 pula kekal kukuh mencatat RM432.2 bilion, mampu membiayai 9.5 bulan import tertangguh dan 3.9 kali hutang luar jangka pendek.

Pada tahun 2013, berdasarkan persekitaran ekonomi global yang dijangka lebih baik, pertumbuhan ekonomi negara diunjur berkembang lebih kukuh pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus. Julung kalinya, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nominal dijangka melepasi paras RM1 trilion. Pertumbuhan lebih baik ini didorong oleh pelaburan dan penggunaan swasta sebanyak 13.3 peratus dan 5.7 peratus. Sektor pembinaan dijangka terus meningkat kukuh 11.2 peratus diikuti oleh sektor perkhidmatan pada kadar 5.6 peratus.

PERUNTUKAN BAJET 2013

Bajet 2013 akan menyediakan peruntukan sejumlah RM251.6 bilion bagi melaksanakan semua langkah, program dan projek pembangunan, menumpukan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Daripada jumlah tersebut, RM201.9 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion bagi peruntukan pembangunan.

Di bawah peruntukan mengurus, sejumlah RM58.6 bilion adalah bagi Emolumen dan RM33.7 bilion disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, RM107.3 bilion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah RM1.1 bilion disediakan untuk Pembelian Aset dan baki RM1.2 bilion untuk perbelanjaan lain.

Bagi peruntukan pembangunan pula, sejumlah RM30 bilion disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah RM11.1 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, RM4.6 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM2 bilion bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2013, jumlahnya dianggarkan RM208.6 bilion, berbanding RM207.2 bilion pada tahun 2012. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan akan terus berkurangan kepada 4.0 peratus daripada KDNK bagi tahun 2013, berbanding 4.5 peratus pada tahun 2012. Ini menunjukkan kerajaan komited untuk terus mengurangkan defisit fiskal ke paras lebih rendah.

FOKUS BAJET 2013

Bajet 2013 digubal dengan fokus untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh negara, memastikan pertumbuhan ekonomi mapan, perbelanjaan berhemah dan mengurangkan defisit fiskal negara dengan matlamat keseluruhan mengutamakan kesejahteraan rakyat. Kerajaan akan memastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik serta manfaat maksimum hasil daripada pelaksanaan program dan projek pembangunan. Oleh itu, Bajet 2013 dirangka bertemakan "MEMAKMUR NEGARA, MENSEJAHTERA RAKYAT: SEBUAH JANJI DITEPATI" dengan memberi penekanan kepada lima fokus utama.

FOKUS PERTAMA:

MERANGSANG AKTIVITI PELABURAN

Pertumbuhan ekonomi negara akan terus dipacu oleh pelaburan langsung asing dan domestik. Dalam tempoh separuh pertama 2012, pelaburan swasta meningkat kepada RM75.3 bilion berbanding RM59.8 bilion bagi tempoh yang sama tahun 2011. Trend ini dijangka berterusan dalam tahun 2013 dengan pelaburan swasta dijangka meningkat kepada RM148.4 bilion.

Kerajaan akan terus memperhebatkan pelaksanaan 12 Bidang Utama Ekonomi Negara. Sejumlah RM3 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan projek permulaan bagi tahun 2013. Ini termasuk RM1.5 bilion bagi projek pertanian seperti kelapa sawit, getah, herba bernilai tinggi dan padi. Sebanyak RM500 juta diperuntukkan untuk projek River of Life bagi mengindahkan Sungai Klang. Manakala, RM300 juta lagi untuk projek pemulihan rangkaian paip dan pembentungan bagi perkhidmatan dan kemudahan air.

Menggalak Pelaburan Domestik

Seterusnya, bagi merangsang pelaburan domestik dan mempercepatkan penyertaan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan global, kerajaan telah menyediakan Dana Strategik Pelaburan Domestik bernilai RM1 bilion di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia. Dana ini bertujuan memanfaatkan aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan teknologi oleh syarikat tempatan. Selain itu, kerajaan juga memperkenalkan semula insentif pengambilalihan syarikat asing dan kadar cukai khas bagi menggalakkan penyedia perkhidmatan tempatan bergabung menjadi entiti lebih besar.

Mempergiat Perusahaan Kecil dan Sederhana

Seperti kita maklum, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memainkan peranan penting dalam transformasi ekonomi negara. Bagi mempercepatkan pertumbuhan industri PKS dan perluasan skop kawasan industri di seluruh negara, dana sebanyak RM1 bilion akan disediakan di bawah Skim Pembangunan PKS bawah kendalian SME Bank. Langkah ini memudahkan akses PKS untuk mendapat pembiayaan dan seterusnya memajukan perniagaan mereka.

Ini selari dengan Pelan Induk PKS (2012 - 2020) yang telah dilancarkan yang bertindak sebagai game changer untuk mempercepatkan pertumbuhan PKS melalui inovasi dan produktiviti. Pelan induk ini melibatkan pelaksanaan 32 inisiatif termasuk 6 Program Berimpak Tinggi dengan peruntukan RM30 juta.

Dalam mempergiatkan Industri Halal, terutamanya membangunkan produk-produk halal berimpak tinggi untuk tujuan eksport, SME Bank dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam akan menyediakan Dana Industri Halal sebanyak RM200 juta bagi membiayai modal kerja PKS terlibat.

Pada masa ini, terdapat 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil menjalankan perniagaan secara tradisional dengan struktur perniagaan kecil dan pendapatan harian tidak menentu. Sehubungan itu, sebagai tanda keprihatinan dengan kekangan yang dihadapi oleh mereka sekiranya berlaku kemudaratan diri, hilang upaya serta kematian, kerajaan mencadangkan skim perlindungan insurans berkelompok kepada penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Skim ini akan memberi had perlindungan maksimum sehingga RM5,000. Buat pertama kalinya, kerajaan akan membiayai skim ini dengan peruntukan sebanyak RM16 juta setahun.

Di samping itu, Perbadanan Nasional Berhad (PNS) akan memperkenalkan program Business In Transformation bagi menyokong usaha bersepadu memodenkan perniagaan golongan penjaja dan peniaga kecil kepada standard yang lebih tinggi dan berdaya saing dengan menggunakan model licensing atau franchising. Program ini akan memberi bimbingan dan khidmat nasihat ke atas konsep perniagaan baru seperti kedai bergerak, kiosk dan perniagaan atas talian. Untuk ini, PNS akan menyediakan kemudahan kepada penjaja dan peniaga kecil dengan pinjaman sehingga RM25,000 bagi licensee dan RM500,000 kepada licensor.

Malaysia Sebagai Hab Minyak dan Gas

Kita bersyukur kerana dikurniakan punca galian berharga iaitu minyak dan gas asli di pesisir pantai. Kerajaan bermatlamat menjadikan Malaysia daripada sekadar pengeluar, kepada salah satu hab dagangan minyak dan gas bersepadu utama dunia.

Jadi, kerajaan telah mengambil beberapa langkah strategik meningkatkan keupayaan negara terutamanya dalam menyediakan ekosistem yang berupaya menyokong pembangunan rantaian penapisan, penyimpanan dan dagangan. Bagi mendokong penglibatan pengusaha swasta dalam pembangunan industri minyak dan gas, pelbagai insentif cukai dan insentif bukan cukai istimewa telah dirangka. Ini termasuk bantuan kos pengambilalihan tanah dan bantuan kewangan sebagai tipping point projek perkongsian awam swasta, pengecualian cukai pendapatan 100 peratus untuk tempoh 10 tahun, pengecualian cukai pegangan dan pengecualian duti setem.

Bagi pelaburan dalam aktiviti penapisan produk petroleum, Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus untuk tempoh 10 tahun diberi kepada yang layak. Hasil insentif, pelbagai projek pelaburan minyak dan gas bernilai AS$20 bilion telah dimulakan termasuk projek Petronas Refinery and Petrochemical Integrated Development atau Rapid, Terminal Simpanan Minyak dan Gas di Johor, Loji Regasifikasi di Melaka dan terminal minyak serta gas di Sipitang, Sabah.

Pada tahun lepas, kerajaan juga telah melancarkan Program Global Incentive for Trading atau GIFT dengan galakan cukai pada kadar 3 peratus. Sehubungan dengan permintaan global LNG yang dijangka mencecah 400 juta tan setahun pada tahun 2025, program GIFT ditambah baik dengan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 3 tahun pertama operasi bagi syarikat dagangan. Dagangan komoditi yang diluluskan akan diperluaskan kepada lain-lain komoditi seperti pertanian, bahan mentah bertapis, logam asas dan kimia.

Merancak Sektor Pelancongan

Industri pelancongan merupakan satu sektor pertumbuhan ekonomi penting yang menyumbang hampir 12 peratus KDNK. Jumlah pendapatan daripada sektor pelancongan dianggar akan meningkat kepada RM62 bilion pada tahun 2012. Sempena Tahun Melawat Malaysia 2013/2014, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM358 juta di bawah perbelanjaan pembangunan iaitu peningkatan peruntukan sebanyak 42 peratus dengan sasaran pelancong seramai 26.8 juta orang. Kerajaan juga mencadangkan lanjutan pengecualian cukai pendapatan selama 3 tahun bagi pengusaha pelancongan yang mengendalikan sekurang-kurangnya 750 pelancong asing atau 1,500 pelancong tempatan setahun.

Meningkat Aktiviti Pertanian

Di sudut lain, kerajaan akan terus memberi penekanan kepada sektor pertanian dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan negara dan memastikan kelestarian jaminan bekalan makanan. Diperuntukkan sebanyak RM5.8 bilion, kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Kerajaan menyediakan sebanyak RM30 juta bagi pembangunan program pertanian merangkumi aplikasi penggunaan teknologi tinggi dalam pengeluaran buah dan sayuran, peningkatan pembekalan benih berkualiti, penstabilan harga melalui jualan terus dari ladang, pewujudan pasar ikan rakyat serta penambahbaikan institusi latihan pertanian. Kerajaan juga mempersiapkan sebanyak RM75 juta bagi meningkatkan pengeluaran produk makanan dan kesihatan.

Bagi sektor perladangan pula, di bawah NKEA, sebanyak RM432 juta disediakan untuk program penanaman semula pokok kelapa sawit. Langkah ini akan meningkatkan tuaian hasil buah sawit setahun pada kadar 26.2 tan sehektar pada tahun 2020 berbanding 21 tan sehektar pada masa ini. Di samping itu, sebanyakRM127 juta disediakan untuk pembangunan bahan terbitan oleo bernilai tinggi yang dapat mengubah komposisi industri hiliran ke arah pengeluaran lebih banyak bahan terbitan.

Kelestarian Jaminan Bekalan Makanan

Berkaitan kelestarian jaminan bekalan makanan pada masa akan datang, kawasan jelapang padi sedia ada akan ditambahbaik dengan sistem pengurusan tanamannya secara sistematik. Sebagai tambahan, 4 kawasan jelapang padi baru akan dibuka dan diperluas iaitu di Kota Belud, Batang Lupar, Rompin dan Pekan. Pada masa ini, kawasan jelapang padi bertanam adalah seluas 389 ribu hektar yang mampu menghasilkan sebanyak 1.8 juta tan metrik. Pertambahan 4 lagi kawasan jelapang padi baru seluas 19 ribu hektar dengan penyertaan seramai 12,237 pesawah dijangka menghasilkan 104 ribu tan metrik dengan perbelanjaan sebanyak RM140 juta.

Membela Nasib Petani dan Nelayan

Kerajaan amat menghargai sumbangan para nelayan dan sentiasa memastikan kedudukan sosioekonomi golongan ini bertambah baik dan pendapatan mereka meningkat. Pada masa ini, kerajaan memberi elaun bantuan sara hidup RM200 sebulan yang dapat memanfaatkan 55,000 nelayan berdaftar. Kerajaan juga menyediakan insentif pada kadar 10 sen hingga 20 sen sekilo bagi menggalakkan nelayan mendaratkan hasil tangkapan di jeti-jeti berdaftar seluruh negara.

Kerajaan juga telah memperkenalkan skim perlindungan insurans nelayan dengan perlindungan maksimum RM100,000. Meneruskan hasrat ini, bagi tahun 2013, Kerajaan akan memperuntukkan RM230 juta sebagai insentif tangkapan ikan dan bayaran elaun bantuan sara hidup nelayan. Di samping itu, berdasarkan peruntukan RM300 juta pada Bajet 2012, program pembangunan dan pembaikan rumah nelayan sedang giat dijalankan.

Bagi membantu para petani mengurangkan kos pengeluaran pula, kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif pertanian sedia ada berjumlah RM2.4 bilion. Bantuan ini termasuk subsidi dan insentif untuk sektor padi yang merangkumi Pemberian Subsidi Harga Padi - RM480 juta, Pemberian Subsidi Baja Padi - RM465 juta, Insentif Peningkatan Hasil Padi - RM80 juta, Insentif Pengeluaran Padi - RM563 juta, Subsidi Harga Beras - RM528 juta dan Subsidi Benih Padi Sah - RM85 juta.

Selaras dengan komitmen untuk menjaga kebajikan rakyat, terutama pengusaha sawah, buat julung kalinya, kerajaan akan memperkenalkan Skim Perlindungan Takaful Padi. Skim ini memberi kemudahan perlindungan kepada pengusaha sawah di bawah 10 hektar dan dijangka dapat memanfaatkan 172,000 pesawah. Jumlah pampasan yang dapat diterima dianggarkan bernilai RM13,000 setiap pesawah. Buat permulaan, kerajaan akan memperuntukkan RM50 juta.

Selain itu, kerajaan akan meneruskan Projek Azam Tani yang diperkenalkan pada tahun 2011. Program ini telah berjaya mengeluarkan seramai 1,234 keluarga daripada garis kemiskinan dengan purata pendapatan meningkat di antara 200 hingga 2,000 ringgit sebulan malah beberapa peserta telah berjaya mendapat pendapatan melebihi RM10,000 sebulan. Untuk memperkasakan lagi usaha ini, sebanyak RM41 juta akan diperuntukkan bagi memberi manfaat kepada 6,730 peserta.

Mencergaskan Pasaran Modal dan Kewangan

Pasaran modal negara berkembang pesat walaupun terdapat ketidaktentuan dalam ekonomi global. Malaysia terus menerajui terbitan sukuk dengan menyumbang 71 peratus atau RM171 bilion daripada jumlah terbitan sukuk global dalam tempoh tujuh bulan pertama 2012. Ini terbukti dengan terbitan sukuk tunggal terbesar di dunia oleh PLUS Berhad bernilai RM30.6 bilion.

Di samping itu, industri pengurusan dana dan amanah saham menunjukkan pertumbuhan kukuh dalam tempoh pertama 2012 dengan aset yang diuruskan meningkat kepada RM451.9 bilion dan nilai aset bersih sebanyak RM277.8 bilion.

Pada tahun 2012, pasaran ekuiti negara telah mencatat peningkatan yang monumental dengan menyaksikan tawaran awam awal atau IPO yang bernilai RM17.4 bilion. Ia merupakan peningkatan 162 peratus berbanding 2011. Sejarah tercipta apabila dua daripada tiga IPO terbesar di dunia iaitu Felda Global Ventures Holdings (FGVH) dengan nilai RM9.9 bilion dan IHH Healthcare Berhad dengan nilai RM6.3 bilion telah diterbitkan. Terkini, Astro akan disenaraikan pada bulan Oktober 2012 dengan jangkaan nilai terbitan yang besar.

Untuk terus mencergaskan pasaran modal dan ekuiti negara, Suruhanjaya Sekuriti akan menyediakan rangka kerja bagi terbitan AgroSukuk untuk syarikat yang terlibat dalam sektor pertanian, terutamanya dengan kejayaan penyenaraian FGVH. Dengan terdapatnya instrumen seperti AgroSukuk, ia dapat mengumpulkan modal bagi membiayai syarikat-syarikat pertanian dan industri asas tani. Justeru, untuk menggalakkan terbitan AgroSukuk, Kerajaan mencadangkan perbelanjaan bagi menerbitkan sukuk tersebut diberi potongan cukai dua kali bagi tempoh 4 tahun mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.

Selain daripada pelabur institusi, buat pertama kalinya, kerajaan menggalakkan pelabur runcit menyertai pasaran modal. Bagi tujuan ini, SC telah menyediakan satu rangka kerja terbitan bon dan sukuk runcit untuk membolehkan pelabur-pelabur runcit memiliki pegangan dalam pasaran bon dan sukuk. Sebagai permulaan, DanaInfra Nasional Berhad akan menerbitkan bon runcit bernilai 300 juta pada akhir tahun 2012 untuk membiayai pembangunan projek MRT.

Bagi mendorong syarikat menerbitkan bon dan sukuk runcit, kerajaan mencadangkan perbelanjaan tambahan menerbitkan bon dan sukuk runcit tersebut diberi potongan cukai dua kali mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015. Pada masa yang sama, pelabur individu pula, diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara yang terlibat dalam urus niaga bon dan sukuk runcit.

Suruhanjaya Sekuriti akan menubuhkan Pusat Promosi Pasaran Modal bagi memastikan keberkesanan dan promosi secara holistik pasaran modal Malaysia di peringkat antarabangsa. Pusat ini akan memastikan pendekatan bersepadu dengan menyediakan inisiatif yang konsisten untuk menempatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan pendanaan.

Bagi meningkatkan penawaran golongan profesional untuk menyokong pertumbuhan pasaran modal, SC akan memperkenalkan inisiatif Graduate Representative Program. Program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama sektor swasta bagi melatih 1,000 graduan supaya dapat memenuhi keperluan industri sekuriti dan derivatif.

Menggalakkan Amanah Perniagaan (Business Trust)

Pengendalian perniagaan melalui suatu entiti amanah mempunyai kelebihan tertentu, terutamanya dari segi meningkatkan keupayaan untuk memperoleh sumber kewangan berdasarkan aset yang dimiliki. Dengan itu, kerajaan telah meminda Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 untuk menyediakan pilihan pengendalian perniagaan melalui struktur baru iaitu amanah perniagaan (business trust).

Selaras dengan ini, kerajaan mencadangkan amanah perniagaan diberi layanan cukai sama seperti sesebuah syarikat. Seterusnya, bagi menggalakkan pembangunan amanah perniagaan, adalah dicadangkan pindah milik perniagaan, aset dan hartanah milik syarikat kepada amanah perniagaan diberi pengecualian duti setem dan pengecualian cukai keuntungan harta tanah di peringkat awal penubuhan amanah perniagaan.

Kerajaan telah menubuhkan Danajamin Nasional Berhad agar syarikat yang berdaya maju mendapat dana melalui pasaran bon pada kos yang munasabah. Danajamin telah meluluskan jaminan berjumlah RM9.3 bilion nilai terbitan bon kepada 30 syarikat dengan RM4.2 bilion bon dan sukuk telah diterbitkan. Langkah ini telah membolehkan syarikat menjana aktiviti ekonomi dalam pelbagai sektor termasuk hartanah, infrastruktur, perladangan, minyak dan gas, pembinaan, perkilangan serta penerbangan.

Bagi merancakkan lagi akses syarikat ke pasaran modal, kerajaan akan menambah peruntukan modal Danajamin sebanyak RM400 juta dalam tempoh 2 tahun. Suntikan ini dapat melipatgandakan nilai terbitan antara RM4 hingga RM6 bilion.

Kerajaan turut mengumumkan penubuhan Yayasan Pasaran Modal sebagai usaha bersepadu meningkatkan kompetensi dan keupayaan untuk bersaing dalam landskap pasaran modal yang lebih dinamik. Yayasan ini akan memberi fokus kepada 3 aspek utama iaitu pembangunan PKS; menggalak dan menyokong produk inovasi dan pembangunan modal insan. Sehubungan dengan itu, sejumlah RM100 juta akan disediakan kepada Yayasan ini melalui Tabung Pembangunan Pasaran Modal di bawah kawal selia SC.

Sebagai salah satu inisiatif untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan antarabangsa serta menarik FDI, kerajaan telah melancarkan Tun Razak Exchange atau TRX pada 30 Julai 2012 dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM26 bilion. TRX akan memberi peluang pelaburan baru dengan menghubungkan komuniti perniagaan dan pasaran global. TRX dijangkakan menarik 250 syarikat perkhidmatan kewangan antarabangsa dan menawarkan 40,000 peluang pekerjaan mahir dan berpengetahuan.

Untuk mengalakkan institusi kewangan antarabangsa utama menjadikan Kuala Lumpur sebagai pilihan pelaburan, pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 10 tahun kepada syarikat berstatus TRX, pengecualian duti setem, elaun bangunan industri, elaun modal dipercepatkan kepada syarikat berstatus TRX Marquee dan pengecualian cukai bagi pemaju hartanah telah diberikan. Kerja pembinaan awal TRX berjalan lancar mengikut jadual. Manakala, pengalihan kemudahan utiliti sedia ada di tapak TRX pula sedang giat dijalankan dan dijangka selesai pada Oktober 2012.

Wakaf Korporat

Kerajaan mengambil maklum bahawa Majlis Agama Islam Negeri merupakan pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf dan dana wakaf dalam sesebuah negeri. Institusi wakaf di Malaysia tidak hanya tertumpu pada pembangunan tanah semata-mata tetapi juga merangkumi wakaf dalam bentuk tunai, saham dan instrumen kewangan lain yang dikategorikan sebagai wakaf korporat. Selaras dengan itu, Yayasan Wakaf Malaysia di bawah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) akan diberi tanggungjawab untuk merangka pelan induk Wakaf Korporat mengambil kira struktur perundangan Agama Islam Negeri. Pelan induk ini bakal menjadi platform pembangunan wakaf korporat di Malaysia.

Pembangunan Usahawan Bumiputera

Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan syarikat bumiputera dapat bersaing secara seimbang dalam pemilikan syarikat besar, pekerjaan berpendapatan tinggi serta pelaburan dalam sektor utama ekonomi. Pada tahun 2010, ekuiti bumiputera telah meningkat kepada 23 peratus berbanding 22 peratus pada tahun 2008. Salah satu usaha ialah meningkatkan penglibatan syarikat bumiputera dalam pelaksanaan jajaran pertama projek MRT. Sesungguhnya, penglibatan syarikat bumiputera dalam projek berimpak tinggi seperti MRT akan meningkatkan keupayaan dan kemahiran syarikat bumiputera tempatan. Justeru, sebanyak RM9 bilion atau 43 peratus daripada nilai kos infrastruktur projek MRT diperuntukkan kepada syarikat bumiputera.

Usaha juga akan diambil bagi membantu syarikat PKS bumiputera untuk berkembang dan mempertingkatkan pegangan ekuiti dalam sektor ekonomi. Sehubungan ini, Dana Pembiayaan Bumiputera berjumlah RM1 bilion akan disediakan oleh SME Bank. Dana ini dijangka dapat membantu PKS tempatan bagi tujuan membiayai pengambilalihan anak syarikat milik GLC yang menjalankan aktiviti bukan teras dan telah dikenal pasti untuk dijual. Setakat ini, 2 GLC telah mengenal pasti anak-anak syarikat yang berpotensi untuk dijual kepada pelabur-pelabur bumiputera.

Kerajaan telah memperkenalkan Skim Jaminan Modal Kerja dengan dana sebanyak RM10 bilion bagi membantu syarikat PKS mendapatkan akses pembiayaan modal kerja. Skim ini memberi jaminan maksimum sehingga RM2.5 juta bagi setiap syarikat yang layak. Pada masa ini, dana Skim ini yang dikhaskan kepada syarikat bumiputera masih berbaki RM900 juta. Bagi menarik lebih banyak syarikat bumiputera menikmati kemudahan Skim ini, Kerajaan akan melanjutkan tempoh tamat program skim ini sehingga 31 Disember 2013, memperluas skim ini kepada syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi dan meningkatkan kelayakan dana pemegang saham syarikat daripada RM10 juta tidak melebihi RM20 juta.

Kemudahan pinjaman secara mudah dan cepat sering kali menjadi kekangan kepada usahawan kecil terutama Bumiputera. Dengan tertubuhnya Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), usahawan kecil kini mampu memulakan dan memajukan lagi perniagaan mereka. Sehingga kini, TEKUN telah menyalurkan pinjaman sebanyak RM2.24 bilion kepada 224,175 usahawan kecil di seluruh negara termasuk sejumlah RM34.5 juta kepada 4,212 usahawan masyarakat India di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India. Bagi tahun 2013, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM350 juta, termasuk daripadanya RM50 juta kepada masyarakat India.

FOKUS KEDUA:

MEMPERKASA PENDIDIKAN DAN LATIHAN

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

Sememangnya sejak merdeka, kerajaan telah menjadikan bidang pendidikan sebagai agenda utama negara. Kerajaan juga menyedari pelaburan dalam bidang ini adalah prasyarat kepada sebuah negara yang makmur dan pembangunan rakyat yang sejahtera. Lalu, setiap tahun menyaksikan peruntukan besar dan kali ini 21 peratus daripada keseluruhan bajet. Namun, didapati hasil yang diperolehi tidak setara dengan pelaburan yang telah dibuat. Maka, pada 11 September lepas, kerajaan melalui Kementerian Pelajaran telah melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi memastikan sistem pendidikan negara akan mampu mengoptimumkan potensi setiap anak Malaysia.

Bagi Bajet 2013, sebanyak RM38.7 bilion telah diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran meliputi peruntukan mengurus dan pembangunan.

Berbicara tentang itu, langkah meningkat upaya kompetensi dan kualiti guru merupakan prasyarat kritikal yang menunjang kejayaan sistem pendidikan negara. Oleh itu, bagi menjana mula prakarsa ini, di samping RM38.7 bilion peruntukan kepada Kementerian Pelajaran bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan, kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta bagi meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran subjek-subjek teras, yakni Bahasa Kebangsaan, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik melalui pendekatan Higher Order Thinking Skills. Peruntukan ini juga merangkumi penubuhan Unit Pelaksanaan Pendidikan atau Education Delivery Unit bagi memantau dan menilai keberkesanan pelaksanaan transformasi pelan tersebut.

Pada pembentangan Bajet 2012, kerajaan telah menyediakan sebanyak RM1 bilion di bawah Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan. Untuk meneruskan komitmen kerajaan, sukacita saya mengumumkan tambahan RM1 bilion lagi kepada Tabung khas ini. Daripada jumlah ini, RM400 juta akan disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan, RM100 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, RM100 juta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, RM100 juta Sekolah Mubaligh, RM100 juta Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, RM100 juta Sekolah Berasrama Penuh dan RM100 juta kepada Maktab Rendah Sains Mara.

Memperkukuh Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Melangkah ke ruang pendidikan awal kanak-kanak, kualiti pendidikan prasekolah amat penting sebagai platform melengkapkan kanak-kanak dengan pendidikan asas. Untuk ini, sebanyak RM1.2 bilion disediakan bagi tujuan pendidikan prasekolah termasuk kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat, Kementerian Pelajaran, PERMATA dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional. Sebagai tambahan, sebanyak RM380 juta disediakan di bawah Kementerian Pelajaran untuk penempatan guru prasekolah.

Berhubung perkhidmatan taska dan pusat jagaan kanak-kanak yang berkualiti pula, demi memastikan kanak-kanak mendapat penjagaan sempurna di samping membangunkan perkembangan minda yang positif, kerajaan mencadangkan insentif-insentif berikut:

Pertama: Geran pelancaran RM10 ribu kepada penyedia Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak (ECCE) swasta untuk membantu mereka membuka taska baru yang berkualiti. Dianggarkan 1,000 ECCE swasta baru akan mendapat manfaat;

Kedua: Potongan cukai 2 kali ke atas elaun atau subsidi yang diberi kepada pekerja dan perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan taska dan pusat jagaan kanak-kanak akan diberi kepada majikan;

Ketiga: Pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 5 tahun dan elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus setahun diberi kepada pengusaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak swasta; dan

Keempat: Pengecualian cukai pendapatan untuk tempoh 5 tahun dan elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus setahun kepada pengusaha pra-sekolah swasta.

Pada masa ini, kita dapati ramai kanak-kanak kurang upaya dari keluarga berpendapatan rendah yang tidak mendapat pendidikan awal kerana kekurangan taska OKU. Untuk ini kerajaan akan melaksanakan projek perintis taska OKU bagi 6 kategori kanak-kanak OKU yang merangkumi down syndrome, autisme, penglihatan, pekak dan bisu, fizikal dan OKU masalah pembelajaran.

Latihan dan Kemahiran

Berganjak kepada soal modal insan, yang berpengetahuan, kreatif dan inovatif, program latihan akan dibentuk untuk mengasah kemahiran baru selaras dengan keperluan industri masa depan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan maju. Bagi tujuan ini, pada tahun 2013, sejumlah RM3.7 bilion akan disediakan untuk melatih pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional.

Setiap tahun hampir 180 ribu graduan berkelulusan diploma dan sarjana muda menamatkan pengajian daripada institusi pengajian tinggi. Untuk membantu mereka yang masih menganggur, maka kerajaan akan melancarkan Graduate Employability Blueprint pada penghujung tahun 2012. Rangka kerja ini akan memberi tumpuan untuk memperkukuh kebolehpasaran graduan. Dalam hal ini, kerajaan akan menubuhkan Graduate Employability Taskforce dengan peruntukan RM200 juta.

Kerajaan telah melaksanakan Program Skim Latihan 1Malaysia atau dikenali sebagai SL1M yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan melalui latihan soft-skills dan on-job-training di syarikat swasta melalui galakan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan oleh pihak syarikat. Galakan ini telah diberi mulai 1 Jun 2012 sehingga tahun 2016.

Kerajaan juga memperuntukkanRM440 juta kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran bagi memberi pinjaman kepada pelatih untuk menjalani latihan kemahiran. Langkah ini akan dapat memanfaatkan hampir 40,000 pelatih di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia tahap 1 hingga 5. Kerajaan juga memperuntukkan RM366 juta bagi menaik taraf serta pembelian peralatan Institut Latihan Perindustrian dan Institut Kemahiran Belia Negara.

Pelbagai program latihan kemahiran akan dilaksanakan selaras dengan matlamat mentransformasikan industri utama negara berteras kepada teknologi tinggi, berinovatif serta berpendapatan tinggi. Ke arah ini, tumpuan akan diberi bagi melahirkan tenaga kerja profesional dan berbakat di dalam industri terpilih termasuk industri minyak dan gas, perkapalan, ICT, kreatif serta bioteknologi. Bagi tahun 2013, dijangka seramai 5,000 pelatih akan menyertainya. Di samping itu, Petronas akan menggunakan kemudahan Institut Kemahiran Belia Negara di Pengerang, Johor untuk melatih seramai 300 orang belia menjelang akhir tahun ini dalam bidang minyak dan gas bagi memenuhi keperluan projek RAPID.

Kerajaan sedar tentang pelajar miskin masyarakat India, terutamanya dari estet-estet yang tidak memperolehi keputusan yang baik dalam peperiksaan dan tidak berpeluang untuk mendapat pekerjaan. Selaras dengan itu, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk melatih 3,200 pelajar masyarakat India bagi memperlengkapkan mereka dengan kemahiran, selaras permintaan pasaran. Latihan ini akan dikendalikan oleh Institut Latihan Perindustrian dan kolej-kolej di bawah Skim Latihan Dual Nasional.

Bagi memastikan golongan pekerja swasta adalah sentiasa sihat dan produktif dalam menyumbang kepada pembangunan syarikat dan ekonomi negara, aspek kesihatan mesti diberi keutamaan. Untuk ini, PERKESO akan menyediakan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi membolehkan ahlinya seramai 1.4 juta orang menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma di hospital kerajaan atau klinik panel PERKESO. Pemeriksaan kesihatan ini bertujuan untuk mengesan penyakit tidak berjangkit, kepada semua pekerja yang berumur antara 40 hingga 55 tahun.

FOKUS KETIGA:

MEMBUDAYA INOVASI, MENINGKAT PRODUKTIVITI

Harta Intelek (IP) Sebagai Cagaran

Bagi membolehkan PKS menggunakan harta intelek sebagai nilai komersial dan instrumen untuk mendapatkan pembiayaan memajukan perniagaan, satu model penilaian harta intelek akan diwujudkan bagi membenarkan ia dinilai secara komersial dan seterusnya digunakan sebagai cagaran memperoleh pembiayaan dari institusi kewangan. Bagi maksud ini, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:

Pertama: Mewujudkan skim Dana Pembiayaan Harta Intelek berjumlah RM200 juta. Skim ini akan ditawarkan oleh Malaysia Debt Ventures. Kerajaan akan memberi subsidi kadar faedah sebanyak 2 peratus dan jaminan sebanyak 50 peratus melalui Credit Guarantee Corporation; dan

Kedua: Menyediakan peruntukan sebanyak RM19 juta bagi program latihan penilai harta intelek tempatan kendalian Perbadanan Harta Intelek serta mewujudkan platform pasaran harta intelek.

Penyelidikan dan Pembangunan

Aktiviti R&D pula akan terus diberi penekanan. Pelbagai penemuan dan hasil R&D institusi penyelidikan awam berpotensi untuk dikomersialkan. Maka, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM600 juta kepada 5 buah universiti penyelidikan bagi menjalankan penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang strategik seperti nano teknologi, automatif, bio-teknologi serta aero-angkasa.

Untuk merancakkan aktiviti pengkomersialan penemuan R&D institusi penyelidikan awam, Kerajaan mencadangkan galakan cukai sedia ada bagi pengkomersialan penemuan R&D berasaskan aktiviti sumber diperluaskan kepada aktiviti berasaskan bukan sumber yang digalakkan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986. Galakan cukai tersebut adalah:

Pertama: Syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiarinya yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi potongan cukai bersamaan dengan jumlah pelaburan yang dibuat dalam syarikat subsidiari tersebut; dan

Kedua: Syarikat subsidiari yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 10 tahun.

Mempergiat Pelaburan Modal Teroka oleh Pelabur Individu

Merujuk usahawan muda tempatan, sememangnya didapati mereka mempunyai idea dan produk inovatif yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa namun berhadapan sumber pembiayaan terhad. Oleh itu, sebagai sumber pembiayaan alternatif, penglibatan secara langsung pelabur pemangkin atau angel investors di peringkat awal perniagaan adalah amat penting bagi merealisasikan pelaburan dan daya saing syarikat teroka. Sehubungan itu, Kerajaan mencadangkan potongan cukai bersamaan jumlah pelaburan oleh pelabur pemangkin dalam syarikat teroka dibenarkan ditolak daripada semua jenis pendapatannya.

Menyemarak Inovasi Inklusif

Bagi memastikan pembangunan inklusif, Kerajaan akan terus merancang dan melaksanakan program serta aktiviti berintensifkan pengetahuan, kreativiti dan inovasi. Menuju ke tahun 2020, menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, inovasi akan terus diperkukuh dan diarusperdanakan dalam semua sektor dan segenap lapisan masyarakat. Melalui Bajet 2013, inisiatif ini akan diambil oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama agensi Agensi Inovasi Malaysia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Pembangunan Teknologi Hijau

Dalam Bajet 2010, kerajaan telah mewujudkan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (SPTH) dengan dana berjumlah RM1.5 bilion untuk tempoh 3 tahun, yang akan berakhir pada 31 Disember 2012. Dana ini membolehkan syarikat pengeluar dan syarikat pengguna teknologi hijau membuat pinjaman mudah dengan kerajaan menanggung subsidi 2 peratus daripada jumlah kadar faedah dan jaminan kerajaan 60 peratus. Sehingga kini, hampir RM800 juta telah diluluskan kepada 50 syarikat tempatan. Bagi merancakkan lagi pengeluaran dan penggunaan produk berasaskan teknologi hijau, dana skim ini akan ditambah sebanyak RM2 bilion dan tempoh permohonan skim SPTH ini dilanjutkan untuk tempoh 3 tahun lagi iaitu sehingga 31 Disember 2015.

FOKUS KEEMPAT:

KONSOLIDASI FISKAL DAN MEMPERCEKAP PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM

Sesungguhnya, kerajaan komited dalam memastikan defisit fiskal terus berkurangan dan negara berada pada landasan yang betul bagi mencapai bajet berimbang. Dalam hal ini, semua kementerian dan agensi perlu memastikan peruntukan mengurus dan pembangunan dibelanjakan bagi perkara yang benar-benar perlu dan penting dalam menyokong pelaksanaan dasar dan program negara.

Kerajaan akan memastikan hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi paras 55 peratus kepada KDNK dan defisit fiskal terus berkurangan kepada 3 peratus menjelang 2015. Antara langkah yang akan dan telah diambil termasuk memastikan kutipan hasil ditingkatkan dengan mengukuhkan sistem percukaian dan memastikan semua perolehan dan pembelian Kerajaan adalah berdasarkan prinsip value for money.

Selain daripada peralihan sistem subsidi pukal kepada subsidi bersasar, kajian semula sistem percukaian kebangsaan akan diteruskan bagi memastikan sistem cukai negara akan lebih menggambarkan kedudukan kewangan setiap isi rumah. Peralihan daripada sistem cukai berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih menyeluruh serta saksama akan pada analisa akhirnya memanfaatkan semua rakyat Malaysia.

Langkah ini tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa mahupun semberono tetapi setelah kajian teliti dan pelaksanaan penuh tertib. Ia tidak akan mengesankan rakyat terbanyak khususnya golongan berpendapatan rendah serta sederhana kerana perkara-perkara asas sama ada makanan, perumahan mahupun pengangkutan awam akan terus dilindungi.

Pelaksanaan struktur baru cukai ini sudah menjadi sebagai satu imperatif nasional bagi memastikan kelestarian sistem kewangan negara terus utuh untuk generasi masa depan Malaysia. Kerajaan tidak akan mengelak dari mengambil tindakan yang betul walaupun ianya penuh liku.

Walau bagaimanapun, ruang masa yang mencukupi akan tetap disediakan oleh Kerajaan agar semua pihak dapat membuat persiapan yang sewajarnya. Penerimaan rakyat ke atas inisiatif baru ini akan diperoleh dengan program penerangan, pendidikan serta rundingan secara ekstensif.

Dalam memberi perkhidmatan terbaik, penjawat awam mesti menerapkan budaya produktiviti, kreativiti dan inovasi. Amalan kerja pula mestilah cepat, tepat dan berintegriti. Langkah ini akan mencetuskan paradigma baru dan seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap prestasi perkhidmatan awam lebih efisien dan efektif serta lebih responsif.

Kerajaan tidak lupa akan jasa pesara yang pernah mencurahkan khidmat bakti dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada negara. Sehubungan itu, kerajaan akan menyelaras semula pencen pesara kerajaan yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun dengan menaikkan pencen minimum daripada RM720 kepada RM820. Pelarasan pencen ini akan mengambil kira bayaran pencen bermula 1 Januari 2012. Langkah ini melibatkan seramai 50,371 pesara, termasuk penerima pencen terbitan, dengan peruntukan tambahan sebanyak RM60 juta setahun.

Sebagai pengiktirafan kepada golongan warga emas, kerajaan mencadangkan caj bayaran pemprosesan pasport dikurangkan sebanyak 50 peratus iaitu daripada RM300 kepada RM150 untuk tempoh sah laku 5 tahun. Manakala, bagi caj bayaran pengurusan pasport untuk tempoh dua tahun dikurangkan kepada RM80. Pengurangan caj bayaran pasport ini juga diperluaskan kepada kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah. Kadar bayaran baru ini akan berkuat kuasa pada Januari 2013.

Penambahbaikan Skim Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia

Bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia mempunyai modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, serta merealisasikan visi dan hala tuju strategik ATM sesuai dengan keperluan semasa, kerajaan bersetuju untuk menambah baik skim perkhidmatan ATM. Sehubungan itu, syarat lantikan bagi skim perkhidmatan ATM telah ditambah baik dengan kelayakan masuk bagi pegawai ditingkatkan kepada Ijazah Sarjana Muda Kepujian dan bagi askar laskar kelayakan masuk minimum ditingkatkan ke peringkat SPM dan Diploma berdasarkan skop tugas.

Mengambil kira keunikan perkhidmatan ATM, kerajaan bersetuju untuk meningkatkan peluang kenaikan pangkat anggota ATM melalui kaedah kenaikan secara time-based anggota berpangkat prebet ke Lans Koperal dan Lans Koperal ke Koperal dalam tempoh 8 tahun dengan memenuhi syarat-syarat serta prestasi yang memuaskan. Ini adalah bagi meningkatkan peluang kemajuan kerjaya serta motivasi anggota ATM. Usaha ini akan memberi faedah kepada seramai 78,123 anggota dan melibatkan peruntukan sebanyak RM107 juta.

Di samping itu, kerajaan juga bersetuju memberikan bayaran insentif khas dengan kadar RM200 sebulan kepada semua pegawai dan anggota ATM seramai 125,708 orang berkuat kuasa 1 Januari 2013. Langkah ini akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM301 juta.

Kerajaan menghargai peranan pasukan simpanan angkatan tentera sebagai pelengkap dan sokongan kepada angkatan tetap ATM. Bagi menghargai sumbangan mereka, Kerajaan bersetuju untuk menyelaras elaun khidmat bertugas daripada RM4 sejam bagi anggota biasa kepada RM6 sejam dan bagi pegawai, RM5.80 sejam kepada RM7.80 sejam melibatkan 65,000 anggota simpanan angkatan tentera merangkumi Askar Wataniah serta Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut dan Udara di seluruh negara. Kadar baru ini telah pun dikuatkuasakan untuk RELA, JPAM dan PVR sebelum ini.

Kerajaan juga tidak lupa jasa bakti pahlawan negara. Untuk membantu bekas tentera yang bersara awal kerana berkhidmat kurang daripada 21 tahun serta tidak berpencen, Kerajaan bersetuju untuk memberi sumbangan sebanyak RM1,000 secara one-off kepada mereka. Peruntukan sebanyak RM224 juta yang melibatkan 224,000 bekas tentera ini akan dikongsi bersama oleh Kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Kerajaan juga akan memperkenalkan Skim Perlindungan Insurans Berkelompok kepada anggota tentera dan polis yang sedang berkhidmat dengan peruntukan RM12 juta. Skim ini akan memberi had perlindungan maksimum sehingga RM15,000 kepada hampir 242,000 anggota tentera dan polis.

Pada masa ini, kerajaan meminjam sebanyak RM6 bilion setahun untuk membiayai keperluan pinjaman perumahan penjawat awam yang diuruskan oleh Bahagian Pinjaman Perumahan, Kementerian Kewangan. Sebagai sebahagian daripada usaha konsolidasi fiskal dan mengurangkan beban tanggungan kewangan kerajaan, BPP akan disusun semula di mana Kerajaan akan melantik panel bank komersial untuk menguruskan pinjaman perumahan kerajaan yang baru berkuat kuasa Januari 2013. Segala manfaat dan bantuan sedia ada yang dinikmati oleh penjawat awam akan tetap dikekalkan malah ditambah baik. Penjawat awam masih tetap membayar 4 peratus kadar faedah ke atas pinjaman perumahan.

Selain itu, pada masa ini, wang proses yang dikenakan bagi setiap permohonan pinjaman perumahan penjawat awam adalah sebanyak RM1 bagi setiap RM1,000 pinjaman yang dipohon bagi pinjaman kali pertama dan RM2 bagi pinjaman kali kedua. Bagi mengurangkan beban kewangan dan memudahkan proses kelulusan pinjaman, Kerajaan bersetuju untuk menetapkan wang proses ini pada kadar RM100 bagi setiap permohonan tanpa mengambil kira jumlah pinjaman yang dipohon.

Kerajaan turut memberi perhatian untuk meringankan beban kos sara hidup bagi pelatih-pelatih yang mengikuti kursus pra perkhidmatan di peringkat ijazah, diploma dan sijil. Dengan ini, kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun pra perkhidmatan yang melibatkan 31,135 pelatih. Skim perkhidmatan yang terlibat adalah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Penolong Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Farmasi, Juru X-Ray, Jururawat, Jururawat Pergigian, Jurupulih Perubatan, Juruteknologi Makmal Perubatan, Juruteknologi Pergigian, Jururawat Masyarakat, Pembantu Kesihatan Awam dan Pembantu Pembedahan Pergigian. Untuk ini, sebanyak RM84.2 juta akan disediakan.

FOKUS KELIMA:

MENSEJAHTERAKAN RAKYAT

Kerajaan juga akan menyediakan RM6 bilion pada tahun 2013 di bawah Insentif Pembiayaan Swasta yakni PFI 2 untuk melaksanakan pelbagai projek dan program untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara. Antara projek yang telah dikenal pasti termasuk membaik pulih dan menyelenggara sekolah serta klinik kesihatan, projek perumahan, projek tangki air, rancangan tebatan banjir dan penyediaan kemudahan sukan.

Mewujud Kejiranan Yang Selamat dan Harmoni

Kerajaan telah memperkenalkan langkah mengurangkan kadar jenayah sebagai salah satu inisiatif di bawah NKRA. Usaha mengurangkan kadar jenayah akan terus dipertingkatkan. Untuk tujuan ini, peruntukan sejumlah RM591 juta akan disediakan bagi tahun 2013 untuk melaksanakan langkah-langkah berikut:

Pertama : Menambah bilangan perjawatan baru Polis DiRaja Malaysia pada 2013 untuk melaksanakan tugas-tugas rondaan dan pencegahan jenayah serta menaik taraf infrastruktur dan menyediakan peralatan moden;

Kedua: Menubuhkan Unit Rondaan Bermotosikal memantau kawasan perumahan. Untuk ini, kerajaan akan menyediakan 1,000 buah motosikal dengan peruntukan sebanyak RM20 juta;

Ketiga: Menambah bilangan ahli Pasukan Sukarelawan Polis seramai 10,000 orang dengan peruntukan RM70 juta bagi membantu polis membanteras jenayah; dan

Keempat : Menambah pemasangan Sistem Kamera Litar Tertutup atau CCTV sebanyak 496 unit di 25 buah Pihak Berkuasa Tempatan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Kerajaan sedar akan tugas dan tanggungjawab berat pegawai dan anggota Polis DiRaja Malaysia. Kepada warga PDRM saya mendengar rintahan saudari dan saudari sekelian tentang beberapa anomali yang wujud terutamanya dalam perjawatan untuk para pegawai. Kerajaan mendengar dan mengambil maklum kita tidak sekali-kali mengambil mudah tentang soal ini. Kerajaan telah pun mengarahkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam agar kajian komprehensif dilakukan untuk menambahbaik laluan kerjaya warga PDRM. kajian dan segala cadangan yang dibuat hendaklah merundingi semua stakeholder dan hendaklah diselesaikan dalam masa secepat mungkin.

Kerajaan komited memastikan setiap rakyat yang dituduh di mahkamah mempunyai pembelaan sesuai dengan hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan dan telah memberi geran pelancaran sebanyak RM14 juta kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. Kerajaan dengan ini menambah RM20 juta lagi peruntukan untuk tahun 2013.

Penglibatan swasta dan komuniti setempat secara menyeluruh bersama Kerajaan adalah penting bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang selamat. Sehubungan itu, kerajaan akan melaksanakan inisiatif-inisiatif berikut:

Pertama : Menyokong peranan persatuan penduduk bagi tujuan menggalakkan aktiviti rondaan di kawasan kejiranan. Untuk ini, kerajaan bercadang memberi geran berjumlah RM10,000 kepada 4,025 persatuan penduduk yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, dengan kos sebanyak RM40 juta;

Kedua : Mempertingkatkan peranan Rukun Tetangga dalam membantu menjaga keselamatan kawasan perumahan. Untuk ini, kerajaan menyasarkan 6,500 penubuhan kawasan Rukun Tetangga menjelang tahun 2013. Kerajaan akan memperuntukkan RM39 juta bagi membiayai aktiviti KRT;

Ketiga : Menyediakan sepasang pakaian seragam untuk 300,00 anggota RELA yang aktif dengan peruntukan sebanyak RM90 juta; dan

Keempat : Tolakan sepenuhnya perbelanjaan pemasangan alat kawalan keselamatan bagi syarikat-syarikat dalam tahun yang sama ia dibelanjakan, berbanding dengan tolakan semasa iaitu 8 tahun, di bawah galakan Elaun Modal Dipercepatkan. Kerajaan juga bersetuju galakan yang menarik ini turut diberi kepada syarikat pemaju perumahan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Pastinya, kerajaan terus komited untuk membasmi gejala rasuah. Bagi tahun 2013, sebanyak RM276 juta akan diperuntukkan kepada SPRM bagi membanteras rasuah. Untuk ini, kerajaan bersetuju menambah sebanyak 150 perjawatan tambahan setiap tahun sehingga mencapai 5,000 anggota. Langkah ini diharap akan dapat menyokong usaha kerajaan memperbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah.

Memacu Transformasi Komuniti

Kerajaan telah melancarkan Program Transformasi Luar Bandar atau RTP bagi mengukuhkan pembangunan kawasan luar bandar. Untuk komuniti di bandar pula, sukacita saya mengumumkan Program Transformasi Bandar atau UTP. Sejumlah RM200 juta akan disediakan bagi maksud ini. Bagi memastikan penyelarasan strategik di antara RTP dan UTP, National Strategic Coordination Unit akan diwujudkan di bawah Kementerian Kewangan.

Urban Transformation Program adalah inisiatif kerajaan dalam pembangunan komuniti bandar bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kerajaan dan swasta yang efisien, cepat dan mudah diakses. UTC dilaksanakan dengan mengubah suai bangunan kerajaan sedia ada yang kosong atau mengoptimumkan penggunaan bangunan dengan kos yang minimum. Sebagai contoh, di UTC, rakyat boleh membuat pasport dalam tempoh satu jam sahaja, membayar zakat, bil utiliti, cukai pintu, membeli kain dan buku serta menjalankan aktiviti riadah seperti futsal dan gim. Keunikan UTC ini, ia beroperasi bermula dari 8.30 pagi hingga 10 malam, 7 hari seminggu.

Di bawah UTP, kerajaan telah melancarkan 2 Pusat Transformasi Bandar atau UTC iaitu di Melaka dan Kuala Lumpur. Terkini, UTC KL telah menerima purata seramai 4,000 orang sehari. Pelaksanaan UTC akan diperhebatkan dan dilaksanakan secara berperingkat di 6 bandar utama, iaitu Alor Setar, Kuantan, Ipoh, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.

Program Transformasi Luar Bandar

Di luar bandar, kerajaan telah membuka pula Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC di Gopeng, Perak dan Wakaf Che Yeh, Kelantan bagi menyediakan sebuah pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian, perbankan dan insurans, khidmat nasihat perniagaan, latihan dan kemahiran, klinik serta ruang niaga. Berdasarkan manfaat yang diterima, Kerajaan akan terus memperluaskan RTC ke Melaka, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak. Selain itu, Kerajaan juga akan menaik taraf Medan Info Desa seluruh negara sebagai Mini-RTC.

Pembangunan Luar Bandar dan Masyarakat Orang Asli

Kawasan luar bandar akan terus dibangunkan bagi mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar. RM4.5 bilion akan disediakan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan pada tahun 2013 termasuk:

Pertama : Sebanyak RM1.2 bilion disediakan untuk melaksanakan 441 kilometer projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa yang memanfaatkan 220,000 penduduk;

Kedua : Sebanyak RM1.6 bilion diperuntukkan untuk projek infrastruktur utiliti luar bandar bagi projek bekalan air kepada 24 ribu buah rumah dan projek penyambungan bekalan elektrik kepada 19,000 buah rumah;

Ketiga : Sebanyak RM137 juta diperuntukkan bagi membiayai Program Desa Lestari melibatkan 29 buah kampung di seluruh negara dan memanfaatkan 38,000 penduduk. Program utama termasuk menaik taraf kilang pemprosesan hasil laut dan makanan, pembinaan jeti baru, pembinaan pusat pemasaran serta menambah baik pakej dan aktiviti homestay serta rekreasi;

Keempat : Sebanyak RM88 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program pembangunan ekonomi dan projek bekalan air bagi masyarakat Orang Asli; dan

Kelima : Sebanyak RM100 juta bagi membekal 40,000 tangki air menggunakan kaedah tadahan air hujan khususnya di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

Kesihatan Asas Kesejahteraan

Kerajaan akan terus memastikan rakyat dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang memuaskan. Bagi tahun 2013, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM19.3 bilion untuk perkhidmatan mengurus dan pembangunan.

Pembukaan Klinik 1Malaysia telah mendapat sambutan baik dan memberi manfaat dalam meringankan kos rawatan selain memudahkan akses bagi mendapatkan rawatan. Justeru, kerajaan akan memperuntukkan RM20 juta bagi membuka tambahan 70 klinik pada tahun 2013. Klinik 1Malaysia juga akan mula menyediakan perkhidmatan ujian kolesterol dan glukosa serta ujian urin kepada mereka yang memerlukan. Selain itu, sebanyak RM100 juta akan diperuntukkan untuk membaik pulih 350 klinik di seluruh negara, di samping menambah 150 buah mesin dialisis di pusat hemodialisis Kerajaan seluruh negara.

Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Memang benar, wanita bukan sahaja penting dalam pembentukan keluarga bahagia malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Untuk itu, kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi menyokong dwiperanan wanita ini dengan melaksanakan langkah-langkah berikut:

Pertama : Seramai 500 wanita akan dilatih di bawah Program Pengarah Wanita untuk diketengahkan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat;

Kedua : Program Inkubator Keusahawanan Ibu Tunggal (I-KIT) akan dipertingkatkan untuk memberi khidmat nasihat dan latihan kepada ibu tunggal dalam bidang keusahawanan; dan

Ketiga : Program Get Malaysian Business Online (GMBO) bagi membantu 50 ribu usahawan kecil, terutamanya wanita melonjakkan perniagaan dengan meningkatkan jualan secara atas talian dengan geran seribu ringgit melalui peruntukan RM50 juta oleh SKMM.

Keempat : Peruntukan sebanyak RM25 juta untuk kemudahan pemeriksaan percuma ujian Mamogram. Langkah ini dijangka dapat memanfaatkan seramai 100 ribu wanita berumur 40 tahun dan ke atas.

Sesungguhnya kerajaan amat menitikberatkan golongan yang kurang bernasib baik dan berpendapatan rendah dalam memastikan mereka ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara. Justeru, program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diperuntukkan sebanyak RM1.2 bilion meliputi program bantuan warga emas, bantuan kanak-kanak, elaun pekerja orang kurang upaya serta bantuan penyakit kronik.

Kerajaan telah melancarkan program 1AZAM atau Akhiri Zaman Miskin yang bertujuan menyediakan peluang menjana pendapatan kepada golongan berpendapatan rendah. Antara program di bawah inisiatif ini adalah Azam Kerja, Azam Tani, Azam Niaga dan Azam Khidmat. Untuk ini, Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM400 juta yang dijangka dapat memanfaatkan sebanyak 58,330 peserta.

Selain itu, kerajaan telah menyediakan 2 pusat Anjung Singgah bertujuan untuk menempatkan warga emas, kanak-kanak jalanan dan mereka yang memerlukan tempat tinggal sementara sebelum mereka mendapat pekerjaan atau kemudahan tempat tinggal yang tetap. Seterusnya, kerajaan menambah lagi 6 pusat Anjung Singgah. Kerajaan juga akan mewujudkan 5 Anjung Kasih di Hospital Sibu, Miri, Temerloh, Seremban dan Ipoh bagi menyediakan tempat penginapan sementara dan selesa kepada pesakit miskin atau ahli keluarga yang mengiringi pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital kerajaan.

Belia dan Sukan

Sukan adalah pemangkin perpaduan nasional yang terbaik kerana melibatkan semua golongan masyarakat. Nama-nama seperti Lee Chong Wei, Nicol Anne David, Pandelela Rinong, Azizulhasni Awang dan Muhamad Ziyad adalah antara hero dan heroin sukan yang dikagumi. Kejayaan dan pencapaian mereka di peringkat antarabangsa cukup membanggakan. Kerajaan sentiasa memberi penekanan dalam memastikan pembangunan sukan dilaksanakan secara berterusan. Untuk itu, bagi tahun 2013 sebanyak RM738 juta diperuntukkan bagi pembangunan belia dan sukan.

Kerajaan akan memperuntukkan RM15 juta bagi mempersiapkan para atlet ke kejohanan sukan antarabangsa termasuk Sukan SEA 2013, Sukan Para ASEAN 2013, Sukan Komanwel serta Sukan Asia tahun 2014. Sebagai tambahan juga, RM50 juta lagi diperuntukkan untuk tempoh 4 tahun khusus bagi persiapan Sukan Olimpik Rio 2016 di bawah program Road to Rio.

Bagi menggalakkan perkembangan sukan lumba basikal dan badminton, kerajaan akan membina sebuah velodrom tertutup di Seremban dan Akademi Badminton di Bukit Kiara dengan peruntukan sebanyak RM80 juta.

Dalam usaha melahirkan generasi belia yang berpersonaliti tinggi, berintegriti, kreatif dan berinovasi serta berdaya saing, kerajaan melancarkan program Y-Creative yang melibatkan persatuan belia di seluruh negara. Kerajaan juga akan menganjurkan Festival Belia Putrajaya yang merupakan perhimpunan belia terbesar negara bersempena dengan perisytiharan tahun 2013 sebagai tahun kesukarelaan nasional.

Bagi membantu usahawan muda dalam bidang ICT, sebuah yayasan dengan nama New Enterpreneur Foundation akan ditubuhkan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM50 juta. NEF akan menjadi platform bagi program latihan dan bimbingan.

Selain itu, Young Entrepreneur Fund juga diwujudkan dengan peruntukan sebanyak RM50 juta akan disediakan oleh SME Bank. Dana pinjaman mudah ini adalah untuk belia berumur 30 tahun ke bawah dengan subsidi kadar faedah pinjaman sebanyak 2 peratus dan had maksimum pinjaman sebanyak RM100,000 serta tempoh bayaran balik selama 7 tahun.

Kerajaan mengiktiraf peranan belia dalam mengaspirasikan pembangunan negara. Untuk itu, kerajaan akan melancarkan Pertandingan Lautan Biru 1Malaysia For Youth atau 1M4U untuk mereka mempersembahkan idea-idea kreatif dan inovatif menerusi pertandingan di peringkat tempatan, negeri dan kebangsaan. Tiga idea terbaik akan diberikan peruntukan daripada Dana Sukarelawan 1Malaysia.

Sebahagian besar daripada 22 peratus rakyat Malaysia yang menggunakan telefon pintar untuk melayari internet adalah golongan belia. Oleh itu, bagi membuka akses golongan muda kepada lebuhraya maklumat, satu pakej khas akan diperkenalkan oleh kerajaan melalui kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta syarikat telekomunikasi. Melalui Pakej Komunikasi Belia, rebat RM200 akan diberi secara one-off bagi pembelian satu unit telefon mudah alih pintar 3G melalui pengedar-pengedar rasmi. Ia terbuka kepada belia yang berumur 21 hingga 30 tahun berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah. Sebanyak RM300 juta telah disediakan dan akan memanfaatkan 1.5 juta belia.

Mengiktiraf Karyawan dan Seniman

Menjengah peranan karyawan, budayawan dan seniman dalam proses pembangunan negara, kita maklum bahawa kemajuan Malaysia tidak diukur semata-mata pada pendapatan perkapita dan pertumbuhan ekonomi. Ia turut diukur menggunakan pelbagai dimensi. Para karyawan memainkan peranan penting dalam meningkatkan peradaban nasional. Sebagai menghargai peranan mereka ini, kerajaan bersetuju memperuntukkan sejumlah RM6 juta sebagai bantuan pentadbiran dan kegiatan kepada semua persatuan yang berdaftar.

Memperluas Jaringan Pengangkutan Awam Bandar

Bercakap pula ehwal perkhidmatan pengangkutan awam yang baik, ia adalah nadi kepada pembangunan sesebuah komuniti. Lanjutan daripada kejayaan pengenalan RapidKL dan RapidPenang, kerajaan akan melancarkan RapidKuantan mulai 1 Disember 2012 bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas berkualiti di Kuantan yang dapat memanfaatkan rakyat teramai. Syarikat Prasarana juga dalam proses untuk memperluaskan perkhidmatan ini di bandar lain seperti Ipoh, Seremban, Kuching dan Kota Kinabalu.

Kerajaan memandang serius kepentingan pengangkutan bagi orang ramai terutamanya mereka yang tinggal dan bekerja di bandar besar. Pada masa ini, golongan OKU, pesara dan pelajar telah menikmati diskaun 50 peratus kadar tambang apabila menggunakan perkhidmatan komuter KTMB. Sebagai lanjutan, suka saya mengumumkan, bahawa kerajaan bersetuju untuk memperluaskan diskaun 50 peratus kadar tambang ini, kepada semua warganegara Malaysia yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

Perumahan untuk Rakyat

Kerajaan sedar, perumahan selesa dan mampu milik adalah keperluan asas paling utama kepada rakyat. Kerajaan komited untuk memastikan setiap rakyat Malaysia berpeluang untuk memiliki rumah mereka sendiri. Ini bukan sahaja satu imperatif yang bersifat ekonomi, malahan ia adalah imperatif moral bagi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab. Oleh itu, kerajaan akan menjadikan hasrat ini sebagai prioriti berterusan. Bagi tahun 2013 sahaja, suka saya umumkan, kerajaan akan memperuntukkan RM1.9 bilion bagi membina 123 ribu unit rumah dengan harga berpatutan di kawasan-kawasan strategik. Inisiatif ini akan dilaksanakan oleh PR1MA, Syarikat Perumahan Nasional Berhad dan Jabatan Perumahan Negara.

Sebanyak RM500 juta akan dibelanjakan oleh PR1MA untuk membina 50 ribu unit rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara dengan harga jualan antara 100 hingga RM400,000 seunit. Antara bandar-bandar utama tersebut adalah Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Bharu, Seremban dan Kuantan.

Di samping itu, PR1MA juga akan menyediakan Dana Pemudah Cara Perumahan berjumlah RM500 juta untuk membina 30,000 unit rumah secara usaha sama dengan pemaju perumahan swasta. Harga rumah yang ditawarkan di bawah program ini adalah 20 peratus lebih rendah berbanding dengan harga di pasaran dan proses pengagihan rumah akan dilaksanakan secara sistem pengundian terbuka.

Manakala sebanyak RM320 juta diperuntukkan melalui SPNB untuk membina sebanyak 22,855 unit kediaman termasuk apartmen kos rendah dan sederhana, rumah mesra rakyat serta rumah mampu milik. Projek perumahan SPNB yang akan dilaksanakan segera termasuk membina sebanyak 1,855 unit apartmen kos sederhana dengan keluasan 850 kaki persegi di Shah Alam dan Sungai Buloh. Unit kediaman ini akan dijual pada harga sekitar RM120,000 hingga RM220,000 seunit.

Bagi program Rumah Mesra Rakyat pula, SPNB akan membina sebanyak 21,000 unit rumah untuk tahun 2013. Di bawah program ini, SPNB akan membina rumah berharga RM65,000 dengan subsidi sebanyak RM20,000 serta subsidi kadar faedah ke atas pinjaman sebanyak 2 peratus.

Selain itu, peruntukan sejumlah RM543 juta akan disediakan bagi Jabatan Perumahan Negara melaksanakan 45 projek di bawah Program Perumahan Rakyat melibatkan 20,454 unit rumah yang akan dibina menggunakan kaedah Industrialised Building System. Kesemua unit kediaman ini akan dijual antara RM30,000 hingga RM40,000 seunit berbanding harga pasaran sekitar RM120,000 seunit. 20 peratus daripada keseluruhan unit rumah PPR kepada penjawat awam dan sebahagian kepada golongan OKU.

Bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah yang pertama, Skim Rumah Pertamaku yang telah dilancarkan melalui bajet yang lalu, akan ditambah baik dengan meningkatkan had pendapatan peminjam perseorangan daripada RM3,000 kepada RM5,000 sebulan atau RM10,000 sebulan bagi pinjaman bersama suami isteri. Di samping itu, syarat keperluan simpanan 3 bulan deposit serta tempoh minimum bekerja 6 bulan juga akan dimansuhkan.

Dalam Bajet 2009, kerajaan telah pun memberi pengecualian duti setem 50 peratus ke atas surat cara perjanjian pindah milik dan pinjaman sebuah rumah kediaman pertama yang berharga sehingga RM350 ribu. Kerajaan bercadang melanjutkan pengecualian duti setem sedia ada sehingga 31 Disember 2014 dengan had kelayakan harga rumah dinaikkan sehingga RM400,000.

Kajian Semula Cukai Keuntungan Hartanah

Menyangkut hal penawaran hartanah yang terhad terutamanya di kawasan bandar, ia membuka ruang kepada aktiviti spekulasi. Dengan itu, kerajaan mencadangkan cukai keuntungan harta tanah (CKHT) ke atas keuntungan pelupusan hartanah yang dibuat dalam tempoh tidak melebihi dua tahun dari tarikh perolehan hartanah berkenaan, dikenakan pada kadar 15 peratus dan 10 peratus bagi pelupusan hartanah dalam tempoh 2 hingga 5 tahun. Bagi hartanah yang dilupuskan selepas tempoh 5 tahun daripada tarikh perolehannya, CKHT tidak dikenakan. Sementelahan itu, keuntungan daripada pelupusan sebuah rumah kediaman sekali dalam seumur hidup dan pelupusan hartanah atas dasar kasih sayang antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak, datuk atau nenek dan cucu dikecualikan daripada CKHT.

Galakan Cukai untuk Memulih Projek Perumahan Terbengkalai

Selanjutnya, bagi tahun 2013, kerajaan memperuntukkan RM100 juta kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dijangka dapat memulihkan 30 projek rumah terbengkalai. Sebagai tambahan untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta, Kerajaan akan menyediakan insentif cukai seperti berikut:

Pertama: Institusi perbankan diberi pengecualian cukai ke atas pendapatan faedah yang diterima daripada kontraktor penyelamat;

Kedua : Kontraktor penyelamat diberi potongan cukai 2 kali ke atas bayaran faedah dan semua kos langsung dalam mendapatkan pinjaman;

Ketiga : Kontraktor penyelamat diberi pengecualian duti setem ke atas semua jenis surat cara yang disempurnakan bagi tujuan pindah milik tanah atau rumah dan surat cara pinjaman bagi membiayai kos pemulihan; dan

Keempat : Pembeli asal rumah terbengkalai diberi pengecualian duti setem ke atas semua jenis surat cara yang disempurnakan bagi tujuan mendapat pembiayaan tambahan dan pindah milik rumah.

BANTUAN DAN INSENTIF RAKYAT

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)

Sesungguhnya, kerajaan ini adalah kerajaan rakyat, dari rakyat untuk rakyat. Kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat adalah objektif tertinggi. Kerajaan ini tidak akan sekali-kali melakukan sebarang tindakan yang akan membahayakan masa depan orang ramai. Bukan seperti sesetengah pihak, yang sanggup mengatakan apa sahaja, ini percuma, itupun percuma, hutang tak perlu bayar, hatta menjanjikan syurga semata-mata untuk berkuasa. Namun, saya selaku Menteri Kewangan, tidak akan menyembunyikan kebenaran, sekalipun ia pahit. Pendek kata, kerajaan ini tidak akan mengaburi mata rakyat.

Menyedari hakikat inilah, kerajaan sedang melaksanakan inisiatif rasionalisasi subsidi dan mengalih secara berperingkat kaedah pemberian subsidi daripada subsidi pukal yang membawa kepada banyak ketirisan dan sehingga orang yang berada pun memperoleh, kepada subsidi yang bersasar.

Di bawah prinsip ini, subsidi akan diteruskan tetapi akan diberi hanya kepada kelompok yang betul-betul memerlukannya. Hakikatnya, jika kerajaan terus memberi subsidi secara pukal, ia akan menghancurkan kedudukan kewangan negara sehingga akhirnya rakyat menanggung akibat, seperti mana yang berlaku di sesetengah negara di dunia. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak rela perkara tersebut berlaku.

Bersesuaian dengan peralihan kepada dasar pelaksanaan subsidi bersasar, kerajaan komited bagi memastikan setiap segmen rakyat Malaysia dapat mengongsi kemakmuran negara. Ini hanya akan berlaku, sekiranya ekonomi nasional terus tumbuh secara mapan dan kekayaan negara dapat terus dijana. Sukacita saya mengumumkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M 2.0. Kriteria penerima tetap sama iaitu ketua isi rumah yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah. Sebagai tambahan, sukacita juga saya mengumumkan pemberian BR1M 2.0 ini diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan. Pemberian bantuan kepada individu bujang ini adalah sebanyak RM250.

Hakikatnya, bantuan kepada isi rumah dan individu bujang ini bukanlah satu langkah populis malah manifestasi sebuah kerajaan bertanggungjawab dan mampu mengurus kewangan negara dengan berhemah. Ia memanfaatkan 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang melibatkan peruntukan RM3 bilion. Ia akan dibayar mulai awal tahun 2013. Bagi memudahkan pelaksanaan, penerima BR1M sedia ada tidak lagi perlu mendaftar untuk kali kedua manakala pemohon baru boleh mula mendaftar mulai November 2012 secara atas talian atau melalui kaunter di Pejabat Pembangunan Negeri, Pejabat Daerah dan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri seluruh negara.

Gula yang diambil secara berpatutan adalah baik, namun sekiranya diambil secara berlebihan ia mampu menjadi racun. Setakat ini, sekitar 2.6 juta rakyat Malaysia mengidap diabetes. Oleh itu, kerajaan bercadang mengurangkan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilogram mulai 29 September 2012. Kerajaan menyeru kepada para peniaga bahawa janganlah membebankan saudara se-Malaysia dengan kenaikan harga. Sebaliknya kurangkanlah kandungan gula.

Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan masih lagi menanggung subsidi gula sebanyak 34 sen satu kg yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM278 juta. Malah pengurangan subsidi ini disokong oleh persatuan-persatuan pengguna dan pengamal kesihatan.

Selanjutnya, untuk menampung perbezaan harga dan kuota penggunaan minyak masak yang semakin meningkat, kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion bagi menstabilkan harga minyak masak di pasaran.

Penyeragaman Harga

Secara umumnya, harga barangan keperluan di Sabah dan Sarawak adalah lebih mahal berbanding di Semenanjung Malaysia disebabkan kos penghantaran dan pengagihan yang lebih tinggi. Bagi memastikan kos dan harga barangan dapat dikurangkan, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk Program Penyeragaman Harga, pemberian subsidi pengangkutan serta pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia.

Untuk ini, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM386 juta bagi memastikan harga barangan keperluan di Sabah dan Sarawak serta Labuan dijual pada harga yang lebih rendah dan lebih seragam dengan membuka sebanyak 57 buah KR1M dan menanggung kos penghantaran produk dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak serta Labuan termasuk penghantaran ke kawasan pedalaman.

Sebagai contoh di Ba'kalalan, Sarawak, harga gas memasak 14 kg setong dijual pada harga RM70. Dengan program penyeragaman harga, gas memasak tersebut boleh dibeli hanya dengan RM26.60 setong.

Sebagai tambahan, bagi meringankan beban rakyat yang berulang alik menggunakan perkhidmatan feri dari Labuan ke Sabah dan Sarawak, kerajaan akan memberi diskaun tambang kepada semua penumpang sebanyak 50 peratus. Di samping itu, diskaun sebanyak 50 peratus turut diberi ke atas tambang feri untuk kenderaan komersial yang mengangkut barang keperluan asas dan binaan ke Labuan.

Mempermudah Ibadah Haji

Sekali lagi kita memasuki musim panggilan Haji menuju Baitullah. Dalam Bajet 2012, saya telah mengumumkan pencarum KWSP boleh membuat pendaftaran awal menunaikan rukun kelima ini melalui penghadangan Akaun 2 sebanyak RM1,300. Alhamdulillah, setakat ini, seramai 51,528 pencarum telah menggunakan inisiatif ini. Sebagai langkah tambahan untuk membantu bakal-bakal haji, saya ingin mengumumkan bahawa bakal-bakal haji yang mencarum di KWSP, kini dibenarkan mengeluarkan simpanan dari Akaun 2 mereka bagi menampung kekurangan kos tambang. Inisiatif ini terhad kepada jemaah muassasah dengan maksimum pengeluaran sehingga RM3,000.

Kajian Semula Cukai Pendapatan Individu dan Koperasi

Kerajaan prihatin ke atas peningkatan kos sara hidup rakyat serta tanggungan cukai pendapatan mereka. Kerajaan telah pun menyediakan sebanyak 20 jenis pelepasan cukai individu dan 2 rebat cukai. Berikutan pelepasan dan rebat cukai ini, hanya 1.7 juta orang sahaja yang perlu membayar cukai berbanding keseluruhan guna tenaga iaitu seramai 12 juta orang.

Dalam proses peralihan daripada sistem cukai sedia ada yang berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih adil dan saksama, kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan individu diturunkan 1 mata peratusan bagi setiap kumpulan pendapatan bercukai tahunan melebihi RM2,500 sehingga RM50,000. Langkah ini akan mengeluarkan seramai 170,000 pembayar cukai daripada membayar cukai serta pembayar cukai pendapatan sedia ada juga menikmati penjimatan bayaran cukai mereka. Sebagai contoh, golongan profesional muda yang belum berkahwin dengan pendapatan bulanan RM5 ribu, akan menikmati penjimatan cukai pendapatan sehingga RM425 seorang.

Pada masa yang sama, bagi terus memacu transformasi gerakan koperasi, kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan koperasi juga dikurangkan antara 1 hingga 7 mata peratusan di semua kumpulan pendapatan bercukai. Dengan ini, seramai 7 juta ahli koperasi akan menikmati manfaat sebagai galakan untuk meningkatkan keupayaan keusahawanan dalam bidang perniagaan.

Meringankan Beban Pengusaha Bas Sekolah

Kerajaan mengambil berat akan keselamatan anak-anak yang menaiki bas ke sekolah dan pemandu-pemandu bas berikutan kualiti segelintir bas sekolah yang kurang memuaskan. Keadaan ini disebabkan pengusaha bas sekolah tidak dapat menampung beban kos penyelenggaraan yang semakin meningkat sedangkan sebahagian besar bas yang dimiliki telah melebihi jangka hayat ekonomi.

Untuk itu, kerajaan mencadangkan pengusaha bas sekolah diberi pertamanya, pemberian rebat tunai RM10,000 dan subsidi kadar faedah 2 peratus ke atas pinjaman penuh untuk menggantikan bas sekolah lama berusia melebihi 25 tahun kepada bas baru yang berkapasiti 12 hingga 18 tempat duduk. Skim pinjaman ini diuruskan oleh BSN ditawarkan untuk tempoh permohonan 2 tahun bermula 1 Januari 2013.

Keduanya, penyediaan Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Diri, hilang upaya kekal dan kematian kepada semua murid sekolah yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah berpermit. Usaha ini akan memanfaatkan seramai 2 juta pelajar dengan perlindungan maksimum sebanyak RM100 ribu dan kos premium sebanyak RM40 juta untuk tempoh 2 tahun yang akan diselia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat.

Mengurangkan Kos Pembelajaran Pelajar

Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan pelajar terutama mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah. Kerajaan sentiasa menyediakan peruntukan khusus kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang merangkumi bantuan geran per kapita, bantuan makanan asrama, Rancangan Makanan Tambahan, pembelian buku teks dan bantuan bayaran tambahan persekolahan. Untuk ini, sebanyak RM2.6 bilion diperuntukkan pada tahun 2013.

Pada pembentangan Bajet 2012, saya telah mengumumkan bantuan persekolahan RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah. Bagi meringankan beban persekolahan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, kerajaan sekali lagi akan meneruskan pemberian bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah. Bantuan ini akan dibayar mulai Januari 2013 dan bermanfaat kepada 5.4 juta pelajar melibatkan peruntukan sebanyak RM540 juta.

Kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia kepada setiap pelajar IPT dan pra-universiti. Suka saya mengumumkan, bahawa nilai baucar akan ditingkatkan daripada RM200 kepada RM250. Langkah ini melibatkan peruntukan RM325 juta dan akan memanfaatkan seramai 1.3 juta pelajar di seluruh negara.

Kerajaan juga amat prihatin akan bebanan kos pendidikan tinggi anak-anak. Bagi membantu meringankan tanggungan kewangan ibu bapa, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai sedia ada bagi pendidikan tinggi anak-anak sebanyak RM4,000 seorang sekarang ini, dinaikkan kepada RM6,000 mulai tahun taksiran 2013. Langkah ini menunjukkan komitmen dan tumpuan kerajaan ke atas pelaburan bagi meningkatkan tahap pendidikan generasi muda yang akan memberi manfaat kepada negara pada masa hadapan.

Bagi menggalakkan sikap menabung untuk pendidikan, sukacita juga saya mengumumkan di sini bahawa pelepasan cukai yang telah pun diberi sehingga RM3,000 bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional dinaikkan kepada RM6,000.

Menurut hukum, hutang wajib dibayar. Pinjaman PTPTN satu amanah. Ia adalah satu keistimewaan, bukan satu hak. Jika hutang PTPTN tidak dibayar, ia akan menafikan hak-hak pelajar masa depan. Oleh itu, bagi memudahkan proses pembayaran balik, Kerajaan akan memperkenalkan beberapa insentif. Pertama, bagi peminjam yang menyelesaikan hutang sekali gus dalam tempoh setahun selepas pengumuman ini, bermula 1 Oktober 2012 hingga 30 September 2013, diskaun 20 peratus akan diberikan ke atas jumlah pinjaman mereka.

Manakala, bagi mereka yang membayar pinjaman secara konsisten mengikut jadual mulai 1 Oktober 2012, diskaun 10 peratus setahun akan diberikan.

Kita tahu Tuan Yang Dipertua, ada pihak yang mencadangkan supaya hutang keseluruhan hutang PTPTN dimansuhkan. Ini adalah satu perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab kerana jika dimansuhkan, siapa yang akan menanggung lebih RM30 bilion hutang PTPTN. Bukankah yang akan terbeban adalah rakyat Malaysia? Bertanggungjawabkah jika kita yang berhutang masyarakat yang menanggung. Itulah persoalannya.

Program Jalur Lebar untuk Rakyat Termiskin di Bandar

Kerajaan akan menubuhkan 100 Pusat Internet 1Malaysia bagi Tahun 2013 hingga 2015 di dalam bandar seperti di kawasan perumahan rakyat. Pusat ini dilengkapi dengan kemudahan komputer dan perkhidmatan jalur lebar bagi kegunaan harian dan meningkatkan kegiatan sosioekonomi mereka. Untuk itu, SKMM akan menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta.

Menggalakkan Aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)

Kerajaan berharap pihak swasta, badan korporat serta syarikat berkaitan kerajaan dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan dan kesejahteraan rakyat melalui Tanggungjawab Sosial Korporat atau 'Corporate Social Responsibility'. Bagi menyokong usaha kerajaan untuk merancakkan aktiviti CSR, program yang akan dilaksanakan oleh GLC dan agensi termasuklah:

Pertama: Felda akan melaksana dan menyiapkan projek perumahan generasi baru sebanyak 20,000 unit untuk tempoh lima tahun di atas 5,000 ekar tanah dalam kawasan Felda. Projek ini akan menelan belanja sebanyak RM1.5 bilion dalam tempoh tersebut. Di samping itu, Felda telah memperuntukkan sebanyak RM60 juta bagi membaiki rumah-rumah kampung tradisi di sekitar rancangan. Felda juga akan berbelanja sebanyak RM100 juta setahun untuk program pendidikan dan latihan kemahiran serta biasiswa kepada 5000 anak generasi baru, 30 peratus atau 2,000 orang dari jumlah ini adalah terdiri dari anak-anak dari luar Felda;

Kedua: Yayasan 1MDB akan menyediakan RM300 juta bagi pemberian geran pendidikan, bantuan kewangan, pembinaan rumah arau untuk pelajar pra-sekolah di pedalaman Sarawak, Klinik Bergerak 1Malaysia dan program membaiki rumah bagi golongan miskin dan daif; dan

Ketiga: Syarikat-syarikat GLIC dan GLC akan memperuntukkan hampir RM500 juta untuk menjalankan CSR dalam bidang pembangunan komuniti, biasiswa, pendidikan, sukan dan alam persekitaran.

Sebaik manapun dasar yang telah digubal pihak kerajaan tidak akan bermakna tanpa pelaksanaan yang cekap serta berkesan. Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam negara yang merupakan jentera pelaksanaan dasar negara sama ada yang berada di peringkat daerah, pihak berkuasa tempatan, negeri mahupun pusat.

Kerajaan juga ingin mengambil peluang ini untuk mengiktiraf peranan yang dimainkan Kementerian Kewangan sebagai pelaksana dasar fiskal negara, Bank Negara Malaysia yang bertanggungjawab terhadap dasar monetari negara dan Suruhanjaya Sekuriti yang mengawal keutuhan pasaran modal kebangsaan.

Makanya, sebagai kerajaan yang mengenang budi, suka saya mengumumkan pemberian bonus sebanyak satu setengah bulan gaji. Seperti kita tahu, dari jumlah ini, setengah bulan telahpun diberikan menjelang perayaan Aidilfitri yang lepas, sejumlah setengah bulan gaji lagi akan diberikan pada bulan Disember kelak manakala setengah bulan lagi akan diberikan pada bulan Januari nanti. Diharapkan pemberian bonus ini akan mengurangkan beban para penjawat awam terutamanya yang berkeluarga sempena musim awal persekolahan.

PENUTUP

Bajet yang baru saya bentangkan untuk tahun 2013 ini adalah bajet terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13. Ia merupakan antara siri-siri bajet yang akan mendorong negara tercinta ke arah pencapaian wawasan nasional.

Dengan izin Allah SWT dan dengan sokongan serta dukungan rakyat Malaysia, InsyaAllah kita akan menyaksikan enam lagi bajet yang akan dibentangkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum Malaysia berubah status daripada sebuah negara membangun berpendapatan sederhana tinggi menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Sebagai parti yang telah dimandatkan, kami menyeru agar rakyat menilai secara kritikal dan rasional akan titipan rekod kejayaan yang dimiliki oleh Barisan Nasional. Kerajaan BN dan sebelum itu perikatan telah selama 55 tahun mencipta kehidupan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.

Kita tahu ada pihak yang menyeru supaya mereka diberi peluang untuk membentuk kerajaan. Secara berlapang dada, dalam sebuah negara yang demokratik, kita faham tidak salah menawarkan diri, kerana mereka juga ada hak namun pada akhirnya, rakyatlah yang akan menentukan siapa akan mendapat mandat melalui peti undi.

Kini, masanya hampir tiba apabila rakyat Malaysia akan membuat pilihan bagi menentukan masa depan mereka dan anak-anak mereka. Persoalan yang perlu ditanya semasa membuat keputusan ialah, sama ada kehidupan mereka hari ini lebih baik berbanding semalam dan adakah hari esok menjanjikan harapan yang sarat dengan peluang serta potensi. Jika jawapannya ya, maka tanpa ragu-ragu berilah mandat kepada kerajaan yang ada untuk meneruskan dan menambahbaik apa yang ada.

Pujangga bermadah, bumi mana tak ditimpa hujan, gading mana yang tidak retak. Kita akur, kerajaan BN tidak bebas dari kekhilafan tetapi yang membezakan kami dan mereka ialah mereka tidak mempunyai ketawadu'an untuk mengakui kesilapan sebaliknya mencipta alasan demi alasan dengan penuh gempita menyalahkan orang lain.

Pucuk pangkalnya, pihak yang menawarkan alternatif ini juga perlu dinilai catatan rekod mereka. Kerana mereka bukannya tidak dikenali rakyat Malaysia. Malah, ada di kalangan mereka pernah diamanahkan sebagai kepimpinan tertinggi yang mengurus khazanah negara. Tidak cukup dengan itu, hari ini di beberapa negeri mereka juga mengepalai kerajaan.

Kalau hari ini mereka menjanji itu dan ini, rakyat Malaysia harus bertanya, apabila pemimpin berkenaan, ketika masih berjawatan dulu, kenapa tidak melaksanakan apa yang dikokokkan. Hakikatnya, jika ketika berpeluang, tidak melaksanakan segala yang dijanji, apatah pula jaminan mereka akan melunaskannya jika diberi kuasa sekarang.

Bukankah apabila berhadapan dengan krisis kewangan Asia, hampir ranap negara ini dibuatnya? Jika kini, di negeri-negeri yang ditadbir mereka, apa yang terkandung dalam manifesto mereka sendiri pun masih tinggal janji, mana mungkin mereka boleh dipercayai dengan amanah dan kuasa.

Ini berbeza dengan kerajaan BN. Apabila berjanji, ditepati. Bahkan sebelum berjanji pun lagi, kita bersikap bertanggungjawab, dengan menentukan sama ada janji itu boleh ditunaikan atau tidak. Bukannya mengambil sikap asal menang, segalanya-galanya sanggup dipertaruhkan. Sebaliknya bila menang, janji hilang entah ke mana.

Kata Plato "The measure of a man is what he does with power". Justeru, hari ini, kita dapati, untuk berkuasa, ada sesetengah pihak sanggup mengadu domba antara agama dan bangsa, sanggup menggadai segala-galanya hatta prinsip sekalipun demi kerakusan kuasa. Kerajaan BN, dibimbing prinsip "fastabiqul khairat" sepertimana terkandung di dalam ayat al-Quran yang saya baca pada awal ucapan tadi, iaitu berlumba-lumba melakukan kebaikan. Sedangkan pegangan puak sana tampaknya "fastabiqul fasad", iaitu berlumba-lumba membuat onar kerosakan.

Kalau kita lihat lagi, hakikatnya Kerajaan BN adalah perintis kepada perpaduan kaum yang menjadi teras kestabilan nasional tetapi pihak lain yang ingin menjadi kerajaan merintis kekuatan melalui konflik dan kebencian. Kerajaan difitnah dan dituduh semahunya.

Maka, saya menyeru rakyat Malaysia supaya menghakimi Kerajaan BN dengan amal perbuatan bukannya retorik. Marilah bersama-sama saya dan rakan-rakan untuk kita melepas bebaskan segala potensi yang ada bagi membina sebuah negara yang boleh kita banggakan.

Sebuah negara yang mana yang susah dibantu, yang lemah dilindungi, yang berada membantu, yang kuat melindungi, yang muda kasihi, yang tua dihargai, yang memerlukan dikhidmati dan yang berbakat digilap.

Sesungguhnya, kita mahukan Malaysia yang tersanjung di persada antarabangsa. Malaysia yang makmur dan aman. Malaysia yang menjadi cahaya dan oasis di tengah-tengah ketidaktentuan global. Mudah-mudahan dengan izin-Nya dan sokongan padu rakyat, kita bakal membina sebuah realiti dari impian. Kepada Allah kita berserah.

Tuan Yang Dipertua,

Saya mohon mencadangkan.

Juragan Malawati...

Jumaat, 28 September 2012

Intipati Bajet 2013 yang dibentang Perdana Menteri!



Berikut ialah intipati Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat hari ini.

Tema Bajet 2013 ialah “Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati".

* Peruntukan RM251.6 bilion bagi melaksanakan semua langkah, program dan projek pembangunan.

* RM201.9 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion bagi peruntukkan pembangunan.

* RM58.6 bilion diperuntukkan bagi Emolumen dan RM33.7 bilion bagi perkhidmatan dan bekalan.

* RM30 bilion diperuntukkan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar

* RM11.1 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

* RM4.6 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM2 bilion bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

* Kerajaan akan terus memperhebat pelaksanaan 12 Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) negara.

* RM3 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan Projek Permulaan, termasuk RM1.5 bilion bagi projek pertanian seperti kelapa sawit, getah, herba bernilai tinggi dan padi.


* RM3.0 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan projek permulaan (EPP) bagi tahun 2013.

* Penyediaan Dana Strategik Pelaburan Domestik berjumlah RM1.0 bilion di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia untuk aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan teknologi oleh syarikat tempatan.

* Penyediaan dana sebanyak RM1.0 bilion di bawah Skim Pembangunan PKS bawah kendalian SME Bank.

* SME Bank dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam akan menyediakan Dana Industri Halal sebanyak RM200 juta untuk membiayai modal kerja PKS terlibat.

* Skim perlindungan insurans berkelompok kepada penjaja dan peniaga kecil berdaftar dengan had maksimum RM5,000 dengan peruntukan RM16 juta setahun.

* Perbadanan Nasional Bhd menyedia kemudahan pinjaman hingga RM25,000 bagi pemegang lesen dan RM500,000 bagi penyedia lesen menerusi program Transformasi Perniagaan.

* Elaun Cukai Pelaburan 100 peratus untuk 10 tahun bagi aktiviti penapisan produk petroleum kepada yang layak.

* Program Insentif Global bagi Perdagangan (GIFT) ditambah baik dengan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun bagi tempoh tiga tahun pertama operasi.

* Perbelanjaan menerbitkan AgroSukuk diberi potongan cukai dua kali bagi tempoh empat tahun mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.

* DanaInfra Nasional Bhd menerbitkan bon runcit bernilai RM300 juta akhir tahun 2012 untuk membiayai pembangunan MRT.

Juragan Malawati..

Bajet 2013: Harapan semua lapisan rakyat!



Bajet 2013 yang dibentang hari ini tetap menarik perhatian semua lapisan masyarakat. Bajet 2013 harus mengandungi cadangan-cadangan menangani kos hidup tinggi dan pelbagai cabaran ekonomi lain.

Bajet berkenaan bukan sahaja perlu memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah malah perlu juga melindungi mereka yang membentuk kelas menengah.

Sebilangan besar daripada mereka yang tergolong di dalam kelas pertengahan ialah pekerja bergaji yang membayar cukai pendapatan tetapi berasa ketinggalan kerana tidak mendapat manfaat yang ketara daripada belanjawan pada setiap tahun.

Ramai daripada kalangan yang berpendapatan pertengahan ialah penghuni bandar yang juga terjejas oleh kos kehidupan yang semakin meningkat. Walaupun pelarasan gaji telah di laksanakan namun ia tidak membantu mereka menangani kos sara hidup yang tinggi serta untuk menghadapi tekanan hidup di dalam persekitaran bandar.

Bajet 2013 diamati dengan penuh harapan bahawa rakyat Malaysia boleh diberi tahu bagaimana mereka boleh dibantu terutamanya apabila berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi.

Rakyat Malaysia menaruh harapan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membantu mereka dengan apa cara yang boleh demi mengurangkan beban hidup mereka untuk membangun keluarga serta membesarkan anak-anak.

Pekerja dari kedua-dua sektor awam dan swasta sangat mengharapkan pelepasan cukai yang tinggi bagi pembayar cukai individu, isteri mereka dan anak-anak di dalam bajet yang akan di bentangkan nanti.

Dalam hal ini, Menteri Kewangan harus mempertimbangkan secara serius perkara-perkara seperti berikut:

* Pelepasan cukai pendapatan peribadi perlu dinaikkan dari RM9,000 kepada RM12,000.

* Pelepasan pasangan harus dinaikkan kepada RM6,000 manakala tanggungan terhadap anak-anak harus ditingkatkan dari RM1,000 kepada RM3,000.

* Buat masa ini anak boleh menuntut jumlah pelepasan cukai sebanyak RM5,000 jika mereka menanggung perbelanjaan perubatan ibu bapa mereka. Adalah dicadangkan pelepasan cukai di naikkan dari RM5,000 ke RM6,000 berkaitan tuntutan perubatan yang berkenaan.

* Bantuan untuk anak-kanak yang sedang menuntut di universiti harus ditingkatkan dari RM4,000 ke RM8,000 untuk menampung kos pendidikan yang tinggi.

Peluang pekerjaan kepada bekas penagih dadah harus digalakkan untuk membantu mengurangkan kadar jenayah di negara kita. Untuk membantu membuka peluang pekerjaan kepada bekas penagih dadah, syarikat yang menggaji bekas penagih dadah yang telah dipulihkan harus diberi potongan berganda terhadap gaji yang dibayar.

Ini akan membuka laluan untuk mengintegrasikan bekas penagih untuk kembali ke pangkuan masyarakat dan membantu mengurangkan jenayah.

Dalam melihat pelbagai masalah dan kepentingan negara ini, Bajet 2013 pasti berpijak di bumi nyata. Bajet ini perlu praktikal kerana ia adalah komitmen kerajaan yang perlu dilaksanakan.

Juragan Malawati..