UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Rabu, 19 September 2012

Pengaruh 'tangan menghayun buaian'?


Najib Tun Razak bersalaman bersama tetamu yang hadir pada Majlis Merdeka Raya 1Malaysia anjuran Wanita Barisan Nasional (BN) Selangor di Bangunan FINAS, baru-baru ini.

Pakatan pembangkang agaknya baru terjaga daripada lena yang panjang tentang kepentingan kaum wanita di Malaysia. Ketika kerajaan sedia ada sudah cukup lama memperjuangkan nasib golongan Hawa sejak merdeka, pembangkang baru-baru ini sahaja cuba melabelkan diri mereka juga sebagai pembela wanita.

Apabila pada malam 13 September lalu mereka melancarkan Buku Jingga Agenda Wanita Malaysia (AWM) di Shah Alam, ramai yang tertanya-tanya apa pula muslihat mereka untuk kali ini. Dengan penasihat PKR, Anwar Ibrahim dalam ucapannya malam itu 'menggesa' wanita pakatan itu supaya 'memfokuskan undi' kaum tersebut di kawasan desa dan pedalaman pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, ramai mengandaikan pembangkang seakan-akan terdesak untuk meraih sokongan.

Kenapa baru sekarang setelah empat tahun mentadbir beberapa negeri terutama sekali Selangor, baru mereka ternampak kelibat wanita?

Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 April lalu mengumumkan akan memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, beberapa pihak terutama pembangkang mengherdik tindakan itu kerana kononnya Najib tidak percaya kepada wanita sedangkan ia dibuat demi pembelaan yang lebih terjamin untuk golongan tersebut.

Dengan harapan untuk menembusi 'sedikit ruang' mendapatkan sokongan wanita di desa dan pedalaman, menerusi pelancaran AWM - PKR cuba 'mengangkat martabat wanita sebagai salah satu komponen dalam masyarakat'. Apakah 'janji-janji manis' itu boleh dipercayai seperti mana 'janji 16 September'.

Kalau dibaca kesemua tujuh hala tuju yang terkandung dalam buku agenda yang dilancarkan itu, semuanya sudah atau sedang dilaksanakan di bawah kerajaan sedia ada. Antaranya, memberi perhatian khusus kepada kelangsungan kesihatan dan hidup berkualiti kepada wanita; merangka program, menyelaras, menggalak dan membuka peluang dengan penglibatan wanita dalam bidang ekonomi dan menyusun serta menyebar luas program pendemokrasian dan pendidikan politik di kalangan wanita secara berimbang di seluruh negara.


Namun kalau diimbas, barangkali pembangkang terlupa bahawa pada tahun 1959 hanya satu daripada setiap 10 mahasiswa tempatan adalah wanita. Hari ini, lebih daripada enam daripada 10 pemegang ijazah kelas pertama adalah wanita.

Terbaru, Malaysia berjaya menutup jurang perbezaan antara jantina dalam pembangunan ekonomi negara, dengan 46.1 peratus daripada wanita di Malaysia kini bekerja. Dan kerajaan menyasarkan pula penyertaan kaum wanita dalam pasaran kerja dapat ditingkatkan kepada 55 peratus menjelang 2015.

Laporan Perniagaan Antarabangsa Grant Thornton tahun lepas pula meletakkan Malaysia di kedudukan bersama kesembilan di dunia untuk jumlah jawatan pengurusan kanan yang dipegang oleh wanita, iaitu 31 peratus. Beberapa wanita juga memegang jawatan pucuk pimpinan dalam kerajaan, membentuk dasar-dasar ekonomi dan kewangan negara, seperti di Suruhanjaya Sekuriti, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Bank Negara.

Pada masa sama, banyak tokoh wanita di negara ini yang boleh dijadikan inspirasi. Antaranya, Allahyarhamah Tun Dr. Fatimah Hashim, Tan Sri Dr. Devaki Krishnan, Profesor Datuk Dr. Mazlan Othman, Judy Cheng-Hopkins, mendiang Datuk Seri Tra Zehnder, Datuk Agnes Shim, Datuk Nicol David dan Datuk Michelle Yeoh.

Ia bukti jelas bahawa wanita Malaysia sudah melakukan proses transformasi yang amat besar. Wanita Malaysia sudah melakukan transformasi dari segi pemikiran wanita, supaya apa sahaja yang dilakukan dalam negara ini, wanita tidak mahu terkecuali daripada menjadi tenaga pemaju kejayaan dan pembangunan negara.

Layanan kerajaan terhadap wanita di negara ini tampak jelas berbeza berbanding kaum wanita di negara lain.

Kaum wanita di Malaysia diberi kelebihan dari segi pembelaan hidup mereka dalam undang-undang selain pemberian kuota terhadap golongan ini dalam bidang politik iaitu dengan memegang jawatan di Kabinet Kerajaan Persekutuan dan Exco Kerajaan Negeri.

Anda tidak akan jumpa kelebihan ini di negara Asia Barat dan negara sedang membangun. Hakikatnya tidak sukar untuk kita menilai sebab musabab pakatan pembangkang melancarkan Buku Jingga khusus untuk wanita ini.

Ini kerana mereka cukup sedar sokongan kaum wanita terhadap Barisan Nasional (BN) cukup kuat. Perbandingan data mengenai aliran pengundian sewaktu pilihan raya umum tahun 1999 dan 2004 menunjukkan sokongan kaum wanita terhadap BN semakin meningkat.

Seorang penyelidik dari Universiti John Hopkin, Penolong Prof. Bridget Welsh pada 2005 menyatakan, ia amat jelas dilihat di sesetengah kawasan pilihan raya dan untuk parti-parti tertentu seperti Pas. Pada 2008, demikian juga senarionya dengan sokongan kaum wanita terhadap pembangkang merosot.

Apabila Perdana Menteri pada 27 Julai 2009 mengumumkan Indeks Prestasi Utama (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan Utama

Negara (NKRA), beliau tidak melupakan golongan wanita. Antaranya yang digariskan beliau ialah:

* Menyediakan program latihan yang bersesuaian bagi menarik golongan profesional wanita untuk kembali ke pasaran pekerjaan.

* Menyediakan perkhidmatan suntikan percuma imunisasi HPV (Human Papilloma Virus - RM50 juta).

* Amanah Ikhtiar Malaysia akan menyediakan RM2.1 bilion kepada usahawan dalam bentuk pembiayaan pinjaman mikro kaum.

* Membina Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur.

Malah, wanita hari ini diberi peluang dalam sektor awam di peringkat Jusa apabila pencapaian peningkatan mereka begitu ketara iaitu 31.7 peratus pada tahun ini berbanding 18.8 peratus pada 2004.

Pembangkang pada malam pelancaran agenda untuk wanita pada 13 September lalu menyedari 50 peratus daripada 13.1 juta pengundi berdaftar terkini setakat suku kedua atau Jun tahun ini adalah wanita.

Statistik terkini daripada SPR yang diperoleh penulis semalam merekodkan daripada 3,052,374 pengundi, 6,551,598 atau 50.19 peratus adalah wanita. Daripadanya, 489,230 adalah pengundi wanita Melayu.

Di Sarawak sahaja, jumlah pengundi wanitanya melebihi jumlah pengundi lelaki. Demikian juga di Selangor, 50.3 peratus pengundinya wanita, Kelantan (50.3 peratus) dan Johor (50.01 peratus)

Pembangkang juga sedar populariti ketua mereka, Anwar dalam Internet adalah jauh di belakang Najib, dengan pengikut akaun Facebook ketua pembangkang itu kurang tanda "suka" (like) berbanding Najib. Pengikut Twitter Najib juga lebih banyak daripada Anwar.

Pengundi baru terdiri daripada dua kumpulan besar iaitu orang muda dan wanita yang bekerja di rumah. Dan wanita yang tidak menjadi tenaga kerja dikatakan cenderung untuk kurang terdedah kepada perkembangan politik atau sebaliknya (mendapatkan) pandangan berat sebelah. Mereka sukar untuk mendapatkan maklumat alternatif.

Kerana itu, pengundi atas pagar akan menjadi lebih penting di kawasan separa bandar atau luar bandar.

Dengan BN memperolehi 4.08 juta undi pada tahun 2008 berbanding dengan pakatan pembangkang 3.79 juta undi-- sekadar perbezaan sebanyak 290,000 undi - maka di sinilah tanggungjawab berat yang harus digalas Wanita dan Puteri UMNO untuk meningkatkan sokongan wanita kepada BN.

Ramai berpendapat sebelum Anwar mahu membela kaum wanita, beliau sepatutnya terlebih dahulu menyelesaikan masalahnya dengan Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail dan Shamsidar Taharin.

Jangan ambil ringan pengaruh 'tangan menghayun buaian'.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan