UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Sabtu, 29 Mac 2014

Nik Aziz Menangis Mohon Maaf?


Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sambil bergenang air mata pagi ini memohon maaf di atas segala kesilapan yang beliau lakukan sepanjang memimpin Kelantan sebelum ini.

Nik Aziz memohon maaf itu ketika beliau menyampaikan kuliah subuhnya di Masjid Pulau Melaka yang terletak di sebelah rumahnya.

Bahkan, Nik Aziz mengaitkan sakit yang beliau alami sekarang adalah kifaarat (balasan untuk membersihkan dosa) daripada dosa dilakukan selama memimpin Kelantan.

“Maafkan segala kesilapan saya selama saya pimpin Kelantan. Ni sakit saya mungkin Allah nak kifaarat dosa saya atas apa kesalahan saya buat selama saya pimpin Kelantan,” kata bekas menteri besar Kelantan yang paling lama memimpin negeri itu pagi tadi.

Lazimnya, Nik Aziz akan membelakangkan makmum ketika memberikan tazkirah Subuh di masjid, tetapi pagi ini beliau mengadap Jemaah yang memenuhi Masjid Pulau Melaka.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebelum ini pernah mengkritik Nik Aziz kerana menyampaikan tazkirah sembil membelakangkan orang yang mendengar tazkirahnya.

Nik Aziz tidak menyambung tugasnya sebagai menteri besar Kelantan selepas menduduki kerusi itu selama lima penggal mulai 1990 hingga 2013.

Beliau adalah MB Kelantan paling lama memerintah iaitu selama 23 tahun.

Beliau digantikan oleh timbalannya, Datuk Ahmad Yakub. Namun sejak Nik Aziz tidak memimpin Kelantan, kepimpinan negeri itu agak kecoh apabila berlaku kritikan dalaman terhadap kepimpinannya dari dalam PAS dan Pakatan Rakyat sendiri.

Sejak tidak menjadi MB, kesihatan Nik Aziz semakin teruk dengan kerap berulang-alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia, yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

Beliau mengalami masalah prostat sehingga terpaksa membawa beg plastik untuk menampung urinnya.

Bagaimanapun, semangatnya tidak pernah luntur dan sentiasa memberikan sokongan moral kepada partinya dan Pakatan Rakyat.

Jika sihat, Nik Aziz akan ke pejabatnya di Kota Darul Naim iaitu Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) yang ditubuhkan oleh pentadbiran Kelantan yang baru.

Institut itu ditubuhkan bertujuan memastikan pemikiran Nik Aziz terus dapat dimanfaatkan walaupun beliau bukan menteri besar lagi.

Malam tadi Nik Aziz tidak menyertai majlis himpunan Reformasi 2.0 di Kota Baru yang turut disertai Anwar Ibrahim kerana tidak sihat.

Juragan Malawati..

Sabtu, 22 Mac 2014

Mesej Perdana Menteri Kepada Pengundi Kajang #PRKkajang @NajibRazak @BarisanNasional?


1. Esok pengundi N25 Kajang akan menjalankan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat baru. Pilihan raya kecil ini atau "Kajang Move" dirancang oleh Parti Keadilan Rakyat bagi kepentingan politik parti tersebut.

2. Saya harap pengundi Kajang akan memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional. Kemenangan untuk BN akan menyemarakkan lagi usaha kita memperkukuhkan semangat kerjasama antara kaum dan pembangunan negara.

3. Kempen pilihanraya kali ini berlangsung ketika kerajaan terpaksa mengendalikan usaha antarabangsa secara besar-besaran mencari pesawat MH370 yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal.

4. Marilah kita terus berdoa agar usaha ini akan berjaya dan tidak sepatutnya MH370 dijadikan isu politik kerana apa yang sebenarnya berlaku masih menjadi tanda tanya pihak penyiasat.

4. Kita juga kesal kerana kempen Pilihanraya Kecil Kajang ini juga menjadi medan pemimpin parti pembangkang untuk mencemar bekas pemimpin negara yang telah lama bersara dari politik.

5. Ini termasuklah serangan ke atas Tun Daim Zainuddin yang telah banyak menyumbang bakti kepada negara. Serangan dan tuduhan yang mengaibkan pemimpin lama tidaklah mencerminkan nilai menghormati merekalah yang berbakti kepada negara selama ini.

Dato Sri Mohd.Najib
22 March 2014.

Juragan Malawati..

Rabu, 19 Mac 2014

Surat terbuka kepada Khalid Ibrahim?


YAB Tan Sri. Izinkan saya memulakan surat terbuka ini , yang juga saya anggap sebagai warkah silaturrahim kepada YAB Tan Sri Khalid Ibrahim, dengan mengulang kembali satu ayat atau ungkapan popular tentang politik dalam bahasa Inggeris: "In politics there is no permanent friend and there is no permanent enemy." Dalam politik tidak ada sahabat abadi dan tidak juga ada musuh abadi. Yang abadi ialah kepentingan diri.

Ungkapan `kepentingan diri' dapat ditafsirkan sebagai kepentingan diri peribadi atau kepentingan kelompok yang kita anggotai, boleh jadi kepentingan jangka pendek atau kepentingan jangka panjang.

Terlalu banyak contoh yang boleh dirujuk untuk membuktikan kesahihan ayat tersebut. Umpamanya, penasihat atau pemimpin utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekarang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pernah menjadi sahabat akrab Senator S. Nallakurapan dan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang terjalin oleh haluan dan wadah politik yang sama. Tetapi sekarang antara Anwar dengan kedua-dua tokoh yang berbeza status itu, yang wujud ialah perseteruan peribadi dan politik, tidak lagi persahabatan.

Selain itu, terdapat satu senarai panjang tokoh-tokoh terkenal yang pernah menjadi sahabat karib Anwar dalam politik, tetapi sekarang sudah berpatah arang. Antaranya cendekiawan terkenal Dr. Chandra Muzaffar yang pernah menjadi Timbalan Presiden PKR semasa Anwar menjadi presiden; tokoh akademik Profesor Dr. Sidek Baba, salah seorang pemimpin tertinggi ABIM bersama Anwar; dan tokoh politik lulusan Universiti Islam Antarabangsa, Senator Ezam Mohammed Nor yang pernah menjadi Ketua Sayap Pemuda PKR. Dan ramai lagi tokoh lain yang dapat dirujuk sebagai contoh.

Begitu pula sebaliknya, terdapat satu senarai panjang nama rakan politik Anwar sekarang yang pada suatu masa dahulu musuh-musuh ketatnya dalam politik. Antaranya pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan Karpal Singh serta pemimpin Pas, Mat Sabu. Karpal Singh, seperti dilaporkan beberapa kali dalam akhbar, pernah secara terbuka menyatakan keyakinannya bahawa Anwar memang pernah terlibat dalam kes liwat di penghujung 1990-an. Tetapi dalam kes liwat Anwar yang kedua melibatkan Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Karpal berperanan sebagai peguam bela Anwar yang utama.

Begitu juga Mat Sabu pada suatu masa dahulu melakukan cercaan yang berlebih-lebihan terhadap Anwar. Bukan sahaja Anwar yang menjadi sasaran kutukan Mat Sabu, malah turut diheret adik beradik dan anggota keluarga terdekat Anwar. Saya sendiri hingga saat ini masih menyimpan dan sekali-sekali mendengar kembali kaset rakaman pidato Mat Sabu yang mengutuk Anwar itu.

Semua itu adalah contoh konkrit bahawa sahabat dan musuh dalam politik tidak pernah abadi, sebaliknya bila-bila bisa bertukar ganti. Saya percaya Tan Sri lebih faham serta menyedari dan mengalami sendiri hakikat ini.

Tentu sekarang Tan Sri akan bertanya, apakah yang mendorong saya untuk menulis surat terbuka ini kepada Tan Sri dengan merujuk kembali hakikat sahabat dan musuh yang tidak pernah abadi serta `kepentingan diri' yang senantiasa abadi dalam politik?

Jawapan saya: Walaupun sekarang kita berbeza parti politik (saya penyokong UMNO manakala YAB pemimpin PKR) namun saya tetap mengakui dan menghargai kepakaran dan prestasi YAB sebagai seorang tokoh korporat, sama ada semasa menjadi Pengurus Besar PNB dahulu, begitu juga semasa menjadi Menteri Besar (MB) Selangor. Prestasi Tan Sri sebagai MB terutama dari segi penjanaan dan penghematan kewangan negeri, diakui oleh kawan dan lawan.

Tetapi dari segi politik, Anwar sudah tidak dapat menerima kepimpinan YAB sebagai MB. Kata Anwar, Selangor memerlukan kepimpinan politik yang lebih kuat. Ini menyebabkan dilancarkannya `Manipulasi Kajang' untuk membuka ruang dan peluang kepada Anwar bertanding menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dan seterusnya menjadi MB menggantikan Tan Sri sendiri.

Selain untuk memberi `kepimpinan politik' yang lebih kuat, keinginan Anwar untuk menjadi MB Selangor itu dikaitkan juga dengan rayuan kes liwatnya. Apa pun, untuk memenuhi keinginan Anwar menjadi MB, jawatan tersebut mestilah dikosongkan terlebih dahulu. Mungkin Tan Sri secara halus diminta mengundur diri atau, jika enggan, akan disingkirkan dengan cara manipulasi yang mengaibkan. Sekali lagi ini akan mengingatkan kita tentang `kesahihan' ayat yang kita ulas di atas: "Dalam politik tidak ada sahabat abadi dan tidak ada musuh abadi. Yang abadi hanyalah kepentingan sendiri."

Pesan utama yang hendak saya sampaikan melalui surat terbuka ini ialah supaya Tan Sri jangan sampai melepaskan atau menyerahkan jawatan MB yang sedang Tan Sri pegang sekarang, walau apa pun keputusan pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang itu. Walaupun sekarang Anwar gagal menjadi calon dalam pilihan raya kecil DUN Kajang itu dan kerana itu adalah mustahil untuk dia menjadi MB, namun Tan Sri mestilah tetap waspada agar jangan sampai tersingkir.

Saya berpendapat, jika jawatan MB itu terlepas daripada tangan Tan Sri, implikasinya sangatlah buruk kepada diri Tan Sri dan begitu juga kepada kestabilan politik dan pentadbiran negeri Selangor serta kemurnian sistem demokrasi di negara ini.

Dari segi peribadi, sejarah kecemerlangan kerjaya Tan Sri sudah tentu akan terjejas dan tercalar. Sejarah akan mencatat Tan Sri sebagai seorang MB yang mudah mengalah kepada tekanan-tekanan politik oleh sahabat separti yang lebih mengutamakan `kepentingan peribadi'. Dan sekali gus ini juga akan membenarkan dakwaan atau tuduhan bahawa Tan Sri gagal memberi kepimpinan politik yang berkesan terhadap negeri Selangor.

Dilihat dari segi hubungan Persekutuan-kerajaan negeri secara beransur-ansur Tan Sri telah berjaya membina hubungan yang sihat dan produktif yang masing-masing diperintah oleh dua parti berlainan.

Begitu pula, pada pandangan mata umum, antara Tan Sri dan sultan sudah wujud persefahaman dan hubungan kerja yang produktif. Semua itu dilihat oleh sesetengah pihak sebagai petanda-petanda positif kualiti kepimpinan yang lebih mengutamakan pembangunan dan kebajikan rakyat serta negeri daripada kuasa politik untuk kemegahan diri sendiri.

Lebih daripada itu, ramai pula pihak yang mengharapkan agar Tan Sri memainkan peranan sebagai seorang tokoh utama menyahut seruan Perdana Menteri ke arah perpaduan kebangsaan atau rekonsiliasi nasional.

Saya akhiri warkah terbuka ini dengan mengulang kembali ayat keramat di atas tadi: Dalam politik tidak ada sahabat abadi dan juga tidak ada musuh abadi.

Kalau pada suatu masa dahulu YAB mempunyai sahabat dan musuh dalam UMNO, dalam PKR sekarang pun YAB mempunyai musuh yang tidak kurang ramainya. YAB mempunyai kelayakan dan potensi untuk menyatukan kembali semua sahabat di kedua-dua parti dan sama-sama kembali ke pangkal jalan, mengambil yang jernih dan membuang yang keruh serta meneruskan amanat perjuangan yang diwariskan oleh generasi terdahulu. Wassalam.

SENATOR Datuk Dr. Firdaus Abdullah

Pakar rujuk Akademi Pengajian Melayu,
Universiti Malaya dan Profesor Tamu di
Universitas Andalas, Padang, Indonesia.

Suara Politik
Belantan

Jumaat, 14 Mac 2014

Apa perlunya PKR lancar Manifesto Kajang?

Mohd. Shafie Apdal beramah mesra dengan warga emas Yusra Luthan, 67, semasa membuat lawatan rumah ke rumah penduduk di sekitar Taman Delima, Kajang, Selangor, semalam.

Pelancaran 'Manifesto Kajang' oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah pelik kerana sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri, parti itu boleh terus melaksanakan agenda pembangunan rakyat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang menempelak pelancaran manifesto itu turut mempersoalkan, kenapa PKR masih mahu berjanji sedangkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang telah dimenangi mereka sejak pilihan raya umum pada 2008 lagi.

Malah tegasnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menjadi Menteri Besar sejak kemenangan mereka pada tahun itu juga adalah ahli PKR.

"Datin Seri Wan Azizah (Wan Ismail) adalah presiden parti, boleh beri arahan sahaja kepada Menteri Besar dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk buat kerja. Dia hendak buat manifesto untuk apa lagi?

"Sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum-13, ADUN di sini pun ahli PKR. Mereka sudah menang, kenapa hendak tabur janji lagi," katanya kepada pemberita selepas melawat tujuh buah rumah penduduk di sekitar Kampung Sungai Sekamat dan Taman Delima di Kajang hari ini.

Semalam, Wan Azizah yang merupakan calon pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang melancarkan 'Manifesto Kajang' yang mengandungi empat komitmen beliau kepada penduduk sekiranya menang pada 23 Mac ini.

Antara komitmen tersebut termasuk meningkatkan prestasi kutipan sampah di kawasan Kajang, membanteras jenayah dan meningkatkan keselamatan, pembangunan anak muda dan usahawan kecil serta menangani masalah kesesakan lalu lintas.

Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, pengundi boleh menilai sendiri sejauh mana PKR menunaikan janji-janji dalam manifesto PRU-13 dahulu.

"Janji yang dahulu pun tidak boleh capai, hendak buat yang ini pula. Jangan mudah tertipu. Manifesto ini pun janji sahaja (bagi mereka). Tunai atau tidak tunai satu perkara lain," ujarnya.

Beliau juga meminta pengundi mengambil iktibar daripada tindakan PKR yang sanggup menyusahkan rakyat dengan mengosongkan kerusi DUN Kajang bagi menangani masalah dalaman parti tersebut.

Katanya, PKR sepatutnya mentadbir negeri ini dengan baik selepas mendapat mandat daripada rakyat, bukannya mengosongkan mana-mana kerusi DUN dengan sesuka hati.

"Nanti kosongkan Parlimen Permatang Pauh dan Wan Azizah bertanding di sana pula seakan-akan Malaysia ini milik beliau dan suaminya. Bayangkan kalau isteri pemimpin BN bertanding, bukan main hebat mereka hebahkan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Shafie berharap para pengundi mengambil peluang daripada PRK DUN Kajang untuk memilih calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun yang boleh menjadi penghubung antara rakyat dengan Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan perkhidmatan yang terbaik.

"Saya penuh yakin Mei Fun boleh beri tumpuan khusus di DUN Kajang kerana beliau tidak perlu memikirkan masalah dalaman PKR, masalah Permatang Pauh dan masalah suaminya," katanya.

Juragan Malawati..

Selasa, 11 Mac 2014

#PRK Kajang : Pertandingan satu lawan satu?

Muhyiddin Yassin bersama Chew Mei Fun (depan, tiga dari kanan) ketika hadir pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN Kajang di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang, Hulu Langat, Selangor, semalam.

Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Menariknya, pilihan raya kecil itu menyaksikan pertembungan antara dua wanita selepas Wan Azizah terpaksa menjadi calon apabila suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak bertanding kerana Mahkamah Rayuan mendapatinya bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Apatah lagi, 50 peratus daripada keseluruhan 39,278 pemilih berdaftar yang layak mengundi di Kajang termasuk 1,197 pengundi awal merupakan wanita dan perkembangan itu tentunya menjadikan golongan tersebut antara penentu utama kepada kemenangan mana-mana calon.

Mei Fun, 50, yang dilabelkan calon 'underdog' tiba lebih awal berbanding lawannya sambil diiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menyerahkan kertas penamaan calon pada pukul 9.07 pagi manakala Wan Azizah pula berbuat demikian tiga minit kemudian.

Perkara itu disahkan Pengurus Pilihan Raya, Datuk Hassan Nawawi Abdul Rahman pada pukul 10.10 pagi, sebaik sahaja proses penamaan calon yang berlangsung di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi ditutup.

Sebelum ini, beberapa pihak menyatakan minat untuk bertanding di Kajang selepas penyandangnya, Lee Chin Cheh meletak jawatan tanpa alasan kukuh bagi memberi peluang kepada Anwar bertanding, tetapi menukar pendirian selepas Ketua Pembangkang itu didapati bersalah oleh mahkamah.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang juga bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR berkata, tiada sebab lagi untuk beliau bertanding dan pendirian serupa turut diambil Presiden Gerakan Reformis Rakyat (Reformis), Ramlan Abu Bakar.

Dalam pada itu, jumlah kehadiran penyokong Pas yang kecil pada proses penamaan calon Wan Azizah menimbulkan pelbagai persoalan kerana sebelum ini pada setiap kali pilihan raya, jentera Pas tidak pernah gagal menghantar penyokong mereka bagi memeriahkan suasana.

Malah, kehadiran Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai tanda solidariti kepada Wan Azizah juga tidak banyak membantu menghilangkan hakikat pergeseran antara mereka kerana kedua-dua pemimpin dilihat tidak banyak berbual.

Juragan Malawati..

Ahad, 9 Mac 2014

Anwar ketuai pembangkang boikot sidang Dewan Rakyat?


Semua ahli Parlimen pembangkang akan memboikot sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan Selasa ini sebagai membantah keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim kerana didapati bersalah meliwat pembantunya, enam tahun lalu.

Anwar ketika berucap dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Kelima di sini hari ini berkata, tindakan tersebut dibuat sebagai tanda bantahan terhadap keputusan mahkamah selain mendakwa apa yang berlaku sebagai satu bentuk kezaliman yang dilakukan kerajaan dengan memperalatkan institusi kehakiman.

"Ketiga-tiga parti, ketiga-tiga kepimpinan (PKR, DAP dan Pas) akan arahkan semua ahli Parlimen untuk bantah dan tidak hadir sidang Parlimen pada 11 haribulan (Mac ini)," katanya.

Dalam pada itu, selain memboikot sidang Parlimen, Anwar juga menyatakan, pihaknya hanya akan menghadiri majlis pembukaan sidang Dewan Rakyat oleh Yang di-Pertuan Agong pada 10 Mac ini namun tidak akan bersama-sama dengan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dalam perbarisan.

"Kita akan mendengar ucapan Yang di-Pertuan Agong tapi tidak akan bersama dengan ahli Parlimen BN dalam majlis perbarisan, kita terus masuk (dalam Dewan Rakyat).

"Saya sendiri akan utus surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan bahawa majlis yang menjemput Ketua Pembangkang untuk minum ringan dengan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri dan speaker (Dewan Rakyat) saya tidak terima kerana membantah kehadiran Perdana Menteri dan Ketua Hakim Negara," jelasnya.

Semalam, Anwar dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan setelah didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.

Juragan Malawati..