UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Ahad, 26 Februari 2012

Tidak ada ‘tempoh lanjutan’ kepada Pakatan Rakyat Selangor untuk memerintah lagi!


Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, pakatan pembangkang tidak perlu diberi ‘tempoh lanjutan’ untuk terus memerintah Selangor yang menyaksikan banyak janjinya tidak tertunai malah membebankan rakyat dengan pelbagai masalah.

Perdana Menteri berkata, Selangor selama ini maju kerana dasar-dasar dan prasarana yang dilaksanakan kerajaan BN sebelum ini, dan pihak pembangkang tidak boleh mendapatkan pujian terhadap hasil titik peluh BN itu.



“Kita akui mungkin kita ada buat sedikit sebanyak kesilapan pada masa dulu sebab itu rakyat tidak menyokong kita. Tapi kita sudah insaf daripada kesilapan dulu dan kita mohon maaf kepada rakyat Selangor kalau ada apa-apa kesilapan.

“Dan kita berikrar daripada kesilapan itu, atas kesedaran itu, kita akan bangunkan satu kekuatan baru untuk mengubah landskap di Selangor supaya di bawah kepimpinan BN, kita akan menjurus kepada masa depan yang lebih baik lagi,” katanya pada majlis pelancaran jentera pilihan raya BN Selangor di di Terminal CIQS, Pelabuhan Klang hari ini.



Walaupun hujan turun dengan lebat sebelum PM tiba, namun hampir 30,000 petugas jentera pilihanraya BN dan hadirin yang hadir tidak berganjak dari tempat duduk untuk mendengar amanat Perdana Menteri. Ia memberi keyakinan kepada PM bahawa jentera pilihanraya BN Selangor sudah bersiap sedia untuk merampas kembali negeri Selangor.



Dalam ucapan selama setengah jam itu, Najib yang juga Pengerusi BN Selangor berkata sejak dua minggu lepas, beliau telah turun padang ke Perak, Melaka, Kedah dan hari ini di Selangor, dan mendapati suasana dalam negara kini menjurus menyokong BN pada pilihan raya umum kelak.

Sayangi Selangor Yakini BN

Juragan Malawati..

Sabtu, 25 Februari 2012

Seleweng pasir di Selangor: Banyak lagi akan tampil!

Beberapa pihak lagi dijangka tampil mendedahkan isu penyelewengan pasir di Selangor dalam masa terdekat walaupun kerajaan negeri terus menafikannya, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, kerajaan Selangor perlu berdepan dengan realiti bahawa berlakunya ketidaktelusan berhubung isu pasir di negeri ini dan tidak boleh menuding jari kepada pihak lain untuk menutup kelemahan mereka.

"Saya percaya akan ada lagi pendedahan yang dibuat mengenai isu pasir ini seperti yang dilaporkan oleh media hari ini.

"Kerajaan negeri pastinya akan mencari alasan termasuk terus menggunakan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) untuk menutup kelemahan pentadbiran mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiram Jaya di sini, hari ini.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar hari ini yang mendedahkan aktiviti mencuri pasir berleluasa di Rawang, Hulu langat dan Semenyih.

Laporan itu turut mendedahkan aktiviti mencuri pasir di tiga kawasan terbabit mengaut keuntungan lumayan minimum RM30,000 sehari dan terus berleluasa serta diteruskan walaupun sudah dikenakan tindakan undang-undang ekoran tiada pemantauan oleh pihak berkuasa.

Mengulas lanjut, Noh berkata, kerajaan Selangor akan terus menggunakan Selcat bagi menutup kelemahan mereka kononnya telus dalam menangani sesuatu isu yang didedahkan.

"Bagi saya Selcat hanyalah gimik politik kerajaan Selangor yang lebih berminat mencari kesalahan kerajaan persekutuan bukannya mendedahkan apa yang dibangkitkan terutamanya isu berhubung skandal pasir di negeri itu,” katanya.

Beliau berkata, mahkamah rakyat merupakan satu kaedah terbaik sekiranya kerajaan Selangor serius untuk menyelesaikan isu pasir yang dibangkitkan.

Juragan Malawati..

Jumaat, 24 Februari 2012

Selcat seperti 'mati hidup semula'!


Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) boleh dianggap sebagai 'mati hidup semula' apabila membuka kembali pendengaran awam bagi isu penyelewengan pasir di negeri ini pada 5 Mac ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, pendengaran bagi kes pasir yang berhenti sejak 2010 dibuka semula selepas penulis blog, Raja Petra Kamarudin dan beberapa bekas kakitangan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd., (KSSB) yang dipecat membuat pendedahan mengenai penyelewengan dalam anak syarikat kerajaan negeri itu.

"Selcat dahulu hanya mengadakan beberapa kali pertemuan bagi pendengaran kes membabitkan kerajaan negeri dan aktiviti perlombongan pasir.

"Kalaulah ia tidak ditimbulkan semula, pendengaran bagi penyelewengan pasir mungkin dilupakan dan ini menunjukkan seolah-olah Selcat ditubuhkan untuk kepentingan politik sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampakian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 420 penerima bagi kawasan Parlimen Tanjong Karang di sini hari ini.

Noh mengulas kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Teng Chang Khim bahawa Selcat membuka semula siasatan ke atas syarikat konsesi perlombongan pasir milik kerajaan negeri, KSSB selain menyiasat Yayasan Selangor yang didakwa berbelanja mewah.

Sebelum ini, Noh mencabar bahawa pihaknya bersedia mendedahkan bukti mengenai penyelewengan pasir di negeri ini jika kerajaan negeri mengadakan 'perbicaraan terbuka' yang turut boleh disaksikan oleh rakyat.

Mengenai pelawaan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin agar beliau hadir dalam pendengaran Selcat itu nanti, Noh mempersoalkan siapa Faekah untuk memintanya hadir ke sesi pendengaran awam tersebut.

"Perkara ini perlu jelas, untuk apa kalau saya hanya hadir sebagai pemerhati. Siapakah Faekah? Pihak yang berhak memanggil saya hanya Speaker DUN," katanya.

Mengenai bai'ah yang diwajibkan oleh Pas kepada semua calon yang mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, Noh berkata, tindakan itu menunjukkan Pas seolah-olah tidak percaya kepada kesetiaan para pemimpinnya.

"Kita dapat lihat ramai wakil rakyat pembangkang yang melompat parti berbanding tuduhan mereka bahawa pemimpin Barisan Nasional (BN) yang akan berpaling tadah.

"Pembangkang sudah tertekan bukan sahaja tidak yakin dengan apa yang diperjuangkan, malah ahlinya juga tidak tahu apa matlamat mereka," katanya.-UMO.

Juragan Malawati..

Rabu, 22 Februari 2012

Permohonan Mat Sabu ditolak!


Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu hari ini gagal dalam permohonannya untuk mengetepikan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Butterworth atas dakwaan membuat tohmahan memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka yang terlibat dalam tragedi serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Mohd. Amin Firdaus Abdullah membuat keputusan tersebut atas alasan ia tidak melibatkan isu pokok bagi menentukan sama ada kes boleh didakwa di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana ia melibatkan isu sejarah.

Menurutnya, kedua-dua pertuduhan yang dikenakan terhadap Mohamad boleh dihukum mengikut seksyen tersebut semata-mata berdasarkan intipati kesalahan dan tidak berasaskan fakta sejarah.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa hak membuat pendakwaan adalah terletak di tangan pendakwa raya, justeru hanya pihak pendakwaan boleh menarik balik, menolak atau mengetepikan pendakwaan.

Mohd. Amin memutuskan demikian selepas mendengar hujahan peguam-peguam, Mohamed Hanipa Maidin dan Aminuddin Zulkifli yang mewakili Mohamad serta Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim bagi pihak pendakwaan.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.

Ahli politik pembangkang itu didakwa melakukan perbuatan tersebut dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah Pas Padang Menora, Tasek Gelugor antara pukul 10 malam dan 12 tengah malam, 21 Ogos tahun lalu.

Mohamed Hanipa kemudian memohon mahkamah membenarkan penangguhan perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Sesyen sehingga rayuan didengar di Mahkamah Rayuan namun dibantah oleh Suhaimi yang menjelaskan permohonan peguam terbabit tidak berasas sama sekali.

Mohd. Amin Firdaus bagaimanapun menolak permohonan penangguhan tersebut dan memerintahkan kes itu diteruskan oleh Mahkamah Sesyen. Dalam pada itu, di Mahkamah Sesyen Butterworth dekat sini, Hakim Ikmal Hishan Mohd. Tajuddin menetapkan 26 Mac ini bagi sebutan semula kes tersebut.

Mohamad mengaku tidak bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.-UMO

Juragan Malawati..

Selasa, 21 Februari 2012

Jati dilancar secara rasmi!


Pertubuhan Jalur Tiga (Jati) yang dilancarkan secara rasmi hari ini bagi memberikan tumpuan untuk memartabatkan kedudukan Islam, Melayu dan institusi raja (IMR) mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 1,000 orang telah menganggotainya setakat ini.

Penubuhan Jati yang digerakkan oleh bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali merupakan antara perkara utama yang pernah dijanjikan oleh beliau bagi memastikan agenda itu dapat terus diperjuangkan demi memastikan keharmonian dan perpaduan rakyat.

Dalam majlis pelancaran di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) itu, lebih 1,000 ahli Jati yang memenuhi dewan mendapat dukungan semangat apabila Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harusani Zakaria turut hadir.

Hasan yang juga Presiden Jati berkata, pertubuhan itu mempunyai tanggungjawab besar dan menjadi pelengkap kepada peranan kerajaan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat khususnya orang Melayu.

"Kita (Jati) ada kekuatan untuk bersama-sama mencari penyelesaian masalah yang dihadapi masyarakat khususnya orang Melayu dan Islam.

"Hari ini orang Melayu berhadapan dengan masalah agama, akidah, syariah dan moral selain keciciran serta ketirisan dalam pelbagai perkara,'' katanya kepada pemberita selepas melancarkan penubuhan Jati.

Hadir sama Timbalan Presiden Jati, Datuk Mohd. Aidit Ghazali Hasan; Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor serta Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad.


Hasan menegaskan, Jati bukan sebuah pertubuhan yang bersifat perkauman sebaliknya ia dibuka kepada semua masyarakat pelbagai kaum untuk bersama-sama menyumbang idea dalam memajukan negara ini demi kepentingan generasi masa depan.

Malah katanya, Jati turut mewujudkan jawatan ahli kehormat kepada masyarakat bukan Melayu untuk menyertai pertubuhan itu sebagai ruang bagi menyumbangkan idea berguna.

Katanya, idea yang dikemukakan termasuk oleh bukan Islam akan diambil kira oleh Majlis Syura Jati yang dianggotai 12 orang melihatkan para ahli akademik dan profesional dalam pelbagai bidang.

Dalam pada itu, Hasan menegaskan Jati juga tidak mempunyai agenda tersembunyi yang hanya meletakkan kepentingan Melayu semata-mata dalam pergerakan pertubuhan itu.

"Jati memegang prinsip Islam yang menekankan keadilan sejagat. Islam melarang kita meminggirkan manusia kerana perbezaan agama, keturunan dan ideologi politik. Jadi tidak ada agenda tersembunyi," tegasnya.-UMO

Juragan Malawati..

'Pembangkang daftarlah macam BN'?


Sehingga kini Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) masih menunggu kelibat sesiapa sahaja dari pembangkang untuk mendaftarkan pakatan itu sebagai gabungan.

Ya! seperti mana gabungan berdaftar seperti Barisan Nasional (BN) yang siap dengan piagam, agenda dan susunan parti-parti komponennya - merangkumi parti-parti berbilang kaum, etnik, budaya, agama melangkaui Semenanjung sehinggalah ke Sabah dan Sabah.

Namun, kelibat Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar yang dikatakan diarahkan oleh pembangkang untuk mengemukakan permohonan ke ROS masih tidak muncul-muncul.

Sehingga petang semalam, Pendaftar ROS, Datuk Abdul Rahman Othman dan pegawainya masih menanti. Kelibat Kamaruddin atau sesiapa daripada parti sekutu pembangkang di pintu masuk ibu pejabat ROS di Presint 15 atau Presint Diplomatik, Putrajaya bayang pun tak nampak.

Dulu pembangkang 'mengutuskan' bekas Ahli Majlis Tertinggi PKR dan AJK Biro Politik PKR, Datuk Zaid Ibrahim untuk menghantar permohonan membentuk gabungan atau parti dua sistem tetapi tidak ada apa-apa pun. Apabila Zaid tidak lagi menjadi ahli PKR setelah mengumumkan keluar parti pad 14 November 2010, perkara itu terus senyap.

Kemudian, tidak semena-mena isu pendaftaran 'gabungan' pembangkang itu muncul akhir tahun lepas apabila beberapa pemimpin kanan mereka mengeluarkan dakwaan kononnya mereka mengesyaki terdapat 'muslihat politik' apabila ROS enggan meluluskan permohonan pendaftaran mereka untuk menjadi satu parti. Dari Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke dan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas, Dr. Hatta Ramli, semuanya menyerang ROS.

Namun, Abdul Rahman yang terkenal dengan sifat tenangnya itu 'memulangkan paku buah keras' pula kepada mereka.

"Dia dok bising sebab saya tak luluskan. Yang saya pula tak luluskan sebab tidak ada apa yang saya nak luluskan sebab pemohon itu sudah tidak ada dalam PKR.

"Kalau mereka nak datang kemukakan permohonan, kita terima... tetapi sampai sekarang tak ada," kata beliau ketika dihubuingi Utusan Malaysia semalam.

Bermacam-macam mainan politik dicanangkan pembangkang yang disertai pakatan longgar PKR, DAP dan Pas ini. Mereka mendakwa ROS main politik kotor kenapa mudah sangat luluskan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) yang diketuai Zaid. Tapi dijawab balik dengan fakta - KITA cuma ditukar nama daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) dan bukannya satu parti baru.

Realitinya, ke arah sistem dua parti sekiranya pakatan pembangkang sanggup membentuk gabungan secara rasmi ialah ia bermakna BN dianggotai 14 parti dan pakatan pembangkang disertai tiga parti iaitu DAP, PKR dan Pas. Cuma, dalam soal ini, pembangkang di negara ini belum membuat sebarang pendirian kepada sistem dua parti ini.

Sistem dua parti ini ada baik dan buruknya. Kalau bercakap tentang sistem ini, ia hanya ada di Amerika Syarikat iaitu Demokrat atau Republikan. Kalau pergi ke United Kingdom, Singapura atau Indonesia pun tidak ada sistem ini. Yang ada, hanyalah banyak parti dan hanya membentuk gabungan semasa berlangsungnya pilihan raya sahaja. Dan pada pilihan raya seterusnya, mereka buat pula gabungan lain.

Dalam soal ini pula, ramai sarjana politik menyatakan, sistem dua parti itu sukar direalisasikan kerana demokrasi masih baru di Malaysia. Tetapi pada masa sama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula menegaskan pakatan pembangkang perlu mendaftar dengan ROS sebagai satu entiti politik.

Ini kerana mereka selalu dilihat melanggar peraturan kempen pilihan raya, terutama berhubung isu penggunaan logo. Logo parti yang tidak bertanding dilarang dipasang atau digunakan untuk berkempen kerana ia menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Menurut seorang pemerhati politik tanah air kepada penulis, dalam politik, ketegasan SPR dan mereka yang merencanakan strategi parti perlu bertegas. Jika betul sebuah 'parti sekutu' tidak boleh memasang bendera partinya untuk merancakkan lagi persaingan rakannya itu menentang parti pemerintah, maka ambillah tindakan undang-undang.

"Dalam kempen pilihan raya kecil DUN Manek Urai contohnya, kalau ada satu kawasan itu cuma 50 pengundi bukan Melayu dan DAP pula siap pasang bendera dan sepanduknya, tidak kah mustahil mereka akan mengundi DAP meskipun Pas bertanding di situ.

"Macam MCA, tidak mengapalah memasang bendera sebab BN ini dikira satu gabungan rasmi, jadi, bab penguatkuasaan undang-undang ini perlu tegas supaya SPR nanti dihormati sebagai badan yang benar-benar telus dan bebas," kata pemerhati itu lagi.

Hakikat sebenarnya adalah bukan mudah untuk parti-parti politik membentuk gabungan secara rasmi. Realitinya, ia menuntut persefahaman yang jitu, semangat musyawarah dan konsensus yang tinggi.

Jika diperhatikan senario politik semasa tanah air, hal ini iaitu kemungkinan pakatan pembangkang membentuk gabungan rasmi agak mustahil. Sekejap Pas hentam DAP dan sekejap lagi pula Pas hentam PKR, kemudian DAP bantai balik Pas.

Lihatlah bagaimana Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang diam seribu bahasa sebelum ini, tiba-tiba 'mendengus' menggesa penasihat PKR yang juga ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kenyataan terbuka sama ada mahu menyaman atau menarik balik sokongan terhadap Israel seperti mana disebut Anwar dalam wawancaranya dengan The Wall Street Journal (WSJ) Januari lalu.

Ramai mengandaikan eh! tok guru mahu 'berlakon' kah. Ditambah pula dengan kenyataan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali bahawa Anwar akan berjumpa sendiri dengan Nik Abdul Aziz. Eh! sekali lagi, takkanlah nanti pertemuan itu 'senyap-senyap' sahaja, tanpa liputan media dengan kedua-duanya duduk dalam sidang akhbar bersama.

Isu sokongan Anwar terhadap keselamatan Israel jelas menampakkan ketidaksepakatan dalam hubungan Pas dan PKR. Itu belum ditanyakan kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula pasal pandangan DAP terhadap rejim zionis ini.

Itu pun belum termasuk terjahan Karpal terhadap Pas yang menggesa parti itu menarik balik pendirian membantah sambutan Hari Kekasih.

Sebenarnya, memang tidak mudah untuk parti-parti pembangkang membentuk gabungan serupa BN. Kalaupun nanti tertulis atas kertas, realiti sebenar kelak hanyalah 'tidur sebantal, mimpi lain-lain'.

Jika diimbas selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 di Perak tempoh hari, ketika DAP menguasai 'takhta' bilangan kerusi berbanding rakan-rakan sekutunya (meskipun bilangan kerusi UMNO sebenarnya tertinggi), pakatan itu mula berserabut untuk memilih calon Menteri Besar. Dikatakan pencalonan penyandang menteri besar iaitu Nizar hanya di tangga ke tiga selepas seorang calon PKR dan DAP.

Tetapi kerana ketiadaan gabungan yang kuat seperti mana BN, maka ketiga-tiga parti pembangkang ini hanya bersetuju membentuk 'parti campuran' sehinggalah akhirnya nama si Nizar muncul.

Sebenarnya, dengan gabungan tiga parti sahaja, ROS boleh luluskan permohonan membentuk gabungan. Malah, kalau nak buat parti asing-asing seperti sekarang pun tak ada masalah. PKR dengan gabungan tujuh ahli pun boleh dibentuk, inikan pula DAP, PKR dan Pas nak bentuk gabungan.

Tetapi - permohonan yang pertama pun 'dah ghaib' (ketika Zaid 'diutuskan' untuk berbuat demikian). Nampak sangat Pas ke, DAP ke, PKR ke, mereka memang tidak serius.

Dengan kedudukan pembangkang yang tidak begitu kuat di Sabah dan Sarawak, usaha untuk merealisasikan gabungan ini mungkin sukar.

Mereka (pembangkang) ada ramai bijak pandai dari kalangan peguam. 'Bergasak' sana sini dalam mahkamah. Tetapi mengapa tidak berbuat apa-apa untuk menjadikan pakatan pembangkang suatu suatu gabungan rasmi menjelang PRU13.-UMO

Juragan Malawati..

Isnin, 20 Februari 2012

MB Khalid Patut Segerakan Penubuhan Suruhanjaya Diraja Skandal Pasir Selangor!


Kenyataan Media GAPS

Skandal Pasir memasuki era baru di Selangor apabila sah KSSB syarikat yang ditubuhkan oleh MB Selangor gagal untuk menepati janji sumbangan RM150 juta kepada rakyat Selangor seperti yang dijanjikan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim dalam Ucapan Belanjawan Selangor 2009.

Maknanya dari tahun 2009 hingga sekarang dianggarkan lebih RM300 juta pendapatan rakyat Selangor dari hasil pasir telah diselewengkan oleh pihak-pihak tertentu yang menjalankan peniagaan pasir di Selangor khususnya KSSB.

KSSB yang diberikan hak mutlak dan monopoli peniagaan pasir di Selangor sejak pakatan DAP, PKR dan PAS memerintah juga dilihat sangat lemah sehingga gagal untuk melaksana, mengawal, menyelia dan memberikan pulangan kewangan seperti yang dijanjikan oleh MB Selangor.

Lebih buruk lagi apabila kematian seorang pemberi maklumat skandal pasir yang juga seorang ahli perniagaan yang dikatakan mempunyai kaitan dengan skandal pasir di Selangor itu.

Sehingga ini pejabat MB Selangor memandang sinis kepada Raja Petra Kamaruddin, blogger tersohor yang terus mendedahkan maklumat-maklumat di media maya tanpa segan dan silu yang menjadikan rakyat semakin jelas dengan maklumat terkini lagi sensasi polemik pasir Selangor ini.

Pemecatan 9 orang kakitangan KSSB yang cuba mencari kebenaran dalam skandal Pasir merupakan episod kezaliman kerajaan negeri Selangor kepada kakitangan anak syarikat nya. Dimanakah nasib dan masadepan mereka yang cuba menegakkan kebenaran dan keadilan dalam pentadbiran di Selangor sekarang ? - jawapan nya - You are FIRED !

Dimanakah kesudahan skandal yang melibatkan wang ratusan jutaan ringgit ini ? Mahkamah Rakyat atau Debat Rakyat, pilihan kerajaan negeri ? Debat Rakyat tentunya tidak menyelesaikan skandal ini malah ia sekadar mempolemik terus isu penyalahgunaan ini.

SELCAT pula terlalu politiking sifat nya selain mempunyai bidang kuasa yang amat terbatas. Skandal Pasir ini terlalu besar dan replika kuching dan tikus tidak mampu untuk menyelesaikan persoalan penyelewengan yang besar ini.

GAPS melihat penubuhan Suruhanjaya Diraja Skandal Pasir Selangor memang satu kewajipan kerana skandal ini melibatkan penyelewenang ratusan jutaan ringgit wang rakyat Selangor dan menyebabkan kematian seorang rakyat Malaysia.

Cakap kosong MB dan putar alam Exco nya dalam skandal pasir ini langsung tidak menyakinkan rakyat Selangor. Rakyat Selangor menuntut agar Suruhanjaya Diraja Skandal Pasir Selangor ditubuhkan segera agar penyangak pasir ini dapat dihadapkan kemuka pengadilan.

Rakyat Selangor menuntut ketelusan yang hakiki, bukan ketelusan yang diwarnai oleh kepentingan politik individu atau parti tertentu.









Hamidzun Khairuddin
Presiden
Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS)

Juragan Malawati..

Sabtu, 18 Februari 2012

Isu air Selangor - Majlis Belia Negeri mula bersuara!


KENYATAAN MEDIA - Majlis Belia Selangor

ISU AIR SELANGOR – BELIA MAHUKAN PENYELESAIAN SEGERA

1) Merujuk kepada perkara di atas kami dari semua peringkat persatuan belia di negeri Selangor mahukan dan menggesa Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Pusat di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menyelesaikan isu bekalan air bersih di negeri Selangor dengan segera.

2) Dari laporan media cetak dan elektronik kami maklum sudah banyak kali kedua-dua pihak telah bermesyuarat akan tetapi gagal membuat sebarang keputusan. Semalam EXCO Kerajaan Negeri Selangor Dr Xavier Jayakumar telah memaklumkan bahawa Kerajaan Selangor akan menggunakan kaedah; a) proses pengambilan air mentah dari bekas-bekas lombong, pengambilan dan penapisan air sungai, penggunaan air hujan dan air mentah dari takungan hujan.

3) Sebelum ini perbincangan kedua pihak gagal kerana Kerajaan Negeri Selangor menangguhkan kelulusan berhubung 3 perkara berikut iaitu; a). pengambilan balik tanah hak milik; b). penggunaan tanah rizab hutan simpan; dan c). kelulusan arahan pembangunan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Pelaksanaan Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor telah berjalan mengikut jadual yang dirancang, namun pelaksanaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 telah mengalami kelewatan yang sangat kritikal.

4) Persoalannya sekarang mengapakah Kerajaan Negeri masih berdegil tidak mahu memberi kerjasama kepada Kerajaan Pusat. Malahan mereka telah mencadangkan perkara yang lain pula. Bukankan cadangan mereka ini juga memerlukan jumlah kewangan yang besar menggunakan duit rakyat Selangor? Bukankan anak syarikat negeri Kumpulan Darul Ehsan (KDEB) yang dipilih untuk meneraju pemindahan air mentah ini kroni kepada kerajaan negeri? Apakah jaminan Kerajaan Negeri Selangor tidak akan memilih syarikat perunding dari luar untuk membuat kerja-kerja ini seperti yang berlaku di Pulau Pinang dimana syarikat perunding luar dari Singapura yang dilaporkan menjadi perunding untuk membina rumah kos rendah?

5) Jika Kerajaan Negeri betul-betul serius dengan permasalahan air di Selangor mengapakah baru sekarang dicadangkan perkara di atas, sepatutnya dari 2008 lagi. Adakah Kerajaan Negeri baru Yakin bahawa tahun 2014 Lembah Kelang termasuk Selangor akan mengalami masalah air, maka cadangan-cadangan ini diunjurkan sekarang. Berapa lamakan cadangan-cagangan ini dapat direalisasikan? Berapakah jumlah kos yang akan dibelanjakan duit rakyat Selangor?

6) Unjuran yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menunjukkan bahawa permintaan bekalan air terawat pada tahun 2011 di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka meningkat kepada 4,631 juta liter sehari, iaitu melebihi keupayaan pembekalan sebanyak 4,431 juta liter sehari dengan defisit bekalan sebanyak 200 juta liter sehari. Menjelang akhir tahun 2014 pula, defisit bekalan dijangkakan meningkat kepada 703 juta liter sehari dengan permintaan bekalan air terawat dijangkakan meningkat kepada 5,349 juta liter sehari berbanding keupayaan pembekalan sebanyak 4,646 juta liter sehari.

7) Kami juga kesal dengan sikap Kerajaan Negeri Selangor kerana memandang rendah kredibiliti, keupayaan dan profesionalisme pegawai-pegawai kerajaan dan agensi-agensi kerajaan yang mempunyai kemahiran dalam membuat penyelidikan dan laporan berkenaan permasalahan air ini.

8) Oleh itu, kami mendesak agar Kerajaan Negeri Selangor tidak lagi berdolak dalih, menuding jari dan menghenti mempolitikkan isu air di Selangor ini. Kami TIDAK YAKIN dengan janji Kerajaan Negeri Selangor kerana janji pilih raya dahulu pun masih tidak tertunai lagi, apatah lagi isu besar seperti ini dapat diselesaikan.

Terima Kasih.

Badrul Hisham Badrudin
Timbalan Presiden
Majlis Belia Negeri Selangor.

Juragan Malawati..

Khamis, 16 Februari 2012

Isu pasir: Noh cabar panggil ‘mahkamah rakyat’!

Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar sekali lagi mengingatkan Kerajaan Negeri Selangor agar tidak bermain politik berhubung isu penyelewengan pasir di negeri itu.

Malah beliau turut mencabar Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mengadakan ‘perbicaraan’ secara terbuka kerana isu berkenaan melibatkan kepentingan rakyat di negeri ini.

Noh berkata, beliau bersedia untuk menghadiri perbicaraan itu dengan membawa segala bukti dan dokumen serta akuan bersumpah orang-orang terlibat.

“Kenapa saya perlu tampil dan kemuka bukti kepada TI (Transparency International) sedangkan Kerajaan Negeri sendiri tidak meyakinkan rak­yat bahawa ada tindakan selepas penyiasatan dilakukan.

“Pada saya, Kerajaan Negeri tidak jujur dan tidak telus kerana sehingga hari ini siasatan Selcat (Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ke­telusan) dibuat secara tertu­tup tidak pernah diumumkan keputusannya malah, berhenti separuh jalan,” katanya, semalam.

Noh berkata demikian ketika mengulas kenyataan Abdul Khalid semalam yang mahu beliau tampil memberikan maklumat berhubung dakwaan isu penyelewengan pasir kepada ahli panel TI.

Isu pasir kembali hangat apabila pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin mendedahkan Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafie bersama Adun Batu Caves, Amiruddin Shaari didakwa terlibat dengan skandal itu.

Pendedahan itu bukan pertama kali kerana sebelum ini, Ahli Parlimen Kapar dari PKR, S Manikavasagam membuat laporan polis berhubung dakwaan wujud amalan rasuah dan penyelewengan dalam Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Noh turut menyindir Kerajaan Negeri yang bersikap ‘double standard’ kerana apabila ada kes melibatkan bekas pemimpin BN, Selcat telah dijalankan secara terbuka tetapi bila ada dakwaan penyelewengan melibatkan pemimpin pakatan pembangkang semuanya ditutup.

“Apabila kes tidak diselesaikan Selcat, sudah tentu isu pasir tidak boleh dibangkitkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri. Apakah Selcat ini ditubuhkan hanya untuk mencari keburukan dan kelemahan pemimpin BN sahaja, tetapi apabila melibatkan pemimpin pakatan pembangkang semuanya didiamkan?” katanya.

Beliau berkata, sekiranya perbicaraan rakyat itu diadakan, Abdul Khalid perlu bersedia untuk mengambil sebarang keputusan walaupun terpaksa meletakkan jawatan sebagai menteri besar.

“Jika saya bersedia menerima sebarang keputusan sekiranya bersalah, Abdul Khalid juga perlu bersedia bertindak seperti letak jawatan atau pecat dua Adun yang didakwa melakukan penyelewengan itu atau bubarkan sahaja KSSB.

“Saya mahu perjanjian ini dibuat lebih awal dan terpulang kepada Kerajaan Negeri untuk menyatakan persetujuan dalam masa terdekat. Lagi cepat lagi bagus bagi memperjelaskan isu pasir ini kepada rakyat,” katanya.









Juragan Malawati..

Isnin, 13 Februari 2012

Isu sokong Israel - Pok Nik 'hangin satu badan' dengan Anwar!


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menggesa Ketua Umum Pakatan Rakyat, Anwar Ibrahim agar menarik balik kenyataannya berkaitan dengan Israel, yang disiarkan dalam akhbar Wall Street Journal (WSJ) bulan lalu.

"Saya, selaku Mursyidul Am Pas, dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama Pas, menggesa Datuk Seri Anwar menarik balik kenyataannya seperti dilaporkan di Wall Street Journal," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat petang ini.

Nik Abdul Aziz berkata, jika kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Anwar untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman WSJ bagi membersihkan nama beliau.

Dalam kenyataannya, Nik Abdul Aziz berkata, Pas mengulangi pendirian yang berterusan dan tetap dengan prinsip, sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel sebagaimana yang juga ditegaskan menerusi pendirian di kalangan gerakan Islam antarabangsa, serta menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri.

Kata beliau, negara haram Israel diwujudkan oleh kuasa besar dunia secara zalim tanpa sifat perikemanusiaan dan sepatutnya ditentang oleh semua peradaban manusia.

Oleh itu katanya, wajib bagi umat Islam, bukan sahaja di bumi Palestin malah seluruh dunia, berusaha sedaya upaya untuk membebaskan Palestin sepenuhnya.

"Adalah haram menerima kewujudan negara yang haram. Maka Pas menolak penyelesaian dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis.

"Keselamatan negara haram Israel juga bukanlah menjadi tanggungjawab yang dipikul oleh orang Arab atau umat Islam kerana ditegakkan negara haram itu sendiri di atas dasar kezaliman. Islam sebagai agama yang sangat mementingkan hak asasi, keadilan, keharmonian dan hubungan baik antarabangsa, tentu sekali tidak dapat berkompromi dalam isu kezaliman ini," katanya.

Sabtu lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan pendiriannya menolak formula penyelesaian dua negara bagi mengatasi konflik Asia Barat membabitkan Israel dan Palestin sambil menyifatkan adalah "haram menerima kewujudan negara haram."

Sehubungan itu kata Abdul Hadi, bagi pihaknya hanya ada satu negara Palestin bagi penduduknya yang berhak manakala Israel tidak wujud sama sekali. Kedua-dua pemimpin Pas ini melahirkan pendirian ini ketika kenyataan Anwar mengenai Israel, dalam satu temu bual bersama WSJ baru-baru ini, menjadi isu kontroversi.

Pandangan Anwar itu berhadapan dengan kritikan dan kecaman pemimpin-pemimpin BN dan sebahagian pertubuhan bukan kerajaan.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, walaupun banyak kalangan negara Arab menerima penyelesaian secara mewujudkan dua negara, pihak berkenaan perlu menyedari bahawa Palestin bukan hak orang Arab sahaja.

Petang tadi, PR mengadakan mesyuarat kepimpinan pusat di Petaling Jaya. Adakah ini satu lagi sandiwara dari Pok Nik dan kuncu-kuncunya! Kita tunggu seminggu dua lagi?

Juragan Malawati..

Jumaat, 10 Februari 2012

Apa hubungan Azmin Helmi dengan pentadbiran Khalid Ibrahim - GAPS ingin penjelasan MB!



Kenyataan Media GAPS

GAPS sangat terperangat apabila seorang warga malaysia ditangkap di Batam kerana memiliki kad pengenalan palsu negara Inddonesia.

Lebih memeranjatkan apabila yang ditangkap adalah sdr Azmin Helmi, seorang bekas setiausaha politik MP Pkr di Selangor. Dia juga dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor yang berjaya mengejutkan negara dengan gambar seksi separa bogel yang menikam kalbu.

Azmin mengaku bahawa kehidupannya di Indonesia sepanjang 2 tahun yang lampau dibiayai sepenuhnya oleh Pkr. Pengakuan ini menguatkan lagi emosi rakyat Selangor akan hubungan istimewa tanpa nikah antara Azmin dengan Exco kerajaaan negeri. Exco itu juga tidak pernah menafikan Azmin adalah kekasih dihati nya.

GAPS mahu penjelasan Menteri Besar mengenai gelagat dan kelakuan Exco nya yang menjolok mata rakyat Selangor ini. Rakyat Selangor mengharapkan pemimpin yang suci dari Rasuah, suci dari penyelewengan kuasa dan suci dari Maksiat serta noda nafsu.

Dengan episod terbaru ini GAPS ingin mengcadangkan MB menasihatkan Exco berkenaan meletakkan jawatan sebelum cempedak menjadi nangka, sebelum nasi menjadi bubur.

Juga apa salahnya jika MB boleh menasihatkan Exco nya itu menjalani hubungan dengan kekasihnya secara sah bagi menjernihkan air yang keruh dan menceriakan malam yang suram. GAPS faham Exco itu bukan malaikat, namun itu bukan alasan untuk dia berwewenang sebagai pemimpin publik di Selangor ini.

Hamidzun Khairuddin
Presiden
Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS)

Khamis, 9 Februari 2012

Khalid Kata Hasan Dedah Kepincangan Pas Sebab Nak Jadi MB...betul ke?


Pas Selangor semalam membuat dakwaan baru terhadap bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohammad Ali, bahawa pendedahan yang dilakukan melalui siri ‘roadshow’ baru-baru ini adalah disebabkan kecewa ekoran hasrat menjadi Menteri Besar Selangor tidak kesampaian.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya III Pas Negeri Selangor, Khalid Abdul Samad, tindakan Hasan itu yang mendedahkan kepincangan parti yang dikatakan dikuasai oleh golongan ‘parasit’ telah menyekat niatnya untuk menjadi pemimpin no.1 kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat itu.

Khalid berkata, Hasan sering meminta agar Pas mengkaji semula hubungan mereka dengan DAP dan PKR serta mempertimbangkan cadangan untuk berganding bahu dengan UMNO.

“Beliau (Hasan) kerap kali mencadangkan agar Pas mengkaji semula kerjasama PKR dan DAP.

“Ini kerana usaha beliau untuk berganding dengan UMNO sebelum ini, peluangnya untuk menjadi Menteri Besar adalah cerah.

“Hasan juga dikatakan sebelum ini turut memberi maklumat tidak tepat kepada pimpinan Pas seperti pelantikan Ahli-ahli Majlis (pihak berkuasa tempatan) hanya 30 peratus orang Melayu selain memberikan laporan bahawa DAP menghalang azan seperti yang berlaku dalam kes Teresa Kok (Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara) sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Ahli Parlimen Shah Alam itu juga berkata, laporan-laporan yang diberikan oleh Hasan kepada pimpinan Pas Pusat itu merupakan antara usaha bekas Exco kerajaan itu yang sengaja merosakkan hubungan di antara Pas dan sekutunya, PKR dan DAP.

“Beliau bergerak selama ini (dalam Pas) sebagai ‘musuh dalam selimut’ kerana beliau berusaha untuk gagalkan apa yang telah diputuskan oleh Muktamar Pas sebelum ini yang sebulat suara mahu menjayakan dan mengukuhkan kerjasama dengan PKR dan DAP,” jelasnya.

Tetapi lihatlah rakaman video ini yang mana menunjukkan betapa teruknya Si Khalid Samad ini!



Video ini diambil semasa kempen ketika PRU ke-12. Waktu itu orang Shah Alam memang tak kenal siapa dia Khalid Samad? Orang Shah Alam kenal siapa dia Dr. Hasan Ali. Tambahan pula, Khalid Samad bukan anak jati Selangor. Cuma 'Pendatang' yang tak dijemput sahaja.

Kempen Dr. Hasan Ali merupakan salah satu faktor kemenangan Khalid Samad di Shah Alam. Selain itu pemboikotan beramai-ramai ahli UMNO Shah Alam kerana Aziz Shamsudin dipilih untuk bertanding di kawasan tersebut sedangkan mereka telah mempunyai calon tempatan juga merupakan faktor kemenangan Khalid.

Kini apa sudah jadi? Bila dah popular dengan pelbagai kontroversi negatif (isu gereja dll), Khalid Samad merasakan dia terlalu besar hingga melupakan jasa Dr. Hasan Ali.

Dan lagi satu nak tanya Khalid..Apa kaitannya Roadshow Hasan Ali dengan perasaan kecewa Hasan Ali nak jadi MB? Alahai pemegang PhD...betapa rendahnya minda anda!!!

Juragan Malawati..

Hasan Ali: 5 sebab Pas terus menyimpang!

Datuk Dr Hasan Ali, yang dipecat daripada parti itu 8 Januari lepas memberikan lima sebab kenapa beliau rela dilihat berpatah arang berkerat rotan dengan Pas.

Dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama, Hasan menggariskan sebab-sebab itu ialah:

- Pas meninggalkan perjuangan asalnya untuk menubuhkan sebuah Negara Islam dan menggantikannya dengan Negara Kebajikan, yang boleh dilaksanakan di mana-mana negara sekular dalam apa juga sistem dan amalan politik.

- Pas sudah hilang pendirian dan ketegasan yang boleh dihormati apabila diperkotakkatikkan oleh rakan sekongkolnya dalam pakatan pembangkang khasnya DAP sehingga menolak bulat-bulat Negara Islam.

- Pas terlalu ghairah memimpikan Putrajaya sehingga mengorbankan Islam dengan bersekongkol dengan DAP yang terang merupakan musuh Islam.

- Pemikiran ulama di dalam Pas yang ada sekarang sudah "dilarutkan" dengan kehadiran sebanyak 70 peratus "parasit" di dalam kepimpinannya yang membawa kepentingan politik berlainan daripada hala tuju Pas.

- Kesetiaan wakil rakyat Pas dalam Parlimen lebih besar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi perhatian besar dan hadir dengan ramai setiap kali ketua pembangkang itu berucap sedangkan ketika Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berucap, banyak bangku yang kosong.

Hasan berkata, Pas kini sudah menyimpang jauh dan terus hanyut daripada perjuangan asalnya selagi parti itu berada dalam pakatan pembangkang bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menjelaskannya, beliau berkata apa yang dijanjikan kepada masyarakat Islam di negara ini sebelum ini adalah penubuhan sebuah Negara Islam tetapi impian itu sudah mustahil untuk dicapai apabila pakatan pembangkang ditubuhkan dan Pas, atas pertimbangan kepentingan politik semata-mata, telah menyertainya.

"Yang kita dapat di Selangor sekarang, samalah akan terjadi di Putrajaya.

Kalau mereka (pembangkang) menang atas konfigurasi komponen (parti) yang ada, tak akan adalah Negara Islam, tak akan adalah hukum hudud. Begitu juga pelaksanaan Islam dalam ekonomi, sosial, pertanian dan dasar luar negara.

"Jadi bila gabung dengan DAP dan PKR, Pas tak boleh lagilah dengan negara Islam. Ketua Umum PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun tak berminat.

"Saya baru 15 tahun dalam Pas. Saya masuk Pas kerana saya nak Islam dan kepimpinan ulama iaitu 'tagline' Pas. Itu sebab utama saya masuk Pas. (Tapi) kepimpinan ulama tidak lagi dominan. Negara Islam tak ada lagi, jadi saya nak bergantung ke mana?" katanya.

Hasan, yang sebelum ini Anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, berkata Pas terpaksa mengubah inti perjuangan kepada Negara Kebajikan.

"Negara Kebajikan semua negara boleh buat. Negara di Eropah misalnya, Norway, Sweden pun buat tetapi atas prinsip sekular, mereka tak nampak faktor agama.

"Dalam keadaan banyak umat Islam bergantung harapan kepada Pas, parti itu sendiri menolak Negara Islam. Alasan yang dahulunya dikatakan oleh Pas sendiri bahawa ia dituntut oleh Islam telah tiba-tiba diputar belitkan oleh Pas juga bahawa tiada disebut dalam al-Quran," katanya.

Menyentuh cita-cita Pas untuk menawan Putrajaya, Hasan berkata beliau tidak mempertikaikannya semasa masih berada di dalam parti itu tetapi tidak mahu Islam dikorbankan dalam usaha berkenaan.

"Orang Pas mungkin dah tak sabar nak jadi menteri, itu yang nak ke Putrajaya, itu agak sayalah, sampaikan prinsip perjuangan diketepikan. Dalam soal ini, saya tidak setuju.

"Saya dari awal lagi sudah menentang Negara Kebajikan ni. Walaupun Putrajaya itu penting tetapi mendaulatkan Islam, Melayu dan Raja adalah matlamat perjuangan politik kita," katanya.

Hasan berkata tarikan ke Putrajaya itu sangat kuat disebabkan Pas terus digula-gulakan dan dikipas oleh pemimpin parti pembangkang, dan banyak kepimpinan Pas sekarang rela memejamkan sebelah mata walaupun mereka mungkin sedar Pas sedang diperalatkan oleh rakan pakatan untuk mencapai cita-cita itu.

"Bila ke Putrajaya sekalipun, akan berlaku perebutan kuasa antara Pas, DAP dan PKR dalam kementerian-kementerian penting. Dalam pakatan pembangkang pun tak kukuh kerana ini sekadar gabungan tidak kukuh, dan bukannya desakan kemahuan ikhlas dan suci untuk mendaulatkan Islam.

Beliau juga berkata kepimpinan Pas perlu berubah dan membuat 'islah' kerana pelbagai prinsip di dalam parti itu dilihatnya sudah tidak betul.

Contohnya, Hasan berkata beliau dimaklumkan oleh rakan-rakan dalam parti bahawa apabila Abdul Hadi berbahas di Parlimen, tidak ramai yang berada di kerusi mereka tetapi berbeza apabila Anwar yang berucap, itu pula yang diberi perhatian penuh.

"Takkan kita dalam Pas, kesetiaan kita adalah kepada orang lain pula. Pada saya ini prinsip yang sangat tak betul. Prinsip berjemaah tak betul, prinsip berketua tak betul dan prinsip pengikut tak betul. Akhirnya prinsip mengurus organisasi tak betul dan ini yang berlaku sekarang.

"Saya dah gambarkan sebelum ini selepas menjadi kerajaan di Selangor selama tiga tahun dan 10 bulan dengan melihat semula kekuatan, kelemahan dan peluang.

"Saya boleh senaraikan 20 kelemahan tetapi pakatan pembangkang tak buat dan tak berani buat," katanya.

Hasan juga membidas Anwar kerana suka menimbulkan reaksi masyarakat dengan mengadakan demonstrasi.

"Bukan tak bagus demonstrasi tapi bukan semuanya sesuai untuk demonstrasi.

Akhirnya (negara) akan jadi anarki dengan masing masing mentafsir berdasarkan pemikiran masing-masing. Itupun perlu mengikut kehendak syariat," katanya.

Beliau mengakui diberitahu bahawa di dalam pakatan pembangkang apa juga perkara perlu dirujuk kepada Anwar dan akhirnya akan berlaku amalan autokratik dan dengan itu senang untuk 'menunggangi' Pas.

"DAP tak mudah ditunggangi," katanya.

Juragan Malawati..

Isnin, 6 Februari 2012

Roboh asrama: Tindakan Yayasan Selangor dipersoal!

Asrama Toh Puan Norashikin, milik Yayasan Selangor yang bakal dirobohkan di Kampung Pandan. Kerja-kerja pembinaan sudah pun dimulakan oleh pihak kontraktor.

Tindakan Yayasan Selangor yang tetap berkeras mahu merobohkan asrama yayasan berkenaan di Kampung Pandan menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak berikutan pelaburan bernilai jutaan ringgit terhadap asrama itu dua tahun lalu.

Sambil mempertikaikan agenda tersirat yayasan, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) asrama berkenaan, Mohd. Zaidi Barkis turut mempersoalkan nasib pelajar baru yang diambil pada awal tahun lalu.

"Tidakkah sangat merugikan apabila telah membelanjakan berjuta ringgit bagi membaik pulih asrama yang berusia 40 tahun itu pada tahun 2010 dan kini tidak sampai dua tahun mereka mahu merobohkannya pula.

"Kami juga melihat pelan penempatan yayasan itu tidak munasabah kerana asrama daerah tersebut berada di kawasan luar bandar, jadi lebih baik pelajar duduk dengan ibu bapa dan belajar di sekolah berdekatan dengan kediaman masing-masing sahaja," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki yang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Gerakan Saya Anak Yayasan Selangor (GSAYS) atau mana-mana pihak yang sengaja memutarbelitkan isu merobohkan Asrama Yayasan Selangor, Kuala Lumpur.

Menurut Ilham lagi, yayasan akan menempatkan pelajar tajaannya di asrama daerah iaitu asrama sekolah terpilih.

Jelas Zaidi, tindakan yayasan dilihat dibuat terlalu tergesa-gesa dan hakikatnya ia cukup membebankan ibu bapa kerana terpaksa membuat perkara yang sama berulang kali iaitu mencari sekolah lain dan mengeluarkan perbelanjaan untuk pendidikan anak-anak mereka.

"Saya kesal dengan tindakan Yayasan Selangor yang dilihat langsung tidak memikirkan emosi para pelajar kerana terpaksa berpindah ke sekolah lain dan berkenalan dengan rakan-rakan yang baru," katanya.

Katanya, tindakan itu jelas menunjukkan mereka telah gagal menghayati dan menjiwai perjuangan penubuhan asal yayasan itu apabila tetap dengan keputusan mahu merobohkan bangunan asrama berkenaan.

"Yayasan perlu menyedari tindakan mereka itu telah merencatkan matlamat asal iaitu mahu melihat pelajar-pelajar Melayu luar bandar dan dalam bandar bersatu agar mereka dapat meningkatkan mutu pencapaian," katanya.-UMO

Juragan Malawati

Ahad, 5 Februari 2012

Aduhai Tuan Presiden PAS, Haji Hadi Awang!

Kail Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dipasang umpan kerusi Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang dan Parlimen Marang sudah mengena. Ikannya besar, bukan sahaja dalam bentuk keputusan muktamad tapi 'sergahan' agar beliau terus menjadi Yang Berhormat dan memimpin Pas.

Nilai pasaran Abdul Hadi yang mengakui sudah terlalu lama menjadi Yang Berhormat, rupa-rupanya masih tinggi. Bukan sekadar pemimpin Pas tetapi Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim turut memujuknya bahawa beliau masih diperlukan dalam Pas dan pakatan pembangkang.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah 45 tahun menjadi ADUN adalah orang yang paling tegas menolak tawaran Abdul Hadi. Nik Abdul Aziz, 81, seolah-olah mahu Abdul Hadi mencontohinya yang telah mengumumkan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

Alkisah, penyudahnya Lajnah Politik Pas yang sepantas kilat membincangkan isu itu memutuskan untuk menolak hasrat Abdul Hadi. Presiden Pas berusia 65 tahun ini dalam reaksi segera seakan sudah tertulis dalam skrip, akur dengan keputusan itu.

Pandangan Nik Abdul Aziz bahawa 'perjuangan Islam tidak mempunyai tempoh masa bahkan sehingga akhir hayat' dijadikan asas kepada penolakan hasrat Abdul Hadi itu. Termeterailah keputusan Nik Aziz akan terus bertanding dan menjadi Menteri Besar Kelantan manakala Abdul Hadi terus di Parlimen Marang dan mungkin juga mengekalkan kerusi DUN Rhu Rendang.

Polemik tidak mahu bertanding ini secara langsung telah menaikkan nilai pasaran Abdul Hadi. Imej sebagai seorang pemimpin berakhlak dan bermaruah kerana 'tidak meminta-minta jawatan' dipotretkan sebegitu rupa untuk memastikan Abdul Hadi terus disanjung.

"Saya nak sebut satu rahsia untuk tidak bertanding, tapi disergah oleh Pas Kelantan, inilah yang menyebabkan saya terus dalam politik hingga hari ini," kata Nik Abdul Aziz memberi mesej bahawa Pas masih memerlukan kepimpinan Abdul Hadi sebagaimana Pas Kelantan masih bergantung kepada beliau.

Jawatan

Memang setakat ini belum terdengar secara terbuka Abdul Hadi mengagung-agungkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri. Beliau mahu dipotretkan sebagai 'orang yang bersifat tawaduk dan berakhlak Islam yang mana jawatan bukan perkara yang direbut tetapi adalah amanah".

Dalam hal ini, beliau dilihat terlalu merendah diri sehinggakan gagal 'menjual' kepimpinan Pas di peringkat nasional. Apakah benar begitu atau memang kepimpinan Abdul Hadi lemah?

"Dari segi kepimpinan dan pentadbiran, Abdul Hadi memang kurang menonjol. Dia lebih berkarisma sebagai seorang ulama," kata seorang pemerhati politik yang rapat dengan Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi.

Dulu semasa menjadi Menteri Besar selama satu penggal, beliau dilihat banyak dibayangi oleh orang kanannya, Datuk Mustafa Ali. Begitu juga sepanjang menjadi Presiden Pas ini, kehadiran beliau tidak begitu dirasai, kecuali dalam ceramah.

"Orang agak gerun untuk berjumpa dengannya. Macam ada jarak, mungkin kerana wajahnya yang serius dan garang," kata pemerhati politik itu lagi.

Dalam kalangan orang Pas, Abdul Hadi bukanlah pemimpin yang selalu mereka hormati. Dakwa mereka, insiden dipinggirkan oleh jentera Pas Kelantan semasa pilihan raya kecil Manik Urai adalah salah satu contohnya.

Malah pernah satu ketika semasa zaman pentadbiran Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Presiden Pas ini yang dikaitkan dengan kerajaan perpaduan dilihat berseberangan dengan kem Nik Abdul Aziz.

Saban waktu, orang Pas dan sekutunya masih mengutamakan Nik Abdul Aziz. Dominasi Nik Abdul Aziz begitu ketara dengan 'fatwanya' banyak mencorakkan kepimpinan Pas dan juga pakatan pembangkang.

Mungkin sebab itu, sehingga hari ini apabila ada lontaran bahawa Abdul Hadi adalah calon terbaik Perdana Menteri, tidak ramai pemimpin pakatan pembangkang termasuk daripada Pas memberi reaksi positif.

Selalunya hanya reaksi 'yang penting menang pilihan raya dulu' daripada pemimpin Pas. Yang nampak beria-ia hanya Datuk Dr. Hasan Ali, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor yang kini dipecat atas dakwaan tidak sehaluan lagi dengan perjuangan parti itu.

Dan terbaru, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib yang secara tegas berterus-terang mahu melihat presiden partinya itu menjadi Perdana Menteri.

"Saya bercita-cita nak lihat beliau jadi Perdana Menteri. Kalau beliau berundur dan tidak bertanding Pilihan Raya Umum ke-13 maka tidak capai hasrat kita," tegasnya semasa mengulas isu pengunduran Abdul Hadi.

Tapi sayang orang seperti Harun yang diletakkan dalam kelompok ulama umpama harimau tidak bergigi. Sudahlah jarang-jarang mengaum, ngaumannya pula tidak lagi ada getar dan digeruni.

Berbeza sekali dengan rakannya Anwar yang sejak awal mempromosi diri sebagai pemimpin anugerah tuhan. Bahkan, Pas sanggup pula membiarkan diri menanggung segala beban ekoran masalah peribadi Anwar.

Di pentas mana pun - dalam negeri dan luar negara - Anwar bercakap dalam bahasa bahawa beliau akan memimpin Malaysia. Beliau pun berjanji itu dan ini termasuk dalam soal dasar luar negara.

Pernahkah kita mendengar pemimpin Pas yang selalu diangkat sebagai 'bermaruah dan amanah' itu menegur Anwar? Tidak, malah Pas sanggup pula mengorbankan pemimpin mereka yang berani menegur Penasihat PKR itu.

Mengapakah Pas tidak meletakkan penghormatan yang sama ke atas Abdul Hadi? Aneh, Pas tidak mengenakan kayu ukur yang sama ke atas jawatan Perdana Menteri yang kini seakan sudah milik Anwar bahawa 'jawatan tidak boleh direbut tetapi sebagai satu amanah'.

Umpan Abdul Hadi telah mengena. Sudah tiba masanya untuk para pemimpin Pas meletakkan Abdul Hadi bukan sekadar sebagai seorang Presiden berwibawa tetapi juga calon Perdana Menteri yang bakal mengagungkan Islam.

Tetapi sekali lagi, cita-cita dan harapan mengunung Harun itu tidak dikongsi oleh pemimpin Pas lain. Itulah yang dirasai. Jika Anwar boleh mencalonkan dirinya sebagai bakal Perdana Menteri, mengapa tidak orang Pas mengangkat pemimpin mereka sendiri?

Tetapi mungkin benar, cengkaman kelompok Anwarinas dalam Pas begitu kuat, sehinggakan tidak berdaya untuk mengangkat Presiden mereka sendiri sebagai calon Perdana Menteri. Maka, tetap sia-sialah umpan yang dipasang elok oleh Abdul Hadi itu.-UMO

Juragan Malawati

Sabtu, 4 Februari 2012

Salam Maulidur Rasul.


لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيراً

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) Al-Ahzab 33:21

Salam Maulidur Rasul dari UMNO Kuala Selangor.

Juragan Malawati

Jumaat, 3 Februari 2012

Bila bumi dipijak milik orang!

Orang Melayu paling ramai tidak daftar mengundi! Pendedahan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof itu sebenarnya bukan satu kejutan besar kerana situasi itu telah diketahui umum selama ini.

Sememangnya orang Melayu memandang remeh pendaftaran mengundi mahupun hak mengundi pada pilihan raya kerana masih dibuai mimpi siang bahawa bumi yang dipijak ini akan kekal di tangan mereka hingga ke anak cucu.

Masih ramai daripada 3.7 juta orang Melayu yang layak mengundi enggan melihat apa yang berlaku di negara jiran ke utara dan selatan Semenanjung, di mana orang Melayu setempat bagaikan pendatang di tanah tumpah darah mereka sendiri.

Apabila hilangnya kuasa politik dan tiada kemampuan ekonomi, maka Melayu di negara jiran hanya menumpang mencari makan daripada 'tuan tanah baru', seperti mana penduduk pribumi di Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan banyak lagi negara yang dijadikan koloni penjajah dari Barat.

Walaupun negara ini belum tergadai, namun telah jelas ada negeri, kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah 'diambil alih' akibat kealpaan orang Melayu yang tidak mahu mendaftar mahupun mengundi.

Melayu dan bumiputera yang menjadi majoriti melebihi 60 peratus penduduk negara ini sepatutnya dengan mudah menentukan hala tuju politik Malaysia.

Tetapi, akibat mengambil mudah proses pendaftaran dan mengundi, kaum minoriti yang sedar akan hak mereka selaku pengundi mampu menguasai kawasan yang majoriti penduduknya orang Melayu.

Ditambah pula perpecahan antara orang Melayu sendiri, maka semakin banyak kawasan yang majoriti penduduknya Melayu akan dikuasai orang bukan Melayu dalam pilihan raya, sejajar dengan sistem demokrasi yang melihat kepada jumlah undi dan bukannya kaum majoriti.

'Jatuhnya' sesuatu kawasan Melayu itu kepada bukan Melayu akan mengundang kesan berangkai di peringkat DUN, Parlimen, negeri dan akhirnya negara.

Lihat sahaja bandar-bandar besar kini politiknya sudah dikuasai bukan Melayu sedangkan tidak kurang jumlah Melayu dan bumiputera yang tinggal dan bekerja di sana. Orang Melayu pula kelihatan hanya memegang kawasan kampung dan pedalaman.

Jelas lagi nyata, bumi yang dipijak tidak semestinya kekal milik Melayu jika terus dibuai mimpi siang hari dan tidak menjalankan tanggungjawab mereka.

Bagi tokoh akademik, Tan Sri Ibrahim Abu Shah, sikap mengambil mudah urusan mendaftar dan mengundi ini merugikan bangsa sendiri terutamanya sekarang di mana ramai yang tidak faham negara boleh jatuh ke tangan bukan Melayu.

"Saya tidak faham kenapa sikap begitu masih berterusan dalam kalangan orang Melayu sedangkan anak-anak orang bukan Melayu di luar negara sanggup balik semata-mata untuk mengundi.

"Mereka tahu susahnya mendapat hak mengundi sementara orang kita terus pandang remeh dan tidak mengambil berat pentingnya satu undi kepada bangsa dan negara," katanya.

Menurut beliau, golongan yang 'tidak kisah' ini tidak dapat melihat kesan tindakan mereka kepada negara terutamanya yang akan ditanggung generasi berikutnya kelak.

Jelasnya, melihat kepada pakatan tiga parti pembangkang menunjukkan pengaruh kuasa dan kerusi lebih dipegang bukan Melayu terutamanya kini dengan ada sebilangan Melayu sendiri yang menyokong DAP.

"DAP cukup condong kepada sistem pemerintahan republik. Jika mereka menjadi ketua atau mempengaruhi kerajaan baru jika pembangkang menang, parti-parti Melayu yang lemah akan digunakan untuk kawal negara.

"Singapura mungkin dibawa masuk kembali bagi mengurangkan majoriti Melayu, tiada lagi Raja-Raja, Perlembagaan dipinda, Islam bukan lagi agama rasmi dan habislah ketuanan Melayu dan maruah diri kita," tegasnya.

Tambahnya, tidak mustahil juga Perdana Menteri kelak bukan orang Melayu mahupun Islam seperti mana pernah dijadikan ikrar di Pulau Pinang dan disebut bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

"Mungkin ramai tidak percaya ini semua boleh berlaku tapi lihat sahaja situasi kini! Sudah ada orang Melayu sendiri yang sokong cadangan Perdana Menteri bukan Melayu.

"Oleh itu, jangan ambil mudah kesan setiap undi milik orang Melayu. Sebelum terkena, sedarlah sikit agar tidak menyesal di kemudian hari," ujarnya.

Ibrahim turut mengaitkan sokongan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rejim Israel akan menentukan corak pemerintahan negara kelak jika pembangkang menang dan Singapura kembali menyertai Malaysia.

"Singapura mempunyai pengaruh Israel yang kuat termasuk kuasa tenteranya. Jika mereka kembali di bawah pimpinan pembangkang, orang Yahudi juga akan ada pengaruh ke atas negara kita kelak.

"Jika ketika itu Melayu mahu memberontak, 'polis dunia' akan sekat dengan alasan 'undian adil telah dibuat melalui pilihan raya', maka mati kataklah kita," jelasnya.

Selain itu, beliau turut menegur usaha UMNO terutama di peringkat cawangan yang dilihat kurang menumpukan masa dan usaha dalam menarik golongan muda mendaftar dan mengundi.

"Mungkin maklumat yang saya terima ini kurang tepat tetapi cawangan-cawang UMNO kurang atau tidak bergerak sekuat parti pembangkang dalam menarik pendaftaran dan undi orang muda.

"Jentera cawangan tentu tahu anak siapa belum mendaftar dalam kawasan mereka. Berbeza dengan apa saya lihat di Subang di mana sekumpulan anak muda bukan Melayu membuka meja pendaftaran dan orang Cina paling ramai mendaftar," katanya.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak pula melihat masalah tersebut mungkin bermula dari sekolah atau universiti yang tidak menerapkan pentingnya mendaftar dan mengundi.

"Masalah utama mungkin tidak cukup kesedaran di kalangan orang muda selepas meninggalkan alam persekolahan atau universiti.

"Selain mengikuti urusan kerja dan pelajaran, orang muda perlu mengikuti perkembangan politik dan tidak boleh melupakan tanggungjawab mereka dengan mendaftar dan mengundi," ujarnya.

Beliau turut menyatakan orang Melayu memang dikenali dengan keghairahan dan semangat berkobar-kobar bila bercakap tentang politik tetapi lain pula jadinya bila waktu menjalankan tanggungjawab masing-masing.

"Orang Melayu kadang-kadang melebih sampai berpecah belah dan putus saudara akibat politik tapi buatnya lain (daftar pengundi).

"Kita kena beringat dan tidak boleh selama-lamanya dalam zon selesa. Sudahlah berpecah belah, jumlah pengundi Melayu pun kurang, yang tanggung akibatnya generasi akan datang yang meneruskan apa kita ada," jelasnya.

Beliau menegaskan, jika orang Melayu terus tidak ambil peduli peranan dan tanggungjawab dalam menentukan hala tuju dan nasib bangsa, tidak guna lagi menyesal kelak bila apa yang dimiliki lenyap akibat kealpaan mereka sendiri.

"Orang Melayu perlu berfikiran strategis dalam mengambil peranan politik. Orang dahulu tidak belajar tinggi tapi semangat mereka tinggi dalam menjalankan tanggungjawab mengundi.

"Tiada alasan lagi untuk orang sekarang terutama golongan muda kerana semua proses pendaftaran pengundi telah dipermudahkan. Jika terus leka, kuasa politik bangsa akan semakin terancam," tegasnya.-UM












Juragan Malawati