UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Ahad, 5 Februari 2012

Aduhai Tuan Presiden PAS, Haji Hadi Awang!

Kail Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dipasang umpan kerusi Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang dan Parlimen Marang sudah mengena. Ikannya besar, bukan sahaja dalam bentuk keputusan muktamad tapi 'sergahan' agar beliau terus menjadi Yang Berhormat dan memimpin Pas.

Nilai pasaran Abdul Hadi yang mengakui sudah terlalu lama menjadi Yang Berhormat, rupa-rupanya masih tinggi. Bukan sekadar pemimpin Pas tetapi Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim turut memujuknya bahawa beliau masih diperlukan dalam Pas dan pakatan pembangkang.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah 45 tahun menjadi ADUN adalah orang yang paling tegas menolak tawaran Abdul Hadi. Nik Abdul Aziz, 81, seolah-olah mahu Abdul Hadi mencontohinya yang telah mengumumkan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

Alkisah, penyudahnya Lajnah Politik Pas yang sepantas kilat membincangkan isu itu memutuskan untuk menolak hasrat Abdul Hadi. Presiden Pas berusia 65 tahun ini dalam reaksi segera seakan sudah tertulis dalam skrip, akur dengan keputusan itu.

Pandangan Nik Abdul Aziz bahawa 'perjuangan Islam tidak mempunyai tempoh masa bahkan sehingga akhir hayat' dijadikan asas kepada penolakan hasrat Abdul Hadi itu. Termeterailah keputusan Nik Aziz akan terus bertanding dan menjadi Menteri Besar Kelantan manakala Abdul Hadi terus di Parlimen Marang dan mungkin juga mengekalkan kerusi DUN Rhu Rendang.

Polemik tidak mahu bertanding ini secara langsung telah menaikkan nilai pasaran Abdul Hadi. Imej sebagai seorang pemimpin berakhlak dan bermaruah kerana 'tidak meminta-minta jawatan' dipotretkan sebegitu rupa untuk memastikan Abdul Hadi terus disanjung.

"Saya nak sebut satu rahsia untuk tidak bertanding, tapi disergah oleh Pas Kelantan, inilah yang menyebabkan saya terus dalam politik hingga hari ini," kata Nik Abdul Aziz memberi mesej bahawa Pas masih memerlukan kepimpinan Abdul Hadi sebagaimana Pas Kelantan masih bergantung kepada beliau.

Jawatan

Memang setakat ini belum terdengar secara terbuka Abdul Hadi mengagung-agungkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri. Beliau mahu dipotretkan sebagai 'orang yang bersifat tawaduk dan berakhlak Islam yang mana jawatan bukan perkara yang direbut tetapi adalah amanah".

Dalam hal ini, beliau dilihat terlalu merendah diri sehinggakan gagal 'menjual' kepimpinan Pas di peringkat nasional. Apakah benar begitu atau memang kepimpinan Abdul Hadi lemah?

"Dari segi kepimpinan dan pentadbiran, Abdul Hadi memang kurang menonjol. Dia lebih berkarisma sebagai seorang ulama," kata seorang pemerhati politik yang rapat dengan Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi.

Dulu semasa menjadi Menteri Besar selama satu penggal, beliau dilihat banyak dibayangi oleh orang kanannya, Datuk Mustafa Ali. Begitu juga sepanjang menjadi Presiden Pas ini, kehadiran beliau tidak begitu dirasai, kecuali dalam ceramah.

"Orang agak gerun untuk berjumpa dengannya. Macam ada jarak, mungkin kerana wajahnya yang serius dan garang," kata pemerhati politik itu lagi.

Dalam kalangan orang Pas, Abdul Hadi bukanlah pemimpin yang selalu mereka hormati. Dakwa mereka, insiden dipinggirkan oleh jentera Pas Kelantan semasa pilihan raya kecil Manik Urai adalah salah satu contohnya.

Malah pernah satu ketika semasa zaman pentadbiran Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Presiden Pas ini yang dikaitkan dengan kerajaan perpaduan dilihat berseberangan dengan kem Nik Abdul Aziz.

Saban waktu, orang Pas dan sekutunya masih mengutamakan Nik Abdul Aziz. Dominasi Nik Abdul Aziz begitu ketara dengan 'fatwanya' banyak mencorakkan kepimpinan Pas dan juga pakatan pembangkang.

Mungkin sebab itu, sehingga hari ini apabila ada lontaran bahawa Abdul Hadi adalah calon terbaik Perdana Menteri, tidak ramai pemimpin pakatan pembangkang termasuk daripada Pas memberi reaksi positif.

Selalunya hanya reaksi 'yang penting menang pilihan raya dulu' daripada pemimpin Pas. Yang nampak beria-ia hanya Datuk Dr. Hasan Ali, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor yang kini dipecat atas dakwaan tidak sehaluan lagi dengan perjuangan parti itu.

Dan terbaru, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib yang secara tegas berterus-terang mahu melihat presiden partinya itu menjadi Perdana Menteri.

"Saya bercita-cita nak lihat beliau jadi Perdana Menteri. Kalau beliau berundur dan tidak bertanding Pilihan Raya Umum ke-13 maka tidak capai hasrat kita," tegasnya semasa mengulas isu pengunduran Abdul Hadi.

Tapi sayang orang seperti Harun yang diletakkan dalam kelompok ulama umpama harimau tidak bergigi. Sudahlah jarang-jarang mengaum, ngaumannya pula tidak lagi ada getar dan digeruni.

Berbeza sekali dengan rakannya Anwar yang sejak awal mempromosi diri sebagai pemimpin anugerah tuhan. Bahkan, Pas sanggup pula membiarkan diri menanggung segala beban ekoran masalah peribadi Anwar.

Di pentas mana pun - dalam negeri dan luar negara - Anwar bercakap dalam bahasa bahawa beliau akan memimpin Malaysia. Beliau pun berjanji itu dan ini termasuk dalam soal dasar luar negara.

Pernahkah kita mendengar pemimpin Pas yang selalu diangkat sebagai 'bermaruah dan amanah' itu menegur Anwar? Tidak, malah Pas sanggup pula mengorbankan pemimpin mereka yang berani menegur Penasihat PKR itu.

Mengapakah Pas tidak meletakkan penghormatan yang sama ke atas Abdul Hadi? Aneh, Pas tidak mengenakan kayu ukur yang sama ke atas jawatan Perdana Menteri yang kini seakan sudah milik Anwar bahawa 'jawatan tidak boleh direbut tetapi sebagai satu amanah'.

Umpan Abdul Hadi telah mengena. Sudah tiba masanya untuk para pemimpin Pas meletakkan Abdul Hadi bukan sekadar sebagai seorang Presiden berwibawa tetapi juga calon Perdana Menteri yang bakal mengagungkan Islam.

Tetapi sekali lagi, cita-cita dan harapan mengunung Harun itu tidak dikongsi oleh pemimpin Pas lain. Itulah yang dirasai. Jika Anwar boleh mencalonkan dirinya sebagai bakal Perdana Menteri, mengapa tidak orang Pas mengangkat pemimpin mereka sendiri?

Tetapi mungkin benar, cengkaman kelompok Anwarinas dalam Pas begitu kuat, sehinggakan tidak berdaya untuk mengangkat Presiden mereka sendiri sebagai calon Perdana Menteri. Maka, tetap sia-sialah umpan yang dipasang elok oleh Abdul Hadi itu.-UMO

Juragan Malawati

Tiada ulasan:

Catat Ulasan