UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Jumaat, 24 Februari 2012

Selcat seperti 'mati hidup semula'!


Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) boleh dianggap sebagai 'mati hidup semula' apabila membuka kembali pendengaran awam bagi isu penyelewengan pasir di negeri ini pada 5 Mac ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, pendengaran bagi kes pasir yang berhenti sejak 2010 dibuka semula selepas penulis blog, Raja Petra Kamarudin dan beberapa bekas kakitangan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd., (KSSB) yang dipecat membuat pendedahan mengenai penyelewengan dalam anak syarikat kerajaan negeri itu.

"Selcat dahulu hanya mengadakan beberapa kali pertemuan bagi pendengaran kes membabitkan kerajaan negeri dan aktiviti perlombongan pasir.

"Kalaulah ia tidak ditimbulkan semula, pendengaran bagi penyelewengan pasir mungkin dilupakan dan ini menunjukkan seolah-olah Selcat ditubuhkan untuk kepentingan politik sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampakian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 420 penerima bagi kawasan Parlimen Tanjong Karang di sini hari ini.

Noh mengulas kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Teng Chang Khim bahawa Selcat membuka semula siasatan ke atas syarikat konsesi perlombongan pasir milik kerajaan negeri, KSSB selain menyiasat Yayasan Selangor yang didakwa berbelanja mewah.

Sebelum ini, Noh mencabar bahawa pihaknya bersedia mendedahkan bukti mengenai penyelewengan pasir di negeri ini jika kerajaan negeri mengadakan 'perbicaraan terbuka' yang turut boleh disaksikan oleh rakyat.

Mengenai pelawaan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin agar beliau hadir dalam pendengaran Selcat itu nanti, Noh mempersoalkan siapa Faekah untuk memintanya hadir ke sesi pendengaran awam tersebut.

"Perkara ini perlu jelas, untuk apa kalau saya hanya hadir sebagai pemerhati. Siapakah Faekah? Pihak yang berhak memanggil saya hanya Speaker DUN," katanya.

Mengenai bai'ah yang diwajibkan oleh Pas kepada semua calon yang mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, Noh berkata, tindakan itu menunjukkan Pas seolah-olah tidak percaya kepada kesetiaan para pemimpinnya.

"Kita dapat lihat ramai wakil rakyat pembangkang yang melompat parti berbanding tuduhan mereka bahawa pemimpin Barisan Nasional (BN) yang akan berpaling tadah.

"Pembangkang sudah tertekan bukan sahaja tidak yakin dengan apa yang diperjuangkan, malah ahlinya juga tidak tahu apa matlamat mereka," katanya.-UMO.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan