UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Isnin, 6 Februari 2012

Roboh asrama: Tindakan Yayasan Selangor dipersoal!

Asrama Toh Puan Norashikin, milik Yayasan Selangor yang bakal dirobohkan di Kampung Pandan. Kerja-kerja pembinaan sudah pun dimulakan oleh pihak kontraktor.

Tindakan Yayasan Selangor yang tetap berkeras mahu merobohkan asrama yayasan berkenaan di Kampung Pandan menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak berikutan pelaburan bernilai jutaan ringgit terhadap asrama itu dua tahun lalu.

Sambil mempertikaikan agenda tersirat yayasan, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) asrama berkenaan, Mohd. Zaidi Barkis turut mempersoalkan nasib pelajar baru yang diambil pada awal tahun lalu.

"Tidakkah sangat merugikan apabila telah membelanjakan berjuta ringgit bagi membaik pulih asrama yang berusia 40 tahun itu pada tahun 2010 dan kini tidak sampai dua tahun mereka mahu merobohkannya pula.

"Kami juga melihat pelan penempatan yayasan itu tidak munasabah kerana asrama daerah tersebut berada di kawasan luar bandar, jadi lebih baik pelajar duduk dengan ibu bapa dan belajar di sekolah berdekatan dengan kediaman masing-masing sahaja," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki yang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Gerakan Saya Anak Yayasan Selangor (GSAYS) atau mana-mana pihak yang sengaja memutarbelitkan isu merobohkan Asrama Yayasan Selangor, Kuala Lumpur.

Menurut Ilham lagi, yayasan akan menempatkan pelajar tajaannya di asrama daerah iaitu asrama sekolah terpilih.

Jelas Zaidi, tindakan yayasan dilihat dibuat terlalu tergesa-gesa dan hakikatnya ia cukup membebankan ibu bapa kerana terpaksa membuat perkara yang sama berulang kali iaitu mencari sekolah lain dan mengeluarkan perbelanjaan untuk pendidikan anak-anak mereka.

"Saya kesal dengan tindakan Yayasan Selangor yang dilihat langsung tidak memikirkan emosi para pelajar kerana terpaksa berpindah ke sekolah lain dan berkenalan dengan rakan-rakan yang baru," katanya.

Katanya, tindakan itu jelas menunjukkan mereka telah gagal menghayati dan menjiwai perjuangan penubuhan asal yayasan itu apabila tetap dengan keputusan mahu merobohkan bangunan asrama berkenaan.

"Yayasan perlu menyedari tindakan mereka itu telah merencatkan matlamat asal iaitu mahu melihat pelajar-pelajar Melayu luar bandar dan dalam bandar bersatu agar mereka dapat meningkatkan mutu pencapaian," katanya.-UMO

Juragan Malawati

Tiada ulasan:

Catat Ulasan