UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Selasa, 21 Februari 2012

'Pembangkang daftarlah macam BN'?


Sehingga kini Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) masih menunggu kelibat sesiapa sahaja dari pembangkang untuk mendaftarkan pakatan itu sebagai gabungan.

Ya! seperti mana gabungan berdaftar seperti Barisan Nasional (BN) yang siap dengan piagam, agenda dan susunan parti-parti komponennya - merangkumi parti-parti berbilang kaum, etnik, budaya, agama melangkaui Semenanjung sehinggalah ke Sabah dan Sabah.

Namun, kelibat Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar yang dikatakan diarahkan oleh pembangkang untuk mengemukakan permohonan ke ROS masih tidak muncul-muncul.

Sehingga petang semalam, Pendaftar ROS, Datuk Abdul Rahman Othman dan pegawainya masih menanti. Kelibat Kamaruddin atau sesiapa daripada parti sekutu pembangkang di pintu masuk ibu pejabat ROS di Presint 15 atau Presint Diplomatik, Putrajaya bayang pun tak nampak.

Dulu pembangkang 'mengutuskan' bekas Ahli Majlis Tertinggi PKR dan AJK Biro Politik PKR, Datuk Zaid Ibrahim untuk menghantar permohonan membentuk gabungan atau parti dua sistem tetapi tidak ada apa-apa pun. Apabila Zaid tidak lagi menjadi ahli PKR setelah mengumumkan keluar parti pad 14 November 2010, perkara itu terus senyap.

Kemudian, tidak semena-mena isu pendaftaran 'gabungan' pembangkang itu muncul akhir tahun lepas apabila beberapa pemimpin kanan mereka mengeluarkan dakwaan kononnya mereka mengesyaki terdapat 'muslihat politik' apabila ROS enggan meluluskan permohonan pendaftaran mereka untuk menjadi satu parti. Dari Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke dan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas, Dr. Hatta Ramli, semuanya menyerang ROS.

Namun, Abdul Rahman yang terkenal dengan sifat tenangnya itu 'memulangkan paku buah keras' pula kepada mereka.

"Dia dok bising sebab saya tak luluskan. Yang saya pula tak luluskan sebab tidak ada apa yang saya nak luluskan sebab pemohon itu sudah tidak ada dalam PKR.

"Kalau mereka nak datang kemukakan permohonan, kita terima... tetapi sampai sekarang tak ada," kata beliau ketika dihubuingi Utusan Malaysia semalam.

Bermacam-macam mainan politik dicanangkan pembangkang yang disertai pakatan longgar PKR, DAP dan Pas ini. Mereka mendakwa ROS main politik kotor kenapa mudah sangat luluskan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) yang diketuai Zaid. Tapi dijawab balik dengan fakta - KITA cuma ditukar nama daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) dan bukannya satu parti baru.

Realitinya, ke arah sistem dua parti sekiranya pakatan pembangkang sanggup membentuk gabungan secara rasmi ialah ia bermakna BN dianggotai 14 parti dan pakatan pembangkang disertai tiga parti iaitu DAP, PKR dan Pas. Cuma, dalam soal ini, pembangkang di negara ini belum membuat sebarang pendirian kepada sistem dua parti ini.

Sistem dua parti ini ada baik dan buruknya. Kalau bercakap tentang sistem ini, ia hanya ada di Amerika Syarikat iaitu Demokrat atau Republikan. Kalau pergi ke United Kingdom, Singapura atau Indonesia pun tidak ada sistem ini. Yang ada, hanyalah banyak parti dan hanya membentuk gabungan semasa berlangsungnya pilihan raya sahaja. Dan pada pilihan raya seterusnya, mereka buat pula gabungan lain.

Dalam soal ini pula, ramai sarjana politik menyatakan, sistem dua parti itu sukar direalisasikan kerana demokrasi masih baru di Malaysia. Tetapi pada masa sama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula menegaskan pakatan pembangkang perlu mendaftar dengan ROS sebagai satu entiti politik.

Ini kerana mereka selalu dilihat melanggar peraturan kempen pilihan raya, terutama berhubung isu penggunaan logo. Logo parti yang tidak bertanding dilarang dipasang atau digunakan untuk berkempen kerana ia menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Menurut seorang pemerhati politik tanah air kepada penulis, dalam politik, ketegasan SPR dan mereka yang merencanakan strategi parti perlu bertegas. Jika betul sebuah 'parti sekutu' tidak boleh memasang bendera partinya untuk merancakkan lagi persaingan rakannya itu menentang parti pemerintah, maka ambillah tindakan undang-undang.

"Dalam kempen pilihan raya kecil DUN Manek Urai contohnya, kalau ada satu kawasan itu cuma 50 pengundi bukan Melayu dan DAP pula siap pasang bendera dan sepanduknya, tidak kah mustahil mereka akan mengundi DAP meskipun Pas bertanding di situ.

"Macam MCA, tidak mengapalah memasang bendera sebab BN ini dikira satu gabungan rasmi, jadi, bab penguatkuasaan undang-undang ini perlu tegas supaya SPR nanti dihormati sebagai badan yang benar-benar telus dan bebas," kata pemerhati itu lagi.

Hakikat sebenarnya adalah bukan mudah untuk parti-parti politik membentuk gabungan secara rasmi. Realitinya, ia menuntut persefahaman yang jitu, semangat musyawarah dan konsensus yang tinggi.

Jika diperhatikan senario politik semasa tanah air, hal ini iaitu kemungkinan pakatan pembangkang membentuk gabungan rasmi agak mustahil. Sekejap Pas hentam DAP dan sekejap lagi pula Pas hentam PKR, kemudian DAP bantai balik Pas.

Lihatlah bagaimana Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang diam seribu bahasa sebelum ini, tiba-tiba 'mendengus' menggesa penasihat PKR yang juga ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kenyataan terbuka sama ada mahu menyaman atau menarik balik sokongan terhadap Israel seperti mana disebut Anwar dalam wawancaranya dengan The Wall Street Journal (WSJ) Januari lalu.

Ramai mengandaikan eh! tok guru mahu 'berlakon' kah. Ditambah pula dengan kenyataan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali bahawa Anwar akan berjumpa sendiri dengan Nik Abdul Aziz. Eh! sekali lagi, takkanlah nanti pertemuan itu 'senyap-senyap' sahaja, tanpa liputan media dengan kedua-duanya duduk dalam sidang akhbar bersama.

Isu sokongan Anwar terhadap keselamatan Israel jelas menampakkan ketidaksepakatan dalam hubungan Pas dan PKR. Itu belum ditanyakan kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula pasal pandangan DAP terhadap rejim zionis ini.

Itu pun belum termasuk terjahan Karpal terhadap Pas yang menggesa parti itu menarik balik pendirian membantah sambutan Hari Kekasih.

Sebenarnya, memang tidak mudah untuk parti-parti pembangkang membentuk gabungan serupa BN. Kalaupun nanti tertulis atas kertas, realiti sebenar kelak hanyalah 'tidur sebantal, mimpi lain-lain'.

Jika diimbas selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 di Perak tempoh hari, ketika DAP menguasai 'takhta' bilangan kerusi berbanding rakan-rakan sekutunya (meskipun bilangan kerusi UMNO sebenarnya tertinggi), pakatan itu mula berserabut untuk memilih calon Menteri Besar. Dikatakan pencalonan penyandang menteri besar iaitu Nizar hanya di tangga ke tiga selepas seorang calon PKR dan DAP.

Tetapi kerana ketiadaan gabungan yang kuat seperti mana BN, maka ketiga-tiga parti pembangkang ini hanya bersetuju membentuk 'parti campuran' sehinggalah akhirnya nama si Nizar muncul.

Sebenarnya, dengan gabungan tiga parti sahaja, ROS boleh luluskan permohonan membentuk gabungan. Malah, kalau nak buat parti asing-asing seperti sekarang pun tak ada masalah. PKR dengan gabungan tujuh ahli pun boleh dibentuk, inikan pula DAP, PKR dan Pas nak bentuk gabungan.

Tetapi - permohonan yang pertama pun 'dah ghaib' (ketika Zaid 'diutuskan' untuk berbuat demikian). Nampak sangat Pas ke, DAP ke, PKR ke, mereka memang tidak serius.

Dengan kedudukan pembangkang yang tidak begitu kuat di Sabah dan Sarawak, usaha untuk merealisasikan gabungan ini mungkin sukar.

Mereka (pembangkang) ada ramai bijak pandai dari kalangan peguam. 'Bergasak' sana sini dalam mahkamah. Tetapi mengapa tidak berbuat apa-apa untuk menjadikan pakatan pembangkang suatu suatu gabungan rasmi menjelang PRU13.-UMO

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan