UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Khamis, 9 Februari 2012

Hasan Ali: 5 sebab Pas terus menyimpang!

Datuk Dr Hasan Ali, yang dipecat daripada parti itu 8 Januari lepas memberikan lima sebab kenapa beliau rela dilihat berpatah arang berkerat rotan dengan Pas.

Dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama, Hasan menggariskan sebab-sebab itu ialah:

- Pas meninggalkan perjuangan asalnya untuk menubuhkan sebuah Negara Islam dan menggantikannya dengan Negara Kebajikan, yang boleh dilaksanakan di mana-mana negara sekular dalam apa juga sistem dan amalan politik.

- Pas sudah hilang pendirian dan ketegasan yang boleh dihormati apabila diperkotakkatikkan oleh rakan sekongkolnya dalam pakatan pembangkang khasnya DAP sehingga menolak bulat-bulat Negara Islam.

- Pas terlalu ghairah memimpikan Putrajaya sehingga mengorbankan Islam dengan bersekongkol dengan DAP yang terang merupakan musuh Islam.

- Pemikiran ulama di dalam Pas yang ada sekarang sudah "dilarutkan" dengan kehadiran sebanyak 70 peratus "parasit" di dalam kepimpinannya yang membawa kepentingan politik berlainan daripada hala tuju Pas.

- Kesetiaan wakil rakyat Pas dalam Parlimen lebih besar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi perhatian besar dan hadir dengan ramai setiap kali ketua pembangkang itu berucap sedangkan ketika Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berucap, banyak bangku yang kosong.

Hasan berkata, Pas kini sudah menyimpang jauh dan terus hanyut daripada perjuangan asalnya selagi parti itu berada dalam pakatan pembangkang bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menjelaskannya, beliau berkata apa yang dijanjikan kepada masyarakat Islam di negara ini sebelum ini adalah penubuhan sebuah Negara Islam tetapi impian itu sudah mustahil untuk dicapai apabila pakatan pembangkang ditubuhkan dan Pas, atas pertimbangan kepentingan politik semata-mata, telah menyertainya.

"Yang kita dapat di Selangor sekarang, samalah akan terjadi di Putrajaya.

Kalau mereka (pembangkang) menang atas konfigurasi komponen (parti) yang ada, tak akan adalah Negara Islam, tak akan adalah hukum hudud. Begitu juga pelaksanaan Islam dalam ekonomi, sosial, pertanian dan dasar luar negara.

"Jadi bila gabung dengan DAP dan PKR, Pas tak boleh lagilah dengan negara Islam. Ketua Umum PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun tak berminat.

"Saya baru 15 tahun dalam Pas. Saya masuk Pas kerana saya nak Islam dan kepimpinan ulama iaitu 'tagline' Pas. Itu sebab utama saya masuk Pas. (Tapi) kepimpinan ulama tidak lagi dominan. Negara Islam tak ada lagi, jadi saya nak bergantung ke mana?" katanya.

Hasan, yang sebelum ini Anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, berkata Pas terpaksa mengubah inti perjuangan kepada Negara Kebajikan.

"Negara Kebajikan semua negara boleh buat. Negara di Eropah misalnya, Norway, Sweden pun buat tetapi atas prinsip sekular, mereka tak nampak faktor agama.

"Dalam keadaan banyak umat Islam bergantung harapan kepada Pas, parti itu sendiri menolak Negara Islam. Alasan yang dahulunya dikatakan oleh Pas sendiri bahawa ia dituntut oleh Islam telah tiba-tiba diputar belitkan oleh Pas juga bahawa tiada disebut dalam al-Quran," katanya.

Menyentuh cita-cita Pas untuk menawan Putrajaya, Hasan berkata beliau tidak mempertikaikannya semasa masih berada di dalam parti itu tetapi tidak mahu Islam dikorbankan dalam usaha berkenaan.

"Orang Pas mungkin dah tak sabar nak jadi menteri, itu yang nak ke Putrajaya, itu agak sayalah, sampaikan prinsip perjuangan diketepikan. Dalam soal ini, saya tidak setuju.

"Saya dari awal lagi sudah menentang Negara Kebajikan ni. Walaupun Putrajaya itu penting tetapi mendaulatkan Islam, Melayu dan Raja adalah matlamat perjuangan politik kita," katanya.

Hasan berkata tarikan ke Putrajaya itu sangat kuat disebabkan Pas terus digula-gulakan dan dikipas oleh pemimpin parti pembangkang, dan banyak kepimpinan Pas sekarang rela memejamkan sebelah mata walaupun mereka mungkin sedar Pas sedang diperalatkan oleh rakan pakatan untuk mencapai cita-cita itu.

"Bila ke Putrajaya sekalipun, akan berlaku perebutan kuasa antara Pas, DAP dan PKR dalam kementerian-kementerian penting. Dalam pakatan pembangkang pun tak kukuh kerana ini sekadar gabungan tidak kukuh, dan bukannya desakan kemahuan ikhlas dan suci untuk mendaulatkan Islam.

Beliau juga berkata kepimpinan Pas perlu berubah dan membuat 'islah' kerana pelbagai prinsip di dalam parti itu dilihatnya sudah tidak betul.

Contohnya, Hasan berkata beliau dimaklumkan oleh rakan-rakan dalam parti bahawa apabila Abdul Hadi berbahas di Parlimen, tidak ramai yang berada di kerusi mereka tetapi berbeza apabila Anwar yang berucap, itu pula yang diberi perhatian penuh.

"Takkan kita dalam Pas, kesetiaan kita adalah kepada orang lain pula. Pada saya ini prinsip yang sangat tak betul. Prinsip berjemaah tak betul, prinsip berketua tak betul dan prinsip pengikut tak betul. Akhirnya prinsip mengurus organisasi tak betul dan ini yang berlaku sekarang.

"Saya dah gambarkan sebelum ini selepas menjadi kerajaan di Selangor selama tiga tahun dan 10 bulan dengan melihat semula kekuatan, kelemahan dan peluang.

"Saya boleh senaraikan 20 kelemahan tetapi pakatan pembangkang tak buat dan tak berani buat," katanya.

Hasan juga membidas Anwar kerana suka menimbulkan reaksi masyarakat dengan mengadakan demonstrasi.

"Bukan tak bagus demonstrasi tapi bukan semuanya sesuai untuk demonstrasi.

Akhirnya (negara) akan jadi anarki dengan masing masing mentafsir berdasarkan pemikiran masing-masing. Itupun perlu mengikut kehendak syariat," katanya.

Beliau mengakui diberitahu bahawa di dalam pakatan pembangkang apa juga perkara perlu dirujuk kepada Anwar dan akhirnya akan berlaku amalan autokratik dan dengan itu senang untuk 'menunggangi' Pas.

"DAP tak mudah ditunggangi," katanya.

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan